oleh
Haniza Hassan
Tiada
siapa menyangka bahawa pada usia baru mencecah 24 tahun, Hazzirah Izzati Mat
Hassim sudah berjaya menamatkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah
(Ph.D) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sekali gus muncul sebagai
penuntut termuda dianugerahkan kelulusan tersebut.
Bagi
anak kedua daripada lapan beradik dan berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu,
sebenarnya tidak terlintas di dalam benaknya apatah lagi untuk memegang gelaran
penuntut termuda yang menerima Ph.D di negara ini.
Baru
sahaja melangsungkan perkahwinan dengan Muhamad Najib Zakaria, 26, pada 13
September lalu, Hazzirah Izzati mengakui kejayaan yang dikecapinya memberi
suntikan semangat untuk dia terus melakar kejayaan pada masa akan datang.
"Bagi
saya, yang penting kita kena berani. Malah, berani itu kata kunci yang saya
guna sejak dari bangku sekolah lagi. Jangan pernah berputus asa biarpun
dihujani dengan pelbagai dugaan dan cabaran, tambahan pula bidang pengajian
yang saya pilih ini masih baru di negara ini.
"Saya
juga melalui fasa kesusahan dalam tempoh tiga tahun setengah menyiapkan Ph.D
ini. Kalau hari ini kita rasa berputus asa, esoknya kita perlu bangun segera
dan lakukan sesuatu agar rasa negatif itu tidak berpanjangan," katanya
selepas menerima sijil pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR)
sebagai pemegang Ph.D termuda di sini hari ini.
Sijil
pengiktirafan itu disampaikan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ir. Wahid
Omar.
Hazzirah
Izzati berkata, kejayaan diperoleh itu juga adalah hasil kerjasama dan sokongan
daripada pelbagai pihak termasuk keluarga dan penyelia utama, Prof. Dr. Nor
Haniza Sarmin serta penyelia bersama, Dr. Nor Muhainiah Mohd. Ali.
"Mereka
banyak membantu saya dalam apa jua keadaan. Didikan keluarga yang mengajar saya
berdikari dan membuat keputusan sendiri juga banyak mencorak kejayaan hari
ini," katanya yang merancang untuk terus melanjutkan pengajian dalam
tempoh terdekat.
Hazzirah
Izzati pernah mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 1,
Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai dan MRSM Bitara Pengkalan Chepa.
Peluang
belajar di MRSM Bitara Pengkalan Chepa dimanfaatkan sepenuhnya sehingga
ditawarkan untuk turut serta dalam program Ekspres UTM-Mara di UTM selama enam
bulan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Berdasarkan
keputusan SPM yang diperoleh iaitu 7A1 dan 3A2 serta keputusan peperiksaan
akhir program Ekspres UTM-Mara, dia menyambung pengajian ke peringkat Ijazah
Sarjana Muda Sains (Matematik) dan mendapat kepujian kelas pertama.
Hazzirah
Izzati kemudian ditawarkan pula oleh UTM untuk melanjutkan pengajian ke
peringkat Ph.D di bawah program Ph.D Fast Track UTM dalam jurusan Matematik
Tulen.
Dalam
tempoh pengajian Ph.D itu, Hazzirah Izzati turut menyumbang dalam penerbitan
buku, jurnal berindeks dan tidak berindeks selain membentangkan hasil
penyelidikannya dalam persidangan antarabangsa seperti Seminar Algebra Iran di
Sabzevar, Iran; Biennial International Group Theory Conference di Istanbul,
Turki; Asian Mathematical Conference di Busan, Korea dan Seminar Algebra di
University of Brasilia, Brazil.
(Utusan
Malaysia, 1 Oktober 2014)
No comments:
Post a Comment