Saturday, February 28, 2015

Jangan pandang belakang lagi









Kita boleh kembangkan impian kita supaya semangat kita lebih kuat, keyakinan kita semakin bertambah dan usaha kita digandakan. 

Bagaimana kalau tidak ada impian yang hendak dikejar? 

Kalau belum ada impian ini maknanya perlu fokuskan pemikiran sedia ada. Berikan sedikit masa-masa santai dan masa-masa sibuk untuk menajamkan atau memperincikan pemikiran kita supaya kita menemui impian hidup. 

Lihat kembali cara kita bekerja, cara kita menguruskan cabran dan halangan serta reaksi kita ketika berhadapan dengan kesukaran. 

Apabila kita mengenal pasti kekuatan dan kelemahan ini, barulah kita bergerak ke hadapan tanpa ragu-ragu. Jangan pandang belakang, nanti kita menyesal.


Friday, February 27, 2015

Cabaran pelaksanaan syariah di Terengganu








Kefahaman masyarakat bukan Islam, khususnya Cina dalam kalangan ahli MCA terhadap undang-undang syariah di Malaysia masih lagi cetek. Terbaru adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh Gan Ping Siau, pengerusi Tugas Khas Pelaksanaan Dasar dan Undang-Undang Syariah berkaitan hukuman ke atas lelaki Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat di Terengganu.

Gan menyifatkan hukuman membawa lelaki yang ponteng solat Jumaat di dalam kereta jenazah sebagai tindakan memalukan dan menyerupai undang-undang syariah Taliban. Beliau juga menyifatkan hukuman tersebut seperti tindakan memberi malu sepertimana ketika Era Gelap di Eropah.

Melihat kepada tahap kefahaman Gan terhadap undang-undang syariah ini, boleh disifatkan Gan masih keliru dan sangat jahil. Pandangannya hanya bersandarkan pada logik akal dan nafsu yang melindungi kebenaran. Beliau harus belajar lebih banyak lagi tentang Islam, cara hidup Islam dan tugas seorang Islam.

Dalam hal ini, pihak berkuasa agama wajar mengambil berat kejahilan Gan berkaitan Islam supaya beliau tidak terus bergelumang dalam kejahilan tersebut. Boleh dikatakan Gan bercakap ‘ikut sedap mulut’.

Gan bertanya apakah tindakan yang sama akan dikenakan ke atas umat Islam yang datang ke Terangganu untuk melancong, berniaga dan singgah sebentar pada hari Jumaat.

Semua orang Islam tahu bahawa musafir seperti itu diberi kelonggaran untuk melakukan solat zohor sahaja pada hari Jumaat.

Pihak berkuasa agama Islam di Terengganu wajar menjadikan kritikan Gan ini sebagai dorongan untuk melaksanakan syariah di negeri itu. Sebaik-baiknya pendakwah menggunakan pendekatan berhikmah untuk berdakwah kepada pemimpin bukan Islam supaya mereka memahami Islam.



Thursday, February 26, 2015

Kerja ikut kemampuan









Sesetengah orang hendak buat banyak perkara dalam satu masa.  Sama ada mereka ini jenis orang yang sibuk atau kelam-kabut, kita boleh pastikan daripada cara mereka melakukan kerja. 

Penyelesaian kepada buat kerja tanpa fokus ialah menyemak semula prioriti atau keutamaan. 

Ada banyak cara membentuk prioriti antaranya memberi fokus kepada kelebihan atau bakat, fokuskan kepada ganjaran yang akan diperoleh atau melakukan sesuatu yang kita paling suka dan mahir. Kelebihan membuat diri sendiri dan orang lain. 

Untuk diri sendiri, masa kita lebih terurus, lebih fleksibel dan kurang stres. Orang lain pula melihat kita seorang yang tahu buat kerja dan menyenangkan. 

Kesimpulannya buatlah sesuatu perkara yang sepadan dengan diri sendiri.


Wednesday, February 25, 2015

Temubual bersama usahawan wanita kecil-kecilan










Zharfan: Assalamualaikum. Pada hari ini saya akan menuramah seorang peniaga kecil yang berada di kawasan taman kami, Taman Sarjana Indah yang bernama Puan Kamariah.

Zharfan: Assalamualaikum puan.

Puan Kamariah: Walaikum Salam Warahmatullahi Wabarakaatuh.

Zharfan: Bolehkan puan ceritakan tentang latar belakang puan khususnya dalam pendidikan, tempat tinggal dan lain-lain.

Puan Kamariah: Saya berasal dari Kampung Sungai Putat. Pendidikan saya setakat SPM sahaja. Saya  bekerja biasa sahaja bermula daripada kerja klinik. Selepas itu sambil itu saya belajar komputer dan menjadi kerani kerajaan. Sambil bekerja saya pun minat berniaga dan mula memjual kerepek. Saya membeli kerepek tersebut dari Johor. Saya membungkus dan menjual paket-paket tersebut kepada keluarga terdekat dan rakan-rakan. Selepas itu, saya belajar membuat kuih. Selepas berumah tangga, saya berpindah ke Taman Sarjana Muda. Ini meluaskan peluang perkerjaan dalam sektor tersebut. Kebetulan terdapat sebuah kedai yang memberi peluang kepada saya untuk menguruskan kedai tersebut berikutan pemilik kedai tersebut berpindah ke kedai yang lain. Oleh itu, saya meneruskan perniagaan saya di situ. Saya mula belajar membuat nasi lemak dan roti canai kerana permintaan yang ramai.

Zharfan: Puan belajar sendiri untuk membuat hidangan tersebut?

Puan Kamariah: Tak la, kawan saya yang mengajar saya pada ketika itu.

Zharfan: Berapa lama Puan belajar membuat roti canai?

Puan Kamariah: Haha... adik takkan percaya. Saya belajar dalam masa satu hari
sahaja.

Zharfan: Sebelum mula berniaga, adakah Puan melibatkan diri dalam persatuan keusahawanan?

Puan Kamariah: Tidak, Saya belajar sendiri sahaja.

Zharfan: Setelah melibatkan diri dalam perniagaan, adakah ia mengubah taraf hidup Puan?

Puan Kamariah: Sememangnya. Alhamdulillah dapat membantu suami saya dalam pengurusan rumah tangga.

Zharfan: Adakah Puan bersetuju perniagaan ini membawa rezeki kepada Puan?

Puan Kamariah: 100%.

Zharfan: Adakah Puan fokus pada perniagaan ini sahaja?

Puan Kamariah: Ya ini sahaja.

Zharfan: Apakah cabaran-cabaran yang dihadapi dan ditempuhi sebagai peniaga kecil?

Puan Kamariah: Sebagai seorang perempuan, saya menghadapi cabaran untuk menyusun barang-barang ketika membuka kedai. Ketika itu, suami saya amat membantu saya. Risiko yang ditempuhi ialah payung kedai yang mudah terbang ketika angin kuat.

Zharfan: Adakah Puan mempunyai pembantu kedai?

Puan Kamariah: Ya, saya mempunyai dua orang pekerja. Seorang bekerja pada waktu siang dan seorang lagi pada waktu malam.

Zharfan: Adakah Puan membuat sebarang pinjaman untuk menguruskan
perniagaan Puan?

Puan Kamariah: Tidak, saya tidak meminta bantuan kewangan dari bank. Suami saya membantu saya dalam urusan kewangan.

Zharfan: Siapakah model atau inspirasi yang membuatkan Puan minat berniaga?

Puan Kamariah: Siapa-siapa yang berjaya dalam perniagaan, saya jadikan model.

Zharfan: Kenapa Puan memilih perniagaan makanan sedangkan terdapat pelbagai bidang perniagaan seperti perniagaan kedai runcit, sayur dan ikan?

Puan Kamariah: Sebab utama adalah anak. Kedai ini berhampiran dengan rumah dan sekolah. Oleh itu, senang untuk menghantar anak ke sekolah dan membawa ke kedai.

Zharfan: Adakah Puan membina kedai makanan ini?

Puan Kamariah: Rezeki saya kerana ketika masa itu semua gerai-gerai  payung diberi bangunan koperasi. Saya memang beruntung.

Zharfan: Kedai ini atas nama puan ke?

Puan Kamariah: Ya. Alhamdulillah, kedai ini atas nama saya.

Zharfan: Dalam perancangan jangka masa panjang, adakah Puan ingin mengembangkan perniagaan Puan ke taraf yang tinggi?

Puan Kamariah: Perancangan jangka panjang memang ada tapi buat masa ini tiada lah.

Zharfan: Untuk soalan teakhir, apakah nasihat Puan kepada golongan muda yang sering kali terlibat dengan rempit dan perkara-perkara negatif?

Puan Kamariah: Ianya bergantung kepada diri masing-masing. Sekiranya inginkan hidup yang cerah, mereka tidak akan memikirkan perkara-perkara yang negatif.

Zharfan: Terima kasih atas perbualan sebentar. Di sini kami ingin mmenyatakan bahawa perniagaan membawa rezeki yang banyak. Terima kasih kerana sudi untuk bertemu ramah. Insha’Allah jika ada rezeki, kami akan menjadikan Puan Kamariah sebagai mentor untuk berniaga kelak.

Puan Kamariah: Sama-sama.

Tuesday, February 24, 2015

Pengaruh sosioekonomi C IN Beriani Steam Catering terhadap kawasan setempat










1.0 Pengenalan

Perniagaan yang dipilih ialah C IN Beriani Steam Catering. Walaupun ia merupakan perniagaan yang tidak begitu besar tetapi C IN Beriani Steam Catering turut menyumbang kesan terhadap masyarakat mahupun negara. Tugasan ini mendedahkan bidang keusahawanan yang merupakan satu kerjaya yang digalakkan oleh kerajaan. Kemajuan dalam bidang keusahawanan adalah satu kebanggaan bagi sesebuah negara. Kini, kerajaan telah pun mewujudkan kementerian berkaitan keusahawanan untuk membantu golongan bumiputera menceburi bidang perniagaan dan memajukan lagi sektor keusahawanan. Malah, MARA juga telah memperuntukkan pinjaman kepada usahawan-usahawan baru bumiputera untuk memulakan perniagaan.

Di samping itu juga, ia dapat menarik minat golongan belia untuk menceburi bidang keusahawanan. Bidang keusahawanan adalah bidang yang mencabar. Hal ini kerana, seseorang usahawan perlu menempuh pelbagai risiko untuk berjaya. Risiko yang ditanggung oleh seseorang usahawan adalah besar. Walau bagaimanapun, risiko sebegini telah dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum melibatkan diri dalam kerjaya ini. Usahawan menjadi majikan kepada dirinya, hal ini kerana setiap usahawan menggunakan cara sendiri untuk merebut peluang dalam perniagaan.

Seseorang usahawan juga perlulah kreatif dan optimistik bagi merebut peluang yang ada. Seseorang usahawan yang berjaya mesti memikirkan idea-idea yang bernas untuk menghasilkan produk-produk yang memenuhi keperluan harian pengguna. Bidang keusahawanan memerlukan seseorang menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat dengan mencipta satu produk yang memenuhi kehendak masyarakat. Seseorang usahawan juga perlu mengkaji tentang perkembangan perniagaan bagi meningkatkan lagi mutu servis yang dijalankan. Hal ini kerana kejayaan seseorang usahawan bergantung pada usahanya. Pengurusan yang sistematik juga amat penting dalam sesebuah perniagaan. Pengurusan yang tersusun dan pentadbiran yang adil kepada pekerja-pekerja juga akan menarik minat pekerja untuk melaksanakan tugas masing-masing.

Kesimpulannya, bidang ini memerlukan kesabaran yang tinggi untuk mencapai kejayaan yang diinginkan. Semangat tidak putus asa merupakan pakej kepada usahawan yang berjaya.


2.0  Sorotan Literatur

C IN Beriani Steam Catering merupakan sebuah perniagaan berbentuk katering. Nama C IN Beriani Steam diambil bersempena nama timangan pemilik terkini perniagaan katering ini iaitu Encik Shalehen yang pada mulanya dimiliki oleh ayah beliau iaitu Encik Zainal Omar. C IN Beriani Steam pada awalnya merupakan sebuah restoran di bandar Melaka. C IN Beriani Steam ialah sebuah perniagaan francais yang diwujudkan hasil dari perkembangan sebuah restoran yang dikenali sebagai Restoran Mata Kucing. Perniagaan C IN Beriani Steam Catering mula ditubuhkan pada empat tahun yang lalu iaitu pada tanggal 18 September 2009. Walau bagaimanapun, Restoran Mata Kucing ini telah dibina di Jalan Taming Sari berhadapan JKR selama hampir 40 tahun dan kekal hingga ke hari ini. Pengasas perniagaan Restoran Mata Kucing ialah datuk kepada Encik Shalehen dan diturunkan kepada bapa saudara beliau iaitu Encik Zahari. Malah, resipi perniagaan yang berbentuk katering ini diambil dari resipi turun-temurun keluarga Encik Shalehen sahaja.

Jenis perniagaan katering yang dijalankan oleh C IN Beriani Steam Catering bersifat umum. Katering ini bersifat umum dan lebih fleksibel kerana mereka turut menyediakan perkhidmatan katering untuk pelbagai majlis sama ada majlis perkahwinan, majlis rasmi, majlis VIP, majlis VVIP dan pelbagai program dengan hanya bergantung kepada bajet pelanggan. Namun begitu, C IN Beriani Steam Catering turut menyediakan pakej yang berpatutan sesuai dengan selera pelanggan. Malah, mereka turut menyediakan pakej tambahan seperti hantaran dan andaman pengantin dengan harga yang berpatutan bagi pakej perkahwinan. Sebagai tambahan, pelanggan juga boleh mendapatkan perkhidmatan penyewaan khemah, kerusi dan meja untuk program yang dijalankan. Malah, segala keputusan penyediaan kuantiti dan jenis makanan adalah berdasarkan permintaan pelanggan.

C IN Beriani Steam Catering menjalankan perkhidmatan katering di rumah kerana pemesanan boleh dilakukan melalui telefon atau dari mulut ke mulut. Perniagaan perkhidmatan katering dari rumah merupakan satu karier perniagaan yang sesuai terutama kepada keluarga Encik Shalehen yang menggunakan ahli keluarga sebagai pekerja yang mampu berhubung dengan orang ramai. Perkhidmatan katering ini seratus peratus dikendalikan oleh keluarga Encik Shalehen sendiri iaitu ayah, ibu , adik beliau Encik Taufiq yang mempunyai kelulusan dari bidang kulinari KLMU serta dibantu oleh pekerja sambilan yang terdiri dari masyarakat luar mahupun setempat. Beliau tidak mengambil pekerja tetap kerana kadar permintaan pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan katering tidak menentu. Jadi, beliau hanya menggunakan perkhidmatan masyarakat setempat bagi membantu menjalankan perniagaan. Ini sekali gus dapat membantu menambahkan pendapatan masyarakat sekeliling. Namun, keluarga beliau sendiri yang menjadi tunggak utama dalam mengusahakan perniagaan ini bagi menguruskan segala kerja sama ada perkhidmatan secara kecil-kecilan ataupun berskala besar yang merangkumi penghantaran makan tengah hari dari rumah ke rumah,  pejabat, majlis-majlis keraian hari lahir, majlis keagamaan seperti kenduri tahlil atau baca doa selamat, seminar perniagaan atau kursus-kursus, mesyuarat dan sehingga kepada majlis-majlis besar seperti majlis perkahwinan.

2.1 Objektif Penubuhan

1.    Menyediakan perkhidmatan katering berasaskan produk tempatan.
2.    Menjadi antara pengeluar nasi beriani dalam kalangan masyarakat Melayu.
3.    Mengembangkan lagi perniagaan keluarga dan resepi turun-temurun.
4.    Menambahkan pendapatan masyarakat setempat.

2.2 Matlamat Perniagaan

1.   Membawa produk dan perkhidmatan terus kepada pelanggan.
2.   Mewujudkan jaringan perniagaan dengan pelanggan dan bakal pelanggan.
3.  Menjadikan perniagaan C IN Beriani Steam Catering sebagai pengeluar utama produk nasi beriani kepada pengguna.
4.  Mewujudkan lebih banyak cawangan perniagaan C IN Beriani Steam Catering di sekitar Melaka dan seterusnya Negara.


Visi perniagaan C IN Beriani Steam Catering ialah menjadi pengeluar nasi beriani yang terkemuka dan berdaya saing di pasaran negeri dan negara. Manakala misi perniagaan pula adalah menyediakan nasi beriani warisan keluarga serta memperkenalkan makanan tradisional negeri Melaka pada kos yang rendah namun dengan kualiti yang terjaga.

2.3 Projek Pembangunan Perniagaan

Memegang prinsip ‘customer is always right’, perniagaan C IN Beriani Steam Catering mula bertapak sebagai perniagaan yang menyediakan perniagaan katering di sekitar Melaka. Perniagaan ini yang mengkhususkan menu tradisi negeri Melaka mempunyai produk keutamaan iaitu nasi beriani steam yang menjadi warisan En. Shalehen sekeluarga. Perniagaan yang dikendalikan sepenuhnya oleh keluarga En. Shalehen ini mula bertatih melalui tender-tender kerajaan dan swasta seperti Pusat OKU (Ghafar Baba), Hang Tuah Jaya dan majlis berbuka puasa serta tilawah al-quran di Masjid Saidina Ali, Bukit Katil yang dihadiri golongan VVIP. Antara majlis persendirian terbesar yang telah dikendalikan oleh perniagaan ini pula ialah majlis kenduri kahwin di ILP Ayer Keroh.

2.4 Operasi Perniagaan

Demi memenuhi permintaan dan kemampuan pelanggan, C IN Beriani Steam Catering sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan pada kadar yang rendah. Justeru antara langkah yang diambil oleh En. Shalehen sekeluarga adalah dengan mendapatkan sumber bahan mentah daripada pembekal tetap. Jaringan yang sedia ada memudahkan En. Shalehen mendapatkan kepercayaan pembekal seterusnya membeli bahan mentah pada kos yang rendah. Antara lokasi pembekal perniagaan C IN Beriani Steam Catering  ialah Pasar Besar dan Pasar Borong Melaka. Strategi lain adalah sentiasa memastikan produk perniagaannya dapat disediakan dengan kos yang rendah iaitu menyediakan sendiri produk tersebut tanpa mengupah pekerja luar. Meskipun kaedah ini mungkin dikhuatiri kualitinya namun dengan memegang prinsip ‘customer is always right’, C IN Beriani Steam Catering akan menyediakan produk mereka di lokasi majlis jika terdapat permintaan pelanggan.


3.0 Kekuatan dan Kelemahan Projek

Nasi beriani adalah antara salah satu  makanan tradisional masyarakat Melayu sejak turun-temurun lagi. Maka, tidak hairanlah sekiranya nasi beriani tetap menjadi pilihan bagi masyarakat Melayu untuk dijadikan hidangan di dalam majlis keramaian dan sebagainya. Hal ini telah menjadi antara salah satu kekuatan kepada C IN Beriani Steam Catering kerana sambutannya yang menggalakkan daripada pelanggan. Selain daripada nasi beriani, C IN Beriani Steam Catering juga turut menyediakan beberapa juadah yang lain. Sebagai contoh, lauk-pauk seperti asam pedas, kari ayam dan sebagainya. Bukan itu sahaja, pencuci mulut contohnya seperti buah-buahan dan kuih-muih juga turut disediakan. Pemilik katering ini juga memiliki beberapa orang pekerja yang berkebolehan untuk memasak pelbagai jenis lauk-pauk dan kuih-muih tradisional Melayu.

Perniagaan yang dibuka pada tahun 1993 ini merupakan perniagaan turun–temurun dan diwarisi oleh anak pengasas katering ini iaitu Encik Zainal Omar. Beliau telah belajar banyak mengenai selok-belok perniagaan katering melalui ayah beliau. Perniagaan beliau juga mempunyai beberapa orang pelanggan tetap yang sering menggunakan khidmat beliau untuk majlis mereka. Setelah beberapa tahun mengambil alih katering tersebut, beliau kini telah menyerahkan tugas menguruskan katering tersebut kepada dua orang anak beliau yang berumur dalam lingkungan 20-an iaitu Encik Muhamad Shalehen dan Encik Taufiq. C IN Beriani Steam Catering menyediakan perkhidmatan katering untuk pelbagai jenis majlis contohnya majlis perkahwinan, akikah, berbuka puasa, perasmian, jamuan dan sebagainya. Bukan sahaja katering, malahan perkhidmatan sewa khemah, sistem siaraya, gubahan hantaran, fotografi dan andaman juga turut ditawarkan kepada pelanggan bagi memudahkan kerja mereka dalam mengadakan majlis perkahwinan dan sebagainya.

Selain daripada tempahan, beliau juga turut mendapat tender untuk menguruskan beberapa majlis keramaian di sekitar kawasan Melaka. Contoh organisasi yang menggunakan perkhidmatan beliau ialah pusat kebajikan OKU di Melaka. Hal ini lebih menguntungkan bagi beliau apabila pelanggan mula memberi kepercayaan kepada beliau dalam menyediakan makanan untuk majlis mereka.

Setiap perniagaan memiliki beberapa kelemahan dan masalah yang perlu diatasi. C IN Beriani Steam Catering juga tidak terkecuali. Antara kelemahannya ialah kekurangan pekerja apabila banyak tempahan diterima. Hal ini memaksa beliau untuk mengupah pekerja tambahan yang biasanya terdiri daripada orang kampung dan masyarakat setempat. Hal ini menyebabkan pekerja yang kurang pengalaman dan tidak mahir turut sama terlibat dalam penyediaan makanan.

Kelemahan yang seterusnya ialah tiada pekerja yang tetap dan sering bertukar ganti untuk menguruskan majlis. Sekiranya banyak tempahan diterima, kekurangan pekerja akan berlaku dan ini menyebabkan pelanggan sering mengadu tentang ketidakcekapan pekerja dalam memberi perkhidmatan untuk majlis mereka. Seterusnya ialah persaingan antara perniagaan katering lain untuk mendapatkan pelanggan.  Restoran-restoran yang kian bertambah ibarat cendawan tumbuh selepas hujan ini menyebabkan perniagaan beliau sedikit terjejas. Hal ini tidak melemahkan semangat beliau malah membuatkan beliau bertambah bersemangat lagi untuk memastikan perkhidmatan katering beliau sentiasa memuaskan hati pelanggan.


4.0  Impak Sosioekonomi kepada Masyarakat Tempatan dan Negara

Sosioekonomi bermaksud sesuatu yang melibatkan masyarakat, ekonomi atau kedua-duanya. Selain itu, sosioekonomi mesti mempunyai unsur-unsur ekonomi dan sosial (Hugo F. Reading, 1976). Kamus Dewan Edisi Ketiga (1994), sosioekonomi dimaksudkan sebagai sesuatu yang berkaitan dengan masyarakat dan ekonomi yang melibatkan unsur-unsur atau faktor-faktor yang berhubung dengan kemasyarakatan dan ekonomi.

Berdasarkan hasil yang kami peroleh dari tugasan ini, C IN Beriani Steam Catering turut memberi beberapa sumbangan terhadap impak sosioekonomi kepada masyarakat tempatan mahupun negara. Antaranya ialah C IN Beriani Steam Catering telah memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat mahupun luar. Seperti yang kita dapat lihat kini, Malaysia mengalami masalah lambakan penganggur. Pengangguran yang berlaku dalam sesebuah negara akan menimbulkan kesan kepada ekonomi dan sosial. Kesan ekonomi termasuk mengurangkan keluaran negara, merendahkan taraf hidup dan ini sekali gus melambatkan pembangunan sesebuah negara.

Pengangguran yang tinggi juga boleh meningkatkan kadar kemiskinan dalam sesebuah negara. Kesan pengangguran terhadap sosial termasuk pengaruh negatif dalam keluarga dan mewujudkan ketidaktenteraman yang boleh membawa kepada pergaduhan dan penceraian. Ia juga boleh membawa kepada peningkatan jenayah akibat masalah kewangan dan masalah tekanan jiwa dan tiada keyakinan diri. Meskipun masalah pengangguran selalu terjadi akibat siswazah itu sendiri yang terlalu memilih pekerjaan mahupun kekurangan dari segi kemahiran insaniah.

Penawaran kerja oleh C IN Beriani Steam Catering sedikit sebanyak dapat mengurangkan kadar pengangguran itu. Dengan kurangnya kadar pengangguran keluaran negara dapat ditingkatkan, kadar kemiskinan dapat dikurangkan, mengurangkan kegiatan jenayah, meningkatkan taraf hidup seseorang, masyarakat hidup dengan tenteram serta meningkatkan kadar pembangunan negara.

Antara pekerjaan yang ditawarkan oleh C IN Beriani Steam Catering ialah pembantu tukang masak dan pelayan. Dengan adanya peluang pekerjaan yang ditawarkan ini, kemahiran mereka tidak kira dari segi kemahiran insaniah mahupun kemahiran memasak dapat ditingkatkan. Ini adalah kerana pekerja katering selalunya akan berinteraksi dengan masyarakat sekeliling. Oleh itu dengan adanya peluang pekerjaan walaupun gaji yang ditawarkan tidak begitu tinggi, tetapi ia dapat membantu seseorang meningkatkan taraf hidup mereka serta menimba pengalaman.

Selain itu juga impak sosioekonomi C IN Beriani Steam Catering terhadap masyarakat setempat adalah mereka juga dapat membantu menambahkan sumber pendapatan bagi mereka yang sudah mempunyai pekerjaan, contohnya adalah golongan pembekal. Sesebuah katering sememangnya tidak dapat beroperasi tanpa bekalan bahan mentah. C IN Beriani Steam Catering memerlukan bekalan bahan mentah secara berterusan untuk memasak. Bekalan secara terus dari pembekal dapat mengurangkan perbelanjaan yang terpaksa mereka tanggung dan terjamin halal serta kualitinya.


5.0 Permasalahan yang Dihadapi dan Penyelesaiannya

Masalah yang selalu dihadapi oleh perniagaan C IN Beriani Steam Catering ialah kekurangan pekerja (staff) yang tetap. Seperti yang kita sedia maklum, perniagaan C IN Beriani Steam Catering ialah salah satu perniagaan keluarga. Ianya diambil alih oleh ahli keluarga pemilik tersebut. Kekurangan pekerja yang tetap menjadi salah satu masalah utama kepada mereka. Ini kerana pekerja yang sedia ada adalah dari kalangan ahli keluarga terdekat  mereka sahaja. Sebagai contoh tukang masak ialah ibu mereka sendiri iaitu Puan Asiah. Manakala anak-anak mereka akan menolong apa sahaja yang diperlukan. Bagi menghadapi masalah kekurangan pekerja tetap seperti ini, En. Shalehen, iaitu pemilik restoran akan mengupah masyarakat setempat mereka untuk melakukan kerja-kerja memasak seperti memotong bawang dan sebagainya. Di samping itu, ianya juga dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di antara masyarakat setempat.

Masalah seterusnya adalah dari segi kewangan. Perniagaan katering seperti ini memerlukan modal yang sangat besar serta berterusan. Bagi mengatasi malah seperti ini, En. Shalehen mendapatkan bantuan kewangan daripada pihak Industri Kecildan Sederhana (IKS). Bantuan yang diterima akan digunakan untuk perkhidmatan katering seperti membeli bahan-bahan mentah untuk memasak serta peralatan-peralatan yang diperlukan. Pemantauan yang dilakukan oleh pihak IKS juga turut membantu meningkatkan perkhidmatan katering mereka. Kursus-kursus yang telah dijalankan oleh pihak IKS seperti cara-cara untuk menguruskan perniagaan banyak membantu dalam meningkatkan lagi pengurusan perniagaan mereka.

Pada masa kini, perniagaan nasi beriani majoritinya telah dikuasai oleh golongan bukan bumiputera, terutamanya masyarakat India dan mahupun India muslim. Dengan wujudnya pesaing-pesaing seperti ini telah mendorong En. Shalehen untuk lebih memajukan lagi perniagaan nasi beriani mereka. Bagi menandingi pesaing-pesaing tersebut, pelbagai cara telah dilakukan oleh beliau untuk menarik lebih ramai lagi pelanggan. Antaranya adalah dengan mengekalkan makanan tradisional Melayu ini dengan cara-cara masakan orang Melayu dan menggunakan cara steam untuk memasak nasi beriani yang barang kali jarang-jarang kita dengar. Beliau juga turut menyediakan makanan-makanan tambahan seperti buah-buahan, kuih-muih mengikut cita rasa dan kemampuan para pelanggan.

Masalah lain yang sering dihadapi oleh perniagaan mereka adalah  kerana mereka kurang dikenali. Oleh itu, En. Shalehen telah mengambil pelbagai inisiatif bagi mempromosikan lagi perniagaan mereka dengan cara mengadakan promosi-promosi tertentu terutamanya pada   waktu-waktu cuti sekolah kerana pada waktu tersebut terdapat banyak tempahan katering bagi majlis perkahwinan. Beliau juga telah mempromosikan perniagaan mereka dengan menguar-uarkannya melalui laman web sosial Facebook dan juga blog persendirian. Ini juga dapat memudahkan lagi para pelanggan yang ingin memerlukan perkhidmatan katering nasi beriani beliau.


6.0  Cadangan dan Potensi Masa Hadapan

Setiap perniagaan mempunyai cadangan dan potensi yang tersendiri dalam memajukan perniagaan mereka. C IN Beriani Steam Catering juga mempunyai beberapa cadangan untuk menambah baik perkhidmatan dalam perniagaan mereka. Antaranya ialah berhasrat untuk menjadi sebuah katering yang memonopoli perniagaan nasi beriani yang biasanya diusahakan oleh kaum India Muslim. Hasrat untuk menguasai perniagaan katering nasi beriani di Melaka adalah tidak mustahil bagi Encik Zainal Omar dan Encik Muhamad Shalehen iaitu pemilik C IN Beriani Steam Catering kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Mereka akan lebih berusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti. Selain itu, mereka juga akan sentiasa memastikan kehendak  pelanggan dipenuhi. Setiap keinginan pelanggan dalam penyediaan hidangan untuk majlis mereka akan dilakukan dengan sebaik yang mungkin untuk memastikan mereka berpuas hati dengan perkhidmatan katering C IN Beriani Steam Catering.           

Di samping itu, mereka juga akan berusaha untuk memastikan tenaga pekerja sentiasa mencukupi agar kerja-kerja dalam penyediaan makanan berjalan dengan lancar. Setiap perniagaan bergantung pada pekerjanya. Pekerja ibarat jentera yang menggerakkan sesuatu perniagaan. Kekurangan pekerja akan menyebabkan pelanggan tidak berpuas hati dengan perkhidmatan C IN Beriani Steam Catering. Pelanggan sering mengadu tentang sikap pekerja C IN Beriani Steam Catering yang kurang mahir dalam melakukan kerja. Hal ini disebabkan oleh pekerja yang selalu bertukar ganti dan tidak tetap. Oleh itu, mereka berhasrat untuk menubuhkan satu kumpulan pekerja yang mahir dan berpengalaman dalam menyediakan makanan dan melayan pelanggan.

Masalah pekerja yang kurang mahir dapat diatasi melalui penubuhan kumpulan ini kerana pekerja akan menjadi lebih berpengalaman, berkemahiran dan berdisiplin sekiranya mereka bekerja secara tetap. Pelbagai kemahiran dan pengalaman dapat ditimba sekiranya pekerja-pekerja baru dilatih melalui penubuhan kumpulan ini. Sudah tentu hal-hal dalam menguruskan hidangan, hiasan, dan melayan pelanggan akan menjadi lebih mudah, teratur dan efisien kerana mereka sudah dilatih dan diajar dalam kumpulan tersebut.  Kualiti perkhidmatan juga dapat ditingkatkan, sekali gus dapat mengurangkan kritikan daripada pelanggan-pelanggan yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan C IN Beriani Steam Catering. Sikap yang ditunjukkan oleh pekerja-pekerja menggambarkan corak tunjuk ajar pemilik sesebuah perniagaan dan juga mencerminkan imej perniagaan tersebut. Oleh sebab itulah beliau sangat menitikberatkan kemahiran dan disiplin pekerja dalam melakukan pekerjaan.

Beliau berharap melalui penubuhan kumpulan ini, katering beliau berpotensi untuk dimajukan ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Seterusnya, beliau juga bercadang untuk membuka beberapa cawangan di sekitar Melaka. Sekiranya perniagaan beliau bertambah maju, beliau tidak akan teragak-agak untuk mencuba nasib untuk membuka cawangan yang baru. Sebagai jaminan untuk memastikan impian beliau menjadi kenyataan, beliau akan cuba sedaya upaya untuk memastikan pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan beliau kerana bagi beliau pelanggan adalah aset yang sangat penting yang akan menentukan turun naik sesebuah perniagaan. Tidak mustahil sekiranya C IN Beriani Steam Catering dapat dikembangkan lagi ke negeri lain seterusnya ke seluruh negara.


Rujukan

C IN BERIANI STEAM CATERING. Temu bual bersama Encik Muhamad Shalehen Bin Zainal & Encik Taufiq bin Zainal sekeluarga.

FACEBOOK: c in beriani steam

WEBSITE : http://www.c-inberianisteam.com




MZ Zainudin, Nurul Husnina Anuar, Nik Noor Shamimi Nik Hussain, Nurul Huda Shahrom, Nur Hayati Hassan, Wan Roshalawati Wan Roni