Tuesday, October 11, 2016

Pengaruh pakaian tradisional India terhadap hubungan etnik di Malaysia







Zainudin MZ, Khairun Nadiah Kamaruzaman, Nur Athirah Mohammad Yanis, Bibi Nurul Alia Mustafa Kamal, Siti Nur Athirah Basri


1.0 Pengenalan

Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang etnik dan semua etnik tersebut dapat hidup dengan harmoni. Antara tiga etnik utama di Malaysia ialah Melayu, Cina dan India. Etnik-etnik ini telah menetap di Malaysia sejak lebih lima abad yang lalu. Selain itu, Malaysia juga merupakan tanah air kepada sebanyak kira-kira 80 etnik yang lain, terutamanya di bahagian Malaysia Timur.

Malaysia mempunyai pelbagai jenis kain dan pakaian tradisional yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan warna bermula daripada tengkolok bulu burung dan baju kulit kayu hinggalah kepada kain songket diraja yang antik. Seperti masyarakat Malaysia yang lain, etnik India juga mempunyai unsur pemakaiannya yang tersendiri. Terdapat pelbagai cara pemakaian pakaian tradisional India yang mana sesuatu cara pemakaian itu dapat menonjolkan etnik dan ras bagi si pemakai.

Pemakaian pakaian tradisional pelbagai etnik boleh dijadikan sebagai satu cara bagi menyuntik semangat perpaduan rakyat Malaysia. Sikap saling bertolak-ansur dan hormat-menghormati dapat mengeratkan hubungan sekaligus mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai etnik. Tidak kira Melayu, Cina, India atau masyarakat pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak, masing-masing mempunyai pakaian tradisional masing-masing. Cara paling mudah untuk saling menghargai adalah dengan mengenakan pakaian kaum lain.

1.1 Objektif Kajian

Terdapat tiga objektif yang diketengahkan dalam kajian ini. Objektif pertama ialah mengetahui persepsi masyarakat tentang pakaian tradisional India Malaysia. Objektif kedua ialah mengenal pasti kepelbagaian pakaian tradisional India Malaysia dan objektif ketiga ialah mengkaji kesan pakaian tradisional India terhadap hubungan etnik di Malaysia.

1.2 Skop Kajian

Skop kajian yang dilakukan ini melibatkan tiga etnik yang terbesar di Malaysia iaitu kaum Melayu, Cina, dan India yang telah menetap di Malaysia, tidak mengambil kira peringkat umur kerana setiap individu mempunyai pandangan yang berbeza mengenai hubungan etnik seiring dengan taraf pemikiran bagi peringkat umur masing-masing dan memfokuskan kepada pelajar dan staf Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

  
2.0 Sorotan Kajian

Istilah pakaian tradisional merupakan fokus utama yang perlu diberi perhatian sepenuhnya dalam menjalankan kajian ini. Menurut Maruwiah Ahmat (2012), beliau menyatakan bahawa kedatangan kaum India di Tanah Melayu menyaksikan bermulanya gaya pemakaian dari benua India khususnya dalam kalangan Hindu-Sri Lanka-Tamil dan juga keturunan Punjabi-Sikh. Pakaian tradisional kaum India lebih dikenali dengan warna terang dan kaya dengan tenunan dan sulaman benang emas, perak, labuci juga batu-batu permata. Pakaian-pakaian tradisional biasanya ditemui semasa majlis kebudayaan atau perkahwinan.

Selain itu, terdapat juga artikel yang menjelaskan mengenai salah satu pakaian tradisional masyarakat India iaitu sari. Uthaya Sankar SB (2013) menyatakan bahawa untuk menyaksikan pelbagai sari yang menawan adalah menerusi filem-filem Tamil dan Hindi. Sama ada disedari atau tidak, sari berfungsi sebagai media komunikasi tanpa lisan. Mesej tertentu berupaya disampaikan oleh pemakai sari berdasarkan warna dan corak kain, cara pemakaian, jenis kain dan tempat sari dipakai.

Mengulas mengenai pakaian tradisional masyarakat India, ama penting bagi pengkaji untuk mengetahui mengenai asal usul masyarakat India itu sendiri. Menurut Azharudin Mohd Dali (2012), orang India merujuk kepada golongan yang pada asalnya datang dari India, sama ada utara mahupun selatan. Dalam sejarah sebelum kemerdekaan, orang India dirujuk kepada mereka yang datang dari India, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka.

Terdapat juga pandangan daripada tokoh lain mengenai istilah etnik. Menurut Mansor Mohd Noor (2006), konsep etnik berkaitan dengan amalan budaya yang hampir seragam yang diamalkan oleh sekelompok manusia. Mereka yang mengamalkan kebudayaan yang hampir seragam di antara anggota-anggota kelompok manusia itu, disatukan oleh pengalaman sejarah, sistem nilai, sikap dan tingkah laku.


3.0 Metodologi Kajian

Kajian mengenai kepentingan pakaian tradisional India terhadap hubungan etnik di Malaysia dilakukan melalui soal selidik secara atas talian terhadap 30 responden di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi mengetahui sejauh mana kefahaman mereka mengenai pakaian tradisional India. Terdapat empat bahagian dalam soal selidik tersebut. Bahagian A adalah untuk mengetahui latar belakang responden seperti jantina, umur, bangsa, fakulti serta status responden. Bahagian B adalah soalan untuk mengetahui persepsi masyarakat tentang pakaian tradisional India Malaysia. Bahagian C pula merupakan soalan yang berkaitan dengan objektif kedua iaitu mengenal pasti kepelbagaian pakaian tradisional India Malaysia. Bahagian D pula, soalannya adalah berkaitan objektif ketiga iaitu mengkaji kesan pakaian tradisional India terhadap hubungan etnik di Malaysia.


4.0 Analisis Kajian

Bahagian A: Responden

Carta 1A: Berdasarkan carta ini, jumlah keseluruhan responden adalah seramai 30 orang terdiri daripada 13 lelaki dan 17 perempuan.

Carta 2A: Berdasarkan carta ini, responden yang menjawab soalan ini terdiri daripada pelbagai bangsa. Seramai 19 responden adalah berbangsa Melayu. Selain itu, jumlah bangsa Cina dan India yang menjawab soal selidik ini adalah sama banyak iaitu seramai empat orang diikuti bangsa lain seramai tiga orang.

Carta 3A: Seorang responden tergolong dalam peringkat umur 20 tahun dan ke bawah. Bagi mereka yang berumur 20-25 tahun, seramai 26 orang telah menjawab soal selidik ini. Mereka juga merupakan responden yang paling ramai menjawab soal kaji selidik ini diikuti mereka yang berumur 25 tahun dan ke atas iaitu seramai tiga orang.

Graf 1A: Berdasarkan graf ini, seramai 14 responden terdiri daripada pelajar FKP. Selain itu, terdapat juga responden daripada FTK iaitu seramai tujuh orang diikuti responden dari FKM dan KEKK masing-masing seramai empat orang dan dua orang. Selebihnya, FKE, FTMK serta FPTT mencatat jumlah yang sama iaitu seorang.

Carta 4A: Seramai 28 responden adalah terdiri daripada kalangan pelajar UTeM manakala responden yang terdiri daripada staf universiti adalah seramai dua orang.

Bahagian B: Persepsi Masyarakat Tentang Pakaian Tradisional India

Graf 1B: Berdasarkan graf ini, seramai 23 responden sangat bersetuju bahawa setiap etnik di Malaysia mempunyai pakaian tradisional yang tersendiri. Namun begitu, terdapat juga responden yang sangat tidak bersetuju dan tidak pasti iaitu seramai tiga orang daripada kesuluruhan jumlah responden. Hal ini mungkin disebabkan oleh pakaian tradisional setiap etnik turut dipakai oleh etnik lain. Terdapat juga responden yang bersetuju bahawa pakaian tradisional ini dimiliki oleh setiap etnik di Malaysia iaitu seramai empat orang.

Graf 2B: Berdasarkan graf ini, seramai sembilan orang daripada jumlah responden setuju bahawa pakaian tradisional India hanya dipakai ketika musim perayaan. Manakala, seramai enam orang yang sangat bersetuju dan majoritinya adalah seramai 11 orang yang tidak pasti. Walau bagaimanapun, seramai dua orang responden sangat tidak setuju dan dua orang lagi responden tidak setuju bahawa pakaian tradisional India hanya dipakai ketika musim perayaan. Majoriti yang tidak pasti adalah disebabkan oleh pakaian tradisional turut dipakai ketika majlis yang tidak formal seperti majlis perkahwinan.

Graf 3B: Berdasarkan graf ini, majoriti responden tidak setuju bahawa pakaian tradisional India hanya boleh dipakai oleh masyarakat India sahaja iaitu seramai 12 orang. Seramai lima orang responden sangat tidak bersetuju dan sembilan orang adalah yang tidak pasti. Hal ini kerana, pakaian tradisional India turut dipakai oleh etnik-etnik lain seperti Punjabi. Namun begitu, terdapat juga responden yang sangat bersetuju bahawa pakaian tradisional India hanya boleh dipakai oleh masyarakat India sahaja iaitu seramai empat orang.

Bahagian C: Kepelbagaian Pakaian Tradisional India

Graf 1C: Berdasarkan graf ini, majoriti responden tidak pasti bahawa pakaian tradisional India mempunyai persamaan dengan pakaian tradisional Melayu dan Cina iaitu seramai 11 orang responden. Manakala, seramai tujuh orang dan enam orang responden masing-masing tidak setuju dan sangat tidak stuju. Namun begitu, terdapat juga masyarakat yang bersetuju dan sangat bersetuju bahawa pakaian tradisional India mempunyai persamaan dengan pakaian tradisional Melayu dan Cina iaitu seramai enam orang. Hal ini mungkin disebabkan pakaian tradisional India ini turut dipakai oleh kebanyakan etnik yang lain.

Graf 2C: Graf ini menunjukkan jumlah responden yang menjawab penyataan dhoti merupakan pakaian tradisional utama masyarakat India berbanding sari. Seramai empat orang responden menjawab sangat setuju dengan penyataan tersebut dan seramai tiga orang responden menjawab setuju. Manakala seramai 14 orang responden menjawab tidak pasti. Di samping itu, seramai tujuh orang responden menjawab tidak setuju dan dua responden menjawab sangat tidak setuju. Mengikut kajian dhoti dan sari kedua-duanya merupakan pakaian tradisional utama masyarakat India. Dhoti dipakai oleh kaum lelaki, manakala sari pula dipakai oleh kaum wanita.

Graf 3C: Berdasarkan graf ini, seramai 16 orang responden sangat setuju dan seramai lapan orang responden bersetuju dengan kenyataan kurta hanya dipakai oleh golongan lelaki sahaja. Seramai empat orang responden menjawab tidak pasti manakala responden yang menjawab tidak setuju dan sangat tidak setuju mempunyai jumlah responden yang sama iaitu seorang. Mengikut kajian kurta dipakai oleh kaum lelaki, manakala untuk pakaian kaum perempuan pula bernama kurti.

Carta 1C: Jumlah responden yang bersetuju adalah yang paling ramai iaitu seramai 13 orang manakala jumlah responden yang sangat setuju adalah seramai sepuluh orang. Hal ini kerana responden sangat memahami konsep baju sari. Seramai tiga orang responden tidak pasti dan seramai empat orang responden sangat tidak setuju Responden yang menjawab sangat tidak setuju berkemungkinan tidak memahami konsep sebenar sari.

Carta 2C: Berdasarkan carta ini, hanya seorang responden yang sangat tidak setuju dengan kenyataan setiap jenis pakaian tradisional India masing-masing melambangkan agama si penganut dan hanya dua orang responden yang tidak bersetuju. Responden paling ramai menjawab tidak pasti iaitu seramai 13 orang. Responden yang bersetuju pula adalah seramai sembilan orang dan yang menjawab sangat setuju adalah seramai lima orang. Mengikut kajian, sesetengah pakaian tradisional India melambangkan agama si penganut contohnya sari. Sari dan agama Hindu mempunyai kaitan yang rapat bermula di subbenua India iaitu sebuah patung paderi Lembah Indus yang memakai tabir.

Bahagian D: Kesan Pakaian Tradisional India Terhadap Hubungan Etnik

Graf 1D: Berdasarkan graf ini, majoriti responden iaitu seramai 20 responden bersetuju
bahawa pemakaian pakaian tradisional India mampu mengeratkan perpaduan antara etnik di Malaysia. Selain itu, terdapat lima responden yang tidak pasti. Namun begitu, seramai lima responden lagi menyatakan bahawa mereka sangat bersetuju dengan kenyataan pemakaian pakaian tradisional India sememangnya mampu mengeratkan perpaduan antara etnik di Malaysia. Tiada responden yang tidak bersetuju dan sangat tidak setuju mengenai kenyataan di atas. Jelas ternyata bahawa majoriti responden memahami konsep perpaduan antara etnik di Malaysia dari segi pemakaian pakaian tradisional India berbanding yang tidak memahami.

Graf 2D: Graf ini menunjukkan jawapan responden mengenai kepelbagaian pakaian tradisional India memaparkan keunikan masyarakat berbilang etnik di Malaysia. Seramai 13 responden sangat bersetuju berkemungkinan kerana apabila tiba musim perayaan, mereka dapat melihat dengan jelas terdapat pelbagai jenis pakaian tradisional India di Malaysia. Seramai enam responden menyatakan bahawa mereka tidak pasti adakah pakaian tradisional India ini dapat memaparkan keunikan masyarakat berbilang etnik di Malaysia. Walau bagaimanapun, terdapat seorang responden sahaja yang tidak bersetuju manakala tiada responden yang menyatakan sangat tidak bersetuju mengenai kenyataan ini.

Graf 3D: Berdasarkan graf ini, pemakai pakaian tradisional India yang terdiri daripada etnik lain dapat menzahirkan penghormatan terhadap masyarakat India. Seramai 13 responden merupakan majoriti daripada keseluruhan responden bersetuju bahawa pemakai pakaian tradisional India yang terdiri daripada etnik lain dapat menzahirkan penghormatan terhadap masyarakat India. Selain itu, seramai enam responden tidak pasti dan seramai 11 responden daripada keseluruhan responden sangat bersetuju.

Graf 4D: Graf ini menunjukkan kenyataan hubungan sesama etnik dapat dipupuk dengan cara berkongsi budaya dari segi pemakaian pakaian tradisional India. Majoriti responden menyatakan mereka bersetuju iaitu seramai 12 responden dan seramai 11 responden menyatakan mereka sangat setuju. Walau bagaimanapun, terdapat dua responden menyatakan bahawa mereka sangat tidak bersetuju mengenai kenyataan ini.


5.0 Kesimpulan

Terdapat pelbagai budaya dan adat resam di Malaysia bergantung kepada amalan setiap etnik di negara ini terutamanya amalan pemakaian pakaian tradisional ketika majlis dan hari perayaan. Oleh itu, Malaysia mampu mejadi “role model” kepada negara-negara jiran yang lain dalam aspek pemakaian pakaian tradisional.

Rakyat Malaysia perlu mempelajari mengenai kepentingan pakaian tradisional terutamanya pakaian tradisional India terhadap hubungan etnik di Malaysia. Pemakaian pakaian tradisional inilah yang merupakan tunggak utama perpaduan etnik di negara kita dan sekiranya perkara ini diamalkan selalu, ia mampu membuka mata negara-negara luar untuk mencontohi Malaysia.


Rujukan

Azharudin Mohd Dali. (2012). Sejarah masyarakat India di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit    Universiti Malaya.
Mansor Mohd Nor. (2006). Hubungan etnik di Malaysia. Petaling Jaya: Prentice Hall.
Nir Aimidiyana Zuher, “Pakaian tradisional suntik semanat muhibah” diakses dari         http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1154299.
Kisah sehelai sari, http://uthayasb.blogspot.my/2013/02/kisah-sehelai-sari.html.
Pakaian tradisi kaum Semenanjung Malaysia, https://maruwiah.com/category/budaya/pakaian-    tradisional-budaya/.

Monday, October 10, 2016

Perayaan Hari Gawai di Sarawak







Zainudin MZ, Ezzati Nadiah Arpan, Nur Adilah Abdul Rani, Fan Kerry, Elnie Carina Anak Jiga, Chan Hui Teng


1.0 Pengenalan

Sarawak merupakan negeri terbesar di dalam Malaysia. Sarawak terdiri daripada 25 kaum etnik Dayak terutamanya kaum Iban (atau dikenali Dayak Laut) yang merupakan kumpulan etnik majoriti, Bidayuh (Dayak Darat), Orang Ulu seperti Kayan, Kenyah dan Murut dan kaum-kaum etnik yang lain. Dayak di Kalimantan Barat juga menggelarkan perayaan ini sebagai Gawai Padi untuk meraikan tamatnya musim menuai padi dan menandakan permulaan musim penanaman padi yang baru. Hari Gawai juga diraikan sebagai tanda berterima kasih kepada Petara (Tuhan) setiap kali selepas musim menuai. Pada awal sebulan sebelum perayaan diadakan, air tapai yang dikenali sebagai Tuak akan disediakan.

Selepas musim menuai, beras akan digunakan banyak untuk menjamu selera orang ramai dan Petara. Oleh itu, masyarakat Dayak akan menyambutnya dengan mengadakan jamuan disertakan dengan korban babi dan ayam serta ditambahkan lagi dengan daging haiwan buas, ikan dan lauk pauk daripada hutan belantara untuk melayan orang ramai. Pesta Gawai ini biasanya disambut pada akhir bulan Mei atau awal bulan Jun setiap tahun. Terdapat pelbagai jenis Gawai utama yang diraikan termasuklah Gawai Dayak, Gawai Batu, Gawai Benih dan Gawai Ngalihka Tanah.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini ialah mengetahui tahap kefahaman masyarakat berkaitan perayaan Hari Gawai, mengetahui impak perayaan Hari Gawai terhadap masyarakat pelbagai etnik dan mengenal pasti langkah-langkah yang membolehkan perayaan Hari Gawai diketahui oleh seluruh rakyat Malaysia.

1.2 Kaedah Kajian

Kajian ini menggunakan soal selidik dan analisis dokumen. Melalui soal selidik, borang kajian diedarkan kepada 30 responden di Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Borang soal selidik dibahagikan kepada empat bahagian iaitu Bahagian A, B, C dan D dan diedarkan secara atas talian. Bahagian A soal selidik berkaitan tentang maklumat responden, Bahagian B menyentuh kepada objektif satu. Bahagian C pula merujuk kepada objektif dua. Dalam bahagian ini, soalan-soalan berbentuk umum atau pendapat. Bahagian D merujuk kepada objektif tiga. Selain itu kajian ini juga merujuk kepada bahan-bahan ilmiah.


2.0 Sorotan Kajian

Menurut Zulhisham Hishak (2009) dalam Utusan Malaysia, selain masyarakat tani di Indonesia, Korea dan Ghana yang meraikan pesta menuai setiap kali musim menuai, Malaysia juga mempunyai tradisi ini terutamanya di Sabah dan Sarawak. Di Sabah, pesta menuai dikenali sebagai Pesta Kaamatan manakala di Sarawak pula, pesta ini dikenali sebagai Hari Gawai.

Amran dan Hamidah (1993) menyatakan Hari Gawai merupakan upacara atau adat istiadat selepas menuai yang disambut oleh beberapa etnik seperti Dayak, Bidayuh, Kenyah, Kayan, Kelabit, Murut dan kaum-kaum lain. Dan perayaan Gawai ini disambut setiap 1 Jun tetapi ada yang menyambutnya pada akhir bulan Mei.

Dalam artikel Perutusan Khas Gawai Dayak yang diterbitkan oleh Utusan Borneo Online, Perayaan Gawai Dayak merupakan kuasa bagi menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan agama di Sarawak. Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata seperti perayaan-perayaan utama lain seperti Gawai Dayak diraikan bersama oleh semua masyarakat menerusi amalan ziarah-menziarahi.


3.0 Analisis Dapatan Kajian

Jantina

Soalan menunjukkan demografi responden berdasarkan jantina dalam kalangan pelajar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Jumlah keseluruhan responden adalah sebanyak 30 orang. Daripada jumlah ini, seramai 12 responden adalah lelaki bersamaan dengan 40%. Sementara itu, seramai 18 responden bersamaan 60% adalah perempuan.

Bangsa

Terdapat empat kategori bangsa iaitu Melayu, Cina, India dan lain-lain. Daripada 30
responden yang telah disoal selidik, seramai 17 orang berbangsa Cina (55%). Manakala peratusan bangsa Melayu yang disoal selidik adalah sebanyak 26% iaitu seramai tujuh orang. Sementara itu, terdapat seorang responden berbangsa India (3%). Lain-lain bangsa yang disoal selidik adalah seramai lima orang (16%).

Fakulti

Majoriti responden adalah dari FKP iaitu seramai sembilan orang (31%) diikuti responden dari FTK seramai lapan orang (27%) dan empat responden (14%) dari FKEKK. Responden dari FKM, FTMK, FKE dan FPTT mencatat bilangan yang sama iaitu seramai dua responden (7%).


Objektif 1: Mengetahui tahap kefahaman masyarakat berkaitan perayaan
Hari Gawai

Soalan 1 adalah menguji kefahaman masyarakat tentang etnik manakah yang meraikan perayaan Hari Gawai di Sarawak. Berdasarkan analisis data yang diperolehi, seramai 40% responden iaitu tidak mengetahui golongan etnik yang meraikan perayaan Hari Gawai, manakala 33% responden menyatakan tidak pasti dan seramai 27% responden tahu mengenai etnik yang meraikan perayaan Hari Gawai.

Analisis ini disokong dengan kenyataan bertulis oleh responden dan didapati kebanyakan responden menyatakan masyarakat Bidayuh meraikan perayaan Hari Gawai ini manakala segolongan kecil yang menyatakan bahawa semua etnik di Sabah dan Sarawak meraikan perayaan Hari Gawai.

Soalan 2 adalah menguji kefahaman masyarakat mengenai tarikh perayaan Hari Gawai disambut. Berdasarkan data yang diperolehi, seramai 20% responden menyatakan tidak pasti mengenai tarikh perayaan Hari Gawai manakala sebilangan besar responden, 40% menyatakan ya iaitu mengetahui tarikh perayaan Hari Gawai yang jatuh pada hujung bulan Mei atau 1 Jun. Seramai 40% responden menyatakan tidak mengetahui bilakah perayaan Hari Gawai disambut.

Soalan 3 adalah menguji kefahaman masyarakat mengenai tujuan utama perayaan Hari Gawai, data menunjukkan majoriti 77% responden menyatakan ya iaitu responden mengetahui mengenai tujuan utama perayaan Hari Gawai. Seramai 10% responden menyatakan tidak pasti dan seramai 13% responden tidak mengetahui tentang tujuan utama perayaan Hari Gawai.

Berdasarkan ketiga-tiga soalan yang dibincangkan dapat disimpulkan bahawa responden hanya mengetahui tujuan perayaan Hari Gawai disambut. Segelintir masyarakat sahaja yang mengetahui mengenai tarikh dan etnik yang meraikan perayaan Hari Gawai dan sebahagian besarnya tidak mengetahui hal tersebut.

Objektif 2: Mengetahui impak perayaan Hari Gawai terhadap masyarakat
pelbagai etnik

Soalan 1: Carta pai menunjukkan jumlah responden yang menyatakan ya, tidak atau tidak pasti berkenaan pendapat mengenai perayaan Hari Gawai dapat menyatu padukan masyarakat di Sarawak. Seramai 77% responden menyatakan ya pada kenyataan tersebut. Hal ini demikian kerana dengan amalan kunjung-mengunjung dan rumah terbuka akan merapatkan lagi hubungan dalam kalangan masyarakat. Selain itu, sambutan Hari Gawai juga merupakan asas untuk kembali menyatukan masyarakat di Sarawak. Manakala seramai 7% responden menyatakan tidak dan selebihnya seramai 16% responden menyatakan tidak pasti. Hal ini demikian kerana segelintir masyarakat tidak mengendahkan perkara sekeliling yang berlaku dan hanya mementingkan hal masing-masing. Kesimpulannya, perayaan Hari Gawai dapat menyatu padukan masyarakat di Sarawak.

Soalan 2: Carta pai menunjukkan jumlah responden yang menyatakan ya, tidak atau tidak pasti berkenaan pandangan perayaan Hari Gawai dapat menjana ekonomi bagi masyarakat Malaysia. Seramai 47% responden menyatakan ya pada kenyataan tersebut. Hal ini demikian kerana Malaysia mempunyai kepelbagaian etnik dan budaya tersendiri yang menjadi daya tarikan pelancong ke Malaysia. Justeru lawatan pelancong asing ke negara kita memberikan keuntungan besar melalui pertukaran mata wang asing. Kesimpulannya, perayaan Hari Gawai dapat menjana ekonomi bagi masyarakat Malaysia.

Soalan 3:Carta pai menunjukkan jumlah responden yang menyatakan ya, tidak atau tidak pasti berkenaan perayaan Hari Gawai dapat memperkenalkan Sarawak sebagai negeri yang mempunyai pelbagai etnik. Seramai 93% responden menyatakan ya pada kenyataan tersebut. Hal ini demikian kerana negeri Sarawak mempunyai keunikannya yang tersendiri antaranya dari sudut budaya, perayaan, kepercayaan, makanan dan banyak lagi yang menjadi tumpuan sekali gus terkenal dalam kalangan masyarakat dari merata tempat. Kesimpulannya, perayaan Hari Gawai dapat memperkenalkan Sarawak sebagai negeri yang mempunyai pelbagai etnik.

Objektif 3: Langkah-langkah yang membolehkan perayaan Hari Gawai
diketahui oleh seluruh rakyat Malaysia

Responden telah diajukan sebanyak lima soalan berkaitan langkah-langkah yang membolehkan perayaan Hari Gawai diketahui oleh masyarakat Malaysia. Langkah yang pertama iaitu kerajaan memperkenalkan perayaan Hari Gawai kepada rakyat Malaysia melalui pelbagai cara menunjukkan seramai 53% responden mengatakan kurang setuju dengan penyataan ini. Ini menunjukkan usaha kerajaan dalam memperkenalkan perayaan Hari Gawai kepada masyarakat Malaysia masih tidak mendapat perhatian sepenuhnya daripada masyarakat.

Langkah kedua mengenai mengadakan rumah terbuka unutuk memberi kesedaran tentang perayaan Hari Gawai. Majoriti responden iaitu seramai 50% memilih setuju bahawa dengan mengadakan rumah terbuka pada Hari Gawai dapata menambahkan kesadaran orang ramai mengenai Hari Gawai. Hal ini kerana rumah terbuka akan menjadi pusat pertemuan pelbagai kaum sekali gus penglibatan masyarakat dalam perayaan Hari Gawai juga akan bertambah.

Langkah ketiga adalah sambutan Hari Gawai perlu disambut di seluruh negara. Sebanyak 33% peratus responden mengatakan tidak setuju. Hal ini kerana responden berpendapat bahawa jika menyambut Hari Gawai mereka perlu mengikut beberapa adat tertentu masyarakat yang menyambut Hari Gawai.

Majoriti responden seramai 50% memilih sangat setuju untuk langkah keempat iaitu memberi cuti umum pada Hari Gawai bagi seluruh rakyat Malaysia. Cuti umum memudahkan masyarakat untuk mengingati tarikh perayaan Hari Gawai dan dapat merayakan sekali perayaan ini.

Langkah terakhir ialah etnik yang merayakan Hari Gawai hendaklah mengekalkan perayaan ini. Seramai 60% responden sangat setuju dengan penyataan ini. Responden berpendapat sesebuah etnik hendaklah mengekalkan perayaan mereka agar tidak lupus dek arus permodenan.

Kesimpulannya berdasarkan langkah-langkah yang dikemukan, responden memilih langkah terakhir iaitu etnik yang merayakan Hari Gawai hendaklah mengekalkan perayaan mereka sebagai langkah yang paling optimis bagi membolehkan perayaan Hari Gawai diketahui oleh seluruh rakyat Malaysia.


4.0 Kesimpulan

Rumusannya, Hari Gawai disambut oleh masyarakat Dayak di Sarawak sama ada Iban atau Bidayuh untuk meraikan tamatnya musim menuai padi serta tanda berterima kasih kepada Petara. Pesta Gawai juga dikenali sebagai Gawai Dayak dan biasaannya disambut pada akhir bulan Mei atau awal bulan Jun setiap tahun. Pesta Gawai di Sarawak disambut dengan meriah di bandar-bandar dan juga di desa dengan persembahan tarian, minuman tuak 'arak beras', dan bersuka-ria. Pesta Gawai di Sarawak telah disambut secara besar-besaran semenjak tahun 1964.
Perayaan Gawai secara tradisi akan dimulakan selepas upacara persembahan berakhir. Seluruh masyarakat berkumpul sekitar 'ranyai' atau pokok istiadat yang dibawa masuk ke dalam dan diletakkan di serambi umum di rumah panjang. Perayaan berpusat sekitar ranyai dengan makanan dan minuman tuak. Perayaan Gawai merupakan masa untuk semua orang bersuka-ria sambil menjamu hidangan bersama air tuak. Salah satu acara paling menarik pada perayaan Gawai adalah Ngajat Lesong. Penari akan menunjukkan kekuatan dengan mengangkat lesung menumbuk padi dengan menggunakan giginya.

Melalui perayaan hari Gawai ini, terbuktinya Malaysia merupakan sebuah negara yang bercorak demokrasi walaupun terdiri daripada pelbagai jenis etnik. Semua bangsa boleh hidup bersama secara aman disebabkan mereka sentiasa mengamalkan amalan hormat-menghrmati antara satu sama lain. Secara tidak langsungnya, Hari Gawai dapat mengeratkan perhubungan antara etnik disebabkan mereka mengalu-alukan tetamu untuk bersama-sama menyambut perayaan mereka dengan mengadakan rumah terbuka ataupun jamuan.

Cadangan pertama ialah semua etnik digalakkan untuk memahami ,menghayati dan menyertai hari perayaan etnik lain. Sebagai contoh, pada Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina ataupun Hari Deepavali mereka boleh kunjung-mengunjungi antara satu sama lain. Tindakan ini menyumbang kepada pembinaan hubungan yang lebih baik dengan etnik lain. Pada masa yang sama pula, semasa mengadakan rumah terbuka tuan rumah haruslah bertimbang rasa dengan menyediakan makanan yang halal khasnya untuk kaum Melayu. Dalam keadaan ini, mereka akan berasa mereka sentiasa dihormati dan sebaliknya mereka akan bergaul rapat dengan kita.

Di samping itu, untuk mengeratkan perhubungan antara etnik ,kerajaan perlu mewujudkan satu hari khasnya untuk meraikan Hari Gawai. Tindakan ini perlu diambil disebabkan kebanyakan orang tidak mengetahui bilakah Hari Gawai akan diraikan ataupun manakah masyarakat yang meraikannya. Justeru jika mereka mengingati Hari Gawai, mereka akan mengambil berat terhadap hari perayaan etnik lain.

Bukan begitu sahaja, pihak media juga patutlah menghebahkan Hari Gawai di media massa. Hal ini kerana pengaruh media massa membawa kesan yang amat besar terutamanya kepada masyarakat yang canggih sekarang. Dengan itu, kita boleh mengetahui bahawa hari ini merupakan hari perayaan kepada satu etnik dalam masa yang singkat sahaja.


Sunday, October 09, 2016

Rasuah musnahkan negara







Sektor perkhidmatan merupakan ruang yang sangat mudah untuk memberi dan menerima rasuah dalam pelbagai bentuk. Biasanya adalah wang tunai dalam jumlah tertentu seperti dipersetujui, barangan atau produk yang setara, imbuhan cuti, akses mudah kepada tender tertentu, habuan wanita, hartanah, barang kemas atau kenaikan pangkat di samping tawaran komisyen yang tinggi.

Rampasan wang tunai, barang kemas, kereta mewah, jam tangan, beg, geran tanah dan akaun simpanan dalam kes rasuah di Sabah baru-baru ini sangat mengejutkan semua orang di seluruh negara. Suspek dalam kes ini adalah pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan negeri yang telah lama mengumpul kekayaan tidak sah untuk kepentingan diri dan keluarga masing-masing. Rumusan yang kita boleh buat dalam kes ini ialah jawatan tinggi menjadi batu loncatan untuk menambah kekayaan.

Rasuah melalui salah guna kuasa tidak mengenal rupa bangsa atau anutan agama. Bermulanya rasuah ialah apabila pengurusan ekonomi berada dalam keadaan pincang. Agihan pendapatan dan perbelanjaan negara tidak seimbang dan menjadi halangan utama kepada pembangunan ekonomi. Sama ada menjadi lebih baik atau lebih teruk, peranan negara dalam mengurus ekonomi telah berkembang dalam pelbagai cara selepas beberapa dekad.

Pada tahun 1913, terdapat 13 buah ekonomi utama dunia yang membentuk 12 peratus daripada KDNK dunia. Jumlah ini meningkat kepada 43 peratus pada tahun 1990. Peningkatan ini dikaitkan dengan percambahan laba di bawah kawalan negara dan pengenalan pelbagai cara menambah pendapatan negara terhadap rakyatnya.

Negara-negara besar dunia tidak semestinya menunjukkan kaitan langsung terhadap rasuah yang lebih canggih dan kompleks kerana terdapat faktor-faktor lain yang menjadi indikator kepada amalan rasuah yang sangat kurang dalam negara. Contohnya ialah negara-negara Nordik seperti Finland yang mana peluang untuk mendapat bayaran perkhidmatan secara tidak sah adalah sangat luas kerana interaksi pihak awam dan swasta yang kerap. Di negara-negara ini, urusan lesen dan permit dilakukan secara dalam talian seperti mendapatkan pasport, membayar cukai, daftar hartanah, kelulusan membina rumah dan perdagangan asing. Kebanyakan urusan ini melibatkan transaksi kewangan jutaan ringgit setiap hari yang diselia oleh pegawai. Namun, kerenah birokrasi tidak menjadi isu.

Beberapa kajian di seluruh dunia menunjukkan entiti perniagaan memperuntukkan masa dan sumber mereka untuk menguruskan kerenah birokrasi ini. Wujud persepsi bahawa rasuah adalah kaedah untuk menjimatkan masa dan meningkatkan kecekapan, malah di sesetengah negara, rasuah adalah satu pilihan untuk mengelakkan persaingan korporat.

Tidak dapat disangkal lagi jika sistem perundangan dan ekonomi tidak berfungsi di samping peraturan sedia ada yang membebankan, ia menjadi galakan kepada individu dan syarikat untuk memberi rasuah. Peraturan yang semakin menggila akan mendorong orang ramai melanggar peraturan berkenaan. Satu perkara buruk yang dilakukan berterusan secara tersiratnya menganggap bahawa kerajaan sangat bermotivasi dan komited kepada pelaksanaan dasar-dasar yang menjurus kepada pembangunan ekonomi.

Hakikatnya ialah banyak dasar negara yang dicanangkan adalah untuk faedah kelompok elit sahaja. Justeru di sini, rasuah boleh dikaitkan sebahagiannya dengan tindak balas terhadap gangguan pasaran, kerenah birokrasi, peraturan yang mengada-ngada dan melampau serta dasar yang lemah. Akibatnya sangat ketara iaitu menimbulkan masalah sosial dalam masyarakat.

Sistem cukai itu sendiri selalu dianggap punca rasuah khususnya apabila pentafsiran terhadap undang-undang yang berkaitan adalah tidak jelas atau sukar difahami, memberi ruang kepada pemeriksa cukai dan juruaudit mentafsir dapatan mereka mengikut kefahaman sendiri. Undang-undang cukai yang tidak jelas mewujudkan unsur-unsur kompromi yang tidak sihat antara pemeriksa cukai dengan pembayar cukai.

Lebih umum lagi, terdapat beberapa cara dalam agensi kerajaan seperti penggubalan dasar yang mencetuskan insentif kepada kecenderungan melakukan rasuah. Contohnya, pengenalan subsidi yang menjadikan harga barangan di bawah paras harga sebenar sebagai bibit awal kepada amalan rasuah yang subur. Begitu juga dengan memberi permit atau menyediakan kouta import dan eksport yang mana membenarkan jurang melebar antara harga tempatan dan harga antarabangsa.

Sesetengah kes rasuah ditawarkan sebagai bayaran insentif kepada anggota perkhidmatan awam. Ia boleh berlaku dalam pelbagai cara seperti “duit kopi” iaitu amalan yang diterima umum di sesetengah negara untuk mempercepatkan proses transaksi, kelulusan dan sebagainya. Jika lebih banyak “duit kopi” yang diberi, urusannya lebih lancar, jadi kadangkala “duit kopi” juga disebut “pelincir”.

Rasuah yang berlaku di Malaysia, suatu hari nanti, pasti akan meruntuhkan kuasa politik penguasa sedia ada kerana kesan rasuah umpama satu rantaian. Ia memusnahkan persepsi positif dan memberi tekanan kepada kehidupan sosial rakyat. Perkaitan rasuah dan akhlak pemimpin akan akrab dan lama-kelamaan penguasa ini hilang pengaruh walaupun mereka berusaha memberi wang dan menyogok rakyat dengan pelbagai bentuk hadiah.

Akibat rasuah yang melanda sesebuah masyarakat atau negara ialah kezaliman terhadap rakyat. Apa sahaja yang diperlukan oleh rakyat untuk hidup sejahtera, aman dan tenteram tidak akan dapat dirasai jika pemimpin melakukan rasuah dan mencuri wang negara secara terang-terangan.


Friday, October 07, 2016

Kesedaran patriotisme dalam kalangan Gen-Y







Zainudin MZ, Mohamad Mustaqim Yacob, Mohamad Rafi Bin Malik, 
Saad'dudin Nordin, Firdaus Amran, Khoirey Mat Lazim


1.0 Pengenalan

Malaysia sudah mencapai kemerdekaan selama 58 tahun setelah negara kita bebas daripada penjajahan kuasa Barat. Hasil usaha dan pengorbanan yang telah dilakukan selama ini haruslah kita sentiasa kenang dan hargai sehingga kini, khususnya Generasi Y (Gen-Y) yang kian mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.

Patriotisme ialah boleh kita tafsirkan sebagai sikap, semangat dan tindak-tanduk yang menjurus kepada gagasan dan usaha mengawal kepentingan, maruah dan kedaulatan bangsa dan negara dalam pelbagai bidang kehidupan ekonomi, politik, sosial, hubungan antara bangsa, kedaulatan, kebudayaan, agama, keselamatan, undang-undang, dan sebagainya. Seseorang yang patriotik sangat prihatin terhadap untung nasib negaranya. Dia akan mudah tercuit dengan sebarang bentuk ancaman atau tindakan yang seakan memperlekehkan negaranya dan mudah terpanggil untuk bertindak balas atau melakukan sesuatu.

Patriotisme atau sifat patriotik juga harus merangkumi usaha-usaha yang dapat meningkatkan martabat bangsa dan negara serta menyumbang kepada ketamadunan manusia seperti penerokaan dan perkembangan ilmu pengetahuan, sains dan teknologi, model dan kaedah-kaedah pembangunan, kerukunan hidup (seperti perhubungan etnik dan ras), keadilan sosial, keamanan dan kesejahteraan sejagat. Patriotisme digalakkan kerana ia menjamin ketahanan nasional. Ia juga dilihat sebagai satu-satunya tenaga yang mampu mempertahankan negara daripada sebarang bentuk ancaman (dari dalam dan luar negera) dan dengan itu memastikan kestabilan dan kelangsungan sesebuah negara-bangsa.

Gen-Y ialah kelompok yang dilahirkan antara tahun 1980 hingga 2000. Selain itu, generasi remaja masa kini yang lahir ketika dunia kaya dengan ledakan maklumat, komputer malahan informasi serba canggih dan serba cepat dan sentiasa menjadikan gajet-gajet iaitu komputer dan telefon pintar sebagai suatu keperluan dan amat penting.

Kehidupan yang serba senang dan mudah dalam kalangan generasi muda masa kini adalah satu faktor yang dikhuatiri mengurangkan semangat patriotisme mereka. Pelbagai kemudahan sosial, kemajuan ekonomi, kehadiran berbagai-bagai barangan dan perkhidmatan di pasaran dan aneka bentuk hiburan, semua ini boleh melekakan generasi muda daripada hal-hal yang lebih serius seperti soal kedudukan dan kemajuan bangsanya atau peranan dan tanggungjawabnya terhadap masyarakat dan negara. Mereka mungkin asyik atau mudah dibuai oleh segala kesenangan dan kemewahan hidup demikian sehingga tidak terpanggil untuk memberikan sumbangan kepada pembangunan bangsanya atau beranggapan bahawa soal pembangunan, kemajuan dan masa depan bangsa dan negaranya bukan bidang yang menuntut perhatian mereka.

Semangat patriotisme dan cintakan negara bukanlah perkara yang mampu timbul sendiri dalam diri setiap individu. Ia perlu dipupuk dan disemat ke dalam diri seseorang sejak kecil lagi agar jiwa mereka sebati dengan perasaan itu. Nilai patriotisme yang menjadi sebahagian daripada nilai murni, sekiranya dapat dijiwai dan diamalkan sebaik mungkin, ia akan dapat menyumbang ke arah pembentukan generasi yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Oleh itu, adalah sangat wajar bagi generasi muda khususnya menjadikan nilai patriotisme sebagai amalan atau pegangan serta disemai dalam jiwa segenap lapisan masyarakat Malaysia demi kelangsungan negara dalam menghadapi era pasca modenisme dan dikenali sebagai masyarakat majmuk.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini ialah mengetahui tahap patriotisme Gen-Y masa kini, mengetahui cabaran-cabaran Gen-Y untuk menghayati nilai-nilai Patriotisme dan mengetahui faktor-faktor yang mendorong peningkatan tahap patriotisme Gen-Y.


2.0 Kaedah Penyelidikan

Bagi melengkapkan kajian ini, borang soal selidik telah diedarkan melalui internet dan sebanyak 12 soalan telah dikemukakan bagi memenuhi dan menjawab objektif kajian. Seramai 50 respondan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka dari pelbagai fakulti iaitu lelaki dan perempuan diperlukan untuk menjawab soalan-soalan yang telah dikemukakan.


3.0 Hasil Kajian dan Cadangan

Hasil kajian yang dijalankan telah menunjukkan bahawa kebanyakan pelajar pada masa kini mempunyai tahap patriotisme yang baik. Mereka masih memahami maksud patriotisme dan menunjukkan ciri-ciri rakyat Malaysia yang berwawasan dan bersemangat patriotik. Bagi isu mengetahui cabaran-cabaran Gen-Y untuk menghayati nilai-nilai patriotisme, majoriti bersetuju bahawa pada masa kini cabaran-cabaran untuk melunturkan semangat patriotisme sangatlah kuat. Kebanyakan responden mempersetujui faktor faktor yang mendorong peningkatan tahap patriotisme Gen-Y supaya nilai patriotisme itu masih kekal dalam diri Gen-Y yang kian mendapat perhatian pada masa kini.

Antara langkah-langkah yang boleh diambil untuk memupuk semangat patriotisme adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum dan kokurikulum di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, remaja akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal atau pun tidak formal sama ada di dalam kelas mahu pun di luar kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari Gen-Y di institusi pengajian tinggi. Selain itu, kita perlu menanamkan kesedaran tentang pentingnya memelihara kedaulatan dan kemerdekaan negara sejak usia masih muda.

Gen-Y perlu menyertai program yang dilakukan oleh pihak kerajaan. Contohnya remaja kini perlu menyertai Program Latihan Khidmat Negara bagi lepasan sekolah menengah, dalam universiti pula dengan menyertai Pasukan Sukarelawan Siswa/Siswi Polis (SUKSIS) dan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES). Program ini dipenuhi dengan aktiviti yang memupuk semangat patriotik seperti kawad kaki dan latihan berkumpulan. Program ini juga merupakan gabungan latihan ketenteraan dan memupuk semangat patriotik kepada mereka ke arah cinta akan negara. Pelatih-pelatih akan dapat mempelajari nilai-nilai murni seperti tanggungjawab, kerjasama dan hormat-menghormati. Pelatih akan bercampur gaul dengan pelatih lain yang berbilang kaum, budaya dan agama yang berbeza. Hal ini akan dapat memupuk semangat perpaduan yang merupakan elemen yang penting dalam semangat patriotik seperti pepatah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Di samping itu, program ini akan dapat melahirkan generasi yang mengetahui hal kenegaraan yang berkaitan dengan kerajaan dan kedaulatan negara.

Di samping itu, semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Hal ini demikian, remaja bersifat suka meniru dan terikut-ikut dengan sesuatu tindakan atau perilaku, dengan ini pemimpin-pemimpin sama ada di peringkat negara mahu pun di peringkat masyarakat perlu menunjuk teladan yang baik. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.

Kesimpulannya, semangat patriotik sangat penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain.


4.0 Kesimpulan

Natijahnya, kesedaran patriotisme sangatlah penting pada masa kini terutamanya generasi muda sekarang. Semangat patriotisme sangat penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotisme yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Justeru, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotisme dapat dipupuk dan memberi kesedaran dalam kalangan Gen-Y pada masa kini.


Rujukan

Lee Lam Thye. (2015). Membangun masa depan melalui sejarah lampau. Utusan Malaysia. Diakses di http://www.utusan.com.my/rencana/membangun-masa-depan-melalui-sejarah-lampau.

Azizan Bahari. (2009). Generasi muda dan patriotisme. Diakses di http://www.sukarelawanmalaysia.com/v1/artikel-teks-pembentangan/33-generasi-muda-dan-patriotisme.html.

Cikgu Anelyza SPM. (2009). Usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Diakses di http://anelyza.blogspot.my/2009/09/usaha-usaha-untuk-meningkatkan-semangat.html.

https://www.scribd.com/doc/307640558/contoh-karangan


Thursday, October 06, 2016

Kumpul harta sementara berkuasa







Wang tunai RM53.7 juta, Sembilan kereta mewah , jam tangan mahal, barang kemas dan 94 buah beg tangan berjenama- rampasan terbesar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam sejarah penubuhan agensi itu selama 49 tahun. Wang sebanyak ini mengambil masa selama 15 jam yang dikira oleh 30 orang.

SPRM juga sedang berusaha membuka lima peti simpanan di bank dan telah menjumpai 127 hartanah yang bernilai jutaan ringgit.

Keseluruhannya, SPRM merampas RM114 juta dalam kes rasuah paling besar dalam sejarah Malaysia. Dua orang suspek dari jabatan agensi kerajaan negeri Sabah iaitu pengarah dan timbalan pengarah ditahan kerana disyaki mengumpul kekayaan luar biasa sejak 2010.

Kejayaan SPRM ini bermula setahun lalu apabila menerima maklumat daripada orang ramai terhadap sikap pilih kasih dua pegawai berkenaan berkenaan pemberian projek kerajaan persekutuan kepada kontraktor. Projek sebanyak RM3.3 bilion diagihkan kepada sanak-saudara suspek dan mengenepikan peluang kontraktor-kontraktor lain.

Kerajaan persekutuan membelanjakan jutaan ringgit untuk menambah baik sistem pengairan di Sabah dari segi rawatan loji, pemasangan paip baru dan menggantikan saluran paip lama. Kos untuk kerja-kerja menambah baik saliran ini melibatkan jutaan ringgit. Antaranya pembinaan loji rawatan air dan pemasangan saluran paip di Beaufort yang berjumlah RM226 juta di samping RM350 juta untuk Jabatan Air Sabah melaksanakan projek mega di negeri itu yang merangkumi Beaufort, Kundasang, Semporna dan Keningau.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah juga mengumumkan peruntukan RM48 juta untuk pembinaan loji rawatan air do Moyong, Penampang.

Siri pendedahan rasuah di Malaysia semakin kerap. Sebelum ini hanya melibatkan agensi penguatkuasa seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan, kini merebak pula ke jabatan kerajaan yang melibatkan pegawai kanak seperti pengarah dan timbalan pengarah.

Kedudukan Malaysia dalam World Corruption Perceptions Index 2015 adalah pada kedudukan 54 daripada 168 negara. Laporan majalah TIME pada 17 Mac 2016 menyenaraikan Malaysia sebagai salah satu daripada lima negara yang melibatkan rasuah dengan politik. Ian Bremmer, penulis artikel berkenaan meletakkan Malaysia di tangga kedua selepas Brazil dan mengaitkannya dengan keinginan untuk mengekalkan kuasa perdana menteri Najib Razak. Pada 2009, Najib Razak menjadikan 1MDB sebagai institusi pelaburan asing untuk meningkatkan ekonomi negara. Pada 2015 pula, didapati 1MDB telah berhutan $11 bilion. Ketika proses siasatan dilakukan, didedahkan sebanyak $681 juta telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib Razak. Najib sendiri mengakui menerima wang yang banyak tetapi beliau menyatakan wang berkenaan telah diderma oleh keluarga diraja Arab Saudi.

Kes yang lebih mendukacitakan ialah apabila Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendedahkan seorang pegawai tinggi Malaysia yang juga saudara rapat kepada Riza Aziz terlibat dalam mencuri wang 1MDB.

Penglibatan kakitangan awam, swasta dan orang perseorangan dalam rasuah semakin menjadi-jadi hingga timbul kata-kata seloroh “rasuah halal di Malaysia”. Ia sangat menyakitkan telinga tetapi itulah reaksi masyarakat terhadap salah guna kuasa untuk mengumpul kekayaan dan kesenangan diri dan keluarga.

Dalam kes rasuah di Sabah ini, dua suspek berkenaan perlu dibawa ke muka pengadilan manakala syarikat kontraktor dan nama-nama yang tersangka wajar disenarai hitam daripada sebarang kontrak di seluruh Malaysia.

Rampasan jutaan ringgit di pelbagai tempat menunjukkan suspek sudah sedar bahawa mereka sedang diintip tetapi tidak sempat untuk disembunyikan. Ia memberi gambaran pelaku akan melakukan apa sahaja untuk melepaskan diri namun kecepakan dan ketangkasan pasukan penyiasat berjaya mendedahkan siapa dalang yang merancang rasuah ini.

Di China, undang-undang rasuah biasanya menetapkan hukuman mati.


Wednesday, October 05, 2016

Cabaran dan penyelesaian perkahwinan campur di Malaysia







1.0 Pengenalan

Perkahwinan campur merupakan perkahwinan antara dua pihak yang berlainan agama, bangsa malah kewarganegaraan. Ia merupakan perkahwinan yang melibatkan penyatuan antara dua insan dari golongan berbeza sama ada agama atau bangsa yang juga dipanggil epistonologikal. Perkahwinan campur telah lama dipraktikkan dalam sejarah terutamanya untuk mengeratkan hubungan antara negara, contohnya perkahwinan Puteri Hang Li Po dengan Sultan Mansur Shah. Oleh itu, perkataan kahwin campur adalah tidak asing bagi rakyat Malaysia. Masyarakat majmuk di Malaysia adalah kesan daripada perkahwinan campur di Malaysia sejak dulu hingga kini. Islam juga tidak melarang sebarang bentuk perkahwinan termasuklah perkahwinancampur asalkan ianya menurut kehendak syarak, seperti dinyatakan dalam ayat al-quran,

“Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuanlain dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka berkahwinlah dengan seorang sahaja”. (Surah An-Nisaa’ ayat 3)


2.0 Sorotan Kajian

Terma perkahwinan campur pada mulanya digunakan oleh pihak gereja katholik bagi menyatakan sebuah ikatan perkahwinan yang melibatkan orang kristian dengan orang bukan kristian. Pihak Barat juga menyifatkan budaya sebegini sebagai epistonologikal. Namun kini, trend budaya perkahwinan campur kelihatan semakin meningkat dan fenomena ini dapat dilihat khususnya di Malaysia yang sering dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai etnik. Dalam konteks Malaysia pula, perkahwinan campur merupakan sebuah perkahwinan yang melibatkan penyatuan antara pasangan yang berlainan kaum dan agama.

Perkahwinan campur boleh diklasifikasikan kepada tiga jenis iaitu perkahwinan campur antara kaum, perkahwinan campur antara negara dan perkahwinan campur antara agama. Perkahwinan campur antara kaum ialah sebuah perkahwinan yang mana ianya melibatkan dua orang individu yang berlainan kaum. Sebagai contoh, seperti perkahwinan Melayu dengan Cina serta kaum Cina dengan India yang membentuk Chindian. Perkahwinan campur antara agama pula ialah sebuah perkahwinan yang melibatkan dua orang individu yang menganut agama yang berbeza, sebagai contoh, seseorang yang beragama Islam berkahwin dengan individu beragama Buddha.

Perkahwinan campur di Malaysia telah diperkenalkan pada kurun ke-15 lagi iaitu sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Hal ini dapat dilihat melalui perkahwinan campur yang melibatkan golongan diraja iaitu Kesultanan Melayu Melaka, Sultan Mansur Shah China dan Puteri Hang Li Po. Perkahwinan sebegini dilaksanakan bagi membina dan mengukuhkan hubungan diplomatik antara dua buah negara, iaitu Tanah Melayu dengan negara China. Hasil daripada perkahwinan antara Puteri Hang Li Po dengan Sultan Mansur Shah, maka wujudnya sebuah terma baharu bagi budaya perkahwinan campur antara orang Melayu dan Cina di Melaka yang dikenali sebagai masyarakat baba-nyonya.

Pelbagai faktor yang mempengaruhi peningkatan trend perkahwinan campur antara pelbagai etnik di Malaysia. Antaranya adalah kerana suasana negara Malaysia mempunyai masyarakat majmuk menjadi faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan trend fenomena berkenaan. Selain itu, wujudnya perasaan cinta antara kedua-dua orang individu walaupun berlainan bangsa dan agama. Selanjutnya, faktor ekonomi, globalisasi informasi, pendidikan dan sebagainya turut menyumbang kepada jumlah peningkatan berlakunya perkahwinan campur di Malaysia.

Ada juga yang mengatakan bahawa individu yang terlibat mula berkenalan dengan individu yang berlainan bangsa atau agama melalui laman sosial seperti facebook, instagram dan sebagainya. Dari situ wujudnya perasaan cinta dan seterusnya mengambil keputusan mengikat tali perkahwinan dengan kewujudan restu daripada kedua ibu bapa dari kedua-dua pihak. Ada juga yang terpengaruh dan berhasrat untuk melaksanakan perkahwinan campur kerana terkesan dengan cara hidup orang Islam.

Islam tidak melarang perkahwinan campur dengan syarat pasangannya mestilah memeluk Islam terlebih dahulu dan pasangannya itu harus memelihara keislamannya dan keimanannya sehingga ke akhir hayat.

Hal ini juga pernah dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W dalam hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud,

“Perempuan dikahwini kerana empat perkara, iaitu kerana harta, keturunan, kecantikan atau agamanya. Maka pilihlah perempuan yang beragama kerana kamu memerlukannya”.

Berdasarkan maksud hadis di atas, Islam membenarkan sebarang perkahwinan campur dengan syarat kita hendaklah memilih calon suami atau isteri seperti yang telah digariskan dalam Islam dan ini meliputi semua bangsa.

Melalui perkahwinan campur, seseorang individu dapat mempelajari budaya baru keluarga mertuanya dan ini membantu dalam merapatkan hubungan etnik antara dua kaum yang berbeza. Segala nilai positif yang dapat dipelajari melalui budaya kaum lain perlulah kita terapkan dalam kehidupan seharian. Melalui perkahwinan campur juga, kita dapat menyebarkan ajaran Islam secara tidak langsung dengan menunjukkan teladan yang baik dan serta ajaran positif yang sering diterapkan dalam Islam.

Perkahwinan campur di negara kita amatlah digalakkan kerana melalui budaya ini, hubungan etnik antara kaum lain dapat diperkukuhkan selain dapat menjamin kestabilan dan keamanan sesebuah masyarakat yang berbilang kaum seperti yang terdapat di Malaysia.

Perkahwinan antara kaum sepatutnya membantu dalam memelihara identiti sesebuah kaum dan bukan menghapuskan identiti kaum tersebut. Perkahwinan campur dapat dilaksanakan sekiranya terdapat wujudnya sikap toleransi yang tinggi serta sifat hormat-menghormati antara kedua-dua belah pihak kelurga sebelah lelaki dan perempuan serta dalam pasangan itu sendiri.

Tidak dapat dinafikan juga bahawa timbul pertikaian dan pelbagai isu sosial yang bermasalah apabila budaya sebegini diperkenalkankan kepada umum khususnya apabila ianya melibatkan faktor agama. Pemikiran yang sempit menjadi faktor yang menghalang berlakunya sesebuah perkahwinan campur. Justeru, sebuah perkahwinan campur tidak boleh dilaksanakan sekiranya terdapat pemaksaan budaya sesuatu kaum terhadap kaum yang lain. Jika hal-hal ini dititikberatkan, maka sesebuah perkahwinan campur memang terbukti dapat membantu mengeratkan hubungan antara kaum.

Budaya perkahwinan campur di Malaysia mempunyai kesan yang positif kepada masyarakat Malaysia sekiranya mereka bersikap lebih terbuka kerana dikatakan bahawa perkahwinan merupakan antara kunci utama dan cara yang efektif yang boleh menyumbang kepada pengukuhan perpaduan antara kaum di Malaysia.


3.0 Kaedah Penyelidikan

Kajian ini menemubual tiga orang responden tentang cabaran dan penyelesaian perkahwinan campur di Malaysia.


4.0 Hasil Kajian

Perkahwinan campur dalam kalangan masyarakat di Malaysia meninggalkan impak bukan sahaja terhadap kedua-dua pihak yang terlibat tetapi juga terhadap masyarakat dan sebuah negara. Penemuan dan perbincangan yang telah didapat dua kesan iaitu kesan positif dan kesan negatif.

Pertama, kesan positif ialah pasangan dan seluruh keluarga yang terlibat perkahwinan campu akan berpeluang untuk dapat berkenalan, mempelajari dan memahami adat, amalan tradisi di antara satu sama lain. Maka, mereka akan lebih menghormati antara satu sama lain. Perkahwinan campur akan dapat meluaskan kenalan keluarga dan pandangan hidup. Di samping itu, dapat anak yang menghasilkan dari perkahwinan campur lebih cantik dan comel. Ini kerana percampuran gen di antara ibu dan bapa yang berlain kaum.

Dari aspek masyarakat, perkahwinan campur dapat menyebarkan dakwah keagamaan, misalnya agama Islam. Apabila seorang yang bukan muslim berkahwin dengan orang yang muslim, pihak perlu menukar agamanya kepada agama Islam. Tindakan ini akan dapat menyebarkan agama Islam yang murni dan dapat dipelajarkan oleh pihak yang bukan Muslim tersebut. Selain itu, anak-anak yag lahir dari perkahwinan itu juga beragama Islam. Tambahan lagi, kepada generasi yang lahir dari perkahwinan campur juga tidak bersikap perkauman dan berfikiran terbuka terhadap budaya lain. Dari aspek negara pula, perkahwinan campur dapat memupuk sikap keharmonian dan keperpaduan di antara kaum-kaum di negara ini. Aspek ekonomi perkahwinan campur juga dapat dijana melalui pelbagai upacara perkahwinan yang dijalankan.

Walapun perkahwinan campur dapat kebaikan tetapi perkahwinan campur juga dapat membawa keburukan kepada masyarakat dan negara. Kepada masyarakat yang berfikiran tertutup, mereka menganggap perkahwinan campur merupakan perkara yang tidak baik. Perkahwinan campur dapat memupuk pesefahaman antara pelbagai kaum dan menghilang sifat hormat-menghormati. Tambahan lagi, sifat ketoleransi akan semakin hilang antara kedua-dua pihak. Pegangan agama juga mudah goyah dan senang sesat disebabkan terikut-ikut budaya asing yang berbuka. Di samping itu, kemungkinan akan timbulkan masalah komunikasi antara pasangan dan ahli keluarga. Tindakan ini mungkin menyebabkan pasangan tersebut akan kembali murtad dan anak-anak akan menjadi mangsa perebutan di antara ibu dan ayahnya. Jika salah satu pasangan yang bukan muslim akan lebih sukar untuk menerima sesetengah adat serta amalan yang mereka lakukan. Contohnya, pasangan tersebut dari negara Barat lebih sukar menukar amalan yang dikira sebahagian kehidupan mereka. Meminum arak, berzina, berpakai pakaian yang kurang sopan dan berjudi adalah di antara amalan yang sukar dihapuskan.

Tambahan lagi, masalah yang mungkin timbul berkaitan dengan adat istiadat dan menyebabkan pasangan mengalami kesukaran untuk menyesuai diri dengan adat istiadat paasangan mereka. Dari aspek masyarakat, perkahwinan campur dapat mewujud masalah perbalahan kaum disebabkan oleh sikap prejudis terhadap kaum lain. Jika terdapat halangan keluarga, keluarga pasangan tidak setuju pasangan bertukar agama lain. Biasanya, masyarakat Melayu tidak mengalakkan anak mereka berkahwin dengan bangsa lain seperti India kerana sering didera atau dipukul. Mereka akan menghalang anak-anak mereka berpegang agama Islam. Justeru, masyarakat Melayu lebih suka membina hubungan erat dalam kelompok mereka sendiri.

Dari aspek negara, banyak pasangan yang baru memeluk agama Islam dan akhirnya terjerumus kembali dalam kesefahaman dan kepercayaan lama. Akibatnya, banyak kes perkahwinan campur yang berakhir dengan perceraian kerana kurang kefahaman perkahwinan dan keengganan untuk berubah sikap. Justeru, kadar perceraian semakin meningkat dan menyebabkan kes masalah sosial dari kalangan pemuda yang mempunyai latar belakang keluarga yang tidak sempurna.


5.0 Kesimpulan

Perkahwinan campur kini merupakan isu yang sering kita dengar dalam kalangan masyarakat Malaysia. Namun begitu, masyarakat secara umumnya masih sangsi dengankeberkesanan penyatuan dua budaya yang berbeza sama ada dari segi bangsa atau agama. Pandangan masyarakat yang skeptikal dan masih berfikiran tertutup juga menyumbang kepada kesukaran pasangan dalam perkahwinan campur dalam menjalani hidup seharian.

Masyarakat muslim di Malaysia sendiri sering beranggapan bahawa golongan bukan Muslim yang memeluk Islam hanyalah semata- mata untuk perkahwinan sekali gus melemahkan semangat saudara baru ini untuk lebih mendalami Islam. Tekanan dari pihak sekeliling juga menjadi penyumbang mengapa kadangkala saudara baru seagama ini kembali kepada kepercayaan lama sekali gus membawa kepada keruntuhan perkahwinan dan kemusnahan unit keluarga.

Pihak berkuasa juga memainkan peranan dalammemastikan perkahwinan campur antara kaum atau agama akan berjaya. Saluran-saluran bantuan untuk tujuan tersebut tidak diwar-warkan secara luas mengakibatkan ramai pasanganyang menjadi tawar hati untuk meneruskan perkahwinan campur. Dalam memupuk keharmonian antara semua kaum di Malaysia, harus wujud sikap memahami dan bertolak ansur dalam diri masing-masing. Kegagalan sesebuah perkahwinan campur tidak seharusnya dijadikan faktor prejudis dan sterotaip terhadap sesuatu kaum. Kerjasama dari semua pihak perlu dalam menjayakan perpaduan di Malaysia melalui perkahwinan campur.



Tuesday, October 04, 2016

Kemudahan tempat solat di stesen minyak di sekitar Melaka







Zainudin MZ, Nur Izzati Mohayan, Mohamad Syafiq Zainol, Nor Zulaika Zainol,
Muhammad Aizuddin Mohd Isa, Amirul Farhan Khairul Shamsudin, Fathin Ahmad


1.0 Pengenalan

Tempat ibadah didefinisikan adalah sebuah tempat yang digunakan oleh umat beragama untuk beribadah menurut ajaran agama atau kepercayaan mereka masing-masing. Stesen minyak merupakan sebuah tempat yang menyediakan perkhidmatan pengisian petrol untuk pengguna-pengguna kenderaan bermotor dengan menjual bahan api atau pelincir berjenis petroleum atau minyak diesel. Dispenser bahan api kebiasaannya dikenali sebagai pam petrol. Terdapat beberapa jenis syarikat yang membuka stesen minyak di Malaysia, antaranya ialah Petronas, Shell, Petron, dan Caltex. Di Malaysia, stesen minyak boleh dijumpai dengan mudah di kawasan-kawasan bandar dan juga di kawasan rehat dan rawat (R&R). Di samping itu, stesen minyak juga terdapat di kawasan-kawasan luar bandar.

Selain daripada menyediakan perkhidmatan mengisi minyak kenderaan, stesen minyak juga menyediakan kemudahan lain untuk para penggunanya. Antara kemudahan yang disediakan adalah kedai runcit, tempat mengisi angin dan air kenderaan bermotor, dan juga tandas. Terdapat juga beberapa stesen minyak yang menyediakan ruang solat atau surau bagi umat Islam menunaikan kewajiban mereka. Stesen minyak yang menyediakan kemudahan surau ini kebiasannya boleh didapati di tempat-tempat yang sukar untuk jumpa masjid atau di tempat-tempat yang jauh daripada masjid.

Kemudahan surau yang disediakan di stesen minyak berbeza mengikut kelengkapan disediakan. Perkara yang boleh diketengahkan adalah saiz surau yang disediakan dan kelengkapan yang disediakan. Antara kelengkapan yang boleh didapati di surau adalah tempat berwuduk, telekung, sejadah, dan cermin.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini ialah mengetahui kewujudan surau di stesen minyak, mengenal pasti  stesen minyak yang memiliki surau yang selesan dan cadangan menambah baik kemudahan surau di stesen minyak.


2.0 Kaedah Kajian

Kajian ini menggunakan borang soal selidik dan temu bual untuk mendapatkan keputusan yang lebih jelas. Responden kajian ialah 40 orang.


3.0 Hasil Kajian

3.1 Soal selidik

Jantina

Dapatan hasil kajian menunjukkan sebanyak 40 orang responden telah menjawab soal selidik yang diberikan. Berdasarkan hasil yang diperolehi, sebanyak 22 responden (55%) terdiri daripada lelaki, manakala bakinya iaitu sebanyak 18 responden (45%) merupakan perempuan. Oleh yang demikian, jantina yang dipilih perlulah seimbang agar jawapan yang diperoleh tidak memihak kepada satu jantina sahaja.

Umur

Majoriti responden berumur dalam lingkungan umur 21 tahun hingga 25 tahun iaitu sebanyak 18 responden (45%) telah menjawab soal selidik yang diberikan. Hal ini demikian kerana majoriti responden merupakan pelajar yang berada di sekitar UTeM.

Status pekerjaan

Hasil kajian menunjukkan sebanyak 29 orang responden (72.5%) terdiri daripada responden berstatus pelajar, manakala sebanyak lapan responden (20%) yang bekerja. Baki sebanyak tiga orang (7.5%) telah dicatatkan oleh responden yang berstatus lain-lain. Kajian ini lebih banyak menumpukan kepada pelajar kerana mereka sering menggunakan stesen minyak sekitar Melaka.

Objektif 1: Memastikan kewujudan surau di stesen minyak.

1. Adakah anda sedar, terdapat kemudahan surau di stesen-stesen minyak di Melaka?

Majoriti responden telah menyatakan bahawa mereka tidak tahu terdapatnya kemudahan seperti surau di stesen minyak sekitar kawasan Melaka. Responden yang menyatakan mereka tidak tahu kewujudan surau di stesen minyak telah mencatatkan sebanyak 75% yang mewakili 30 responden. Sebanyak sepuluh responden (25%) pula menyatakan bahawa mereka sedar akan kewujudan surau di stesen-stesen minyak terpilih di sekitar Melaka.

2. Pernahkah anda menggunakan surau di situ?

Seramai 22 responden telah mencatatkan 55% yang menunjukkan bahawa mereka tidak pernah menggunakan surau di stesen-stesen minyak yang terpilih. Sebaliknya, seramai 18 responden atau 45% daripada keseluruhan responden menunjukkan bahawa mereka pernah menggunakan surau di stesen minyak tersebut. Hal ini berlaku kerana apabila mereka mengisi minyak, mereka dapat terus menggunakan surau di stesen minyak bagi menunaikan ibadah yang wajib dilakukan.

3. Pada pendapat anda, sesuai atau tidak sesuai surau dibina di stesen minyak?

Sebanyak enam orang atau 15% memberi respon bahawa surau tidak sesuai dibina di stesen minyak kerana mereka merasakan bahawa banyak masjid yang berdekatan dengan stesen-stesen minyak tersebut. Manakala, sebanyak 33 responden atau 85% responden memberikan jawapan sesuai untuk membina surau di stesen minyak. Bagi responden yang menjawab sesuai, kemudahan seperti surau di stesen-stesen minyak ini memudahkan mereka untuk menunaikan ibadah wajib.

Objektif 2: Keselesaan surau di stesen minyak

1. Adakah anda selesa menggunakan surau di stesen minyak itu?

Sebanyak 22 daripada 40 responden menjawab ya, manakala 18 responden menjawab tidak terhadap keselesaan surau di stesen-stesen minyak. Merujuk data yang diperolehi, responden yang menjawab ya berpendapat bahawa surau yang digunakan cukup selesa dengan tahap kebersihan yang amat memuaskan. Walau bagaimanapun, responden yang menjawab tidak berpendapat bahawa surau itu kurang selesa bagi mereka kerana keadaan surau yang digunakan tidak memberi tahap kebersihan sekaligus menyebabkan mereka tidak khusyuk semasa melakukan ibadah.

2. Adakah surau di stesen menyediakan kemudahan secukupnya?

Sebanyak 22 orang responden bersetuju bahawa surau di stesen minyak menyediakan kemudahan yang secukupnya kerana mereka berasa selesa menggunakan surau itu. Walau bagaimanapun, sebanyak 18 orang responden pula menyatakan bahawa surau di stesen minyak tidak menyediakan kemudahan yang secukupnya.

3. Perlukah anda menunggu giliran untuk solat di surau di stesen minyak?

Carta pai di atas menunjukkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 60% peratus responden telah menjawab tidak perlu untuk menunggu giliran ketika menggunakan surau di stesen minyak manakala sebanyak 40% peratus responden menjawab bahawa mereka perlu menunggu giliran. Peratus tertinggi menjawab tidak perlu kerana surau di stesen minyak menyediakan ruang yang mencukupi kepada pelanggan untuk menunaikan solat. Selain itu, responden yang perlu menunggu giliran kerana pada pelanggan yang menggunakan surau lebih ramai pada hari minggu.

4. Senaraikan kemudahan yang terdapat dalam surau di stesen minyak.

Sebanyak 21 responden telah memberi beberapa cadangan mereka untuk menambah baik kemudahan yang boleh ditambah di surau stesen-stesen minyak disekitar Melaka. Kemudahan yang paling banyak dicadangkan adalah sejadah dan diikuti dengan ruang tempat wuduk serta telekung yang bersih kerana kemudahan tersebut dapat menyediakan keselesaan di surau. Terdapat juga beberapa cadangan lain untuk menambah baik kemudahan-kemudahan di surau, antaranya ialah kain pelikat, kipas, selipar, cermin, kopiah, dan buku-buku ibadah. Cadangan yang diberikan dapat menambah baik kemudahan di surau stesen-stesen minyak untuk kegunaan orang ramai dan mendapat respon yang positif dari pelanggan tentang tahap keselesaan di surau.

Objektif 3: Menambah baik kemudahan surau di stesen minyak.

1. Adakah anda berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan di dalam surau berkenaan?

Berdasarkan carta pai di atas, jumlah responden yang telah menjawab objektif tiga iaitu seramai 40 orang yang terdiri daripada 22 lelaki dan 18 perempuan. Sebanyak 22 responden yang berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan. Walau bagaimanapun, sebanyak 18 responden tidak berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan. Kesimpulannya, dapat dirumuskan bahawa majoriti responden berpuas hati kerana kemudahan yang disediakan cukup selesa digunakan. Terdapat juga responden yang tidak berpuas hati kerana kekurangan kemudahan yang terdapat di sesetengah surau di stesen minyak.

2. Setiap surau memerlukan kemudahan yang lengkap dan selesa.

Carta pai di atas menunjukkan sebanyak 40 responden telah menjawab soal selidik yang dinyatakan oleh kami. Soal selidik kajian ini merujuk kepada persetujuan pernyataan bahawa setiap surau memerlukan kemudahan yang lengkap dan selesa. Sebanyak 32 responden telah bersetuju dengan pernyataan yang diberikan. Walau bagaimanapun, sebanyak lapan responden tidak bersetuju dengan pernyataan soal selidik ini. Persetujuan para responden berkait rapat dengan kekerapan mereka menggunakan surau di stesen minyak. Sebagai kesimpulan, responden-responden yang bersetuju lebih kerap menggunakan surau yang berada di stesen minyak dan bagi responden yang tidak bersetuju, mereka mungkin jarang atau tidak pernah menggunakan surau di stesen minyak.

3. Adakah anda mempunyai cadangan untuk menambah baik surau di stesen minyak?

Merujuk carta pai di atas, sebanyak 20 responden mempunyai cadangan untuk penambahbaikan surau di stesen minyak. Sebaliknya, 20 responden tidak mempunyai cadangan untuk penambaikan surau di stesen minyak. Responden yang tidak mempunyai cadangan mungkin disebabkan mereka sudah berpuas hati dengan kemudahan yang terdapat di surau stesen minyak. Responden yang mempunyai cadangan penambahbaikan kemudahan surau di stesen minyak kerana sesetengah surau tidak mempunyai kelengkapan yang lengkap atau tidak selesa untuk digunakan.

4. Jika ya, sila nyatakan cadangan anda.

Soal selidik seterusnya berkait dengan cadangan untuk penambahbaikan kemudahan surau yang terdapat di stesen minyak. Sebanyak 20 responden iaitu separuh daripada jumlah responden telah memberi cadangan untuk menambah baik surau di stesen minyak. Antaranya ialah menyediakan rak kasut, menyediakan alas kaki, mengalas karpet, membesarkan surau, menyediakan telekung, pembinaan surau dan tandas di stesen minyak perlu mempunyai jarak yang sesuai dan memperuntukkan penghawa dingin.


4.0 Rumusan dan Cadangan

Perkhidmatan kemudahan surau yang ditawarkan oleh pengusaha stesen minyak ini sangat penting untuk pengguna atau pelanggan. Hal ini demikian kerana, perkhidmatan ini sering digunakan oleh pengguna dan pelanggan pada setiap hari atau setiap masa. Faktor yang menjadi masalah kepada pelanggan haruslah ditangani oleh pengusaha agar perkhidmatan ini lancar digunakan kepada semua pihak. Justeru itu, khususnya stesen-stesen minyak di sekitar Melaka iaitu Petronas, Shell, Caltex dan Petron haruslah menitikberatkan kepuasan pelanggan yang menggunakan perkhidmatan ini.

Surau yang sempit dan tidak selesa pasti kurang diminati pelanggan berbanding surau yang besar dan selesa serta lengkap dengan segala kemudahan untuk menunaikan solat. Surau yang dilengkapi dengan segala kemudahan pastinya lebih diminati pengguna serta boleh menarik lebih ramai pengunjung Islam seperti kemudahan surau yang ditawarkan di pasar raya. Berbeza dengan kemudahan surau sesetengah stesen minyak yang hanya ada surau tetapi tidak memuaskan seperti ruang solat yang sempit dan menyediakan kain sejadah dan kain telekung yang lusuh dan jarang dicuci.

Sesetengah stesen minyak juga terdapat hanya satu bilik surau dan perlu berkongsi
antara jemaah lelaki dan perempuan serta tempat wuduk yang terbuka dan menyebabkan jemaah perempuan perlu berhati-hati untuk berwudhuk. Sebagai cadangan, pengusaha stesen minyak haruslah mencontohi kemudahan surau yang terdapat di perhentian rehat dan rawat lebuh raya dari utara ke selatan yang ditambah baik dari semasa ke semasa dengan menjamin keselesaan pengguna. Selain itu, tahap kemudahan surau yang terdapat di perhentian rehat dan rawat pasti diingini pengguna untuk memenuhi keperluan ibadat supaya tanggungjawab dapat disempurnakan dengan selesa.


Rujukan

Berita Harian. (2012). Musafir perlukan ruang solat semasa.
Jusoh, A. (1989). Pengenalan Tamadun Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka.
Nuai, A. (2013). Tahap kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan yang di tawarkan oleh pengusaha stesen minyak di Semporna. Sabah.
Rahman, L. A. (2000). Imarah Masjid Masa Kini. Melaka: Jabatan Agama Islam Melaka.
Sinar Harian. (2010). Nasib Islam di Melaka, terdesak rumah jadi surau.
Sinar Harian. (2015). Surau cantik di Melaka.
Taib, R. (2010). Kajian Surau dan Madrasah terpilih di perbandaran Melaka.
Tamuri, A. H. (1989). Aktiviti dan Fungsi Surau.