Wednesday, April 27, 2016

Kita boleh berjaya







Hidup dalam kalangan kampung setinggan, membesar menjadi seorang yang disegani bukanlah satu usaha yang mudah. Anak-anak yang membesar di kawasan setinggan sering dikatakan memiliki sikap, pemikiran dan watak yang berbeza kerana latar belakang hidup yang berbeza. Kehidupan mereka di kelilingi emosi, tekanan dan masalah yang berlanjutan. Namun, kehidupan yang sama rata dari segi peluang pembelajaran telah mengubah kehidupan anak-anak dari kampung setinggan ini.

Dari mana sekali pun, seseorang boleh berjaya jika dia bekerja kuat ke arah matlamat yang dikehendakinya. Seorang yang tidak punya apa-apa dalam hidup boleh berubah menjadi seorang yang jauh beza apabila dia mahu bersusah payah menjadi ‘orang baru’ yang memberi manfaat kepada ramai orang.

Sesiapa sahaja boleh berubah menajdi lebih baik jika dia mahu dan mencari jalan ke arah perubahan. Dunia yang semakin kecil pada hari menjadikan proses perubahan lebih mudah kerana banyak maklumat boleh dikongsi bersama. 

Mulakan perjalanan kejayaan kita hari ini dan lihat bagaimana kita boleh mengubah persekitaran hidup kita.

Tuesday, April 26, 2016

Menteri besar jambatan rakyat







Kegemparan rakyat Malaysia terhadap penarikan semula gelaran darjah kebesaran Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman Jumaat lalu mengundang pelbagai spekulasi. Kita masih tertanya-tanya apakah kejadian sebenar hinggakan pihak istana begitu marah kepadanya.

Andaian demi andaian hanya mengundang persepsi negatif terhadap ketua kerajaan negeri itu. Media melaporkan Ahmad Razif membatalkan semua program yang melibatkan beliau.

Menteri besar sesebuah negeri mempunyai peranan dan tanggungjawab besar di samping mempunyai hubungan baik dengan istana. Mana-mana ahli politik yang dilantik sebagai menteri besar berdepan dengan cabaran dari pelbagai sudut. Tanggungjawabnya juga tidak pernah surut.

Antara tanggungjawab menteri besar adalah memastikan pentadbiran negeri berjalan dengan lancar, disenangi dan mesra rakyat. Matlamat jauh daripada itu ialah memastikan negerinya membangun dengan pesat dan meningkatkan parndapatan rakyatnya.

Andai kata terdapat konflik besar yang berlaku dalam mana-mana bahagian yang mengganggu pentadbiran kerajaan, ia sudah merencatkan perancangan pembangunan. Pelantikan menteri besar yang baru hendaklah menepati aspirasi rakyat, menjadi jambatan dengan istana dan berupaya menunjukkan prestasi dalam pembangunan sosioekonomi negeri.

Tuesday, April 19, 2016

Teroka ilmu perbandingan agama








Kehadiran Dr Zakir Naik ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baru-baru ini memberi impak yang sangat besar kepada usaha-usaha dakwah di negeri ini. Kehadiran Zakir Naik disambut oleh lebih 20,000 orang yang rata-ratanya orang muda yang dahagakan informasi tentang Islam. 

Dewan Besar UTeM penuh sesak dengan orang ramai sejak pukul lima petang Ahad lalu. 

Syarahan umum kali ini bermula dengan tiga orang protege Dr Zakir Naik yang telah berjaya dilatih. Ketiga-tiganya adalah rakyat Malaysia. Penampilan luaran, intonasi suara dan kemahiran berucap persis Dr Zakir Naik. Namun saya melihat mereka perlu lebih banyak membaca dan membuat kajian tentang pelbagai agama.

Dr Zakir Naik menyampaikan syarahan bertajuk Islam- Problems and Solutions to Humanity dengan memberi penekanan kepada peranan media. Lebih 20 kali beliau menyebut perkataan media. Di seluruh dunia, media berperanan menjadikan yang baik kepada buruk, buruk kepada baik, putih kepada hitam dan hitam kembali menjadi putih. Dalam erti kata lain, media berperanan besar menentukan persepsi dunia hari ini.

Sesi kedua syarahan beliau adalah soal jawab. Sesi ini memberi keutamaan kepada peserta bukan Islam untuk bertanya. Antara soalan yang ditanya pada malam itu ialah berkaitan nama Abdullah yang dibinkan oleh seorang mualaf dan memberi bayaran kepada kuil untuk melakukan amalan ritual agama asal ibu atau bapa yang bukan Islam.

Seorang pelajar, Meng Kiat mengeluh kerana penerangan yang disampaikan oleh Dr Zakir Naik berbeza seperti mana yang beliau dengar daripada rakan-rakannya. Lalu Dr Zakir Naik menjelaskan bahawa puncanya ialah beliau lebih banyak mendapatkan informasi tentang Islam daripada bukan sumber sebenar, justeru beliau patut mendapatkan informasi dari sumber yang jelas iaitu al-quran. Apabila ditanya adakah beliau mahu mengucapkan syahadah, beliau memaklumkan belum bersedia.

Seorang lagi pelajar, Senkiran Dharma, mengambil peluang malam itu untuk mengucapkan syahadah dan menajdi seorang muslim. Islam tidak asing kepadanya kerana dalam keluarganya sudah ada yang menjadi muslim. Justeru, kesempatan bersama Dr Zakir Naik menjadikannya lebih yakin.

Keupayaan Dr Zakir Naik menarik kehadiran ribuan orang untuk mendengar syarahannya sangat mengagumkan. Ada beberapa kemahiran yang ada pada beliau untuk kita pelajari.

Pertama, beliau memiliki ilmu perbandingan agama yang mantap mencakupi agama Islam, kristian dan hindu. Beliau juga boleh memetik mana-mana ayat atau surah dari al-quran, injil atau veda dengan mudah bagi menguatkan hujah. Di samping itu beliau memberi penjelasan yang mudah berdasarkan logik.

Kedua, penguasaan bahasa Inggeris yang sangat baik walaupun tebal dengan loghat India. Bagaimanapun penjelasannya menggunakan perkataan yang mudah.

Ketiga, berupaya menarik kehadiran pendengar bukan Islam melalui tajuk syarahan yang bersifat ingin tahu. Keutamaan diberikan kepada mereka untuk bertanya.

Keempat, menggunakan pendekatan konfrantasi untuk mengajak bukan Islam kepada Islam. Jika yang bertanya itu bersetuju, beliau akan memimpin syahadah.

Di Malaysia, kita belum dapat melahirkan pendakwah yang bersifat massa seperti Dr Zakir Naik. Kita masih lagi di peringkat awal untuk membentuk pendakwah yang memiliki pakej lengkap dakwah khususnya penguasaan bahasa Inggeris dan ilmu perbandingan agama.

Kita berharap agensi agama Islam di Malaysia lebih agresif menubuhkan akademi latihan pendakwah supaya lebih ramai pendakwah dapat diketengahkan pada masa hadapan. Rancangan seperti Imam Muda atau Dai' sangat baik dan wajar diteruskan dari semasa ke semasa. Pada masa yang sama dapat mengubah stigma takut kepada perbandingan agama. 

Seperti yang diutarakan oleh Dr Zakir Naik berkenaan tajuk Similarities between Hiduism and Islam, tajuk ini tidak digemari oleh orang Islam di negara lain sebaliknya di Malaysia tajuk yang sama tidak disenangi oleh masyarakat Hindu. Stigma beginilah yang perlu diubah supaya masyarakat pelbagai kaum dan agama ini dapat memahami agama masing-masing dan bertoleransi dalam kehidupan bernegara.


Monday, April 18, 2016

Kontrak sosial perlembagaan persekutuan 1957






Penulis: Mohd Rizal Yaakop, Shamrahayu A. Aziz
Tahun: 2014
Penerbit: Institut Terjemahan & Buku Malaysia, Kuala Lumpur
Muka Surat: 926

Tanah Melayu yang asalnya hanya dihuni orang Melayu telah berubah ekonomi serta politiknya akibat dicorakkan oleh dasar penjajah. Penduduk hari ini berbilang kaum dan tanpa penyatuan nasional yang dimapankan, pemahaman berkaitan perlembagaan menyebabkan manipulasi mudah sahaja berlaku. menyedari situasi ini, kontrak sosial menerusi Perlembagaan Persekutuan 1957 tidak wajar dibahas atau dipertikai secara terbuka kerana impaknya berisiko memporak-perandakan keharmonian, sekali gus menukar perpaduan sedia ada kepada cabarang paling getir.

Hakikatnya kesediaan mewujudkan kerajaan demokrasi bukan keputusan mudah, malah ia adalah pengorbanan radikal orang Melayu sebagai masyarakat peribumi Tanah Melayu. Bagaimanapun, hasil tolak ansur dan kesepakatan yang dicapai UMNO, MCA serta MIC menerusi perjanjian yang dimeterai Perlembagaan Persekutuan 1957, beberapa perkara dimuktamadkan termasuk kesediaan orang Melayu mengubah status tanah tumpah darah keturunan mereka menjadi tanah perkongsian melalui pemberian kerakyatan kepada orang Cina dan India. Inilah asas pengagihan polisi keadilan dan keselamatan sosial di negara ini yang sekali gus membuka jalan kepada tiga kaum utama ini berkongsi kuasa politik. Justeru, sewajarnya kedudukan orang Melayu dihormati dan realiti ini perlu diterima setiap rakyat Malaysia di samping hak kaum lain kekal dipelihara.

Susulan itu, buku ini menjelaskan bagaimana kontrak sosial yang dimeterai Perlembagaan Persekutuan 1957 dirangka untuk tujuan menyelesaikan kepentingan semua kaum di Tanah Melayu, baik majoriti mahupun minoriti. Pada masa yagn sama, buku ini turut merungkai bagaimana 'kontrak sosial' yang tidak wujud secara istilah pada teks Perlembagaan Persekutuan 1957 diguna pakai untuk menterjemah takrif persefahaman dan kesepakatan bagi keadilan sosial tiga kaum terbesar di Tanah Melayu. Pelaksanaannya berteraskan semangat mendalam dan ia terbukti berkesan memelihara keharmonian kaum sehingga hari ini. Berikutan itu, ia wajar dilindungi dan buku ini akan memperincikan perbincangan yang disertakan dokumen lengkap bagi membolehkan kontrak sosial difahami dan seterusnya menutup debat percanggahan serta pertelingkahan yang hanya bermaksud mengucar-ngacirkan negara.

Hakikatnya, mengekalkan perpaduan adalah proses rumit dan ianya hanya akan boleh dijayakan jika rakyat memahami kepentingan menyuburkan toleransi tanpa syak wasangka curiga dan sikap pentingkan diri sendiri. Pendek kata, di mana bumi dipijak, di situlah langitnya dijunjung. Hidup di Malaysia hari ini bukan sekadar menjadi bumi yang dipijak tetapi inilah bumi tempat tumpahnya darah kita. Lebih 20 juta warganegara yang sudah pun waktunya bangkit merealisasikan penyatuan nasional - demi Malaysia hari ini dan lebih penting Malaysia masa hadapan.


Wednesday, April 13, 2016

Minda positif hidup aktif








Salah satu kesan sikap positif ialah memiliki mentaliti “buat yang terbaik dalam setiap perkara dengan bersungguh-sungguh”. 

Mentaliti ini bukannya muncul dalam sehari dua tetapi perlukan proses yang panjang. 

Seorang pelajar yang jarang-jarang mendapat nombor satu dalam peperiksaan sentiasa memiliki azam untuk mengatasi rakan-rakan yang lain. Mentaliti positif ini dibina sejak awal tahun supaya beliau dapat mengambil semua langkah untuk berjaya. Beliau akan pastikan tumpuan dalam kelas tidak diganggu, tambah kefahaman dan pastikan mendapat keputusan seratus peratus dalam ujian. 

Apabila mentaliti positif wujud dalam hidup kita, pastikan ia merebak dan kekal supaya kita sentiasa melihat kebaikan dalam semua perkara. 

Minda positif jadikan hidup lebih aktif.

Tuesday, April 12, 2016

Gelar 'syaitan', pemimpin politik undang kemarahan







Akhirnya, program syarahan umum Dr Zakir Naik, “Similarities between Hinduism and Islam” atau (Persamaan Antara Hindu and Islam) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka dibatalkan.

Dalam kenyataan media yang disiarkan oleh universiti tersebut, wujud bantahan dan laporan polis terhadap penganjuran program itu di samping arahan daripada Polis Diraja Malaysia supaya program berkenaan tidak diteruskan. Justeru, penganjur program, Hidayah Centre Foundation perlu mencari tempat alternatif sekiranya mahu meneruskan syarahan umum tajuk berkenaan.

Bantahan dan laporan polis telah dibuat oleh parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan seperti Malaysian Indian Congress (MIC), Hindu Rights Action Force (Hindraf) dan Malaysia Hindu Sangam. Pemuda MIC bertindak membuat laporan polis bagi menghalang Dr Zakir Naik menyampaikan syarahannya di Malaysia di samping menimbang untuk mendapatkan perintah mahkamah. Manakala Hindraf mengeluarkan kenyataan mendesak kerajaan Malaysia menghalang beliau daripada memasuki Malaysia dan menggelarkannya sebagai virus dalam masyarakat berbilang kaum.

Bantahan paling mengecewakan datangnya dari Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Prof Dr P.Ramasamy yang menggelar Dr Zakir Naik sebagai “syaitan”. Perkataan yang dikeluarkan itu telah menimbulkan kemarahan umat Islam Malaysia menyebabkan pejabatnya dilontar bom petrol. Seterusnya beliau dituduh sebagai anti-Islam dan anti-Muslim.

Tajuk “Similarities between Hinduism and Islam” ini nampaknya memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat Islam dan Hindu di Malaysia menyebabkan pihak polis masuk campur untuk meredakan ketegangan. Tajuk syarahan yang dikatakan mengundang kontroversi itu sebenarnya sudah ada di Youtube dan boleh dicapai di sini.

Kita tinggalkan mereka yang benci dan marah kepada Dr Zakir Naik, biarkan mereka mengurus emosi masing-masing di samping memastikan agensi keselamatan mengawasi kehidupan kita.

Saya telah mengenali Dr Zakir Naik sejak kewujudan YouTube iaitu hampir sepuluh tahun lalu ketika saluran itu masih beroperasi di luar kawalan Google. Syarahan beliau menarik jutaan pelayar untuk mendengar hujah yang disampaikan. Ada ketikanya syarahan umum ini dibuat dengan kehadiran ribuan penonton sama ada Islam, kristian, hindu atau buddha malah ateis. Tarikan syarahannya di media sosial diiktiraf oleh ramai pihak sehingga timbalan presiden Youtube, Tom Pickett menyifatkan Dr Zakir Naik sebagai “mengagumkan” kerana mendapat “likes” yang tinggi dan popular.

Latar belakang Dr Zakir Naik amat mudah. Beliau adalah seorang doktor perubatan dan menjadi presiden Islamic Research Foundation, India.

Di negaranya, India, pada tahun 2009, beliau berada pada kedudukan 82 dalam “The 100 Most Powerful Indian”. Di peringkat global, beliau berada pada kedudukan 70 dalam “500 Most Influential Muslim in the World” bagi tahun 2011, 2012, 2013/14 dan 2015/16.

Pencapaiannya dalam bidang perbandingan agama banyak merujuk kepada al-quran dan hadis, logik dan saintifik. Justeru, beliau sentiasa dambakan soalan yang mencabar dan bersifat analisis kritikal.

Oleh kerana tahap keilmuan yang tinggi dalam bidang ini, Dr Zakir Naik sentiasa menerima jemputan. Beliau telah menghadiri lebih daripada 2000 syarahan sejak 20 tahun lepas di Amerika Syarikat, Kanada, UK, Itali, Perancis, Arab Saudi, UAE, Kuwait, Qatar, Bahrain, Oman, Mesir, Australia, New Zealand, Afrika Selatan, Botswana, Nigeria, Ghana, Gambia, Maghribi,  Algeria, Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand, Hong Kong, China, Guyana (South America), Trinidad, Mauritius, Sri Lanka dan Maldives di samping puluhan syarahan di India. Pada tahun 2012, beliau menyampaikan syarahan umum di hadapan lebih sejuta orang di Bihar, India.

Dialog antara agama juga menjadi fokusnya. Pada tahun 2006, beliau mengadakan dialog dengan tokoh utama Hindu, Sri Sri Ravi Shankar melalui topik “The Concept of God in Hinduism and Islam in the Light of Sacred Scriptures” bertempat di Bangalore, India. Dialog ini menerima sambutan yang baik daripada kedua-dua penganut Islam dan Hindu.

Berdasarkan usaha dakwah dan galakan kefahaman antara agama, beliau dianugerahkan penghargaan dan pengiktirafan oleh pemimpin negara Islam.

Raja Salman Abdul Aziz dari Arab Saudi menganugerahkan “King Faisal International Prize” kepadanya pada tahun 2015 kerana “Khidmat kepada Islam”. Di samping mendapat pingat emas 24 karat, beliau turut diberikan US$200,000.

Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum, timbalan presiden dan perdana menteri Emiriah Arab Bersatu telah menganugerahkannya “Islamic Personality of 2013” dan menerima penghargaan sebanyak US$272,000. Semua wang itu kemudiannya diwakafkan kepada Peace TV Network.

Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menganugerahkan “Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa 2013” kerana sumbangan besar dalam memartabatkan Islam di peringkat nasional dan global yang diiktiraf oleh pelbagai pihak. Beliau turut menerima RM100,000, pingat dan sijil penghargaan yang ditandatangani oleh perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Sheikh Dr Sultan Mohammed Al Qasimi, pemerintah Sharjah menganugerahkan “Sharjah Award for Voluntary Work” bagi tahun 2013 untuk khidmat beliau kepada Islam di peringkat antarabangsa pada 16 Januari 2014.

Kerajaan Gambia juga menganugerahkannya “The Insignia of the Commander of the National Order of the Republic of The Gambia” pada tahun 2014 kerana sumbangannya yang cemerlang dalam penyebaran pengetahuan bagi mempromosi penyelidikan dan penyampaian perkhidmatan masyarakat antarabangsa.

Di media sosial, Facebook beliau menerima lebih lapan juta “likes” dalam masa kurang daripada dua tahun, satu pencapaian yang hebat bagi penyampai agama berbahasa Inggeris di seluruh dunia.

Berdasarkan pencapaian beliau dan anugerah yang diterima, bolehkah beliau diberi gelaran “syaitan” sepertimana yang diungkapkan oleh P. Ramasamy itu?



Monday, April 11, 2016

Human resource policy






Penulis: Mike Fazey
Tahun: 2010
Penerbit: Tilde University Press, Prahran, Australia
Muka Surat: 318

Mike Fazey merupakan penyelaras program pembangunan sumber manusia di Sekolah Perniagaan, Universiti Notre Dame (Fremantle). Berpengalaman lebih daripada 25 tahun dalam bidang pengurusan sumber manusia dan peranan dasar. 

Buku ini mengandungi tiga bahagian. Bahagian pertama melihat kepada dasar pembangunan sumber dari perspektif konsep. Apakah dasar pembangunan sumber? Kenapa kita memerlukannya? Apakah yang mempengaruhi dasar pembangunan sumber? Bahagian ini juga mengenal pasti bagaimana dasar ini berhubungan dengan strategi pembangunan sumber dan amalannya di samping pelbagai isu.

Bahagian kedua memberi fokus kepada proses bagaimana dasar tercetus, dihasilkan dan dilaksanakan. Mesej asas ialah pembuatan dasar perlukan aturan sistematik supaya dasar tersebut menjadi dinamik dan relevan. bahagian ini juga mengenal pasti beberapa isu pengurusan dasar dan masalah serta perbincangan bagaimana isu-isu ini boleh diselesaikan.

Bahagian ketiga melihat kepada perkara pokok dasar pembangunan sumber yang dipelrukan dalam organisasi dan juga perbincangan pelbagai pilihan dasar yang boleh diambil kira. Penekanan utama bahagian ini ialah menterjemah pemahaman terhadap teori perniagaan dan prinsip pengurusan manusia kepada dasar yang dapat menyokong strategi kerjaya di samping meluaskan strategi perniagaan.

Sasaran uatama buku ini ialah pelajar jurusan pengurusan sumber manusia, pengurusan atau bidang yang menjadikan pengurusan sumber manusia sebagai sebahagian daripada pembelajaran mereka. Kedua ialah pengamal pengurusan sumber manusia khususnya di peringkat kerjaya mereka ataupun kepada mereka yang mahu menambah kefahaman dalam peranan dan potensi dasar sumber manusia untuk menambah baik pembuatan dasar dan kemahiran pengurusan dasar.


Sunday, April 10, 2016

Bijak pilih model ikutan








Kebanyakan orang lebih mudah terpengaruh dengan apa-apa yang baik yang dilakukan oleh orang lain yang hampir dengan dirinya. 

Lihat kanak-kanak yang belajar di tadika. Mereka mudah mendengar cakap guru daripada ibu bapa sendiri kerana guru telah berjaya mendapatkan rasa hormat dan istimewa daripada kanak-kanak ini. Biasanya apa yang dicakap guru akan dianggap betul. 

Konsep yang sama ada pada kita. 

Jika ada seseorang yang dapat menarik minat dan rasa hormat kita, mudah untuk kita ikut. Kita mesti bijak memilih orang yang hendak dijadikan model ikutan kerana pilihan yang baik akan memberi kejayaan kepada kita. 

Ada orang yang bernasib kurang baik apabila tersalah memilih contoh, akhirnya kehidupan tidak ke mana.

Saturday, April 09, 2016

Belajar sikap positif








Pembentukan sikap positif boleh dipelajari sama ada kanak-kanak, remaja atau sesiapa sahaja. Mulakan dengan tabiat yang positif setiap hari. Contohnya ialah bersyukur kerana masih hidup dan sihat. 

Kita bersyukur kerana keadaan fizikal kita dalam keadaan baik, emosi kita yang stabil serta jiwa rasa aman dan tenteram. 

Ada orang terjaga tidur setiap pagi kerana dadanya terasa sakit, tekaknya terasa kering dan kaki serta tangannya kebas. Sudah tentu keadaan ini memerlukannya memberi lebih perhatian terhadap keadaan kesihatannya. 

Mulai hari ini, apabila kita berjumpa rakan-rakan kita, ucapkan salam dan tanya keadaan kesihatannya supaya kita dapat mengingatkan diri kita sendiri. 

Rangsang sikap positif ini dengan sentiasa bersyukur, mengingati kata-kata positif, peringatan-peringatan yang baik ataupun membaca satu halaman al-quran setiap hari. Cara ini dapat membina semangat dan keyakinan diri kita dari semasa ke semasa.