Sunday, September 30, 2007

Datang daif, pulang bergaya

Di sebalik kisah sedih dan cerita buruk melibatkan pekerja asing di Malaysia yang sering dipaparkan oleh media tempatan, ribuan rakyat Indonesia dilaporkan membawa pulang puluhan jutaan ringgit ketika semasa cuti hari raya ini. Tidak banyak cerita tentang kejayaan dan kebahagiaan yang dinikmati oleh rakyat Indonesia ketika berada di luar negara yang didedahkan. Ini termasuk tenaga profesional yang menikmati gaji dan elaun antara RM10,000 hingga RM30,000 sebulan di firma Malaysia termasuk yang menjadi juruterbang di syarikat penerbangan.

Banyak rumah banglo yang dibina di kampung-kampung hasil keringat bekerja di Malaysia. Malah kaum keluarga bersaing membina rumah yang cantik hasil wang kiriman anggota keluarga masing-masing. Perubahan gaya hidup jiran-jiran yang mempunyai ahli keluarga yang bekerja di Malaysia, membuka mata sebahagian besar anak muda dan wanita untuk berhijrah.

Namun kebelakangan ini apa yang sering dipaparkan ialah tentang penganiayaan terhadap pembantu rumah seperti perkosaan, penderaan dan tidak dibayar gaji. Kematian pekerja Indonesia akibat dibunuh, gantung diri, sakit dan mati kerana kemalangan juga menjadi bahan berita utama. Malah kematian seseorang kerana sakit biasa juga diberi gambaran akibat penderaan.

Kemewahan hidup di rantau ini dapat dilihat semasa pekerja pulang bercuti menjelang raya. Mereka turut “memonopoli” tempat duduk pesawat dan pengangkutan laut menjelang dan selepas hari raya.

Dalam pada itu pengiriman wang oleh rakyat Indonesia di luar negara dilaporkan meningkat 20 peratus sebulan dan dianggap sebagai “luar biasa” oleh pemerintah-pemerintah daerah. Seperti dilaporkan, pekerja dari daerah Indramayu, Jawa Barat mengirim ke kampung RM40 juta dalam setahun.

Di daerah Sukabumi, Jawa Barat para pekerja daerah itu menghantar kira-kira RM8 juta dalam tempoh enam bulan. Jumlah itu hampir empat kali ganda dengan pendapatan tahunan daerah itu. Sepanjang tahun lepas, dianggarkan AS$2.9 bilion dihantar oleh rakyat Indonesia di luar negara. Penghijrahan rakyat Indonesia untuk mencari rezeki bukan sahaja meningkatkan ekonomi dan pendapatan negara, tetapi faedahnya diterima oleh syarikat pengangkutan awam. Majoriti pekerja Indonesia di Malaysia sebenarnya lebih baik daripada pekerja atau buruh di negara sendiri yang terpaksa berhadapan dengan pembuangan kerja akibat kerugian.

Menjelang lebaran ini, ramai pekerja menuntut wang gaji tertunggak serta bonus atau disebut tunjangan hari raya (THR). Umpamanya, ribuan pekerja kilang di Bogor dan Bekasi menganjurkan tunjuk perasaan kerana menuntut upah minima dinaikkan kepada RM260 sebulan selain memohon bonus. Di kota Jakarta, pemungut sampah dan pengawal keselamatan juga mengharapkan THR daripada penghuni taman perumahan menjelang lebaran. Nasib pekerja asing dan buruh imigran sebenarnya lebih baik.

Namun ia tidak begitu dipedulikan – seperti “kuman di seberang nampak lebih besar daripada gajah di depan mata.” Sebuah pertubuhan mendakwa 70 peratus pekerja Indonesia yang pulang berhari raya enggan pulang semula ke Malaysia kerana kononnya layanan buruk yang diterima dari majikan dan sebagainya. Sama ada betul dakwaan itu kita lihat selepas hari raya ini.

Utusan Online

Saturday, September 29, 2007

Prestasi Malaysia dalam indeks persepsi rasuah 2007

Rasuah kembali menjadi perhatian apabila Transparency International mengeluarkan indeks persepsi rasuah 2007. Kedudukan Malaysia baik sedikit daripada tahun lepas iaitu berada pada kedudukan ke-43.

Perubahan yang sedikit ini menggambarkan usaha-usaha yang dilakukan sepanjang tahun menunjukkan penambahbaikan. Pendedahan media terhadap beberapa kes rasuah sebelum ini membantu masyarakat menilai langkah-langkah kerajaan bagi menangani penyalahgunaan kuasa khususnya di kalangan kakitangan awam.

Azmi Osman, pegawai kanan polis berpangkat supritendan, telah dituduh menerima wang sebanyak RM3.995 juta hasil daripada aktiviti haram. Kes yang melibatkan kakitangan awam dari agensi penguatkuasaan ini amat mengejutkan kerana keupayaannya "menyelam sambil minum air" sedangkan amanah yang diberikan kepadanya diabaikan. Dengan jumlah wang sebanyak ini, dia telah mengkhianati tugasnya sebagai anggota polis.

Bukan sahaja polis, seorang peguam syarie di Perak juga dituduh menerima rasuah dengan balasan tidak mendakwa pasangan yang bukan muhrim melakukan khalwat.

Banyak lagi kes seperti ini yang telah dilaporkan di media dan ianya semakin bertambah.

Transparency International seringkali menyatakan bahawa rasuah tidak ada kaitan dengan agama dan bangsa. Ia berkait dengan kemiskinan dan taraf hidup sesebuah negara.

Faktor utama yang menyumbang kepada pengurangan amalan rasuah di sesebuah negara ialah kecekapan kerajaan melaksanakan program anti rasuah. Ia boleh jadi dalam bentuk pengenalan akta yang lebih tegas atau pembentukan polisi yang lebih menyeluruh. Singapura dan Hong Kong sangat berjaya memerangi rasuah di Asia kerana komitmen yang kuat daripada kerajaan.

Walaupun Singapura tidak mempunyai kesatuan awam yang aktif dan media yang sentiasa dikawal, kejayaan mengawal rasuah disebabkan oleh keinginan politik yang kuat oleh pemerintah dan kerangka kerja anti rasuah yang cekap dan berkesan.

Manakala Hong Kong, kesatuan awam dapat bergerak bebas di mana mereka dapat menyuarakan sebarang kelemahan pentadbiran kerajaan dengan berani.

Memandangkan kedua-dua buah negara merupakan bekas jajahan British, mereka menolak untuk menggunakan kuasa polis bagi memerangi rasuah sebaliknya merangka agensi anti rasuah sendiri. Di samping itu, amalan meritokrasi dalam pentadbiran kerajaan membantu membersihkan amalan rasuah.

Sebuah lagi negara yang berjaya memerangi rasuah dalam pentadbiran ialah Jepun. Bagaimanapun situasi di Jepun lebih unik kerana amalan rasuah dalam pentadbiran kerajaan sangat sedikit tetapi berleluasa dalam politik dan perniagaan. Kajian oleh National Integrity Systems mendapati kerajaan tidak bersungguh-sungguh melawan rasuah di peringkat institusi dan sektor swasta. Kerajaan Jepun juga tidak mewujudkan tugas memerangi rasuah kepada mana-mana agensi sebaliknya berpuas hati dengan langkah-langkah sedia ada.

Negara yang agak bermasalah dengan rasuah di Asia ialah Filipina yang berada pada kedudukan ke-131. Usaha-usaha kerajaan Filipina selama ini tidak menunjukkan keberkesanan kerana mereka menghadapi dua masalah besar iaitu undang-undang yang ada lebih cenderung untuk tidak dilaksanakan dan kedua, banyak gangguan dalam pelaksanaan undang-undang di mana hanya "ikan besar" yang terlepas manakala yang ditangkap adalah "anak-anak ikan."

Usaha kerajaan Malaysia memerangi rasuah boleh digerakkan segera dengan mencontohi model Singapura dan Hong Kong. Menubuhkan agensi anti rasuah adalah satu langkah yang baik tetapi harus diiringi dengan kesungguhan politik. Bagaimanapun kewujudan agensi seperti ini tidak dapat menjamin kejayaan sepenuhnya dan perlu disertakan bersama:

1. keinginan politik termasuk strategi berkesan anti rasuah, kakitangan yang cekap dan mencukupi serta undang-undang penguatkuasaan yang tegas.

2. pegawai dan kakitangan agensi mesti sentiasa mengekalkan kejujuran, cekap dan bebas daripada kawalan polis atau pengaruh politik.

3. siasatan menyeluruh tanpa mengira status atau kedudukan.

Menambah bilangan agensi anti rasuah hanya akan melemahkan gerakan melumpuhkan aktiviti rasuah kerana pertindihan tugas, koordinasi yang lemah, saingan mendapatkan sumber dan mencairkan usaha membasmi rasuah.

Harapan rakyat Malaysia ialah meilhat kembali kedudukan rasuah bertambah baik dan dapat membentuk daya saing yang lebih kuat khususnya dalam perkhidmatan awam. Orang ramai tidak akan menaruh kepercayaan jika masih ada lagi anggota polis atau kakitangan awam yang lain mengumpul harta berjuta-juta ringgit. Jika hendak mencari wang, bekerja dan berniagalah dengan cara yang betul.

Friday, September 28, 2007

Kepimpinan Islam dan Barat: Pengaruh dan cabaran

Cendekiawan Islam Mesir, Muhammad Abduh berkata bahawa ummah adalah sumber bagi pemerintah. Pemerintah wujud untuk kebajikan ummah.

Kepimpinan pada hari ini, dalam masyarakat moden telah melalui pelbagai anjakan paradigma yang mewajarkan beberapa perubahan besar. Abad ke-21 adalah abad yang dinamik dan penuh cabaran, mahu ataupun tidak, sangat penting bagi mana-mana masyarakat dan negara untuk mempunyai seorang pemimpin yang baik dan berwibawa.

Kepimpinan bermula dengan individu, diri sendiri. Mengawal diri dengan cara mengawal pancaindera supaya sentiasa berada dalam keadaan sihat dan ada daya juang yang tinggi. Individu yang mempunyai keupayaan menjadi pemimpin, dalam bidang apa sekali pun, banyak ditentukan oleh proses pembentukan diri, pengkayaan pengalaman dan tahap pendidikan berbanding hanya bakat.


Pemimpin yang telah lahir dalam sejarah tamadun dunia kebanyakannya terlibat dalam bidang ketenteraan. Kewibawaan mereka bergantung sepenuhnya kepada keupayaan memimpin pasukan perang. Antara pemimpin tersebut ialah Iskandar Zulkarnain, Pericles dan Julius Caeser. Ukuran kehebatan seorang pemimpin ialah berapa banyak wilayah yang dapat ditakluk biarpun rakyatnya hidup merana dan sengsara.

Nama-nama lain dalam kepimpinan berorientasi ketenteraan era moden ialah Adolf Hitler, Mussolini, Stalin, Mao Zedang dan Pol Pot. Kebanyakan pemimpin dalam kategori ini mengakhiri hidup mereka dengan kesengsaraan rakyat. Presiden Romania, Nicolae Ceausescu mati kerana kebangkitan rakyat dalam Revolusi 1989 setelah dijatuhi hukuman bunuh oleh tribunal tentera negara tersebut. Mynmar yang sedang bergolak di antara masyarakat awam dan junta tentera, juga bakal menyaksikan berlakunya pertumpahan darah yang lebih banyak.


Terdapat dua jenis takrifan yang membezakan corak kepimpinan Islam dan Barat. Oleh kerana kepimpinan itu sendiri merupakan sesuatu yang "panas" dan penuh dengan liku-liku, pemimpin sentiasa dicari bagi meleraikan kepanasan tersebut dan dapat menyelesaikan situasi yang sukar.

Sarjana-sarjana Barat memberi pelbagai tafsiran tentang kepimpinan. Dua definisi umum yang kerap dirujuk ialah kepimpinan sebagai proses mempengaruhi tindak-tanduk individu atau kumpulan dalam usaha mencapai sesuatu matlamat bagi situasi tertentu. Definisi kedua ialah sebarang kegiatan yang melibatkan seseorang merujuk orang lain supaya bekerja dengan rela untuk mencapai matlamat kumpulan.


Kedua-dua definisi di atas adalah tafsiran yang diberikan oleh sarjana Barat yang banyak dilihat dalam konteks organisasi, pertubuhan politik atau badan korporat.

Daripada perspektif Islam, setiap individu yang mukallaf (orang yang dipertanggungjawabkan dengan kewajipan dan perintah untuk menjalankan hukum tuntutan agama Islam serta menjauhi larangan Allah atas dasar orang tersebut sudah mencapai usia dewasa dan mempunyai akal [akil baligh] serta telah sampai seruan agama [syariat Islam] kepadanya) berperanan sebagai pemimpin. Keadaan ini sangat jelas dalam maksud hadis Rasulullah saw:


"Ingatlah! Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu juga bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya. Orang yang mengetuai orang ramai adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Suami adalah pemimpin kepada ahli keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Isteri adalah pemimpin kepada rumah tangga suaminya dan dia bertanggungjawab terhadapnya. Hamba sahaya adalah pemimpin kepada harta benda tuannya dan dia bertanggungjawab terhadapnya. Ingatlah! Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua juga bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya." (Hadis riwayat At-Tarmizi daripada Ibn Umar).

Berbagai-bagai istilah diberikan kepada maksud kepimpinan ini seperti:

Al-imamah
Ketua kaum yang mengetuai sesuatu kaum, memimpin dan mendahului mereka.

Al-imam
Orang yang diikuti kata-katanya dan perbuatannya, sama ada berada di atas jalan kebenaran atau kesesatan.

Al-khilafah
Nama jawatan yang disandang oleh khalifah. Ia juga bermaksud pemimpin atau pemerintah tertinggi sesebuah negara.

Al-qiyadah
Orang yang dilantik memegang teraju kepimpinan, urusan pentadbiran awam.

Al-ri'asah
Keketuaan.

Al-ri'ayah
Pemelihara dan penjaga.

Al-za'amah
Penjamin.


Walaupun banyak istilah yang digunakan bagi menggambarkan kepimpinan, di dalam Islam, konsep kepimpinan yang wujud adalah bersifat bersepadu iaitu menekankan keseimbangan antara kepentingan roh dan jasad, seimbang di antara perkembangan spiritual dan pembangunan material bagi menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Konsep kepimpinan yang dipraktikkan oleh Islam sangat kuat dengan pengaruh nilai dan unsur ketuhanan. Ketika Saidina Abu Bakar r.a dipilih menjadi khalifah, beliau mengingatkan umat Islam ketika itu dengan ucapan yang sangat jelas di antara dominasi nilai dan agama iaitu: "Wahai saudaraku! Kamu telah memilih aku (sebagai pemimpin) walaupun aku bukan yang terbaik di kalangan kamu. Turutlah kehendak aku selagi aku taat kepada perintah Allah dan RasulNya. Sekiranya aku ingkar akan peraturan Allah dan RasulNya, maka tidaklah wajib ke atas kamu mentaati aku."

Justeru, kepimpinan dalam Islam ialah meningkatkan kualiti diri bagi melahirkan konsep "kepimpinan melalui teladan (qudwah hassanah)" sebagai jurudamai umat dan sumber ketenteraman sejagat. Rasulullah saw merupakan contoh kepada konsep ini dengan memberi motivasi kepada manusia tentang kemudahan dalam melaksanakan hukum agama dalam kehidupan. Ulama-ulama juga adalah pemimpin walaupun secara tidak rasmi seperti mana imam-imam mazhab.


Sepanjang sejarah pemerintahan Islam, Philip K. Hitti di dalam buku The History of the Arabs, beliau berhujah: "Daripada sebuah masyarakat Islam di Madinah, lahirlah sebuah negara Islam kemudiannya. Golongan muhajirin dan ansar berjaya disatukan atas landasan agama dan ketika itu mereka dikenali sebagai ummah. Dalam sejarah Arab, inilah julung-julung kali berlakunya sebuah perpaduan yang diasaskan di atas nama agama dan bukan atas dasar keturunan dan kabilah. Dari Madinah, Islam terus berkembang dan dalam jangka masa yang singkat, Muhammad berjaya menegakkan satu agama yang pada banyak sudut, mengatasi kehebatan agama Kristian dan Judaisme."

Michael H. Hart, dalam buku The 100, A Ranking of the Most Influential Persons in History memilih Nabi Muhammad saw sebagai manusia yang paling berpengaruh di dalam sejarah manusia sehingga kini. Hart memilih baginda saw kerana keupayaannya yang sangat cemerlang dalam kedua-dua bidang: agama dan sekular. Pemilihan ini tentunya mengejutkan ramai pembaca. Kesan pengaruh ini iaitu Islam lebih besar jika dibandingkan dengan kombinasi Nabi Isa a.s dan St. Paul dalam agama Kristian. Lebih lanjut lagi Hart menjelaskan bahawa Nabi Muhammad saw (tidak seperti Nabi Isa a.s) adalah seorang pemimpin tentera yang menjadi daya penggerak terbesar kepada kekuatan bangsa Arab.


Jika diamati, kepimpinan dalam Islam adalah berdasarkan modal Tuhan yang menjadikan umat Islam mudah berubah. Atas nama Allah swt, dengan usaha membaiki diri, sembahyang malam, bertaubat, bersedekah, berkasih-sayang, wirid dan doa, kekuatan pemimpin mengajak masyarakat kepada perubahan adalah lebih mudah.

Contohnya adalah jelas ketika permulaan arak diharamkan.

Ketika turunnya ayat 90 surah Al-Maidah, umat Islam mematuhinya tanpa sebarang bantahan. Ada di antara mereka membawa tong-tong arak ke atas jalan utama, menuangkannya tanpa ada rasa penyesalan. Sebahagian lagi memecahkan tong-tong arak dengan rasa bangga dan yang lainnya mencuci tong-tong arak berkenaan dengan tanah dan air.

“Wahai orang-orang yang berjudi, bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan bertenung nasib dengan batang anak panah adalah kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya sekiranya kamu ingin berjaya."

Sesekali dalam merangka dan melaksana perubahan, terdapat individu atau segolongan umat yang diberi keistimewaan untuk menjayakan tujuan hidup manusia sebagai khalifah.

"Akan sentiasa ada satu segolongan (taifah) dari umatku yang berpegang teguh ajaran agama dan mereka akan menentang dan menguasai musuh-musuh mereka. Tidak ada apa yang dapat memudaratkan mereka kecuali apa yang menimpa mereka dalam bentuk ujian-ujian sehinggalah akhirnya datang urusan Allah." (Imam Ahmad)


Satu aspek yang menarik dalam kepimpinan Islam ialah ia bukannya satu warisan seperti mana sistem feudal, tidak pula ada hak tetapi meletakkan amanah sebagai keutamaan kerana nasib umat terletak di dalam tangan seorang pemimpin. Walaupun sehingga ke hari ini kita perhatikan kecenderungan masyarakat untuk kembali menghayati kepimpinan Islam, sesetengah amalan yang sangat kuat Islamnya kadangkala dilakukan bukan kerana keyakinan sebaliknya amalan yang diterima turun-temurun.

Keadaan ini tidak boleh diketepikan sahaja kerana konsep kepimpinan Islam ini dibawa sekali bersama dengan konsep Islam dalam bernegara.


Pandangan tiga tokoh kontemporari berkaitan hal ini sangat menarik untuk kita tinjau bersama. Mereka berbeza pendapat mengenai "Negara Islam" iaitu pendapat pertama meyakini negara Islam wujud dengan adanya Piagam Madinah manakala pendapat kedua pula menidakkan pernah wujudnya negara Islam kerana tidak pernah disebut di dalam al-quran. Di samping itu Nabi Muhammad saw tidak membentuk masyarakat politik yang eksklusif bagi umat Islam sahaja sebaliknya baginda saw mengatur kerjasama dalam konteks masyarakat majmuk. Legitimasi khalifah pula datangnya dari ummah dan pentadbiran Islam adalah satu bentuk pemerintahan yang demokratik, bebas dan berasaskan syura.

Muhammad Assad (Leopold Weis) berpendapat negara Islam ada tetapi bukannya satu bentuk negara Islam yang khusus sebaliknya hukum adalah bersumberkan al-quran dan sunnah yang hidup, menjiwai dan konkrit. Pemerintahan Islam bukan menjadi matlamat tetapi sebagai alat untuk pertumbuhan umat manusia yang membela persamaan dan keadilan, menyuruh kepada kebaikan dan melarang kemungkaran.

Al-Maududi dalam buku Islamic Law and Constitution berpendapat kedaulatan berada di tangan Allah. Wajib bagi setiap peribadi, masyarakat dan bangsa mengikut pola yang dibentuk oleh Rasulullah saw serta tunduk kepada keputusannya tanpa keberatan.

"Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan). (Surah An-Nisa’, ayat 80)


H.A.R Gibb, seorang orientalis barat mengenengahkan idea yang sangat berbeza. Dalam buku The Constitutional Organization, beliau menyatakan bahawa ketua negara bagi umat Islam adalah Allah kerana Tuhan sebagai satu-satunya pembuat undang-undang, tidak ada ruang dalam teori politik Islam bagi pembuatan undang-undang atau kekuasaan membuat undang-undang.

Dua idea yang pertama adalah dari orang Islam manakala idea ketiga dari bukan Islam yang didapati sangat sinonim dengan idea dalam Kristian. Jika kita melihat kepimpinan dalam Kristian, buku Faith in Leadership: How Leaders Live Out their Faith in their Work- and Why it Matters oleh Robert Baks dan Kimberly Powell, keimanan dan kepimpinan adalah bersama; keimanan di sini ialah anugerah Tuhan kepada manusia. Tuhan adalah segala-galanya.


Ibnu Taimiyah menggariskan dua rukun kepimpinan untuk memilih pemimpin iaitu al-quwwah dan al-amanah. Al-quwwah ialah kewibawaan yang sesuai dengan keperluan jawatan yang disandang seperti tentera, polis atau organisasi yang bercorak birokratik. Manakala al-amanah ialah takutkan Allah swt kerana kepimpinan dalam Islam bukannya menjadi alat untuk mendapatkan kekayaan, kedudukan atau kesenangan hidup di dunia, sebaliknya merupakan amanah yang wajib ditunaikan.

"Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.”(Surah Al-Qasas, ayat 26)

Ciri-ciri kepimpinan Islam


Seringkali berlaku pergeseran di antara ulama dan umara (pentadbir). Kedua-duanya berselisih pendapat menyebabkan orang awam celaru dan bingung. Kesannya ialah terbentuk dualisme dalam kepatuhan dan ketaatan iaitu patuh kepada ulama dan patuh kepada umara.

Kepimpinan ulama berada pada tempatnya tersendiri. Ia adalah lambang kewibawaan dan karisma, penguasaan ilmu, pelaksanaan amal, wara' dan taqwa yang tidak selalu ditonjolkan.

Kepimpinan umara pula cenderung kepada fikiran, mengikut selera dan dilihat lebih dinamik dan menonjol.

Dalam keadaan ulama dan umara berbeza pandangan, umat perlu patuh kepada pemimpin selagi tidak berlaku maksiat dan zalim. Kesepaduan ulama dan umara akan membentuk sinergi kepimpinan yang dapat memacu kemajuan masyarakat sekali gus pembangunan negara. Sinergi yang dimaksudkan ialah dapat memberi aspirasi kepada masyarakat dengan melihat cakerawala pandangan yang luas tetapi tetap berpijak pada moral-moral Islam.

Kesepaduan kedua-duanya akan menzahirkan hadis Nabi saw:


"Ada dua golongan dari umatku, manakala keduanya berlaku baik, maka akan menjadi baiklah umat, akan tetapi keduanya berlaku jahat, akan rosak binasalah umat iaitu ulama dan umara."

Setiap keadaan, terdapat pemimpin yang lahir dan membesar bersama masyarakat. Perkembangan persekitaran, perubahan taraf hidup dan pendedahan ke atas nilai-nilai kerapkali mengubah perlakuan pemimpin. Perubahan yang ketara berlaku apabila mereka mendapat kedudukan, bukannya amanah masyarakat yang difikirkan tetapi kepentingan peribadi dan golongan sendiri yang diutamakan. Kelak muncullah sifat iri hati, dengki dan balas dendam.


Prinsip utama kepimpinan Islam ialah syura iaitu sistem penglibatan secara kolektif (jemaah) untuk mengeluarkan pendapat dan membuat keputusan serta kerangka bagi membentuk hubungan sosial. Seiring dengan tujuan penciptaan manusia, kekuatan yang mendorong ke arah tujuan ini ialah akidah yang benar dan syariat yang penuh toleransi.

Kepentingan syura sangat tinggi kerana ia menjadi urat nadi bagi pemikiran masyarakat. Di sini, penglibatan masyarakat dikongsi sepenuhnya kerana pemimpin menjadi pelayan bagi menunaikan hak dan keperluan mereka. Di sini juga, aspirasi dan inspirasi umat disalurkan untuk membawa kemahuan dan cita mereka ke tahap yang lebih cemerlang. Persoalan-persoalan besar yang menjadi "api dalam sekam" akan terlerai dan cair satu per satu.


Kuasa tidak berpusat kepada seseorang sebaliknya diagihkan. Konsep pengagihan kuasa ini selari dengan perkembangan agama Islam yang semakin membesar melangkaui pelbagai daerah dan sempadan. Dalam keadaan semakin membesar ini pun, pentadbiran Islam mampu menjadi satu warisan tamadun yang dijulang dalam sejarah.

Carleton S. (Carly) Fiorina, bekas CEO Hewlett-Packard Company meluahkan ketakjuban beliau dalam satu persidangan di Minneapolis, Minnesota, Amerika Syarikat pada 26 September 2001. Ucapan yang bertajuk "Technology, Business and Our Way of Life: What's Next?" menyelitkan ungkapan berikut:


"Pada suatu masa dahulu, wujud tamadun terbesar di dunia. Empayarnya begitu luas, bersambung-sambung dari lautan ke lautan, menjangkau kawasan utara, tropika dan padang pasir. Di bawah kuasanya terdapat ratusan juta manusia daripada pelbagai agama, bangsa dan keturunan. Salah satu bahasanya menjadi bahasa universal yang digunakan dalam percakapan sebahagian besar manusia hari ini.

Tentera-tenteranya dianggotai oleh manusia daripada pelbagai latar belakang dan penaklukannya mendatangkan keamanan dan kemewahan yang tidak ada tolok bandingan.

Perniagaan yang melibatkan tamadun ini berkembang dari Amerika Latin ke negara China dan antara kedua-duanya. Tamadun ini hidup subur digerakkan oleh ciptaan-ciptaan baru. Arkitek-arkiteknya mampu membina bangunan tinggi yang melawan graviti. Pakar-pakar matematiknya mencipta konsep algebra dan algoritma. Konsep-konsep ini membantu penciptaan komputer dan encryption pada hari ini. Tokoh-tokoh perubatannya menemui ubat-ubatan baru yang digunakan bagi merawat pelbagai penyakit.

Tokoh-tokoh astronominya meneropong langit dan memberi nama kepada bintang-bintang dan sekali gus membuka jalan kepada penerokaan angkasa lepas. Penulis-penulisnya menulis ribuan cerita. Tamadun yang saya maksudkan ini sebenarnya adalah tamadun Islam, yang berkembang dari tahun 800-1600 masihi."


Pengesahan dari seorang tokoh usahawan terkenal itu membuktikan betapa sistem pentadbiran dalam tamadun Islam berkesan bagi melahirkan ummah yang cerdas, rajin, bersungguh-sungguh, meluaskan horizon ilmu pengetahuan untuk memanfaatkan kelebihan ciptaan Tuhan, tahu sumber kekayaan bagi melaksanakan dakwah dan menjadikan ulama sebagai rujukan.

Peluasan gerak kerja dakwah menjadi elemen penting bagi kepimpinan Islam. Empayar Islam yang semakin membesar dan diterima di negara takluknya adalah lambang akhlak yang dibentuk melalui proses tarbiyah pemimpin-pemimpinnya. Hubungan tentera-tentera ini dengan masyarakat setempat memudahkan proses Islamisasi dilaksanakan dengan lancar.


Bagaimanapun kini ramai pemimpin dan ahli masyarakat yang membantah Islamisasi kerana percaya ia mengurangkan toleransi dan meningkatkan bilangan radikal Islam.

Sumber rujukan kepimpinan Islam

Selepas Rasulullah saw wafat, teraju kepimpinan umat diserahkan kepada khalifah. Khalifah yang sering disebut orang Islam ini sinonim dengan kalimah al-imamah iaitu kepimpinan umum dalam urusan-urusan agama dan dunia. Imam Al-Baidhawi berkata: "Al-imamah adalah perkataan yang digunakan untuk menunjukkan tentang seseorang yang menggantikan Rasulullah saw dalam melaksanakan undang-undang syara' dan menjaga batasan-batasan agama yang mana seluruh umat wajib mengikutinya."


Mereka yang dilantik menjadi khalifah bertanggungjawab menegakkan agama Allah dan berkuasa pula ke atasnya. Oleh itu, al-quran dan sunnah menjadi rujukan paling utama bagi kepimpinan Islam.

Mereka juga bertanggungjawab mengendalikan urusan orang-orang Islam dengan pelbagai syarat dan peraturan, sama ada urusan agama atau akhirat. Bagi melicinkan pentadbiran, dasar-dasar perundangan Islam lain juga mesti diambil: ijma', qiyas, istihsan, masaleh mursalah, 'urf dan sadduz zara'i di samping sirah Rasulullah saw.


Perubahan di dalam masyarakat yang sentiasa dinamik menghasilkan para cendekiawan yang pintar dan bijak. Mereka menghasilkan kitab, bahan rujukan yang sangat berguna dalam pelbagai cabang ilmu. Tentu sahaja sumber rujukan seperti ini boleh diguna pakai bagi meningkatkan kecekapan pemimpin Islam.

Kepesatan pembangunan telah menambah baik kualiti hidup masyarakat. Dalam UNDP Human Development Report 1995 memaklumkan bahawa dunia telah mengalami proses pembangunan dalam tempoh 30 tahun lalu. Tahun 2007 ini, pembangunannya tentulah lebih pesat, khususnya perkembangan kesihatan.

Di sinilah kepimpinan Islam peka dengan ilmu-ilmu berkaitan usaha meningkatkan kecekapan kepimpinan seperti psikologi, sumber manusia, komunikasi, teknologi maklumat dan sebagainya.


Peluasan ilmu bagi menambah sumber rujukan diluaskan lagi kepada ilmu yang berkaitan falsafah politik Islam, hidup Islam dan perubahan masyarakat. Ekonomi dan perundangan Islam yang berkaitan perkembangan semasa sentiasa menjadi sumber kepada kepimpinan Islam.

Kelemahan kepimpinan Islam


Selepas sistem khalifah, kepimpinan Islam bertukar kepada sistem feudal atau beraja. Ketika ini, ciri-ciri keagamaan masih utuh dan manhaj yang benar masih kekal. Tidak ada perubahan ketara kecuali kuatnya pengaruh kepuakan dan kuasa senjata menyebabkan sedikit demi sedikit ciri-ciri khalifah lenyap. Yang kekal hanyalah nama. Sistem raja yang bersifat mutlak mengambil tempat lalu menekan dan memaksa tanpa batasan. Kedudukan digunakan untuk memenuhi kepentingan peribadi.

Hilangnya roh khalifah bererti hilangnya semangat kepuakan Arab seterusnya generasi mereka yang tinggal adalah yang tidak berkualiti. Tinggallah raja yang berkuasa mutlak dengan faham bahawa mentaati raja adalah untuk mendapat berkat.


Kejahilan umat yang berakar umbi kepada kelekaan dalam kemakmuran mengundang sikap pesimis terhadap peranan kepimpinan. Pemisahan agama dan negara mengasingkan peranan ulama dan pentadbir. Masyarakat bertambah jahil dengan kemajuan negara dan konsep kebahagiaan di dunia dan akhirat. Hukum feqah menjadi topik hangat yang diperdebatkan sehingga umat terus dihimpit kejahilan dan kemiskinan. Dijajah adalah satu mala petaka dan merdeka adalah rahmat.

Hasjmy dalam buku Di Mana Letaknya Negara Islam? menyatakan punca kelemahan umat Islam kepada kepimpinan. Bangsa yang dapat membebaskan diri daripada penjajahan adalah bangsa yang mempunyai pemimpin yang berfungsi dengan sempurna.

Analisis Muhammad Assad juga menyetujui bahawa kebebasan akan menentukan nasib bangsa sendiri: "Dalam kehidupan setiap bangsa, cepat atau lambat, pasti akan datang suatu masa di mana nanti kiranya bangsa itu akan mendapat kebebasan bagi menentukan nasibnya sendiri, suatu masa di mana akan ada kepastian ke arah mana akan dituju dan zaman depan yang bagaimana yang akan dicapai."

Cabaran kepimpinan Islam masa depan


Tahun-tahun 1950-an dan 60-an menyaksikan banyak negara sedang berjuang untuk membebaskan diri atau baru mula merasai detik merdeka. Ketika ini pejuang-pejuang kemerdekaan dihormati dan dijulang kerana semangat nasionalisme yang berkobar-kobar. Yang ramai menjadi pemimpin ini ialah di negara-negara umat Islam. Mereka gagal menjadi pemimpin yang cemerlang selepas mengetuai kemerdekaan negara masing-masing kerana corak kepimpinan sebelum dan selepas merdeka sangat berbeza.

Fokus kepada pembangunan negara selepas merdeka ialah pembangunan ekonomi, menyusun keadaan sosial masyarakat dan mempastikan politik yang stabil. Corak kepimpinan yang diperlukan ialah mempastikan ciri-ciri sebuah negara dapat dipenuhi iaitu: a) mempastikan sempadan yang tetap dan diiktiraf, b) mempunyai penduduk yang tetap, c) kerajaan yang teratur, d) mempunyai kedaulatan iaitu berupaya untuk mengawal hal ehwal dalam negara dan kebebasan, e) mengadakan hubungan dengan negara-negara lain, dan f) mempunyai perlembagaan, agama rasmi, simbol negara dan sebagainya.

Kepimpinan Islam abad baru ini berhadapan dengan cabaran globalisasi dan integrasi ekonomi. Persaingan negara-negara Asia, Eropah, Amerika Utara, Amerika Latin dan Afrika untuk menguasai pasaran ekonomi dunia ditandai dengan kewujudan blok-blok ekonomi seperti APEC, EU, NAFTA dan ASEAN+3.


Kekuatan yang diperlukan oleh pemimpin Islam kelak bukan lagi terletak pada kekuatan peribadi semata-mata tetapi gabungan kekuatan peribadi, pemikiran dan pengaruh dalam membuat keputusan. Kekuatan moral juga tidak boleh ditolak tepi.

Bagaimanapun, semua elemen kekuatan tersebut tidak akan memberi sebarang erti jika pelaksanaan tanggungjawab didapati tidak berkesan. Justeru, pemimpin Islam harus bersedia dengan kepimpinan berorientasikan tindakan. Ini kerana, retorik bahasa dan kepetahan pidato tidak lagi mampu memberi nilaian yang baik kerana masyarakat semakin berpendidikan dan mereka mampu menilai bagi membezakan yang mana satu pemimpin berkesan dan yang mana satu tidak berkesan.

Hala tuju kepimpinan Barat


Cabaran yang dihadapi oleh pemimpin hari ini jauh lebih kompleks daripada sebelumnya. Ia berkait dengan membantu orang lain mencapai kejayaan. Kepimpinan tidak hanya dikaitkan dengan diri pemimpin sebaliknya orang yang dipimpin. Apabila melibatkan pengikut, pemimpin, sudah pasti berhadapan dengan tuntutan-tuntutan yang pelbagai, keupayaan jangka hayat teknologi yang singkat, peningkatan pengetahuan dan kemahiran yang sentiasa dikemas kini serta pelbagai perkara yang berlaku di luar jangka.

Aspek yang berkait dengan kepimpinan juga bertambah. Dari keselamatan (yang menjadi isu sejak 911), keadilan kehakiman, pendidikan, perlindungan daripada polis, pengangkutan darat, laut dan udara, kebajikan, kesihatan dan perumahan serta pelbagai lagi perkara yang perlu ditangani.

Seiring dengan keperluan dan kehendak negara, definisi kepimpinan di Barat, dalam konteks yang lebih luas, berakar umbi daripada tiga perkataan: demokrasi, sekularisme dan globalisasi.


Istilah politik di Barat sangat berbeza daripada konsep politik Islam. Persepsi Barat melihat politik Islam sebagai "totalitarianisme" yang dikaitkan dengan pemerintahan kuku besi. Barat juga bangga dengan sekularisme dan demokrasi yang muncul dengan pengaruh yang lebih besar selepas Revolusi Perancis di mana ia menekankan keseimbangan sosioekonomi kepada semua warganegara, pembentukan kerajaan secara pemilihan perwakilan dan slogan "satu individu, satu undi." Dalam erti kata lain, undi majoriti sangat penting dan individu mempunyai kebebasan untuk membuat keputusan.

Peranan pemimpin dalam masyarakat demokrasi ialah sebagai enjin pembangunan ekonomi yang sihat, menyediakan (sedaya upaya) pendapatan untuk kerajaan, asas kepada kebebasan masyarakat demokratik. Bagi mengawal aturan hukum, pendokong demokrasi ini membentuk perlembagaan supaya kerajaan dapat ditadbir dengan lancar.

Konsep Greek purba yang menggunakan istilah "liberty" agak jauh berbeza dengan demokrasi Barat kerana demokrasi lebih menekankan kebebasan tetapi kepimpinan Islam tetap mengekalkan keadilan dan kesaksamaan masyarakat yang menjadi kewajipan bagi memberi ruang kepada pembangunan dan penyerlahan potensi diri. Demokrasi tidak menjadikan kawalan peraturan Tuhan sebagai panduan dalam mentadbir kerana keupayaan manusia dianggap lebih sesuai.


Sejarah kepimpinan Barat "menyerang" dunia Islam melalui misi ketamadunan. Gelombang pertama mereka ialah ketika menemui jalan ke Timur sebagai pedagang dan mubaligh seterusnya gelombang kedua, mereka membawa senjata dan merampas tanah; lambang "duta dari tamadun kelas tinggi." Kepimpinan Barat memecahkan dominasi sistem kepimpinan Islam dan Timur dengan meletakkan penjajahan sebagai tema utama. Bermula dari saat itu, umat Islam sangat menderita akibat dasar politik hegemoni Barat.

Peristiwa yang paling rapat dengan kita ialah kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada 1511. Misi kedatangan Portugis ini terletak dalam konsep 4G iaitu gospel (agama), glory (kemenangan), geography (lokasi) dan gold (kekayaan). Ledakan ekonomi menjadi penyebab kuat kenapa kepimpinan Barat sentiasa mengekang kemajuan umat Islam di negara-negara yang dijajah.

Di India umpamanya, Sir W. W. Hunter menceritakan:


"Bukannya Muslim merasa rendah diri kepada Hindu. Ia adalah peranan British yang menyebabkannya berlaku. Sekarang, pejabat kerajaan di Calcutta yang menjadi tempat seseorang Muslim untuk mendapatkan kerja sebagai pengangkat barang, pelayan buka pintu, pengutus surat dan tukang perbaiki pen. 170 tahun yang lalu, amat mustahil untuk melihat Muslim di India menjadi miskin, tetapi sekarang amat mustahil baginya menjadi kaya."

Dalam bidang pendidikan, dengki dan iri hati sangat menebal dalam jiwa pemimpin Barat. Pengenalan sistem pendidikan di negara jajahan adalah untuk mematikan budaya intelektual dan sosiobudaya masyarakat. Sekolah-sekolah rakyat diperkenalkan supaya dapat menyanggahi tradisi, membenci agama dan memecahkan keharmonian.

Kesan ke atas masyarakat ialah melemahkan iman, agama dan budaya mereka.

Kamal Attaturk adalah contoh kepada dasar ini. Beliau bukan sahaja seorang yang menyanjung tinggi Tuhan Baru (peradaban Barat) malah tidak menaruh kepercayaan kepada agama. Peribadi Kamal Attaturk sangat ego, cepat marah dan memberontak, suka kepada perempuan dan minuman keras kerana tidak ada yang dapat mententeramkan roh dan jiwanya.


Kejayaan Kamal Attaturk dididik oleh sistem Barat boleh diamati dalam kata-katanya: "Kita harus memakai pakaian bangsa-bangsa maju yang beradab." Beliau menggantikan tarbus dengan topi dan mengharamkan pemakaian tudung kepala bagi wanita Turki. Dia beranggapan dengan cara ini orang Turki dapat berubah dan hidup sama seperti orang Barat.

Kejatuhan khalifah Othmaniyah pada 1924 mengulangi sejarah kejatuhan kerajaan Islam Andalusia, Sepanyol. Kejayaan kerajaan Islam berkenaan merosot apabila perubahan sikap pemimpin mereka ke atas pencarian ilmu pengetahuan dan kejahilan mengenai pembangunan. Gerakan Al-Murabitun dan Al-Muhabidun dari Afrika Utara yang mengawal Andalusia menghalang pengajian semua subjek kecuali yang berkaitan dengan agama Islam. Pengajian falsafah Greek dan sains tidak digalakkan dan akhirnya diharamkan.


Pada masa yang sama, Andalusia semakin lemah dan berpecah. Satu demi satu wilayah ini jatuh ke tangan Raja Sepanyol. Berakhirnya 800 tahun kepimpinan Islam di Sepanyol tidak dapat disangkal lagi disebabkan oleh pengabaian kepada ajaran-ajaran Islam.

Bagi mengatasi rasa bersalah dan rendah diri, intelektual Islam mengisytiharkan bahawa kehidupan di dunia ini adalah bukan untuk umat Islam kerana syurga disediakan untuk mereka di akhirat kelak

Seperti kata Carly Fiorina, tamadun Islam dulu memberi sinar kepada Barat untuk maju pada hari ini. Tetapi kepimpinan Islam tidak mampu mengulangi lagi kejayaan lalu kerana kepimpinan Barat telah menjadikan umat Islam miskin dan mundur.


Corak berfikir pemimpin-pemimpin Barat sangat jauh kehadapan bagi mempastikan Barat sentiasa mendominasi dunia. Istilah "Order Baru Dunia" dan globalisasi adalah usaha berterusan kuasa Barat bagi menyerap cara hidup Barat ke seluruh dunia. Internet, pasaran bebas, hak asasi manusia dan sokongan kuat kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atas nama demokrasi mencipta imaginasi serong istilah moden dan dan progresif yang mengubah paradigma masyarakat dan dianggap menyerahkan adat serta budaya mereka kepada pengaruh Barat.

Sekularisme sering dikatikan dengan era kebangkitan di Eropah. Ia memainkan peranan utama dalam memberi hala tuju peradaban Barat. Ia mengambil pendirian menjauhkan diri daripada pengaruh agama dan menjadikan kemodenan sebagai matlamat.

Kepimpinan Barat menjadikan sekularisme sebagai pendinding kepada peluasan pengaruh agama. Setiap keputusan yang diambil adalah berdasarkan rasionalisasi yang didokong oleh kekuatan imu pengetahuan, kesan daripada penyelidikan dan kebebasan berfikir. Pemimpin-pemimpin sekular cepat melenting dan akan menghalang serta-merta jika mana-mana masyarakat sesebuah negara cuba melawan atau mencabar amalan ini.

Perancis adalah contoh negara sekular yang kerap diasak dengan cabaran-cabaran ini. Isu pemakaian tudung kepala di sekolah dan penggunaan simbol agama oleh pelajar acapkali diiringi tindakan tegas. Dengan penduduk Islam seramai lima juta orang, Perancis sangat tegas mempertahankan dasar sekularisme berkenaan dan tidak membenarkan mana-mana pihak cuba menjejaskannya.


Selain Perancis, negara-negara scandinavia juga mengamalkan konsep ini. Pemimpin-pemimpin mereka tidak kisah jika media negara menerbitkan sebarang bentuk cemuhan kepada mana-mana pihak atas alasan kebebasan media. Aturan hidup masyarakat mereka juga terlalu longgar kerana nilai yang diwarisi oleh generasi sekular tidak mempedulikan hak orang lain. Pemimpin-pemimpin sekular Barat sendiri, dengan kepercayaan penuh terhadap prinsip sekularisme, membimbing rakyat mereka ke arah masyarakat yang memandang rendah terhadap agama. Negara-negara berkenaan juga didapati mempunyai keinginan yang lemah untuk menjunjung kepercayaan beragama.

Proses sekularisasi di Barat menimbulkan krisis global kerana peningkatan terhadap kepercayaan beragama bertentangan dengan prinsip sekularisme yang didokong oleh kuasa-kuasa Barat yang berpengaruh. Prof. Syed Naquib Al-Attas juga mengungkapkan "... secularization is becoming a global crisis" memang ternyata telah berlaku.


Masyarakat yang memperlekeh agama akan menunjukkan pelbagai bukti betapa sekularisme adalah pilihan terbaik bagi membangunkan negara.

Dalam laporan Indeks Persepsi Rasuah 2007 yang baru diumumkan, lima buah negara scandinavia iaitu Dernmak, Finland, Sweden, Iceland dan Norway adalah antara sepuluh buah negara yang paling kurang rasuah di dunia. Setelah diamati, semua negara ini bukanlah mementingkan sangat anutan agama masyarakat sebaliknya mengguna pakai apa saja cara untuk memajukan negara walaupun dengan menolak kepercayaan agama.


Menyelidiki dengan lebih mendalam ungkapan Prof. Syed Naquib, jika diperhatikan, kesan sekularisme ke atas lima buah negara ini memang sangat relevan. Maklumat terkini dan lengkap mengenai negara-negara di dunia terdapat di Central Intelligence Agency (CIA), Amerika Syarikat dan lima buah negara berkenaan menunjukkan kadar kesuburan yang rendah dengan Sweden mencatat 1.66 , Finland (1.73), Dernmak (1.74), Norway (1.78) dan Iceland (1.91). Kadar kesuburan yang rendah tidak dapat mengimbangi jangka hayat masyarakat mereka yang rata-ratanya mempunyai umur yang panjang. Sweden menjadi negara utama dengan jangka hayat sehingga 80.63 tahun, diikuti Iceland (80.43), Norway (79.67), Finland (78.66) dan Dernmak (77.96).

Krisis ini bertambah besar apabila isu keselamatan, keselamatan sosial, kesihatan dan penguncupan kadar kelahiran digabungkan sekali. Sukar bagi kerajaan mereka menampung bayaran pencen warga tua. Jadi siapa yang harus mengisi tenaga kerja da menampung keperluan keselamatan sosial ini?

Jawapannya ialah migrasi.


Pada 1999, sekitar 16 juta pekerja asing di Eropah Barat menjana pendapatan sebanyak US$46 bilion. Kehadiran pekerja asing ini dapat mengekalkan daya saing dan memenuhi keperluan domestik negara-negara Eropah. Pada masa yang sama, kehadiran begitu ramai pekerja asing membawa pula masalah baru iaitu krisis identiti penduduk tempatan. Isu ini menjadi perdebatan hangat di Barat dan telah dijadikan senjata utama oleh parti politik sayap kanan untuk meraih undi dalam pilihan raya.

Krisis yang menjadi telahan Prof. Syed Naquib telah pun berlaku dan akan terus bertambah parah kerana ramai yang menjadi pekerja dan pendatang asing ini beragama Islam. Mereka membawa sekali agama, adat dan budaya ke dalam masyarakat tempatan. Ianya mengancam kepercayaan agama masyarakat negara tersebut dan menjadi bahan perbincangan di media massa yang dibuat secara terbuka.


Jim Moret, pengacara Inside Edition ketika melaporkan pengislaman Angela Collins menyatakan terdapat kira-kira 20,000 penganut Islam setiap tahun di Amerika Syarikat dan jumlah ini semakin bertambah.

Apa yang menakutkan Barat dan kepimpinan Barat sekarang ialah proses sekularisme yang mereka pertahankan sedang diancam oleh proses Islamisasi yang bahangnya dirasakan oleh umat Islam di Dernmak dan negara-negara lain.


Sekularisme bergandingan dengan atheisme untuk mencorakkan pembangunan negara-negara Eropah dan Barat ketika mana agama diketepikan. Pendokong sekularisme menjadi sombong disebabkan pengetahuan saintifik mereka yang menolak kehadiran Tuhan untuk menentukan sesuatu. Mereka berbangga dapat mengklon semua jenis kehidupan termasuk manusia, menjelajah angkasa raya dan planet, memanipulasi ekonomi dunia dengan sifat tamak dan mengesampingkan nilai-nilai moral.

Institusi perkahwinan rosak kerana sekularisme. Berzina dan melahirkan anak luar nikah tidak menjadi perhatian lagi dan perkahwinan sesama jenis diterima dan tidak lagi disembunyikan. Dosa-dosa yang ditakrifkan oleh agama tidak lagi diterima.


Kepimpinan Barat juga berlumba-lumba mencipta senjata canggih bukan untuk mempertahankan diri sebaliknya menjaja teknologi senjata tersebut kepada negara-negara lain dan mencipta peperangan. Masyarakat pelbagai negara diadu domba supaya mendapatkan senjata terkini dengan alasan pertahanan negara diperkuatkan.

Ancaman sekularisme sangat bahaya. Kepimpinan Barat akan sentiasa meningkatkan pelbagai jenis serangan ke atas kehidupan beragama manusia melalui penyebaran bahan yang tidak bermoral dan menyanggahi nilai tradisi masyarakat. Kelekaan dan kebanggaan terhadap pengetahuan serta teknologi yang dimiliki Barat memusnahkan sama sekali kepercayaan terhadap agama dan menjadikan mereka terus angkuh, menolak peranan Tuhan kerana merasakan Tuhan tidak diperlukan lagi justeru sains telah memberi jawapan kepada setiap persoalan yang berlegar dalam kehidupan manusia hari ini.

Islam, Barat dan cabaran semasa

Hari ini umat Islam dan kepimpinan Islam berada pada kedudukan yang sangat lemah. Bilangan 1.2 bilion umat Islam yang bernaung di bawah Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) tidak mampu sama sekali memberi pengaruh ke atas kuasa hegemoni Barat yang dikepalai oleh Amerika Syarikat. Keadaan ini menyebabkan sesetengah pemimpin Islam menggesa diwujudkan kembali persekitaran politik dan sosial seperti mana zaman Nabi Muhammad saw dengan anggapan itulah penyelesaian kepada masalah umat Islam sekarang.

Pemikiran golongan ini sangat tidak berkembang kerana tidak mahu menerima hakikat realiti semasa hari ini yang berubah dengan pantas. Mereka tidak mahu membuat penyesuaian terhadap perubahan dunia. Bagi jangka masa panjang, mereka akan ketinggalan dalam serba-serbi dan akhirnya tewas.


Kemunduran umat Islam dan pasifnya pemimpin-pemimpin Islam bukannya kerana Islam gagal membawa kejayaan atau Islam sememangnya mendatangkan nasib buruk, sebaliknya umat Islam telah melencongkan kefahaman Islam yang sebenar. Hal ini berlaku kerana pelbagai sebab: politik, kedudukan dan kuasa.

Cabaran pemimpin-pemimpin Islam ialah mengembalikan kefahaman Islam supaya pelencongan pentafsiran dapat dimurnikan semula. Mengawal penyebaran pengetahuan yang menyanggahi amalan tradisi dan budaya yang melemahkan pemikiran umat.


Kebimbangan dan kerisuan pemimpin Islam di seluruh dunia ialah menjangkakan kesan jangka masa panjang ke atas anak-anak muda Islam. Muhammad Assad dalam buku "Islam at the Crossroads" berkata: "Kesan utama yang disebabkan oleh sejarah mereka (Barat) ke atas pemikiran orang-orang muda bukan Eropah ialah perasaan rendah diri terhadap budaya, sejarah silam dan masa depan mereka sendiri. Secara sistematik anak-anak muda ini diajar untuk menghina masa depan mereka."

Globalisasi memberi ruang kepada manusia di seluruh dunia untuk bergerak dan merentas sempadan dengan mudah. Sangat sukar bagi sesebuah negara mengekalkan konsep negara bangsa yang tunggal. Migrasi menyebabkan wujudnya negara pelbagai bangsa kerana manusia berlumba-lumba mencari kehidupan yang lebih baik.


Tetapi migrasi menyebabkan krisis besar dalam demokrasi. Walaupun demokrasi dikatakan dapat memberi ruang yang lebih besar kepada masyarakat ketika memilih pemimpin, desakan memberi ruang kepada pemilihan pemimpin minoriti mengundang polemik. Adakah pemimpin yang dipilih itu benar-benar mewakili suara kumpulannya atau sebagai boneka sahaja?

Dalam konteks negara pula, mana-mana negara yang gagal melaksanakan demokrasi, rakyat, pemimpin dan negara akan dikenakan sekatan ekonomi, politik dan sosial. Kanak-kanak, orang tua dan wanita turut sama merasai tekanan ini kerana masyarakat memberi ruang kepada pemilihan pemimpin yang bukan demokratik. Keadaan di Myanmar ketika ini adalah contoh bagaimana sebuah negara dikenakan sekatan, akibat daripada kegagalan melaksanakan demokrasi. Perang Dunia Kedua dahulu juga boleh dijadikan iktibar. Dengan dua biji bom atom, negara Jepun yang angkuh dengan slogan "Asia untuk Asia" bertukar menjadi negara demokrasi.


Barat, dengan kuasa kepimpinan dunia berada di tangan mereka boleh melakukan apa sahaja bagi memaksa sesebuah negara untuk menerima demokrasi.

Ekonomi menjadi tonggak kepada pembangunan sesebuah negara. Bagi mengukuhkan dominasi ekonomi dunia, kepimpinan Barat mencipta agensi-agensi yang dapat mempertahankan status quo mereka dalam penguasaan ekonomi dunia. Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan blok-blok ekonomi diperkasa dengan mengikut telunjuk Barat.


Kepimpinan Islam berhadapan dengan penguasaan ekonomi Barat yang entah bila akan tamat. Yang boleh dibuat oleh pemimpin-pemimpin Islam ialah berfikir bagi mempastikan perbelanjaan negara berada dalam kedudukan yang kukuh dan meningkatkan simpanan. Juga mereka harus berfikir tentang keupayaan tamadun-tamadun besar dunia memajukan masyarakat mereka seperti di Saba, Yaman, Babylon di Iraq, empayar Roman dan kerajaan Islam Andalusia.

Isu pengganas dan keselamatan menjadi acahan Barat untuk memaksa masyarakat dunia menerima dan mengikut kehendak mereka. “Anda bersama kami, atau menjadi musuh,” adalah ucapan Presiden George W. Bush ketika mencanangkan perang terhadap keganasan. Ucapan tersebut sangat jelas sebagai pewujudan strategi global Amerika Syarikat untuk menguasai dunia.


Dengan kecenderungan Islamofobia menjadi semakin genting, peranan pemimpin-pemimpin Islam semakin besar dan usaha memberi kefahaman serta gambaran yang jelas mengenai Islam tidak lagi dapat dilengahkan. Nabi Muhammad saw, walaupun tidak dapat menguasai satu per tiga dunia semasa di Mekah dan Madinah, terpaksa juga melalui pelbagai cabaran besar untuk beberapa tahun berdakwah. Tidak sempat melihat Islam berkembang, baginda saw sebenarnya telah membina model dunia Islam yang menjadi pemangkin kepada kegemilangan tamadun Islam.

Kesimpulan daripada artikel ini, mengulangi sejarah tamadun Islam sangat sukar ketika umat sedang lemah. Tetapi semangat kejayaan tentera-tentera Islam menakluki wilayah asing harus disemat dan dijadikan teladan kerana negara yang ditakluki bukannya berasa takut dengan kehadiran tentera Islam yang pelbagai latar belakang, sebaliknya kehadiran mereka sangat dinantikan. Tentera-tentera ini tidak menimbulkan huru-hara sebaliknya membawa keamanan dan kesejahteraan. Diulangi kembali petikan ucapan Carleton Fiorina, bekas CEO Hewlett-Packard Company iaitu: "Tentera-tenteranya dianggotai oleh manusia daripada pelbagai latar belakang dan penaklukannya mendatangkan keamanan dan kemewahan yang tidak ada tolok bandingan."


Rujukan

A. Hasjmy.1970. Di Mana Letaknya Negara Islam? Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd.
Ab. Aziz Yusof.2004. Kepemimpinan Dalam Mengurus Perubahan. Petaling Jaya, Selangor: Pearson Malaysia Sdn Bhd.
Abul Hasan Ali Al Husmi An Nadwi.1983. Pertarungan antara alam fikiran Islam dengan alam fikiran Barat. Bandung, Indonesia: P.T. Al Ma'arif. Edisi terjemahan.
Ali Abdul Raziq.2004. Islam dan Dasar Pemerintahan. Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar. Edisi terjemahan.
Aminudin Mohd Yusof.1994. Kepimpinan, motivasi dan prestasi: Model guru dan tentera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Andek Masnah Andek Kelawa.1999. Kepimpinan Wanita dalam Islam: Kedudukannya dalam Syariah. Bangi, Selangor: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Corrado G.M. Letta.2007. Can Asians Think? Can Europeans Listen? Kuala Lumpur: Asia-Europe Institute, University of Malaya.
Danial Zainal Abidin.2006. 7 Formula Individu Cemerlang. Kuala Lumpur: PTS Millennia Sdn Bhd.
Imam Munawwir.1985. Mengapa Umat Islam Dilanda Perpecahan? Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd.
John Adair.1988. Developing Leaders. Surrey, UK:The Talbot Adair Press.
Khadijah Aam.2006. Abuya Ashaari Muhammad: Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya. Rawang, Selangor: Penerbitan Minda Ikhwan.
Kurshid Ahmad.1979. Islam and the West. Lahore, Pakistan: Islamic Publications Ltd.
Mahathir Mohamad.2006. Islam, knowledge and other affairs. Kuala Lumpur: MPH Group Publishing (M) Sdn Bhd.
Mohd Najib Tun Razak.1996. Leadership Models of Asia in the 21st Century. Kuala Lumpur: Malaysian Strategic Research Centre.
Muhammad Assad.1999. The Principles of State and Goverment in Islam. Kuala Lumpur: Islamic Book Trust. The paperback edition
_________.1969. Islam at the Crossroads. Lahore, Pakistan: Arafat Publications. Ninth edition.
Roberts Banks dan Kimberly Powell. 2000. Faith in Leadership: How Leaders Live Out their Faith in their Work- and Why it Matters. San Francisco, USA: Jossey-Bass Publishers.
Roziah Sidik.2004. Genius Muhammad bin Abdullah. Bentong, Pahang: PTS Publications & Distributors Sdn Bhd.
Shaikh Sofiy Al-Rahman Al-Murakfuri.2005. Sirah Rasulullah (SAW). Kuala Lumpur: Penerbitan Seribu Dinar.
Syed Muhammad Naquib Al-Attas.1993. Islam and Secularism. Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilazation.
Yusuf Qardhawi.2004. Sanggahan Salah Tafsiran Islam. Semenyih, Selangor: Synergymate Sdn Bhd. Edisi terjemahan.
Taufik As-Syawi.1997. Syura Bukan Demokrasi. Jakarta: Gema Insani Press. Edisi terjemahan.
Tariq Ramadhan.2001. Islam, the West and the Challenges ini Modernity. Leicester, UK: The Islamic Foundation.
Former HP CEO Talks about Islamic Civilization dilayari di
http://youtube.com/watch?v=ejG7xI2wSyc
Angela Collins - Muslim Convert weeks after 9/11 Incident dilayari di http://www.youtube.com/watch?v=j6PJgJdEzNM

Thursday, September 27, 2007

Tabiat 10 Membuat catatan dan kemas kini hala tuju (2-akhir)

Menganjak Paradigma

Minda mempunyai pengaruh yang sangat penting di dalam kehidupan seseorang. Minda yang bersih akan memancarkan individu yang hebat, berani menghadapi cabaran, redha dengan takdir dan melihat setiap peristiwa dengan kebaikan dan syukur.

Rasululah saw bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud,

“Sungguh menakjubkan segala perkara bagi orang yang beriman, dan semua itu baik baginya dan hal itu tidak dimiliki oleh selain orang yang beriman; iaitu jika dia mendapat kebaikan atau kesenangan, dia akan bersyukur dan yang demikian itu baik baginya, dan jika dia terkena hal yang tidak menyenangkan, dia akan bersabar dan hal yang demikian itu baik baginya.”

Menganjak paradigma bermaksud mengubah kerangka pemikiran sedia ada ke arah pembentukan kerangka pemikiran yang baru, yang dapat membawa kejayaan dan kecemerlangan dalam hidup seharian.

Sekiranya anda mahu berkuasa, berlagaklah seolah-olah
anda sedang berkuasa - Pepatah Lama

Victor Seribriakott adalah seorang pelajar yang sama seperti rakan-rakanya yang lain. Ketika berumur 15 tahun, gurunya merendah-rendahkan keupayaannya dan mencadangkan supaya berhenti sekolah kerana bodoh. Gurunya turut mencadangkan supaya Victor mencari kerja biasa. Victor mengiyakan kata-kata gurunya. Semasa berumur 32 tahun, Victor tergerak untuk mengambil ujian kepintaran, dan keputusannya? Dia mendapat 161 markah yang mengukur IQ, lebih tinggi daripada rakan-rakannya yang lain.

Sejak itu beliau bertukar daripada individu yang dikelilingi “kebebalan diri” kepada “aku cemerlang.” Beliau menjadi penulis dan akhirnya dilantik sebagai Presiden Mensa International Society.

Tetapkan matlamat. Inilah kunci kepada kejayaan anda. Hampir kesemua individu yang berjaya dan mencetuskan perubahan adalah mereka yang menjadikan matlamat sebahagian daripada hidup. Jika anda mahukan kehidupan yang berjaya dan bahagia, anda perlu melakukan tindakan yang sama.

Pastikan matlamat anda khusus dan jelas supaya ia memberi tenaga kepada setiap usaha fizikal dan mental anda. Tenaganya samalah seperti yang terdapat pada anak panah murid pendeta yang meluru tepat ke arah mata burung.

Satu matlamat. Satu sasaran. Satu fokus. Hanya ada satu cara untuk anda mencapai matlamat. Hanya ada satu formula yang anda boleh percaya. Hanya ada satu petua untuk membuat perubahan positif dalam hidup anda. Satu cara itu ialah kerja. Anda memerlukan keupayaan dan keberanian untuk melaksanakan impian anda dan memperuntukkan masa yang cukup ke atas usaha berkenaan.

Kurang daripada 1 peratus kejayaan bergantung pada nasib. Selebihnya 99 peratus adalah usaha dan doa anda. Jika anda bersedia untuk bekerja kuat, gigih dan berdisiplin, ruang untuk anda gagal amatlah tipis.

Wednesday, September 26, 2007

Tradisi Ivy atau Oxbridge

Usaha kerajaan Malaysia hendak mewujudkan sebuah dua universiti apex seperti yang dinyatakan dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi sangat merangsang fikiran. Mungkin rakyat Malaysia, terutamanya kalangan intelektual, berdebar menunggu apakah modeliti yang bakal digunakan oleh Malaysia.

Adakah Malaysia akan mencipta modelitinya sendiri bagi melahirkan universiti apex atau akan menyerah sahaja kepada pelbagai badan pengeluar ‘ranking’ seperti akhbar Times Higher Education Supplement (THES) dan banyak lagi.

Raffles dalam Memoir Lady Raffles hampir dua ratus tahun yang lalu menyatakan bahawa beliau pernah bercadang mendirikan sebuah universiti di Malaya yang bukan hanya untuk Malaya sebaliknya untuk region yang melewati sempadan Malaya. Alasannya ialah wilayah ini tidak sekali-kali kekurangan tradisi ilmu tinggi berbanding apa yang ada di Eropah. Yang perlu ialah sebuah institusi yang boleh mengumpul ilmu tinggi di wilayah ini ke dalam suatu sistem, iaitu universiti. Jika pendapat Raffles ini diyakini juga oleh para pemimpin Malaysia sekarang dalam melihat pengajian tingginya, dijangka universiti apex Malaysia akan muncul dengan modelitinya sendiri.

Sebagai panduan untuk mencari modeliti universiti apex Malaysia, kita mungkin boleh merujuk sekurang-kurangnya tiga modeliti universiti yang boleh dipanggil sebagai apex di dunia: model Bologna-Paris di Eropah, model Ivy League di Amerika Syarikat dan model Oxbridge di Great Britain. Meneliti model-model ini, kita akan menemui kepelbagaian asal-usul kewujudannya.

Model Bologna-Paris menunjukkan kewujudannya berdasarkan keutamaan pengajian. Paris menekankan teologi kerana dia diwujudkan oleh kuasa gereja bagi melahirkan ahli agama, sementara Bologna menekankan ‘hujah’ atau reason yang kemudiannya mencipta undang-undang kanun.


Bologna diwujudkan oleh golongan yang sudah sedia intelektual. Dari sana mereka menjadi universiti apex seawal 200 tahun sebelum Melaka dibuka. Jika ini modelitinya, universiti apex di Malaysia mungkin akan memilih sebuah universiti liberal arts dan sebuah universiti khusus atau teknikal. Kedua-duanya akan menyumbang kepada pembinaan tamadun hadapan Malaysia melalui dua jalur garisan selari, tetapi tidak sama.

Bagi model Oxbridge pula, tradisinya penuh dengan tradisi persaingan. Oxford dilahirkan apabila rakyat England yang asalnya mahasiswa di Universiti Paris dihantar pulang, antaranya kerana ada konfrontasi istana di antara dua negara. Selain daripadanya, mereka ingin bebas daripada kekuasaan gereja terhadap universiti. Sebelumnya England tidak ada universiti.

Universiti Cambridge pula tertubuh daripada larinya mahasiswa dan guru di Oxford kerana sekali lagi inginkan kebebasan daripada kuasa mahkota. Oleh kerana sejarah yang demikian, persaingan sentiasa menjadi sengit. Jika modeliti ini pula dipilih oleh Malaysia, universiti apex ini nanti akan muncul atas perlumbaan sengit sesama universiti yang ada di Malaysia kini dan akan datang.


Model Ivy juga sangat menarik diperhatikan. Universiti Ivy di Amerika Syarikat kini terkenal sebagai antara sepuluh universiti teratas dalam ranking dunia. Lapan buah universiti dikelompokkan dalam kumpulan ini iaitu Universiti Brown, Columbia, Cornell, Dartmouth, Harvard, Pennsylvania, Princeton dan Yale.

Yang saya katakan menarik ialah konsep Ivy tidak berasal daripada kecemerlangan ilmiah sebaliknya adalah bermula daripada liga sukan. Oleh itu, berbeza dengan tradisi Oxbridge yang saling bersaingan idea, tradisi Ivy lebih berbentuk bagaimana mereka boleh bekerjasama menganjurkan sukan. Yang bersaing ialah sukannya tetapi mereka bersatu dari segi organisasi.

Melalui kerjasama organisasi ini, mereka kemudian berjaya menjadi cemerlang dalam bidang ilmiah sehingga Lord Robins, yang mengkaji semula kedudukan pengajian tinggi di England, mengakui bahawa universiti di Amerika Syarikat, walaupun telah ditubuhkan oleh kuasa kolonial Inggeris, telah jauh berada di hadapan berbanding universiti negara bekas penjajahnya. Perlu diulang sebut bahawa tradisi Ivy tidak berasaskan tradisi persaingan.


Satu perkara yang wajar diperhatikan ialah, kesemuanya – Paris-Bologna, Oxbridge dan Ivy tidak muncul melalui pengisytiharan kerajaan. Sebaliknya mereka muncul melalui proses yang sangat natural.

Rakyat Malaysia menunggu adakah kerajaan akan mengisytiharkan universiti yang akan menjadi universiti apex seperti sebuah negeri di Malaysia pernah mengisytiharkan negeri itu sudah menjadi negeri maju sepenuhnya, atau sama seperti kerajaan mengisytiharkan beberapa universiti sebagai universiti penyelidikan tidak lama dulu.

Walaupun cara seperti ini tidak begitu biasa berlaku di negara yang sudah maju sepenuhnya, ia tidak akan pelik jika berlaku di Malaysia dan ia bukanlah suatu kesalahan. Ini mungkin acuan kita dan kita tidak perlu rasa bersalah dengan cara itu kerana budaya kita memang kaya dengan tradisi ceremonial. Tentulah nanti akan ada acara gilang-gemilang untuk melancarkan universiti apex itu.

Beberapa modeliti yang telah saya kemukakan mungkin boleh menjadi panduan pemimpin kerajaan dalam membuat persediaan sebelum memutuskan bagaimana universiti apex Malaysia harus muncul. Jika model Bologna-Paris hendak dipilih, kerajaan boleh melihat beberapa alternatif. Antaranya mungkin kombinasi universiti awam-universiti swasta, kombinasi liberal arts-teknikal atau khusus, dua atau lebih universiti tertua, dan ada beberapa cara lagi.

Jika model Oxbridge hendak digunakan, mungkin boleh dicari apakah ada ideologi tertentu yang saling bertentangan antara universiti di Malaysia seperti ideologi ekonomi, ideologi agama, ideologi falsafah dan sebagainya.


Tujuannya supaya negara akan sentiasa mendapat yang terbaik daripada dua aliran pendapat yang sentiasa berbeza dalam melihat pelbagai isu ilmu, kemasyarakatan dan keagamaan. Apabila negara berada di persimpangan, misalnya menghadapi kemelut ekonomi seperti yang pernah berlaku pada tahun 1997, dua universiti akan berperang bagaimana cara untuk menghadapi masalah itu.

Apabila bajet dibentangkan, dua universiti ini akan sentiasa memberi pendapat yang bertentangan. Demikian pula dalam mengeluarkan fatwa keagamaan. Akhirnya negara boleh memilih yang paling sesuai dan praktikal untuk kesejahteraan rakyat.

Kekuatan

Jika Malaysia ingin berinovasi dengan cara Ivy pula, mungkin kerajaan boleh menggabungkan beberapa universiti yang sudah sangat kuat. Bayangkan apa akan terjadi jika Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Pertanian Malaysia (UPM), yang telah diakui kekuatan mereka dalam penyelidikan di Malaysia, digabungkan menjadi sebuah universiti sahaja dengan empat kampus berlainan. Jumlah pelajarnya akan menjadi 90,000 orang.

Jumlah pensyarahnya yang juga saintis akan menjadi lebih 8,000 orang di bawah satu bumbung pentadbiran. Nilai aset keempat-empat universiti itu jika disecuritize akan bernilai lebih RM10 bilion. Universiti baru itu boleh berdiri sendiri dari segi kewangan bukan setakat seperti sekarang menyumbang 20 peratus untuk belanja operasi setiap tahun. Saya fikir universiti baru hanya memerlukan satu malam untuk mendapat tempat sepuluh universiti terbaik di dunia. Kerajaan Malaysia tidak perlu menunggu lama untuk hal ini terjadi.

Jika penggabungan ini berlaku, beberapa universiti lain di Malaysia juga mungkin sesuai digabungkan mengikut suatu cara tertentu. Contohnya, semua universiti yang muncul pada atau selepas tahun 1980 boleh digabungkan menjadi sebuah universiti yang mengamalkan sistem federal seperti sistem University of California, State University of New York (SUNY) dan sistem University of Wales.

Ini bermakna, Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak dan beberapa lagi universiti yang asalnya kolej universiti akan digabungkan menjadi sebuah universiti sahaja dengan sistem cawangan. Atau, suatu cara lain ialah semua universiti teknikal dengan diketuai oleh UTM akan bergabung menjadi sebuah universiti teknikal unggul seperti Universiti CALTEC atau yang boleh setara MIT di Boston.

Pada kesudahannya hanya ada lima sistem universiti sahaja di Malaysia iaitu Sistem Universiti Nasional Malaysia atau ‘Malaysia National University System’ (UM, UKM, UPM, USM, UTM), Universiti Teknologi Mara, Sistem Universiti Malaysia Moden atau ‘Modern Malaysia University System’ (UUM, UMS, UNIMAS, UMT, UMAP dan lain-lain), Universiti Syarikat Berkepentingan Kerajaan atau Malaysia GLCs’ University (MMU, Universiti Petronas, Universiti Tenaga, Universiti Islam) dan universiti swasta. Bayangkan kekuatan lima sistem itu belayar (bukan bersaing) di pentas dunia.

Cara berfikir begini mungkin asing bagi mereka yang sentiasa memikirkan persaingan seperti tinju satu lawan satu sesama sendiri dalam dunia akademik. Bagi mereka yang memilih untuk belayar di lautan biru yang luas, mereka akan melihat kekuatan bahtera universiti Malaysia melayari lautan ilmu dan bakal menemui sumber kekayaan yang baru. Saya percaya Timbalan Perdana Menteri yang dikatakan berminat dengan Strategi Lautan Biru dapat memahami cadangan ini.

Adakah ini akan menghilangkan tradisi? Memang sebahagian tradisi itu akan hilang dan suatu tradisi baru akan terbina.

Bagaimana pula nilai sentimental? Untuk sementara, tentulah akan ada tangisan di sana-sini seperti hilangnya Bank Bumiputera yang kini menjadi CIMB atau seperti Guthrie dan Sime Darby yang akan mungkin mendapat nama baru di bawah Synergy Drive. Soalannya mudah: Mahukah? Beranikah? Namun jawapannya tentulah tidak semudah menyoal.

Oleh Tan Sri Nordin Kardi, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia. Utusan Online

Tuesday, September 25, 2007

Ilmu keibubapaan kawal kes sosial

Kes membabitkan kanak-kanak hilang yang kemudian menjadi mangsa rogol atau penderaan seksual dan pembunuhan kejam bukanlah masalah baru di negara kita. Satu demi satu kes sebegini dilaporkan. Apabila dilaporkan secara meluas semua pihak, ibu bapa khususnya akan berasa tidak senang duduk dan khuatir terhadap keselamatan anak masing-masing.

Kes terbaru iaitu tragedi yang menimpa Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang ditemui mati Isnin lalu dengan kesan penderaan seksual dan mayatnya diletakkan di dalam sebuah beg sukan, hampir sebulan selepas kehilangan dari rumah keluarganya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, mencetuskan kemarahan masyarakat yang mahu melihat orang bertanggungjawab diburu sampai ke lubang cacing.

Namun, sejauh mana kes seumpamanya benar-benar memberi pengajaran kepada semua pihak? Kes kanak-kanak dan remaja hilang atau melarikan diri dari rumah nampaknya seperti tidak berkesudahan.

Perangkaan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini saja melaporkan 759 kes kanak-kanak dan remaja hilang dari rumah. Siapa harus dipersalahkan – ibu bapa, kanak-kanak dan remaja itu sendiri, masyarakat atau pihak berkuasa yang gagal menangani isu ini dengan berkesan.

Sebenarnya, semua disenaraikan itu mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing untuk membendung masalah berkenaan daripada berpanjangan.

Pembunuhan kejam Nurin Jazlin, Nurul Huda Abdul Ghani, 10, (mayatnya ditemui bogel tersandar pada dinding tandas pondok pengawal Tenaga Nasional Bhd dalam keadaan mencangkung selepas dibunuh dan dirogol oleh pengawal keselamatan, Mohd Abbas Danus Baksan pada 2004) serta kehilangan Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin, (selama 15 hari mulai 31 Mac lalu dan dipulangkan oleh pasangan Myanmar) adalah ‘wake up call’ kepada semua pihak supaya tidak memandang remeh perkara ini. Sudah cukup dengan apa yang berlaku itu supaya tidak terus menerus menjadi parah.

Ketua Unit Perkembangan Kendiri dan Profesionalisme Jabatan Pendidikan Perubatan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Harlina Halizah Siraj, berkata jika berlaku hal ini, tidak perlu menuding jari dan saling salah menyalahi antara satu sama lain.

Sewajarnya kata beliau, mulai saat ini, perlu ada tindakan positif dan lebih proaktif dengan mewujudkan kawalan sosial di pihak masing-masing.

Katanya, isu kehilangan kanak-kanak remaja sama ada yang keluar bersendirian atau lari daripada rumah perlu ditangani dengan serius bagi mengelak tragedi lebih buruk.

Kejadian kanak-kanak dan remaja keluar tanpa pengawasan atau lari dari rumah yang berlaku sekarang menggambarkan suasana komuniti di negara ini sudah tidak selamat dan tidak perlu dipandang sebelah mata.

Fenomena itu memperlihatkan wujudnya satu rentetan permasalahan, konflik dan kepincangan di dalam sesebuah institusi kekeluargaan, kemasyarakatan dan pihak berkuasa.

"Semua pihak sebenarnya mempunyai peranan masing-masing. Di pihak ibu bapa, mereka perlu memikul tanggungjawab besar untuk mengawasi anak mereka selain mendalami ilmu dan kemahiran keibubapaan. Zaman sudah berubah dan corak mendidik anak juga perlu seiring dengan perkembangan serta suasana tertentu.

"Ibu bapa perlu mempelajari ilmu keibubapaan alaf baru. Pada alaf baru ini terlalu banyak perkara dan sumber yang boleh mempengaruhi anak untuk bertindak. Sekiranya tiada pendekatan dan kawalan berkesan dipraktikkan, sudah pasti wujud kepincangan di dalam institusi kekeluargaan sehingga ada yang bertindak di luar kawalan dengan melarikan diri dari rumah.

"Jika anak lari dari rumah, sudah pasti ada sesuatu yang tidak kena. Rumah yang sepatutnya menjadi syurga dan ibu bapa yang seharusnya menjadi pelindung mereka, mungkin sudah tidak selamat lagi kepada anak berikutan wujud faktor tertentu," katanya.

Dr. Harlina yang juga Ketua Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia berkata, semua ibu bapa mahukan anak mereka selamat dan tidak terbabit dengan gejala sosial, menjadi mangsa culik atau lari dari rumah.

Bagaimanapun, dalam suasana perubahan alaf baru ini, setiap ibu bapa seharusnya sentiasa ingat anak mempunyai potensi untuk hilang sama ada melarikan diri atau keluar sendiri tanpa pengawasan mereka.

Beliau berkata, berdasarkan pengamatannya, gaya dan corak kehidupan ibu bapa yang berbeza di kalangan masyarakat akan melahirkan personaliti dan tingkah laku anak yang berbeza.

Ibu bapa perlu mempunyai sikap demokratik terhadap anak iaitu memberikan kasih sayang, mengamalkan hubungan kemesraan, berinteraksi, mendisiplinkan anak bermula dari peringkat awal di samping bersedia menerima pandangan anak dan menghargai mereka.

Bagaimanapun, berdasarkan pengamatannya, tidak kurang juga ada ibu bapa mengamalkan sikap autokratik, iaitu dengan berkata: "Biarlah anak mahu keluar rumah atau lari dari rumah. Berapa lama dia akan bertahan... akhirnya pasti akan balik juga."

"Ini adalah pandangan yang salah kerana memberi ruang kepada anak berbuat sesuka hati. Sikap begini tidak patut pada ibu bapa," katanya.

Ada sikap ibu bapa yang pesimistik (iaitu mengikut saja kehendak anak hingga tidak boleh dihukum kerana khuatir akan akan lari dari rumah).

"Dalam mendidik anak sikap demokratik adalah yang terbaik diamalkan dan ini boleh diperkukuhkan lagi jika mereka sentiasa mencari ilmu baru dalam mendidik anak," katanya yang turut menegaskan tidak keterlaluan untuk dikatakan, kerajaan perlu memperuntukkan sejumlah bajet bagi meningkatkan pembangunan kekeluargaan di negara ini.

Bagaimanapun, isu anak melarikan diri dari rumah tidak juga diletakkan seratus peratus kesalahan kepada ibu bapa saja, sebaliknya anak juga perlu berfikiran matang dan tidak mementingkan diri dengan mengikut kemahuan sendiri.

Pada masa sama, peranan masyarakat juga penting kerana mereka boleh menjadi pasukan pemantau dalam memberikan maklumat berkaitan kes ini untuk memudahkan pihak berkuasa bertindak pantas.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pengajian Media dan Komunikasi (Psikologi), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr. Amelia Abdul Aziz, berkata kes Nurin Jazlin memperlihatkan wujudnya individu yang sentiasa mengambil peluang ke atas kanak-kanak untuk memenuhi kepuasan seksnya yang amat tinggi.

Individu yang berkelakuan itu, digolongkan sebagai fidofilia dan dianggap insan yang tidak normal dari segi tabii melakukan hubungan seks.

"Mereka juga adalah seorang yang menghadapi masalah kecelaruan seks. Oleh itu, mereka gemar melakukan seks luar biasa terhadap kanak-kanak dan hanya ingin mencari kanak-kanak sebagai mangsa bagi menutup kekurangan seksual diri mereka.

"Pelaku seks kanak-kanak ini tidak dapat mengawal dirinya dan keinginan seks terlalu memuncak. Nafsunya akan lebih memuncak sekiranya melihat kanak-kanak itu dalam keadaan kesakitan. Dalam kes Nurin, tidak mustahil perogol itu memasukkan terung dan timun di dalam kemaluan mangsa untuk melihat kanak-kanak berkenaan terus menderita kesakitan," katanya.

Beliau berkata, manusia yang begitu sifatnya memang tidak normal dari segi mental dan psikologinya, dan mereka pandai memujuk kanak-kanak untuk suka kepadanya dengan mempamerkan sikap kasih sayang, lembut dan mengambil hati dengan pelbagai cara seperti memberikan gula-gula atau sebagainya.

Bagi kanak-kanak pula katanya, sudah pasti mudah menerima sikap seperti itu tanpa rasa ragu-ragu.

"Saya berpendapat, pelaku seks ke atas kanak-kanak itu perlu menjalani kaunseling dengan pakar psikiatri dan mereka ini tidak seharusnya dibenarkan bebas di luar. Pelaku seks kanak-kanak ini tidak mengawal keghairahan seks yang sentiasa berkobar-kobar dan sentiasa mencari mangsanya tidak kira terhadap kanak-kanak perempuan atau lelaki," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan ibu bapa tidak membiarkan anak keluar berseorangan kerana wujud individu sebegini akan berlegar-legar mencari peluang untuk memuaskan nafsunya.

Oleh Jami'ah Shukri, Berita Harian Online

Monday, September 24, 2007

Sirah Rasulullah (S.A.W)

Penulis : Shaikh Sofiy Al-Rahman Al-Murakfuri
Tahun : 2005
Penerbit : Percetakan Seribu Dinar, Kuala Lumpur
Muka surat : 715

Buku ini adalah karya karangan Ustaz Sofiy dari Universiti Al-Salafiah, India. Ianya merupakan antara kitab-kitab yang unik dan tersendiri, dihasilkan melalui pendekatan secara kronologi sejarah dengan keistimewaan dan programnya yang jelas dan kesyumulannya yang padu di dalam pendedahan perjalanan sirah nan mulia.

Semerbak dengan cara yang mendalam, bebas dari kepalsuan dan khurafaat. Ianya juga istimewa lantaran merupakan sebuah tulisan sejarah kenabian Muhammad saw yang mampu membantu setiap pelajar atau pengkaji sejarah untuk mencapai tujuannya.

Kitab ini telah memenangi hadiah pertama di dalam Sayembara Buku Sirah Nabawiyah yang dianjurkan oleh Rabitah Al-Alam Al-Islami.

Diterjemahkan oleh Ustaz Muhamad Darus Senawi Ali, seorang yang mendalami bahasa Arab, menyatakan di dalam buku ini para pembaca akan menemui perkara-perkara baru dan pengolahan yang boleh membuka lagi ruang lingkup kefahaman mengenai sirah Rasulullah saw yang sebenarnya. Membaca buku ini dapat mengisi dan memenuhi ruang kekurangan perbendaharaan Islam dalam bidang sirah di negara ini.

Setelah membaca dengan teliti, para pembaca akan mendapat gambaran yang jelas tentang kemuliaan sejarah hidup Nabi Muhammad saw yang menjadi uswatun hasanah untuk dicontohi oleh generasi muslim hari ini.

Ulasan Editor: "Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Ali-Imran ayat 31)

Friday, September 21, 2007

Faktor-faktor penderaan seksual kanak-kanak

Kehilangan kanak-kanak keletah, Nurin Jazlin Jazimin, 8 tahun dilaporkan pada 20 Ogos 2007 setelah pergi keseorangan ke pasar malam berhampiran rumahnya. Pada 20 September 2007, iaitu 30 hari selepas kehilangannya, mayat kanak-kanak perempuan yang dijumpai dalam beg pakaian oleh seorang pekerja sebuah kedai di Jalan PJS 1/48, Petaling Utama disahkan sebagai Nurin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar mengesahkan berita tersebut setelah ujian DNA dilakukan ke atas mayat dan kedua ibu bapa Nurin menunjukkan perkaitan di antara mereka. Pada masa yang sama tumpuan rakyat Malaysia kembali melihat penderaan seksual ke atas kanak-kanak sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Insiden penderaan kanak-kanak ini telah berlaku dengan melibatkan kes-kes yang sangat menyayat hati. Pada Januari 2004, Harirawati Saridi, 10 tahun ditemui mati ketika dalam perjalanan ke sekolah. Beliau dipercayai dirogol dan dibunuh di Kampung Ratau, Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah. Selepas itu, seorang lagi kanak-kanak, Nurul Huda Abdul Ghani ditemui dalam keadaan lemah selepas dicekik, dirogol dan diliwat di sebuah pondok keselamatan stesen janakuasa TNB di Kampung Rekajang, Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor.

Ramai pengkaji melihat tingkah laku mendera kanak-kanak adalah rumit dan kompleks kerana sukar untuk diberi klasifikasi. Adakah ia perlu diletakkan di bawah kemalangan, penyakit atau kecederaan yang disengajakan. Penderaan sahaja boleh ditafsirkan sebagai mencederakan tubuh kanak-kanak, memperkosa, memaksa kanak-kanak bawah umur bekerja, membenarkan mereka mengemis dan mendedahkannya kepada bahaya moral. Pendera juga tidak dihadkan kepada ibu bapa malah penjaga, pembantu rumah, saudara-mara, jiran atau guru juga boleh disabitkan dengan penderaan.

Kes yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, Kuala Lumpur dari tahun 2000 hingga Ogos 2006 menunjukkan kes-kes yang dilaporkan tidak tinggi tetapi memperlihatkan aliran yang semakin meningkat. Tahun 2000, ia melibatkan 146 kes, 2001 (150), 2002 (123) dan bilangan kes menurun kepada 119 pada tahun 2003. Bagaimanapun, bilangan tersebut meningkat pada tahun 2004 dengan 148 kes seterusnya menokok kepada 189 pada tahun 2005. Sehingga Ogos 2006, sebanyak 108 telah dilaporkan.

Dari tahun 2000 hingga Ogos 2006, bilangan kes yang dilaporkan adalah turun-naik dan bergantung kepada pelbagai sebab tetapi beban yang ditanggung oleh mangsa adalah lebih membebankan.

Masyarakat Malaysia pada hari ini sedang berhadapan dengan perlakuan penderaan yang semakin meningkat. Kanak-kanak yang berumur 6 hingga 17 tahun terdedah kepada pelbagai bentuk penganiayaan khususnya emosi dan mental. Amat menarik bagi kita untuk mengenal profil pelaku yang kerap dikaitkan dengan penderaan kanak-kanak ini. Khadijah Alavi (2005) dalam artikel "Memahami penderaan kanak-kanak ke arah pemantapan Akta Kanak-kanak 2001" memberikan beberapa faktor yang mempengaruhi kes ini.

1. Hubungan pelaku dengan persekitaran

Hubungan pelaku dengan mangsa penderaan adalah merangkumi hubungan ibu bapa, abang, pakcik dan sebagainya. Ada kaitan yang agak kuat di antara hubungan pelaku dengan bentuk penderaan khususnya penderaan fizikal. Di antara ibu dan bapa, didapati ibu lebih banyak dikaitkan dengan penderaan ini kerana mereka yang menjaga dan mendisiplin kanak-kanak. Manakala bagi penderaan seksual, bapa dan bapa tiri lebih kerap iaitu 51.5 peratus.

2. Umur pelaku

Kajian di Barat menunjukkan bahawa lebih 62 peratus pelaku berumur 30 tahun ke bawah. Malahan tindakan mereka lebih lima kali ganda berbanding pelaku umur 31 hingga 50 tahun. Antara faktor yang menyumbang kepada tingkah laku ini ialah: a) kadar yang tinggi ini mungkin kerana generasi muda lebih mudah melakukan kekerasan, b) pendedahan kepada perselisihan faham ketika awal perkahwinan, c) ibu bapa remaja dan muda yang mempunyai anak kecil berisiko dalam kes penderaan, dan d) aliran yang meningkat mungkin menjadi amalan baru di dalam masyarakat hari ini.

3. Taraf perkahwinan pelaku

Ditemui bahawa penderaan lebih kerap ketika ibu bapa mangsa berada dalam proses penceraian kerana mencari tempat untuk meluahkan rasa marah, kecewa dan membalas dendam. Justeru kanak-kanak berada di dalam konflik yang sangat sukar dalam hidup mereka.

4. Taraf pendidikan pelaku

Lelaki yang berpendidikan menengah lebih kerap mendera kerana tekanan perasaan lebih tinggi di kalangan lepasan sekolah. Keadaan mereka yang sukar mendapat pekerjaan atau pendapatan yang kurang berbanding keperluan membesarkan anak-anak memberi tekanan bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Pelaku yang berpendidikan tinggi tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta kerana mereka mampu membayarnya.

5. Jenis pekerjaan pelaku

Pengangguran merupakan masalah kepada keluarga muda. Tekanan hidup tanpa ada kerja menjadikan fikiran bercelaru dan perlu melepaskan kecelaruan tersebut kepada seseorang. Di sini anak-anaklah yang menjadi mangsa. Jika ada kerja pun, tekanan di tempat kerja turut menjadi faktor kepada penderaan ini.

6. Jumlah pendapatan pelaku

Golongan yang tinggi melakukan penderaan ialah dalam kategori status sosioekonomi rendah iaitu di antara RM350 hingga RM750. Kehidupan di bandar-bandar besar dengan pendapatan yang kecil menyukarkan ibu bapa untuk membesarkan anak-anak mereka. Ini kerana setiap hari mereka terpaksa memikirkan bagaimana harus mencari pendapatan untuk diberi kepada keluarga.

7. Jenis rumah kediaman

Penderaan lebih kerap di kawasan setinggan dan rumah panjang. Di kawasan setinggan umpamanya, keadaan rumah yang terlalu rapat dan jalan yang sempit menyebabkan seorang kanak-kanak boleh didera secara seksual. Kadangkala penghuni rumah setinggan terpaksa berkongsi kawasan bilik mandi yang terdedah kepada intipan dan pihak yang mengambil kesempatan.

8. Jaringan sosial

Jiran dan saudara-mara adalah contoh jaringan sosial yang wujud di dalam masyarakat. Kekerapan kunjung-mengunjung, tolong-menolong dan bekerjasama dapat menjadikan hubungan sesama kelompok sosial lebih kuat dan kukuh. Bagaimanapun kehidupan di bandar yang lebih terbuka menjadikan keluarga asas adalah pilihan terbaik. Bagaimanapun dengan keluarga asas ini kanak-kanak tidak lagi kenal datuk, nenek, pakcik atau makcik yang ada hubungan dengan mereka.

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan penderaan kanak-kanak berlaku. Hubungan pelaku dan mangsa boleh diperincikan lagi supaya motif penderaan ini dapat dikenal pasti. Bagi kes yang melibatkan Nurin, pelaku jelas mempunyai niat untuk mendera mangsa.

Penderaan dalam bentuk apa pun adalah satu tindakan yang mempunyai tujuan untuk merosakkan, mencederakan atau membunuh. Pelaku seperti ini tidak sepatutnya dibiarkan bebas. Pembunuhan kejam Nurin menyebabkan ramai orang tidak dapat melelapkan mata kerana ianya melibatkan penderaan terancang dan pembunuhan yang menyayat hati. Seperti kata Bapa Nurin, Jazimin: "Harap kerajaan akan membuat sesuatu," cukup memberi mesej yang kuat kepada masyarakat bagi melihat pelaku dera seksual tersebut dijejaki, ditangkap dan diadili.


[Bacaan Tambahan]

Thursday, September 20, 2007

Tabiat 10 Membuat catatan dan kemas kini hala tuju (1)

Biasanya orang yang berjaya dalam hidup adalah orang yang mempunyai matlamat yang jelas dan tidak pernah melupakannya di mana sahaja mereka berada - Frank Tibolt

Masa depan bermula hari ini. Pelik bukan? Kita belum tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Tidak ada sesiapapun yang tahu apakah yang akan berlaku kepada diri kita. Tetapi kita boleh merancang dan bergerak ke arah matlamat perancangan tersebut.

Seorang Indian purbakala yang bijaksana mengajar pengikutnya seni memanah. Dia meletakkan sebuah patung burung sebagai sasaran dan mengarahkan mereka membidik mata burung tersebut. Pengikutnya yang pertama ditanya apa yang telah dilihatnya. Dia berkata, “Saya nampak pokok, dahan, daun, langit, burung dan bulunya yang cantik.”


Pendeta memanggil pengikutnya yang kedua. Kemudian dia bertanya soalan yang sama dan menjawab, “Saya hanya nampak mata burung.” Pendeta berkata, “Bagus, panahlah.” Anak panah meluru tangkas menuju tepat ke arah mata burung berkenaan.

Dalam perjalanan menuju lebuh raya kehidupan, tetapkan mata anda pada matlamat. Tumpukan pada donat, bukan pada lubangnya - Tidak Bernama

Setiap orang wajar mempunyai wawasan dan matlamat hidup. Tanpa matlamat hidup, seseorang itu boleh diibaratkan sebagai sebuah kapal yang belayar tanpa haluan.

Pemimpin yang hebat adalah pemimpin yang ada wawasan. Melihat ke hadapan dan mampu meramal pelbagai kemungkinan pada masa hadapan.

Hidup tanpa matlamat samalah seperti sekumpulan ulat beluncas yang hidup bergantung pada orang lain untuk menentukan hidup mereka.

Dalam sebuah kelas biologi, seorang guru ingin menjelaskan mengenai peranan tumbuh-tumbuhan terhadap tumbesaran ulat beluncas yang dilonggokkan dalam satu kumpulan. Semuanya diletakkan dalam satu balang besar dengan tumbuh-tumbuhan yang dibekalkan sebagai makanan, diletakkan di tengah-tengah.

Sebaik sahaja terlerai dari kumpulan besar, semua ulat beluncas ini menghala ke arah dinding balang kaca berkenaan untuk mencari jalan keluar tetapi tidak menjumpainya. Seekor demi seekor mengelilingi dinding balang berkenaan dengan ketua di hadapan dan diikuti yang lain. Semuanya bersesak-sesak membuat bulatan tanpa menyedari kepentingan memakan daun-daun yang diberikan.

Dalam keadaan tersebut, ada seekor yang terlepas dari kumpulan ini dan merayau-rayau ke arah makanan yang disediakan. Akhirnya dapatlah ia mencari makanan yang selama ini mereka cari.


Kesimpulannya, ketua memainkan peranan besar menentukan hala tuju kumpulan, tahu apa yang boleh dan tidak, bijak melaksanakan kerja dan melihat kepentingan semua pihak.

Wednesday, September 19, 2007

Menghalusi definisi kemiskinan

Kereta, motosikal, televisyen dan telefon bimbit dianggap barang keperluan dalam hidup hari ini. Mempunyai sebuah rumah untuk menumpang teduh juga merupakan satu keperluan. Dalam erti kata yang lain, barang-barang yang dulunya dianggap sebagai mewah kini telah menjadi satu kemestian untuk dimiliki.

Sejak merdeka hinggalah ke hari ini, masyarakat Malaysia telah menikmati kualiti hidup yang lebih baik. Pada tahun 1960-an dan 70-an, masyarakat yang hidup dengan makmur dan bahagia di kalangan negara-negara ASEAN ialah Filipina. Malaysia yang baru merdeka dan berhadapan dengan pelbagai cabaran terpaksa merancang pelbagai dasar untuk mempastikan kemerdekaan negara tidak hilang begitu sahaja. Pelaksanaan Rancangan Malaysia setiap lima tahun telah menyerlahkan pembangunan pesat negara sehingga kini.

Kejayaan ketara dalam pembangunan negara ini ialah pengurangan kadar kemiskinan kurang daripada lima peratus. Sukar bagi mana-mana negara yang hidup pelbagai kaum untuk merancang bagi mengurangkan kadar kemiskinan jika tidak ada dasar yang berkesan. Dalam tempoh 50 tahun, Malaysia berkembang pesat dalam bidang ekonomi, politik dan pendidikan. Kejayaan ini dapat dilihat melalui laporan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia di mana dalam tempoh 1973-1995, purata pendapatan per kapita sebenar rakyat Malaysia telah meningkat sebanyak 2.5 kali ganda. Pembangunan ini menjadi contoh kepada negara-negara lain dan buah mulut pemimpin negara-negara membangun.

Hari ini Malaysia menikmati kualiti hidup yang lebih baik daripada Filipina. Perubahan ini berlaku dalam tempoh 25 tahun sahaja setelah Malaysia melaksanakan dasar yang komprehensif dan berkesan bagi menarik pelaburan luar negara untuk melabur di sini.

Usaha berterusan kerajaan bagi mengurangkan kadar kemiskinan dilihat lebih ketara apabila pembukaan Lebuhraya Utara-Selatan pada awal 1980-an dahulu dan pengembangan aktiviti ekonomi yang menyaksikan banyak kawasan baru dibuka.

Proses perbandaran yang semakin pesat menyaksikan penduduk bandar meningkat daripada 62 peratus pada tahun 2000 kepada 63 peratus dan dijangka meningkat kepada 63.8 peratus pada tahun 2010 (Malaysia,2006:381). Sebanyak enam negeri telah mengatasi purata kadar perbandaran perangkaan nasional (63 peratus) iaitu Pulau Pinang (79.8 peratus), Melaka (70.6 peratus), Selangor (88.4 peratus), Kuala Lumpur (100 peratus), Johor (66.5 peratus) dan Labuan (77.6 peratus).

Kawasan tumpuan ekonomi yang bergerak ke arah pinggir bandar membawa sekali pembinaan jalan raya untuk laluan pengangkutan. Kegiatan ekonomi di sepanjang laluan lebuh raya berkembang selaras dengan kepesatan pembangunan yang melonjakkan pembukaan kedai, kawasan penempatan dan pembukaan kilang-kilang industri. Pekan lama yang terkeluar dari lingkaran lebuh raya ini sedikit demi sedikit menjadi lesu dan tidak aktif manakala bandar baru yang lebih moden, terancang dan lengkap mula mengambil tempat.

Kegiatan ekonomi yang pesat memberi gambaran bahawa terdapat penawaran kerja yang banyak di bandar dan kawasan industri. Keperluan terhadap tenaga buruh juga bertambah. Oleh itu penduduk kampung dan kawasan pedalaman mula berhijrah ke bandar untuk mengisi kekosongan tenaga buruh berkenaan. Anak-anak muda yang tinggal di kampung kini memilih bandar sebagai tempat mencari kerja dan meninggalkan kerja-kerja tradisional di kampung.

Migrasi dari kampung ke bandar amat ketara pada awal tahun 1980-an dahulu apabila kerajaan membuka kawasan kilang yang berorientasikan buruh. Ketika ini gelaran "Minah kilang" menjadi bualan kerana ramai kaum wanita yang diambil bekerja. Persepsi umum ialah bekerja di kilang adalah pekerjaan yang tidak ada kelas.

Namun begitu, hakikatnya sebaliknya ialah "Minah kilang" inilah yang menjana pendapatan keluarga di kampung mereka sekali gus mengeluarkan masyarakat kampung daripada cengkaman kemiskinan. Sedikit demi sedikit kualiti hidup masyarakat semakin baik. Anak-anak dapat belajar ke peringkat yang lebih tinggi seterusnya menjadi nadi kepada punca rezeki keluarga.

Hari ini istilah "Minah kilang" tidak lagi kedengaran walaupun masih ramai kaum wanita yang bekerja di situ. Pekerja-pekerja asing yang dibawa masuk juga semakin kurang kerana dasar industri yang diguna pakai oleh kerajaan Malaysia ketika ini berorientasikan teknologi tinggi yang tidak memerlukan tenaga buruh yang ramai. Sektor yang masih memerlukan penggunaan tenaga buruh yang ramai ialah perladangan.

Justeru apabila Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan pemberian bantuan kebajikan tidak mempunyai perbezaan antara penduduk miskin di bandar dan luar bandar (BH, 18 Oktober 2007), ia memberi tafsiran yang bercampur-aduk.

Utusan Malaysia pada hari yang sama mencadangkan beberapa kriteria yang wajar dinilai oleh kerajaan seperti jumlah pendapatan seisi keluarga, sumber pendapatan, bilangan anak terutama yang bersekolah, kos sara hidup dan tempat tinggal supaya hanya mereka yang layak mendapat bantuan.

Beliau juga mencadangkan agar semua pihak menggunakan kayu ukur definisi garis kemiskinan yang sama supaya si miskin sahaja yang mendapat bantuan.

Chamhuri Siwar & Mohd Haflah Piei (1988) menyatakan terdapat berbagai-bagai dimensi bagi menjelaskan konsep kemiskinan kerana isu-isu kemiskinan ini adalah hal sejagat masyarakat seluruh dunia. Keadaan hidup masyarakat di Malaysia berbeza dengan Indonesia dan negara-negara lain yang tentunya memberikan tafsiran yang berbeza terhadap konsep kemiskinan.

Apa yang boleh dilihat ialah idea tentang kemiskinan tidak hanya terbatas kepada kegagalan memenuhi keperluan material tetapi juga keperluan psikologi dan politik. Oleh yang demikian, tidak ada satu takrif kemiskinan yang boleh diterima dan diguna pakai oleh semua negara pada setiap masa dan ketika tanpa mengambil kira struktur masyarakat dan tahap pembangunan di negara tersebut (Mohd. Taib Dora,2000).

Konsep kemiskinan adalah sensitif kepada kaedah pengukuran yang berbeza sama ada dari segi ekonomi, sosial ataupun politik yang boleh menghasilkan keputusan yang berbeza tentang insiden kemiskinan.

Justeru cadangan Awang Selamat sangat sukar untuk dilaksanakan kerana definisi miskin sangat subjektif walaupun ketika ini tumpuan lebih terarah kepada miskin dari segi ekonomi. Banyak perbincangan mengenai pembasmian kemiskinan meletakkan gaji minimum sebagai penyelesaian kepada masalah ini. Bagaimanapun keadaan ini tidak dapat menyelesaikan isu jika infrastruktur sosial seperti klinik, sekolah, kemudahan jalan raya dan sebagainya tidak disediakan kerana masyarakat akan tetap membayar untuk menggunakan kemudahan yang diberi.

Sebuah keluarga dari kampung terpaksa berbelanja lebih untuk ke hospital di bandar dan begitu juga keluarga di bandar akan terpaksa membayar pelbagai perkhidmatan yang disediakan yang juga melibatkan penggunaan kos yang tinggi. Dalam erti kata lain kedua-dua pihak tetap akan miskin kerana penyediaan kemudahan infrastruktur sosial yang tidak mantap ini.

Cadangan melihat kembali kriteria penerima bantuan perlu mengambil kira pelbagai aspek lebih-lebih definisi yang diguna pakai ketika ini. Keutamaan memberi bantuan melalui Bantuan Orang Tua, Bantuan Am, Elaun Pekerja Cacat dan Bantuan Kanak-kanak oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat hendaklah diperhalusi supaya golongan miskin tidak merempat di negara sendiri.

Kejayaan Jabatan Kebajikan Masyarakat ialah bukannya berbangga dengan kadar jumlah bantuan yang meningkat setiap tahun sebaliknya kejayaan yang boleh dibanggakan oleh organisasi ini ialah pada satu hari nanti tidak ada lagi orang yang layak menerima bantuan dan JKM akan ditutup buat selama-lamanya.