Friday, May 31, 2013

Saari wajar muhasabah diri






Akibat kalah dalam kes saman fitnah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib diperintah membayar ganti rugi RM300,000 kepada Majlis Agama Islam Selangor dan Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor. Jumlah ini dikira besar dan bagaimana beliau harus jelaskan dengan sempurna? 
 
Dalam mahkamah, menang dan kalah adalah lumrah namun kekalahan Saari akibat fitnah menjejaskan dirinya sebagai seorang yang kuat bekerja, tegas dan membawa imej Islamik kerana beliau pernah menjadi presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berjuang dengan imej Islam sekitar tahun 1990-an.
 
Membuat kerja rumah atau siasatan yang terperinci amat penting apabila mengemukakan sesuatu tuduhan lebih-lebih lagi melibatkan agensi agama seperti MAIS dan LZS. Kedua-dua agensi ini tentu mempertahan diri apabila dikatakan melakukan pemindahan wang zakat yang tidak diagihkan ke satu akaun lain yang dilihat tidak telus sedangkan dalam urusan organisasi besar dan mempunyai mekanisme pengurusan yang cekap, setiap urusan yang berkaitan kewangan tentu terdapat prosedur khusus bagi mengelak penyelewengan dan keciciran.
 
Tuduhan wajar dibuat berdasarkan bukti yang lengkap dan mengelak daripada menuduh berasaskan andaian semata-mata. Bijak pandai seperti Saari wajar sekali bermuhasabah diri supaya tidak melakukan perkara yang sama pada masa depan, memperuntuk masa untuk mencari maklumat lebih lengkap dan menampilkan imej Islam sebagai seorang wakil rakyat mahupun pemimpin Islam.
 
Kejayaan MAIS dan LZS merupakan kemenangan moral kepada organisasi itu untuk mempertahankan diri daripada difitnah oleh mana-mana individu yang mempunyai niat buruk untuk menjatuhkan kredibiliti mereka.
 

Wednesday, May 29, 2013

Etnik Cina dan polisi awam di Malaysia selepas PRU-13





Kebimbangan masyarakat Cina Malaysia terhadap masa depan politik, ekonomi, pendidikan dan budaya mula dirasai selepas Pilihan Raya Umum ke-13. Getaran bimbang ini dapat dilihat ke atas kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa pemimpin persatuan Cina yang mewakili pelbagai sektor yang menjaga kepentingan etnik itu di Malaysia.

Impak yang paling ketara dalam tempoh lima tahun ini ialah tidak ada pemimpin Cina yang menganggotai kabinet kerajaan Malaysia yang baru dibentuk. Apa hendak jadi etnik Cina kali ini? Tanpa adanya wakil yang boleh bersuara mewakili etnik itu, usaha-usaha memaju dan membentuk paradigma mereka akan terjejas, suara Cina tidak diberi perhatian, masalah dihadapi akan lambat diselesaikan kerana perlu melalui banyak saluran dan keperluan hidup menjadi lengah.

Etnik Cina hanya boleh bersuara di Dewan Rakyat melalui wakil-wakil parti politik yang berada di pihak kerajaan dan pembangkang. Wakil Cina boleh bersuara lantang tetapi belum tentu menjadi input dalam pembentukan polisi awam di negara ini.

Dari segi ekonomi, inisiatif pemboikotan yang dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaan yang menggesa pengguna menjauhkan diri daripada produk keluaran etnik Cina menggusarkan beberapa tokoh persatuan Cina itu sendiri. Kempen yang dilakukan oleh pertubuhan-pertubuhan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada kecenderungan dan pola membeli pengguna khususnya umat Islam yang merasai kewajaran membeli barangan keluaran peniaga Islam yang tentunya halal dan suci.

Pada masa yang sama membeli produk keluaran umat Islam dapat meningkatkan kekuatan ekonomi masyarakat Islam seluruhnya. Ia juga membantu menambah pendapatan zakat perniagaan yang dapat disumbangkan kepada pembangunan pendidikan dan keadilan sosial masyarakat.

Di Malaysia, kegiatan ekonomi dikuasai sebanyak 70 peratus oleh etnik Cina, suatu keadaan yang menyukarkan masyarakat Melayu untuk bersaing. Bidang peruncitan yang dikuasai sepenuhnya oleh Cina memberi cabaran paling sengit untuk peniaga Melayu maju.

Namun pembudayaan ke atas corak membeli yang diperkenalkan oleh kerajaan telah mendidik pengguna untuk memilih barangan berkualiti. Di sinilah peniaga Melayu yang benar-benar maju dan berusaha keras mampu bersaing kerana pembelian tidak berdasarkan kepada persepsi etnik sebaliknya kepada persepsi nilai.

Pembukaan dan penggalakan bidang francais turut mengenengahkan lebih ramai usahawan Melayu untuk menceburi bidang bisnes yang bertaraf antarabangsa.

Selepas PRU-13, siapa yang akan memberi perhatian khusus kepada pendidikan Cina Malaysia? Sebaik kabinet dibentuk, pertubuhan-pertubuhan "zhong" sudah gelabah kerana perhatian sudah tipis dan kuasa yang menentukan hala tuju pendidikan negara ke arah negara perpaduan terletak di tangan Melayu, bumiputera dan India.

Tatkala wakil India Malaysia akan menggunakan peluang sebagai timbalan menteri pendidikan untuk memperkasa pendidikan entik India, soal kebajikan guru dan pelajar sekolah vernakular Cina bakal dikesampingkan. Keadaannya tentu jauh berbeza dengan sebelum pilihan raya lalu iaitu ada sekolah Cina yang diberi pelepasan cukai. Suara-suara yang meminta sekolah vernakular Cina dihapuskan mulai muncul dan semakin lantang.

Pendidikan menjadi benteng terakhir Cina Malaysia untuk mengekalkan indentiti sebagai "Cina seberang laut". Dijangkakan keistimewaan yang diberikan kepada pendidikan Cina tidak berpanjangan dan merosot sedikit demi sedikit dan suara "zhong" akan terus diketepikan.

Nilai-nilai etnik Cina Malaysia telah berubah selari dengan proses integrasi dan asosiasi etnik itu dalam masyarakat pelbagai etnik. Ekosistem masyarakat Malaysia yang didominasi oleh etnik Melayu disesuaikan dengan baik oleh etnik Cina khususnya dalam sikap bertolak ansur dan tidak malu untuk memilih pemimpin bukan dari bangsa sendiri.

Dalam PRU-13 yang lalu, calon-calon Melayu dari Pas dan PKR begitu ghairah dipilih oleh pengundi Cina dengan alasan dapat menumbangkan Barisan Nasional. Mereka bertindak menolak calon Cina sendiri yang bertanding dibawah bendera BN.

Justeru dapat dilihat di sini, etnik Cina sudah menyesuaikan diri dengan nilai-nilai baru yang tidak kisah dengan pemimpin yang bukan daripada etnik sendiri. Ia sebagai persediaan etnik itu untuk menjadi kelompok minoriti dalam tempoh 46 tahun lagi yang dijangka berkurangan kepada 16 peratus sahaja.

Bilangan yang kecil dan merosot ini tidak memungkinkan etnik Cina untuk berkuasa dalam politik, ekonomi atau pendidikan. Mahu atau tidak mahu mereka terpaksa berpaut kepada Melayu untuk mendapat simpati dalam pelbagai aspek kerana demografi Melayu dan bumiputera akan terus meningkat kepada 75 peratus dalam tempoh 50 tahun akan datang.

Politik perkauman masih menjadi teras kepada pembangunan Malaysia untuk beberapa siri pilihan raya umum. Anggota parti yang memisahkan diri daripada politik seperti ini mendapati diri mereka sukar untuk mendapat sokongan ramai kerana parti politik yang ditubuhkan asas dasar pelbagai etnik akhirnya didominasi oleh satu etnik sahaja. Malah parti politik sedia ada seolah-olah menjadi legasi anak-beranak dari generasi ke generasi yang boleh dilihat dalam semua parti politik utama di Malaysia.

 

Tuesday, May 28, 2013

Barometer transformasi Indonesia






oleh Karim Raslan

Lima belas tahun tahun dahulu, agak mustahil untuk saya bayangkan apa baru saya lalui minggu lalu di Solo. Ketika itu - antara 14-15 Mei 1998 – Solo hampir terjebak dengan anasir dari Jakarta apabila kedua-duanya bergelumang dengan keganasan dan rusuhan anti-Cina.

Namun, semasa lawatan saya pada 18-19 Mei yang lalu – kira-kira 15 tahun selepas insiden rusuhan terbabit – saya dapat saksikan kota Jawa Tengah yang mundur sebelum ini telah alami sebuah transformasi.

Kota yang satu ketika dulu dipenuhi bangunan terbakar (milik etnik Cina), kini sesak dengan para pelancong yang tertarik dengan tempat-tempat bersejarah, butik batik serta makanannya yang unik seperti suwiran ayam dan nasi liwet. Malahan, boleh dikatakan Solo menjadi antara kisah contoh bagaimana Indonesia kembali bangkit ke arah lebih baik.

Saya berdiri di pesisir Jalan Slamet Riyadi berdekatan pintu masuk utama Solo Paragon, salah sebuah kompleks beli-belah terbesar dan paling baru di Solo. Orang ramai berpusu-pusu masuk.

Dengan adanya pasar raya besar Carrefour setinggi dua tingkat dan juga gedung Centro, ada saja tarikan bagi setiap pengunjung.

Di luar kompleks itu pula dilangsungkan acara promosi minyak masak Bimoli, dimeriahkan dengan persembahan penyanyi dan band muzik.

Saya tidak dapat melihat pengacara majlisnya, tetapi berdasarkan suara nyaring, saya dapat bayangkan beliau adalah seorang yang cukup bertenaga dan lantang hingga membuat kepala saya mulai rasa sakit.

Saya bersiar sekitar kompleks itu, bertemu seorang sahabat lama- Sumartono Hadinoto dan menemu ramah beliau. Beliau seorang usahawan dan aktivis sosial Indonesia dari etnik Cina. Saya kerap berjumpa dengan Pak Sumartono sejak pertama kali menemu ramah beliau pada 2009.

Kini, berusia lewat 50-an, Sumartono secara semula jadi adalah seorang yang optimis – berhati terbuka dan bersemangat.

Sumartono merupakan salah seorang mangsa rusuhan Mei 1998. Perniagaan aluminium bersaiz sederhana beliau telah dirompak dan dibakar. Beliau berjaya meloloskan diri dengan merangkak melalui lubang di dinding kedainya – lubang yang kini dikekalkan bagi mengingatkan Pak Sumartono tentang pentingnya mengimbangi tuah nasib beliau dengan kesusahan yang melanda masyarakat setempat beliau.

Saya menemu ramah beliau untuk mendalami pandangan beliau tentang pilihan raya Indonesia 2014: adakah peralihan kuasa akan membawa kepada ketidakstabilan dalam negara?

Sebelum membincangkan isu-isu ini, beliau bercerita tentang perkembangan pelbagai pertubuhan masyarakat dan kebajikan yang dikelola beliau.

Fokus utama beliau adalah dalam membangunkan ‘Red Cross’ dan Pak Sumartono dengan bangga menjelaskan bahawa cawangan ‘Red Cross’ di Solo tidak memerlukan sebarang pembiayaan kerajaan. Beliau sempat memberitahu saya: “Di Solo, kami mengumpul sendiri semua duit yang diperlukan.”

Saya kagum dengan semangat Pak Sumartono. Beliau turut berkata: “Kegembiraan itu bukan hanya tentang duit.”

Beliau merupakan seorang tokoh yang telah berjaya menemui keseimbangan antara kehendak keluarga, perniagaan dan minat peribadi. Semakin lama saya mendengar cerita beliau, semakin saya mencemburui ketenangan dalaman yang beliau miliki.

Ketika saya mengetengahkan isu kemungkinan berulangnya keganasan, Sumartono berhenti sejenak dan menjawab: “Masa telah berubah tapi yang pasti, masih ada lagi kesan daripada trauma peristiwa tersebut. Namun begitu, ramai yang tidak ambil endah. Mereka sudah tak kisah tentang politik.”

“Benar, mana-mana pihak boleh mencetuskan api keganasan seperti dulu, namun perkara kini sudah berubah dan berbeza sekali. Rata-rata rakyat semakin berpuas hati dan lebih gembira.”

15 tahun sudah berlalu, adakah Solo - satu ketika dahulu merupakan barometer perubahan sosial dan kestabilan Republik itu – sudah benar-benar stabil dan aman?

Setelah konsep kepenggunaan mula bertapak di sini, mungkinkah keinginan untuk membawa melakukan rusuhan jalanan telah hilang sekali gus?

Harapnya itulah yang berlaku dan semoga lebih banyak rakyat mempunyai semangat seperti Sumartono demi mengimbangi taraf sosial rakyat. Realitinya: Indonesia, dan juga dunia ini memerlukan orang seperti Sumartono.

Seperti diperkatakan Timbalan Gabenor Jakarta, Basuki “Ahok” Tjahaja Purnama yang berketurunan Cina, masyarakat Cina Indonesia tidak sepatutnya mengekalkan hubungan baik dengan masyarakat bukan dari etnik Cina semata-mata untuk mengelak konfrontasi. Sebaliknya, “Sebagai rakyat Indonesia, kita semua mempunyai hak yang sama rata.”

Pendekatan Sumartono walaupun perlahan, tetapi semestinya mampu merealisasikan kata-kata oleh Ahok itu. Mungkihkan percubaan Indonesia dalam mencapai ‘rekonsiliasi nasional’ akan benar-benar berjaya? Adakah ia bakal membawa semangat inklusif yang ikhlas?

Yang pasti, ini adalah usaha berterusan dan sesuatu yang sama pentingnya untuk rakyat Malaysia ketika kita mula mendalami isu-isu kritikal ini.
 

(Sinar Harian, 28 Mei 2013)


Monday, May 27, 2013

Pathmanabhan huni sel BA





N. Pathmanabhan, 43 tahun merupakan perancang pembunuhan bersama tiga orang lagi Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 33 dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini. Selepas lebih dua tahun turun naik mahkamah, keputusan berkenaan amat melegakan keluarga mangsa yang terlibat iaitu Datuk Sosilawati Lawiya, Noorhisham Mohamad, Ahmad Kamil Abdul Karim dan Kamaruddin Shamsuddin.
 
Pathmanabhan dimasukkan ke dalam senarai pembunuh dan penjenayah yang kejam bersama-sama Bentong Kali, Botak Chin dan Mona Fendy. Penglibatan penjenayah-penjenayah ini melibatkan kematian atau kecederaan mangsa.
 
Seorang bekas peguam, beliau bertindak mewajarkan keadilan. Namun disebabkan tamak kepada harta yang tidak seberapa, empat orang menjadi mangsa ketamakannya sekali gus. Apakah beliau berfikir polis begitu sukar hendak mencari bukti dan mensabitkan kesalahan jenayah ke atasnya?
 
Pandangan Hakim Datuk Akhtar Tahir ketika membaca hujahnya, secara terus-terang menyifatkan siasatan polis dalam kes ini bertaraf dunia, suatu pengiktirafan di atas keupayaan dan kemahiran Polis Diraja Malaysia dalam melakukan siasatan dan menyelesaikan kes. Ini bukan kali pertama pujian diberikan kepada pasukan polis kerana ada kes-kes lain lagi yang dapat diselesaikan oleh mereka.
 
Pekerjaan seseorang tidak memberi jaminan bahawa dia tidak akan melakukan kesalahan jenayah. Dari pemandu lori hinggalah ahli politik dan peguam, jenayah tidak mengenal siapa. Ada pemandu lori yang dihukum gantung kerana mengedar dadah, ahli politik yang membunuh musuh politik dan akhirnya dipenjarakan seumur hidup dan akhirnya peguam yang tamak.

Dalam kejadian di Ladang Gadong, Banting itu dikatakan Pathmanabhan menyaksikan sendiri kematian mangsa-mangsa, suatu keadaan yang menunjukkan betapa kerasnya hati pembunuh ini. 
 
Malangnya dalam keterangan di mahkamah, beliau menyatakan tidak berjumpa dengan mangsa dan menganggap mangsa seorang yang baik iaitu langkah mengelakkan diri daripada dilibatkan dalam pembunuhan berkenaan. Namun kecemerlangan paukan pendakwa yang membentangkan kes secara menyeluruh dari pelbagai aspek telah meyakinkan hakim untuk menjatuhkan hukuman gantung.
 
Pathmanabhan mempunyai beberapa peluang lagi untuk memisahkan dirinya daripada tali gantung. Sebelum itu, sebaik sahaja hukuman dijatuhkan, beliau telah menempah gelaran BA, istilah yang sangat ditakuti di penjara. Beliau akan ditempatkan di sebuah sel khas, diberi makanan istimewa seperti ikan atau ayam tanpa tulang dan dipisahkan daripada banduan-banduan lain.

Dari semasa ke semasa beliau akan diberi tazkirah dan kuliah berkenaan dengan kehidupan mengikut amalan kepercayaannya. Pergerakannya juga terhad dan pegawai penjara yang ditugaskan menjaganya sudah tentu sentiasa bersedia setiap masa.
 
Kehidupannya sebagai pembunuh di penjara benar-benar menyeksakan hidup. Setiap hari yang dilalui terasa lambat dan penuh penyesalan. Jika diberi peluang untuk menukar skrip hidupnya dengan orang lain, tentu dia akan berusaha melakukannya. 
 
Bagi keluarga mangsa, kematian sudah terbela dan pembunuhnya sedang berhadapan dengan maut secara beransur-ansur, mengambil masa dan ia adalah pasti. Biasanya selepas melalui rayuan dan perbicaraan pelbagai peringkat yang mengambil masa lima tahun, hukuman akan dilaksanakan.
 
Seminggu sebelum digantung, Pathmanabhan akan diberi masa beramah mesra dengan ahli keluarga terdekat. Selepas itu, di suatu subuh, dia akan dibawa keluar dari sel BA, kemungkinan besar dalam keadaan dipapah kerana sudah tidak berdaya hendak berjalan (seperti yang biasa dialami oleh pesalah BA yang lain). Kepalanya akan diserkup dengan kain, gelungan tali gantung disarung ke leher lalu lubang maut dibuka. 
 
Berakhirlah hidup Pathmanabhan, balasan di atas perbuatannya.

 

Saturday, May 25, 2013

Intervensi keluar daripada lingkaran kemiskinan




 
Kadar bayaran balik hutang pinjaman sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) adalah tinggi iaitu lebih daripada 99 peratus. Justeru, dalam mengusahakan perniagaan peruncitan, perikanan dan pertanian yang dibantu oleh AIM, peserta-peserta ini mampu mengembangkan perniagaan masing-masing dan mencapai perolehan hasil pendapatan yang lebih baik. 
 
Perniagaan menggunakan model ini membantu sahabat AIM keluar daripada belenggu kemiskinan dengan memperoleh pendapatan purata antara RM3,000 atau RM3,500 ke atas sebulan hasil daripada pembiayaan yang disalurkan AIM. 

Jumlah peserta AIM ketika ini ialah 330,000 seluruh negara dan sasaran itu akan ditingkatkan kepada 500,000 pada 2015.

AIM telah melaksanakan konsep Qard Hassan sejak 25 tahun lalu bagi menggerakkan minat dan kecenderungan sahabat AIM untuk keluar daripada lingkaran kemiskinan melalui perusahaan yang dipilih. Mereka diberi pembiayaan dengan peruntukan bersesuaian. Tahun ini AIM menggunakan konsep Tawarruq  dengan menyediakan pinjaman modal antara RM3,000 hingga RM50,000 bersama institusi kewangan Islam terpilih.
 

Thursday, May 23, 2013

Bina impian






Tiga kejayaan besar kepada Malaysia pada minggu ini untuk kita banggakan. Pertama, seorang anak muda,  Kapten James Anthony Tan  telah berjaya mengelilingi dunia dengan penerbangan solo menggunakan kapal terbang satu enjin. Beliau merentasi 20 buah negara dan dilahirkan dengan masalah dyslexia. Kedua, perenang buta Faiq Adnan berjaya merentasi Selat Pulau Pinang, dan ketiga adalah kejayaan anak-anak muda Felda menjejakkan kaki ke Gunung Everest. 

Ketiga-tiga kejayaan ini bukannya mudah kerana semuanya perlukan kesungguhan untuk berjaya. 

Di sebalik semua susah dan payah mengharungi cabaran ini adalah impian. Daya juang Faiq berenang di dalam laut didorong oleh nilai-nilai yang ada dalam dirinya. Nilai-nilai inilah yang mengubah seluruh hidupnya untuk  menjadi seorang yang luar biasa. 

Faiq boleh memilih untuk hidup seperti orang kurang upaya yang lain, meratapi nasib diri dan membiarkan hidupnya ditentukan oleh orang lain. Sebaliknya beliau memilih untuk keluar daripada ruang lingkup selesa kepada suatu keadaan yang mencabar dan memerlukannya memberi tumpuan kepada kecergasan diri, membentuk kestabilan emosi dan mengekalkan momentum impian yang telah lama terpendam dalam hidupnya. 

Dalam keluarganya, tidak ada seorang pun ahli keluarga yang pandai berenang. Kejayaan itu tentu memberi inspirasi kepada rakan-rakan sepertinya untuk melakukan aktiviti yang mencabar kemampuan diri. 

Impian hidup umpama api yang memberi cahaya kepada malam yang kelam, memberi sinar kepada hari yang muram dan memberi nafas kepada denyut nadi. Impian ini yang membentuk sokongan berterusan, tunjang kepada kecekalan hati untuk meneruskan latihan, mewujudkan persekitaran positif, mendapat galakan daripada rakan-rakan dan doa daripada ibu dan bapa. 

Memiliki sebuah impian seperti yang dimiliki oleh ketiga-tiga kejayaan ini amat menguntungkan. Dalam hidup kita, mempunyai sebuah impian adalah sangat perlu. Biarlah impian itu terus hidup dan menjadi pendorong untuk mencipta kejayaan demi kejayaan.

 

Tuesday, May 21, 2013

Perkasakan institusi masjid






Usaha Majlis Agama Negeri Sembilan (Mains) mengambil kelompok profesional lulusan Universiti Al Azhar bgi mengurus dan mentadbir institusi masjid di seluruh Negeri Sembilan sangat dialu-alukan. Objektif usaha ini adalah meningkatkan kecekapan dalam menjayakan agenda pembangunan institusi masjid supaya pelaksanaan ibadah dapat disempurnakan.

Pada masa yang sama, konsep pentadbiran in boleh menjadi contoh dan model kepada negeri-negeri lain untuk mengguna pakai kaedah yang sama. Ia juga dapat meningkatkan imej dan kualiti pentadbiran jabatan dan agensi yang berkaitan dengan Islam di negara ini.

Jika selama ini pentadbiran masjid banyak dilakukan secara sukarela, langkah ini dapat memberi suntikan baru untuk meningkatkan kesegaran mentadbir dan mengimarahkan masjid dan surau serta dapat mengubah paradigma masyarakat Islam terhadap peranan masjid yang lebih menyeluruh mencakupi masyarakat Islam dan bukan Islam.

Dari Perlis hingga ke Sabah, amatlah mudah bagi seseorang muslim untuk menunaikan kewajipan solat lima waktu, solat jumaat atau qiamullail di masjid atau surau. Dalam jarak satu hingga dua kilometer pasti terdapat sebuah masjid atau surau dengan keadaan persekitaran yang bertambah baik.

Dewan solat juga menarik dan menambah kekhusyukan menghadap Allah swt. Ada antara masjid dan surau ini yang dipasang pendingin hawa di samping kipas dinding.

Dua puluh tahun lalu banyak kritikan ke atas keadaan bilik air masjid seperti pintu tandas terkopak, tandas berbau, lantai yang licin dan paip air yang tidak berfungsi. Walaupun keadaan ini dikaitkan dengan kurang peruntukan untuk kerja-kerja senggaraan, keadaan ini hanya menyerlahkan betapa aktiviti gotong-royong dalam komuniti setempat telah berakhir. Di bandar, operasi menjaga kebersihan bilik air dan persekitaran masjid dapat diurus dengan teratur hasil dari kutipan dan infaq yang berterusan oleh anak-anak qariah.

Peningkatan profesionalisme dan pentadbiran berkualiti ini seharusnya diiringi dengan peruntukan yang mencukupi, pemberian gred jawatan yang sesuai, strategi pengimarahan institusi masjid dan menguruskan program pembangunan komuniti supaya lebih menarik.

Amat jarang kita melihat masjid atau surau mengadakan aktiviti pembangunan komuniti yang mencakupi ruang lingkup lebih luas seperti pendidikan dan kesihatan. Aktiviti-aktiviti seperti ini mampu menarik masyarakat Islam dan bukan Islam untuk bermesra dengan masjid. Tidaklah salah menjemput hospital untuk mengadakan aktiviti menderma darah.

Begitu juga tidak salah untuk bekerjasama dengan universiti bagi mengadakan bengkel motivasi pelajar untuk kebaikan anak-anak qariah yang bakal menghadapi peperiksaan. Kita yakin ramai tenaga akademik yang berminat dengan aktiviti kemasyarakatan ini.

Langkah memberi ruang kepada golongan profesional (yang memiliki ijazah sarjana muda) bagi menguruskan institusi masjid dilihat mampu menyegarkan masjid dan surau sebagai tempat pembangunan komuniti Islam. Ia juga boleh menjadi titik tolak kepada proses pendakwahan berterusan kepada bukan Islam dan mengurangkan sentimen buruk sangka kepada Islam.

 

Monday, May 20, 2013

Analisis PRU13: Cabaran besar ke arah negara maju






Debaran Pilihan Raya Umum ke-13 telah berlalu. Barisan Nasional kembali berkuasa dengan 133 kerusi parlimen, DAP mendapat 38 manakala Parti Keadilan Rakyat memperoleh 30 dan Pas 21. Di peringkat Dewan Undangan Negeri, BN memperoleh 275 kerusi, diikuti DAP 95, Pas 86 dan PKR 49.

Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan kekal pada pembangkang manakala Kedah dapat ditawan BN. Penguasaan Perak menjadi hak mutlak BN selepas menang dengan majoriti mudah.

Secara keseluruhan, DAP paling berpuas hati apabila dapat menambah bilangan kerusi parlimen dan DUN serta mendapat 90 peratus sokongan pengundi Cina dan masyarakat bandar. Pas juga dapat mengekalkan Kelantan dan mengukuhkan kedudukan di Terengganu namun kekalahan di Kedah mengundang banyak ulasan berkaitan prestasi parti itu dalam pilihan raya kali ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan bahawa 84.84 peratus daripada 13,268,002 pengundi telah menunaikan hak mereka bagi menentukan 222 kerusi parlimen. Di kawasan DUN, sejumlah 85.82 peratus atau 12,885,434 orang mengundi untuk memilih 505 kerusi.

Analisis kerusi parlimen yang dimenangi oleh BN menunjukkan lapan buah negeri telah mencatatkan kemenangan lebih daripada 50 peratus. Senarai negeri yang menyumbang kepada kerusi parlimen ditunjukkan dalam Jadual 1.

 
Jadual 1

 


Secara keseluruhan, BN menang 60 peratus daripada 222 kerusi parlimen dan 40 peratus dimenangi oleh pembangkang.

Analisis berdasarkan parti-parti komponen dalam BN memperlihat parti di Sabah dan Sarawak telah menyumbang kepada kemenangan BN kali ini. Senarai negeri yang menyumbang kepada kerusi parlimen ditunjukkan dalam Jadual 2.
 

Jadual 2




Presiden BN, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan PRU kali ini adalah sengit dan menyatakan “tsunami Cina” sebagai punca BN gagal di kawasan pengundi majoriti Cina dan campuran. Pengundi Cina menolak BN dan memberi undi kepada mana-mana calon dari parti DAP, PKR dan Pas. Fenomena ini berlaku di seluruh negara.

Johor adalah contoh di mana semua calon MCA yang berdepan dengan DAP tewas di semua kerusi DUN. Di Gelang Patah, bekas Menteri Besar, Datuk Ghani Othman pula tewas dengan majoriti lebih besar di di tangan Lim Kit Siang dari DAP. Di Selangor, saluran pengundi Parlimen Tanjong Karang bagi kawasan majoriti etnik Cina memihak kepada pembangkang.

Keputusan yang lebih ketara ialah di Parlimen Bukit Katil yang ditandingi Datuk Seri Mohd Ali Rustam, bekas Ketua Menteri Melaka. Beliau tewas dengan majoriti 5,447 undi kepda calon PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin. Hanya 1.5 peratus pengundi Cina yang memilih Mohd Ali walaupun jasa dan pengalamannya membangunkan Melaka amat besar. Dalam kes ini, pengundi melihat kepada blok politik yang diwakili bukannya calon.

Selain MCA, calon dari Gerakan turut mengalami nasib yang sama apabila tewas di beberapa kawasan khususnya di Pulau Pinang dan Selangor.

Penganalisis politik melihat lima sebab yang menjadikan PRU kali ini menyumbang kepada “tsunami Cina”. Pertama, etnik Cina terpengaruh dengan slogan DAP iaitu “ubah”. Slogan ini dinyatakan dalam pelbagai bentuk seperti poster, kain rentang, disampaikan dalam ceramah sert disebarkan melalui media sosial dan pesanan ringkas. DAP sendiri mempunyai kumpulan penyebar slogan ini di media sosial yang dikenali sebagai Red Bean Army yang berperanan menyampaikan propaganda kepada etnik Cina, membuat ulasan yang ke atas laman facebook, youtube dan blog tokoh-tokoh kepimpinan BN dan kerajaan menggunakan bahasa yang kasar dan melampau. Kumpulan propaganda ini telah dibentuk selepas PRU-12 lalu dan beroperasi dari Pulau Pinang dan Selangor. Pengaruh dari slogan ini juga menyebabkan etnik Cina di luar negara berusaha untuk kembali mengundi dengan harapan dapat menumbangkan BN.

Kedua, sentimen perkauman melampau yang dimainkan oleh Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng memberi impak ke atas pemikiran etnik Cina Malaysia. Semua 38 kerusi parlimen yang dimenangi oleh DAP adalah kawasan majoriti Cina. Sifat perkauman Lim Kit Siang didedahkan oleh Tun Dr Mahathir dalam satu ceramah sehingga beliau melaungkan “Lim Kit Siang adalah rasis” sebanyak tiga kali.

Ketiga, kedudukan demografi etnik Cina di Malaysia sehingga 2010 adalah 24.6 peratus berbanding bumiputera 67.4 peratus dan India 7.3 peratus. Melayu merupakan kumpulan etnik utama di Semenanjung Malaysia iaitu 63.1 peratus. Iban mencatatkan 30.3 peratus daripada jumlah keseluruhan warganegara di Sarawak, manakala Kadazan/Dusun merekodkan sebanyak 24.5 peratus di Sabah.

Jumlah etnik ini semakin berkurangan sejak dari bancian 2000 iaitu 26.0 peratus dan bancian 1991 ialah 28.1 peratus. Kaum bumiputera terus bertambah dari 60.6 peratus (1991) kepada 65.1 peratus (2000). Dalam tempoh sepuluh hingga tiga puluh tahun yang akan datang, kuasa politik etnik Cina di Malaysia akan terus lemah. Justeru, kesempatan yang ada dalam PRU-13 digunakan sepenuhnya untuk menumbangkan BN.

Keempat, Pas mulai mendapat tempat dalam kalangan pengundi Cina semata-mata hendak menumbangkan BN. Kempen agresif berkaitan hudud dan negara Islam yang dilakukan oleh MCA di akhbar Star milik parti itu gagal menghalang pengundi Cina daripada memberi undi mereka kepada Pas dan DAP. Slogan “Pas for all” yang dibentuk selepas PRU-12 telah mengendurkan ketakutan berkenaan lebih-lebih lagi konsep negara Islam yang dibawa oleh Pas telah ditindihkan dengan konsep negara berkebajikan.

Ketakutan pengundi Cina terhadap Pas juga semakin terhakis apabila parti itu meletakkan dua orang calon dari kalangan Cina dan India. Tindakan ini dilihat membuktikan bahawa Pas sedia menerima bukan Islam untuk bersama-sama dengan mereka dalam usaha menumbangkan BN.

Kelima, parti poitik kaum Cina, MCA dan Gerakan tidak bersungguh-sungguh melaksanakan kempen untuk membalas serangan DAP, sebaliknya hanya mengharapkan kempen di media cetak dan media elektronik yang dianggap tradisional dan ketinggalan zaman. Kedua-dua parti dilihat lebih bergantung kepada kepimpinan Najib Tun Razak yang aktif bergerak ke seluruh negara. Walaupun di Selangor terdapat bilangan etnik Cina yang keluar beramai-ramai ke majlis makan malam anjuran BN, ia tidak diterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada parti itu.

Rumusan paling mudah ialah etnik Cina tidak menerima perkhidmatan dan agenda pembangunan yang diberikan oleh BN selama 50 tahun lalu dan mengharapkan DAP dan pembangkang dapat membawa harapan baru untuk masyarakat itu.

Walaupun “tsunami Cina” dikatakan sebagai punca kepada kemerosotan undi terhadap BN dan kenaikan mendadak undi ke atas pembangkang, corak politik pengundi Cina sentiasa berubah-ubah. Jika diambil Pulau Pinang sebagai contoh, pada 1990, sebahagian besar pengundi Cina menolak BN menyebabkan calon-calon dari MCA kalah. Pada 1995 dan 1999, mereka menerima kembali MCA dan Gerakan. Namun pada 2008 mereka menolak kedua-dua parti itu dan memberikan harapan kepada DAP bersama PKR dan Pas.

Isu peralihan undi oleh etnik Cina telah dinyatakan dalam kajian yang dijalankan oleh Centre for Pubic Policy Studies, ASLI. Dapatan kajian menyatakan masyarakat Cina amat prihatin dengan isu jenayah dan rasuah, pendidikan, kenaikan kos hidup, isu keadilan dan kesaksamaan, agama, tahap penglibatan dalam sektor awam yang rendah dan kurang amalan meritokrasi. Walaupun sebahagian besar pengundi Cina melihat enam perkara ini sebagai mengecewakan, masih terdapat pengundi Cina yang berumur 50 tahun ke atas dan komuniti perniagaan masih yakin dengan kepimpinan Najib yang dilihat membawa keamanan, kestailan dan kemakmuran negara.

Selain daripada pengundi Cina, sokongan ke atas pembangkang turut disumbangkan oleh pengundi bandar yang terdiri daripada pelbagai kelas sosial. Mereka juga berpendapatan tinggi dan menikmati keselesaan hidup namun terkesan dengan kos hidup yang sangat tinggi ketika ini. Isu-isu utama pengundi bandar ialah tidak puas hati dengan salah guna kuasa, pelanggaran hak asasi manusia, peningkatan jenayah dan juga rasuah. Tahap kesedaran politik yang lebih baik, interaksi yang meluas melalui media sosial dan khidmat pesanan ringkas di samping “anti-establishment” menyumbang kepada penolakan ke atas calon-calon BN di bandar.

PRU-13 telah melakar sejarah kepada Malaysia. Institusi kerajaan, perlembagaan dan masyarakat masih utuh di sebalik perbezaan ideologi dan pandangan. Kedah dapat dirampas oleh BN manakala Pas semakin mendekati untuk mentadbir Terengganu. Keseluruhan keputusan PRU-13 ini ditunjukkan dalam Jadual 3.

 
Jadual 3

 


Selepas mengambil kira prestasi parti-parti politik yang bertanding, pemenangnya adalah UMNO dan DAP. Kemenangan UMNO adalah kerana dapat menambah kerusi di parlimen, menubuhkan kerajaan yang pro-bumiputera, mendominasi kabinet 2013 dan menyediakan agenda pembangunan kepada masyarakat Melayu, bumiputera dan memberi asas kepada kepesatan pembangunan di Sabah dan Sarawak. Bagi DAP, ia berjaya mengukuhkan kedudukan sebagai alternatif kepada etnik Cina.

Parti yang benar-benar tewas ialah MCA dan Gerakan. MCA hilang banyak kerusi parlimen dan enggan menyertai kabinet manakala Gerakan hampir pasti berkubur jika tidak ada perancangan lengkap untuk melakukan transformasi politik dalam tempoh lima tahun akan datang. Parti ini semakin menghampiri nasib yang sedang dialami oleh komponen BN iaitu PPP yang ditolak di semua peringkat.

Pasca PRU-13 mencatatkan beberapa perkembangan yang berbeza daripada sebelumnya. Pertama, dasar-dasar kerajaan khususnya agenda pembangunan akan pro-bumiputera dan Islam kerana bilangan kabinet didominasi oleh kelompok tersebut. Penyertaan pemimpin Sabah dan Sarawak akan memacu pembangunan kedua-dua negeri itu bagi mengimbangi kemajuan Semenanjung Malaysia.

Kedua, pembangunan fizikal, intelektual dan spiritual masyarakat Melayu akan diperkasa kerana politik “balas budi” kerajaan terhadap kaum itu yang terus menyokong BN. Dijangkakan institusi pendidikan seperti sekolah kebangsaan, sekolah agama dan institut kemahiran akan diberi tumpuan untuk melahirkan golongan Melayu yang memahami agama dan cemerlang dalam pelajaran. Isu sosial yang melingkari masyarakat Melayu akan menjadi agenda dalam meningkatkan rasa “izzah” atau kemuliaan diri dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Ketiga, ekonomi negara akan terus berkembang selaras dengan iltizam kerajaan BN untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi pada 2020. Dasar dan perancangan yang dilaksanakan kelak menumpu ke arah pencapaian matlamat tersebut. Kelompok penjawat awam akan menerima habuan terbesar melalui kenaikan gaji dan elaun kerana mereka juga dilihat sebagai penyokong kerajaan BN.

Keempat, kedudukan pembangkan yang kuat di parlimen memberi kebaikan kepada semua rakyat Malaysia khususnya mengenai kualiti hidup. Kerajaan BN tentu menyedari bahawa keadaan semakin sukar untuk mereka menekan rakyat dengan kenaikan harga barang atau perkhidmatan. Kerajaan BN juga dijangka akan membaiki kualiti penyampaian, perkhidmatan dan penggunaan belanjawan yang lebih berhemat. Di akhirnya, kerajaan BN terpaksa menjadi sebuah kerajaan yang sangat prihatin dan responsif kepada kehendak rakyat Malaysia.

Kelima, etnik Cina akan merasai kesan sebenar di atas tindakan mereka menolak BN. Tanpa ada wakil Cina dalam kabinet, suara kelompok etnik itu tidak lagi didengari dengansempurna. Walaupun menteri dikatakan bertanggungjawab kepada semua orang, konsep “yang sokong dihargai, yang menentang dibenci” mungkin menjadi ketetapan yang tidak diperlihatkan dalam membuat dasar dan rancangan kepada negara.

Keenam, peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, Melayu, Cina dan India jelas dapat dikenal pasti kecenderungan mereka. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) umpamanya menjelaskan pendirian mereka untuk menyokong pembangkan dalam PRU-13. Kenyataan yang dikeluarkan oleh presiden pertubuhan itu, Mohd Farid Sheikh Ahmad tentang pendirian mereka amat jelas iaitu IKRAM merumuskan bahawa memilih wakil dari blok Pakatan Rakyat dalam PRU-13 kali ini adalah satu kewajaran yang lebih berasas dan menguntungkan negara dan rakyat jelata”. Manakala bagi NGO berasaskan nasionalis dan kepentingan kaum seperti Perkasa, Dong Zong dan Hindraf masing-masing mempunyai pendirian yang memenuhi aspirasi kaum mereka.

Perjalanan lima tahun akan datang amat mencabar bagi kerajaan BN kerana mereka mengekalkan kuasa. Dalam pada masa yang sama, pembangkang mula mengenengahkan pemimpin-pemimpin muda yang mempunyai aspirasi Malaysia yang dipunyai oleh pelbagai kaum. Banyak persoalan yang boleh diutarakan untuk kedua-dua pihak merangka strategi politik masing-masing untuk memenangi  kelompok pengundi akan datang seperti kesepaduan rakyat Malaysia, konsep baru sistem politik dan keberkesanan agensi pelaksana piihan raya.

Sunday, May 19, 2013

Sindiran kepada CEO AirAsia X






Seorang blogger telah memuat naik satu artikel bagi menyindir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia X, Azran Osman-Rani ekoran cemuhannya terhadap Utusan Malaysia yang disifatkannya sebagai rasis kerana menyiarkan artikel di muka hadapan bertajuk Apa Lagi Cina Mahu pada 7 Mei lalu. Memandangkan artikel ini menarik untuk dibaca oleh lebih ramai orang, Mingguan Malaysia menyiarkan semula artikel tersebut yang telah disiarkan di muka Rencana, Utusan Malaysia pada 16 Mei lalu. 
 
Artikel tulisan Fatimah Zuhri dalam bahasa Inggeris tersebut boleh dibaca dalam blog fatimahzuhri.blogspot.com. Berikut adalah terjemahan artikel tersebut.
 
Selasa, 7 Mei 2013
 
Jawapan sindiran kepada Azran Osman-Rani @ azranosmanrani

Komrad Azran yang dikasihi, sebagai rakan Melayu yang membenci dirinya sendiri, izinkan saya secara rasmi mengalu-alukan anda untuk menyertai Self-Hating Malay Club (SHMC). Di SHMC, moto kami adalah Untuk menyekat kebebasan bersuara/penyataan pendapat oleh orang Melayu. 

Matlamat kami adalah untuk menakut-nakutkan orang Melayu dan menjadikan mereka berasa tidak selamat, rendah diri dan bersalah. 

Ahli-ahli SHMC direkrut secara jemputan sahaja. Berikutan anda telah menunjukkan sikap angkuh yang amat sangat dalam twitter anda, kami merasakan bahawa anda layak untuk menyertai kelab kami yang terkenal ini. 

Komrad, 

Dalam hal suntikan twitter anda terhadap Utusan Malaysia, anda benar-benar betul. Bagaimana begitu berani akhbar ini menyuarakan apa yang majoriti orang Melayu sedang fikir? Tindakan itu adalah tindakan orang kufur? Sebuah akhbar sepatutnya hanya melaporkan apa yang dianggap politik sebagai betul. 

Ini bermakna anda bebas untuk menulis apa sahaja yang merendah-rendah dan menjatuhkan martabat orang Melayu, tetapi tidak akan menulis apa-apa kritikan terhadap orang Cina. 

Jadi apa masalahnya jika akhbar-akhbar vernakular sejak sekian lama telah menulis artikel yang lebih bersifat perkauman dan sensitif sejak lima tahun yang lalu? Kami orang Melayu yang membenci diri sendiri hanya memahami bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Oleh itu, kami boleh memaafkan orang Cina yang telah banyak menderita. 

Saya mencadangkan agar anda berhubung dengan rakan-rakan kami daripada Anti Defamation League (ADL) dan belajar daripada mereka bagaimana mereka mendiskriminasi dan membuli orang Islam dengan cara yang sangat canggih. Komrad Tian Chua akan dapat memberi anda nombor telefon berkenaan. 

Komrad,

Orang Cina telah tinggal di neraka selama hampir 60 tahun. Mereka telah didiskriminasi dan diseksa oleh orang Melayu. Orang Melayu tidak pernah melakukan apa-apa untuk faedah orang Cina! 

Jangan tertipu dengan perbuatan baik orang Melayu membeli dari kedai milik orang Cina dan pasar raya walaupun terdapat kedai Melayu berdekatan - orang Melayu hanya menipu. 

Juga jangan mendengar orang yang mengatakan 90 peratus daripada 10 orang terkaya di Malaysia adalah orang Cina!

Itu adalah satu pembohongan! Itu bukan orang Cina! Mereka adalah orang Melayu yang telah melakukan pembedahan plastik untuk kelihatan seperti orang Cina! Ini adalah konspirasi BN! Orang Cina tidak boleh hidup di negara ini kerana keadaannya begitu dahsyat. 

Komrad, 

Kita di SHMC perlu melakukan apa yang orang Cina telah buat - Buy Malays Last! Cuba lihat pendapatan purata orang Cina demi kebaikan kita semua - mereka telah menderita begitu banyak komrad! Di SHMC, kami mahu memastikan bahawa tidak ada orang Melayu yang akan mempersoalkan orang Cina lagi! Jika ada orang Melayu yang berani untuk mempersoalkan motif orang Cina, kami di SHMC akan melaporkannya kepada PDRM yang korup. 

Komrad, 

Saya gembira kerana syarikat anda berkongsi warna korporat yang sama dengan rakan kita di Pulau Pinang (iaitu DAP). Adalah malang bahawa anda tidak bercakap sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), jika tidak, kami boleh memberitahu komrad Kit Siang dan komrad Guan Eng mengenai anda. Anda boleh menjadi Yang Berhormat sekarang, bukannya bekerja untuk bos yang kapitalis! 

Komrad, 

Dari semasa ke semasa, orang mungkin bertanya mengapa anda boleh menjadi orang Melayu yang membenci diri sendiri. Pada SHMC, slogan standard kami adalah - Salahkan BN! Jika anda memakai seluar salah untuk pergi bekerja - Salahkan BN! Jika anak anda membesar menjadi anak tidak bersyukur - Salahkan BN. Jika hujan hari ini - Salahkan BN. Pada asasnya komrad, Salahkan BN untuk segala-galanya. Adakah anda faham? 

Komrad,

Sila beritahu orang Melayu yang mudah terpedaya tentang kebenaran ini.
 
*Anda tidak pernah menerima sebarang bantuan daripada syaitan Darth Vader merangkap kerajaan Saruman iaitu BN. Beritahu mereka bahawa anda berjaya belajar di Stanford kerana terdapat pokok wang ajaib di belakang rumah ibu bapa anda.

*Beritahu mereka bahawa anda menjadi Naib Presiden Kanan (Dasar & Pembangunan) di BSKL yang dimiliki BN yang korup kerana anda mempunyai fikiran hebat seperti Einstein, bukan kerana seorang Melayu (bekas Pengerusi BSKL) memberi peluang kepada anda. 

*Anda tidak menyertai ASTRO - sebuah syarikat yang dimiliki oleh kroni Mahathir. Sebaliknya, Utusan Malaysia telah mengklon diri anda dan meletakkan klon anda di sana. 

Komrad, 

Sebagai kesimpulannya, sila tweet lebih banyak kenyataan yang membenci diri sendiri pada masa hadapan. Kami di SHMC mengalu-alukan tweet anda. Jangan bimbang tentang PDRM. Mereka tidak akan menangkap orang yang mengkritik dan merendah-rendahkan orang Melayu, mereka hanya akan menangkap anda jika anda membuat kenyataan sedemikian terhadap orang Cina. 

Secara peribadi, saya akan mempromosi syarikat anda, Malindo Air, untuk seluruh ahli keluarga dan rakan-rakan saya. Kami di SHMC akan mula memboikot AirAsia kerana Komrad Ambiga memberitahu kami Air Asia menerbangkan warga Bangladesh ke negara ini untuk mengundi dalam PRU-13. 

KOMRAD ANDA, FATIMAH ZUHRI

(Utusan Malaysia, 19 Mei 2013)

Saturday, May 18, 2013

Kajian antarabangsa dakwa rakyat Malaysia antara yang paling kurang toleransi kaum





Rakyat Malaysia antara mereka yang paling kurang memiliki toleransi kaum di dunia, menurut Kajian Penilaian Dunia yang dijalankan oleh Ahli Ekonomi Sweden. 

Kajian menunjukkan bahawa 20 % hingga 29.9% rakyat Malaysia tidak suka tinggal di sebelah individu yang berlainan kaum.

Malaysia tersenarai dalam kategori tersebut bersama-sama Thailand, Filipina, Maghribi, Mali dan Zambia.

Kajian tersebut dijalankan bagi mengenal pasti sama ada toleransi kaum mempunyai kaitan dengan sistem ekonomi pasaran bebas.

Data survei 'atlas toleransi global' berkenaan merangkumi 81 negara, yang dihasilkan oleh Niclas Berggren dan There Nilson telah dilaporkan oleh Washington Post.

Ia mendedahkan rakyat Malaysia berada di kedudukan selepas India, Bangladesh dan Hong Kong (40% dan ke atas) dan Indonesia (30% hingga 39.9 peratus).

Sebanyak 43.5 % rakyat India, 51.4% rakyat Jordan, 71.8 % rakyat Hong Kong dan 71.7% rakyat Bangladesh berkata mereka tidak mahu tinggal dengan jiran berlainan kaum.

Keadaan ini berbeza, dengan hanya 9.9% rakyat Singapura dianggap fanatik dianggap mengamalkan sikap perkauman dan tidak bertoleransi.

Kaedah yang digunakan untuk mengukur tahap toleransi kaum responden ialah dengan meminta mereka mengenal pasti siapa yang mereka tidak mahu sebagai jiran.

Dalam peta, negara yang lebih banyak mengamalkan toleransi kaum diwarnakan biru.

Negara yang kurang toleransi kaum diwarnakan dengan warna berbeza iaitu merah.
Malaysia diwarnakan dengan warna 'merah terang'.

Negara Angola dan Latin disenaraikan sebagai negara paling perkauman paling baik.
 
(Mstar, 18 Mei 2013)
 

Friday, May 17, 2013

Implementasi dasar sosial dan impak kepada pembangunan komuniti di Malaysia





oleh Mohamad Zahir Zainudin, Roziah Omar, Isma Addi Jumbri

 
ABSTRAK

Kerangka pembangunan ekonomi yang mendasari kemajuan negara-negara dunia lebih lima dekad lalu semakin diselarikan dengan kerangka pembangunan sosial kerana implikasi yang besar ke atas pembangunan manusia dan alam sekitar. Penekanan ke atas pembangunan sosial yang bermula sekitar tahun 1980-an telah dilihat penting demi kelestarian dan kemajuan Malaysia. Pembentukan dasar sosial menjadi bertambah penting untuk mengurus komuniti yang semakin berkembang dan kompleks. Dalam melaksanakan perancangan pembangunan sosial, persekitaran semula jadi dalam hubungan di antara pelaksana dasar dan kumpulan sasar adalah sama penting dengan kandungan dasar. Impak dasar sosial dalam perubahan hidup kerap kali bergantung kepada aktiviti yang terlibat dalam kalangan individu dan komuniti. Kajian ini ingin melihat bagaimana dasar sosial dilaksanakan di Malaysia dan sejauh mana pelaksanaannya memberi impak kepada komuniti setempat. Responden kajian terdiri daripada penerima bantuan mikrokredit Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Lokasi kajian yang dipilih ialah Negeri Melaka kerana berada dalam zon yang lebih maju dari segi pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif untuk mendapatkan hasil yang lebih jelas dalam pelaksanaan dasar sosial. Data kajian dikumpulkan melalui perbincangan dengan kumpulan pakar, kumpulan berfokus dan pemerhatian  langsung. Hasil dapatan menunjukkan terdapat perubahan sosioekonomi yang ketara selepas responden menyertai skim berkenaan. Mereka boleh berdikari dan mempunyai motivasi tinggi untuk mengubah kehidupan. Penyelesaian dasar sosial bersama dasar ekonomi telah menyumbang kepada perubahan hidup komuniti yang pada awalnya adalah berpendapatan rendah. Malaysia telah berjaya membangunkan komuniti ini melalui pelaksanaan dasar sosial yang terangkum dan disesuaikan dengan keperluan kumpulan sasar.
 
Kata Kunci: dasar sosial, pembangunan komuniti, Amanah Ikhtiar Malaysia


1.0       PENGENALAN

Sejak 50 tahun lalu, pengalaman pembangunan memperlihatkan perdebatan dalam peranan kerajaan bagi membangunkan masyarakat dan negara. Masing-masing meneliti dan memerhati perkembangan masyarakat dan sistem sosiobudaya manusia serta menelaah fenomena kemodenan ini dengan kaca mata dan perspektif  sendiri. Golongan ekonomis mempunyai gagasan pembangunan dan tahap perkembangannya. Golongan politikus mempunyai gagasan perkembangan sistem politik global. Golongan sosiologis memaparkan pandangan serta kerangka pemikiran kemasyarakatan (Zainal Kling, 2005).
 
Pembangunan berteraskan ekonomi ini menyaksikan negara Jepun menjadi kuasa baru ekonomi dunia  pada tahun 1970-an. Kelompok kedua ialah kemunculan Taiwan, Korea Selatan, Hong Kong dan Singapura menjadi Negara Industri Baru (NIB) sebagai generasi pertama, diikuti Malaysia, Thailand dan Indonesia sebagai NIB generasi kedua. Kepesatan ini telah menambah baik agihan pendapatan, menurunkan kadar kemiskinan dan merapatkan jurang perbezaan ekonomi. Contoh kejayaan ini ialah sepertimana yang dinikmati oleh Malaysia iaitu pengecilan jurang ketaksamaan ekonomi melalui pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (1971-1990) di mana golongan 20 peratus terkaya menikmati 57.7 peratus pendapatan, pemilikan golongan ini menurun kepada 55.8 peratus pada 1979 dan semakin kurang pada 1990 hanya kepada 50.4 peratus (Shireen Mardziah, 1998; Ishak, 1999; Abdul Rahman, 2003). Seterusnya, perkembangan ekonomi China yang pesat pada abad ke-21 memberi saingan kepada kuasa ekonomi di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia sendiri. Ekonomi China yang berkembang pesat menjadi pemacu kepada perkembangan ekonomi dunia pada hari ini (Mengkui Wang, 2006; Zhongmin Wu, 2009; John Bryan Starr, 2010).
 
1.2       Objektif Kajian
 
Tujuan kajian in ialah mengkaji pelaksanaan dasar sosial dalam pembangunan komuniti di Malaysia. Tujuan khusus ialah menjawab persoalan-persoalan berikut, 1) bagaimana dasar sosial dilaksanakan di Malaysia? dan 2) sejauhmana implementasi dasar sosial ini memberi impak kepada pembangunan komuniti di Malaysia?
 
2.0       KAJIAN LITERATUR
 
Keberkesanan dasar sosial bergantung kepada keupayaan pelaksanaan intervensi yang diambil oleh kerajaan menerusi pelbagai siri perkhidmatan sebagai tindak balas ke atas masalah sosial, keperluan sosial dan peluang sosial yang diperlukan dalam masyarakat (Latrids, 1994, Siti Hajar, 2006). Komponen utama dalam pelaksanaan dasar sosial ini ialah kebajikan sosial iaitu memenuhi keperluan sosial masyarakat, mengurus masalah-masalah sosial yang dihadapi oleh masyarakat dan menyediakan peluang untuk masyarakat memperkasa kesejahteraan hidup mereka. Pemilihan tipologi atau model dasar sosial yang memenuhi keperluan masyarakat akan menjamin kehidupan yang lebih baik.
 
Terdapat berbagai-bagai definisi dasar sosial yang dikemukakan oleh beberapa orang tokoh seperti Marshall, Rein, Huttman, Spicker dan Hill yang mengaitkan dasar sosial dengan kebajikan kesejahteraan sosial. Marshall (1965) berpendapat dasar sosial adalah dasar kerajaan yang berkaitan dengan tindakan yang memberi impak secara langsung terhadap kesejahteraan komuniti melalui penyediaan perkhidmatan sosial atau bantuan kewangan. Bagi Rein (1970), dasar sosial adalah perancangan untuk mengatasi halangan sosial, meningkatkan kesamarataan, agihan perkhidmatan dan bantuan sosial. Huttman (1981) pula berpendapat dasar sosial adalah satu bentuk strategi, tindakan atau rencana untuk mengatasi masalah sosial dan memenuhi keperluan sosial.
 
Spicker (1995) mentakrifkan dasar sosial sebagai dasar yang berkaitan dengan kebajikan sama ada yang berkait dengan pengertian yang lebih luas seperti kualiti hidup ataupun yang lebih khusus seperti perkhidmatan tertentu. Definisi yang lebih ringkas diberikan oleh Hill (1996) iaitu dasar sosial adalah kajian mengenai peranan negara dalam kaitannya dengan kesejahteraan komuniti. Manakala Bessant, Watts, Dalton dan Smith (2005) melihat dasar sosial menunjuk pada tindakan kerajaan meningkatkan kualiti hidup melalui penjanaan pendapatan, kebajikan kemasyarakatan dan program asas sosial. Midgley dan Livermore (2009) menyatakan dasar sosial ialah pengukuran yang memberi kesan kepada kesejahteraan masyarakat sama ada melalui penyediaan perkhidmatan kebajikan atau dasar yang memberi impak ke atas kehidupan secara keseluruhan.
 
Walaupun dasar sosial kerajaan menyumbang kepada kesejahteraan hidup komuniti dan negara, kebajikan keseluruhan tersebut tidak hanya ditentukan oleh dasar-dasar kerajaan. Banyak lagi program atau aktiviti serta penglibatan dalam komuniti yang memberi impak kepada kesejahteraan hidup seperti tahap pendapatan yang diperolehi daripada pekerjaan, pencapaian pendidikan, sokongan keluarga (juga rakan-rakan dan jiran), perkhidmatan yang diterima daripada pertubuhan bukan kerajaan dan institusi agama, aktiviti masyarakat setempat, iklim ekonomi negara dan peranan agensi kerajaan.
 
Bagaimanapun dasar sosial kerajaan menjadi sangat penting kerana tujuan dasar tersebut ialah meningkatkan kesejahteraan hidup dan mengurus sejumlah sumber untuk mencapai sasaran tertentu. Idea penglibatan kerajaan dalam merangka dasar sosial dengan matlamat-matlamat khusus sebenarnya masih baru iaitu ketika abad ke-21. Dalam sejarah kemanusiaan, kerajaan hanya memberi tumpuan untuk mempertahankan negara dari serangan. Hanya pada abad ke-19, kerajaan mula melihat sumber-sumber negara boleh digunakan untuk menambah baik pendidikan, menyediakan tempat tinggal, memberi subsidi dan membaiki taraf perkhidmatan kesihatan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup komuniti. Sebelum itu, tanggungjawab ini dilakukan oleh keluarga dan komuniti setempat selain daripada institusi agama dan pertubuhan sukarela. Dalam abad ke-20, gerakan besar-besaran oleh reformis sosial, kesatuan sekerja, ahli politik dan penglibatan agensi kerajaan telah meningkatkan peranan kerajaan dalam penyediaan perkhidmatan sosial yang lebih besar.
 
Oleh kerana peranan kerajaan dalam kebajikan sosial semakin meluas, perdebatan tentang dasar sosial tidak dapat disempitkan kepada program-program berbentuk kebajikan, sebaliknya perlu disertai oleh ahli akademik untuk mengkaji dasar dan program-program yang telah dilaksanakan. Antara kajian ini ialah bagaimana dasar sosial boleh dilaksanakan melalui perkhidmatan sosial, perundangan, sistem cukai dan mahkamah, sejarah dasar sosial, kajian terhadap ideologi yang mempengaruhi proses pembuatan dasar sosial dan penilaian ke atas impak kebajikan sosial.
 
Dasar sosial yang memberi impak positif dan menambah baik keadaan sosial dalam komuniti akan memberi lebih banyak ruang kepada kesejahteraan hidup. Secara langsung, dasar sosial menentukan aras kebajikan sosial individu atau komuniti. Kebajikan yang dimaksudkan ialah apabila keperluan-keperluan hidup dipenuhi, masalah dapat diuruskan dan peluang dimaksimumkan. Kepentingan memenuhi keperluan hidup ialah supaya wujudnya keadaan kebajikan sosial untuk makanan, kesihatan, tempat perlindungan, keselamatan dan pekerjaan. Kepentingan mengurus masalah ialah dapat mengawal kadar jenayah dan delikuensi, penderaan, keganasan rumah tangga dan pengabaian kanak-kanak. Manakala maksud kewujudan peluang yang maksimum ialah apabila keadaan kebajikan sosial telah terbentuk, individu dan komuniti dapat memaksimumkan peluang bagi mencapai matlamat (Midgley dan Livermore, 2009; Haris Abd. Wahab, 2010).
 
Kebanyakan dasar sosial dan dasar awam menggariskan set idea, prosedur, pendekatan, prinsip dan strategi mengenai cara-cara untuk menguruskan pelbagai program sosial dan perkhidmatan sosial bagi bertindak balas dengan keperluan sosial, masalah sosial dan peluang sosial yang wujud. Terdapat dua pendekatan atau model yang diguna pakai dalam melaksanakan dasar sosial iaitu model agihan kebajikan semula (redistributive welfare) dan model pelaburan sosial (social investment model). Model dasar sosial kontemporari seperti kebajikan agihan semula didapati semakin gagal atau kurang berkesan untuk bertindak balas dengan keperluan hidup dan masalah sosial yang wujud dalam kehidupan masyarakat serta semakin kurang berkesan untuk menyediakan pelbagai peluang sosial yang diperlukan oleh anggota masyarakat bagi memajukan atau meningkatkan kesejahteraan hidup mereka. Kebanyakan negara sedang menukar arah paradigma dasar sosial mereka kepada dasar sosial model pelaburan sosial (Midgley dan Livermore, 2009; Siti Hajar dan Syed Barkat Ali, 2005; Levitas, 2005; Dwyer, 2000). Kedua-dua model ini mempunyai perbezaan yang sangat ketara dalam membebaskan masyarakat daripada masalah sosial yang dihadapi. 
 
2.1       Pembangunan Sosial di Malaysia
 
Matlamat pembangunan sosial di Malaysia ialah menyelesaikan masalah kemiskinan yang telah didokumentasikan dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP1) 1971-1990. Pembangunan sosial di Malaysia telah melalui tiga dekad kemajuan bersama pembangunan ekonomi yang memberangsangkan, membenarkannya untuk memberikan nikmat kesihatan dan pendidikan kepada rakyat, membasmi kemiskinan dalam skala besar, membina infrastruktur kelas satu dan menjadi pengeksport global yang utama. Ketika negara ini sedang mengejar misi penting untuk menjadi sebuah negara maju, kerajaan telah mewujudkan sebuah rangka kerja merangkumi empat tonggak untuk memacu perubahan iaitu Enam Bidang Keberhasilan Utama Negara dalam Program Transformasi Kerajaan, 12 Bidang Ekonomi Penting Negara daripada Program Transformasi Ekonomi, pembaharuan ekonomi strategik dalam Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia Kesepuluh. Empat pilar ini menjadi teras untuk membawa Malaysia ke arah negara maju, menekankan keterangkuman dan kemampanan. Begitu juga dengan pendekatan terhadap pembangunan ekonomi dan sosial yang mengguna pakai suatu perubahan yang radikal bagi membolehkan Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi (PBB, 2011).
 
Di peringkat global, pengukuran kemajuan Malaysia dilakukan berdasarkan pencapaian negara ini dalam Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) yang mengukur kedudukan lapan indikator iaitu membasmi kemiskinan dan kebuluran yang melampau, mencapai pendidikan utama sejagat, menggalakkan persamaan jantina dan menguasakan wanita, mengurangkan mortaliti kanak-kanak, meningkatkan kesihatan keibuan, memerangi HIV/AIDS, malaria dan penyakit-penyakit lain, memastikan kemampanan alam sekitar, dan membangunkan kerjasama sejagat untuk pembangunan. Selepas melalui dua pertiga tempoh ke tahun 2015, Malaysia telah mencatatkan kemajuan ketara ke arah pencapaian kebanyakan matlamat. Laporan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2011 tentang kemajuan MDG Malaysia dalam pembasmian kemiskinan, terdapat pengurangan yang ketara iaitu berkurangan daripada 17 peratus pada tahun 1990 kepada lapan peratus pada tahun 2000 dan di bawah empat peratus pada tahun 2009. Kadar kemiskinan dijangka semakin berkurangan kerana kerajaan Malaysia sangat komited kepada agenda MDG-Plus melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh dengan 30 peratus perbelanjaan pembangunan lima tahun diperuntukkan kepada sektor sosial.
 
Kemajuan Malaysia dalam pembangunan sosial melalui peningkatan taraf hidup keluarga berpendapatan rendah telah mula menampakkan hasil selepas koordinasi pelbagai agensi yang lebih teratur melalui portal e-Kasih, proses kelulusan permohonan yang singkat dan tahap kecekapan agensi pemberi bantuan yang semakin baik. Penetapan gaji minimum bulanan sebanyak RM900 di Semenanjung Malaysia dan RM800 di Sabah, Sarawak dan Labuan pada tahun 2012 dapat memenuhi keperluan asas pekerja dan keluarga mereka, meningkatkan produktivi dan melonjakkan perniagaan pihak swasta (Bernama, 2012). Usaha-usaha yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia dalam pembangunan sosial  adalah seiring dengan model pembangunan negara yang menggunakan dua pendekatan iaitu pencapaian indeks pendapatan dan kesejahteraan rakyat (Berita Harian, 2012). 
 
2.2       Transformasi Pembangunan Dasar Sosial di Malaysia
 
Pembangunan memang menjadi satu perkara penting dalam perkembangan Malaysia sebelum dan selepas merdeka. Hanya selepas kemerdekaan pada tahun 1957, pembangunan di Malaysia menjadi lebih terancang dan menepati kehendak serta keperluan masyarakat tempatan. Pelbagai dasar, strategi dan program terancang diperkenalkan dan dibangunkan untuk mengisi kemerdekaan negara (Hazizan, 2005). Terdapat tiga fasa pembangunan yang telah dilaksanakan oleh Malaysia bagi mengubah lanskap pembangunan sosial masyarakat dan negara. Fasa pertama ialah sejak merdeka hingga 1969, fasa kedua dari 1970 hingga 1990 dan fasa ketiga dari 1991 hingga 2020.
 
 
 
2.3       Dasar Sosial Negara Malaysia
 
Penggubalan Dasar Sosial Negara (DSN) yang berlandaskan aspirasi 2020 adalah sangat tepat. DSN merupakan dasar payung yang merangkumi falsafah dan pelbagai dasar pembangunan sosial negara. Dasar ini memberi hala tuju kepada perancangan dan pelaksanaan program pembangunan sosial tersebut. DSN dilancarkan secara rasmi pada 19 Ogos 2003 dan diletakkan di bawah Bahagian Pengembangan dan Pembangunan PINTAS, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
 
Matlamat DSN ialah mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang maju dan mantap dengan setiap anggota masyarakat berpeluang untuk memperkembangkan potensi diri secara optimum di dalam persekitaran sosial yang sihat berdasarkan ciri-ciri bersatu padu, berdaya tahan, demokratik, bermoral, bertoleransi, progresif, penyayang, adil dan saksama selaras dengan matlamat Wawasan 2020. Penyataan dasar merumuskan bahawa DSN ialah dasar pembangunan sosial yang berteraskan nilai-nilai murni dan peningkatan keupayaan insan bagi mencapai kesepaduan dan kestabilan sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup masyarakat Malaysia yang maju serta mantap.
 
 
 
Objektif umum DSN ialah menjamin setiap individu dapat menyertai dan memberi sumbangan kepada pembangunan negara serta menikmati hidup yang sejahtera. Manakala objektif khusus ialah memastikan keperluan asas individu, keluarga dan komunikasi dipenuhi, membangun dan memperkasa insan sepanjang hayat, memperkukuh dan membangunkan sistem sokongan sosial dan perkhidmatan sosial serta menjana sinergi multisektor. Pembangunan sosial yang diketengahkan dalam Dasar Sosial Negara ini mengenengahkan 45 strategi melalui pelbagai program, aktiviti dan projek yang dirancang mengikut Pelan Tindakan DSN yang memberi perkhidmatan sosial dalam aspek kebajikan masyarakat, kesihatan, pendidikan, pekerjaan, perumahan, penghayatan nilai dan budaya, keselamatan serta persekitaran yang sihat.
 
 
 
Strategi bagi memenuhi objektif pertama ialah 1) mewujudkan pelbagai peluang dan kemudahan agar setiap individu, keluarga dan komuniti dapat menikmati keperluan asas kehidupan dan menyertai arus pembangunan negara, 2) memastikan setiap individu mendapat hak untuk kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan serta dapat menikmati keperluan asas sepanjang hidup, tidak terpinggir dan tersisih daripada arus pembangunan, dan 3) memastikan keperluan hidup yang holistik menjadi teras kehidupan setiap individu, keluarga dan komuniti.
 
Mekanisme penyelarasan pelaksanaan Dasar Sosial Negara melibatkan dua peringkat iaitu persekutuan serta negeri dan daerah. Di peringkat persekutuan, terdapat tiga organisasi pelaksana iaitu Majlis Sosial Negara (MSN) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri dengan keanggotaan terdiri daripada menteri-menteri kabinet Malaysia, seterusnya Jawatankuasa Pembangunan Sosial Negara (JPSN) dan Jawatankuasa Kerja Pembangunan Sosial Peringkat Kementerian (JKPSK). Di peringkat negeri dan daerah, tiga organisasi berganding bahu menjayakan DSN iaitu Majlis Tindakan Negeri, Jawatankuasa Kerja Tindakan Negeri dan Jawatankuasa Kerja Tindakan Daerah.
 
 
 
3.0       METODOLOGI KAJIAN
 
Responden kajian ini melibatkan sepuluh orang penerima bantuan mikrokredit Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Melaka. Tinjauan awal yang dibuat ini melibatkan penyertaan pelajar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang menyertai program keusahawanan sosial di universiti tersebut. Dalam kajian ini, responden yang dikenal pasti telah  dipilih bagi mewakili peserta mikrokredit di bawah AIM. 
 
Pemerhatian langsung dipilih kerana kaedah ini membantu penyelidik memahami dan mendapat gambaran ke atas peranan dan aktiviti yang dilaksanakan di kawasan lapangan. Melalui pemerhatian langsung dan turut serta, pengkaji mendapat peluang dan pengalaman sebenar berkaitan permasalahan, keperluan dan pencapaian matlamat dasar sosial ini. Perbincangan kumpulan berfokus bertujuan untuk mendapatkan maklumat tambahan berhubung peranan dan tanggungjawab responden bagi menjayakan dasar sosial. 
 
Perbincangan dan pengumpulan maklumat tambahan adalah bagi mendalami isu-isu sosial, aktiviti yang dilaksanakan, peranan pengerak, penglibatan komuniti dan agesi-agensi berkaitan dasar sosial. Perbincangan kumpulan berfokus yang dibuat secara terbuka adalah perlu bagi mengetahui masalah yang berkaitan dengan peranan mereka. Di samping isu-isu yang berkait rapat dengan peranan mereka dalam dasar sosial, terdapat juga isu-isu peribadi yang tidak relevan dengan kajian. 
 
4.0       DAPATAN KAJIAN
 
Sepuluh responden yang terlibat dalam kajian ini melakukan pelbagai jenis perniagaan yang berskala kecil, berisiko rendah dan berorientasi perkhidmatan. Antara perniagaan tersebut ialah kedai makanan dan minuman, pembekal barangan kulit, pengangkutan dan penyajian. Mereka memulakan perniagaan bagi tempoh satu hingga 15 tahun. Sebahagian besar responden (lapan orang) berkahwin manakala dua lagi adalah ibu tunggal. Umur responden adalah di antara 43 tahun hingga 56 tahun.  Jadual 3 menunjukkan maklumat responden dan jenis perniagaan yang dijalankan.
 
4.1       Perubahan Sosioekonomi
 
Responden mula menunjukkan perubahan minda yang positif apabila sering kali mendapat bimbingan dan pendedahan untuk mengubah keadaan hidup. Melalui tinjauan yang dijalankan, responden atau peserta AIM bertanggungjawab menghadiri perjumpaan pusat kawasan yang dikenali sebagai Kumpulan Sinar Gemilang dan Pusat Saidatina Aisyah serta membuat bayaran secara mingguan. Keupayaan berniaga dapat dikongsi bersama ketika setiap responden berkumpul di pusat kawasan masing-masing.
 
Antara program yang telah mengubah minda responden ialah perkongsian maklumat dan pengalaman melalui mesyuarat mingguan, taklimat yang teratur dan hubungan berterusan responden dengan pihak AIM. Perhatian yang diberikan kepada responden telah membimbing mereka untuk bertindak dengan cermat dalam membuat keputusan.
 
Perubahan sikap yang ketara ialah terdapat responden bangun seawal pukul empat pagi untuk memulakan perniagaan, memberi perhatian ke atas perkhidmatan pelanggan dan memastikan kualiti produk serta merancang menambahkan bilangan pekerja. Terdapat juga responden juga mula mempelajari aspek pemasaran dalam talian (online marketing) sebagai sebahagian daripada strategi memasarkan produk. Walaupun sebahagian besar responden masih menjalankan perniagaan secara tradisional, keinginan mereka untuk mengetahui kaedah pemasaran dalam talian ini amat menggalakkan.
 
 
 
4.2       Perubahan Minda dan Sikap
 
Responden mula menunjukkan perubahan minda yang positif apabila sering kali mendapat bimbingan dan pendedahan untuk mengubah keadaan hidup. Melalui penerangan yang dijalankan, responden bertanggungjawab menghadiri perjumpaan pusat kawasan yang dikenali sebagai Kumpulan Sinar Gemilang dan Pusat Saidatina Aisyah serta membuat bayaran secara mngguan. Keupayaan berniaga dapat dikongsi bersama ketika setiap responden berkumpul di pusat kawasan masing-masing.
 
Antara program yang telah mengubah minda responden ialah perkongsian maklumat dan pengalaman melalui mesyuarat mingguan, taklimat yang teratur dan hubungan berterusan responden dengan pihak Amanah Ikhtiar Malaysia. Perhatian yang diberikan kepada responden telah membimbing mereka untuk bertindak dengan cermat selepas membuat keputusan.
 
Perubahan sikap yang ketara ialah responden bangun seawal pukul empat pagi untuk memulakan perniagaan, memberi perhatian ke atas perkhidmatan pelanggan dan kualiti produk serta merancang menambahkan bilangan pekerja. Responden juga mula mempelajari aspek pemasaran dalam talian (online marketing) sebagai sebahagian daripada strategi memasarkan produk. Walaupun sebahagian besar responden masih menjalankan perniagaan secara tradisional, keinginan mereka untuk mengetahui kaedah pemasaran dalam talian ini amat menggalakkan.
 
4.3       Pembasmian Kemiskinan
 
Latar belakang responden yang susah di samping ramai tanggungan meletakkan mereka dalam keadaan yang sukar. Rata-ratanya masih berpendapatan rendah dan perlukan pekerjaan tambahan. Selepas menjadi peniaga, usaha dan kudrat responden semakin bertambah gigih, cermat dan bersemangat tinggi untuk berjaya. Pendapatan yang diperolehi telah mampu membiayai kehidupan keluarga masing-masing di samping meluaskan skop perniagaan.
 
Responden yang terlibat dalam perniagaan makanan dan minuman tidak hanya tertumpu pada satu jenis makanan sebaliknya dipelbagaikan. Antaranya ialah nasi lemak, bihun goreng, kuih apam, kerepek, bauhulu, produk susu dan ketupat nasi. Bagi responden yang telah lama berkecimpung dalam perniagaan perternakan, perkembangan perniagaan diarahkan kepada perkhidmatan inap desa (homestay), sewa basikal dan penternakan ikan kolam. Dalam aktiviti berasaskan jahitan dan hiasan dalaman, responden menerima tempahan untuk sulaman, jahitan langsir, hiasan dalaman, jahitan sarung bantal dan cadar, jahitan reben atas sarung kusyen, jahitan baju melayu dan jahitan manik. Responden turut memperkenalkan kelas jahitan bagi menambah pendapatan.
 
5.0       PERBINCANGAN DAN KESIMPULAN
 
Hasil kajian menunjukkan implementasi dasar sosial di Malaysia adalah menggerakkan masyarakat untuk berusaha dan berdikari bagi mengubah hidup. Pendekatan keusahawanan sebagai strategi sosial berjaya mengubah tahap pendapatan, keadaan sosioekonomi dan menganjak paradigma peserta untuk keluar daripada kitaran kemiskinan (vicious cycle). Hall dan Midgley (2004) menyifatkan mikrokredit sebagai sebahagian daripada kaedah menggurangkan kemiskinan selain daripada projek perantisan, klinik desa, program makanan untuk pekerjaan, bantuan pertanian, koperasi dan sebagainya.
 
Dasar sosial yang diguna pakai oleh Malaysia menggabungkan dasar ekonomi untuk merangsang pertumbuhan dan menyediakan lebih banyak pekerjaan. Dalam strategi ini, pembangunan sosial tidak sahaja berfungsi sebagai elemen pertumbuhan dan perkhidmatan malah memberikan strategi pembangunan “egalitarian” yang menambah pendapatan dan kualiti hidup masyarakat keseluruhannya. Peranan kerajaan yang terlibat secara menyeluruh dalam menjayakan dasar sosial melalui agensi seperti AIM ini telah terbukti membantu kumpulan sasar keluar daripada kepompong kemiskinan dan meningkatkan kualiti hidup mereka. Bantuan kewangan dan bantuan modal insan telah menggerakkan pemikiran dan mengubah tingkah laku kumpulan sasar untuk memberi tumpuan kepada aspek kualiti hidup yang lebih baik.

Artikel ini telah dibentangkan di Seminar Penyelidikan Mengenai Melayu, Universiti Brunei Darussalam, Brunei pada 29-31 Mac 2013.