Tuesday, December 31, 2013

Perbelanjaan secara berhemat







Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumunkan kerajaan mengambil keputusan melaksanakan sebelas langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam bermula 1 Januari.
Berikut kenyataan penuh beliau:
Saya ingin memaklumkan bahawa kerajaan telah mengambil keputusan untuk melaksanakan sebelas langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam bermula 1 Januari 2014.
Ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengamalkan perbelanjaan yang lebih berhemat pada tahun depan.
Langkah-langkah penjimatan lain yang lain untuk sektor awam akan diperkenalkan dari semasa ke semasa berdasarkan kepada keperluan dan keadaan semasa.
Keputusan ini telah dibuat setelah berunding dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.
Sebelas langkah tersebut adalah seperti berikut:
* Elaun keraian menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri akan dikurangkan sebanyak 10 peratus. Elaun keraian bagi pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C (JUSA C) ke atas akan dikurangkan sebanyak 5 hingga 10 peratus.

* Pengurangan sebanyak 5 peratus kos utiliti elektrik di kesemua kementerian/jabatan/agensi/premis kerajaan.

* Kemudahan bayaran tol bagi pegawai kanan kerajaan (Gred JUSA C ke atas) dikurangkan sebanyak RM50 hingga RM100 atau 30 peratus.

* Permohonan baru bagi pengubahsuaian ruang pejabat kementerian/ jabatan/premis kerajaan dibekukan.

* Mengetatkan pelantikan juru perunding atau consultant untuk projek- projek fizikal kerajaan termasuk dalam menjalankan feasibility study, di mana cadangan pelantikan hendaklah dikemukakan terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara untuk kelulusan.

* Mengurangkan penggunaan syarikat pengurusan acara atau event management serta pemberian saguhati (door gifts) atau cenderamata untuk penganjuran persidangan atau majlis-majlis kerajaan yang membabitkan anggota pentadbiran dan penjawat awam.

* Pindaan terhadap kelayakan tiket penerbangan domestik dan antarabangsa bagi penjawat awam. Sebagai contoh, kelayakan penerbangan sektor domestik bagi penjawat awam Gred JUSA C ke bawah ialah Kelas Ekonomi.

* Mengurangkan penyediaan makanan dan minuman semasa penganjuran persidangan, seminar, mesyuarat, kursus, bengkel atau sebarang acara rasmi kerajaan.

* Mengurangkan penggunaan kain pemidang (bunting dan banner) bagi penganjuran persidangan, seminar, mesyuarat, kursus, bengkel atau sebarang acara rasmi kerajaan.

* Mengoptimumkan penggunaan ruang pejabat sedia ada untuk mengurangkan sewaan premis pejabat.

* Mengaplikasikan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan mengoptimumkan penggunaan Pusat Latihan 1Malaysia atau 1Malaysia Training Center (1MTC) dan juga kemudahan-kemudahan di institusi-institusi latihan milik kerajaan bagi penganjuran kursus, seminar dan bengkel.
 
(Utusan Malaysia, 31 Disember 2013)

 

Monday, December 30, 2013

Himpunan risalah Imam Hasan Al-Bana




Penterjemah: Salehan bin Ayub
Tahun: 2003
Penerbit: Pustaka Salam, Kuala Lumpur.
Muka Surat: 683

Hasan al-Bana ibarat satu gagasan yang mantap. Gagasan yang tidak pernah mengejar kejayaan, tidak pernah mencari keuntungan yang bersifat sementara. Justeru beliau hidup bersama kita dengan cara yang amat mudah dan ringkas. Menerima dunia dengan penuh bersahaja. Tidak pernah mencari dunia atau menolak terus dunia. Makan apa yang ada. Pakai pakaian yang ada. Tempat tinggalnya sekadar seadanya. Hidup serba ringkas. Menyerahkan nasib anak-anaknya kepada Allah dan tiada apa yang ditinggalkan untuk mereka.

Baginya segala kebahagiaan dan keseronokan dalam hidup ini ialah menyampaikan kalimah Allah kepada seluruh manusia. Meluahkan segala ilmu yang tersimpan di dadanya.

Beliau mahu melihat gagasannya yang mulia dan ideal ini menjadi kenyataan. Beliau mahu ia menjadi realiti yang hidup di tengah masyarakat manusia. Menenggelamkan segala kesesatan yang merintangi jalannya. Memberikan sinar cahaya kepada dunia.

Apabila semua ini menjadi kenyataan, barulah jiwanya tenang dan terpancar di lubuk hatinya sinar nikmat, cahaya dan kegembiraan.

Buku penting ini disusun sebanyak 20 bab yang merangkumi dakwah, pelaksanaan sistem politik dan ekonomi, jihad, wanita, usrah dan akidah. Di hujung bab ialah ma’thurat.

Penggerak dakwah yang berada di Malaysia perlu manfaatkan kandungan buku melalui usrah dan halaqat mereka kerana pemikiran dan gagasan yang diutarakan olehh Hasan al-Bana wajar dikaji dan diteliti dengan baik.

Friday, December 27, 2013

Jasin perkasa tulisan jawi






Keputusan Majlis Daerah Jasin, Melaka yang akan memperkenal tulisan jawi secara berperingkat-peringkat di kawasan jajahan itu amat membanggakan. Selain mengukuhkan kembali tulisan jawi, tindakan itu juga dilihat dapat memastikan syiar Islam terus ditonjolkan dalam masyarakat Jasin.

Pengenalan tulisan jawi di premis pentadbiran majlis daerah itu menjadi permulaan kepada penggunaan jawi di premis perniagaan, bangunan dan jalan-jalan utama.

Walaupun dilihat kecil keputusan ini, ia memberi impak besar kepada pecinta tulisan jawi dan bangsa Melayu kerana bahasa dan tulisan orang Melayu ada hubungan yang akrab dengan Islam. Secara langsung, menonjolkan apa-apa syiar yang ada kaitan dengan Islam akan turut menaikkan imej dan maruah orang Melayu.

Di Asia Tenggara, selain Brunei, negeri-negeri di Malaysia ada yang telah menetapkan tulisan jawi di papan-papan tanda peniagaan dan jalan raya. Di Kelantan dan Terengganu, penggunaan tulisan jawi ini telah lama dilaksanakan.

Terdapat tafsiran yang berbeza berkaitan tulisan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi Perkara 152 berkaitan bahasa Melayu sebagai bahasa persekutuan. Ada tafsiran yang mengaitkan bahasa tersebut dengan tulisan rumi kerana bahasa Melayu boleh ditulis sama ada dengan tulisan jawi atau tulisan rumi. Ada tafsiran lain mengatakan tulisan jawi sepatutnya didahulukan. Bagaimanapun dalam urusan harian, sistem pendidikan dan maklumat, masyarakat Malaysia lebih selesa dan senang dengan tulisan rumi bahasa Melayu.

Dengan semangat yang dizahirkan oleh Majlis Daerah Jasin ini, kita boleh jadikan azam tahun 2014 untuk memperkasa penggunaan tulisan jawi di semua tempat. Kesedaran masyarakat yang semakin baik terhadap kepentingan tulisan jawi tentu akan mendorong lebih banyak pihak tampil untuk menggunakan tulisan ini dalam urusan harian mereka.

Thursday, December 26, 2013

Kisah Encik Sulaiman





Kerja orang muda, berapa pendapatannya sebulan?

Semasa saya sedang duduk menulis sebuah artikel kerana  menunggu kereta diservis, seorang lelaki, Encik Sulaiman, menyapa saya dari belakang. Ketika itu saya sedang asyik dengan idea berkenaan BR1M yang katanya akan ditambah. Saya menoleh ke arah mukanya dan mempersilanya duduk. Sambil menerangkan apa yang saya sedang tulis, beliau menunjukkan minat terhadap perkembangan politik yang dikaitkan dengan UMNO dan Pakatan Rakyat.
Bagi beliau, politik yang ada pada hari ini adalah politik memenuhkan perut sendiri. Fikiran beliau bersandarkan pengalamannya kerana usianya kini adalah 60 tahun. Jerih-perih hidup di bawah kerajaan Barisan Nasional dan perkembangan baru dalam politik Malaysia menyebabkan beliau  mempunyai anggapan demikian.
Sepintas lalu berkaitan dengan Encik Sulaiman. Beliau mempunyai seorang anak lak-laki yang bekerja sendiri dalam bidang IT, seorang lagi anak laki-laki yang bekerja sebagai juruterbang helikopter dengan angkatan tentera dan seorang lagi bekerja sebagai jurutera. Anak perempuannya berada di tahun akhir jurusan perubatan di Moscow, Rusia. Anak lelakinya yang bekerja sebagai jurutera sering mengeluh kerana pendapatan yang tidak seberapa apabila hidup di Shah Alam. Belajar tinggi-tinggi tetapi mendapat bayaran yang rendah.
Anak lelaki yang terlibat dalam bisnes IT memang sudah kaya dan memiliki dua pejabat, salah satu di Cyberjaya. Hidupnya low profile dan lebih suka dengan caranya. Ada kereta BMW.
Balik kepada Encik Sulaiman tadi, beliau memang tidak suka dengan kos hidup yang tinggi di bawah kerajaan Barisan Nasional sejak akhir-akhir ini. Walaupun manifesto semasa pilihan raya baru-baru ini menyatakan kadar tol akan dikurang secara berperingkat, nampaknya kerajaan tidak menepati janji kerana ura-ura kenaikan kadar tol telah pun diumumkan. Baru sahaja minyak dinaikkan dan kali ini kenaikan tol. Encik Sulaiman nampak kecewa sekali.
Beliau bersetuju tidak semua dasar kerajaan Barisan Nasional ini  tidak baik. Namun kerakusan pemimpin mendapat habuan daripada projek besar dan juta-juta merimaskan beliau kerana dia juga pernah melibatkan diri dalam politik. Katanya, Barisan Nasional akan kalah suatu hari nanti kerana pelbagai isu yang membuatkan orang muda “menyampah” dan menjauhkan diri daripada politik sebegitu.
Saya bertanya, “Kaalu begitu, parti mana yang berjuang untuk rakyat?” Encik Sulaiman menyatakan tidak ada satu parti yang benar-benar berjuang untuk rakyat kerana masing-masing hendak isi perut sendiri.
Saya tersenyum dan menyatakan bahawa orang muda semakin bijak menentukan calon atau parti. Kalau calon yang selalu pergi kelab malam atau semasa pilihan raya baru nampak muka, calon itu akan kalah. Orang bandar sukar ditipu atau digula-gulakan kerana maklumat yang ada hari ini cukup cepat untuk dikongsi.
Saya enggan bercerita panjang dengan Encik Sulaiman kerana perlu menunaikan solat zohor. Saya tinggalkan beliau seorang diri melayan perasaannya.
 

Tuesday, December 24, 2013

Indonesia perlu dasar sosial baru






Di sebalik dakwaan kerajaan Indonesia bahawa ekonomi negara itu telah pulih dan menikmati tukaran mata wang asing yang lebih baik di samping pertumbuhan ekonomi semakin tinggi dan pengurangan defisit bajet, Indonesia masih berada pada kedudukan yang bawah dalam indikator sosial.
 
Laporan Pembangunan Manusia 2013 (Human Development Report 2013) menunjukkan indeks pembangunan Indonesia berada pada kedudukan yang ke-121, Filipina ke-114, Thailand ke-103, Malaysia ke-64 dan Brunei ke-30. Di sebalik usaha-usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran dan kemiskinan, Indonesia berterusan mencari penyelesaian yang menyeluruh ke atas kedua-dua golongan itu.
 
Intipati kepada skor yang rendah dalam indeks pembangunan manusia Indonesia ialah tidak ada hubungan yang kukuh antara dasar ekonomi dan dasar sosial. Dasar-dasar kerajaan ketika ini menunjukkan dua pendekatan yang telah dan sedang digunakan untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran iaitu memberi tumpuan ke atas pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan kestabilan makro melalui dasar fiskal yang ketat serta membangunkan dasar sosial yang bersifat tampal-sulam (ad-hoc) untuk mengatasi kemiskinan melalui program jaringan keselamatan sosial. Dalam program pembasmian kemiskinan, ia masih berorientasikan projek yang memberi tumpuan kepada strategi “cium dan lari” (kiss and run) iaitu kemiskinan ditangani secara kelompok dengan lingkungan kawasan yang terbatas. Strategi seperti ini akan sentiasa gagal membasmi kemiskinan kerana konsep kemiskinan ialah ia berkait dengan sistem yang saling melengkapi iaitu sistem ekonomi, pendidikan dan jaminan sosial.
 
Dalam pendekatan pertama, dasar ekonomi menumpu kepada kaedah mengurangkan kos dalam pertumbuhan ekonomi seperti pengurusan kewangan dan perbelanjaan negara dengan cara mengurangkan subsidi dan menggalakkan penswastaan. Namun dalam program pembasmian kemiskinan, ia dilakukan secara “ad-hoc”. Di sinilah hubungan antara dasar ekonomi dan dasar sosial terputus tanpa ada hubungan ekonomi dan sosial yang kukuh. Keadaan dan situasi ekonomi kelihatan gah dan stabil tetapi gagal memberi jaminan ke atas kebajikan rakyat.
 
Terdapat tiga sebab yang menjadikan dasar ekonomi dan sosial di Indonesia tidak dapat digabung jalin. Pertama, dasar ekonomi memberi tumpuan yang terlalu banyak ke atas kestabilan kewangan tetapi mengabaikan sektor-sektor lain yang amat perlukan pelaburan. Sektor-sektor ini tidak dapat bergerak dan keadaan ini telah memandulkan peluang pekerjaan baru. Dengan kata lain, kestabilan kewangan dan pertumbuhan ekonomi yang didakwa itu tidak ada kesan gandaan (multiplier effect). Kedua, dasar-dasar yang digubal tidak menitikberatkan penglibatan institusi yang mampu mempromosi dan menggalakkan kebajikan awam dan menambah baik pembangunan manusia seperti institusi pendidikan dan kesihatan. Sikap lepas pandang dan menyisihkan institusi-institusi ini bakal memberi kesan langsung ke atas kualiti pembangunan manusia dalam jangka masa sederhana dan panjang.
 
Ketiga, terdapat persepsi dalam kalangan pembuat dasar bahawa isu-isu sosial mesti diletakkan pada kedudukan kedua atau dianggap sebagai isu sampingan. Melalui paradigma ini, dasar sosial diambil kira dan dilayan sebagai pelaburan yang tidak berkesan kerana dilihat tidak menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara bagi jangka masa sederhana dan panjang. Kesannya ialah sektor pendidikan dan kesihatan tidak diberi keutamaan dalam merangka perbelanjaan setiap tahun. Justeru, peningkatan kadar kemiskinan tidak mendapat reaksi segera daripada kerajaan atau wakil rakyat untuk membentuk dasar sosial yang baru.
 
Menggubal dan menguatkuasa dasar sosial perlukan kemahiran teknikal dan kesedaran politik melalui pelbagai pihak yang berkepetingan khususnya wakil rakyat. Kerajaan perlu menyediakan rancangan dasar sosial yang lengkap dan menjana kesedaran terhadap dasar tersebut dalam kalangan wakil-wakil rakyat. Penekanannya ialah kepada pembangunan manusia supaya wakil wakyat menyedari kepentingannya. Membelakangi keperluan menggubal dasar sosial menyebabkan Indonesia berterusan membentuk tenaga kerja kurang mahir, akses kepada pendidikan dan kesihatan yang tidak sama rata dan meletakkan Indonesia dalam kedudukan bawah dalam indikator sosial.
 
Indonesia perlukan dasar sosial yang komprehensif dan pendekatan khusus untuk mengatasi kebajikan awam seperti sistem pendidikan yang mampu milik, akses kepada kemudahan kesihatan, penyediaan insurans kepada pekerja dalam pelbagai sektor dan penyediaan infrastruktur yang baik.
 
Bagi memastikan dasar sosial dapat dilaksana secara berkesan dan melewati semua lapisan masyarakat, ia perlu diinstitusikan untuk pelaksanaan dan penyampaian perkhidmatan. Seterusnya, penguatkuasaan undang-undang dan peraturan dilaksanakan dan ditambah baik dari semasa ke semasa.
 
Dasar sosial itu juga perlu seiring dengan ekonomi makro dan kebajikan awam. Perbelanjaan awam yang berhemah dapat memacu dasar fiskal yang lebih fleksibel. Di samping itu, pelaburan dalam pembangunan manusia wajar diberi keutamaan dalam peruntukan sosial (pendidikan, kesihatan, makanan dan keselamatan). Kadar tiga peratus perbelanjaan sosial ketika ini perlu ditingkatkan kepada enam peratus supaya wujud dasar sosial yang komprehensif. Melalui pendekatan ini, kadar kemiskinan dapat dikurangkan dan menjadi asas yang kukuh untuk usaha-usaha pembangunan manusia di Indonesia.

 

Monday, December 23, 2013

One man's view of the world






Penulis: Lee Kuan Yew
Tahun: 2013
Penerbit: Straits Times Press, Singapura.
Muka Surat: 400
 
Buku ini merupakan pandangan Lee Kuan Yew terhadap perkembangan masyarakat dunia dalam aspek politik dan sosial . Berdasarkan pengalaman beliau sebagai ketua kerajaan Singapura, artikel yang dilontarkan merupakan buah-buah pengalaman yang berguna untuk kita menilai apa yang bakal berlaku.
Lee yang kaya dengan pengalaman dan kefahaman yang mendalam menawarkan pandangan terhadap dunia yang mungkin akan berlaku dalam tempoh 20 tahun lagi. Pandangan beliau merangkumi Amerika, China, Asia dan Eropah, menyentuh masyarakat dan memberikan pandangan terhadap keseimbangan kuasa. Pandangannya terhadap China ialah masih melihat kepimpinan negara itu berpusatkan kuasa yang mengawal politik negara itu, Amerika pula terpaksa berkongsi kuasa dengan blok kuasa yang lain dan Eropah berhempas-pulas menghadapi cabaran mengekalkan kesatuannya.
Beliau juga melihat Jepun yang masih tertutup kepada masyarakat luar, kenapa Arab Spring tidak memunculkan seorang tokoh, satu undi di Timur Tengah dan kenapa usaha-usaha menghalang kepanasan dunia tidak berhasil.
Lee menyempurnakan penulisan buku ini dengan memberikan pandangannya terhadap masa depan Singapura dan menyentuh kehidupan peribadinya termasuk pandangannya terhadap kematian.

 

Friday, December 20, 2013

Hidayah golongan artis








Kisah seorang selebriti yang bertukar fikiran berkaitan kerjaya peragawati menjadikan kita takjub dan puas hati. Beliau menyifatkan perubahan dirinya sebagai amat bertuah kerana dapat memperagakan pakaian hijab yang menutup seluruh badannya berbanding kerjaya sebagai model "Playboy". Transformasi ini berpunca daripada keinginan menjaga menjaga maruah diri lebih berharga daripada menjadikan orang lain seronok melihat dirinya mendedahkan sebahagian tubuh.

Selebriti yang menerima hidayah seterusnya melaksanakan tuntutan Islam sama ada di Barat atau Timur semakin kerap didedahkan. DI Youtube sahaja terdapat beberapa orang selebriti yang berubah seratus peratus penampilan mereka selepas bergelumang dalam bidang lakonan dan peragawan.

Hidayah ini bukan urusan manusia kerana manusia hanya boleh berdoa dan mengharap. Allah swt yang menentukan siapa yang Dia mahu berikan hidayah kerana hikmah-hikmah tertentu. Ada yang mendapat hidayah selepas berusaha memusnahkan al-quran, selepas bekerja keras menghasut orang ramai membenci Islam dan juga selepas mengalami suatu duagaan hidup yang besar. Dalam erti kata lain, hidayah adalah anugerah Allah swt kepada sesiapa sahaja yang Dia mahu tanpa mengira keturunan, tempat atau masa.

Ada juga golongan selebriti yang berubah sehingga dipanggil ustaz atau ustazah sedangkan ilmu agama yang mereka punyai masih lagi cetek. Keadaan inilah yang menyebabkan mereka begitu teruja kerana selepas memakai serban atau bertudung, mereka bebas berbicara tentang perkara-perkara asas seperti akidah. Satu praktik terbaik kepada kelompok ini ialah mereka mendalami hal ehwal agama terlebih dahulu supaya dapat berdakwah kepada masyarakat dengan berhikmah.

Kesedaran Islam di Malaysia akan terus bertambah baik dalam kalangan artis yang lama atau yang baru. Artis-artis yang lama kebanyakannya sudah bertudung dan tidak lagi menampilkan diri dengan pakaian seksi manakala artis baru ada juga yang memilih mengenakan pakaian menutup aurat. Keadaan ini sudah pasti menjadi perhatian dalam tempoh 10 hingga 15 tahun yang akan datang kerana kita boleh mengagak bagaimana industri hiburan Malaysia dicorakkan.

Ruang untuk pelakon dan kelompok artis terlibat dalam kerjaya mereka secara serius jarang dihalang oleh kerajaan malah digalakkan melalui pelbagai geran dan insitusi pengajian tinggi. Kita mahu melihat artis yang berbakat besar dapat dilahirkan di Malaysia tetapi menjaga adab dan susila sebagai Islam.

 

Wednesday, December 18, 2013

Jelaskan mekanisme kenaikan tol








Cadangan kenaikan kadar tol mendapat reaksi berbeza dalam kalangan pengguna lebuh raya dan pertubuhan politik di negara ini. Pengguna yang sudah dibeban dengan kenaikan harga minyak dan barangan keperluan harian tetap merungut apabila harga tol dinaikkan pada tahun depan.

Parti politik pula mengambil bahagian dalam isu ini dengan matlamat menyuarakan pandangan rakyat.

Kenaikan kadar ini merupakan kaedah rasionalisasi subsidi yang digerakkan oleh kerajaan beberapa tahun lalu bertujuan meningkatkan daya saing ekonomi negara. Bergantung kepada subsidi bakal melemahkan daya saing dan mengurangkan kerancakan aktiviti ekonomi lebih-lebih lagi ketika negara sedang berusaha ke arah menjadi sebuah negara maju.

Negara-negara maju seperti di Eropah atau Jepun mempunyai kadar subsidi yang rendah. Mereka perlu membayar harga petrol yang lebih mahal dan serba-serbinya dikenakan bayaran. Pendapatan kerajaan adalah bayaran yang dipungut daripada penduduknya di samping aktiviti ekonomi teras.

Seorang rakan yang baru pulang dari melanjutkan pelajaran di Jepun menyifatkan Malaysia adalah sebuah negara bertuah kerana masih lagi mempunyai kemudahan yang dikenakan bayaran pada kadar minimum seperti Klinik 1Malaysia yang hanya mengenakan bayaran satu ringgit berbanding di Jepun. Oleh kerana tidak mahu sakit dan terpaksa membayar harga yang mahal untuk rawatan kesihatan, orang-orang Jepun mengamalkan budaya makanan yang sihat seperti memilih makanan yang rendah lemah dan bersenam setiap hari.

Rasionalisasi subsidi oleh kerajaan Malaysia dilihat membebankan golongan berpendapatan rendah seperti pekerja buruh, petani dan mereka yang terpinggir dalam peluang pekerjaan. Kepada golongan ini, kerajaan menyediakan bantuan sara hidup secara berkala dan bermusim supaya kos hidup diserap oleh bantuan berkenaan. Bantuan Rakyat 1Malaysia sebagai contoh adalah kaedah bantuan bermusim tetapi tidak harus menjadi kelaziman setiap tahun kerana ia umpama “memberi ikan kepada pemancing” dan dikhuatiri kelompok itu akan terus menagih BR1M daripada berusaha mengubah hidup sendiri.

Kadar tol yang baru memberi ruang kepada pekerja meminta kenaikan gaji yang sepadan dengan kos hidup mereka. Dalam sektor kerajaan, kenaikan gaji telah dan sedang dilaksanakan berperingkat-peringkat. Rahmat kenaikan harga petrol dan barangan ialah kerajaan sendiri terpaksa menaikkan gaji kakitangan awam supaya setara dengan kos hidup pada masa kini.

Di pihak swasta, penetapan gaji minimum RM900 merupakan jumlah yang munasabah kerana sedikit sebanyak dapat melegakan kehidupan golongan berpendapatan rendah. Pengawal keselamatan umpamanya mampu meraih sehingga RM1500 sebulan jika bekerja lebih masa berbanding pekerjaan petani di kampung yang belum tentu mendapat jumlah yang sama.

Mekanisme kenaikan kadar tol harus dijelaskan dengan telus supaya masyarakat dapat memahami kenapa kenaikan itu dianggap sebagai satu keperluan.

 

Monday, December 16, 2013

Angola tidak iktiraf Islam: Benar atau palsu?









oleh Liza Hasan

Minggu lalu, negara Afrika Selatan, Angola mengundang kritikan dunia selepas kebanyakan media antarabangsa melaporkan negara itu mengambil keputusan mengharamkan Islam. Jika benar, maka negara tersebut menjadi negara pertama di dunia memutuskan untuk melarang perkembangan agama Islam dan komuniti Muslim di negara tersebut.    

Bagaimana kerajaan Angola berani mengambil keputusan luar biasa dan boleh mengharamkan agama kedua terbesar dunia di zaman moden ini?

Selepas laporan itu tersebar, kerajaan mengeluarkan kenyataan negaranya tidak mengharamkan Islam tetapi belum mengharamkannya. Walaupun fakta itu mampu diputar belit namun secara logiknya, negara itu kini menjurus untuk mengurangkan pengaruh Islam. Ianya terbukti selepas lebih 60 masjid dirobohkan dan ratusan al-Quran dibakar.

Kenyataan presiden, menteri  

Presiden Jose Edurado dos Santos berkata, ini adalah tahun terakhir pengaruh Islam di negaranya.

“Islam perlu diharamkan kerana hanya terdapat satu peratus daripada 19 juta penduduk. Perkara ini sama seperti 194 mazhab lain yang telah diharamkan sebelum ini,” katanya.

Menteri Kebudayaan Rosa Cruz e Silva pula berkata, masjid-masjid di negara ini sebahagian besarnya akan ditutup sehingga diberitahu kelak.

Beliau menyifatkan Islam sebagai ‘mazhab’ yang akan diharamkan kerana bertentangan dengan adat dan budaya Angola.

“Amalan Islam belum diluluskan Kementerian Kehakiman dan Hak Asasi Manusia dan masjid akan ditutup," katanya.

Pengarah Kementerian Institut Kebangsaan Kebudayaan Hal Ehwal Agama Angola, Manuel Fernando bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

“Tiada peperangan di Angola terhadap Islam atau mana-mana agama lain. Tiada keputusan rasmi menyasarkan kemusnahan atau penutupan tempat ibadat dari mana-mana agama sekalipun,” katanya.

Seorang duta Angola di Washington baru-baru ini turut menyangkal dakwaan amalan diskriminasi agama yang diamalkan di Angola.

Kenyataan ICA

Persatuan Masyarakat Islam Angola (ICA) melaporkan dalam satu kenyataan, umat Islam tidak boleh mengamalkan agama mereka secara bebas.

Masjid, sekolah dan pusat komuniti Islam ditutup atau dirobohkan.

Setakat ini, 78 masjid di Angola, kecuali di Luanda, telah ditutup.

Laporan turut menyebut majoriti rakyat Angola terdiri daripada Roman Katolik dan mazhab Kristian yang lain melihat Islam sebagai negatif.

Islam diisytiharkan sebagai ‘tidak diundang’ di Angola, dengan kata lain Islam dianggap tidak memenuhi nilai-nilai penduduk Angola.

Terdapat wanita Islam dipukul kerana mereka memakai hijab sehingga mereka takut keluar rumah,” menurut laporan itu.

Jelas daripada laporan ini, kebebasan agama Islam di Angola sedang dicabuli. Mereka tidak mampu untuk mengamalkan tuntutan agama tanpa campur tangan kerajaan.

Seorang ahli masjid yang dirahsiakan namanya berkata, pihak berkuasa wilayah Huambo, selatan Angola diarahkan tutup  sebuah masjid serta-merta dan ini merupakan masjid ke-60 yang ditutup di Angola.

“Kami berasa marah dengan penutupan tempat-tempat ibadat ini,” katanya.

Sementara itu, Mufti Mesir Shaqi Allam dalam satu kenyataan berkata, tindakan ini merupakan satu bentuk penganiayaan anti-Islam.

“Mereka bukan sahaja mencetuskan provokasi umat Islam Angola, malah kepada lebih daripada 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia,” katanya.

Perlembagaan

Islam pada hakikatnya tidak diiktiraf oleh Angola. Mengikut Perlembagaan negara itu, sesebuah pertubuhan agama perlu memohon pengiktirafan oleh kerajaan jika ingin menjalankan amalan dan aktiviti keagamaan. Status ini sekali gus membolehkan sesebuah agama itu membina sekolah dan tempat ibadat.

Perlembagaan Angola menetapkan, sebuah kumpulan agama mesti mempunyai 100,000 ahli dan perlu ada di 12 daripada 18 wilayah.

Bagaimanapun, mengikut laporan audit negara itu, hanya terdapat kira-kira 90,000 umat Islam daripada jumlah penduduk 19 juta orang. Maka itu, mereka gagal memenuhi syarat tersebut menyebabkan agama Islam tidak diiktiraf.

Apa juga kemelut atau pendedahan, persoalannya terdapat dua kenyataan bercanggah. Apakah benar ajaran Islam diharamkan atau ianya sekadar tidak diiktiraf di Angola kerana pengamalnya hanya penduduk minoriti.

(Sinar Harian, 16 Disember 2013)

Friday, December 13, 2013

Bahasa sopan, peribadi mulia








Dalam kuliah Ustaz Shamsuri berkenaan menggunakan bahasa yang baik-baik ketika bercakap atau berbahas, beliau menerangkan,

“kita kalau ada lemah lembut maknanya ada tanda kebaikan yang Allah swt beri kepada kita. Yakni Allah swt kurniakan pahala daripada sifat lemah lembut tersebut.

Sopan santun kena ada. Lemah lembut kelakuan dan percakapan adalah suruhan syara’. Apabila bercakap dengan orang biarlah lemah lembut, manis tutur kata kerana ia tabiat orang yang ada bangsa dan orang yang ada kemanusiaan.

Kita bercakap ini biarlah sopan”.

Tidak kira bangsa dan agama, tempat atau warna kulit, bercakap menggunakan bahasa yang baik-baik dan tertib adalah cerminan peribadi dan jiwa yang luhur, menampakkan didikan yang cemerlang dan mengangkat maruah bangsa.

Dalam petikan ucapan Ustaz Shamsuri ini, beliau menyifatkan orang yang manis tutur kata adalah orang yang ada bangsa dan nilai kemanusiaan.

Cuba kita lihat pula bagaimana pemimpin-pemimpin pilihan rakyat di negara kita pada hari ini. Apakah mereka bercakap seperti sifat-sifat di atas atau masih mengamalkan sifat-sifat jahiliyah yang membangkitkan kemarahan dan rasa tidak puas hati seperti memanggil orang yang rendah perjawatannya sebagai kucing kurap atau memanggil seorang wanita yang berjawatan sebagai nenek rasis?

Kedua-dua gelaran ini meresahkan dan mempamerkan ciri-ciri kurang sopan.

Masyarakat Melayu lazimnya mempunyai susila yang tinggi apabila memberi teguran, nasihat dan bimbingan. Begitu juga apabila menerima teguran. Adab dan akhlak yang ditunjukkan adalah cerminan ajaran Islam yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw, rasul mulia umat akhir zaman sebagai model ikutan terbaik dalam aspek pembentukan peribadi.

Baginda saw tidak pernah membenarkan para sahabat menghina atau mengaibkan orang lain biarpun orang tersebut dijatuhkan hukuman kerana akhlaknya buruk.

Jika mengutuk dan mengeji orang yang akhlaknya buruk ditegah, apatah lagi memberi label yang buruk kepada orang yang akhlaknya diketahui sebagai baik.

Tindakan memberi label yang merendah-rendahkan kepada seseorang tidak melambangkan ketinggian budi bahasa dan sensitiviti, justeru mereka perlu diberi teguran dan tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Thursday, December 12, 2013

Semarakkan budaya penyelidikan







Penyelidikan di institusi pengajian tinggi merupakan aspek penting yang kritikal kerana ia menentukan banyak perkara seperti kedudukan universiti, jumlah geran dan keupayaan penyelidik. Universiti-universiti ternama dan sering menjadi pilihan sentiasa menekankan aspek ini kepada setiap orang pensyarah supaya menjadikan penyelidikan sebagai budaya akademik.

Universiti yang baru tidak ketinggalan meletakkan dirinya sebagai sebahagian daripada pasukan penyelidikan yang menghasilkan pelbagai jenis bahan kajian. Penyelidik yang muncul dari pelbagai bidang berentap untuk meraih pingat dan penghormatan dalam bidang disiplin masing-masing.

Kejayaan penyelidikan ialah memanfaatkan masyarakat dan menyelesaikan masalah hidup. Banyak produk yang berasal dari makmal berjaya keluar ke pasaran kerana berupaya menyelesaikan banyak kesulitan hidup orang ramai baik dalam rumah, luar rumah atau menyelesaikan masalah dalam diri sendiri seperti kit pengesan kanser atau alat ukur paras kolestrol.

Banyak juga bahan kajian yang tersadai di dalam makmal dan hanya dikongsi di dalam jurnal tanpa dapat dikomersilkan kerana kos tinggi dan tidak sepadan dengan kegunaan manusia. Kajian jenis ini hanya membazirkan wang geran kerana tidak ada nilai wang dan tidak akan ke mana. Pernah seorang penyelidik mencipta jaket kalis peluru daripada sabut kelapa tetapi jaket ini tidak ke mana kerana budaya masyarakat kita ialah kurang menghargai kebolehan "made in Malaysia".

Ia berbeza dengan masyarakat Barat atau Jepun yang amat menghargai penyelidikan kerana mereka tahu sesuatu inovasi baru dapat membawa pendapatan besar kepada negara, meningkatkan kreativiti, menambah usahawan dan mengurangkan pengangguran. Oleh kerana budaya inovasi dan usahawan menjadi sebahagian daripada hidup, sudah ramai remaja yang menjadi kaya raya kerana mencipta aplikasi yang ringkas tetapi diminati selepas aplikasi tersebut dibeli oleh Google atau Microsoft.

Suasana ini tidak berlaku di Malaysia.



Justeru, ekspo penyelidikan yang dianjurkan merupakan langkah awal untuk mengenengahkan pelbagai hasil penyelidikan khususnya teknikal dan kejuruteraan yang dapat menyelesaikan pelbagai masalah hidup masyarakat hari ini. Penciptaan pelbagai jenis peralatan yang ringkas, mudah dan berkesan menjadi perhatian kerana orang hari ini hendakkan peralatan yang senang dibawa dan diuruskan melalui internet.

Penyuburan budaya penyelidikan telah lama dianjurkan oleh Islam. Oleh kerana Rasulullah saw mengajar umat Islam untuk mencari dan mempelajari ilmu, tamadun Islam memberi sumbangan besar kepada sejarah manusia hari ini. Penyelidikan tidak akan menjadi budaya jika tidak ada keinginan untuk mencari dan menyelesaikan masalah.

Galakan dan bantuan dalam pelbagai bidang dapat menyemarakkan budaya penyelidikan ini kerana perkembangan ilmu lebih cepat dan pantas apabila ia sentiasa dibahas dan dibuat kajian demi kajian.

 

Tuesday, December 10, 2013

Mitos negara selamat sudah berakhir








Rusuhan yang berlaku di Little India, Singapura mengejutkan penduduk dan rakyat negara itu bahkan masyarakat dunia. Kereta polis diterbalikkan dan dibakar menjadi simbol keberanian perusuh yang mahu membalas dendam kerana kematian seorang rakan mereka.
Singapura dikenali sebagai negara yang aman dan selamat selama 40 tahun, menarik pelabur asing dan pembangunan yang mencecah sepuluh peratus setiap tahun. Negara ini juga menjadi pilihan syarikat global membuka ibu pejabat serantau kerana pelbagai insentif yang diberikan kepada syarikat-syarikat ini. Pelaburan asing yang banyak, kadar bayaran gaji yang tinggi dan persekitaran kerja yang menarik telah membuka peluang kepada kehadiran imigran asing dari seluruh Asia, Eropah dan Amerika Syarikat.
Justeru, kehadiran pekerja dari Asia Selatan khususnya India yang dikatakan memulakan rusuhan baru-baru ini mencetuskan banyak persoalan. Kenapa mereka begitu mudah mereka merusuh hanya kerana kemalangan yang menyebabkan kematian? Begitu mudah emosi mereka di‟bakar” oleh  rasa marah yang meluap-luap.
Komuniti Singapura begitu bangga dengan pencapaian negara itu berbanding negara-negara jiran yang kebanyakannya masih dianggap mundur dan tidak setanding. Di Thailand, perarakan besar-besaran berjaya mendesak perdana menteri wanita negara itu berundur, di Indonesia, demonstrasi mendesak kerajaan menilai hubungan diplomatik dengan Australia kerana isu pengintipan manakala di Malaysia masyarakat Islam berarak menunjukkan rasa tidak puas hati atas tindakan kerajaan Myanmar melayan umat Islam negara itu.
Cuma di Singapura kita tidak mendengar demonstrasi apatah lagi rusuhan yang menyebabkan kecederaan, kerosakan harta benda dan kemusnahan kepercayaan.
Sebaik sahaja rusuhan meletus, gambar dan video tersebar di internet. Mitos kerajaan cekap dan telus serta bijak telah musnah. Situasi menakutkan dan apa sudah jadi pada negara itu?
Kejadian demonstrasi dan rusuhan yang berlaku di negara-negara lain selain Singapura telah menjadikan penguatkuasa seperti polis, bomba dan ambulans semakin matang dan pengurusan bertambah baik. Mereka tahu bagaimana hendak berhadapan dengan situasi sukar dan mengambil langkah pencegahan yang terbaik berdasarkan prosedur sedia ada.
Tetapi keadaan di Singapura amat jauh beza. Berdasarkan video yang dirakam, pasukan polis sangat lambat mengambil tindakan dan ini ada kaitan dengan tahap pengalaman mereka berhadapan dengan situasi kritikal dan di luar jangka tersebut. Perusuh yang tidak bersenjata boleh ditangani dengan pantas jika ada pasukan polis persekutuan atau FRU yang sudah pasti menembak air untuk menyuraikan perusuh.
Inilah yang tidak ada pada pasukan penguatkuasaan Singapura. Lambat dan tidak dapat membuat perkiraan yang tepat pada masa yang betul.
Pengajaran yang kita boleh perolehi ialah bersedia dengan apa sahaja yang perlu untuk bertindak pantas.

 

Monday, December 09, 2013

Welfare policy and social development








Penulis: Sunil Chaudhary
Tahun: 2006
Penerbit: Global Vision Publishing House, New Delhi, India.
Muka Surat: 278

Buku ini merupakan sebuah kajian perbandingan dasar kebajikan dan impaknya ke atas pembangunan sosial dalam klangan negara maju dan sedang membangun. Sejak abad ke-17, teori-teori sosial telah cuba mengaitkan kuasa politik dan jenis-jenis ekonomi yang ada hubungan dengan kebajikan awam namun perkaitan ini tidak jelas. Agihan kebajikan formal telah dianalisis dalam tiga pendekatan berpengaruh iaitu liberal, sosialis dan fabian di mana setiap satunya mempunyai tradisi khusus berkaitan perkongsian kebajikan dan mekanisme yang diguna pakai untuk penentuannya.
 
Tradisi pertama, teori-teori liberal memberi keutamaan ke atas hak individu dan melaksanakan pilihannya. Ia berkait rapat dengan pertukaran formal dan tidak formal yang dilakukan oleh individu. Masalah dalam idea liberal ialah ruang pembahagian kebajikan sosial iaitu tidak terdapat rejim liberal ini yang berupaya memberi tanggungjawab ke atas kehidupan kelompok besar masyarakat yang diketahui tidak mampu meneruskan kehidupan mereka dalam pasaran kerja sedia ada ataupun kemampuan membuat simpanan yang cukup dan dapat digunakan ketika sakit, hilang upaya atau meningkat usia.
Tradisi kedua, toeri-teori sosial amat prihatin dengan hak kelompok besar berbanding individu. Mereka menarik perhatian ke atas perbezaan di antara autonomi yang dinikmati oleh satu kelompok dalam sebuah negara iaitu pemilik syarikat dan kelompok lain yang bekerja untuk mendapatkan pendapatan. Mereka berpendapat kedua-dua kelompok ini perlu ditukarkan.
Tradisi ketiga, toeri-teori fabian melihat kepada masyarakat “dari atas ke bawah”. Mereka beranggapan kegagalan fungsi dalam ekonomi formal boleh dibetulkan melalui tindakan-tindakan yang dilakukan oleh agensi kerajaan. Pakar boleh mengenal pasti kesilapan dan kekurangan dalam sistem sosial dan merawat organisasi secara rasional dan cekap. Perkhidmatan dan barangan boleh boleh dimiliki sama ada di dihasilkan oleh pihak swasta ataupun secara tidak formal.
Dalam hal ini, tradisi liberal dan sosial beranggapan bahawa hubungan di mana wujudnya kemiskinan, produktiviti terus berjalan dan berlakunya pertukaran dari semasa ke samasa, bagaimanapun kelompok fabian menegaskan perlu ada satu sistem negara yang mengkhususkan kepada kepunyaan negara.
Dalam buku ini penulis membincangkan perkhidmatan kebajikan dan sosial untuk melihat sejauhmana hak dan peranan individu digunakan sepenuhnya. Beliau mengambil contoh pendidikan kerana pendidikan bukan sahaja suatu hak yang diperlukan malah satu proses membentuk seorang warganegara. Jadi, kerajaan amat prihatin untuk memastikan kanak-kanak belajar di sekolah, mengambil peperiksaan dan meneruskan pelajaran ke universiti kerana masyarakat perlukan mereka. Adalah amat penting bagi sesebuah masyarakat mempunyai penduduk yang sejahtera sepertimana seorang pelajar yang berilmu. Justeru, hak mempunyai kesihatan yang baik samalah seperti hak mendapat pendidikan yang mana kedua-duanya disatukan dengan tugas atau peranan.
Dalam kes perkhidmatan kebajikan di peringkat pentadbiran teknikal, ia amat berbeza dengan hak mendapat kebajikan kerana melibatkan moral. Penulis merumuskan bahawa dengan mengatakan ada hak menerima faedah atau perkhidmatan ia tidak bermakna penerima layak mendapat faedah tersebut dengan percuma. Seterusnya ialah kebajikan amat berkait dengan sistem ekonomi dan kebajikan secara menyeluruh.    

Saturday, December 07, 2013

Sikap pemandu punca kemalangan jalan raya






Malang tidak berbau



Kemalangan jalan raya di Lebuhraya PLUS berulang kembali. Kini di Senawang melibatkan enam buah kenderaan yang berlaku pada pukul 4.30 petang arah selatan. Pemandu bas ekspres dan kereta Perodua Myvi meninggal dunia di tempat kejadian manakala yang lain dibawa ke hospital. Kesesakan boleh dikesan sehingga ke R&R Seremban dan sehingga tengah malam masih banyak kenderaan yang terkandas.

Kenderaan yang terlibat ialah dua lori tangki, bas tanpa penumpang, teksi Toyota Innova, kereta dan motosikal.

Kemalangan jalan raya dan kematian menjadi salah satu masalah utama di Malaysia. Di sebalik kempen berterusan untuk menyedarkan pengguna dan menambah papan tanda amaran dan makluman, usaha-usaha sebegini tidak akan bermakna jika sikap pengguna jalan raya tidak berubah.

Memandu kenderaan perlukan lesen khusus kerana pengawalan dan pengetahuan berkaitan keselamatan kenderaan sangat penting. Kemahiran dan keupayaan mengawal kereta atau motosikal berbeza dan perlukan latihan khusus sebelum dibenarkan memiliki lesen yang sah.

Cara pemanduan yang kerap dibuat oleh pemandu kenderaan ialah memandu laju tanpa mempeduli papan tanda kelajuan yang sesuai di kiri dan kanan jalan. Ada juga yang memandu sambil menggunakan telefon bimbit dan melanggar lampu isyarat merah. Bisanya penunggang motosikal lebih cenderung melanggar isyarat lampu merah kerana hendak cepat, terlalu yakin dan tidak kisah keselamatan diri sendiri.



Penunggang motosikal kerap melanggar isyarat
lampu merah



Sikap buruk lain ialah sangat malas menggunakan isyarat membelok apabila hendak menukar arah. Kerap kali situasi ini mengundang bencana buruk bukan sahaja kepada pemandu yang malas itu malah kenderaan yang mengekori di belakang.

Punca utama yang menyumbang kepada kemalangan maut ini ialah sikap buruk pemandu yang memandu tanpa menghiraukan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain. Faktor jalan yang berlubang, tidak disenggara dan tiada garisan putih turut menyumbang kepada kemalangan maut ini.

Penguatkuasaan dan pendidikan jalan raya harus dibuat secara berterusan kerana kemalangan dan kematian di jalan raya menyebabkan negara kehilangan sumber manusia dan kehilangan rakyat yang ramai setiap tahun.

Friday, December 06, 2013

Bantu kehidupan pasangan bawah umur





Generasi muda perlu utamakan pendidikan


Perkahwinan di bawah umur di Malaysia belum lagi menjadi trend namun jumlahnya semakin bertambah. Masyarakat Islam merupakan kelompok paling ramai yang memohon untuk berkahwin dan mereka perlukan kelulusan mahkamah. Ada di antaranya melibatkan pemohon berusia 12 tahun.

Asas kepada perkahwinan di bawah umur ini berbagai-bagai. Terdapat kes disebabkan ibu bapa yang risau tingkah laku anak yang agak liar, dirogol, terlibat dengan kegiatan maksiat dan juga keinginan anak-anak sendiri. Walau apapun puncanya, ibu bapa wajar melihat implikasi perkahwinan ini dalam jangka masa panjang.

Kita jarang didedahkan dengan kajian-kajian berkaitan kesan perkahwinan jenis ini. Berapakah kadar penceraian, apakah isu-isu yang sering timbul, sejauh mana perasaan cinta pasangan dan banyak lagi pertanyaan boleh dijadikan sebagai bahan kajian dan penyelidikan. Di peringkat universiti, kajian begini juga tidak banyak dilakukan.

Masyarakat hari ini lebih terbuka kepada hubungan tanpa batasan sehingga mengundang masalah sosial yang serius. Saban tahun kita dipaparkan dengan pelbagai kes berkaitan kehamilan luar nikah, buang bayi dan buang anak, dicerai tanpa sebab munasabah dan juga penderaan khususnya dalam kalangan wanita. Kes-kes begini ada kaitannya dengan kurang persediaan sebagai suami atau isteri apatah lagi hendak menjadi ibu atau bapa.

Beban kewangan yang sentiasa menekan keluarga muda menjadikan tumpuan hidup mereka semata-mata hendak mencari wang belanja dan meletakkan soal pembinaan keluarga di tempat kedua. Akhirnya wang yang dicari tidak sebanyak mana tetapi keluarga berpecah-belah dan anak-anak hilang tempat bergantung.

Pihak berkuasa khususnya mahkamah syariah wajar menilai kembali kelulusan ke atas pasangan di bawah umur yang memohon untuk dikahwinkan kerana tahap persediaan yang sangat rendah. Biasanya perkahwinan seperti ini menutup terus peluang isteri untuk mendapat pendidikan yang lebih baik sebagai jaminan masa depan. Tanpa pendidikan mereka akan kalah dalam persaingan untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik dan pendapatan yang lebih tinggi. Pihak berkuasa wajar memastikan aspek pendidikan diberi keutamaan dan meminta penangguhan perkahwinan supaya tidak timbul masalah yang lebih besar selepas berkahwin.

Malahan belum ada jaminan ahli keluarga kedua-dua pihak akan memberi sepenuh bantuan khususnya kewangan kerana masing-masing juga mempunyai tanggungjawab lain.

Jika berlaku perkahwinan juga, institusi harus turut memikul tanggungjawab membimbing dan memastikan pasangan berkenaan mendapat hak mereka yang sepatutnya.


  

Wednesday, December 04, 2013

Keluarga pencuri


 
 
 
Anak-anak patut dilatih berdikari dalam perniagaan
 
 
Tiga orang anak dilatih menjadi pencuri oleh kedua ibu bapa mereka ditangkap di Kuala Lumpur. Malang sungguh keluarga ini kerana terpaksa mencuri untuk hidup. Hasil curian tersebut digunakan sebagai pendapatan utama sehingga mereka mampu untuk datang dari Sabah dan menginap di hotel mewah.

Jarang sekali kita mendengar kes seperti ini kerana tentulah ibu bapa tidak sanggup melihat anak-anak mereka meringkuk dalam penjara. Dalam kes ini, ibu dan bapa kanak-kanak berkenaan pernah terlibat dalam jenayah.

Kemahiran melakukan jenayah terancang melibatkan banyak faktor. Antara faktor utama ialah kepincangan keluarga khususnya keluarga yang bercerai-berai, kematian ibu atau ayah dan salah seorang pasangan (biasanya suami) pernah terlibat dalam dadah atau jenayah.

Bagi kes bercerai-berai, anak-anak membesar tanpa didikan dan kasih sayang yang sempurna untuk berhadapan dengan cabaran hidup. Umpama pepatah “untung sabut timbul, untung batu tenggelam”, anak-anak ini mengikut siapa sahaja yang mereka percaya tanpa mengetahui baik buruknya. Hidup yang terbiar tanpa didikan dan asuhan lebih mudah mendorong mereka melibatkan diri dalam aktiviti jenayah.

Faktor lain ialah pendapatan keluarga yang sangat rendah, tidak tetap dan sering berhutang. Ekonomi keluarga menentukan sejauh mana sesebuah keluarga mampu mengurus keperluan hidup atau tidak. Tahap pendidikan pula berkait rapat dengan pekerjaan yang boleh dilakukan. Jika tahap pendidikan hanya sekolah rendah atau sekadar sijil tingkatan lima, tidak banyak pekerjaan yang boleh menawarkan gaji yang mencukupi. Hal ini kerana akses kepada pekerjaan ditentukan oleh kelayakan akademik seseorang. Keperluan isi rumah yang tinggi pada hari ini mendesak suami dan isteri untuk bekerja supaya keluarga mendapat makanan, minuman, tempat tinggal dan memenuhi keperluan pendidikan anak-anak.

Berdasarkan Hierarki Keperluan Maslow, keupayaan memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal dapat melonjakkan sesebuah keluarga untuk memberi tumpuan kepada keperluan-keperluan lain yang dapat membawa kesejahteraan.

Penglibatan semua ahli keluarga dalam jenayah tidak boleh dijadikan trend di negara kita. Pelbagai pihak khususnya kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan institusi korporat harus memulakan inisiatif mencegah perkara ini daripada berulang. Andainya keperluan kewangan yang menjadi pendesak kepada penglibatan aktiviti jenayah, satu mekanisme harus diwujudkan supaya kelompok sasar mendapat pekerjaan yang dapat menampung keperluan kewangan mereka. Badan-badan yang dibentuk oleh kerajaan dengan tumpuan untuk membasmi kemiskinan dan masalah keluarga mesti proaktif mengenal pasti mereka yang berpotensi berhadapan dengan masalah hidup, seterusnya memikirkan langkah-langkah intervensi supaya masyarakat kita tidak memikirkan jenayah sebagai jalan keluar daripada kesusahan hidup yang dihadapi.

Tuesday, December 03, 2013

Jaga kesihatan menteri





Jadikan hidup lebih ceria dan sihat


Masalah kesihatan Menteri Pertahanan merangkap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein memberi isyarat bahawa beliau perlu berehat dan berusaha mengembalikan kecergasan diri. Walaupun tidak serius, seorang menteri harus berada dalam kedudukan terbaik untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diberikan kepadanya.

Dua buah kementerian yang diterajui oleh Hishamuddin amat penting kepada negara. Kementerian Pertahanan berkaitan keselamatan sempadan Malaysia manakala Kementerian Pengangkutan memastikan urusan harian rakyat Malaysia berjalan lancar. Kedua-dua buah kementerian ini juga perlukan menteri yang aktif, pintar dan kuat bekerja.

Menjadi negara maju perlukan sistem pengangkutan yang cekap, kemas dan tersusun. Jauh sekali mendapat rungutan orang ramai. Memandangkan setiap hari pengguna dan orang ramai merasai kelemahan sistem pengangkutan, rungutan seperti ini tidak pernah berhenti dan perlukan maklum balas serta tindakan segera.

Sudah sampai masanya Kementerian Pengangkutan mendapat seorang menteri yang baru dan tidak semestinya datang dari MCA. Sesiapa sahaja yang layak boleh diangkat sebagai menteri kerana MCA tidak mahu menerima jawatan dalam kerajaan. Datuk Seri Mohd Najib tidak perlu menunggu masa lebih lama untuk mengisi jawatan berkenaan kerana banyak keputusan dan tindakan penting yang berkaitan kementerian itu dilihat kurang lancar. Media juga tidak banyak menyiarkan aktiviti kementerian dan orang ramai turut kurang merasai kehadiran kementerian dalam urusan harian mereka.

Kerehatan yang lebih panjang bagi Datuk Seri Hishamuddin bererti banyak kerja yang bertangguh dan perlu dipikul oleh timbalannya. Kesihatan yang baik adalah anugerah Allah swt dan kita harus menjaga diri kita supaya sentiasa berada dalam keadaan sihat.

  

Monday, December 02, 2013

Issues and challenges of social policy: east and west






Penulis: Roziah Omar dan John Doling
Tahun: 2000
Penerbit: University of Malaya Press, Kuala Lumpur, Malaysia.
Muka Surat: 230

Semua negara industri dan maju mempunyai sistem kebajikan sosial yang telah dibangunkan sejak lama sebagai tindak balas kepada persepsi nasional ke atas keperluan ekonomi, kepentingan politik dan keseriusan masalah sosial. Oleh kerana persepsi ini semakin berubah, ia memaksa kerajaan turut menyesuaikan dasar sedia ada melalui pengenalan dasar baru atau mengubah suai dasar yang ada.

Dalam buku ini dibincangkan 12 bab yang berkaitan dengan dasar sosial antara Malaysia dan Britain dengan mengambil kira kekuatan kedua-dua buah negara. Isu dan cabaran ini merangkumi perumahan, kesihatan, jenayah, masyarakat penyayang, kewangan usia emas, keselamatan sosial dan kerja kebajikan.

Memahami keseluruhan isi kandungan buku ini membuatkan kita menyimpulkan bahawa proses globalisasi berperanan mengubah dasar sosial sedia ada untuk bersaing dalam pembangunan ekonomi.

 

Saturday, November 30, 2013

Kasih tidak pernah pudar




Kasih sayang sentiasa mekar


Pelarian selama 30 tahun aktivis politik, Siti Aishah Abdul Wahab berakhir apabila doa dan harapan keluarganya dimakbulkan Allah swt. Dikatakan menjadi hamba kepada pasangan suami isteri berketuruan India di Britain, Siti Aishah sudah pun berusia 69 tahun dan tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Malah pihak polis tidak berminat untuk menghalangnya kembali ke kampung halaman di Jelebu, Negeri Sembilan. Masyarakat Malaysia juga tidak menunjukkan minat yang sungguh untuk menyambut kepulangan beliau kerana ideologi komunis tidak lagi menjadi ikutan.

Peristiwa lepas telah berlalu dan Siti Aishah wajar melihat masa depan beliau masih ada sinar di negara sendiri khususnya dapat berjumpa dengan adik-beradik dan sanak-saudara yang merindui kehadirannya.

Pengajaran paling istimewa dalam kes ini ialah kasih sayang keluarga tidak pernah putus walaupun 30 tahun berpisah. Kisah hilang dan jumpa ini akan menjadi iktibar kepada masyarakat khususnya berkaitan perjuangan untuk mencari ahli keluarga tidak pernah padam. Usaha dan ikhtiar tetap dilakukan dengan harapan akan bertemu suatu hari nanti.

Kasih sayang adalah anugerah Allah swt yang sangat unik kepada manusia lebih-lebih yang ada hubungan saudara. Kasih sayang mengikat dua hati malah jutaan hati untuk bersatu dan hormat-menghormati. Beruntunglah orang yang memiliki kasih sayang ini yang disandarkan dengan iman dan taqwa kepada Allah swt.

Siti Aishah dikatakan seorang pelajar pintar namun kepintaran itu telah melorongnya memilih pendekatan yang salah. Kehidupannya tidak ke mana berbanding rakan-rakan yang sederhana pencapaiannya, menikmati kehidupan berkeluarga dan tahu matlamat hidup. Tindakan Siti Aishah sukar dicari jawapannya kecualilah beliau sendiri yang mahu berkongsi inspirasi dan sebab-musababnya.

Kelompok yang memperjuang fahaman komunis dan sosialis tidak lagi mendapat tempat dalam masyarakat dunia hari ini. Selepas menolak komunis pada tahun 1989, negara-negara terlibat mula menukar rejim dan mengambil pendekatan baru dalam mengurus masyarakat dan negara. Sedikit demi sedikit kebebasan beragama mula muncul dan seiring dengan masa, fahaman komunis berkubur.

Golongan pejuang komunis hilang ruang untuk mengembangkan ideologi mereka. Di Malaysia, abu mayat pemimpin komunis yang telah mati tidak dibenarkan berada di tanah air kerana kezaliman dan kekejaman yang dilakukan ketika era 40-an hingga 60-an dahulu.

Dalam kes Siti Aishah, menjadi hamba kepada ideologi yang berlawanan dengan fitrah manusia bukanlah satu pengalaman yang hebat untuk dikenang seumur hidup.