Monday, December 11, 2017

Reunion Alumni Palapes UPM 2017









Selepas 20 tahun berada di Dewan Besar UPM, hari ini saya kembali berada di tempat yang sama. Masa lalu rakan-rakan saya menerima ijazah masing-masing, malam ini saya bersama rakan-rakan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UPM. Istilah harian kami adalah Rotu.

Reunion Palapes pada 9 Disember baru-baru ini melibatkan semua pengambilan iaitu dari pengambilan pertama hingga 36. Suasana pertemuan ini sangat meriah. Rata-rata alumni Palapes UPM ini saling berpelukan apabila bertemu sesama intake untuk melepaskan rindu dan dendam.

Biar pun jam sudah 10.45 malam, tidak ada seorang pun yang meninggalkan majlis. Bak kata Ketua Polis Kuala Lumpir, Datuk Mazlan, "Tak ada yang nak balik, masing-masing nak berjumpa kawan lama".

Datuk Mazlan juga menjadi pengerusi Alumni Palapes atau Alputra yang menghimpunkan semua ahli Palapes UPM. Pelancaran Alputra disempurnakan oleh Naib Canselor UPM iaitu Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris.

Tetamu istimewa pada malam itu ialah pengetua pertama Kolej Kediaman Ketujuh iaitu Profesor Madya Dr Azahari Ismail. Beliau menjadi pengetua dari tahun 1983 hingga 1987.

Dalam ucapannya, beliau menukilkan kembali kata-kata rangsangan kepada penghuni kolej seperti “make things happen”, “buat betul-betul supaya kita dapat bangga kemudian hari”, “fikir bagi jadi”, “senaraikan perkara-perkara yang hendak diberi kepada UPM khususnya menanam nilai-nilai kepada pelajar” dan “konsep ... apa maksud, tujuan dan hendak dicapai”.

Satu lagi konsep yang diingatkan beliau ialah dua anak tangga di hadapan kolej yang bermaksud “langkah entah ke mana?”

Khusus untuk pengambilan ke-15 Palapes UPM, antara yang hadir adalah Hasmadi, Nordin, Alias, Seahmala, Noorazlina, Zailani, Sahir, Muzakkir, Marsam, Nazhar, Ali, Rosnani, Azizi, Amri, Zahir, Zurayawati, Juraidah, Beh dan Cikgu Nik Ismail.

Tetamu istimewa kami adalah Tuan Zainal Harun, Stap Malik, Stap Nordin dan Stap Rosni.

Kerinduan bertemu rakan-rakan selepas berpisah selama 20 tahun amat menggembirakan. Tiga daripada rakan kami yang telah kembali ke rahmatullah adalah Abdullah Khair, Hafiz dan Suhaimi. Ketiga-tiganya berumur awal 40-an. Semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

Friday, November 24, 2017

Punca-punca kemerosotan tamadun dunia







Muhammad Haziq Zainal, Muhammad Islamuddin Amran,
Muhammad Hisyamuddin Ghazali, Rahmat Rosli, Mohamad Amirul Hafizi Rusli


1.0 Pengenalan

Menurut Kamus Dewan Bahasa, perkataan tamadun membawa erti kemajuan, kebudayaan dan peradaban. Manakala, perkataan tamadun adalah berasal dari perkataan Arab maddana, yang bermaksud pembukaan bandar atau masyarakat yang mempunyai kemajuan dari segi lahiriah dan rohaniah. Bagi masyarakat Barat, tamadun membawa maksud sesuatu bangsa atau negara yang memiliki pencapaian yang cemerlang atau maju dari aspek sains dan teknologi. Tamadun dalam bahasa Latin iaitu civitas memberi maksud bandar atau kota.

Setiap tamadun di seluruh dunia mengalami kemerosotan disebabkan punca tertentu. Menurut Ibn Khaldun, sesebuah tamadun dapat disamakan dengan usia seorang manusia. Beliau membahagikan kadar tempoh peradaban kepada empat generasi, iaitu generasi pengamal, generasi pengikut, generasi pemilihara tradisi dan generasi permusnah.


1.1 Objektif Kajian

1. Menyenaraikan ciri-ciri tamadun.
2. Menyatakan punca-punca kemerosotan tamadun.
3. Menyenaraikan perbezaan punca-punca kemerosotan antara tamadun Islam dan Barat.


2.0 Sorotan Literatur

2.1 Pegenalan Kepada Kerajaan Bani Umayyah

Khalifah Islam berasaskan perwarisan pertama selepas kewafatan Nabi Muhammad saw. Kerajaan ini terdiri daripada keluarga kaum Quraish Makkah. Kerajaan Bani Umayyah ini berkuasa dari tahun 661 masihi sehingga tahun 750 masihi. Ironiknya kaum Bani Umayyah sebelum ini pernah menjadi musuh ketat Islam seperti Abu Sufyan sebelum mereka memeluk Islam.

Asal nama kerajaan Bani Umayyah adalah mengambil nama sempena nama datuk Muawiyah, pengasas kerajaan ini iaitu Umayyah bin Abdul Syams, seorang pemimpin kaum Quraish yang kaya dan berpengaruh.

Bani Umayyah merupakan kerajaan yang tertubuh selepas kematian Saidina Ali Ibn Abi Talib pada 661 masihi dan sumpah ikrar atau bai’ah yang telah diangkat oleh Hasan Ibn Ali terhadap Muawiyah Ibn Abu Sufyan. Muawiyah Ibn Abu Sufyan merupakan khalifah pertama bagi kerajaan Bani Umayyah. Nama kerajaan ini diambil bersempena dengan nama keturunan Bani Umayyah iaitu Umayyah Ibn Abdu Syams Ibn Abdu Manaf. Namun, kerajaan ini juga mengalami krisis serta berakhir disebabkan kekangan yang berlaku dalam kerajaan Bani Umayyah.

Kuasa Bani Ummaiyyah berpusat kepada jajahan Byzantian di Syria dan mengekalkan pegawai tempatan yang bukan muslim sebagai pentadbir. Bani Ummaiyyah turut memusatkan usaha mereka ke arah menguasai Mediterranean dan menakluk Konstentinopal. Banyak penaklukan dan pembukaan wilayah baru dibuat semasa pemerintahan kerajaan Bani Ummaiyyah. Tentera Muslim berjaya menakluk Afrika Utara dan Iran pada lewat tahun 600-an, mengembangkan empayar Islam daripada Semenanjung Iberia di barat sehingga India di timur. Tentera Ummaiyyah pimpinan Tariq ibn Ziyad menyeberangi Selat Gibraltar dan menubuhkan pemerintahan di Semenanjung Iberia (Sepanyol) sementara baki tentera Islam yang lain menubuhkan pemerintahan di SindIndia (https://ms.wikipedia.org).


2.2 Kemerosotan Kerajaan Bani Umayyah

Kemerosotan kerajaan Bani Umaiyyah terbahagi kepada dua iaitu faktor dalaman dan faktor luaran. Antara faktor dalaman yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Bani Umaiyyah ialah pertikaian sesama sendiri ketika pelantikan khalifah. Pertikaian ketika pelantikan khalifah membayangkan krisis yang berlaku di peringkat pucuk pimpinan. Sikap mahu melantik anak sendiri sebagai pengganti menyebabkan berlakunya persaingan tidak sihat dalam kalangan pemimpin. Empat orang daripada 14 khalifah melantik anak sendiri menjadi pengganti iaitu Muawiyah, Yazid, Marwan I dan Abdul Malik. Rasa tidak puas hati dengan pucuk pimpinan yang tidak disalurkan dengan baik menyebabkan berlaku penentangan oleh rakyat sendiri (http://www.ismaweb.net/2015/11/tarbiyyah).

Selain itu, penentangan oleh syiah, khawarij dam sebagainya juga adalah punca kejatuhan Kerajaan Bani Umaiyyah. Syiah merupakan salah satu parti yang banyak memberikan kerajaan Umayyah cabaran dalam mempertahankan kerajaan tersebut. Syiah merupakan penyokong keluarga Ali Ibn Abi Talib dan mereka menganggap sesiapa yang memegang jawatan khalifah dan bukan berasal daripada keturunan Ali adalah perampas kuasa. Pemberontakan parti pembangkang syiah adalah berpunca daripada kematian Hussein Ibn Ali Ibn Abi Talib dan keluarganya dan hal ini menyebabkan bermulanya siri pemberontakan yang melemahkan kuasa Umayyah.

Pemberontakan pertama yang dibuat oleh syiah adalah selepas perang Karbala pada 61 hijrah. Syiah menjadi sangat terkenal semasa pimpinan al-Mukhtar al-Thaqafi sehingga dikenali sebagai kaysaniyyah. Konsep kaysaniyyah mempunyai konsep yang berbeza dengan konsep sunnah iaitu mereka sangat fanatik dan bercanggah dengan ajaran Islam. Hal ini kerana percaya bahawa Imam Mohamad Ibn al-Hanafiyya tidak meninggal dunia dan dia telah tinggal di bukit yang berdekatan Madinah dan akan datang kembali bagi mengetuai penyokong-penyokongnya. 

Parti pembangkang khawarij pula dikenali kumpulan yang telah berpecah daripada (kharaju) tentera khalifah Ali dalam perang Siffin dan menarik balik pengiktirafan mereka terhadap Ali sebagai khalifah dan menafikan tuntutan Muawiyah. Khawarij menolak konsep syiah berkaitan dengan perlantikan khalifah dan menganggap sesiapa yang layak boleh dilantik menjadi khalifah dan mereka juga mencipta konsep mereka sendiri. Punca khawarij juga menentang Umayyah adalah kerana sistem pelantikan khalifah yang berdasarkan sistem warisan. Pemberontakan mereka telah bermula sejak zaman khalifah Muawiyah dan pemberontakan yang paling memberi impak yang besar adalah semasa pemerintahan khalifah Marwan II di Kufah.

Seterusnya, satu parti baru diperkenalkan selepas pemberontakan di Yemen yang dikenali sebagai ibadiyyah. Mereka percaya pada konsep yang sama dengan khawarij berkenaan dengan perlantikan khalifah sebagai ketua negara tetapi mereka berbeza dalam beberapa ajaran yang lain. Ibadiyyah juga menganggap mereka adalah berasingan daripada khawarij sedangkan pihak khawarij menganggap yang sebaliknya. Aktivi dan siri pemberontakan yang dilakukan khawarij sedikit sebanyak melemahkan institusi Umayyah dalam memerintah kerajaan (http://syajarahdunya.blogspot.my).

Faktor luaran yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Bani Umayyah ialah tekanan daripada kerajaan Bani Abbasiyyah. Kerajaan Bani Ummaiyyah ditewaskan oleh kerajaan Bani Abbasiyyah selepas tewas dalam perperangan pada tahun 750 masihi. Hal ini menyebabkan kebanyakan kaum keluarga Bani Ummaiyyah dibunuh oleh tentera Abbasiyyah. Seorang waris Bani Ummaiyyah iaitu Abd-ar-Rahman I mengambil pemerintahan Islam di Andalusia dan menubuhkan Kerajaan Bani Ummaiyyah Andalusia di sana (http://www.ismaweb.net/2015/11/tarbiyyah).


2.3 Pengenalan Kerajaan Bani Abassiyah

Kerajaan Bani Abbasiyyah ialah nama yang diberi bagi khalifah Baghdad iaitu empayar kedua Islam selepas penyingkiran pemerintahan kerajaan Bani Ummaiyyah. Kerajaan ini merampas kuasa pada tahun 750 masihi selepas mereka berjaya mengalahkan tentera Ummaiyyah dalam medan peperangan.

Kerajaan ini berkembang selama dua kurun tetapi secara perlahan-lahan mengalami zaman kejatuhan selepas kebangkitan tentera berbangsa Turki yang mereka cipta. Kerajaan ini akhirnya berakhir pada tahun 1258 masihi selepas Hulagu Khan iaitu seorang panglima tentera Mongol menghancurkan Baghdad. Kerajaan ini berterusan dalam jangka masa yang agak panjang iaitu kira-kira 500 tahun. Kerajaan Abbasiyyah telah diterajui oleh 37 orang khalifah yang kesemuanya daripada keturunan bapa saudara kepada Nabi Muhammad saw iaitu al-‘Abbas bin ‘Abd Mutalib (http://zakwanhalim.blogspot.my).

Kerajaan ini mengekalkan sistem warisan atau monarki yang menggunakan pemerintahan keturunan raja. Pusat kerajaan Bani Abbasiyyah berpusat di Damsyik (Zulkiffly Ahmad, 2016).


2.4 Kemerosotan Kerajaan Bani Abassiyah

Faktor utama kejatuhan kerajaan Abbasiyyah adalah disebabkan oleh kelemahan pemerintahnya sendiri. Hal ini dapat dilihat apabila para pemerintahnya diperlakukan seperti boneka oleh bangsa Turki. Selain itu, para khalifah Abbasiyyah pada zaman terakhir pemerintahan, mereka lebih mementingkan kepentingan peribadi serta kehidupan yang mewah tanpa mempedulikan rakyat di bawah pemerintahan mereka.

Pada zaman al-Muthadi (869 masihi), timbul pemberontakan daripada kaum Zanj di bawah pimpinan Ali bin Muhammad. Di Iraq, terdapat gerakan syiah dan qaramitah yang dipimpin oleh Hamdan Qarmat pada tahun 874 masihi. Gerakan ini berjuang untuk menjadikan wilayah mereka sebagai zon merdeka. Lanjutan daripada gerakan qaramitah, timbul pula gerakan hasyasyin di bawah pimpinan Hasan bin Sabbah. Mereka membunuh para pembesar negara yang menjadi musuh mereka seperti perdana menteri kerajaan Bani Seljuk di Baghdad dan Nizamul Muluk. Sebelum berkuasa, kerajaan Bani Buwaih juga melakukan pemberontakan ke atas pemerintahan Baghdad sehingga berjaya menguasainya.

Terdapat khalifah-khalifah Abbasiyyah yang terlalu mengutamakan bangsa asing khususnya keturunan Turki dan Parsi. Sebaliknya bangsa Arab kurang diberi perhatian. Bangsa Turki dan Parsi diberikan jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran negara. Keadaan ini menimbulkan perasaan tidak puas hati bangsa Arab. Hal ini dapat dilihat apabila Khalifah Al-Mu’tasim telah mencipta satu dasar yang melemahkan kerajaan Abbasiyyah apabila beliau mengambil 50,000 orang Turki untuk menjadi askar upahan dengan harapan untuk menjadikan mereka sebagai penyokongnya yang setia. Apabila orang Turki ini menjadi pengawal istana, maka kedudukan mereka bertambah kuat, lalu mereka mulai menguasai khalifah sehingga khalifah terpaksa mengikut arahan mereka.

Apabila masuknya dominasi bangsa luar ke dalam pusat pemerintahan Baghdad telah menyebabkan kedudukan khalifah sebagai boneka. Akibatnya, para khalifah hanya berkuasa atas nama kerajaan Bani Abbasiyyah tetapi urusan pemerintahan dikuasai oleh orang lain. Sejak awal, khalifah Bani Abbasiyyah memasukkan unsur-unsur bukan Arab seperti unsur Parsi dan Turki. Pada tahun 945-1055 masihi, kerajaan Bani Buwaih dari Parsi menguasai Baghdad. Selanjutnya Bani Seljuk dari Turki pula menguasai pemerintahan pusat di Baghdad.

Pada tahun 1258 masihi, Baghdad telah jatuh ke tangan bangsa Mongol, ini bukan sahaja mengakhiri kekuasaan khalifah Bani Abbasiyyah di sana, tetapi juga merupakan tanda awal kemunduran politik dan peradaban Islam, kerana Baghdad merupakan pusat kebudayaan dan peradaban Islam yang sangat kaya dengan khazanah ilmu pengetahuan itu lenyap dimusnahkan oleh tentera Mongol yang dipimpin Hulagu Khan. Dalam kejadian itu, digambarkan bahawa Hulagu Khan menyerang Baghdad dengan pasukan tentera yang sangat besar. Jumlah tentera Mongol kira-kira seramai 200,000 orang. Oleh itu, tentera Abbasiyyah tidak mampu menentang tentera Mongol lalu lari berkurung di dalam kota.

Tentera Mongol terus mengepung kota Baghdad selama 10 hari. Akhirnya, kota Baghdad jatuh ke tangan tentera Mongol. Tentera Mongol memasuki kota Baghdad dan membunuh sesiapa sahaja yang mereka temui. Segala peradaban Islam yang terbina di Baghdad telah dihancurkan. Segala kitab yang dihasilkan oleh sarjana-sarjana Islam telah dikumpulkan dan dibuang ke dalam Sungai Dujlah sehingga airnya menjadi hitam (kerana dakwat daripada tulisan kitab-kitab itu (http://zakwanhalim.blogspot.my).


2.5 Pengenalan Kerajaan Turki Uthmaniah

Menurut laman web http://koleksi-nota-sejarah.blogspot.my, kerajaan Turki Uthmaniyyah telah ditubuhkan pada abad ke-13 oleh sultan yang pertama iaitu Sultan Uthmani. Nama kerajaan Uthmaniyyah diambil sempena nama nenek moyang mereka yang pertama iaitu sultan Uthmaniyyah Ibn Sauji Ibn Artugrul Ibn Sulaiman. Pada tahun 1526, sebagian besar wilayah Hungary telah dikuasai oleh kekuasaan Turki Uthmaniah. Pada akhir abad ke-17, kelemahan kerajaan Uthmaniyah mulai terserlah ekoran daripada masalah dalaman seperti kelemahan pemerintah, masalah birokrasi, ketenteraan, kelemahan sistem pendidikan dan pengenalan undang-undang barat.


2.6 Kemerosotan Kerajaan Turki Uthmaniyyah

Bermula kurun ke-17 masihi, sultan-sultan yang menaiki takhta mempunyai keperibadian yang lemah dan hanya mementingkan kemewahan dan tunduk kepada hawa nafsu. Selepas kematian Sultan Sulaimen 1 pada tahun 1566, ramai sultan tidak sekuat sultan-sultan terdahulu. Antaranya ialah Sultan Mustafa I (1617), Uthman II (1617-1621), Murad IV (1622-1640) dan sebagainya. Contohnya Sultan Uthman ke-II yang menaiki takhta ketika baru berumur 13 tahun. Baginda hanyalah boneka dan kuasa pemerintah terletak di tangan golongan elit Turki. Sultan hanya menurut kehendak golongan tersebut yang berkepentingan peribadi. Sepanjang pemerintahannya selama setahun empat bulan penggantian perdana menteri telah berlaku sebanyak tujuh kali.
                                                
Selain itu, kelemahan juga dapat dilihat semasa Sultan Murad V. Beliau telah dinaikkan oleh golongan Freemason (sebuah pertubuhan Yahudi) dan hanya sempat memerintah selama 93 hari kerana penyakit gila akibat terlalu takut. Beliau takut melihat kematian sultan sebelumnya iaitu Sultan Abdul Aziz yang mati dibunuh. Selain itu beliau adalah seorang yang mudah tertipu dan merupakan seorang kaki arak dan tidak berwibawa. Seringkali berlaku perebutan kuasa antara keluarga raja menyebabkan politik menjadi tidak stabil dan berada dalam ketegangan

Disiplin ketenteraan mulai longgar apabila pasukan tentera tidak lagi tinggal di dalam kem dan bergaul dengan masyarakat seperti dibenarkan berkahwin dan membuat kerja sampingan tertutama berniaga malah ada yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral seperti minum arak, rasuah dan sebagainya. Janissari tidak lagi menjadi pasukan elit yang padu dalam kesetiaan kepada sultan, tetapi memupuk minat terhadap tanggungjawab luaran mereka dan seringkali kekurangan latihan ketenteraan. Selain itu, pasukan khas ini sering memberontak terhadap sultan.

Dari sudut sosial, proses tanzimat telah mewujudkan banyak sekolah sekular menggantikan sekolah yang berpendidikan Islam. Pendidikan sekular ini tertumpu kepada karya sastera tertentu, arena persuratan berkembang maju dan terjemahan daripada fiksyen Barat.

Malahan sistem pendidikan telah disusun semula. Pada 1866, Kementerian Pelajaran Umum ditubuhkan untuk menyelia sekolah sekular. Maka, sekolah sekular mula tumbuh seperti cendawan di Turki. Malahan negara Barat juga mengambil peluang ini untuk menyerapkan pendidikan mereka melalui beberapa institusi pendidikan. Situasi ini makin menggalakkan penerapan idea nasionalisme, kapitalisme, imperialisme terhadap masyarakat sehingga menyebabkan sentimen perkauman semakin menebal dan akhirnya idea-idea Barat ini telah menjatuhkan kerajaan Islam tersebut. 

Malahan, pengenalan undang-undang Barat juga telah dibawa masuk ke Turki yang telah mengetepikan undang-undang Islam yang diguna pakai selama ini. Pada tahun 1869, Menteri Kehakiman Turki Uthmaniyah telah menubuhkan mahkamah sekular yang mengehadkan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Hal ini merupakan petanda masyarakat mula lebih memandang dunia dan mengetepikan undang-undang Islam yang mendorong kejatuhan kerajaan Islam tersebut (http://constantinople97.blogspot.my).


2.7 Pengenalan Tamadun Yunani

Menurut laman web (http://www.academia.edu), tamadun Yunani berkembang di semenanjung Greece dan pulau-pulau di sekitamya yang di kelilingi oleh Laut Aegean dan Laut Mediterranean.  Negara ini dikenali sebagai asal usul ketamadunan Barat. Tamadun Yunani juga mempunyai sejarah yang kaya dan tersebar di tiga benua.  

Tamadun Yunani bermula dengan pembentukan petempatan manusia yang dikenali sebagai negara kota atau polis. Negara kota terbentuk hasil gabungan beberapa buah kampung dan bandar pada sekitar tahun 1000-800 sebelum masihi (http://oursejarah.blogspot.my). Terdapat banyak negara kota pada zaman Yunani dan setiap negara kota mengandungi sebuah kota yang di kelilingi oleh kawasan pertanian dan di dalam kota terdapat pasar, kubu, kuil dan istana. Walaupun terdapat banyak negara kota di Yunani tetapi yang paling menonjol ialah Athens, Sparta dan Corinth. Ketiga-tiga negara kota tersebut terletak berhampiran dengan Laut Mediterranean. Setiap negara kota memiliki corak pemerintahan dan undang-undang tersendiri selain turut memiliki beberapa tuhan. Masyarakat dalam setiap negara kota itu sentiasa bersatu padu, walaupun begitu, peperangan sering berlaku antara negara kota tersebut.


2.8 Kemerosotan Tamadun Yunani

Bangsa Yunani telah mencapai kegemilangan menerusi penghayatan tradisi keilmuan yang tinggi. Namun tradisi keilmuan semata-mata tanpa penekanan yang sewajarnya diberikan kepada soal penghayatan nilai-nilai murni tidak mungkin kegemilangan tersebut dapat bertahan lama. Masyarakat Yunani walaupun berilmu, namun mereka gagal dari segi penghayatan dan amalan ilmu. Secara dasarnya mereka mengakui bahawa ilmu perlu selari dengan akhlak, namun dari segi akhlak adalah sebaliknya.

Perpecahan dalam kalangan masyarakat juga menjadi fakator dalam membantutkan perkembangan tamadun. Sebagai contoh, rampasan kuasa berlaku akibat pemerintahan zalim dengan kuasa digunakan sewenang-wenangnya oleh diktator pemerintah berkuasa mutlak. Rampasan kuasa disokong oleh golongan biasa tetapi ditentang oleh golongan aristokrat. Inilah yang menyebabkan masyarakat Yunani berpecah belah.

Ketidakadilan yang berlaku seperti wujudnya jurang perbezaan yang ketara antara golongan kaya dan golongan miskin. Jurang pemisah ini membawa kepada kemerosotan tamadun Yunani apabila golongan hamba abdi yang hidup melarat ditindas dan dikerah untuk mengusahakan tanah golongan berharta. Disebabkan itu, telah berlaku pemberontakan dalam kalangan masyarakat bawahan (http://oursejarah.blogspot.my).


2.9 Pengenalan Tamadun Rom

Tamadun Rom atau dikenali sebagai Empayar Rom merupakan sebuah tamadun yang paling besar di dunia pada zaman purba klasik dengan keluasan tanah taklukan sebanyak lebih kurang 5,900,000 kilometer persegi (2,300,000 batu persegi). Tamadun Rom lahir di kawasan Bukit Paletine yang terletak berhampiran di Sungai Tiber, tamadun Rom mengamalkan kerajaan bercorak republik yang mana tamadun tersebut tidak mempunyai raja sebagai pemerintah.

Ciri kerajaan republik Rom iaitu melantik dua orang konsul untuk memerintah negara selain menjaga kedaulatan dan kebajikan rakyat. Konsul dibantu oleh Dewan Senat yang dianggotai oleh golongan bangsawan. Dewan Senat pula dibantu oleh Dewan Perhimpunan yang dianggotai semua rakyat Rom. Namun begitu, kuasa Dewan Perhimpunan adalah terhad seperti bertanggungjawab mengesahkan undang-undang yang diluluskan oleh Senat.
Undang-undang Rom yang pertama ditulis adalah pada tahun 451-450 sebelum masihi. Empayar Rom muncul sebagai kuasa besar pada kurun ke-3 dan ke-2 sebelum masihi ketika di bawah pimpinan Julius Caesar. Di bawah pemerintahan Julius Caesar, Empayar Rom telah meliputi Macedonia, Yunani, Syam, Mesir, Gaul, Brittania dan juga kawasan Jerman. Julius Caesar terkenal dengan kata-katanya ‘veni, vedi, vinci’ yang bermaksud ‘saya datang, saya takluk’.

Pada tahun 59 sebelum masihi, beliau dilantik sebagai konsul dan pada tahun 44 sebelum masihi beliau dilantik pula sebagai diktator seumur hidup. Pada 15 Mac 44 sebelum masihi, Julius Caesar telah dibunuh oleh sekumpulan senatornya yang diketuai oleh Brutus. Akhir sekali, pada tahun 27 sebelum masihi, Octavius memerintah Rom dengan gelaran Maharaja Augustus dan pada tempoh pemerintahannya, ia dikenali sebagai Zaman Keemasan Kesusasteraan dan Seni Bina Rom (www.sabah.edu.my).


2.10 Kemerosotan Tamadun Rom

Bagi kebanyakan sejarah, tentera Rom telah dapat menawan hati dunia kuno. Namun, semasa kejatuhan, penampilan pasukan yang berkuasa mula berubah. Mereka tidak dapat merekrut tentera yang cukup dari rakyat Rom, maharaja seperti Diocletian dan Constantine mula mencari pekerja upahan asing untuk menaikkan tentera mereka. Barisan tentera akhirnya mengembang dengan Germanic Goth dan Barbarian, sehinggakan Rom mula menggunakan perkataan Latin ‘barbarus’ sebagai ganti ‘askar’. Ketika ini tentera Jerman yang bertuah terbukti menjadi pahlawan hebat, mereka juga mempunyai sedikit atau tidak mempunyai kesetiaan kepada empayar dan pegawai-pegawai mereka yang tamak kuasa sering berpaling terhadap majikan Roman mereka. Malah, ramai ‘barbarian’ yang memperoleh jalur tentera mereka semasa berkhidmat dalam tentera Rom.

Walaupun Rom sedang diserang dari kuasa luar, ia juga telah runtuh dari dalam disebabkan oleh krisis kewangan yang teruk. Peperangan yang berterusan dan terlebih belanja telah diringankan dengan ketara oleh tabung imperial dan cukai yang menindas serta inflasi telah melebarkan jurang antara kaya dan miskin. Dengan harapan untuk mengelakkan cukai, ramai ahli kelas kaya telah melarikan diri ke kawasan luar bandar dan menubuhkan fiefdoms bebas. Pada masa yang sama, kerajaan ini digemparkan dengan defisit buruh.

Ekonomi Rom bergantung kepada hamba sehingga ladang-ladang dan bekerja sebagai tukang, dan ketenteraan secara tradisinya menjadikan orang yang ditawan sebagai pekerja. Namun, apabila tanah pengembangan terhenti pada abad kedua, bekalan hamba dan khazanah perang lain mula berkurangan. Satu tamparan datang lagi pada abad kelima, apabila Vandal menuntut Afrika Utara dan mula mengganggu perdagangan empayar dengan merayau di Mediterranean sebagai lanun. Dengan ekonomi goyah dan pengeluaran komersial dan pertanian merosot, Empayar Rom mula kehilangan cengkaman ke atas Eropah.

Pada kemuncaknya, Empayar Rom terbentang dari Lautan Atlantik hingga ke Sungai Euphrates di Timur Tengah tetapi kemegahan mungkin juga telah menjadi kejatuhannya. Dengan wilayah yang luas untuk mentadbir, Rom berhadapan dengan mimpi ngeri terhadap pentadbiran dan logistik. Walaupun dengan sistem jalan mereka yang sangat baik, orang-orang Rom tidak dapat berkomunikasi dengan cepat atau cukup berkesan untuk menguruskan pegangan mereka.

Rome bergelut untuk mengatur tentera dan sumber yang cukup untuk mempertahankan sempadan daripada pemberontakan tempatan dan serangan luar dan menjelang abad kedua, Maharaja Hadrian terpaksa membina dinding yang terkenal di Britain hanya untuk menjaga musuh di teluk. Semakin banyak dana disalurkan ke dalam penjagaan tentera empayar, kemajuan teknologi menjadi perlahan dan infrastruktur awam di Rom jatuh ke dalam kebinasaan (http://jejaktamadun.wordprees.com).


3.0 Kaedah Kajian

Kaedah analisis dokumen digunakan bagi mendapatkan maklumat berkaitan setiap tamadun. Kaedah ini menggunakan data sekunder dari laporan, blog dan buku untuk mengenal pasti faktor-faktor kejatuhan sesebuah tamadun.


4.0 Hasil Kajian dan Analisis

4.1 Punca-Punca Kemerosotan Tamadun Islam

Tamadun Islam mengalami kemerosotan sebanyak tiga kali. Kemerosotan tamadun Islam berlaku kepada tiga kerajaan iaitu kerajaan Bani Umaiyyah, Bani Abassiyah dan Turki Uthmaniah.


4.1.1 Punca-Punca Kemerosotan Kerajaan Bani Umayyah

Kerajaan Bani Umayyah merupakan kerajaan pertama selepas pemerintahan Khulafa Ar Rashidin. Pengasas bagi kerajaan Bani Umayyah ialah Muawiyah. Faktor kejatuhan kerajaan ini terbahagi kepada dua iaitu faktor dalaman dan faktor luaran.

Faktor dalaman berpunca daripada perebutan kuasa khalifah sesama sendiri. Kebanyakan khalifah melantik anaknya sebagai khalifah yang seterusnya namun tidak dilaksanakan dengan baik. Hal ini menyebabkan ikatan ukhwah antara pemimpin menjadi lemah justeru pemerintahan tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Rakyat juga memberontak dengan sikap pemimpin yang mementingkan diri sendiri.

Selain itu, penentangan daripada puak syiah, khawarij dan sebagainya. Hal ini dikatakan demikian kerana Muawiyah menjadikan cacian terhadap Saidina Ali r.a merupakan perkara yang dimestikan dalam setiap khutbah. Keadaan ini menyebabkan puak syiah yang membela Saidina Ali r.a tidak berpuas hati dengan kerajaan Bani Umayyah lalu terus berusaha untuk menjatuhkan kerajaan ini habis-habisan. Syiah juga terus-menerus menghina kerajaan Bani Umayyah.

Seterusnya ialah faktor luar kemerosotan kerajaan Bani Umayyah iaitu kebangkitan kerajaan Bani Abbasiyah menyebabkan kerajaan Bani Umayyah yang ditenggelami masalah terus dipinggirkan.


4.1.2 Punca-Punca Kemerosotan Kerajaan Bani Abassiyah

Kerajaan Bani Abassiyah muncul pada tahun 750 masihi selepas penyingkiran kerajaan Bani Umaiyyah. Nama kerajaan Bani Abassiyah diambil daripada Al-Abbas bin Abdul Mutalib iaitu salah seorang bapa saudara Nabi Muhammad saw. Kerajaan ini berterusan selama 500 tahun dan telah dipimpin oleh 37 orang kalifah yang kesemuanya berasal daripada keturunan bapa saudara baginda iaitu Al-Abbas bin Abdul Mutalib.

Punca utama kejatuhan Bani Abassiyah adalah kelemahan pemerintah itu sendiri. Hal ini disebabkan bangsa Turki mempunyai pengaruh besar kepada pemimpin-pemimpin kerajaan Bani Abassiyah. Selain itu, khalifah Abassiyah hanya mementingkan kepentingan peribadi serta kehidupan mewah tanpa mempedulikan rakyat di bawah pemerintahan mereka semasa fasa terakhir pemerintahan.

Kemerosotan kerajaan Bani Abassiyah adalah disebabkan serangan tentera Mongol.  Pada 1258 masihi, Baghdad telah dikuasai oleh tentera Mongol yang diketuai oleh Hulagu Khan. Kejatuhan Baghdad adalah tanda kejatuhan politik dan peradaban Islam kerana Baghdad merupakan pusat kebudayaan dan peradaban Islam yang penuh dengan khazanah ilmu pengetahuan itu lenyap dimusnahkan oleh tentera Mongol. Jumlah tentera Mongol yang menyerang Baghdad adalah sebanyak 200,000 orang.

Kerajaan Bani Abassiyah telah mengamalkan polisi mengutamakan bangsa asing yang menjadi punca kemerosotan kerajaan tersebut. Terdapat beberapa kalifah Abassiyah yang terlalu mengutamakan bangsa asing khususnya keturunan Parsi dan Turki. Bangsa Turki telah diberikan jawatan-jawatan penting dalam pentabiran negara Lima puluh ribu orang Turki diambil oleh khalifah untuk dijadikan askar upahan. Akibat daripada tidakan kalifah berikut, bangsa Turki mula menguasai kuasa pemerintahan kerajaan Bani Abassiyah dan timbulnya rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.

Kemunculan beberapa gerakan pemberontak merosotkan lagi kerajaan Bani Abassiyah. Di Iraq, berlakunya gerakan syiah, qaramitah yang diketuai oleh Hamdan Qarmat pada 874 masihi. Gerakkan ini berjuang untuk menjadikan wilayah mereka sebagai tanah yang mereka. Tambahan lagi, munculnya gerakkan hasyasyin di bawah pimpinan Hassan bin Sabbah. Gerakkan ini membunuh para pembesar negara yang menjadi musuh mereka seperti kerajaan Bani Seljuk di Baghdad dan Nizamul Muluk.
                                                

4.1.3 Punca-Punca Kemerosotan Kerajaan Turki Uthmaniyyah

Kerajaan Turki Uthmaniyyah ditubuhkan pada abad ke-13 oleh Sultan Uthmaniah. Nama kerajaan ini diambil sempena nama nenek moyang mereka yang pertama iaitu Sultan Uthmaniyyah Ibn Artugrul. Kerjayaan terbesar dalam kerajaan Turki Uthmaniyyah adalah semasa penaklukan Kota Constantinople pada tahun 1453 masihi. Kerajaan Turki Uthmaniyyah hanya bertahan selama 400 tahun sebelum mengalami kemerosotan pada abad ke-17.

Antara punca kemerosotan kerajaan Turki Uthmaniyyah adalah kelemahan pemimpin itu sendiri. Bermula daripada kurun ke-17 masihi, sultan-sultan yang menaiki takhta mempunyai keperibadian yang lemah dan hanya mementingkan kemewahan dan tunduk kepada hawa nafsu. Sebagai contoh, Sultan Murad ke-5 adalah seorang yang mudah tertipu dan seorang kaki arak. Selain itu, Sultan Uthman ke-2 hanyalah menjadi boneka dan kuasa pemerintahan terletak di tangan golongan elit Turki.

Kemerosotan kerajaan Turki Uthmaniyyah turut berpunca daripada kelemahan ketenteraan. Disiplin ketenteraan mula longgar apabila pasukan tentera tidak lagi tinggal di dalam kem dan mereka semakin kerap bergaul dengan masyarakat. Hal ini menyebabkan tentera mula melakukan yang aktiviti tidak bermoral seperti rasuah dan meminum arak. Tentera Janissari tidak lagi menjadi pasukan elit yang setia kepada sultan tetapi memupuk minat terhadap tanggungjawab mereka dan seringkali kekurang latihan. Kesannya, pasukan khas ini seringkali memberontak terhadap sultan.

Sistem pendidikan kerajaan Turki Uthmaniyyah adalah antara punca kemerosotan kerajaan tersebut. Proses takzimat (proses pembaharuan) telah mewujudkan banyak sekolah sekular yang menggantikan sekolah yang berpendidikan Islam. Sekolar sekular lebih menumpukan kepada karya sastera tertentu dan terjemahan daripada fiksyen Barat. Akibatnya, penggalakkan penerapan idea nasiolisme, kapitalisme dan imperialisme semakin menjadi dalam kalangan masyarakat menyebabkan sentimem perkauman semakin menebal dan akhirnya idea-idea Barat ini telah menjatuhkan kerajan Islam tersebut.

Pengenalan undang-undang barat telah mengetepikan undang-undang Islam dalam kerajaan Turki Uthmaniyah. Bidang kuasa Mahkamah Syariah telah dihadkan dengan tertubuhnya mahkamah sekular. Seterusnya, masyarakat mula lebih memandang dunia dan mengetepikan undang- undang Islam yang mendorong kejatuhan Islam.


4.2 Punca-Punca Kemerosotan Tamadun Yunani

Tamadun Yunani bermula dengan wujudnya negara kota atau polis yang terbentuk hasil daripada gabungan antara bebarapa buah kampung. Tamadun Yunani mempunyai banyak negara kota tetapi yang paling terkenal ialah Athens, Sparta dan Corinth yang semuanya terletak berhampiran dengan Laut Mediterranean. Seterusnya, setiap negara kota ini mempunyai sistem pemerintahan dan undang-undang yang tersendiri dan setiap masyarakat negara kota tersebut bersatu padu tetapi kerap berperang antara satu sama lain.

Kemerosotan tamadun Yunani telah disebabkan oleh beberapa punca, antaranya ialah kejatuhan akhlak dan moral. Bangsa Yunani telah mecapai kegemilangan dengan keilmuan yang tinggi tetapi mereka gagal dalam menghayati nilai-nilai murni menyebabkan kegemilangan tersebut tidak kekal lama.

Punca yang seterusnya ialah perpecahan dalam kalangan masyarakat. Pemerintah diktaktor yang memerintah secara zalim melakukan rampasan kuasa dengan sewenang-wenangnya dan sistem ini hanya disokong oleh golongan biasa tetapi tidak disokong oleh golongan aristokrat.

Ketidakadilan kuasa juga merupakan antara punca yang menyebabkan kemerosotan tamadun Yunani, wujudnya jurang perbezaan yang ketara antara golongan miskin dan kaya. Golongan hamba abdi dikerah untuk mengusahakan tanah golongan berharta menyebabkan berlakunya pemberontakan oleh masyarakat bawahan.


4.3 Punca-Punca Kemerosotan Tamadun Rom

Tamadun Rom bermula di Bukit Paletine yang terletak berdekatan dengan Sungai Tiber, di Lembah Latium yang didiami oleh masyarakat Latin semasa pemerintahan Romulus pada tahun 753 sebelum masihi. Lembah ini telah berkembang dan menjadi penting. Pada abad kedua masihi, pemerintahan Rom telah mewujudkan majlis perbandaran di setiap bandar. Majlis perbandaran tersebut akan menjalankan pentadbiran tanpa diganggu oleh pentadbiran pusat di Rom.

Tamadun Rom merupakan tamadun terbesar di dunia pada zaman dahulu kerana tamadun ini banyak berperang bagi meluaskan kawasan tanah mereka. Setelah sekian lama, tamadun Rom menjadi tamadun yang berjaya dari semua aspek seperti ketenteraan, politik, perpaduan, ekonomi dan pembangunan. Namun begitu, disebabkan kejayaan mereka dalam semua ini juga telah menyebabkan kejatuhan mereka yang mana tamadun Rom telah melalui pelbagai kemerosotan seperti kelemahan pentadbiran Rom, masalah ekonomi dan kebergantungan kepada buruh hamba, terlebih perkembangan dan terlebih belanja tentera.

Dengan merumuskan apa yang telah terjadi, apa yang dimaksudkan dengan kelemahan pentadbiran Rom ialah tamadun Rom telah kekurangan tenteranya akibat peperangan yang berteruskan. Hal ini membuatkan maharaja Rom terpaksa mengupah tentera dari luar kerajaan mereka. Juateru, keadaan ini telah menyebabkan mereka lalai dan tidak menjangkakan bahawa tentera yang diupah itu telah memberontak mereka lalu mengambil alih kerajaan tersebut.

Bagi masalah ekonomi pula, kerajaan Rom telah kekurangan hasil pendapatan sehingga menyebabkan penindasan ke atas rakyatnya dan juga penggunaan hamba berkurangan kerana khazanah perang makin berkurangan. Satu lagi tamparan hebat dikenakan kepada Rom apabila lanun mengganggu perdangangan di kawasan Mediterranian. Akhir sekali, kerajaan Rom mewah berbelanja segala khazanah yang mereka ada ke atas kekuatan tenteranya hingga menyebabkan perkembangan infrastruktur dan teknologi berkembang dengan perlahan.


4.4 Perbandingan Punca-Punca Kemerosotan Tamadun Islam dan Tamadun Barat


Tamadun Islam          


i. Pemerintah hanya mementingkan kemewahan dan hawa nafsu (politik)
ii. Masyarakat tidak puas hati dan memberontak kepada pemerintah (masyarakat)
iii. Perdagangan berkurang akibat daripada pemberontakan menyebabkan ekonomi merosot (ekonomi)
iv. Tentera tidak berdisiplin dan setia dengan pemimpin (pertahanan)


Tamadun Barat

i. Pemerintah bersifat zalim menyebabkan rampasan kuasa (politik)
ii. Masyarakat mengalami keruntuhan akhlak dan moral (masyarakat)
iii. Ekonomi terlalu bergatung kepada hamba-hamba (ekonomi)
iv. Terlalu membelanjakan dana kepada sektor ketenteraan (pertahanan)


5.0 Rumusan dan Cadangan

Kesimpulannya, walaupun sesebuah tamadun itu besar dan maju tetapi tetap mengalami kemerosotan. Hal ini kerana setiap tamadun mempunyai kelemahan yang tersendiri dari segi politik, ekonomi, masyarakat, bencana alam, ketenteraan dan peperangan.

Pemimpin dan rakyat hari ini perlulah mempelajari setiap punca kemerosotan tamadun di seluruh dunia supaya perkara ini tidak berulang kembali kepada negara kita. Selain itu, kita hendaklah mencari jalan penyelesaian bagi setiap masalah yang dihadapi oleh negara kita bagi mengelakkan kemerosotan berdasarkan ajaran Islam. Pemimpin perlulah menjadi ajaran Islam sebagai peranan yang penting dalam setiap urusan negara untuk mengelakkan sebanyak mungkin punca-punca yang dapat merosotkan negara kita.


Rujukan

Zulkiffly Ahmad, 2016, e Notes Sejarah Spm, Sabsibdi Sdn. Bhd.
http://oursejarah.blogspot.my/



Monday, November 20, 2017

Social outreach empowering community







Program ini merupakan aktiviti pelajar mata pelajaran kokurikulum pembimbing rakan sebaya, pengucapan awam, public speaking, tahsin dan aerobik yang merupakan gabungan  mata pelajaran wajib universiti yang ditawarkan oleh Jabatan Pengajian Kokurikulum, Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) kepada para pelajar.

Semua mata pelajaran ini berteraskan kepimpinan, khidmat komuniti dan kesukarelawanan bertujuan mendedahkan pelajar kepada kemahiran asas kepimpinan, perdampingan sosial, keterampilan dan kesukarelawanan bagi perkembangan kendiri, pemajuan perwatakan dan perkhidmatan untuk  komuniti.

Objektif program ini adalah menggalakkan pelajar mempamerkan kemahiran insaniah dan bakat melalui aktiviti-aktiviti yang dirancangkan, serta, memupuk sikap dan pemikiran pelajar yang cakna kepada pembangunan komuniti sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran semasa belajar di UTeM.

Pelajar telah melalui amalan kepimpinan, khidmat komuniti dan kesukarelawanan secara praktikal seperti mengendalikan program-program kemahiran hidup atau kemasyarakatan kepada komuniti setempat. Program “social outreach, empowering community” yang dirancangkan  ini adalah merupakan salah satu aktiviti kemasyarakatan bagi memenuhi key perfomance index (KPI) PSTPN 2014 yang menghendaki pelajar kokurikulum berkredit menyertai University Community Engagement (UCE) dalam penerapan kemahiran insaniah pelajar Universiti Awam.

Program ini akan dapat melahirkan sikap saling senang dengan komuniti, prihatin dan mengoptimumkan potensi diri melalui aktiviti gotong-royong dan sukaneka. Program inijuga  menampilkan ciri-ciri perwatakan yang positif dan kepemimpinan yang berkesan dalam aktiviti kerja berkumpulan.