Friday, June 16, 2017

Gejala rasuah







oleh Mohamad Zul Hakim Bahru @ Mohd Zaidi
                                                

Rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan undang-undang yang mana seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan (favours) dari pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wang, hadiah, keraian kepada pihak-pihak tersebut.

Pemberian rasuah jika tidak dibendung akan mengakibatkan banyak masalah sosial kerana undang-undang tidak akan dipatuhi dengan sepenuhnya. Maka kegiatan jenayah dan ketidakadilan akan berleluasa.

Budaya rasuah ini sebenarnya telah dahulu disedari oleh Islam dan cara yang terbaik bagi mengatasi dan mengawal budaya ini telah disediakan.

Langkah pertama yang tegas telah diutarakan oleh Islam iaitu terhadap mengharamkan secara berkesan tanpa bertolak ansur dengan rasuah.

Seseorang itu tahu bahawa rasuah dilarang oleh agama dan undang-undang, tetapi dilakukan kerana mempunyai iman dan takwa yang lemah atau pribadi yang lemah. Hal ini termasuk dalam teori “Technique of Neutralization” oleh Grisham Sykes dan David Matza.

Mereka mengatakan, “Lakukan rasuah secara rahsia asalkan tiada siapa yang tahu”. Sikap mahu hidup mewah, riak, menunjuk-nunjuk, tamak, ingin cepat kaya dan sebagainya adalah pendorong berlakunya rasuah bagi mereka yang lemah keperibadiannya.

Bagi pendapat saya, cara untuk menangani rasuah ialah dengan menguatkan iman dan peribadi. Keimanan dan keperibadian yang tinggi adalah benteng yang paling ampuh untuk membenteras gejala rasuah. Apabila setiap individu bencikan rasuah sama ada rakyat biasa, pemimpin,peniaga, atau jentera kerajaan maka amalan rasuah dapat diatasi.

Kekuatan Iman dan jati diri dapat menangkis habuan rasuah sekali pun tiada sesiapa tang tahu dan peluang terbuka luas di hadapan mata.

Selain itu, cara untuk menangani kegiatan rasuah ialah dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang dan hukuman. Siasatan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiatkan lagi agar masyarakat sedar betapa bahaya dan serius masalah rasuah jika tidak dibenteras dan dibendung untuk keselamatan negara. Selain itu para pengamal rasuah akan berfikir banyak kali sebelum cuba melakukan rasuah lantaran hukuman berat yang bakal diterima.

Thursday, June 15, 2017

Pendidikan vernakular







oleh Mohamad Amirul Hafizi Rusli


Tajuk artikel yang saya pilih dan ingin ulaskan ialah berkenaan pendidikan vernakular di Malaysia. Berdasarkan sejarah, Tanah Melayu telah pun mempunyai sitem pendidikan yang tersendiri iaitu melalui pendidikan tidak formal. Namun begitu, setelah kedatangan British, mereka memperkenalkan sistem pendidikan vernakular iaitu sistem pendidikan yang berasaskan kaum dan menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar.

Sistem pendidikan yang wujud pada masa pemerintahan British mempunyai empat sistem persekolahan utama iaitu sekolah vernakular Melayu, sekolah vernakular Cina, sekolah vernakular Tamil dan sekolah Inggeris. Setelah merdeka, kerajaan telah memperkenalkan sekolah kebangsaan yang bertujuan untuk menggabungkan seluruh bangsa ke dalam satu sekolah agar perpaduan kaum dapat dicapai. Namun begitu, sistem vernakular ini tetap diteruskan dengan kewujudan sekolah jenis kebangsaan (SJK).

Sistem pendidikan vernakular mempunyai kelebihan dan keburukannya yang tersendiri. Antara kebaikannya ialah, pelajar mendapat peluang menguasai banyak bahasa. Sebagai contoh, pelajar Melayu yang bersekolah di Sekolah Pendidikan Cina dapat menguasai sekurang-kurangnya dua Bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Cina. Ini akan memberikan kelebihan kepada pelajar tersebut di masa hadapan apabila memasuki alam pekerjaan. Selain itu, ia juga dapat memperkasakan bahasa ibunda kepada penuturnya dan mengelakkan ianya daripada ditelan zaman.

Keburukan pendidikan vernakular pula ialah, ia akan mewujudkan jurang perkauman yang luas di antara kaum. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 60 tahun, masih ada lagi segelintir kumpulan dari setiap kaum yang bersifat rasis disebabkan perpaduan kaum tidak dapat dicapai. Manakan tidak, dari mereka kecil lagi sudah dikelaskan mengikut kaum.

Malah ada juga segelintir individu yang masih tidak fasih berbahasa Kebangsaan walaupun telah mencapai umur dewasa. Hal ini disebabkan penggunaan bahasa ibunda yang berbeza-beza di sekolah pendidikan mengikut kaum masing-masing manakala bahasa kebangsaan disisihkan. Setiap kaum selesa bergaul dalam bahasa ibunda masing-masing menyebabkan timbulnya rasa kekok apabila bergaul dengan kaum lain kerana terpaksa bertutur dalam bahasa lain.

Bahasa yang berbeza ini jugalah kadang-kadang menimbulkan syak wasangka diantara kaum sehingga menyebabkan pergaduhan. Setiap kaum di Malaysia ini sepatutnya disatukan sejak dari kecil lagi agar persefahaman diantara kaum itu dapat dipupuk di awal usia. Apabila setiap kaum saling memahami antara satu sama lain, ianya akan menjadikan negara berada dalam suasana yang aman dan harmoni.

Pada pandangan saya, pendidikan vernakular ini mempunyai lebih keburukan berbanding kebaikan. Kerajaan perlu mengkaji semula sistem ini dan lebih baik untuk menutup sekolah jenis kebangsaan dan menyatukan semua kaum di dalam sekolah kebangsaan. Hak kesamarataan juga perlu diberikan kepada semua kaum agar keadilan dapat dirasai. Untuk mencapai perpaduan kaum, pendidikan merupakan salah satu cara yang terbaik. Bukankah pendidikan merupakan proses utama dalam membentuk kendiri untuk mencapai kehidupan bermasyarakat yang baik dan sempurna?

Kesimpulannya, proses penyatuan dalam sistem pendidikan di Malaysia telah bermula semenjak zaman sebelum merdeka, namun agak sukar untuk direalisasikan. Penyatuan dalam bidang ini akan tercapai sekiranya setiap komuniti etnik memahami sejarah asal di Tanah Melayu dan perkembangan pendidikan di negara ini. Oleh yang demikian, setiap pelusuk masyarakat perlulah menjadi warganegara yang prihatin dalam menangani isu ini. Sebarang perbincangan perlulah diadakan bagi mengelakkan salah faham yang boleh membawa kepada isu perpaduan yang lebih besar.


Wednesday, June 14, 2017

Media massa dan alam sekitar







oleh Muhamad Shahreen Sabarani

Media merupakan perantara terpenting dalam menyampaikan sesuatu maklumat atau mesej, manakala media massa pula adalah alat atau instrumen terpenting yang digunakan untuk menyampaikan maklumat, membina persepsi dan tanggapan dan membentuk sikap masyarakat tentang maklumat yang disampaikan.

Media bukdan sekadar menyampaikan maklumat dan mesej tetapi juga dapat membentuk tasawwur atau pandangan alam manusia.

Media boleh menyebabkan ‘orang yang baik menjadi jahat’ dan juga sebaliknya. Semua ini adalah pengaruh dari media dan rangkain maklumat yang mereka miliki.

Dalam usaha untuk membangun alam ini demi kelangsungan hidup, manusia berkecenderungan untuk menguasai dan mengeksploitasi alam tabii ini secara berlebihan setelah memahami tabii alam dengan menggunakan pemahaman sains dan teknologi yang mereka miliki.

Akibat daripada kerakusan mengeksploitasi alam ini secara berlebihan yang tidak dipandu oleh agama, keseimbangan alam tabii terganggu dan tidak dapat dikekalkan.

Peristiwa pemanasan global, pencemaran alam sekitar, perubahan cuaca, tanah runtuh, banjir kilat, gelombang besar tsunami, hujan asid, gempa bumi dan sebagainya, semua ini menyumbang kepada ketidakstabilan ekosistem yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia.

Media massa juga mesti berusaha untuk memperkenalkan tokoh ilmuwan (mungkin juga penyelidik), pembuat dasar dan mereka yang aktif dalam pertubuhan  bukan  kerajaan  yang  berwibawa  dan  berautoriti  dalam bidang alam sekitar, bukan golongan populis yang lebih mementingkan populariti.

Isu yang berhubung dengan alam sekitar biasanya lebih bersifat tempatan daripada antarabangsa. Dengan demikian media perlu membawa isu tempatan ini ke tengah masyarakat.

Apa yang berlaku di Barat dan di negara maju mungkin boleh dijadikan iktibar tetapi akhirnya nanti masyarakat tempatan seharusnya bertindak untuk menyelesaikan isu alam sekitar di tempat mereka.

Media seharusnya menggunakan bahasa yang mudah dan dapat difahami  oleh  masyarakat  awam. Istilah  saintifik yang  asing  mungkin lebih tepat tetapi sekiranya masyarakat tidak memahaminya, mesej yang ingin disampaikan mungkin tidak dapat difahami.

Dengan demikian media mesti memahami siapakah khalayak yang ditujukan mesej alam sekitar berkenaan. Media juga perlu menerangkan kepada masyarakat tentang polisi dan dasar kerajaan yang ada tentang alam sekitar, menerangkan dasar mekanisme dalam dasar tersebut yang membolehkan isu alam sekitar diketengahkan kepada khalayak ramai dan memberitahu bahawa ada penguatkuasaan yang bersungguh-sungguh daripada pihak yang berwajib.

Pada pandangan saya, pengguna secara personal perlu meningkatkan kesedaran terhadap isu pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Hal ini kerana, segala langkah pragmatik dan efisien yang telah dicorak oleh pihak berkenaan akan menjadi sia-sia. Oleh itu, kesedaran mental masyarakat dapat membantu dalam menjayakan motif pihak berkuasa selari dengan usaha yang telah dilakukan.


Tuesday, June 13, 2017

Kebaikan sukan kepada negara







oleh Wan Mohamad Tasnim Wan Ismail


Artikel yang saya ingin ulaskan adalah berkenaan tentang kebaikan sukan kepada negara yang disunting dari sumber Bernama. Berdasarkan artikel ini, penulis telah menyatakan bahawa sukan merupakan satu lapangan yang merangkumi semua aktiviti kecerdasan dan kemahiran dalam sesuatu permainan.

Kini, sukan boleh dijadikan sebagai hiasan di dada akhbar di samping mengharumkan nama negara apabila seseorang atlet itu berjaya menjuarai sesuatu kejohanan.

Namun, ada segelintir pihak yang kurang memberi perhatian terhadap sukan malahan menganggap ia merupakan sesuatu yang tidak berfaedah kerana banyak menghabiskan wang belanja.

Setelah membaca serta meneliti artikel ini, saya bersetuju dengan tajuk artikel ini. Hal ini dikatakan demikian kerana melalui aktiviti sukan, negara kita boleh melahirkan para atlet yang menjadi tumpuan mata dunia.

Sebagai contoh, kita dapat melihat kejayaan ratu skuash negara, Dato’ Nicol Ann David yang terkenal dengan kejayaannya yang berjaya mempertahankan beberapa kejohanan yang berprestij di samping mempertahankan kedudukannya sebagai pemain nombor satu dunia dalam jangka masa yang panjang.

Di samping itu, kita juga boleh mencontohi usaha serta ketabahan para atlet yang sanggup mengharungi pelbagai ujian untuk mengecapi cita-cita mereka. Misalnya, pengorbanan permata dunia berbasikal iaitu Azizulhasni Awang yang sanggup mengorbankan masanya dengan ahli keluarga serta pengajiannya untuk menjalani latihan insentif di Melbourne, Australia sehingga berjaya membawa pulang pingat gangsa dalam sukan yang begitu berprestij di dunia iaitu Sukan Olimpik di London.

Lebih manis, pengorbanan yang dilakukan oleh beliau juga telah menjadikannya sebagai juara dalam acara berbasikal keirin dunia yang diadakan pada baru-baru ini.

Selain itu, peningkatan ekonomi negara juga semakin bagus telah menyebabkan saya bersetuju dengan artikel ini. Hal ini ini kerana pengaliran wang dari seluruh negara- ke Malaysia menyebabkan pertukaran wang asing yang seterusnya memberi kelebihan kepada kita. Contohnya, negara mampu mengaut keuntungan yang lumayan melalui penganjuran Sukan Komanwel pada tahun 1998.

Konklusinya, sukan bukan sahaja boleh dijadikan sebagai medan untuk berperang dalam mempamerkan skil-skil permainan dan kebolehan individual dalam acara masing-masing tetapi ia juga boleh menjadi platform untuk menghasilkan pelbagai faedah serta manfaatnya. 

Oleh sebab itu, wajarlah semua masyarakat di Malaysia mengambil berat terhadap pembagunan sukan dan perkembangannya agar negara dapat melahirkan atlet yang lebih berkualiti serta menjadi tumpuan di dunia . Oleh itu, sahutlah cabaran dan seruan kerajaan bagi menjayakan dan meningkatkan taraf sukan negara ke tahap yang paling optimum.


Monday, June 12, 2017

Isu pengklonan manusia







oleh Aliiswadi Jumawan


Isu pengklonan merupakan salah satu isu yang begitu giat dibincangkan oleh para saintis Barat ketika ini. Isu ini semakin giat dibicarakan apabila kemajuan dalam bidang sains genetik berjaya dicapai dengan kejayaan ahli embriologi Scotland, Ian Wilmut menghasilkan kambing biri-biri bernama Dolly. Hal ini menyebabkan ahli sains dalam bidang genetik mula terfikir untuk membangunkan pengklonan manusia pula.

Terdapat beberapa kesan positif juga kesan negatif hasil daripada pengklonan manusia ini sekiranya ia berjaya dilaksanakan.Antara kesan positif pengklonan manusia ialah saintis percaya bahawa bidang perubatan akan berkembang kerana melalui proses pengklonan, organ baharu dapat dihasilkan. Organ yang terhasil seterusnya diambil untuk menggantikan organ yang rosak.

Selain itu, pengklonan manusia juga akan turut dapat membantu golongan mandul untuk mendapatkan anak tanpa melalui proses percantuman sperma dan ovum. Di samping itu, klon yang dihasilkan juga akan dijadikan sebagai bahan uji kaji untuk mencari penawar kepada penyakit tertentu.

Namun begitu, terdapat juga beberapa keburukan pengklonan manusia antaranya akan membawa kepada masalah penentuan nasab kerana status sebenar bapa kandung tidak diketahui. Pengklonan manusia juga membawa kepada keruntuhan institusi kekeluargaan kerana peranan lelaki tidak lagi penting dan lebih teruk lagi apabila manusia mula merasa dirinya berkuasa.

Dalam isu pengklonan manusia ini,  saya tidak bersetuju dan berharap pengklonan manusia ini diharamkan selama-lamanya.

Hal ini kerana saya berpendapat bahawa kemudaratan yang dibawa hasil daripada pengklonan manusia ini adalah lebih serius berbanding kelebihan yang ada. Pengklonan manusia hanya akan membuatkan sistem hidup manusia yang sedia ada menjadi kucar-kacir kerana ia membawa kepada masalah seperti kekeliruan identiti kerana nasab yang tidak jelas, populasi yang tidak terkawal, jenayah yang berleluasa dan isu campur tangan kuasa Tuhan akan timbul.

Kajian berkenaan pengklonan manusia juga sepatutnya dihentikan kerana semakin banyak uji kaji yang dilakukan,semakin banyak nyawa dan nasib dipertaruhkan.

Kesimpulannya, kemajuan sains dan teknologi yang sangat pesat pada masa kini memang tidak dapat dinafikan. Kajian-kajian yang giat dilakukan dalam pelbagai bidang telah membuka lembaran baru kemajuan dunia hari ini.

Walaupun sesetengah  golongan berpendapat bahawa pengklonan manusia dapat membantu dalam meningkatkan bidang perubatan namun kesan yang dibawa nyata lagi banyak keburukan berbanding kebaikan. Hal ini kerana pengklonan manusia dianggap suatu yang melanggar tradisi norma masyarakat dan melampaui batas hukum semula jadi dan melanggar etika kerana seolah-olah mengambil alih tugas Tuhan dan menafikan Tuhan sebagai pencipta.

Sunday, June 11, 2017

Peranan ilmu dalam membangun masyarakat bertamadunan








oleh Akhmal Irfan Abd Razak


Artikel yang telah saya pilih ini membincangkan mengenai fungsi ilmu untuk membangkitkan tamadun dalam kemasyarakatan. Artikel ini dikarang pada 28 April 2014 oleh Butik Tudung Labuh Muslimah.

Artikel ini mengandungi maklumat positif yang boleh diambil iktibar. Antara kandungan positif yang diperoleh ialah ilmu dapat dijadikan sebagai asas kemakmuran.

Hal ini kerana dengan adanya ilmu, hidup manusia akan menjadi lebih teratur. Jika kita imbas kembali sejarah Islam di mana, setelah hadirnya Islam yang mementingkan ilmu pengetahuan telah mengubah mentaliti masyarakat Arab ketika itu. Kehidupan mereka semakin aman dan tiada pertelingkahan.

Selain itu, ilmu berfungsi sebagai pembina akidah. Ilmu dapat membina akidah yang betul yang yang dapat menjamin kebahagiaannya di dunia dan akhirat. Contohnya, al-quran dan hadis dijadikan sebagi sumber rujukan yang utama dalam membina akidah yang mantap.

Di samping itu, kebaikannya ialah ilmu juga dijadikan sebagai panduan dalam beramal yang benar.

Sebagai orang Islam, amal ini merupakan tujuan hidup seseorang manusia untuk menyembah tuhannya, tetapi ilmu diletakkan sebagai tunjang dahulu sebelum beramal. Apabila melakukan amal tanpa ilmu, maka ianya akan jadi sia-sia. Oleh itu, ilmu sebagai penyempurna amal seseorang.

Seterusnya, ilmu mampu untuk menjana akhlak yang mulia. Hal ini kerana tahap ilmu yang hakiki akan merasakan bahawa dirinya tidak mempunyai apa-apa. Perasaan ini akan membuatkan seseorang itu akan merendah diri dengan ilmunya lalu akan menaikkan nilai adabnya.

Saya bersetuju dengan isi kandungan artikel ini kerana peranan ilmu terlalu banyak dapat mempengaruhi sesuatu pihak. Kebanyakan ilmu sama ada ilmu dunia dan akhirat datang daripada tamadun Islam. Hal ini dapat dilihat daripada Kerajaan Abbasiyah.

Mereka digelar zaman keemasan Tamadun Islam kerana perkembangan ilmu pengetahuan sangat memberangsangkan pada zaman itu. Ilmu-ilmu yang dijumpai oleh tokoh-tokoh terkenal dapat memudahkan masyarakat pada zaman itu dan juga sekarang. Oleh itu, pandangan yang diutarakan oleh penulis artikel ini sangat saya setuju.

Kesimpulannya, ilmu merupakan perkara yang amat penting kerana dunia dan akhirat memerlukan ilmu untuk berjaya. Mahasiswa pada zaman sekarang haruslah memperjuangkan ilmu dan teknologi yang dihasilkan oleh tokoh terdahulu supaya ilmu itu tidak ditelan zaman.

Kita hendaklah menjaga warisan dari tokoh terdahulu dan tidak sewenang-wenangnya membiarkan ilmu mereka ditiru oleh orang barat yang mengakui bahawa ilmu dijumpai oleh mereka. Kita juga mestilah bersatu di bawah satu matlamat bagi mendaulatkan Islam di bawah satu panji berlatarbelakangkan konsep Islamiah dalam kehidupan. Oleh itu, peranan ilmu inilah yang akan menjadi pelita sebagai garis panduan kita menuju Allah swt.

Saturday, June 10, 2017

Kahwin di usia muda







oleh Wan Asyraf Syazal Bin Wan Azmi Shamri


Fenomena kahwin awal bukanlah sesuatu yang janggal di negara kita. Itulah yang diperkatakan dalam artikel yang saya kaji.

Ia berlaku sejak zaman nenek moyang kita lagi. Mereka berkahwin pada usia muda, iaitu pada umur bawah 18 tahun. Pada zaman pasca moden ini juga masih terdapat golongan yang berkahwin awal.

Ada yang berkahwin selepas habis zaman sekolah. Pasangan yang berkahwin pada usia dari linkungan 20-25 tahun juga boleh dikategorikan sebagai kahwin awal. Manfaat berkahwin pada usia awal ini ialah dapat mengurangkan kes-kes pembuangan bayi, anak luar nikah dan banyak lagi.

Namun, kahwin awal ini juga dapat mendatangkan keburukan iaitu pasangan menjadi bosan antara satu sama lain.

Pada pendapat saya, kahwin awal ini banyak mendatangkan kebaikan kepada pasangan tersebut kerana mereka dapat mengelak daripada melakukan seks bebas.

Bagi golongan remaja yang sudah melepasi 18 tahun, kebiasaannya nafsu mereka mudah terangsang dan membuak-buak. Apabila berlaku pergaulan lelaki dan perempuan, perasaan sayang dan nafsu akan mula timbul.

Selain itu, mereka akan berubah menjadi lebih bertanggungjawab. Jika ketika bujang dahulu, segala usaha dan hidup terarah kepada kita sahaja.

Bagi keluarga yang berada, mungkin semuanya telah disediakan. Apabila sudah berkahwin, kita akan berkongsi hidup dengan pasangan kita dan banyak cabaran seperti untuk memberi nafkah kepada isteri dan menyara keluarga.

Apabila berlaku situasi ini, lita dan pasangan akan menjadi lebih bertanggungjawab dan berusaha keras untuk memberi yang terbaik kepada yang tersayang.

Akhir sekali, prestasi cemerlang selepas berkahwin dan mendapat semangat baru untuk belajar. Tidak dapat dinafikan sudah ramai yang berkahwin semasa belajar dan mereka memperolehi keputusan yang cemerlang dalam pelajaran dan peperiksaan.

Dengan berkahwin, menjadikan seseorang itu lebih tenang dan matlamat hidup mereka lebih jelas. Mereka lebih fokus dalam bidang pelajaran dan sokongan dari pasangan membuatkan mereka lebih bersemangat.

Kesimpulannya, masyarakat perlu sedar bahawa kahwin awal ini banyak mendatangkan kebaikan daripada keburukan. Banyak perkara buruk dapat dielakkan apabila seseorang itu kahwin awal.

Ibu bapa juga perlu memberi sokongan dan dorongan kepada anak-anak mereka agar tidak terjebak dalam gejala sosial. Sebelum nasi menjadi bubur, ibu bapa perlu fikir dengan sebaiknya demi masa depan anak-anak mereka.


Friday, June 09, 2017

Perkahwinan campur







oleh Muhamad Fahmi Jamil


Berdasarkan artikel ini, salah satu kebaikan perkahwinan campur ialah dapat mengukuhkan ajaran Islam.

Sebagai contohnya, apabila anda berkahwin dengan pasangan yang baru memeluk Islam (mualaf), ia akan membuatkan bilangan masyarakat Islam di dunia bertambah banyak.

Ia juga mungkin akan menarik keluarga pada pasangan yang belum memeluk Islam tadi untuk memeluk Islam kerana terpaut dengan keindahan Islam.

Namun, salah satu keburukannya ialah kadang-kadang terjadi konflik sekiranya pasangan tidak dapat mengadaptasi perbezaan budaya, di tambah pula dengan tiadanya tolak ansur antara kedua-dua belah pihak.

Pegangan agama juga mudah goyah disebabkan terikut-ikut budaya asing yang lebih terbuka.

Setelah menelaah kemaslahatan dan implikasi perkahwinan campur ini, saya berasa tidak setuju untuk melaksanakan perkahwinan ini kerana akibat buruknya lebih banyak daripada kepentingannya.

Salah satu daripada kesan buruk perkahwinan campur ialah masalah hak penjagaan anak-anak (hadanah). Menurut Seksyen 82, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, ibu adalah orang yang paling berhak menjaga anak kecilnya semasa masih di dalam perkahwinan dan selepas perceraian.

Namun persoalannya, adakah si suami rela meninggalkan anaknya bersama ibu mereka di luar negara sedangkan si suami tidak begitu yakin dengan akidah bekas isterinya?

Si isteri mungkin akan kembali kepada agama asal dan anak-anak juga mungkin terikut-ikut dengan fahaman ibu mereka dan di atas kebimbangan ini si bapa sanggup 'melarikan' atau 'menculik' anak sendiri untuk dibawa pulang ke tanah air.

Jika si isteri telah murtad, sememangnya jelas bahawa tindakan suami adalah tepat tetapi itu pun selepas mahkamah memastikan bahawa segala bukti tentang dakwaan murtad adalah benar. Ini berdasarkan kepada Seksyen 83 yang menyebut bahawa hak penjagaan seorang wanita akan hilang apabila wanita itu murtad dan kembali kepada agama asal mereka sama ada Hindu, Buddha, Kristian atau lain.

Sebagai kesimpulannya, perkahwinan campur akan menjadi satu masalah yang amat rumit jika isteri atau suami mualaf serta anak-anak tidak dididik dengan ajaran agama dengan baik.

Oleh itu, persediaan rohani dan jasmani perlu begitu kukuh jika benar-benar ingin untuk berkahwin campur.

Saya juga berpendapat bahawa perkahwinan seperti ini jika boleh, hal ini hendaklah dielakkan demi menjaga keharmonian hidup kita, anak-anak, keluarga, masyarakat bahkan negara. Hal ini kerana masih ramai wanita tempatan yang mampu memberikan detik kebahagiaan kepada kita.

Thursday, June 08, 2017

Dadah tetap musuh utama negara







oleh Muhammad Rizman Che Razali


Saya bersetuju dengan artikel ini yang menganggap penyalahgunaan dadah sebagai musuh utama negara yang sukar untuk dibanteras. Penyalahgunaan dadah merupakan gejala yang boleh memberi impak negatif kepada penagih. Penagihan dadah akan membawa penagih kepada risiko dijangkiti HIV/AIDS, hepatitis dan sawan.

Hal demikian kerana, mereka menggunakan alat suntikan yang dikongsi dengan penagih lain. Bagi ibu yang mengandung akan membawa risiko seperti keguguran, kandungan yang tidak stabil, cacat atau mati.

Penyalahgunaan dadah merupakan masalah sejagat dan harus dibendung dengan segera terutamanya dalam kalangan belia.

Golongan yang dianggap sebagai pemimpin pada masa depan lebih banyak cenderung kepada gejala ini. Masalah ini jika tidak dibendung akan menyebabkan kepimpinan negara akan mundur.

Telah timbul pelbagai persepsi bahawa negara ini telah gagal menguruskan masalah penagihan dadah akibat peningkatan jumlah penagih dari tahun ke tahun. Oleh itu hasrat kerajaan untuk menilai semula program-program pemulihan sedia ada amat dialu-alukan.

Penyalahgunaan dadah ini perlulah dibanteras untuk melahirkan suasana yang aman kepada masyarakat.

Antara usaha yang boleh dilakukan untuk membanteras penyalahgunaan dadah ialah ibu bapa harus menerangkan secara terperinci bahaya penyalahgunaan ubat-ubatan, kepentingan dan cara pengambilan yang betul.

Selain itu, media massa juga harus membanyakkan penyiaran berita-berita dan cerita-cerita yang lebih membawa keinsafan dan iktibar kepada masyarakat mengenai kesan-kesan dadah terhadap kehidupan seharian.

Seterusnya, kerajaan melalui badan-badan dan sektor-sektor tertentu, harus bijak membenteras gejala dadah dengan mengadakan program-program yang dapat menarik minat para belia untuk mengisi masa terluang bagi mengelakkan mereka terjebak dengan masalah dadah. Misalnya, Program Rakan Muda yang diselengarakan oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Akhir sekali, kempen kesedaran haruslah diadakan oleh pihak kerajaan dan swasta dengan melibatkan kumpulan remaja yang sering menjadi sasaran mudah para penjual dadah. Oleh itu, semua pihak yang terlibat perlulah memainkan peranan masing-masing supaya dapat menghapuskan penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat kini.

Wednesday, June 07, 2017

Ajaran sesat







oleh Mohamed Alif Najmi Ikmil Hazri


Ajaran sesat ialah ajaran atau amalan yang didakwa sebagai ajaran Islam sedangkan pada hakikatnya bercanggah dengan al-quran dan al-sunnah.

Di Malaysia, ajaran sesat bukanlah suatu perkara yang baru. Bahkan dipercayai telah mula berakar sejak abad ke-19 melalui Ajaran Taslim oleh Mohammad Shafie di Kampung Seronok, Seberang Perai, Pulau Pinang.

Di Selangor, ajaran sesat pertama ialah Ajaran Ahmadiah atau Qadiani yang bertapak di Jeram pada 1930-an. Kebelakangan ini nama-nama ajaran sesat seperti Ayah Pin, Haji Kahar Rasul Melayu, Islam Jamaah dan ajaran Qadiani banyak menghiasi berita-berita berkenaan ajaran sesat. 

Antara punca seseorang individu itu terlibat dengan ajaran sesat ialah jahil ilmu agama, akidah rapuh dan lain-lain lagi.

Antara kaedah yang boleh diambil untuk mengatasi terus berkembangnya ajaran-ajaran sesat ialah meningkatkan kefahaman terhadap ajaran Islam. Tidak kira sama ada ajaran sesat berbentuk amalan mahupun pemikiran, kefahaman seseorang Muslim terhadap pegangan agamanya perlu diperteguh.

Soal akidah khususnya perlu dipelajari di samping disiplin ilmu yang lain juga perlu diperkemas.

Selain itu, membaiki sistem penguatkuasaan. Banyak komen dibuat terhadap sistem penguatkuasaan pihak berkuasa dan agama dalam membanteras ajaran sesat.

Antaranya menyatakan hukuman yang terlalu ringan berbanding zaman Khulafa’ Rasyidin yang sudah mengenakan hukuman bunuh terhadap individu yang mengamalkan ajaran sesat.

Saya bersetuju dengan cadangan tersebut dan ingin menyatakan pandangan saya sendiri iaitu pihak berkuasa agama Islam negeri dan Jakim hendaklah bekerjasama erat melalui pelbagai program yang bertujuan mengembalikan mereka kepada akidah seperti proses pemulihan akidah, program-program penjelasan akidah dan penerbitan bahan penerbitan.


Tuesday, June 06, 2017

Sihat sebelum sakit







"Melaksanakan kerja tidak cukup dengan semangat tetapi perlukan kekuatan dalaman. Apabila tahap kesihatan mula berkurangan, kekuatan fizikal dan kekuatan jiwa amat berbeza. Kesakitan jiwa lebih ketara kerana ia tidak nampak".

Inilah luahan hati seorang rakan saya selepas mengalami serangan angin ahmar pada awal tahun ini.

Beliau merupakan seorang usahawan yang aktif, kerap memberi pandangan dan mengambil berat perkembangan rakan-rakan yang lain. Namun, kehidupannya mula berubah selepas terlantar di hospital.

Keadaannya lebih serius apabila tidak dapat mengingati nama rakan-rakannya. Berat badannya juga sudah turun dan langkah kaki semakin perlahan. Suatu ketika dulu beliau suka bertanya khabar dan berjenaka untuk menghidupakan suasana perbincangan, namun keadaannya sudah berubah.

Dalam hidup kita, usia yang meningkat saban tahun perlukan perhatian yang lebih banyak terhadap keadaan kesihatan. Ketika usia mencecah 40 tahun, di sinilah bermulanya era pelbagai jenis penyakit.

Jika masa mudanya dipenuhi dengan aktiviti kecergasan, keadaan kesihatan mungkin lebih baik apabila melangkah usia 40-an. Jika sebaliknya, mungkin berulang-alik ke hospital.

Amat penting bagi mereka yang berumur 40 tahun ke atas membuat pemeriksaan menyeluruh ke atas keadaan jantung, buah pinggang, hati dan darah. Penyakit yang berkait dengan jantung kerap kali menyebabkan ramai orang mati tiba-tiba. Jantung yang sihat perlukan penjagaan yang menyeluruh dari segi pemakanan, aktiviti fizikal dan kesihatan mental yang baik.

Menjaga kesihatan bermula dengan kesedaran untuk hidup lebih lama dan bebas daripada penyakit kronik. Melibatkan diri dalam mana-mana aktiviti sukan dapat mengekalkan tahap kecergasan jika dilakukan secara tetap dan berkala.

Katakan permainan yang menarik adalah badminton. Jika dilakukan secara tetap seminggu tiga kali, tahap kecergasan diri akan kekal sehingga usia mencecah 50 tahun.

Kesihatan yang baik dapat dilihat apabila bermain badminton dalam tempoh yang lama, tidak tercungap-cungap semasa bermain set pertama dan berupaya memukul bulu tangkis dengan kemas dan berkesan.

Tidak syak lagi, memiliki kesihatan yang baik adalah emas kehidupan. Marilah kita tingkatkan azam dan tekad untuk mengekalkan tahap kecergasan diri dan bebas daripada penyakit kronik. Teruskan usaha dan pelaburan dalam meningkatkan kesedaran diri untuk memiliki sebuah kehidupan yang sejahtera dan selesa.

Kesihatan yang baik bermula dari diri kita sendiri.


Sunday, June 04, 2017

36 vs 1







Kematian kadet laut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain yang juga pelajar tahun akhir menimbulkan pelbagai andaian terhadap tahap keselamatan pelajar di universiti.

Penderaan yang berlaku akibat kehilangan komputer riba tidak seharusnya menyebabkan kematian kerana masih ada kaedah lain untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Laporan media menyebut Zulfarhan telah didera secara ganas dengan seterika menyebabkan 80 peratus kulit badannya melecur atau cedera. Kita tidak dapat bayangkan bagaimana 36 pelajar tergamak mendera mangsa. Jumlah suspek yang ramai ini menggambbarkan betapa kehilangan komputer riba tersebut sangat serius.

Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, imej UPNM telah berubah. Sebelum ini kita berbangga dengan kewujudan institusi itu sebagai tempat melatih pelajar dalam pelbagai disiplin ilmu dan ketenteraan, kematian Zulfarhan membuatkan kita berfikir tentang tahap disiplin pelajar, kaedah universiti menyelesaikan kes pelajar dan fungsi bahagian keselamatan dalam memantau aktiviti pelajar.

Kita pernah digemparkan dengan beberapa insiden penderaan di sekolah menengah. Sekitar tahun 1990-an dulu, seorang pelajar sekolah teknik di Kuala Lumpur juga meninggal dunia kerana didera oleh rakan-rakan sekolah menyebabkan Kementerian Pendidikan Malaysia ketika itu membuat rombakan besar-besaran terhadap disiplin pelajar sekolah. Kes yang sama berlaku di sebuah sekolah agama di Negeri Sembilan.

Kes dera atau buli yang berlaku dan ada penglibatan pihak polis menyebabkan suspek dihukum sepadan dengan perbuatan mereka.

Pihak yang paling tertekan dalam kes kematian Zulfarhan adalah keluarganya sendiri. Ibu bapanya tertanya-tanya apakah yang berlaku dan mengambil masa yang panjang untuk melupai kisah anak mereka.

Rakan-rakan juga terkesan dengan kematian Zulfarhan. Tidak ada lagi gurau dan tawa.

Bilangan suspek yang terkait dalam kes ini sangat ramai. Kita yakin pihak polis dapat melaksanakan proses soal siasat dengan adil dan profesional untuk mencari punca dan dalang utama yang mendera mangsa.

Pendera yang tidak berhati perut wajar dibawa ke muka pengadilan dan dihukum. Kita tidak mahu lebih ramai pelajar yang menjadi mangsa atau pelajar yang takut bertindak sendirian kerana tertekan. UPNM juga wajar memberi kerjasama dalam siasatan ini supaya langkah-langkah penambahbaikan terhadap pemantauan pelajar dapat diperkemaskan.

Universiti adalah tempat idaman setiap pelajar untuk menjejakkan kaki mereka. Pendidikan pula menjadi ruang untuk mereka mengubah kehidupan keluarga. Jika peluang belajar di universiti tidak berakhir dengan graduasi, masa hadapan pelajar berada dalam kekaburan.

Saturday, June 03, 2017

Pembangunan sukan paralimpik di Malaysia








Pengulas: Shafina Ifia Yusof


Berdasarkan artikel yang ditulis oleh Jay Fresley John di sinisalah satu kebaikan sukan paralimpik di Malaysia ialah mmberi peluang kepada orang kurang upaya (OKU) untuk menonjolkan bakat dalam sukan.

Hal ini kerana, kebanyakan OKU tidak diberi peluang untuk mempersembahkan bakat mereka kerana orang ramai menganggap mereka adalah golongan yang tidak mampu menguruskan diri dan tidak mempunyai bakat.

Namun, kekurangan jurulatih bertauliah untuk atlet paralimpik juga merupakan satu cabaran bagi mereka kerana tidak mendapat latihan yang cukup dan teratur sebelum menyertai sesuatu kejohanan sukan. Jadi, adalah cabaran bagi para atlet paralimpik untuk berlatih dengan cukup walaupun kekurangan jurulatih.

Setelah menelaah kemaslahatan dan implikasi sukan paralimpik di Malaysia ini, saya bersetuju supaya sukan paralimpik terus diadakan kerana kepentingannya lebih baik daripada keburukan.

Salah satu kebaikannya ialah dapat memupuk semangat kewarganegaraan kerana atletnya terdiri daripada pelbagai bangsa.

Selain itu, keyakinan diri dalam kalangan atlet OKU dapat ditingkatkan kerana mereeka akan merasakan diri mereka bermakna dan istimewa. Seterusnya, pendidikan secara percuma kepada OKU yang terlibat dalam sukan juga diberikan sebagai tanda penghargaan.

Kesimpulanya, atlet paralimpik juga mampu mencapai kejayaan dalam sukan walaupun tidak sempurna fizikal malah lebih berjaya daripada atlet-atlet normal yang lain. Hal ini membuktikan bahawa atlet paralimpik juga mampu mengangkat dan mengaharumkan nama negara dalam bidang sukan di peringkat antarabangsa.

Oleh itu, kerajaan wajar memberikan peruntukan kewangan untuk membangunkan lagi industri sukan bagi golongan OKU.

Selain itu, Majlis Paralimpik Malaysia juga harus meningkatkan usaha untuk menarik minat golongan OKU melibatkan diri dalam sukan serta membuka ruang dan peluang yang luas untuk golongan ini mengasah bakat mereka dalam bidang sukan.

Sementara itu, atlet paralimpik juga harus mempunyai semangat dan keyakinan diri yang tinggi untuk menangkis pandangan negatif masyarakat terhadap mereka. Akhir sekali, banyak lagi usaha yang boleh dilakukan untuk membangunkan sukan golongan OKU di negara ini. Usaha-usaha yang telah dilakukan sebelum ini hendaklah diteruskan untuk kesinambungan usaha yang bakal dilakukan.

Masyarakat juga harus sedar dan peka terhadap kemampuan dan bakat yang dimiliki oleh golongan OKU serta tidak memandang rendah kebolehan mereka sebaliknya memberikan sokongan, galakan dan bantuan untuk membaiki kehidupan mereka.

Friday, June 02, 2017

Institusi politik dan sistem pemerintahan Islam







Pengulas: Muhammad Aiman Hakim Khaizuran


Pada pandangan saya, artikel sangat menarik kerana kita dapat menyentuh mengenai salasilah bagaimana institusi politik dan sistem pemerintahan Islam dibentuk.

Sebelum itu, saya akan terangkan bagaimana asas pemerintahan Islam dibentuk.

Sistem ini dibentuk melalui Institusi khilafah. Ia membawa maksud pemerintahan dan pentadbiran yang menggantikan Rasulullah saw dalam melaksanakan tanggungjawab agama, menyeru kepada kebaikan dan melaksanakan syariah yang diperintahkan oleh Allah swt. Orang yang menduduki institusi ini dipanggil khalifah yang bermaksud pengganti.

Saya setuju dengan artikel ini kerana dengan adanya sistem sebegini, keadaan politik negara dan pemerintahan sesebuah negara akan terjamin dan kekal harmoni. Malah, unsur tersebut berdasarkan al-quran dan sunnah yang mengajar kita bagaimana untuk hidup di atas muka bumi.

Ia juga turut meletakkan agama sebagai tunjang bagi semua perkara sebelum meneruskan sesuatu perkara. Contoh, kita dapat lihat, kerajaan Islam suatu ketika dahulu pernah mempengaruhi dunia.

Cadangan saya untuk mengekalkan sistem pemerintahan ini dengan meningkatkan ketinggian nilai rohani dan akhlak mulia dalam diri pemimpin negara.

Keunggulan kerohanian nilai rohani dan akhlak dapat mengembalikan kehormatan umat Islam. Malah, dapat mengembalikan semangat memajukan disiplin ilmu dan mendominasi tamadun dunia.

Seterusnya, pemimpin perlu meletakkan agama sebagai asas kenegaraan. Antaranya dengan mewujudkan kesatuan ummah, menghapuskan permusuhan dan menghidupkan semangat kerukunan dalam masyarakat.


Thursday, June 01, 2017

Perpaduan kaum membentuk keharmonian negara







Pengulas: Mohamad Ikhmal Zulkifli


Malaysia merupakan sebuah negara yang begitu unik kerana terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik seperti kaum Melayu,Cina dan India.Gabungan tiga kaum terbesar ini dapat menjadikan Malaysia sebuah negara yang bertoleransi dan bersatu padu dalam pembinaan negara maju.

Namun begitu, terdapat pelbagai kesan positif dan kesan negatif berdasarkan perpaduan dalam keharmoniaan negara kita.

Antara kesan positifnya ialah masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Keadaan yang aman dan damai ini membolehkan aktiviti harian berjalan dengan lebih lancar dan teratur daripada permusuhan antara kaum.

Selain itu, pihak kerajaan dapat memajukan sektor pelancongan negara. Hal ini kerana negara yang bersatu padu dapat menarik minat lebih ramai pelancong asing untuk datang ke Malaysia.

Seterusnya, perpaduan kaum juga dapat menaikkan nama dan imej negara di mata dunia.Hal ni dapat membuktikan bahawa pemimpin Malaysia dapat memerintah rakyatdengan lebih baik.

Seterusnya, antara kesan negatifnya pula ialah masyarakat akan saling bermusuhan antara satu sama lain.Hal ini kerana kesilapan dan persalahfahaman yang kecil akan semakin berleluasa jika tidak diberhentikan dengan lebih awal.

Dalam masa yang sama, jurang sosial antara kaum juga akan mempengaruhi masyarakat untuk saling berpecah-belah.Perkara ini turut menjejaskan hubungan baik kaum-kaum yang rapat untuk bersatupadu bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni.

Di samping itu, perkembangan negara akan semakin merosot dari semasa ke semasa. Akhirnya, pelancong asing juga dapat menilai rakyat Malaysia mengenai pergaulan antara kaum sama ada lebih mesra ataupun sebaliknya.

Secara dasarnya saya bersetuju mengenai tajuk artikel di atas.Hal ini kerana dengan adanya pergaulan dan permuafakat yang mantap dapat mengukuhkan hubungan masyarakat yang berbilang kaum.

Selain itu, kerjasama antara kaum juga dapat menaikkan dan memajukan nama negara di seantero dunia.Hal ini dapat memberikan contoh kepada negara luar untuk mencontohi dan mengamalkan batas pergaulan sesama masyarakat. Secara tidak langsung, mereka akan menjadikan Malaysia sebagai satu contoh bagi mewujudkan perpaduan di antara masyarakat.

Di samping itu, dengan adanya gabungan tiga kaum d Malaysia turut dapat memajukan bidang politik di negara ini. Keadaan mampu mengukuhkan hubungan diplomatik bersama negara-negara serantau yang lain. Oleh itu, permuafakatan antara kaum amat penting bagi menjamin kesejahteraan negara.