Wednesday, February 19, 2020

Sambutan kemerdekaan Brunei ke-36





Di Brunei, setiap kali sambutan ulang tahun kemerdekaan tiba, semua premis perniagaan diminta memasang kain rentang yang menzahirkan rasa syukur.

Tahun ini menyaksikan kain rentang yang pelbagai warna dipasang di bahagian hadapan premis. Antara warna yang disediakan ialah hijau, merah dan biru.

Sempena Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-36 pada tahun 2020 ini, upacara menaikkan bendera besar dilakukan di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Acara-acara lain termasuk Larian Hari Kebangsaan 2020 (29 Mac 2020), Majlis Khatam Al-Quran 36 kali (5 Mac 2020), Pertandingan Bicara Berirama (9 April 2020), Kejohanan Gasing Pangkah Terbuka (13-15 Mac 2020), Pesta Buku Brunei (28 Februari - 8 Mac 2020) dan Program Belia Cinta Tanah Air kali Ke-15 (11-25 Februari 2020).

Tema sambutan adalah 'Menjayakan Wawasan Negara'.


Friday, February 14, 2020

Pelihara keturunan dan masyarakat






Keputusan Mahkamah Persekutuan Malaysia yang menolak permohonan seorang kanak-kanak Melayu Islam untuk meletakkan ‘bin’ kepada bapanya menerima perhatian masyarakat. Keputusan ini mengesahkan bahawa anak tidak sah taraf tidak boleh dibinkan kepada bapa biologi, seiring dengan keputusan jawatankuasa fatwa negeri-negeri yang telah menetapkan keputusan yang sama.

Antaranya selari dengan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada tahun 1981 yang memutuskan anak zina atau anak luar nikah hendaklah dibinkan kepada Abdulah atau nama-nama Allah.

Di bawah undang-undang syariah, anak tidak sah taraf adalah kanak-kanak yang lahir kurang daripada enam bulan selepas pernikahan ibu dan bapa.

Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan mentakrifkan anak tidak sah taraf atau anak luar nikah sebagai anak yang lahir atau terbentuk sebelum diadakan perkahwinan yang sah. Jika anak tidak sah taraf itu perempuan dan mahu berkahwin di kemudian hari, maka walinya adalah wali hakim.

Berdasarkan perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara, antara tahun 2010 hingga 2018 terdapat 172,811 orang anak tidak sah taraf beragama Islam didaftarkan. Daripada jumlah ini, ia dibahagikan kepada anak yang lahir dalam ikatan sah tetapi gagal didaftarkan dan selebihnya adalah anak zina.

Hal ini kerana anak tidak sah taraf dinasabkan kepada ibunya, tidak kepada lelaki yang menjadi bapa biologinya.

Jabatan Mufti Negeri Sembilan menjelaskan bahawa semua nafkah dan saraan hidup mereka menjadi tanggungjawab ibu.

Banyak masalah yang akan timbul apabila anak tidak sah taraf ini dibinkan kepada bapa biologi seperti kecelaruan keturunan, tuntutan hak dalam pewarisan, perpecahan keluarga, stres, bergaduh, penyebaran penyakit dan perlakuan tidak bermoral.

Pengkaji-pengkaji dalam isu ini memberikan pelbagai faktor yang menyebabkan bilangan anak tidak sah taraf ini semakin meningkat dan memberikan kesan kepada perundangan.

Adibah dan Siti Zubaidah (2017) menyatakan kelahiran anak tidak sah taraf menunjukkan bahawa Malaysia sedang mengalami krisis akhlak yang sangat serius dan perlu dtangani. Kelahiran anak tidak sah taraf merupakan kesalahan yang paling serius berhubung akhlak kerana ia telah merosakkan nasab dan bertentangan dengan ajaran Islam dalam proses menyambungkan zuriat.

Mohd Salleh et al., (2019) melihat peningkatan trend penzinaan dalam masyarakat mampu menggugat kestabilan keluarga. Tanpa perkahwinan, keturunan bakal disabotal, diketepikan dan tidak dipedulikan.

Biarpun banyak kajian yang dikendalikan untuk mengetahui sebab-musabab kepada keruntuhan institusi keluarga dan pergaulan bebas, tidak banyak kajian yang diketengahkan untuk mengetahui bagaimana tindak balas masyarakat terhadap isu anak tidak sah taraf ini.

Kajian Ahmad Munawar et al., (2018) yang membuat kajian persepsi terhadap anak tidak sah taraf di Hulu Langat, Selangor menunjukkan keluarga dan masyarakat yang dikaji sedia memainkan peranan untuk menghilangkan stigma negatif terhadap anak tidak sah taraf.

Persoalan anak tidak sah taraf sedikit terungkai dengan keputusan yang dicapai ini. Ia memberi mesej kepada ibu bapa untuk menjaga akhlak anak-anak supaya berada dalam landasan hidup beragama. Pendidikan agama yang cukup dapat menjadi benteng kepada masalah sosial, pergaulan bebas dan akhlak buruk yang boeh disebarkan melalui rakan sebaya atau media sosial.


Rujukan

Adibah Bahori dan Siti Zubaidah Ismail. (2017). Kehamilan luar nikah dari perspektif undang-undang jenayah syariah di Malaysia dan pengawalannya melalui program pencegahan. Jurnal Undang-undang dan Masyarakat, Isu Khas.

Mohd Salleh, M.M., Ahmad, N.M. dan Zahalan, N.M.H. (2019). Pengurusan dan perlindungan anak tak sah taraf melalui ‘Baby Hatch’: Satu penilaian daripada perspektif maqasid syariah dan undang-undang Malaysia. Al-’Abqari: Journal of Islamic Social Sciences and Humanities. 13, (Feb. 2019), 87-102.

Ahmad Munawar Ismail danN. A. I. (2018). Perception of muslim community in Hulu Langat pertaining to illegitimate child. Malaysian Journal of Islamic Studies (MJIS), 2(2), 1-13.

Saturday, February 08, 2020

Ambuyat makanan popular







Makanan popular di Brunei yang mesti dicuba adalah ambuyat. Terdapat set pilihan yang sesuai untuk dua atau tiga orang yang berharga antara B$16 hingga B$22 mengikut cita rasa masing-masing.

Menu utama ambuyat adalah sagu, ikan atau daging, sayur, sambal binjai dan ulam-ulaman.

Jika dilihat pada jenis hidangan, ambuyat lebih seimbang dari segi pengambilan nutrisi. Ia mengandungi karbohidrat, protein dan pelbagai zat makanan khususnya yang terdapat dalam ulam-ulaman yang diambil secara mentah.

Cara makannya juga perlukan kemahiran.

Sagu dimakan menggunakan penyepit buluh, diguntil dan digulung lalu diangkat supaya cepat putus. Kemudian dicicah dengan sambal binjai.

Masakan ikan atau daging boleh dimakan begitu saja atau diceduk ke dalam pinggan dan dicicah bersama sagu.

Ulam-ulaman boleh dicicah dengan sambal binjai atau dimakan terus.

Antara restoran yang menyediakan ambuyat adalah rangkaian Restoran Aminah Arif di Batu Bersurat, Salambigar dan Sengkurong serta Restoran Pajo di Kampung Pintu Malim.

Mereka yang kali pertama mencuba ambuyat akan berasa susah menggunakan penyepit namun boleh menggunakan sudu dan garfu sebagai pilihan. 

Selain itu, mereka juga mengambil masa untuk menghabiskan semua makanan kerana banyak masa digunakan untuk mengguntil dan menggulung sagu sambil bercerita mengenai keunikan ambuyat.