Thursday, February 28, 2008

Separuh penduduk dunia akan mendiami bandar pada akhir 2008

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengunjurkan separuh daripada penduduk dunia pada hari ini akan mendiami kawasan bandar buat kali pertama dalam sejarah menjelang akhir 2008 ini.

Pada tahun 2050, terdapat 6.4 bilion orang yang tinggal di bandar, meningkat dari 3.3 bilion sekarang. Populasi penduduk dunia dijangka bertambah pada 9.2 bilion pada 2050 daripada jumlah sekarang iaitu 6.7 bilion.

Wilayah yang paling membangun, Eropah, Amerika Utara dan Oceania – lebih ramai penduduk menetap di bandar berbanding Amerika Latin dan Carribean. Benua Afrika dan Asia berkecuali tetapi memiliki sebahagian besar penduduk dunia.

Dengan proses perbandaran yang semakin pesat, penduduk luar bandar diramal berkurangan dalam masa sepuluh tahun di mana 2.8 bilion orang pada 2050 berbanding 3.4 bilion pada 2007.

Sesetengah negara seperti India, dua buah bandar raya metropolitan iaitu Mumbai dan Delhi dengan 19 juta penduduk, merancang untuk memperlahankan perbandaran dengan menggalakkan pembangunan di kawasan luar bandar.

Perbandaran menandakan ekonomi yang sihat dan cergas. Kerajaan di negara-negara membangun telah dimaklumkan bahawa pembangunan bandar adalah petanda ekonomi yang dinamik.

Bagi bandar raya besar yang digelar "bandar mega" iaitu yang mempunyai jumlah penduduk 10 juta atau lebih pada 2025 sebenarnya berhadapan dengan banyak cabaran.

Cabaran besar ialah keperluan perkhidmatan asas seperti air dan elektrik yang mana akan menentukan penjagaan kesihatan penduduk.

Asia dan Afrika masih lagi banyak kawasan luar bandar tetapi dalam masa terdekat akan menyaksikan ledakan populasi bandar bagi tempoh beberapa dekad akan datang. Separuh penduduk Afrika akan tinggal di bandar di antara tahun 2045 dan 2050 manakala Asia dari tahun 2020 hingga 2025.

Sekitar 40 peratus penduduk China tinggal di bandar dan dijangka meningkat 70 peratus pada 2050. Kemunculan Shenzhen dengan 10.2 bilion penduduk akan merancakkan ekonomi China dan Hong Kong.

India hanya mencatatkan 29 peratus penduduk yang tinggal di bandar tetapi dijangka meningkat kepada 55 peratus. Bagaimanapun proses perbandaran yang perlahan di India menyebabkannya kurang maju berbanding China.

Sebaliknya dua bandar mega akan muncul dan bersama Mumbai dan Delhi pad 2025 iaitu Kolkata dan Chennai dengan penduduk lebih 10 juta orang.

Pada 2025, terdapat 27 bandar mega dan Eropah hanya menambah satu bandar raya saja itu Paris. Tokyo dijangka kekal menjadi bandar raya popular dengan penduduk 35.7 juta orang sekarang meningkat kepada 36.4 juta pada 2025. Afrika yang hanya ada sebuah bandar raya mega iaitu Kaherah, akan turut dimasukkan ke dalam senarai bersama Kinshasa di Congo dan Lagos, Nigeria.

Wednesday, February 27, 2008

Memilih manifesto yang menguntungkan rakyat

Barisan Nasional baru saja melancarkan manifesto untuk Pilihan Raya Umum ke 12 dengan tema Selamat, Aman dan Makmur. PAS, PKR dan DAP juga telah melancarkan manifesto parti masing-masing.

Manifesto PAS yang bertunjangkan "Negara Kebajikan" memberi peluang yang cukup banyak kepada pemimpin dan rakyat Malaysia untuk mendapat perkhidmatan dan berasa lebih dekat dengan Tuhan. Kritikan banyak diberikan kepada kaedah parti itu hendak melaksanakan janji-janji yang terkandung di dalam manifesto berkenaan. Naib Canselor UKM ketika diwawancara secara langsung selepas manifesto Barisan Nasional dilancarkan berkata manifesto PAS hanyalah gula-gula, manakala manifesto Barisan Nasional dibuat alam bentuk pakej.

Rakan penyelidik menyifatkan manifesto Barisan Nasional adalah holistik.

Bagi mengetahui sejauh mana bakal pengundi dan masyarakat memahami benar manifesto parti-parti politik, penyelidik berjumpa beberapa orang daripada mereka. Jawapan yang diterima adalah pelbagai.

Ada di kalangan mereka berpendapat manifesto PAS mengembalikan banyak aspek yang telah hilang di dalam peranan dan fungsi kerajaan Barisan Nasional khususnya menjaga isu yang sangat penting bagi kemajuan bangsa dan negara iaitu pendidikan percuma. Kerajaan seharusnya menyediakan bantuan dan apa saja yang perlu untuk memberikan pendidikan percuma kepada rakyat tanpa ada soal jawab lagi.

Galakan untuk belajar mesti sentiasa diutamakan supaya rakyat Malaysia lebih cepat maju kehadapan dan tidak menjadikan alasan kemiskinan dan beban kewangan sebagai penghalang.

Apabila ditanya dari mana PAS hendak mengambil peruntukan yang banyak untuk menyediakan pendidikan percuma itu, mereka merujuk kepada pendapatan negara yang mana sering diulang-ulang oleh kerajaan Barisan Nasional iaitu keadaan ekonomi yang bertambah baik, keluaran dalam negara kasar meningkat kepada enam peratus, Petronas untung berbilion ringgit dan mengurangkan pembaziran serta memerangi rasuah.

Rumusannya, PAS ada sumber peruntukan untuk membiayai pendidikan percuma rakyat Malaysia.

Manifesto ini sangat menarik kerana pada hari ini rata-ratanya pelajar dibebankan dengan yuran pengajian yang masih tinggi walaupun telah diberi diskaun. Agensi yang berkaitan dengan pinjaman pendidikan pengajian ijazah pertama, PTPTN contohnya, di dalam media dilaporkan lebih banyak pelajar dan lepasan pelajar yang merungut tentang pinjaman pelajaran yang tidak dapat dilunaskan seperti yang dipersetujui dalam perjanjian kerana sebaik sahaja tamat belajar, peminjam masih belum mendapat kerja tetapi tuntutan pembayaran sudah diterima. Ada-ada saja isu ini terkeluar di dalam akhbar arus perdana.

Alangkah baiknya jika pendidikan diberi secara percuma kepada setiap rakyat Malaysia supaya pendidikan tidak dijadikan sebagai satu bisnes yang menguntungkan satu pihak tetapi membebankan rakyat yang bilangannya sangat ramai dan berhak mendapatkannya.

Bagi yang lebih mendalam analisisnya, mereka menyifatkan pelajar yang dilahirkan oleh sistem pendidikan sekarang hanya seperti robot, tidak mampu berfikir tentang perjuangan umat Islam, tidak banyak berfikir tentang hala tuju bangsa Melayu dan tidak berupaya memberikan tenaga dan buah fikiran untuk menjadikan bangsa Melayu dan umat Islam sebagai masyarakat yang kuat dan disegani dalam ekonomi, politik dan sosial di negara sendiri.

Semenjak 50 tahun yang lalu, UMNO tidak mampu untuk merancang usaha dan gerak kerja yang sistematik bagi mencapai 30 peratus sasaran bumiputera dalam aktiviti ekonomi negara. Jadi terbukti UMNO gagal membela martabat bangsa Melayu. Tanah Melayu banyak yang dijual atas nama pembangunan sehingga tidak banyak perkampungan Melayu yang masih ada di bandar-bandar utama.

Hujah demi hujah yang diberikan sememangnya mencari kegagalan UMNO dan Barisan Nasional khususnya dalam pendidikan dan masa depan Islam dan Melayu.

Manakala bagi mereka yang positif kepada manifesto Barisan Nasional, anggapannya ialah manifesto berkenaan sangat sesuai, merangkumi kehendak masyarakat majmuk rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan pembangunan ekonomi yang lebih terjamin.

Barisan Nasional juga menunjukkan rekod perkhidmatan yang memberangsangkan sejak dari pilihan raya ke 11 yang lalu khususnya di Terengganu dan membangunkan koridor ekonomi supaya semua negeri dapat membangun bersama. Malahan perdana menteri juga berazam untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang 2010.

Penyelidik melihat kedua-dua pihak mempamerkan manifesto yang mantap dengan impian masing-masing. Perbezaan yang sangat ketara pada kedua-dua manifesto berkenaan ialah PAS meletakkan ketaatan kepada Tuhan sebagai perkara yang sangat penting dan diutamakan, barulah akan datang keberkatan dan kemakmuran kepada rakyat dan negara. Manakala Barisan Nasional lebih kepada pembangunan ekonomi, perpaduan kaum dan jaminan masa depan. Insya Allah, jika rakyat meletakkan Tuhan sebagai keutamaan, bagi orang yang beragama, pembangunan ekonomi, keharmonian masyarakat dan masa depan pasti akan dijamin oleh Tuhan sendiri.

Tuesday, February 26, 2008

Apakah Barisan Nasional dapat menawan Kelantan?

Dari Kota Bharu ke Tumpat, Pengkalan Kubor, Pantai Cahaya Bulan dan Pengkalan Chepa, bendera bulan purnama mendominasi jalan raya, jambatan dan julai pokok. Bendera dacing begitu kerdil berada di tengah lautan bulan purnama khususnya di kawasan yang dimenangi oleh Parti Islam Semalaysia (PAS). Di kawasan bendang, bendera PAS lebih banyak dan terserlah tetapi di kawasan penduduk Siam, Barisan Nasional lebih gah.

Kesungguhan Barisan Nasional menguasai Kelantan pada kali ini sangat berkobar-kobar. Kempen "Pade doh" yang digerakkan dari Putra World Trade Centre, Kuala Lumpur sudah mula menunjukkan kesannya. Kain rentang, poster dan baju T yang diagihkan kepada petugas pilihan raya di Kelantan sudah mula dipamerkan kepada para pengundi.

Dengan menggunakan dan mempromosi satu mesej yang jelas, bakal pengundi mudah untuk mengingatinya dan tidak teragak-agak untuk membuat pilihan. Kempen Barisan Nasional ini turut dibantu oleh kempen dan promo di televisyen. Manakala pembangkang tidak ada ruang yang besar untuk promo di media, mereka menggunakan sepenuhnya Internet, mesej pesanan ringkas dan kempen bersemuka.

Senario politik Kelantan jauh berbeza daripada negeri-negeri lain. Penguasaan PAS selama 18 tahun bersama dasar "Membangun Bersama Islam" amat memberi pengaruh yang kuat kepada sebilangan besar penduduk negeri itu. Dengan 89.3 peratus masyarakat Kelantan memahami dasar ini, penerimaan mereka kepada pelaksanaan program dan rancangan oleh kerajaan PAS adalah tanda jelas kepada keberkesanan dasar berkenaan selama ini.

Begitu juga dengan penguatkuasaan undang-undang karaoke, judi, kawalan arak, kaunter berasingan, menutup aurat, kawalan hiburan dan kawalan pergaulan remaja yang semuanya menerima sokongan di antara 80 hingga 90 peratus. Hasil dapatan kajian ini juga bertentangan dengan kajian yang dilakukan oleh Merdeka Centre yang melihat sokongan umum lebih memihak kepada Barisan Nasional.

Oleh kerana kekentalan masyarakat Kelantan dengan ajaran Islam melalui institusi pendidikan agama yang sentiasa mendapat sambutan, pengaruh PAS sangat kuat dan sukar untuk dipecahkan oleh kempen dan promo biasa Barisan Nasional yang menggunakan umpan pembangunan. Rakyat Kelantan tidak bimbang jika pembangunan tidak rancak asalkan agama dapat dipertahankan.

Konsep ini yang menjadi kukuh dan mantap di dalam fikiran masyarakat Kelantan sangat sukar digugat oleh Barisan Nasional kerana budaya beragama sangat ketara khususnya melalui ceramah dan kuliah di masjid, kuliah umum di kawasan terbuka dan suasana persekitaran sendiri yang memberi ruang kepada kefahaman agama yang sama sekali berbeza dengan pelaksanaan oleh kerajaan Barisan Nasional.


Selain kefahaman dan kemantapan terhadap agama, budaya masyarakat Kelantan yang sangat istimewa ialah mereka suka berkumpul di kedai-kedai makan khususnya pada waktu malam. Anak-anak muda yang mewarisi budaya ini sejak turun-temurun daripada masyarakat Melayu Pattani menjadikan maklumat setempat dan isu-isu semasa dapat dibincangkan dengan pantas di kedai dan warung kopi ini. Justeru, di Kelantan, banyak gerai makan yang dididirikan di tepi-tepi jalan, simpang tiga atau di hadapan rumah kerana masyarakat kelantan sememangnya suka berniaga dan berdikari.

Oleh kerana mentaliti mereka begitu, pendirian rakyat Kelantan jauh berbeza apatah lagi nilai-nilai Melayu begitu tebal. Melayu melihat kepada pemimpin dan jika pemimpin tersebut kuat beragama, dia dianggap sebagai pelindung dan membawa rahmat kepada mereka. Ketika nilai ini sangat utuh di Kelantan, ia tidak begitu dominan di negeri-negeri Melayu yang lainnya.

Kejayaan PAS di Kelantan adalah kerana masyarakatnya memahami aspirasi kepimpinan yang dibawa oleh Tok Guru. Walaupun media massa memberikan mesej dan kenyataan yang memburukkan beliau seperti mana dalam kes "orang utan" atau "Tuhan mencarut," maksud sebenar kenyataan seperti itu difahamai dengan jelas dan diterima dengan baik oleh masyarakat Kelantan.

Dalam isu "orang UMNO seperti orang utan," mesej Tok Guru lebih kepada kelakuan dan bukannya menuduh orang UMNO sebagai orang utan seperti yang difahami ramai. Kebanyakan penduduk Kelantan yang memahami keistimewaan Tok Guru langsung tidak akan melenting dengan permainan media kerana bahasa Melayu dialek Kelantan penuh dengan kiasan.

Berbeza dengan kenyataan Naib Pemuda UMNO yang menyifatkan mereka yang terlibat dengan demonstrasi jalanan sebagai "beruk-beruk," kata-kata beliau sangat jelas dan mudah difahami.

Untuk mengetahui sendiri sejauh mana masyarakat Kelantan membezakan di antara "orang utan" oleh Tok Guru dan "beruk-beruk" oleh Naib Pemuda UMNO, penyelidik bertemu, berbincang dan bertukar-tukar pandangan dengan mereka sama ada di gerai makan tepi jalan atau mendengar perbualan di tempat-tempat umum.

Ada di antara mereka yang mengiyakan apa yang dinyatakan oleh Tok Guru kerana tidak ada salahnya dengan kenyataan tersebut tetapi kecewa dengan kenyataan "beruk-beruk di jalanan" dan tidak ada media massa kerajaan yang mengulas isu ini. Sebaliknya apabila PAS berazam membenarkan demonstrasi jalanan jika menang pilihan raya, media massa mula mengeksploitasi isu berkenaan sehingga menerima bantahan daripada sesetengah pihak.

Inilah pemikiran masyarakat Kelantan yang masih kental dengan Tok Guru yang mengerahkan seluruh tenaga dan sumber kekuatan untuk mengekang setiap kemaraan jentera kempen Barisan Nasional kali ini. Di samping perbelanjaan yang besar, strategi kempen yang terancang melalui Unit Peti Undi (UPU) dan pondok panas yang didirikan bagi setiap satu kilometer dapat mematahkan kempen Barisan Nasional yang turut menggunakan peruntukan yang besar untuk menawan Kelantan.

Tempoh kempen yang diberikan selama 13 hari sehingga 8 Mac kelak adalah tempoh genting bagi kedua-dua parti. Selain menggerakkan kempen rumah ke rumah dengan membawa pelbagai tawaran dan janji, konsep "bagi wang ambil, bagi beras ambil" sudah menjadi biasa dalam suasana pilihan raya ini dan tidak ramai yang terhutang budi untuk mengundi mana-mana parti.

Selain barang-barang keperluan seperti beras, sabun basuh turut diedarkan kepada bakal pengundi untuk menarik perhatian mereka. Pendek kata, setiap kali petugas parti politik datang menjenguk keadaan rumah dan bertanya khabar, akan ada buah tangan sebagai pembuka kata. Amalan ini sangat baik kerana menjadi budaya masyarakat Melayu untuk mengambil tahu keadaan saudara mereka, apakah sakit atau sihat, sudah makan atau belum dan sebagainya. Justeru, kempen rumah ke rumah selain daripada bertanya khabar ia juga turut menjadi statistik asas kepada congakan bilangan undian yang akan diperolehi kelak oleh setiap calon yang bertanding.

Ketika proses kempen juga, petugas akan mengiringi calon kawasan masing-masing dari rumah ke rumah untuk memperkenalkan calon yang bertanding dan mengukuhkan keyakinan mereka terhadap kebolehan calon memimpin jika dipilih kelak.

Jika kemenangan PAS dalam pilihan raya berlalu bersama majoriti yang kecil di sebahagian besar kawasan yang ditandingi, strategi Barisan Nasional dalam pilihan raya kali ini besar kemungkinan mengulangi strategi lepas iaitu menubuhkan petugas kempen yang akan mengawal sepuluh rumah dengan seorang pemantau. Mereka inilah yang akan mempastikan rumah bakal pengundi diperhati dan dijaga dengan sebaik-baiknya sehingga ke hari keluar mengundi supaya maklumat yang diberi dapat disimpan baik-baik oleh pengundi. Jadi, jika petugas PAS cuba mengintai untuk menjenguk bakal pengundi Barisan Nasional yang telah dikenal pasti, agak sukarlah bagi mereka kerana sebaik sahaja petugas PAS turun dari rumah, sepantas kilat petugas Barisan Nasional akan naik dan membuat serangan balas supaya undi hanya diberi kepada mereka.

Justeru, strategi kejayaan barisan Nasional telah dikenal pasti, PAS juga merangka strategi yang lebih praktikal kali ini bagi mempastikan mereka terus memimpin Kelantan. Jika bakal pengundi diminta berjanji untuk memangkah Barisan Nasional dalam pilihan raya, sesetengah pengundi memang rasa bersalah kerana telah berjanji. Jadi, Tok Guru datang dengan petua mudah untuk melunaskan janji tersebut dengan katanya: bangun pagi-pagi pada hari mengundi nanti, cari lambang dacing yang ada di batang pokok atau tiang elektrik, bolehlah tunai janji dengan memangkah batang pokok atau tiang elektrik tersebut, selepas itu pergilah mengundi.

Walaupun lucu, itulah penyelesaian yang mudah dan praktikal. Semakin sukar juga Barisan Nasional hendak mempengaruhi bakal pengundi yang berjanji itu kerana setiap permasalahan ada jalan keluarnya.

Ketika Barisan Nasional mendapat bantuan daripada MCA, MIC dan parti komponen yang lain di samping media massa, PAS juga mendapat bantuan dari PKR dan mereka yang bersimpati dengan perjuangannya. Banyak pihak yang bersimpati dengan perjuangan PAS kerana berbeza prinsip perjuangan yang dibawa oleh Barisan Nasional. Jadi, isu-isu seperti Islam Hadhari, kelayakan pemimpin dan peribadi pemimpin menjadi debat yang hangat.

Isu-isu semasa yang sedang bercempera ketika ini ialah harga barang naik, jenayah menjadi-jadi, Dr Mahathir gambarkan BN penuh dengan tunggul mati yang korup, kerajaan Barisan Nasional jadikan Malaysia lembik dan bacul (half-past-six country with no guts), PM tidur, peranan Khairy, ECER akan kurangkan tanah rezab Melayu, WPI untuk Singapura, gugat Islam dan Malaysia tercorot dalam senarai demokrasi.

Walaupun banyak isu yang ditimbulkan di peringkat nasional, isu tempatan di Kelantan dilihat lebih memihak kepada siapa calon yang akan bertanding. Gesaan timbalan presiden UMNO supaya memilih parti, pengundi Kelantan melihatnya berbeza. Barangkali di peringkat parlimen mereka memberi ruang kepada Barisan Nasional tetapi di peringkat dewan undangan negeri, mereka memberi peluang kepada PAS. Agak sukar juga membuat ramalan berkenaan selera pengundi pada kali ini kerana tawaran Barisan Nasional yang sangat menarik ketika PAS berpadu tenaga berentap bagi mempastikan Kelantan tidak jatuh ke tangan Barisan Nasional.

Kemenangan awal PAS di DUN Kijang adalah petanda awal mereka akan kembali menguasai Kelantan. Begitu juga dengan penarikan diri dua calon Barisan Nasional di parlimen Pengkalan Chepa dan Pasir Mas. Pencalonan di Pengkalan Chepa ternyata merupakan tindakan silap Barisan Nasional kerana calon berkenaan tidak berminat dan tidak memberi persetujuan untuk bertanding dalam pilihan raya. Tindakan berkenaan ternyata merosakkan kredibilitinya sebagai tokoh yang sangat serius membangunkan anak bangsa melalui pendidikan, pemimpin organisasi yang besar dan sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan rakan-rakannya yang lain. Tetapi dalam jangka masa panjang, menolak pencalonan berkenaan adalah pancaran prinsip dan pendirian yang sangat tegas serta memberi mesej bahawa perjuangan membangunkan anak-anak bangsa melalui institusi pendidikan adalah fokus yang diutamakan. Penyelidik menjangkakan beliau akan terus dihormati dan disegani kerana prinsip yang dipegangnya itu.

Kesimpulan awal berdasarkan pemerhatian pelaksanaan kempen Barisan Nasional ketika ini sama ada yang dilakukan di Kelantan sendiri ataupun promo di media massa tentang kelemahan kerajaan PAS mentadbir Kelantan, sebilangan pengundi di Kelantan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran kerajaan Barisan Nasional. Penyelidik merumuskan yang PAS lebih mendominasi suasana kempen dan perang saraf dan Barisan Nasional perlu bekerja kuat jika ingin menarik hati bakal pengundi untuk memilih mereka.

Bisnes ketika pilihan raya

Industri percetakan menjadi rancak ketika musim pilihan raya apabila semua parti bertanding mula membuat bendera, kain rentang dan key chain untuk mempromosi parti dan calon masing-masing. Jika dulu mereka mencetak di atas kertas kini kebanyakan poster menggunakan plastik dan kain rentang berkualiti tinggi.

Bagi bendera, warna hijau dan biru adalah yang paling laris. Barisan Nasional dengan warna biru dan PAS dengan warna hijau.

Selain syarikat percetakan, kedai-kedai runcit dan pasar raya turut mendapat durian runtuh. Ketika ini calon-calon yang bertanding mula membuat pembelian barang-barang keperluan rumah seperti beras, sabun, minyak masak dan sebagainya untuk diberi sebagai buah tangan ketika diadakan majlis memperkenalkan calon.

Batang buluh dan batang penyapu turut menjadi pilihan untuk dijadikan pengikat bendera.

Anak-anak muda juga turut merasa. Upah memasang poster, kain rentang dan memacak tiang bendera dapat juga disimpan untuk membeli telefon bimbit baru atau seluar baru. Selain upah untuk kerja-kerja tersebut, minyak petrol dan rokok diberi percuma asalkan kerja siap.

Pelbagai cara digunakan untuk menarik perhatian bakal pengundi ini. Senarai mereka yang miskin dan dhaif segera dicari dan dirancang majlis penyampaian bantuan dengan harapan mereka rasa dihargai. Bagi peniaga, jika dapat pilihan raya diadakan setiap bulan supaya bisnes mereka sentiasa rancak. Bagi orang miskin, mereka juga berharap pilihan raya diadakan setiap minggu supaya dapat makan percuma kerana selepas sahaja majlis, biasanya diadakan jamuan makan.

Tetapi bagi orang politik, kalau dapau dapat pilihanraya diadakan sekali sahaja seumur hidup supaya jawatan yang dipegang akan terus berkekalan.

Bisnes ketika pilihan raya adalah bermusim. Tidak hairanlah banyak wang yang diperlukan oleh mana-mana parti politik yang bertanding dan melibatkan tenaga kerja yang ramai. Ada yang menganggap pilihan raya di Malaysia ini adalah musim membuat wang.

Friday, February 22, 2008

Kosovo merdeka: Inspirasi untuk selatan Thai (2)

Perbandingan status autonomi

Hong Kong

Wilayah ini dipulangkan kepada China pada 1997 selepas 155 tahun berada di bawah jajahan British. Etnik Cina membentuk 95 peratus daripada jumlah penduduk kepulauan ini dan urusan perundangan berdasarkan Hong Kong Basic Law.

China membentuk pentadbiran khas yang memberi kuasa autonomi meluas dalam semua bidang kecuali hal ehwal luar negara dan pentadbiran. Warganegara Hong Kong juga boleh mengambil bahagian dalam pemilihan di parlimen China.

Bagi dasar luar, undang-undang China diguna pakai namun dalam bidang kepakaran Hong Kong, ia boleh berunding dengan mana-mana negara dan pertubuhan antarabangsa. Hong Kong juga menguasai ekonomi antarabangsa, perdagangan, kewangan dan tukaran wang asing, perkapalan, komunikasi, pelancongan, kebudayaan dan sukan. Bagaimanapun urusan ketenteraan dan perlindungan wilayah terletak di bawah tanggungjawab China.

Pulau Aland

Selepas peperangan Russia-Swedish (1808-1809), Russia menawan Finland dan Pulau Aland. Penduduk Pulau Aland adalah 95 peratus berketurunan Swedish. Bagaimanapun ketika petisyen umum pada 1917, sebanyak 96.2 peratus penduduknya memilih untuk bersatu dengan Sweden.

Dalam keputusan Liga Bangsa-Bangsa tahun 1921, mereka memutuskan bahawa Pulau Aland kekal di bawah Finland.

Dari segi perkongsian kuasa, Finland mempunyai hak ke atas dasar luar, pertahanan, imigresen, fiskal dan perundangan manakala perdagangan luar, undang-undang jenayah dan buruh serta kesihatan dikongsi bersama.

Pulau Aland mempunyai gabenor sendiri yang dilantik oleh Presiden Finland. Semua warganegara boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya parlimen. Pulau Aland perlu memaklumkan sebarang rundingan dengan negara-negara luar atau pertubuhan antarabangsa dan boleh diserapkan sebagai sebahagian daripada delegasi Finland.

Dasar ketenteraan menetapkan bahawa tanggungjawab tersebut berada di bawah kerajaan Finland. Pulau Aland diberi peluang yang luas untuk memberi pendapat dan mengambil bahagian dalam proses integrasi bersama Kesatuan Eropah dengan syarat mendapat persetujuan Finland dan negara-negara Kesatuan Eropah yang lain.

Kosovo

Sejak 1999, Kosovo berada di bawah pentadbiran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan sebahagian besar (91 peratus) adalah etnik Albania. Tanggungjawab ketenteraan ketika ini berada di bawah Nato dan PBB.

Menggunakan kerangka perlembagaan yang diadunkan antara Resolusi 1244 PBB, perlembagaan Serbia dan perlembagaan yang dikhaskan kepada kerajaan Kosovo.

Sebelum itu Serbia memberi autonomi kepada Kosovo dan berada di bawah kedaulatannya. Dari segi kaedah pelaksanaan autonomi Kosovo, Serbia menentukan dasar luar, mengawal sempadan, menjaga hal ehwal agama dan sejarah Serbs. Manakala bidang yang dikongsi bersama ialah dasar tukaran wang asing dan kastam.

Bagi dasar luar, ia berada di bawah tanggungjawab Serbia tetapi Kosovo boleh membuat perundingan dengan negara-negara luar dan pertubuhan antarabangsa. Penyediaan perjanjian mesti dirunding bersama dengan Serbia dan Kosovo boleh menyertai Serbia sebagai sebahagian daripada delegasi.

Seorang penganalisis politik, Lulzim Peci berkata Kosovo merdeka sama seperti merdekanya Jerman dan Jepun selepas Perang Dunia Kedua dahulu. Ia mengambil masa lima hingga lapan tahun untuk mewujudkan kestabilan politik.

Bantuan ekonomi untuk pembangunan Kosovo masih di bawah tanggungan Kesatuan Eropah iaitu lebih €1.6 bilion. Kadar pengangguran juga tinggi iaitu 44 peratus dan keperluan asas seperti tenaga elektrik dan air panas agak sukar diperoleh biar pun di Pristina.

Sebagai sebuah negara yang baru merdeka dan merasai sendiri nikmat negara yang bebas, tanpa kemudahan asas untuk hidup ia tidak memberi kesusahan yang besar kerana apa yang lebih penting ialah sebuah negara.

Seorang guru, Morina berkata, "Jika kami mendapat sokongan Amerika Syarikat dan kesatuan Eropah, keadaan akan menjadi lebih baik." Beliau merupakan penyokong kemerdekaan Kosovo. Ketika peperangan 1999, rumahnya menjadi markas tentera Serbia. Kereta kebal yang masih berada di halaman rumahnya kini menjadi sarang lebah dan ayam peliharaannya.

Jaringan jenayah

Kesatuan Eropah menghantar pegawai polis untuk mengawal komuniti Serbs dan juga pegawai perundangan untuk membaik pulih sistem kehakiman yang telah musnah kerana rasuah dan gangguan ke atas saksi.

Laporan Kesatuan Eropah mengenai Kosovo menyifatkan "jaringan jenayah telah menjalar ke pelbagai sektor sosioekonomi dan politik."

Walau bagaimanapun terdapat bibit-bibit kesungguhan daripada perdana menteri, Hashim Thaci untuk mengubah keadaan ini. Kerajaan beliau berjanji untuk memerangi rasuah dan mengisytiharkan Kosovo sebagai "kebebasan di bawah pemantauan" supaya pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat dengan rasuah dapat disingkir dan diganti dengan yang lain.

Pengaruh Eropah

Misi Kesatuan Eropah adalah membuat pemantauan dan pengaruhnya telah pun dirasai. Ketika Hashim Thaci merancang untuk membentuk kabinet, beliau dipetik sebagai berkata "masyarakat antarabangsa di Kosovo memohon untuk tidak melantik bekas-bekas menteri yang terlibat dengan skaldal rasuah."

Namun begitu ketua misi Kesatuan Eropah di Pristina, Renzo Daviddi berkata tidak ada penglibatan sedemikian.

Dengan kehadiran 16,000 tentera dan 2,000 anggota polis, hakim dan pendakwaraya dari Kesatuan Eropah, adalah sukar bagi kerajaan Hashim Thaci untuk mengelak daripada menerima pandangan Kesatuan Eropah bagi membuat keputusan. Malahan mata wang rasmi Kosovo ialah euro.

Sejarah mendapati Kesatuan Eropah cenderung mengeksport dan mempromosi demokrasi seperti yang dilakukan di Sepanyol, Portugal dan Greece yang menyah keluar kepimpinan diktator pada 1980-an. Manakala pada 1990-an, ia membantu pengkayaan demokrasi di Eropah Timur.

Kosovo masa depan

Pengiktirafan yang diperlukan oleh Kosovo untuk menyertai masyarakat antarabangsa mula menampakkan keceriaan kerana banyak negara telah mengiktiraf kehadirannya. Cabaran besar sedang menanti Kosovo yang berhadapan dengan penentangan Serbia dan sekutu rapatnya Rusia.

Etnik Serbs yang menolak untuk menerima pengisytiharan berkenaan dan menunjukkan tindakan agresif dengan membakar pondok kawalan K-For di utara Kosovo. Belgrade juga berada dalam keadaan kecoh kerana perusuh terus mengadakan demonstrasi di hadapan kedutaan Amerika Syarikat.

Sokongan kuat Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) banyak membantu moral pemimpin Kosovo untuk berdikari dan memajukan negara mereka. Inspirasi kemerdekaan Kosovo bakal menjadi ikutan wilayah-wilayah bergolak khususnya yang mempunyai majoriti penduduk Islam seperti selatan Filipina dan selatan Thai.

Thursday, February 21, 2008

Kosovo merdeka: Inspirasi untuk selatan Thai (1)

Bunga api menghiasi ruang udara Pristina, ibu negara Kosovo, selepas parlimen negara itu mengesahkan pengisytiharan kemerdekaan dari Serbia dan menjadi sebuah negara berdaulat dengan gelaran Republik Kosovo.

Merdeka pada 18 Februari 2008 adalah rentetan perjalanan yang sangat panjang bagi sebuah negara bangsa yang dijajah. Negara pertama yang mengiktiraf Kosovo sebagai merdeka ialah Afghanistan dengan harapan kemerdekaan itu akan membawa kemakmuran. Kebanyakan negara Kesatuan Eropah mengiktiraf Kosovo yang merdeka dan sehingga kini lebih 100 buah negara telah mengesahkan kemerdekaan tersebut termasuk Malaysia.

Amerika Syarikat, Britain, Jerman dan Perancis telah mengiktiraf Kosovo sebaik sahaja perdana menteri, Hashim Thaci mengisytiharkan kemerdekaan berkenaan.

Setelah 100 tahun berada di bawah Serbia, Kosovo telah menjadi sebuah negara berdaulat apabila berkerajaan sendiri, ada tanah air dan rakyat.

Semasa mengusulkan pengisytiharan kemerdekaan, Hashim Tachi berkata negara itu akan menjadi sebuah negara "untuk semua rakyat" iaitu merujuk kepada 2 juta etnik Albania dan 120,000 etnik Serbs. Beliau juga menegaskan Kosovo adalah tempat selamat untuk semua warganegara. Kerajaannya beriltizam untuk menghadapi masa depan dan meninggalkan kisah sedih masa silam.

Kegembiraan yang sama tidak kelihatan di Belgrade, Serbia. Menteri yang bertanggungjawab ke atas Kosovo, Slobodan Samardzic menyifatkan tindakan Kesatuan Eropah menghantar pesuruhjaya ke Kosovo adalah memalukan dan hanya menurut kehendak dasar luar Amerika Syarikat. Dengan alasan ini, Serbia perlu mengkaji semula hubungannya dengan Kesatuan Eropah dan mana-mana negara yang mengiktiraf kemerdekaan Kosovo.

Pertubuhan Negara-Negara Islam turut berminat dan menimbang untuk mengiktiraf Kosovo bagi menguatkan perjuangan masyarakat Islam yang masih tertindas, miskin dan hidup dhaif di seluruh dunia.

Perjalanan kemerdekaan

Kosovo yang merdeka bermula dengan kisah Balkan yang berakar umbi apabila Yugoslavia mula berpecah 19 tahun lalu. Pemimpin Serbia, Slobodan Milosevic menggerakkan perhimpunan rakyat untuk berhadapan dengan musuh dari segenap penjuru. Beliau memimpin peperangan ke atas Slovenia, Crotia, Bosnia dan Kosovo.

Dengan berpakaian seragam tentera, Milosevic membangkitkan semangat nasionalisme dan menggerakkan beratus-ratus ribu rakyat Serbia untuk berperang.

Tetapi dalam semua peperangan yang dilalui, Serbia telah tewas. Wilayah Serbia yang luas sebelum berperang, kini mengecil. Dan minggu ini Serbia terus mengecil.

Kosovo sangat bermakna kepada Serbia kerana menjadi sebahagian daripada identiti budaya, agama dan negara Serbs.

Pada 1974, perlembagaan Yugoslavia menarik balik keistimewaan Kosovo sebagai kawasan autonomi Serbia. Bagaimanapun kecenderungan untuk merdeka mula digerakkan selepas kematian presiden Josip Broz Tito.

Pada 1987, Milosevic dihantar ke Kosovo dan merebut peluang ini. Dalam masa singkat, reputasi beliau sebagai penyelamat Serbia di Kosovo melonjak naik. Ucapan bersemangat "tidak ada siapa lagi yang berani memukul anda lagi" disiarkan ke seluruh negara sebagai permulaan untuk berperang dengan Kosovo.

Perang dengan Kosovo tercetus pada 1989 apabila Milosevic menarik balik hak kuasa autonomi ke atas Kosovo. Seterusnya Julai 1990, pemimpin-pemimpin Albania mengisytiharkan kemerdekaan Kosovo dan keluar dari Serbia. Tindakan ini disokong oleh Albania yang mengiktiraf Kosovo.

Dekad seterusnya, ketika Milosevic menjadi orang nombor dua dalam Parti Komunis Serbia, beliau mula mencongak peluang untuk menjadi popular dengan menggunakan kuasa dan pengaruhnya. Pada masa yang sama etnik Serbs merungut tentang ancaman etnik Albania di Kosovo. Milosevic, dipacu oleh agenda politik peribadi, tiba-tiba menjadi terkenal sekelip mata dan dilihat sebagai nasionalis Serbia.

Milosevic yang marah dengan pengisytiharan itu bertindak menyerang Kosovo. Beribu-ribu orang awam mati dan hampir sejuta lari meninggalkan negara itu. Seorang etnik Albania, Fikter Ibrahimi berkata, ketika peperangan tersebut rakyat berketurunan Albania melalui detik yang sukar di mana askar-askar Serbia dan polis yang berdiri di luar pintu sekolah sentiasa mengintai pelajar kerana tidak membenarkan etnik Albania mempelajari bahasa mereka sendiri.

Pada 24 September 1998, ketika peperangan berada di kemuncak mala petaka, Nato memberi amaran kepada Milosevic untuk berhenti daripada menyerang Kosovo atau menghadapi serangan udara.

Bagi menghalang gerakan tentera Serbia, kumpulan pemisah etnik Albania menubuhkan Kosovo Liberation Army (KLA) untuk menyerang sasaran Serbia.

Sebaik sahaja kegagalan rundingan di antara Serbia dan Kosovo pada Mac 1999 diumumkan, Nato menyerang sasaran tentera Serbia. Pada masa yang sama juga gerakan pembersihan etnik digerakkan oleh askar-askar Serbia menyebabkan ratusan ribu pelarian lari ke Albania, Macedonia dan Montenegro. Tribunal antarabangsa di The Hague menganggarkan sekurang-kurangnya 2,000 mayat telah ditemui.

Selepas 11 minggu mengebom sasaran penting, Milosevic dipaksa mengundurkan tentera dan polis Serbia. Seramai 750,000 penduduk etnik Albania kembali ke Kosovo tetapi separuh daripada 100,000 etnik Serbs lari bertempiaran meninggalkan Kosovo. Dengan serta-merta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengambil alih operasi pentadbiran dari Serbia.

Mei 1999, pengeboman masih diteruskan manakala Milosevic ditangkap dan menjadi ketua negara pertama yang disabitkan dengan jenayah kemanusiaan oleh tribunal antarabangsa jenayah perang di The Hague, Belanda.

Menurut pertuduhan yang dibacakan, Milosevic dan beberapa orang kawan rapatnya terbabit secara langsung dalam jenayah yang menyebabkan 750,000 etnik Albania Kosovo menjadi pelarian dan membunuh 600 orang yang dikenal pasti sebagai etnik Albania. Pembunuhan telah berlaku di bandar Srbica, Dakova dan Velika Krusa di mana semua lelaki dipisahkan daripada wanita, seterusnya ditembak sehingga mati.

Siasatan oleh Pertubuhan dan Keselamatan Eropah merumuskan tragedi yang sangat dahsyat iaitu melibatkan pembunuhan, penderitaan dan perogolan. Mereka juga mendapati Serbia bersikap ganas terhadap kemanusiaan dalam skala yang besar – tetapi turut mengalami jumlah kematian yang besar kerana diserang balas.

Perbicaraan ke atas Milosevic diteruskan sehingga kematiannya pada Mac 2006. Etnik Albania yang marah kepada Milosevic menuntut perbicaraan ke atas pegawai-pegawai kanan Serbia yang terlibat bersama-sama Milosevic diadili dengan segera.

Wednesday, February 20, 2008

Program kesihatan masyarakat adalah kunci menurunkan kadar kematian kanak-kanak

Fatma, 2 tahun, merupakan salah seorang dari beribu-ribu orang kanak-kanak di Kenya yang berjaya diselamatkan dengan menggunakan langkah-langkah pencegahan yang mudah dan murah.

Pengedaran kelambu-kelambu yang telah dirawat dengan racun serangga di Kenya telah menurunkan kadar kematian yang disebabkan oleh malaria kepada separuh dalam masa lima tahun yang lepas. Kejayaan ini merupakan salah satu daripada pelbagai program-program kesihatan berdasarkan masyarakat, di mana UNICEF percaya, ianya merupakan kunci utama untuk mencapai Matlamat Pembangunan Millenium
(MDG) iaitu menurunkan kadar kematian kanak-kanak sebanyak dua pertiga – serta mencapai lain-lain MDG – menjelang tahun 2015.

Program ini diperluaskan ke seluruh dunia – daripada iodisasi garam di Turkmenistan, yang telah membantu menghapuskan kekurangan penyakit iodine, kepada pusat masyarakat di Argentina yang memberi sokongan kepada kanak-kanak kurang upaya yang mempunyai keperluan-keperluan khas. Inisiatif ini mempunyai pelbagai tujuan tetapi ianya adalah untuk mencapai tujuan yang sama iaitu menangani masalah-masalah kesihatan kanak-kanak dengan menggunakan kos yang rendah dan efektif.

Kesihatan ibu dan kanak-kanak

Laporan utama Keadaan Kanak-kanak Sedunia 2008 UNICEF, yang telah dilancarkan pada hari ini di Geneva, mengatakan bahawa keperluan kesihatan wanita, para ibu dan bayi-bayi yang baru dilahirkan mestilah diberi keutamaan sekiranya MDG ingin dicapai. Maklumat terbaru ini yang didapati di dalam laporan Keadaan Kanak-kanak Sedunia 2008 adalah hasil data kaji selidik rumah tangga berserta bahan-bahan dari rakan-rakan kerjasama yang utama termasuklah Badan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Bank Dunia.

Antara para pembentang dan para hadirin yang berada di upacara pelancaran pada hari ini adalah Pengarah Eksekutif UNICEF, Ann M. Veneman; Ketua Pengarah Badan Kesihatan Sedunia, Dr. Margaret Chan; Timbalan Presiden Jaringan Perkembangan Sumber Manusia Bank Dunia, Joy Phumaphi; dan Pesuruhjaya bagi Hubungan Sosial bagi Kesatuan Afrika, Bience P. Gawanas.

“Dunia telah menyaksikan pelbagai kemajuan telah dicapai di dalam kesihatan dan kesinambungan kehidupan kanak-kanak dan dengan perkongsian dan kerjasama yang bersesuaian, dasar-dasar dan program-program, lebih banyak lagi yang boleh dicapai,” kata Cik. Veneman ketika berlangsungnya siding akhbar di Geneva.

“Cabaran kita adalah bagaimana untuk mencapai berjuta-juta orang kanak-kanak dan keluarga yang masih terus hidup tanpa penjagaan rawatan dan pencegahan yang mencukupi.”


Keutamaan di dalam perkembangan

UNICEF percaya bahawa para pemimpin politik dari negara-negara berindustri G8 harus mengetengahkan isu tentang kesihatan kanak-kanak sebagai lebih daripada kepentingan moral malahan juga sebagai satu keutamaan di dalam perkembangan. Pengalaman lepas menunjukkan bahawa manfaat yang didapati daripada kesihatan masyarakat tersebar luas menjangkaui lebih dari kanak-kanak.

Sebagai contohnya, kempen kelambu yang dilaksanakan di Kenya, telah membawa kesan yang mendadak di dalam memperbaiki produktiviti negara tersebut, ini kerana malaria adalah merupakan punca utama pekerja tidak hadir untuk bekerja. Di Turkmenistan, kanak-kanak seperti Atabay Uzbayev, 13 tahun, tidak perlu bimbang tentang kesan-kesan yang disebabkan oleh kekurangan iodin, dan kini mereka bebas untuk merancang masa hadapan mereka.

“Saya ingin mencapai pengajian di tahap yang tertinggi apabila saya besar kelak. Saya ingin memasuki universiti dan belajar matematik,” kata Atabay.

‘Manfaat segera’

“Pelaburan di dalam kesihatan kanak-kanak dan ibu mereka merupakan satu keputusan ekonomi yang munasabah dan merupakan salah satu cara bagi sesebuah negara itu untuk menuju ke arah masa hadapan yang lebih baik,” kata Timbalan Presiden Jaringan Perkembangan Sumber Manusia Bank Dunia, Joy Phumaphi.

Ketua Pengarah Badan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Margaret Chan pula menambah: “Program inovatif di dalam kebanyakan negara telah menunjukkan bahawa pendekatan yang berdasarkan integrasi, di mana setiap kanak-kanak dapat dicapai dengan satu pakej intervensi pada sesuatu masa, boleh memberi manfaat segera."

Oleh Chris Niles, NEW YORK, 22 Januari 2008
Penterjemahan ke Bahasa Malaysia oleh Anne Jamaludin.
(http://www.unicef.org/malaysia/msl/media_7820.html)

Tuesday, February 19, 2008

Ciri-ciri umum orang utan







Orang utan adalah sejenis kera besar yang hidup di dataran rendah dan rata di kawasan tropika khususnya di Malaysia dan Indonesia. Ciri-ciri fizikalnya lebih mirip kepada manusia dan mudah dijinakkan.

Orang utan adalah istilah bahasa Melayu yang bererti manusia hutan. Memiliki tubuh yang sasa, kuat, berbadan gempal, bulu badan yang lebat berwarna perang kemerahan dan tidak ada ekor. Bahagian kepala agak besar tetapi jarang yang botak. Keadaan fizikalnya yang pendek ini kadangkala juga disamakan dengan gorila.

Pancaindera mereka juga sempurna di mana jari tangan dan kaki sama seperti manusia bagi membolehkan mereka berdikari mencari makanan dan membuat tempat perlindungan.

Makanan utama orang utan ialah tumbuh-tumbuhan dengan makanan kegemaran adalah buah-buahan. Selain itu, makanan yang dicari adalah daun, biji-bijian, kulit kayu, tunas pokok dan bunga-bungaan. Serangga, burung dan mamalia yang kecil turut menjadi makanan mereka. Untuk memudahkan orang utan mencari makanan, biasanya mereka tinggal di bahagian pokok yang berdaun lebat dan membuat sarangnya dari daun-daun yang dikumpul.

Orang utan bahkan tidak perlu meninggalkan pokok mereka jika ingin minum. Mereka biasanya meminum air yang telah terkumpul di dalam lubang di antara cabang pokok.

Orang utan dapat bergerak cepat dari satu pokok ke pokok lain dengan cara berayun pada cabang dan dahan pokok atau yang biasa dipanggil brachiating. Mereka juga dapat berjalan dengan kedua kakinya, namun jarang sekali dilihat begitu. Kelemahan orang utan ialah ia tidak pandai berenang.

Orang utan betina biasanya melahirkan anak pada usia 7-10 tahun dengan kehamilan di antara 8.5 hingga 9 bulan, hampir sama dengan manusia. Jumlah bayi yang dilahirkan seorang betina biasanya hanya satu. Ketika usia 7 tahun, anak orang utan sudah dapat berdikari.

Orang utan adalah spesies pemalu. Jadi, mereka jarang memperlihatkan diri kepada orang atau makhluk lain yang tidak dikenali. Keadaan ini menjadikan manusia khususnya jarang dapat melihat orang utan melainkan ianya ditangkap dan ditempatkan di dalam kawasan yang khas.

Satu-satunya sahabat orang utan ialah Tarzan. Cara hidup orang utan telah diaplikasi dengan baik oleh Tarzan. Jadi tidak hairanlah cara berfikir, sikap dan perangai Tarzan iaitu daripada cara berjalan, tidur hinggalah makan, tidak ubah seperti seekor orang utan.

Kehidupan orang utan semakin terancam kerana manusia merosakkan habitat tempat tinggal mereka dengan meneroka kawasan hutan untuk pembalakan atau pembangunan. Ada juga anak orang utan yang diseludup keluar untuk dijadikan haiwan peliharaan. Dianggarkan jumlah orang utan di seluruh dunia hanya 100,000 ekor.


Ringkasan

-Orang utan dapat memegang benda dengan tangan atau kakinya.

-Orang utan jantan terbesar memiliki rentangan lengan (panjang dari hujung tangan ke hujung tangan yang lain apabila kedua tangan direntangkan) mampu mencapai 2.3 meter.

-Orang utan jantan dapat membuat panggilan jarak jauh yang dapat didengar dalam radius satu kilometer. Digunakan untuk menandai/mengawasi kawasannya, memanggil sang betina dan mencegah orang utan jantan lainnya daripada mengganggu.

-Makanan utama ialah buah-buahan.

-Setiap petang, mereka membuat sarang di atas pokok.

-Agak pemalu, jadi sukar membuat perubahan dengan persekitaran yang baru. Kehidupan baru disesuaikan dengan orientasi yang mengambil jangka masa yang agak panjang.


Rujukan

http://id.wikipedia.org/wiki/Orang_utan
http://wadahwanita.blogspot.com/2004/06/12-ciri-insan-jadi-sahabat.html

Bisnes gubahan hantaran perkahwinan

Majlis perkahwinan adalah hak milik eksklusif setiap orang. Daripada barang hantaran hingga hadiah kepada tetamu yang datang, semuanya ingin diberikan yang teristimewa. Bagi menyerikan majlis yang bakal diraikan itu, butik pengantin sentiasa menjadi tumpuan.

Bagaimana menjana wang melalui gubahan perkahwinan ini?


Kepakaran dan kemahiran membuat gubahan adalah milik perunding perkahwinan bagi memastikan kelancaran majlis. Nasihat, panduan dan tunjuk ajar perunding ini mampu menjadikan majlis yang ringkas akan nampak gah dan eksklusif.

Contohnya, panduan menyediakan hantaran. Bagaimana hendak menentukan lima, tujuh atau sembilan dulang hantaran? Apakah ia boleh dibuat begitu sahaja? Bagaimana pula hendak menyediakan persalinan untuk bakal pengantin lelaki dan perempuan?

Di butik pengantin, anda akan dapati terdapat pelbagai jenis gubahan hantaran daripada yang murah hinggalah mahal. Bagaimanapun ia haruslah berdasarkan peruntukkan kewangan anda.

Sumber utama kepada penjanaan pendapatan dalam bisnes ini ialah idea yang kreatif di samping gemar mencipta rekaan baru yang menarik dan bersesuaian.


Di samping itu, mulut juga harus ringan bagi mengintai peluang untuk menawarkan khidmat supaya majlis yang akan diadakan nanti bertambah seri.

Monday, February 18, 2008

Bos Dipuji Bos Dibenci

Penulis: Wan Mohd Nazif Wan Mohd Nori, Fazilah Ibrahim
Penerbit: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Adakah sikap pilih kasih itu perlu? Adakah ego bos tercabar apabila mengakui kesilapan? Adakah pekerja adalah hamba? Jawapan diberi melalui olahan yang santai dan dialog yang membantu keterangannya. Berani dan jujur berkata, “Ya” kepada idea pekerja.

Menghargai pekerja dengan tidak menjadikan mereka Punch Bag. Jangan curi idea pekerja dan mengamalkan komunikasi dua hala. Bagaimana melakukannya?

Ketahuinya serta menyelami apa perasaan dan ungkapan pekerja dalam urusan harian di pejabat. Senario dan dialog yang dipaparkan pasti membuka minda dan mencubit perasaan supaya selari adegan yang sama dengan realiti pejabat.

Salahkan diri sendiri

Seperti yang dinyatakan secara terus-terang di dalam buku Dilema Melayu, Tun Dr. Mahathir Mohamad masih meneruskan pemikiran gaya militan apabila menyatakan masyarakat Islam sepatutnya menyalahkan diri sendiri terhadap apa yang berlaku ke atas mereka ketika ini.

Beliau berpandangan demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk "Keamanan Global: Krisis di Dunia Islam" yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa. Baginya, masalah dan krisis yang dialami oleh masyarakat Islam berpunca daripada dua sebab iaitu: tafsiran al-quran yang berbeza-beza dan tumpuan kepada pengajian Islam (mengabaikan sains dan teknologi).

Pendirian Tun Dr. Mahathir Mohamad sentiasa seiring dengan kenyataannya sebelum ini yang menggunakan pendekatan "mencabar" untuk membuat perubahan. Berpuluh-puluh ucapan dan buku yang dihasilkan semasa 22 tahun sebagai perdana menteri adalah konsisten dengan usaha beliau untuk mengajak masyarakat Islam keluar daripada kepompong sikap yang melemahkan diri sendiri.

Salah satu keputusan paling tidak tidak popular dan telah menjadi dasar kerajaan ialah pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Bagi beliau, kelemahan masyarakat Islam menguasai bahasa Inggeris tidak boleh diatasi dengan galakan, sebaliknya paksaan. Ini kerana mereka lebih mudah belajar dalam keadaan terpaksa berbanding galakan.

Beliau juga yakin, kejayaan orang-orang Eropah keluar dari era kegelapan dan mencipta "Renaissance" adalah kerana keupayaan mereka mempelajari bahasa Arab untuk meneroka semua bidang yang mana ketika itu masyarakat Islam menguasai sains, matematik, kaji bintang, seni bina, kejuteraan dan perubatan.

Setelah dilaksanakan beberapa tahun, idea ini terumbang-ambing di antara patut diteruskan atau kembali kepada Bahasa Malaysia. Hari ini media melaporkan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris akan ditimbang semula di peringkat sekolah rendah.

Sampai bila Tun Dr. Mahathir Mohamad akan bersuara untuk menarik simpati masyarakat Islam bagi mengubah sikap mereka? Semakin lantang beliau membawa isu ini, penyelidik merasakan ia tidak menjadi isu yang relevan kerana pendekatan yang diguna pakai sangat tidak berkesan untuk melonjakkan semangat "Malaysia Boleh" sebagai gerakan mengubah masyarakat. Beliau tidak gagal untuk membina infrastruktur yang teguh berdiri di Kuala Lumpur, jambatan yang kukuh merentangi Pulau Pinang, menghubungkan utara dan selatan Semenanjung Malaysia atau menyiapkan litar Sepang bagi tontonan berjuta-juta manusia setiap tahun.

Pendek kata, Dr. Mahathir sangat berjaya mengubah lanskap bumi Malaysia daripada menghasilkan getah dan padi kepada mengeksport tayar dan cip komputer. Semua orang berbangga dengan usaha cemerlang ini. Tetapi beliau gagal untuk mengubah sikap masyarakat Islam kerana pendekatannya salah.

Memberi galakan dan semangat untuk rakyat Malaysia mendaki gunung tertinggi di dunia, merentasi laut mengelilingi dunia dan membina bangunan tertinggi bagi merealisasikan kebolehan diri tidak selamanya bertahan lama. Justeru, menyatakan masyarakat Islam patut menyalahkan diri sendiri adalah sangat tidak tepat kerana ada faktor lain yang lebih dominan. Faktor paling penting ialah pemimpin.

Siapa yang memimpin umat Islam untuk maju dalam pelbagai bidang dan menguasai sebahagian besar dunia selama 700 tahun? Beliau adalah Muhammad bin Abdullah saw. Dalam tepoh 23 tahun sahaja, masyarakat Arab yang hidup dengan pergaduhan, gejala sosial dan menyembah berhala, pendekatan yang diguna pakai adalah sangat praktikal sebagai pemimpin yang dapat mengubah masyarakat.

Baginda saw tidak menggunakan wang yang banyak untuk memancing hati masyarakat walaupun isterinya seorang hartawan. Baginda saw juga tidak menggunakan pengaruh kaumnya walaupun Bani Quraisy dipandang mulia. Malah baginda saw juga tidak mengumpan masyarakat Arab dengan pangkat dan gelaran untuk menarik simpati golongan atasan.

Sebaliknya menggunakan pendekatan yang sangat mudah. Tidak ada cara berfikir militan atau mencetuskan provokasi. Istilah yang lebih tepat ialah pendidikan hati, sesuai dengan hadis, "Ketahuilah bahwasanya di dalam jasad itu ada segumpal daging, apabila ia baik maka baik pulalah seluruh tubuh. Dan apabila ia rusak maka rusak pulalah seluruh tubuh. Ketahuilah (segumpal daging) itu adalah al-qolbu (hati)." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Inilah rahsia paling besar untuk mengubah masyarakat. Perubahan yang diiringi dengan semangat kental dan berterusan selama 700 tahun. Tidak ada alat bantu perubahan yang canggih, tidak ada dasar yang hebat, tidak ada polis dan tentera yang memantau perubahan. Sebaliknya hanya senaskah al-quran sebagai pembimbing.

Contoh paling nyata ialah perubahan yang berlaku ke atas khalifah Umar Al-Khattab. Beliau seorang yang ada kesedaran kepada agama. Suatu hari ketika dalam perjalanan ke suatu tempat, hatinya resah kerana belum menyembah Tuhannya. Biasanya ada patung yang dibawa sekali, tetapi hari tersebut beliau tertinggal. Lalu difikirkan apa yang patut dia lakukan untuk menyembah Tuhan.

Diambilnya biji kurma dan dibentukkan menjadi patung dan disembah. Kemudian beliau menyambung perjalanan.

Sepanjang perjalanan tersebut, perutnya terasa lapar tetapi tidak ada makanan. Yang ada hanyalah kurma yang telah dijadikan Tuhan. Oleh kerana lapar, difikirkan lebih baik baginya untuk makan Tuhan tersebut. Tapi bahagian mana yang hendak diambil dulu? Setelah berfikir panjang, dia mengambil bahagian tangan. Tapi tidak dapat menghilangkan laparnya sehinggalah semua buah kurma berkenaan habis.

Apabila menjadi khalifah, Umar ada ketikanya ketawa dan menangis mengenangkan kejahilannya sebelum menjadi umat Islam. Dia berubah kerana hidayah dan bimbingan Muhamad saw.

Dr. Mahathir sudah tidak ada kuasa politik untuk membuat perubahan kerana kuasa berkenaan telah diserahkan kepada orang lain. Beliau boleh terus bercakap selama mana dia mahu dan masyarakat juga mempunyai pilihan untuk tidak mendengar.

Jadi, apabila beliau menyalahkan masyarakat Islam di atas apa yang berlaku, ia hanyalah pandangan peribadi yang cuba lari daripada tanggungjawab sebagai pemimpin. Kegagalan beliau mengubah masyarakat Islam adalah kerana kepimpinan yang kurang berkesan disebabkan salah memilih pendekatan bagi membuat perubahan ke atas masyarakat yang dipimpinnya sebelum ini.

Sunday, February 17, 2008

Perayu undi mesti mahir berkomunikasi

Satu taktik meraih undi yang diiktiraf banyak pihak sebagai sangat berkesan ialah kempen dari rumah ke rumah. Kesannya dikatakan berlipat ganda berbanding mengadakan ceramah atau majlis kenduri.

Namun keberkesanan taktik berkempen dari rumah ke rumah juga bergantung kepada sejauh mana pembawaan diri perayu undi berkenaan sama ada mampu mempengaruhi atau sebaliknya.

Perunding komunikasi, Ishak Abdul Hamid berkata, seorang petugas parti yang menjadi perayu undi harus memiliki kemahiran berkomunikasi yang tinggi. Kemahiran itu meliputi cara bertutur, bahasa badan, bersalam dan berjalan di hadapan tuan rumah.

‘‘Jika berjaya memenangi hati tuan rumah, ganjaran besarnya ialah seluruh isi rumah akan turut sama memberi sokongan,” kata beliau yang juga pensyarah komunikasi di Fakulti Komunikasi dan Bahasa Moden, Universiti Putra Malaysia.

Perkara pertama yang harus diingat oleh petugas apabila pergi dari rumah ke rumah ialah mereka akan ‘bekerja’ di rumah orang, bermakna kena jaga adat dan tertib kesopanan.

Adat orang Melayu bila berkunjung ke rumah orang, lazimnya membawa buah tangan terutamanya bahan makanan seperti buah-buahan atau kuih-muih ala kadar. Perkara ini turut ditegaskan dalam sebuah hadis yang menegaskan, ‘‘berilah salam dan makan kepada orang yang tidak dikenali’.

‘‘Masalahnya, ada yang berkempen dari rumah ke rumah membawa lebih daripada sekadar makanan. Ada yang membawa hamper, basikal, beras dan duit. Ini sudah termasuk dalam kategori memberi rasuah,” kata Ishak.

Dalam proses berkempen dari rumah ke rumah – tidak mengira di bandar atau kampung, hendaklah memberi salam kepada tuan rumah dan nyatakan tujuan sebenar datang ke rumah itu. Jika tuan rumah sudi, maka masuklah. Jika tidak, jangan sesekali memaksa atau mengugut dibuka pintu atau pagar rumah.

Bila memasuki rumah, hendaklah beradab. Kasut dibuka dan bila sampai ke sofa, jangan terus duduk sebelum tuan rumah duduk. Minta kebenaran hendak duduk di atas kerusi.

‘‘Kita mungkin tidak tahu sesuatu kerusi itu adalah kerusi kegemaran tuan rumah. Jika terus duduk di atas kerusi tersebut, markah berkempen akan mula merudum dari saat itu di mata tuan rumah,” kata Ishak lagi.

Aspek-aspek membuka kasut bila memasuki rumah dan meminta kebenaran untuk duduk mungkin dianggap perkara kecil dan remeh tetapi sebagai orang asing (yang tidak dijemput pula!), ia adalah detik-detik awal mendatangkan perasaan suka atau menyampah pada tuan rumah.

Bila sudah duduk, perkenalkan diri dan nyatakan tujuan serta inti pati kempen. Luangkan masa yang seringkas mungkin, jangan minta tuan rumah menyediakan minuman teh atau kopi pula. Melainkan jika tuan rumah menunjukkan minat dan bertanya lanjut mengenai sesuatu isu serta menawarkan air.

Ishak berkata, seeloknya semasa memulakan perbualan, tuan rumah hendaklah sama-sama duduk iaitu paras pandangan mata adalah sama. Gunakan perkataan yang mudah difahami dan tidak berbunga-bunga seperti orang hendak merisik tunang pula.

‘‘Semasa bercakap, hindarkan daripada menyentuh hal-hal keburukan orang lain. Tuan rumah itu sendiri tidak mengumpat orang, mengapa pula orang luar ada lesen berbuat demikian di rumahnya.

‘‘Seeloknya, nyatakan matlamat calon atau parti bila terpilih nanti akan boleh bawa apa manfaat kepada pengundi. Terus ke isu sebenar. Usah meleret-leret dengan menceritakan keburukan pihak lain,” kata beliau.

Jika semasa berkempen telefon bimbit berdering, minta kebenaran daripada tuan rumah untuk menjawabnya. Jawab sekadar untuk meminta dipanggil semula kemudian. Seboleh-bolehnya usah dijawab telefon kerana ia mengganggu momentum antara perayu undi dengan tuan rumah.


Mesej kempen

Ishak berkata, perayu undi hendaklah menetapkan masa maksimum untuk menyampaikan mesej kempen, misalnya 10 minit. Ia mungkin lebih lama jika tuan rumah bertanya soalan. Tapi jika asyik perayu bermonolog, akan berlaku situasi sama ada tuan rumah khusyuk mendengar atau sudah memekakkan telinga. Jadi hadkan masa bercakap.

‘‘Apabila selesai, jika hendak membaca doa pun boleh. Tengok keadaan. Bacakan doa yang standard, termasuk kesejahteraan tuan rumah. Jangan mencipta bait-bait doa yang menjurus kepada calon atau parti semata-mata,” katanya.

Ishak berkata, terdapat tiga kelompok audiens dalam kempen pilihan raya iaitu mereka yang menyokong parti, yang melawan parti dan di atas pagar.

‘‘Bagi mendapatkan hasil yang terbaik, tumpukan kempen rumah ke rumah kepada kelompok penyokong parti dan di atas pagar. Tiada erti pergi ke rumah mereka yang diketahui penyokong parti lawan. Khuatir ia akan berkesudahan dengan pergaduhan pula.

‘‘Tetapi tumpukan kepada mereka yang di atas pagar. Di sini skil berkomunikasi akan benar-benar teruji kerana mereka yang di atas pagar tidak mudah termakan dengan kempen puji-pujian, apalagi keji-kejian.

‘‘Mereka yang di atas pagar akan bertanya soalan sahih mengenai isu-isu semasa. Mereka tidak berminat untuk mendalami isu skandal atau tuduhan tertentu calon tertentu. Mereka mungkin mahu mengetahui apa rancangan membanteras kes jenayah yang semakin tinggi, harga barangan melonjak dan isu-isu semasa,” kata Ishak.

Dalam konteks ini, perayu undi juga perlu mempersiapkan diri dengan pengetahuan am tetapi jawapan yang diberi hendaklah selari dengan pendirian parti. Kalau jawab ikut sedap mulut dan didapati temberang, kesannya akan dirasai semasa pengiraan undi.

‘‘Sebenarnya, perayu-perayu undi ini adalah cermin kepada calon dan parti. Jika mereka bersopan dan berhemah semasa berkempen, maka itulah cermin kewibawaan calon dan parti yang didukung. Ini satu unsur yang boleh membawa banyak markah daripada tuan rumah,” kata Ishak.

[Utusan Online, 17/2/2008]

Friday, February 15, 2008

107 balai, pusat komuniti polis dibuka

Matlamat pasukan polis meningkatkan kehadiran anggota dan pegawainya dalam masyarakat direalisasikan dengan pembukaan serentak 60 balai polis baru dan 55 pusat komuniti polis di empat negeri yang mempunyai indeks jenayah tinggi.

Pelancaran balai polis dan pusat komuniti polis itu dilancarkan serentak hari ini dan esok.

Berbeza dengan balai sedia ada, balai baru dan pusat komuniti itu beroperasi di premis perniagaan dan rumah-rumah yang disewa di taman perumahan terutama kawasan yang berpenduduk padat.

Strategi pasukan polis itu diperkenalkan berikutan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bulan lalu yang mahu usaha membanteras jenayah diberi nafas baru.

Abdullah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri turut meluluskan peruntukan segera pembukaan 107 buah balai baru dan 55 pusat komuniti polis. Hasil keprihatinan Perdana Menteri itu, hari ini sebanyak 20 balai baru dan 15 pusat komuniti dibuka serentak di Selangor.

Sebanyak 16 balai dan 20 pusat komuniti lagi dibuka di Kuala Lumpur selain pembukaan sembilan balai dan 10 pusat komuniti yang sama di Johor. Esok, 15 balai baru dan 10 pusat komuniti polis juga akan dibuka di Pulau Pinang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang merasmikan pembukaan balai-balai baru itu pada satu majlis simbolik di sini menyifatkan strategi baru polis membanteras jenayah itu sebagai idea Perdana Menteri.

“Ia merupakan agenda nasional Perdana Menteri bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendekatkan diri dan mempercepatkan lagi perkhidmatan polis dengan masyarakat,” katanya.

Balai Polis Bandar Baru Klang yang Musa rasmikan itu terletak di bangunan komersial No. 32, Jalan Tiara 2A/KU1, Pusat Perniagaan Bandar Baru Klang.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Bakri Zinin; Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar; Ketua

Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusuf dan pegawai-pegawai kanan PDRM.

Musa berkata, setiap balai polis baru di bangunan disewakan di premis-premis perniagaan akan berfungsi seperti balai-balai lain yang berperanan menerima dan menyiasat laporan daripada orang awam.

Pada masa yang sama, tambahnya, sesuai dengan kedudukan balai itu di tengah-tengah komuniti, pegawai dan anggota polis terlibat juga akan memberi fokus kepada usaha mengumpul risikan.

“Maklumat risikan ini penting bagi membolehkan program-program pencegahan jenayah dan operasi diadakan dari semasa ke semasa untuk mengurangkan kadar jenayah di kawasan terbabit.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri yang keluarkan peruntukan khas sehingga tertubuhnya balai-balai baru dan pusat komuniti polis ini,” katanya.

Balai Polis Bandar Baru Klang itu diketuai Sarjan Raja Ami Raja Saleh. Laporan pertama daripada orang ramai diterima oleh Musa sendiri di balai itu pada pukul 11.05 pagi ini.

Balai itu boleh dihubungi menerusi talian 03-33412222 atau telefon bimbit Raja Ami sendiri, 012-6727405.

Projek membina balai polis di kawasan komersial dipercayai dapat memberi perkhidmatan kepolisan lebih efisien dan menyeluruh kepada 101,920 penduduk di sekitar Klang yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Dalam pada itu, Musa memberitahu, baki 47 balai lagi iaitu 10 buah di Kuala Lumpur dan 37 di Selangor akan dibuka serentak pada 15 Mac dan 15 April ini.

Beliau memberitahu, sepanjang tahun 2008, PDRM akan membuka 160 balai polis baru di samping tambahan pusat komuniti polis dengan konsep yang sama iaitu menyewa premis perniagaan dan rumah-rumah di kawasan strategik.

Sehubungan itu, katanya, semua ketua polis negeri dan ketua polis daerah telah diarah supaya mengenal pasti premis dan rumah baru untuk disewa bagi tujuan tersebut.

“Apabila semua balai baru itu beroperasi sepenuhnya, kita yakin orang ramai akan lebih selesa berurusan dengan polis dan pada masa yang sama hubungan polis dengan masyarakat dalam dimantapkan.

“Kita juga berharap masyarakat akan memberi kerjasama menyalurkan maklumat atau menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pegawai dan anggota di balai dan pusat terbabit supaya matlamat mengurangkan jenayah tercapai,” ujarnya.

Tambah Musa, ketua polis balai dan anggota di balai-balai baru juga berperanan memberi kesedaran kepada penduduk setempat mengenai tanggungjawab bersama mencegah jenayah di samping turut serta dalam program komuniti.

“Saya juga mengingatkan ketua polis balai dan anggota bertugas supaya menjalankan tugas dengan jujur, bersih, cekap dan amanah serta menjalin perkongsian pintar dengan komuniti,” ujar beliau.

Mengenai pembukaan Balai Polis Bandar Baru Klang, Musa memberitahu, selain diketuai seorang pegawai berpangkat sarjan, ia diperkuat dengan seorang lans koperal dan enam anggota berpangkat koperal dan konstabel.

“Kedudukan Balai Polis Bandar Baru Klang sangat strategik iaitu berdekatan pusat perkilangan, perdagangan dan perindustrian ringan serta tiga pusat beli-belah,” tambahnya.

Beliau berkata, penubuhan balai tersebut sangat kena pada masanya kerana peningkatan kadar jenayah di kawasan berkenaan iaitu daripada 285 kes pada 2005 kepada 349 kes (2006) dan 497 kes (2007).


[Utusan Online, 15/2/2008]

Thursday, February 14, 2008

Pilih calon atau parti?

Pilihan raya umum ke-12 telah pun diketahui. Penamaan calon ditetapkan pada 24 Februari manakala hari membuang undi ialah pada 8 Mac. Jumlah pengundi dijangka lebih daripada 10 juta orang dan kesempatan awal cuti persekolahan akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk setiap pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Sebanyak 222 kerusi parlimen dipertandingkan pada kali ini yang akan menyaksikan 30 parti berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan berlawan sesama sendiri.

Sehari dua ini seluruh perhatian rakyat Malaysia juga terarah kepada pembubaran parlimen bagi memberi ruang dan laluan kepada pilihan raya ini. Tanggungjawab melaksanakan proses pilihan raya yang lancar terletak pada SPR. Sebaik sahaja perdana menteri mengumumkan pembubaran parlimen, pukul 9 malam jentera parti sudah mula bergerak dengan mengadakan taklimat di bilik gerakan masing-masing dan mula memasang bendera. Sasaran kali ini ialah di tiang elektrik, tepi jambatan, atas pokok, pintu pagar dan tiang lampu isyarat.

Bagi meninjau "mood" pilihan raya ini, penyelidik menemui beberapa orang awam untuk mendengar pendapat dan mencari isu yang sedang bermain di fikiran mereka. Penyelidik juga menerima mesej pesanan ringkas mengenai isu-isu yang sedang berlegar-legar di dalam masyarakat ketika ini.

Antara isu yang menjadi perhatian mereka ialah:

1. Barang naik

Harga minyak yang tinggi menyebabkan harga barang-barang keperluan juga naik. Ada pendapat yang menyatakan harga minyak boleh diturunkan jika keuntungan Petronas digunakan sebahagian kecil. Pertanyaan yang timbul ialah ke mana perginya sebahagian besar keuntungan Petronas itu?

Harga minyak yang tinggi pasti menarik sekali harga barang-barang untuk naik walaupun dalam jumlah yang kecil.

2. Boros dan membazir

Pembangunan koridor ekonomi yang melibatkan jumlah RM1 ,074 bilion adalah jumlah yang besar. Siapa yang mendapat manfaat? Ketika masih ada yang tidak dapat makan nasi setiap hari, ada pemimpin yang boros berbelanja. Orang miskin hanya makan nasi dengan kicap, pemimpin bersuka ria dengan projek mega.

3. Rasuah dan komisyen

Isu pembelian kapal selam yang mendedahkan komisyen berjuta ringgit. Ketelusan yang diharap dapat dijelmakan dalam urusan ini menjadi buah mulut rakyat jelata.

4. Keutuhan institusi kehakiman

Video Lingam mendedahkan kejelekan institusi kehakiman Malaysia. Dari sehari ke sehari ada kejutan besar yang memalukan orang Melayu. Keyakinan orang ramai terhadap institusi kehakiman yang luhur mula luntur. Ada yang berkata, "Apalah yang hendak jadi pada Melayu, hakim pun boleh dibuat catur."

Keluhan ini adalah manifestasi kekecewaan mereka terhadap institusi yang dipandang mulia dan tinggi sebelum itu.

5. Moral pemimpin

Pemimpin menjadi model kepada rakyat. Baik pemimpin baiklah rakyat. Jasanya pemimpin akan dikenang sepanjang hayat. Pemimpin yang tidak bermoral juga akan dikenang sebagai tidak bermoral selama-lamanya. Moral masyarakat adalah lambang moral pemimpin. Masyarakat yang menyanjung tinggi peribadi pemimpin yang berwibawa.

Pemimpin yang bermoral akan mempastikan dirinya jauh daripada perbuatan maksiat, berzina, rasuah dan boros. Tetapi apakah masih dikatakan pemimpin bermoral dan berwibawa jika ketika pilihan raya barulah nampak muka yang terhegeh-hegeh mengadakan majlis sumbangan kebajikan sedangkan tiga atau empat tahun sebelum itu tidak pernah menjenguk rakyat yang diwakilinya?

6. Pemimpin bercakap benar.

Isu ini muncul secara mendadak. Pantas tersebar di dalam Internet dan dijadikan bahan perbincangan. Antara tajuk yang diketengahkan ialah "Munafik besar" dan termasuk sekali dalil dan hujah yang rasional.

7. Menyekat kebebasan berhimpun dan menyuarakan pendapat

Ia berkaitan perhimpunan BERSIH yang menghimpunkan beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik. Malangnya program ini tidak diberi permit kerana dikhuatiri mengganggu ketenteraman dan kemudaratan orang ramai.

8. Semua saluran media kerajaan berat sebelah.

Setiap hari televisyen menyiarkan maklumat tentang Barisan Nasional sahaja dan tidak banyak memberi ruang kepada semua parti yang bertanding khususnya parti pembangkang. Pembangkang hanya menggunakan Internet, ceramah dan kempen mulut ke mulut untuk meraih undi. Ternyata wujud keadaan tidak adil di sini. Walau bagaimanapun maklumat yang disampaikan dari mulut ke mulut jauh lebih berkesan.

9. Saham naik, tapi ramai graduan menganggur

Graduan yang ramai adalah baik untuk negara. Tetapi apabila graduan tidak ada kerja, negara rugi kerana tidak menggunakan kepakaran tersebut. Pengangguran hanyalah pembaziran ke atas sumber tenaga manusia dan menghalang kemajuan negara. Apa yang masyarakat nampak ialah kerajaan tidak bersungguh-sungguh menyediakan kerja setelah graduan penat belajar di institusi pengajian tinggi.

Ada graduan menganggur berbisik kepada penyeldik yang beliau sangat kecewa dengan usaha kerajaan dalam hal ini. Sehingga sekarang beliau masih menganggur dan belum mendapat kerja yang sesuai dengan tahap akademik yang diperolehi.

10. Cakap tak serupa bikin

Isu ini berkaitan dengan pelaksanaan Islam Hadhari yang nampak seolah-olah tidak ada arah tuju. Sambutan di kalangan sebahagian besar masyarakat tidak nampak dengan jelas kerana usaha-usaha ke arah pelaksanaannya tidak sampai ke akar umbi masyarakat. Istilah yang biasa didengar ialah "Imam Hadhari" "Ummu Hadhari" "Islam Hari-hari" dan "Ultraman Hadhari."

Ruangan ulasan untuk Islam Hadhari ini sangat menyesakkan fikiran dan dilihat sebagai ketidakfahaman sebahagian besar masyarakat Islam Malaysia. Justeru kata mesti dikota.

11. Masa berkempen yang lebih panjang

Ini juga menjadi isu. Jika pendek pun isu, panjang pun jadi isu.

Isu-isu di atas adalah isu tempatan yang sedang hangat di pasaran ketika ini. Dalam ceramah-ceramah politik, mahu atau tidak, pasti ada disentuh.

Di samping pihak Barisan Nasional, pembangkang juga dinilai kelancangan mereka berceramah. Ada yang memang sangat sesuai tetapi ada yang tidak boleh diterima langsung kerana menyerang peribadi.

Isu-isu luar tidak begitu menarik perhatian responden yang ditemui seperti isu pengaruh global, cara kepimpinan perdana menteri dan sebagainya.

Rumusan bagi kajian yang ringkas ini ialah ada kemungkinan terdapat undi protes kerana pengundi inginkan perubahan yang lebih baik. Ada yang berpendapat setelah 50 tahun Barisan Nasional mentadbir negara, hasilnya kita dapat lihat seperti isu-isu di atas, barangkali telah tiba masanya untuk membuat perubahan. Tetapi belum tentu perubahan berkenaan akan menjadi lebih baik seperti hari ini.

Justeru, apakah pilihan kita? Calon atau parti?

Wednesday, February 13, 2008

‘Jambatan’ kaum India

Perasaan tidak puas hati terhadap pencapaian sosio ekonomi kaum India di negara ini yang menjadi-jadi sejak kebelakangan ini bukan kerana kerajaan meminggirkan kaum berkenaan, sebaliknya berpunca daripada kegagalan para pemimpin MIC memberi penjelasan yang konkrit kepada komuniti tersebut.

Kejayaan 100 peratus yang dicapai pada setiap pilihan raya menjadikan para pemimpin parti itu selesa dengan andaian para pengundi mereka berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberi selama ini, walaupun hakikat sebaliknya.

Suara-suara lantang dan tegas pada ketika ini telah membangkitkan para pemimpin MIC daripada tidur dan membuatkan mereka menyedari apa yang dilakukan selama ini rupa-rupanya belum lagi cukup dan masyarakat mengharapkan sesuatu yang lebih meyakinkan atau harapan masyarakat kini lebih tinggi.

Ketika parti komponen Barisan Nasional (BN) lain seperti UMNO, MCA dan Parti Gerakan telah lama melakukan lonjakan paradigma sejajar dengan kemajuan negara dan peningkatan tahap pendidikan rakyat, MIC kini mula mencari kaedah yang relevan untuk memenangi kembali hati ahli dan pengundinya keseluruhannya.

Sebenarnya bukan kerajaan atau MIC meminggirkan kaum India, tetapi kerana kurang penjelasan menyebabkan kaum berkenaan tidak menyedari hakikat yang telah dilakukan oleh kerajaan selama ini.

Berdasarkan statistik jelas menunjukkan 26.6 peratus doktor di negara ini terdiri daripada kaum India. Tidak keterlaluan juga jika dikatakan bahawa peguam terbaik di negara ini terdiri daripada peguam kaum India.

Dalam erti kata lain walaupun kaum berkenaan hanya lapan peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara ini, tetapi mereka berjaya melahirkan jumlah profesional yang begitu tinggi.

Dari segi kadar kemiskinan pula hanya 2.9 peratus kaum itu berada dalam lingkaran kemiskinan, berbanding kaum bumiputera 8.3 peratus, manakala kaum Cina 0.6 peratus.

Indikator itu menunjukkan memang terdapat perubahan ketara di kalangan penduduk kaum India di negara ini, walaupun kerajaan sendiri mengakui masih terdapat ruang yang boleh diperbaiki.

Pelbagai program telah dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan 1.8 juta kaum India atau lapan peratus daripada jumlah penduduk negara itu tidak ketinggalan, tetapi kerana faktor penyampaian yang tidak lancar menyebabkan hanya segelintir daripada kaum itu mendapat manfaat.

Hasilnya jumlah mereka yang berjaya terlalu sedikit berbanding mereka yang masih lagi berjuang untuk hidup kerana berada di bawah paras kemiskinan.

Kini MIC mengambil langkah yang proaktif sejak beberapa bulan lalu apabila para pemimpin MIC yang diterajui oleh Presiden, Datuk Seri S. Samy Vellu bekerja siang dan malam menjelajah ke seluruh pelosok negara berjumpa dengan para pemimpin cawangan bagi menekankan pentingnya mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

Program-program khas juga diadakan bagi menonjolkan kewibawaan para pemimpin peringkat cawangan di kalangan masyarakat India terutama 610,000 ahli MIC di samping memastikan setiap program pembangunan memberi manfaat sehingga ke akar umbi.

Para pemimpin parti itu perlu menjadi juara memperjuangkan nasib kaum mereka bagi mengelakkan daripada diperlekeh oleh pihak lain yang hanya pandai bercakap dan menafikan segala yang telah dilakukan oleh MIC.

Oleh itu para pemimpin MIC di peringkat cawangan perlu memiliki keupayaan untuk mengekalkan hubungan rapat dengan akar umbi.

Mereka perlu turun padang memenangi dan memahami fikiran pengundi melalui penerangan khidmat yang telah diberi di dalam bidang pendidikan, sosial, ekonomi dan agama.

Cawangan merupakan jentera yang paling dekat dengan masyarakat dan mereka perlu meyakinkan kaum India bahawa masa depan mereka adalah di dalam BN dan bukan berada di luar lingkungan BN.

Parti utama mewakili kaum India di dalam BN adalah MIC dan ia perlu diperkukuhkan kedudukannya sebagai pelindung dan penjaga masyarakat India di Malaysia.

Keutuhan MIC adalah penting kerana ia bukan sahaja demi memastikan kemenangan 100 peratus seperti yang dicapai pada pilihan raya lalu di sembilan kawasan Parlimen dan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri, tetapi ia juga penting dalam memastikan kemenangan lebih besar BN.

Ini adalah kerana 85 peratus daripada ahli MIC atau 518,500 orang ialah pengundi berdaftar, manakala di 62 kawasan Parlimen dan 130 kawasan Dewan Undangan Negeri kaum India mewakili 10 peratus atau lebih pengundi berdaftar.

Sebenarnya masalah yang dihadapi oleh masyarakat India tidak mempunyai kaitan dengan politik, tetapi ia berpunca daripada proses perubahan daripada masyarakat luar bandar kepada masyarakat bandar yang turut dialami oleh kaum Melayu.

Ekoran anggaran kira-kira 80 peratus masyarakat India kini berhijrah ke bandar berikutan penutupan ladang-ladang bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.

Penghijrahan tidak terkawal tanpa sistem sokongan yang formal telah mewujudkan masalah sosioekonomi yang turut mengheret para pemimpin politik ke dalamnya.

Isu-isu sosioekonomi yang wujud ekoran penghijrahan itu termasuklah kekurangan kemahiran teknikal, kekurangan perumahan, kekurangan peluang pendidikan dan kadar literasi yang rendah, kebergantungan kepada kerja makan gaji, bekerja dengan gaji yang rendah, peningkatan masalah sosial dan kadar jenayah yang tinggi.

Keadaan itu menyebabkan kaum India yang belum cukup bersedia untuk menjadi masyarakat bandar terus ketinggalan daripada kemajuan dan proses pembangunan negara.

Kegagalan proses dan prosedur pelaksanaan serta mekanisme penyampaian yang tidak berkesan menjadikan keadaan semakin meruncing.

Sedangkan jika dilihat dalam tempoh 20 tahun dalam usaha memastikan kaum berkenaan mendapat pendidikan secukupnya telah memperuntukkan RM30 juta untuk pembangunan sekolah Tamil dan MIC sendiri telah mengutip RM7 juta untuk membina semula 76 buah sekolah Tamil.

Sebenarnya terlalu banyak program yang dianjurkan secara khusus untuk kaum India atau untuk keseluruhan rakyat Malaysia, tetapi ia gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh kaum India kerana kurangnya mobiliti kaum berkenaan.

Kini segalanya terletak di tangan kaum India sendiri untuk merebut peluang yang ada dan para pemimpin MIC pula selaku jambatan antara rakyat dengan kerajaan perlu bekerja keras dan gigih seperti yang ditunjukkan oleh Samy Vellu.


[Utusan Online]

Tuesday, February 12, 2008

Menjelang pilihan raya di Kelantan

Gendang pilihan raya semakin kuat dipalu. Media massa khususnya televisyen sentiasa mendendangkan kejayaan kerajaan Barisan Nasional sebagai pelaksana pembangunan negara melalui pelbagai dasar yang menjanjikan kesenangan dan kemakmuran. Pelancaran koridor pembangunan ekonomi dari Perlis hingga ke Sabah adalah menifestasi usaha berterusan kerajaan untuk menuju kecemerlangan Wawasan 2020.

Sehingga kini ada lima koridor pembangunan ekonomi yang dilancarkan sejak tahun lepas yang merangkumi:

1. Pembangunan Wilayah Iskandar
2. Pembangunan Koridor Utara
3. Pembangunan Koridor Pantai Timur
4. Pembangunan Koridor Sabah
5. Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak

Selain itu terdapat satu projek mega di Pulau Pinang iaitu Pembangunan PGCC yang berjumlah RM24 bilion.

Projek pembangunan ini mempunyai matlamat jangka panjang untuk membangunkan semua kawasan di Malaysia seiring dengan komitmen kerajaan Barisan Nasional bagi mencapai status negara maju.

Ketika rancak dengan projek, terselit kisah seorang abang kepada aktivis parti politik pembangkang yang menyertai UMNO. Media melaporkan Zakaria bin Ali menyerahkan borang permohonannya untuk menjadi ahli UMNO kepada Datuk Idris Jusoh baru-baru ini.

Berita ini pantas dijadikan bahan kempen pilihan raya di media massa. Pada masa yang sama juga, ruang e-groups dipenuhi dengan maklumat bahawa Zakaria bin Ali pernah mengisytiharkan dirinya menjadi ahli UMNO di hadapan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Wan Mokhtar dulu. Ini adalah kali kedua beliau melakukan perkara yang sama tetapi pada masa yang berbeza. Nombor ahlinya ialah 02812128.

Adik beliau, Datuk Musfa Ali dalam kenyataannya meminta semua pihak tidak menyakiti hati abangnya dengan perkataan atau perbuatan yang boleh menjejaskan kesihatan dan meminta pemimpin UMNO menjaganya dengan baik.

Di sebalik serangan maklumat yang berubi-tubi di media, pembangkang juga melakukan serangan yang serupa. Mereka juga mempunyai strategi untuk menyerang balik pelbagai maklumat yang memburukkan mereka. Walaupun tidak ada media yang berpengaruh, mereka menggunakan sepenuhnya teknologi maklumat khususnya laman web melalui ruang sembang maya yang banyak mendedahkan maklumat yang tidak ada di media arus perdana.

Maklumat yang didedahkankan ada kalanya sangat terperinci. Jadi, pemilih mempunyai pilihan untuk mempercayai atau tidak maklumat yang mereka dapat melalui media perdana tersebut.

Dalam pada itu, kempen pilihan raya di Kelantan sangat sengit dengan beberapa orang besar dari UMNO terus menerus datang ke negeri ini. Keyakinan Barisan Nasional untuk merampas Kelantan sangat membara setelah 18 tahun menjadi pembangkang di sini. Kerajaan negeri pimpinan PAS juga merangka strategi tersendiri. Antaranya ialah mengadakan penerangan gerak gempur pilihan raya di PUTIK, Pengkalan Chepa baru-baru ini kepada semua peringkat pimpinan parti bagi memastikan PAS kekal di Kelantan dalam pilihanraya ke-12 nanti.

Senario politik di Kelantan sangat berbeza daripada lain-lain negeri kerana tokoh agama diberi keutamaan. Selepas Kota Bharu diisytiharkan sebagai Bandaraya Islam tiga tahun yang lalu, dasar Membangun Bersama Islam diterima baik oleh majoriti rakyat negeri. Penguatkuasaan karaoke, judi dan tindakan yang menyalahi syariat turut disambut baik oleh masyarakat yang mahukan pelaksanaan penghayatan Islam diamalkan dalam kehidupan seharian.

Barisan Nasional akan terus berusaha bagi mempastikan mereka dapat menawan Kelantan pada kali ini dan PAS akan berjuang mempertahankan kerajaan yang ada. Pertarungan dijangka sengit. Sekarang pun pemandangan rakyat juga dikaburi bendera hijau dan biru yang dipasang di merata tempat: atas julai pokok, tepi getak (jambatan) dan persimpangan jalan. Dari Pasir Puteh hingga Gua Musang, bendera parti politik ada di mana-mana.

Seorang rakan dari Kelantan yang telah lama bekerja di Petaling Jaya berkata, beliau akan memilih Barisan Nasional pada pilihan raya kali ini kerana tidak banyak pembangunan di bawah kerajaan PAS.

Seorang lagi rakan juga dari Kelantan berkata, beliau akan mengundi Tok Guru kali ini kerana di bawah kerajaan PAS, jalan raya di kampungnya diturap hingga ke depan rumah. Di bawah kerajaan Barisan Nasional dahulu, dia tidak merasa nikmat pembangunan berkenaan.

Politik pembangunan adalah harapan kepada semua pengundi. Mereka akan mengundi calon yang layak dan boleh melaksanakan kerja. Pada pandangan mereka, setiap parti politik ada peranan masing-masing. Terpulang kepada kebijaksanaan masing-masing untuk memilih calon dan parti. Konsep "bagi duit ambil, bagi kain pelekat ambil" menjadi sebati dengan masyarakat Kelantan. Justeru, lebih banyak program dan majlis ketika hampir pilihan raya ini, hati mereka sangat girang tetapi belum tentu akan mengundi mana-mana parti yang ingin mampir.

Monday, February 11, 2008

Anakku Hebat Anakku Soleh

Penulis: Zahazan Mohamed
Penerbit: Telaga Biru Sdn. Bhd


Semua ibu bapa mengimpikan anak-anak yang hebat, selalu sukses dalam setiap aktiviti yang diceburi, pada masa yang sama cerdik dan soleh. Tetapi pakej ciri anak cemerlang ini tidak semudah itu untuk dimiliki. Anak sentiasa terdedah dengan pelbagai pengaruh, anasir dan cabaran.

Ibu bapa mempunyai segala kuasa untuk menyediakan landasan yang perlu dilalui anak-anak seharian dalam proses membesar, ibu bapa juga perlu mengawal dan menyelia. Untuk itu petunjuk daripada Ilahi melalui al-Quran dan hadis merupakan modul dan acuan terpenting. Ibu bapa jangan mudah terperangkap dengan kaedah dan teknik mendidik sebarangan. Buku ini menghuraikan kaedah dan panduan tersebut.

Ulasan Editor: Mendidik anak-anak merupakan tanggungjawab ibu bapa. Ketika masyarakat resah dengan perilaku kurang bermoral anak-anak muda pada hari ini, sebahagian besar ibu bapa memikirkan seseorang yang boleh dijadikan sebagai ikutan dan model terbaik untuk mendidik anak-anak mereka.

Buku ini memberi panduan dan harapan tentang proses dan kaedah untuk mendidik anak-anak supaya akhlak yang terbina kelak adalah akhlak yang terpuji.

Sunday, February 10, 2008

Thailand kembali asal

Selepas rampasan kuasa tentera pada 19 September 2006, banyak pihak membayangkan landskap politik Thailand akan berubah. Ia berubah daripada politik rasuah dan kroni kepada yang lebih demokratik. Ini lanjutan daripada kejatuhan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra dalam rampasan kuasa. Bagi yang mengikuti turun naik politik Thailand, Thaksin bukan saja membunuh demokrasi malah membunuh orang Islam di selatan Thailand.

Serangan tentera pada suatu subuh di Tak Bai cukup melukakan hati rakyatnya yang beragama Islam. Ketika itu tahanan yang masih hidup disusun bertindih antara satu dengan lain tanpa berbaju seperti haiwan di atas lori. Pemandangan begini sama seperti lori-lori yang membawa babi dan persepsi masyarakat Islam, Thaksin menghina rakyatnya sendiri.

Serangan itu dipercayai mendapat restu, malah barangkali arahan daripada Thaksin sendiri. Tragedi pembunuhan beramai-ramai penunjuk perasaan Islam di selatan Thailand adalah kemuncak kebencian rakyat selatan Thailand kepada Thaksin. Ini ditambah pula dengan tuduhan rasuah, kroni dan campur tangan dalam angkatan tentera.

Maka kejatuhan bekas perdana menteri itu dilihat satu titik perubahan di selatan Thailand yang terpinggir daripada arus pembangunan. Ketiadaan Thaksin menjanjikan cahaya keamanan di beberapa wilayah yang didiami oleh masyarakat Islam. Walaupun tragedi pembunuhan terus berlaku tetapi kalangan masyarakat Islam menaruh harapan pemimpin baru Thailand yang melepasi proses demokrasi akan lebih berperikemanusiaan.

Tentu tidak ada yang percaya bahawa suatu hari Thaksin akan berpatah balik, terus berkuasa dengan pengaruhnya cukup besar daripada yang sedia ada. Tetapi akhirnya kita terpaksa akur bahawa tidak semua demokrasi itu adil, dan memberikan hasil yang menepati kehendak semua orang. Inilah yang berlaku dalam pilihan raya akhir tahun lepas iaitu setahun selepas rampasan kuasa. Pilihan raya yang diharap menjadi satu anjakan ke arah kerajaan yang berintegriti telah berlaku sebaliknya. Semua ini mengembalikan Thailand dalam landskap politik yang asal; kotor, penuh muslihat dan lebih kepada kepentingan peribadi. Kalau sebelum ini rakyat menolak Thaksin, tetapi kini Thaksin wujud dalam politik Thailand.

Lalu, apa lagi yang boleh dilakukan untuk membersihkan saki-baki pengaruh Thaksin selepas pilihanraya membuktikan kemenangan kepada sekutunya? Pilihan raya pada 23 Disember lalu dimenangi oleh Parti Kuasa Rakyat (PPP). Parti ini ditubuhkan oleh penyokong-penyokong Thaksin dalam parti Thai Rak Thai (TRT) yang diharamkan oleh kerajaan tentera.

Saki-baki penyokong Thaksin menubuhkan PPP pimpinan Samak Sundaravej, kini pemimpin yang berusia 72 tahun itu dengan rasminya telah menjadi Perdana Menteri. Kemenangan PPP dan Samak membuktikan Thaksin masih "hidup" dan terus berpengaruh memberi warna dalam politik Thailand.

Ternyata usaha menyingkir Thaksin gagal sama sekali dan bekas perdana menteri itu pasti akan kembali dengan kuasa yang lebih besar daripada sebelumnya. Dengan aset peribadi yang bernilai berbilion ringgit, sudah pasti kerajaan pimpinan Samak akan dibayangi bekas perdana menteri itu. Thaksin semasa dalam buangan, secara bergurau pernah berkata, "Kalau saya masuk politik sekali lagi, isteri akan meninggalkan saya." Mungkin benar dia tidak menyertai politik tetapi menjadi pemain di belakang tabir politik Thailand.


DakwaanBayangan landskap politik yang penuh rasuah dan kroni akan kembali seperti asal. Salah satu sebabnya Samak yang masih berdepan dakwaan rasuah di mahkamah tetapi kini menjadi Perdana Menteri. Takhsin pula tentu tidak membiarkan Samak mencorakkan Thailand sesuka hatinya kerana dalam PPP dan kabinet adalah mata dan kepala Thaksin.

Salah satu tujuan rampasan kuasa oleh tentera ke atas kerajaan Thaksin adalah untuk menyelamatkan negara itu daripada terus dibayangi gejala rasuah. Thaksin terbukti mempunyai pengaruh yang sangat kuat kalangan rakyat dan sekiranya pilihan raya diadakan tanpa menyingkirkan Thaksin, proses itu dengan sendirinya akan hilang demokrasi. Maka satu-satunya cara untuk menyingkirkan Thaksin adalah rampasan kuasa yang diadakan secara aman semasa Thaksin berada di New York kerana menghadiri mesyuarat agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Thaksin, perdana menteri bilionair tidak akan kalah dalam pilihan raya. Dengan kekayaan yang luar biasa itu, dia pasti akan menggunakan untuk tujuan politik dan terus memimpin Thailand. Lalu rampasan kuasa yang ketuai oleh Jeneral Sonthi Boonyaratglin adalah cara terakhir mengembalikan kesucian demokrasi kepada rakyat.

Tetapi rampasan kuasa ini kurang disenangi oleh Barat khususnya Amerika Syarikat (AS) yang menjadi sekutu Thailand. Banyak media Barat menganggap tindakan Sonthi membelakangi demokrasi. Bagaimanapun rampasan kuasa ini mendapat sokongan rakyat dan mereka yang dahagakan demokrasi mengalu-alukan tindakan tentera itu.

Saat-saat akhir sebelum berlepas ke New York, Thaksin berdepan dengan tekanan pihak pembangkang. Mereka mendesak Thaksin berundur untuk membolehkan pilihan raya yang bersih dan adil. Pembangkang juga mendesak Thaksin membatalkan urus niaga penjualan Shin Corp kepada Temasek milik Singapura yang didakwa untuk kepentingan peribadinya. Desakan ini membuatkan hubungan dua hala antara Thailand dan Singapura terjejas.


Demikiahlah buruknya apabila pemimpin negara terlibat dalam perniagaan dan keuntungan bukan mengalir kepada rakyat tetapi kepada ahli keluarga untuk hidup mewah. Bagaimanapun apabila sekutu Thaksin dipilih menjadi perdana menteri, semua ini membayangkan politik Thailand akan lebih teruk lagi selepas ini. Bayangkan apabila peguam Thaksin, Noppadon dilantik menjadi Menteri luar dan beberapa menteri kabinet Thaksin turut dilantik menerajui beberapa kementerian.

Ternyata impian rakyat untuk melihat perubahan dalam sosiopolitik dan ekonomi tidak akan terlaksana. Pilihan raya yang diimpikan mengubah suasana politik telah menjadi laluan Thaksin kembali dan terus berkuasa. Malah Jeneral Sonthi mengakui rampasan kuasanya gagal untuk menukar corak politik Thailand. Kejayaan PPP yang secara terang-terang memberikan tamparan kepada pemimpin tentera yang sangat dihormati ini.

Mungkin ada tertanya-tanya kenapa nyawa politik Thaksin begitu liat di negara gajah putih itu? Hampir tidak ada pemimpin yang dirampas kuasa masih boleh kembali dengan pengaruh yang seperti dulu. Shah Iran hingga ke akhir hayat berada dalam buangan, sementara Zulfikar Ali Bhutto pula rampasan kuasa membawa hukuman gantung sampai mati. Sukarno terus hilang selepas jeneral kepercayaannya Suharto menduduki takhta presiden Indonesia. Tetapi Thaksin tidak malang seperti mereka.

Politik kroni akan mengisi segenap laluan dalam kerajaan Samak. Tambahan pula dia sendiri mempunyai rekod rasuah yang belum selesai. Sementara itu suasana politik di selatan Thailand akan terus bergolak apabila kerajaan yang ada sekarang melangsungkan kerangka yang diguna pakai semasa era Thaksin. Bila- bila masa saja Thaksin yang disangka akan mati dalam buangan akan kembali dan Jeneral Sonthi tentu akan berdepan dengan kesukaran walaupun Samak diberi amaran supaya tidak campur tangan dalam ketenteraan.

[Utusan Online]

Ulasan Penyelidik:

Jika anda menggunakan pas sempadan untuk memasuki Thailand, sediakan satu ringgit kerana pengawal imigresen di kaunter masuk akan meminta wang. Inilah nilai yang ada pada pegawai kerajaan Thailand yang tidak segan silu meminta wang. Rasuah yang berleluasa di negara penjajah wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat hanya menunggu masa untuk ditentang oleh umat Islam di tiga wilayah itu.

Kekejaman Thaksin akan dibalas dengan kejayaan yan berpihak kepada umat Islam yang ditindas. Politik Thailand adalah politik bangsa yang memaksa bukan Thai untuk mengikut bahasa dan budaya Thai.

Membentuk personaliti positif pada anak

Mungkin sesetengah ibu bapa menganggap bayi mereka masih terlalu kecil untuk ke sekolah. Namun, tidak ramai yang menyedari bahawa sejak usia sebulan lagi bayi sebenarnya sudah mula mempelajari menerusi apa yang berlaku di sekelilingnya.

Malah ketika usia bayi mencecah enam bulan, merekalah ‘pelajar yang paling bersemangat’ untuk mempelajari setiap benda baru yang ditemui dalam kehidupan sehari-hari.

Pada masa inilah ibu bapa harus memainkan peranan untuk menjadikan setiap saat tumbesaran bayi itu sebagai proses pembelajaran.

Perlu diketahui oleh setiap ibu bapa juga bahawa inilah saat dan masanya untuk memberi stimulasi atau rangsangan kepada minda dan tumbesaran psikomotor bayi agar membesar menjadi seorang yang bijak dan responsif terhadap orang mahupun keadaan di sekelilingnya.

Menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya, Dr. Lihanna Borhan, setiap ibu bapa harus menyediakan persekitaran yang stabil, serta mengadakan rutin yang jelas dalam kehidupan sehari agar anak dapat memahami dan menerima keadaan sekeliling seadanya.


Interaksi sosial

“Menurut Teori Erikson, konflik psikososial yang perlu ditangani oleh bayi ialah untuk percaya atau tidak mempercayai orang di sekelilingnya manakala interaksi sosial amat penting ketika ini,” ujar beliau ketika ditemu bual di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelas Dr. Lihanna, selain membentuk persekitaran yang positif, ibu bapa juga harus mempunyai pendekatan keibubapaan yang konsisten.

“Sebagai contoh, jika hari ini anak menangis kita marah tetapi apabila esok kita buat tidak tahu apabila dia menangis, bayi akan keliru kerana sikap ibu bapa yang tidak konsisten.

“Sebetulnya, apabila bayi berusia enam bulan ke atas menangis adalah bertujuan memberitahu dia sakit, marah atau sengaja mencari perhatian.


“Jika bukan disebabkan sakit tapi dia tetap menangis janganlah kita terus memujuk, kerana di peringkat ini bayi sudah mula pandai memanipulasi tangisan mereka untuk mendapat perhatian lebih daripada ibu atau bapa,” jelas Dr. Lihanna.

Menurutnya, sikap cemas ibu bapa juga mempengaruhi sifat anak. Sebagai contoh, jika anak jatuh dan dia tidak terasa sakit sangat, anak akan menoleh seketika kepada ibu atau bapanya untuk melihat reaksi mereka.

“Ibu atau bapa yang terlalu cepat mengangkat anaknya atau menunjukkan reaksi negatif biasanya akan mempengaruhi anak untuk bersifat bimbang dan cemas.


“Ada satu kajian di Amerika Syarikat (AS) mendapati bahawa ibu yang takut pada anjing, anak mereka turut takut pada binatang yang sama. Ini dipanggil rujukan sosial, justeru ibu bapa haruslah mempersiapkan diri dan menambah ilmu sekiranya mahu membentuk personaliti anak yang lebih positif.

“Jangan salahkan anak sekiranya mereka menjadi malu, pasif ketika berhadapan dengan orang ramai, jangan sesekali beri tekanan dengan cara perli atau paksaan kerana itu akan memburukkan lagi perkembangan minda dan sosial mereka,” ujar beliau.

Mendedahkan

Dr. Lihanna yang mendalami bidang psikologi kanak-kanak dan remaja berpendapat, untuk mendapatkan anak yang bijak dan sosial, ibu bapa haruslah mendedahkan bayi kepada persekitaran yang pelbagai sekerap mungkin.

“Di AS, kaum ibu sering menjadikan rutin wajib perjumpaan berkumpulan yang dipanggil playgroup. Pada ketika ini mereka yang mempunyai anak-anak kecil akan berkumpul di satu rumah atau laman salah seorang daripada mereka dan mengadakan pelbagai aktiviti interaktif untuk bayi dan anak-anak.

“Ini salah satu cara untuk anak mula bersosial dengan baik dan selamat serta kaum ibu juga boleh mengambil kesempatan berkongsi idea dan pengalaman mendidik anak,” ujar beliau.

Di samping itu, jika membawa bayi keluar berjalan, cuba pergi ke kawasan di mana bayi boleh mendapat persekitaran baru. Bercakaplah dengan bayi tentang apa yang dilihat, bau atau rasa.

Tindakan ini akan menambah sifat ingin tahu bayi dan seterusnya merangsang minda bayi.

Dr. Lihanna berkata, selain mendedahkan bayi kepada persekitaran yang pelbagai, ibu bapa juga mesti menjadikan rumah sebagai kawasan yang selesa untuk bayi mereka.

“Perlu diingat pelajar yang baik adalah mereka yang mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi. Cara paling baik untuk memperkasakan sifat ingin tahu bayi anda ialah dengan mempersiapkan persekitaran di dalam rumah di mana ia selamat untuk bayi meneroka apa yang ada di dalamnya. Belikan mainan yang selamat juga buku-buku cerita untuk mereka.

“Jika selalu membacakan buku cerita kepada bayi dengan cara menyelak helaian buku satu persatu, bayi tidak akan sengaja mengoyakkan buku yang ada di tangan mereka,” jelas beliau lagi.

Selain itu, menurut Dr. Lihanna, ibu bapa harus pastikan memaksimumkan masa main bersama bayi. Belikan barangan permainan pelbagai bentuk, warna, tekstur dan mempunyai bunyi.

“Ada kalanya biarkan bayi main sendirian dan ada masa peruntukkan waktu bermain bersama bayi anda. Kedua-dua cara ini memberi latihan kepada minda bayi dengan cara yang berlainan. Cuba elakkan serta-merta membantu bayi anda untuk meneroka permainan atau aktiviti yang lebih mencabar.

“Dengan cara ini dia berpeluang bereksperimentasi dan berusaha untuk belajar sendiri. Tetapi janganlah dibiarkan anak itu jika dia berterusan menghadapi masalah dengan permainannya, jika tidak bayi akan berasa kecewa dan bosan dengan permainan tersebut,” kata beliau.

Dr. Lihanna menambah, pastikan anda menghentikan waktu bermain bersama bayi sekiranya bayi mula menoleh dan melihat sekelilingnya.

“Tindakan itu menandakan bayi telah mengalami lebih stimulasi,’’ katanya.


[Utusan Online]