Thursday, April 30, 2009

Miskin tegar hapus tahun depan

Perkembangan pesat ekonomi negara sejak beberapa dekad lepas telah membantu Malaysia mengurangkan kadar kemiskinan daripada 58.7 peratus pada 1970 kepada 7.1 peratus sahaja pada 2007 manakala kadar kemiskinan tegar kini hanyalah 1.4 peratus.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Malaysia berazam menghapuskan kemiskinan tegar menjelang tahun depan.

"Cabaran utama ialah membina asas dan infrastuktur yang kukuh untuk meletakkan sosio-ekonomi golongan itu pada landasan yang betul," katanya ketika berucap pada dialog serantau mengenai pembasmian kemiskinan di luar bandar di sini hari ini.

Shafie berkata, tindakan itu dilaksanakan berasaskan tiga konsep iaitu memastikan mereka mendapat pendidikan berkualiti termasuk latihan vokasional dan memperbanyakan peluang latihan semula.

Konsep kedua ialah dengan melihat cara lebih inovatif bagi menggalakkan aktiviti ekonomi untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, dan ketiga, ialah memperluaskan skim bantuan termasuk bidang kecil yang sensitif khususnya berkaitan pinjaman kewangan.

Shafie berkata, pelaksanaan program secara bersepadu dan mempelbagaikan bidang sosio-ekonomi untuk lebih 30,000 golongan miskin tegar menjadi pilihan kerajaan bagi menangani krisis ekonomi global.

[BERNAMA]

Modenisasi, struktural sektor awam

Teks ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertemakan “Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” di Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-10 (MAPPA X) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.

Alhamdulillah, saya mengucapkan rasa syukur setinggi-tingginya ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan kurnia-Nya jua satu proses peralihan kuasa yang tertib, licin dan sempurna telah berlangsung pada 3 April yang lalu.

Terima kasih yang tidak terhingga saya rakamkan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah memungkinkan peralihan tersebut berjalan dengan begitu baik.

Justeru, saya berasa amat sukacita kerana inilah julung kali saya bertemu dengan tuan-tuan dan puan-puan dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) kali kesepuluh atas kapasiti sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru.

Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan dari seluruh pelosok negara menjadi manifestasi komitmen dan iltizam tuan-tuan dan puan- puan kepada perkhidmatan awam yang telah lebih lima dekad menjadi tunjang dan nadi kepada pembangunan negara.

Sungguhpun inilah kali pertama saya bercakap sebagai ketua kerajaan, hakikatnya saya telah lama kenal sebilangan besar tuan-tuan dan puan-puan sepanjang perjalanan kepimpinan dan politik, lebih 33 tahun.

Mengimbau sejarah, kira-kira empat puluh tahun yang lalu, Allahyarham ayahanda saya telah diamanahkan sebagai Pengarah MAGERAN. Pada saat dan ketika itu, perpaduan kaum ibarat retak seribu dan rakyat Malaysia sudah hampir hilang harapan.

Selaku Pengarah MAGERAN, ayahanda saya telah berjaya memulihkan demokrasi serta harapan rakyat Malaysia dengan dibantu oleh anggota perkhidmatan awam yang amat berintegriti, berkebolehan, berwibawa dan berdedikasi.

Pendek kata, ramai daripada pendahulu-pendahulu tuan-tuan dan puan-puan adalah mereka yang berada di barisan hadapan dan sangat instrumental dalam usaha memulihkan negara pasca episod hitam 13 Mei 1969.

Sekali air bah sekali pantai berubah. Salah satu hakikat zaman adalah perubahan. Untuk maju manusia perlu sentiasa berada di hadapan keluk perubahan manakala untuk kekal di hadapan manusia perlu menerajui perubahan, sebaliknya jika hanya bernostalgia dengan sejarah kejayaan lampau tanpa gigih mencari kejayaan-kejayaan baru akan menyebabkan gejala jumud dan beku membudaya.

Oleh itu setiap generasi penjawat awam perlu membuktikan kerelevanan mereka kepada rakyat dengan mencipta semula peranan mereka sesuai dengan masa. Melalui kaedah ini barulah mereka boleh memainkan peranan secara berkesan sebagai pemelihara kepentingan awam.

Satu ketika dahulu penjawat awam Malaysia mempunyai reputasi yang amat cemerlang bukan sahaja di kalangan rakyat tempatan tetapi juga di peringkat rantau dan antarabangsa. Bukan maksud saya untuk mengatakan bahawa perkhidmatan awam Malaysia hari ini tidak secemerlang dahulu kerana telah terbukti bahawa perkhidmatan awam Malaysia telah memainkan peranan yang proaktif dalam proses transformasi negara dari sebuah negara pertanian kepada sebuah negara perindustrian.

Namun kayu ukur dan tanda aras hari ini telah berubah akibat proses globalisasi, ledakan maklumat dan peningkatan taraf sosio ekonomi rakyat. Sesungguhnya penambahbaikan yang ingin saya lakukan adalah satu kesinambungan kepada transformasi berterusan sektor awam yang telah dimulakan sejak lama dahulu.

PENJAWAT AWAM: DALAM KONTEKS MENDEPANI CABARAN EKONOMI

Hakikatnya, hari ini kita berhadapan dengan dua cabaran monumental. Pertamanya cabaran jangka pendek dan keduanya cabaran jangka panjang. Di bawah cabaran jangka pendek ini terdapat tiga cabaran berkaitan. Cabaran jangka pendek pertama ialah untuk memastikan negara akan mengalami impak yang seminimum mungkin kesan kegawatan kewangan dan ekonomi global yang sedang berlaku.

Cabaran jangka pendek kedua ialah untuk keluar daripada kemelut ekonomi dan kewangan yang ada, dengan kadar paling pantas. Cabaran jangka pendek ketiga ialah untuk membantu rakyat Malaysia bagi menangani keperitan hidup yang dialami.

Manakala cabaran jangka panjang pula ialah untuk melakukan pembaharuan dan perubahan struktural kepada ekonomi Malaysia berasaskan kepada satu model yang baru berteraskan kreativiti dan inovasi.

Di bawah model baru ekonomi ini kerajaan akan membangunkan sektor perkhidmatan bagi menjadi peneraju pertumbuhan dan pembentukan kekayaan baru pada masa yang sama menggalakkan sektor pembuatan untuk bergerak ke rantaian nilai yang lebih tinggi.

Langkah-langkah ini diharapkan agar dapat menyelesaikan secara tuntas kemelut yang dialami negara selama ini dari segi ekonomi iaitu of being neither here nor there yakni, sementara kita bukan lagi boleh dianggap sebagai pusat sektor pengeluaran berkos rendah, kita juga belum berupaya melonjakkan negara ke peringkat lebih tinggi dalam rantaian nilai sektor yang sama.

Model baru ekonomi ini juga diharapkan akan menjadi pemangkin kepada Malaysia untuk meningkatkan statusnya dari sebuah negara upper middle income kepada negara high income dan dalam masa terdekat meletakkan kita kembali di landasan yang betul bagi merealisasikan Wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara maju.

Saya yakin dan percaya bahawa sektor perkhidmatan awam akan terus mampu memainkan peranan bagi menangani cabaran-cabaran ini kerana sejarah telah membuktikan bahawa tuan-tuan dan puan-puan telah berjaya membantu dalam proses transformasi Malaysia daripada sebuah negara pertanian berubah menjadi sebuah negara perindustrian moden sehingga Malaysia muncul di kalangan 20 negara perdagangan terbesar di dunia.

SATU MALAYSIA

Apabila saya mengambil alih kepimpinan negara, saya telah mengutarakan konsep “Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.” Konsep ini bukanlah sesuatu yang baru. Ia sebenarnya adalah kesinambungan kepada apa yang diperjuangkan semenjak Almarhum Tunku Abdul Rahman.

Selama ini pun, Malaysia berjaya kerana kita menjadikan kemajmukan rakyat yang ada sebagai sumber kekuatan walaupun kita telah menyaksikan banyak negara di dunia telah hancur dek faktor kemajmukan. Malah kita juga telah merasai sedikit sebanyak bagaimana kemajmukan yang tidak diurus dengan betul telah hampir meranapkan negara seperti mana yang telah dialami semasa tragedi 13 Mei.

Maka yang demikian, suka atau tidak suka, kita mesti mengakui kemajmukan yang wujud adalah realiti yang harus di terima. Inilah merupakan teras kepada konsep Satu Malaysia, mengakui realiti yang ada dan menjadikannya sebagai platform untuk mencapai kejayaan demi kejayaan.

Konsep ini tidak sekali-kali lari daripada apa yang telah dimaktub dan dimuafakatkan melalui undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara.

Di bawah konsep Satu Malaysia ini setiap rakyat Malaysia yang berkelayakan dan memerlukan bantuan serta pertolongan akan kita bantu. Tidak akan ada mana-mana pihak yang akan dicicirkan.

Sesungguhnya lagi janganlah mana-mana pihak menganggap mereka adalah warganegara kelas dua di negara tercinta ini, kerana setiap anak Malaysia adalah potensi modal insan yang penting kepada negara, setiap mereka perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Ketahuilah, setiap warganegara mempunyai hak dan tanggungjawab masing-masing seperti mana yang telah digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan. Kewarganegaraan bukan sahaja menggariskan hak tetapi juga menuntut tanggungjawab. Janganlah mana-mana pihak terlalu taksub terhadap tuntutan hak dan melupakan tanggungjawab mereka sebagai warganegara.

Di bawah konsep Satu Malaysia kita perlu memastikan tiada rakyat Malaysia yang terpinggir daripada mendapat perhatian kerajaan. Bagi kerajaan, meritokrasi bukan bermakna kesaksamaan yang membuta. Malah kesaksamaan bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya yang hak.

Dari itu, seorang anak yang datang dari keluarga miskin tidak kira dari bandar atau luar bandar walau dari etnik mana pun, tetapi ternyata mempunyai potensi sememangnya berhak mendapat bantuan kerajaan berbanding anak-anak golongan berada yang sudah tentu mempunyai peluang pendidikan yang terbaik.

Maknanya, kita boleh menawarkan akses pemula dengan menyediakan datar permainan yang adil tetapi kita sebagai kerajaan tidak berkemampuan memastikan outcome yang sama. Dalam kata lain, kerajaan tidak boleh memainkan peranan ibu bapa, keluarga atau masyarakat setempat, kerajaan juga bukanlah galang yang boleh mengganti kehendak, kemahuan, usaha serta iltizam seorang pelajar atau peniaga juga usahawan untuk berjaya.

Apa yang kerajaan boleh buat seperti yang saya katakan tadi, adalah menyediakan garis permulaan yang adil. Pendek kata, antara prinsip-prinsip utama yang mendasari Satu Malaysia adalah kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) dalam satu keluarga besar.

PENJAWAT AWAM: DALAM KONTEKS MENDEPANI CABARAN PENTADBIRAN

Modenisasi Sektor Awam

Bagi menjayakan segala perubahan yang diperlukan negara dalam perjalanan kita untuk memastikan Malaysia terus aman, maju dan makmur pada abad ke-21, kita memerlukan sebuah persekitaran yang kondusif untuk semua rakyat Malaysia mengoptimumkan potensi mereka.

Di sini peranan sebuah perkhidmatan awam yang cekap, berkesan, responsif, luwes dan berani berubah adalah amat mustahak. Saya amat gembira kerana dalam melaksanakan inisiatif modernisasi ini saya telah mendapat sokongan dan kerjasama padu daripada barisan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam, khususnya Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Sesungguhnya pembaharuan yang akan dilakukan ini bukanlah bersifat top down tetapi sebaliknya melibatkan gabung jalin semua segmen perkhidmatan awam bermula dengan pimpinan atasan.

Usaha ini memerlukan proses modenisasi menyeluruh yang melibatkan bukan sahaja modenisasi paradigma tetapi juga struktural. Kita memerlukan perkhidmatan awam yang sesuai dengan pencapaian kejayaan pada alaf baru ini. Apa yang saya maksudkan dengan anjakan paradigma adalah pertamanya anjakan daripada ketegaran kepada keanjalan.

Anggota perkhidmatan awam seharusnya menyedari bahawa kerajaan tidak mencipta kekayaan. Peranan ini dimainkan oleh sektor swasta yang mencipta kekayaan, dari kekayaan yang dicipta pihak swasta, kerajaan mempunyai saham yang dikutip dalam bentuk cukai korporat. Hasil ini seterusnya digunakan bagi membangunkan negara dan untuk membayar gaji kakitangan awam.

Keanjalan ini penting bagi menghadapi cabaran untuk berjaya dalam ekonomi baru yang ditandai oleh proses globalisasi. Kita harus mengubah kerangka minda, strategi dan kaedah bekerja jika kita ingin memanfaatkan fenomena yang ada. Sesungguhnya extraordinary times requires extraordinary measures.

Sektor awam perlu menjadi pemudah cara kepada penciptaan kekayaan tanpa mengetepikan peranan mereka sebagai pemelihara kepentingan awam. Penjawat awam sekali-kali tidak boleh menjadi penghindar proses penciptaan kekayaan ini kerana jika mereka berbuat demikian, yang akan rugi pada analisis akhirnya adalah rakyat.

Anjakan paradigma kedua ialah beralih daripada budaya output dan perbelanjaan atau kesan nyata semata-mata kepada mementingkan aspek outcome atau dampak keberhasilan secara holistik. Perkhidmatan awam harus menganjak paradigma daripada menilai kejayaan yang berasaskan output kepada kejayaan yang berasaskan outcome.

Misalnya dalam bidang pelajaran, bukan sahaja jumlah sekolah atau makmal yang mencukupi harus diberi penekanan tetapi perhatian yang utama harus diberikan kepada soal kejayaan menyeluruh termasuk kebajikan dan moral pelajar.

Begitu juga dalam hal menangani gejala penagihan najis dadah, perhitungan kita bukan hanya berapa kepada berapa banyak pusat serenti yang mampu dibina, akan tetapi berapa ramai penagih yang berjaya kita pulihkan.

Contoh lain pula ialah penekanan kita bukan pada bilangan mesyuarat yang diadakan atau kekerapan lawatan ke luar negara tetapi kepada apakah hasil yang tercapai daripada mesyuarat dan lawatan yang telah dibuat.

Anjakan paradigma ketiga adalah anjakan daripada birokrasi yang menyukarkan kepada birokrasi yang memudah cara dan menyenangkan rakyat. Kita memperakui sistem birokrasi yang ada di Malaysia telah membawa pembangunan ke seluruh penjuru negara sejak lima puluh tahun yang lalu, namun hari ini terdapat tanggapan bahawa pentadbiran awam berada di belakang keluk perubahan negara mahupun global.

Jika diteliti perbelanjaan emolumen untuk pembiayaan sektor awam ia terus meningkat saban tahun. Hakikatnya kerajaan membelanjakan satu perempat daripada perbelanjaan pengurusan setiap tahun untuk emolumen sektor awam.

Pada tahun 2007 kerajaan telah mengumumkan kenaikan gaji asas kakitangan awam daripada 7.5 peratus sehingga 35 peratus. Daripada segi peruntukan, kerajaan telah pun membelanjakan jumlah yang besar untuk membiayai emolumen sektor awam pada tahun 2006 dengan sejumlah RM28 bilion untuk tujuan ini. Angka ini telah meningkat kepada RM32 bilion pada tahun 2007 dan kepada RM41 bilion pada tahun 2008.

Persoalannya, dibenak rakyat tertanya-tanya, adakah perbelanjaan ini berbaloi. Are the rakyat getting value for their tax dollars?

Lantas, untuk melakukan proses anjakan dan pembaharuan, kita memerlukan sektor awam yang bukan sahaja memahami realiti semasa tetapi mempunyai kemahuan dan berani membuat perubahan. We do not need mere seat warmers, we need actual doers.

Di sudut yang lain pula, kenapa kita harus secara operasionalnya terus-terusan mengamal tatacara kerja yang usang, menyulitkan lagi melambatkan jikalau ia dapat dilaksanakan atau disiapkan dalam masa yang cepat.

Perkara ini boleh dilaksanakan jika ada kemahuan, usaha dan tekad, ia tidak mustahil. Suatu masa dahulu untuk membuat atau memperbaharui pasport antarabangsa baru mengambil jangka masa yang panjang namun kini ia boleh disiapkan dalam masa beberapa jam sahaja.

Dalam konteks ini juga, salah satu perkara yang sentiasa menjadi rungutan orang ramai ialah khidmat kaunter yang lambat. Rakyat mengeluh kerana walaupun jumlah kaunter dilihat begitu banyak namun kebanyakan waktu jumlah kaunter yang dibuka pada waktu puncak tidak pada jumlah yang optimum yang dapat menangani jumlah pelanggan.

Begitu juga jika rakyat menelefon jabatan-jabatan kerajaan, pegawai atau kakitangan tidak menjawab atau jika pun mereka menjawab mereka mengatakan tidak tahu. Walaupun bukan semua yang terbabit akan tetapi hal ini telah menyebabkan tanggapan buruk rakyat terhadap perkhidmatan awam sebagai penyusah bukannya sebagai pemudah cara.

Justeru kenapa masih memegang teguh kepada birokrasi yang menyusahkan, beranjaklah kepada birokrasi yang bersifat memudah cara. Saya lihat, salah satu langkah terbaik ialah Lembaga Hasil Dalam Negeri dengan kaedah e-filingnya yang merupakan pendekatan yang memudahkan penuh kreativiti dan inovasi.

Anjakan paradigma yang keempat pula daripada produktiviti semata-mata kepada gabungan produktiviti, kreativiti dan inovasi. Kalau selama ini kita mengukur pencapaian dari segi produktiviti, hari ini ukuran ini perlu ditambah baik melalui kreativiti dan inovasi.

Ukuran produktiviti secara konvensional hanya memberikan kita penambahbaikan secara bertokok (incremental), manakala jika digabungkan produktiviti dengan kreativiti dan inovasi, ia akan memberikan kita penambahbaikan secara anjakan berganda (quantum leap).

Jelasnya, produktiviti yang digabungkan bersama kreativiti dan inovasi mampu melonjakkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam Malaysia. Tanggapan bahawa setiap masalah boleh diselesaikan dengan menubuhkan jabatan/agensi baru atau menambah kakitangan adalah pandangan yang tidak tepat.

Dengan kemajuan teknologi maklumat produktiviti setiap pegawai dan kakitangan boleh dioptimumkan. Kita perlu mengawal saiz kerajaan kerana kerajaan tidak tahu semuanya atau mempunyai penyelesaian kepada setiap permasalahan. Realitinya, era kerajaan besar dan kerajaan mengetahui segalanya sudah berakhir.

Semua jabatan dan agensi kerajaan harus memaksimumkan aplikasi kreativiti dan inovasi ini. Matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan kepuasan hati klien sektor awam yang utama iaitu rakyat.

Idea-idea baru tidak harus dilihat dengan penuh syak wasangka atau dibakulsampahkan hanya semata-mata ia tidak konvensional. Untuk menjadikan perkhidmatan awam Malaysia sebagai tanda aras kecemerlangan peringkat global maka budaya pemikiran di luar kotak kebiasaan perlu menjadi norma harian dan rutin bukannya kepelikan. Barulah nanti wujud persekitaran kerja yang dinamik lagi bertenaga dan berdaya saing.

Dari segi pembaharuan struktural, pertamanya saya ingin mencadangkan kaedah ‘sistem kemasukan pelbagai peringkat’ ke dalam perkhidmatan awam. Di bawah konsep ini kita akan dapat memanfaatkan proses cross fertilization di antara bakat-bakat sektor awam dan sektor swasta.

Sudah tiba masanya kini jawatan-jawatan utama sektor awam dibuka kepada bakat-bakat daripada sektor swasta dan dari perkhidmatan selain perkhidmatan tadbir dan diplomatik. Kita tidak boleh lagi terlalu dogmatik, kita perlu mendapatkan bakat yang terpilih, terbaik dan tersaring demi kepentingan rakyat.

Keduanya, saya juga mencadangkan satu dasar pintu terbuka di mana pegawai-pegawai perkhidmatan awam boleh dipinjamkan ke syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pegawai GLC dipinjamkan pula ke perkhidmatan awam untuk saling menimba pengalaman.

Dengan cara ini pegawai perkhidmatan awam boleh didedahkan kepada keperluan sektor swasta yang merupakan peneraju utama pertumbuhan negara.

Oleh itu ketiganya bagi mendapatkan bakat yang terbaik, perkhidmatan awam perlu mencontohi pelan pembangunan kerjaya dan pencarian bakat yang diamalkan seperti Petronas, Permodalan Nasional Berhad dan Bank Negara yang mempunyai sistem pengenalpastian bakat yang mantap serta telah menjadikan mereka organisasi yang hebat.

Kita akan menghantar yang terbaik di kalangan penjawat awam untuk menimba ilmu di beberapa institusi tersohor di dunia seperti Kennedy School of Government, di Universiti Harvard, dan Wharton Business School di Universiti Pennsylvania.

PENCAPAIAN DIUTAMAKAN

Dalam menterjemahkan aspirasi ini, saya komited bagi memastikan perkhidmatan awam Malaysia akan dianggotai anak-anak Malaysia yang terbaik. Saya mencabar generasi muda yang hari ini mengkritik sektor awam untuk bersama-sama kita menambah baik sistem dari dalam.

Marilah bersama menyertai perkhidmatan awam, mempersembah kudrat dan pemikiran saudara saudari demi pertiwi.

Kita sedar buat masa ini kita tidak boleh menandingi kelumayanan yang ditawarkan oleh sektor swasta kepada saudara saudari tetapi apa yang kita boleh tawarkan adalah rasa kepuasan berkhidmat demi rakyat dan negara.

Walau apa pun, kita sedang berusaha untuk menyemak dan menambah baik skim-skim perkhidmatan yang kritikal agar pengorbanan saudara dan saudari dihargai.

Di atas segalanya, saya amat maklum bahawa mengurus sebuah negara yang kompleks seperti Malaysia memerlukan kerjasama semua pihak. Paling utama harus ada kesefahaman di antara anggota pentadbiran sebagai penggubal dasar dan anggota perkhidmatan awam sebagai jentera pelaksana dasar.

Ini kerana, sebaik manapun dasar yang telah digubal tanpa mekanisma pelaksanaan yang cekap maka matlamat dasar tidak akan mampu direalisasikan.

Lantaran itu, baru-baru ini, semasa mengumumkan anggota Kabinet, saya telah menggariskan jangkaan terhadap pencapaian mereka. Saya telah mengamanahkan mereka untuk bekerja tanpa mengenal penat lelah bagi kepentingan rakyat.

Sehubungan itu saya turut mengumumkan satu sistem Petunjuk Utama Prestasi (KPI) yang akan dirangka bagi mengukur pencapaian mereka.

Namun, semboyan berkhidmat ini tidak terhenti setakat para anggota kabinet, anggota perkhidmatan awam adalah rakan kongsi utama kepada anggota pentadbiran untuk menunaikan komitmen kita kepada rakyat Malaysia dalam memberikan khidmat yang terbaik.

Justeru, saya berdiri di sini pada hari ini, bagi mengulangi seruan kepada tuan-tuan dan puan-puan agar menumpah khidmat kepada rakyat dengan sepenuhnya.

Saya yakin dan percaya dengan pelaksanaan sistem pengurusan yang berteraskan pengiktirafan perkongsian antara anggota pentadbiran dan penjawat awam merupakan satu-satunya jalan untuk kita menempa kejayaan pembaharuan yang besar.

Perubahan tidak datang hanya dengan pengumuman atau berucap mengenainya. Ia terhasil daripada dedikasi dan kerja keras sepasukan manusia yang diikat oleh apa yang disebut dalam istilah bahasa Arab sebagai wa‘ad dan bai‘ah yakni satu tautan persetiaan dan perkongsian komitmen yang padu antara penjawat awam dan pentadbiran.

Kepimpinan tidak akan bermakna jika ia tidak berpaksikan kepada pencapaian. Bila rakyat menilai kepimpinan sektor awam dan politik, apa yang ingin diukur oleh mereka ialah pencapaian. Kepimpinan berteraskan pencapaian adalah kemuncak penilaian kepada kepimpinan.

Sebab itulah saya telah merangka KPI kerana piawai kepada pencapaian itu perlu ada. Ini akan membolehkan perkhidmatan awam dinilai secara holistik merangkumi penilaian kuantitatif dan kualitatif.

KPI ini bukan alat atau kaedah untuk menghukum atau mendera kakitangan awam tetapi sebagai kayu ukur yang objektif terhadap tahap penyampaian. Ingatlah bahawa setiap sen dan ringgit yang kita terima akan dipertanggungjawabkan bukan sahaja di dunia ini tetapi juga di akhirat.

Sesungguhnya, modenisasi sektor awam adalah suatu usaha murni yang besar dan berterusan.

Saya tidak mahu mengambil sikap hangat-hangat tahi ayam dalam usaha pembaharuan ini.
Saya mahu mengatakan kepada anggota perkhidmatan awam bahawa apa yang saya katakan hari ini, apa yang saya janjikan hari ini, akan berkesinambungan dengan tindakan susulan. Selepas ini kita tidak mahu sekadar memanterakan slogan yang muluk-muluk tetapi kosong. Apa yang mustahak, kerja mesti dijalankan.


Kepada tuan-tuan dan puan-puan yang berprestasi tinggi, tidak perlu bimbang. Janganlah menganggap diri tuan-tuan dan puan-puan sebagai wira yang tidak didendang. Kepada mereka yang pencapaiannya kurang memuaskan pula, saya menyeru agar bingkas bangun membaiki prestasi diri.

Rakyat berhak mendapat yang terbaik. Oleh yang demikian, di bawah konsep Rakyat Didahulukan, sektor awam perlu melihat rakyat sebagai klien yang terutama.

Penjawat awam perlu dilihat memberikan khidmat yang menyenangkan rakyat. Ini kerana sebab musabab atau raison d‘etre kepada kewujudan perkhidmatan awam itu sendiri adalah untuk mengkhidmati rakyat. Kepuasan hati rakyat adalah tanda aras utama kepada kejayaan sektor awam.

Dalam hal konsep rakyat diutamakan ini, marilah kita merenung sirah Rasulullah SAW sebagai pemimpin yang agung, betapa Baginda dengan prihatinnya meletakkan keutamaan yang tinggi kepada kepentingan dan kebajikan masyarakat sehinggakan di saat-saat akhir riwayat baginda, kalimah yang diucapkan adalah ‘umatku, umatku, umatku’.

Jadinya, saya berasakan bahawa kita perlu mengambil pengajaran daripada kepimpinan Rasulullah yang sangat kasih dan penyayang kepada seluruh umat menelusuri kepimpinannya dalam tamadun Islam yang sungguh menakjubkan itu. Moga, dapatlah kita beriktibar daripadanya dalam mengangkat kepentingan rakyat dalam khidmat masing-masing.

Bertolak dari situ, pada hemat saya jua, jika kita benar-benar ingin berkhidmat untuk rakyat, kita perlu mengetahui rintihan massa. Kita perlu fahami setiap masalah, kekangan dan kesulitan yang dihadapi rakyat, barulah kita mampu untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah tersebut.

Sebab itulah saya sangat menekankan empati dalam pentadbiran saya agar penyelesaian yang kita capai bagi setiap masalah rakyat adalah bertepatan dengan hasrat mereka yang sebenarnya.

Yang paling mustahak, saya inginkan pentadbiran saya menjadi pentadbiran yang memahami denyut nadi rakyat. Pentadbiran yang berupaya menyelami keluh kesah dan gundah gulana sebenar kehidupan seharian rakyat.

Justeru, sebaik saya memulakan tugas sebagai Perdana Menteri, saya telah mulakan siri walkabout atau tinjauan mesra dan prihatin di kawasan-kawasan tertentu, bukan sahaja bagi membolehkan saya mendekati rakyat, tetapi lebih penting, supaya saya dapat merasai kepekaan secara visual dan merasai sendiri melalui panca deria saya akan segala bau dan hiruk-pikuk serta liku-liku kepayahan yang dilalui oleh orang ramai dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

Contohnya juga, bagaimana kita hendak menggubal dasar pengangkutan awam jika kita sendiri tidak turun ke bawah menaiki LRT dan komuter atau bas yang menjadi nadi pengangkutan selama ini.

Di noktah ini, saya sayugia teringat kepada pendekatan Allahyarham ayahanda saya yang turun merapati rakyat ke kampung-kampung, sawah bendang, tanah-tanah rancangan, menaiki basikal dan berperahu.

Memang jelas, pengalaman yang diperolehi itu amat berharga, dan penilaian yang dapat dibuat sangat berbeza berbanding penilaian berasaskan laporan-laporan dibentang dalam keselesaan bilik pejabat berhawa dingin yang terpisah jauh dari realiti kehidupan.

Sebab itulah saya mahukan pegawai-pegawai tinggi kerajaan juga turun padang dari masa ke semasa untuk memahami masalah pelanggan masing-masing. We must understand our stakeholders in order to be able to deliver what they require. Nescaya, insya-Allah, rakyat akan menerima kita sepenuhnya.

Akhir kata demi rakyat, tunjangkan dan tampilkanlah penjawat-penjawat awam yang berintegriti, berkebolehan, setia dan berdedikasi. Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

[Utusan Online, 29/4/2009]

Wednesday, April 29, 2009

Instruktor kursus masakan

Kursus adalah kaedah untuk menyampaikan maklumat bagi perubahan pemikiran, sikap dan tingkah laku. Banyak jenis kursus yang mendapat sambutan ketika ini seperti kemahiran belajar, kecantikan atau kursus pengendalian makanan.

Katakan anda ada kemahiran sebagai seorang pegawai pemeriksa kebersihan premis. Pengalaman anda menyampaikan maklumat berkenaan keperluan untuk menjaga kebersihan gerai makan, restoran, hotel, kilang sembelihan atau pengilang makanan amatlah diperlukan supaya pekerja di premis ini dapat mengekalkan standard terbaik penjagaan kebersihan diri dan persekitaran.

Antara topik-topik kursus adalah penerangan mengenai keracunan makanan, pencemaran makanan, amalan kebersihan diri, penyediaan, pengendalian dan penyimpanan makanan, etika kerja dan aspek perundangan.

Sasaran peserta kursus ialah pengusaha makanan seperti penjaja, gerai, kantin, kedai makan, restoran, hotel, penyaji, pembekal dan pengilang makanan yang sedang menjalankan perniagaan atau ingin memulakan perniagaan adalah perlu mendapatkan latihan untuk dirinya dan pekerja-pekerja yang mengendalikan bisnes ini.

Dalam kursus ini anda boleh berinteraksi secara langsung dengan peserta bagi meningkatkan kefahaman, membuat catatan dan menjawab soalan-soalan ringkas berkaitan subjek utama kursus. Latihan praktikal ringkas juga boleh disediakan seperti kaedah mencuci tangan yang betul dan berkesan.

Bagi menarik ramai peserta, sijil yang diktiraf boleh dikeluarkan kepada peserta bagi tempoh jangka masa tertentu.

Sesetengah orang suka memasak dan mereka mahu berkongsi menu istimewa dengan orang ramai. Jadi, sebagai pakar memasak dan mempuyai resepi yang menarik, anda boleh mengadakan kursus sehari masak nasi minyak pengantin. Menu ini menjadi masakan istimewa di majlis perkahwinan dan kenduri-kendara ketika ini.

Kurus sehari anda itu boleh dibuat dalam bentuk pakej yang merangkumi nasi minyak pengantin, ayam kurma, rendang hitam tok, dalca, acar bombay dan pencuci mulut. Bayaran yang boleh dikenakan ialah di sekitar RM130 hingga RM150 seorang.

Tuesday, April 28, 2009

Pilih yang pakar untuk temu bual

Rancangan Point of View (PoV) terbitan ntv7 pada setiap Isnin memberi peluang kepada penonton untuk mendengar pendapat dan pandangan tetamu yang dijemput oleh Florence Looi, perantara program. Kebanyakan tetamu adalah mereka yang mahir dalam topik yang dibincangkan. Penyelidik berpendapat isu-isu yang diutarakan sangat menyentuh perkembangan semasa yang sedang berlaku khususnya berkaitan politik, pendidikan, sosial dan ekonomi negara.

Minggu ini PoV menjemput Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman sebagai tetamu bagi membincangkan konsep Satu Malaysia. Ketika penyelidik menonton temu bual berkenaan, sekali-sekala tersenyum kerana sifat beliau yang masih hendak bertekak dengan Looi. Kepintarannya bercakap memang padan dengan emosi yang ditunjukkan melalui wajahnya yang sesekali tersenyum, melopong dan penuh tanda soal. Barangkali beliau cuba memahami soalan Looi dalam bahasa Inggeris.

Menemu bual ahli politik yang berpengalaman tetapi kurang mahir berbahasa Inggeris seringkali membantutkan perbincangan. Idea yang sepatutnya memberi inspirasi kepada penonton tidak dapat dihayati sepenuhnya kerana kesinambungan penerangan yang terputus-putus dan sesekali keluar daripada topik sebenar.

Masalah ini dapat diselesaikan oleh penerbit dengan dua cara. Pertama, menjemput ahli politik yang mahir berbahasa Inggeris tanpa mengira parti politik. Perspektif yang berbeza ini dapat memberi pilihan kepada penonton untuk berfikir dengan lebih kritikal terhadap dasar kerajaan dan bagaimana pelaksanaan dasar berkenaan dapat dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia. Kedua, memilih ahli parlimen yang lebih muda kerana pandangan mereka seringkali berdasarkan persepsi terkini dan selari dengan keadaan semasa. Mereka juga lebih terdedah dengan maklumat yang diperoleh dari laman web dan lebih banyak membaca.

Kualiti perbincangan dalam program ini akan lebih baik jika tajuk dan ahli panel memiliki kemahiran bahasa Inggeris, membuat ‘kerja rumah’ dan mengaitkannya dengan isu-isu global. Dengan kata lain, mereka mesti membuat ‘literature review’ supaya analisis yang dikemukakan bersifat analitikal. Sebagai contoh, dalam siri yang lepas, seorang wanita India yang ditemu ramah melahirkan rasa tidak puas hati kerana dasar kerajaan yang memberi diskaun lima hingga tujuh peratus kepada pembeli rumah dari golongan bumiputera sedangkan golongan lain tidak. Bagi beliau, amalan ini sangat tidak adil kerana kaum India juga adalah rakyat Malaysia dan menyumbang kepada pembangunan negara.

Berdasarkan kepada pemerhatian tersebut, penyelidik membuat kesimpulan bahawa masih ramai rakyat Malaysia yang tidak tahu kenapa dasar itu diperkenal dan dilaksanakan sekarang. Ia berkait rapat dengan Perlembagaan Persekutuan yang terdapat dalam Perkara 153 iaitu hak istimewa Melayu. Sewajarnya perkara itu diterangkan oleh tetamu jemputan yang diminta mengulas mengenai Dasar Ekonomi Baru kerana ada hubung kait dengan perkara berkenaan.

Secara umum, rancangan PoV ini banyak memberi manfaat kepada penonton yang inginkan rancangan bersifat perbincangan semasa. Walaupun sesetengah pendapat itu ‘memerahkan telinga’, ia boleh dibaiki dengan menyusun topik supaya lebih kemas dan menjemput ahli politik, tokoh akademik, aktivis masyarakat atau tokoh agama supaya nampak kepelbagaian pandangan mereka terhadap sesuatu dasar atau amalan yang sedang dilaksanakan ketika ini. Kritikan atau pandangan bukannya untuk menghentam kerajaan atau pembangkang sebaliknya menjadikan kehidupan rakyat Malaysia lebih baik.

Cabaran konsep Satu Malaysia (3)

Senario hubungan etnik di Malaysia dan negara yang mempunyai masyarakat pelbagai etnik sentiasa menjadi isu dan perhatian. Bagi negara yang berhadapan dengan hubungan etnik yang tegang seperti Palestin-Israeal, Bosnia-Herzegovina dan Rwanda, peperangan adalah jalan keluar kepada rasa benci dan meluat di antara etnik. Selepas berperang, perjanjian yang dipersetujui telah mengubah keadaan hidup dan corak berfikir masyarakat.

Keadaannya berbeza di Israel, negara yang membenci kewujudan rakyat Palestin. Apabila negara Israel diiktiraf secara rasmi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1948, rakyat Palestin telah menjadi mangsa kepada pembunuhan dan kekejaman Yahudi. Dalam peristiwa Sabra dan Shatila pada 15 September 1982, Dr Ang Swee Chai menceritakan pengalamannya di kem pelarian itu melalui buku ‘Dari Beirut ke Jerusalem’ yang menggambarkan keganasan Yahudi.

‘Saya masih menyimpan gambar anak-anak Palestin yang hilang tempat berteduh, berdiri di tengah-tengah runtuhan dan puing kem Shatila. Mereka terselamat daripada pembunuhan beramai-ramai tetapi kehilangan ibu bapa dan tempat tinggal. Kami menjangka semuanya telah berakhir, tetapi mereka dengan megah mengacung tangan dengan lambang kemenangan sambil berkata kepada saya: Kami tidak takut. Biarlah Israel datang.’

Israel sentiasa takut kepada rakyat Palestin yang hanya ada batu dan semangat kental dalam kehidupan. Apabila menyerang Palestin, serangan tersebut akan dilakukan habis-habisan hinggakan ribuan yang mati. Namun, di sebalik ramai yang terkorban itu, ribuan lagi anak-anak Palestin dilahirkan. Ketika tentera-tentera Yahudi yang ganas menyerang Gaza, lebih 1000 orang yang syahid, tetapi dengan izin Allah SWT, lebih 3000 bayi kecil yang dilahirkan.

Kisah-kisah di atas adalah contoh hubungan etnik yang berlaku di hadapan kita, boleh dicari dalam laman web dan menjadi bahan perbincangan yang serius. Jika hendak dikaitkan dengan masyarakat Malaysia yang berbeza etnik, hubungan antara etnik disifatkan stabil-tegang. Stabil bermaksud dapat menerima perbezaan masing-masing dan menghormati orang lain yang tidak sebangsa. Tegang pula bermaksud mempertahankan hak kaum masing-masing dan akhirnya diselesaikan secara rundingan dan tolak ansur.

Salah seorang pakar dalam hal ehwal Asia, Profesor Corrado Letta berkata, banyak perkara yang boleh dipelajari negara-negara Eropah tentang kontrak sosial yang sedang dilaksanakan oleh Malaysia. Beliau menjelaskan beberapa perkara penting yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik berbanding 50 tahun yang lalu. Dalam buku ‘Malaysia-Europe: Strategic Partnerships for the Pacific Century’ terbitan Kementerian Luar, Corrado melihat kontrak sosial merujuk pada quid pro quo iaitu timbal balas yang dimuatkan pada Perkara 14 hingga 18 dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberi taraf kewarganegaraan kepada bukan Melayu, dan Perkara 153 yang mempastikan hak-hak istimewa Melayu diwujud dan dilaksanakan. Selepas 50 tahun, Perlembagaan yang berasakan kontrak sosial telah menjanjikan persamaan hak kepada semua warganegara tanpa mengira etnik dan agama.
Pada April 2005, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Media Asia telah berkata;

‘Malaysia adalah contoh terbaik bagaimana kontrak sosial mempastikan keamanan dan kestabilan selama 50 tahun. Perkara paling penting dalam kontrak ini ialah persetujuan penduduk bumiputera menerima kewarganegaraan imigran China dan India. Kedua-dua kelompok ini boleh berada dalam jemaah menteri dan majlis mesyuarat negeri. Sebagai imbalan, komuniti imigran berkenaan bersedia dengan keistimewaan ekonomi kepada golongan bumiputera.’

Kejayaan pelaksanaan kontrak sosial telah mengukuhkan dominasi UMNO dan Barisan Nasional dalam kerajaan. Ia juga memberi isyarat kepada hubungan etnik yang lebih stabil untuk memajukan ekonomi negara. Pencapaian Malaysia dalam bidang ekonomi ini memberi gambaran bahawa masyarakat pelbagai kaum boleh bersama-sama membina negara asalkan mereka bersepakat ke arah itu. Kejayaan Malaysia menjadi antara 30 negara utama perdagangan dunia juga adalah bukti kekukuhan politik sejak 50 tahun lalu.

Keadaan ini berbeza dengan Filipina, sebuah negara yang makmur di Asia Tenggara pada tahun 1950-an. Hari ini Filipina menjadi antara negara paling miskin. Kenapa? Kerajaan yang lemah, rasuah, keciciran, pembaziran, kronisme dan nepotisme yang semuanya menyumbang pada kemunduran Filipina.

Masyarakat Melaysia sedang bergerak ke arah negara maju dan persaingan antara etnik yang sangat sengit. Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) selama 20 tahun telah menunjukkan beberapa kemajuan ke atas masyarakat Melayu dan bumiputera khususnya dalam agihan kekayaan negara dan mengurangkan tahap kemiskinan. Selepas tahun 2010, kemiskinan tegar dijangka dapat diatasi sepenuhnya dan era baru kehidupan rakyat Melaysia akan bermula sekali lagi.

Tidak ada etnik yang lahir dengan menguasai sesuatu bidang atau kemahiran kecuali melalui proses pencanaian pemikiran, sikap dan budaya yang panjang. Cabaran yang dihadapi menjadikan masyarakat itu matang dan bersedia menghadapi pelbagai risiko. Era kegemilangan Melayu ketika kesultanan Melaka dipunahkan oleh penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Orang Melayu telah hilang daya saing dan daya juang untuk menjadi pakar dalam pelbagai bidang.

Hari ini masyarakat Melayu harus menerima hakikat bahawa kehidupan mereka adalah sebelah menyebelah dengan imigran China dan India. Masa depan adalah milik mereka jika dapat menguasai saranan menuntut ilmu oleh Nabi Muhammad SAW dilaksana dengan serius. Kejayaan wahyu ilahi sebagai panduan telah menjadikan masyarakat Arab jahiliyah bertukar menjadi penguasa kepada dua per tiga dunia. Tidakkah orang-orang Melayu ingin menguasai dunia? Selepas orang Melayu menjadikan Islam sebagai cara hidup, mereka tidak lagi bertukar kepada agama lain walaupun dijajah beratus-ratus tahun.

Konsep Satu Malaysia yang difikirkan sesuai ialah kembali bersatu atas nama Islam dengan menjadikan Islam sebagai sumber kekuatan yang bakal membawa umat Melayu sebagai pemimpin di rantau Asia.

Menguasai sosiopolitik antarabangsa memang sukar kerana pengaruh Ameriksa Syarikat dan China. Namun, matlamat ke arah itu perlukan keazaman yang tinggi dan bersistematik. Tidak ada apa yang tidak boleh dicapai jika sesuatu bangsa ada perancangan dan pelaksanaan yang mantap. Kemunculan sesuatu kuasa besar yang menguasai tamadun sering bersilih ganti. Pada abad ke-15 hingga 18, kuasa Eropah menakluk dunia. Portugis, Itali, Sepanyol, Belanda dan Britain meneroka dan menjajah negara-negara di Asia, Afrika dan Amerika serta membahagikan negara jajahan mengikut sesuka hati.

Hari ini, di mana lagi kuasa penjajah-penjajah ini? Mereka juga terpaksa bersaing dengan negara-negara yang pernah dijajah dahulu dalam semua bidang. Satu-satunya penguasaan yang masih ada adalah penguasaan ilmu pengetahuan kerana semasa meninggalkan negara jajahan, mereka membawa sekali kitab-kitab lama dan khazanah ilmu bangsa-bangsa yang dijajah.

Kewujudan Malaysia adalah kesan daripada penjajahan. Pertelagahan di antara penjajah telah memisahkan daerah nusantara dan membawa masuk imigran asing untuk menjadi warganegara. Hakikatnya semua bangsa yang ada di Malaysia perlu hidup bersama, menyesuaikan diri dan mesti bersaing untuk terus maju.

Di peringkat global, penghijrahan merupakan isu besar bagi negara-negara Eropah, Jepun, Korea Selatan dan Singapura kerana pertambahan penduduk yang sangat perlahan. Perubahan gaya hidup dan perspektif terhadap kehidupan telah mengubah nilai dan pegangan sebahagian besar masyarakat di sana. Perkahwinan tidak lagi dianggap penting sebaliknya hidup bersama tanpa berkahwin menjadi pilihan.

Di Jepun umpamanya, bilangan orang tua yang semakin bertambah akan menjadikan negara itu lebih bergantung kepada tenaga kerja dari India, China, Bangladesh atau Indonesia untuk menampung kebajikan sosial warganya. Masyarakat Jepun yang satu bangsa akan menjadi pelbagai bangsa dan dijangka akan menghadapi masalah yang sama dengan negara-negara pelbagai etnik yang lain. Tempoh untuk Jepun menghadapi masalah ini hanyalah 50 tahun dari sekarang.

Konsep Satu Malaysia harus dilihat dari perrspektif nilai yang membentuk masyarakat yang bersatu dan menghormati di antara satu sama lain. Agenda Satu Malaysia akan lebih kukuh andainya nilai-nilai kekuatan ditanam dan dipasak ke dalam minda dan sanubari rakyat Malaysia.

Monday, April 27, 2009

Negara berasaskan sistem beraja

Oleh Zin Mahmud

Demokrasi awal mula diamalkan di kota Athens pada zaman silam di Yunani atau Greece purba dengan warganegaranya secara langsung membuat keputusan pemerintahan.

Di kota dan zaman itu jugalah muncul ahli-ahli falsafah Socrates, yang mengajar muridnya, juga ahli falsafah terkenal Plato. Beliau pula mempunyai seorang murid yang juga ahli falsafah besar, iaitu Aristotle.

Kota Athens tumbang ditawan dan dimusnahkan oleh pesaingnya ketika itu, iaitu Sparta yang mengamalkan sistem pemerintahan ketenteraan dan berakhirlah sistem demokrasi awal dalam kehidupan politik manusia itu.

Tetapi antara banyak-banyak negara dalam Yunani purba itu, muncul sebuah kerajaan yang dianggap berada di pinggiran tamadunnya. Negara itu, Macedonia dipimpin oleh Raja Philip yang mempunyai putera bernama Iskandar. Baginda mengarahkan Iskandar belajar daripada Aristotle mengenai segala perkara yang diketahui.

Setelah kemangkatan Philip, baginda digantikan dengan Raja Iskandar. Baginda memimpin bala tenteranya menawan keseluruhan Yunani. Bukan itu saja, baginda merentas ke timur, menakluki Parsi dan terus hingga ke India. Maka wujudlah kerajaan besar Iskandar Agung yang wilayahnya merentas tiga benua, Asia, Eropah dan Afrika.

Baginda menubuhkan ibu kotanya di Babylon (sekarang Iraq) dan mengasaskan sebuah kota besar di Mesir purba yang dinamakan Iskandariah. Dalam bahasa Inggeris disebut Alexandria.

Pengaruh Iskandar Agung ini menyerap ke India yang seterusnya budaya serta pemikiran mengenai kerajaannya tentu akhirnya sampai juga ke Asia Tenggara.

Justeru apabila kitab Sejarah Melayu mengisahkan asal usul Raja-Raja Melayu, tentunya dirujukkan kepada Kesultanan Melaka yang mewarisi Kerajaan Seri Wijaya, ia mengisahkan betapa permulaan sistem Raja-Raja Melayu adalah di Bukit Siguntang di Sumatera, atau disebut juga sebagai Seri Andalas.

Maka disebut dalam Sejarah Melayu, asal-usul Raja-Raja Melayu apabila disusur galurkan yang dikisahkan melalui pelbagai mitos adalah daripada Iskandar Agung.

Dalam tradisi Melayu, Iskandar Agung ini juga disebut sebagai Iskandar Zulkarnain, walaupun terdapat pelbagai pertikaian oleh ahli sejarah dan ahli sastera tentang perbezaan antara Iskandar Zulkarnian dan Iskandar Agung. Antara kisah dalam Sejarah Melayu ialah perjanjian antara Raja dan Datuk Bendahara yang mewakili rakyat. Dari sinilah keluar ungkapan 'Raja adil disembah, Raja zalim disanggah'.

Namun begitu, kerajaan Melayu bermula lebih awal daripada Seri Wijaya. Kerajaan awal muncul di Funan dan kemudian di Champa yang kesemuanya terletak di Indochina sekarang ini. Tamadun Melayu dikatakan bermula di wilayah itu dengan gendang Dongson yang berbentuk bintang berbucu banyak sebagai simbolnya.

Simbol bintang berbucu banyak ini kini dapat diabadikan dalam bendera Jalur Gemilang. MCA juga mengambil bintang berbucu banyak itu sebagai lambangnya.

Jadi ketika kerajaan-kerajaan Melayu itu muncul di wilayah Vietnam dan Kemboja sekarang, di manakah bangsa Vietnam berada? Manusia pelbagai etnik dan kaum bercampur baur baik melalui perkahwinan atau penaklukan dan menghasilkan bangsa baru yang lain.

Tetapi bangsa Vietnam purba pada asalnya hidup di China selatan. Ketika mereka menguasai bahagian dunia itu, China sebagai bangsa dan negara belum dimantapkan.

Maharaja Shih Huang Ti baru hendak menyatukan pelbagai bangsa dan etnik untuk dijadikan satu bangsa berasaskan negaranya sendiri yang bernama Chin. Dalam usahanya itu, baginda ditentang oleh kaum Vietnam purba yang berada di China selatan.


Diperluaskan

Hanya setelah membina pelbagai terusan bagi membawa bekalan untuk bala tenteranya, maka China dapat diperluaskan dan menawan wilayah Vietnam purba. Bangsa Vietnam purba pula terdesak dan lari ke selatan membawa sekali kerajaan-kerajaan mereka.

Maka menghala ke selatan, sudah tentu mereka bertempur dan menakluki bangsa-bangsa Funan, Champa, Khmer dan lain-lain, termasuklah bangsa Melayu purba.

Kerajaan-kerajaan Melayu purba ini turut bergerak ke selatan memindahkan kerajaan-kerajaan mereka ke Kemboja, Vietnam Selatan hinggalah ke Pattani dan Semenanjung Melayu.

Di situ, mereka bertembung pula dengan kerajaan Ayuthaya yang sedang memantapkan kerajaan Siam di mana ia mahu menguasai keseluruhan semenanjung Asia Tenggara hingga ke selatan iaitu Temasik.

Kemunculan Parameswara sebagai pewaris kepada Seri Wijaya kemudian mengembalikan negeri-negeri Melayu, daripada Temasik hinggalah ke Pattani untuk berada di bawah Kesultanan Melaka. Pengaruh kesultanan ini juga sampai ke Brunei dan Sulu.

Keupayaan Kesultanan Melaka dapat menapak di mercu tertingginya berlaku semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah dengan Tun Perak menjadi Bendahara dan Hang Tuah sebagai Laksamana.

Kebijaksanaan diplomasi juga menyumbang kepada kejayaan ini apabila Melaka mengadakan hubungan persahabatan dengan China, pimpinan Dinasti Ming yang di dalamnya terdapat pengaruh Islam yang kuat.

Maka pada zaman itu, daripada Istanbul di Barat hinggalah ke Zaytun di Timur, baik melalui laluan sutera mahu pun bahtera, sebahagian besar dunia ditadbir dan dipimpin oleh kerajaan-kerajaan Islam dengan sokongan sekutu-sekutunya termasuk kerajaan China. Laksamana Cheng Ho memainkan peranan penting dalam mewujudkan tata kuasa dunia itu.

Tetapi tidak ada kerajaan yang dapat bertahan selama-lamanya. Dinasti Ming tumbang, begitu juga dengan Kesultanan Melaka, Kerajaan Moghul di India dan juga Khalifah Uthmaniah di Istanbul.

Kuasa-kuasa baru Eropah muncul dan yang terbesar datangnya dari England. Negara kecil ini mendapat manfaat daripada kesedaran tamadun yang dinamakan Enlightenment yang asalnya datang daripada Yunani melalui Renaissance di Itali yang muncul melalui kajian-kajian pemikiran Yunani tersimpan oleh para cendekiawan Islam.

Akhirnya Perang Salib membuka ruang pemikiran Yunani yang dikaji oleh cendekiawan Islam kepada orang Eropah. Antara pemikiran inilah yang membawa kebangkitan kaum bangsawan di England untuk mengehadkan kuasa raja melalui piagam yang disebut Magna Carta.

Daripada situ, idea sistem politik yang berasaskan rakyat berkembang. Fahaman demokrasi yang pernah dilaksanakan di Athens akhirnya dimunculkan semula dalam bentuk Raja Berperlembagaan Inggeris. Maka Parlimen England dikenali sebagai "ibu kepada parlimen".

Demokrasi moden mula berputik. House of Lords atau Dewan Bangsawan dan House of Commons atau Dewan Orang Ramai mula merintis kepada kaedah demokrasi moden.

Tentu pada awalnya, sistem Raja Berperlembagaan ini memperlihatkan kesukaran hubungan antara raja dengan Parlimen serta juga dengan Perdana Menteri yang dipilih Parlimen untuk menasihati raja.

Walaupun raja tidak mencampuri urusan politik dan pemerintahan, tetapi pengaruhnya tetap ada dan berbeza-beza mengikut personaliti dan zaman masing-masing.

Maka semasa pemerintahan Queen Victoria, baginda memperoleh pula seorang Perdana Menteri yang juga hebat, Benjamin Disraeli. Pada zaman ini, empayar British terbentang paling luas hinggakan Victoria diisytiharkan juga sebagai Maharani India.

Ternyata sistem raja-raja India sudah tumbang apabila negara itu dijajah sepenuhnya oleh British.

Di China pula, Dinasti Ching yang memerintah berada di penghujungnya. China sedang diancam oleh penjajah-penjajah, iaitu Rusia, Jepun, Jerman, Britain dan Perancis, masing-masing mahu membahagi-bahagikan negara itu.

Britain berjaya menguasai Hong Kong walaupun dalam bentuk pajakan dengan janji perlu dikembalikan pada tahun 1997. Keupayaan Britain memerintah empayarnya yang luas bertunggakkan pada pelabuhan-pelabuhan strategik yang dikuasai.

Dari London, Gibraltar, Port Said, Aden, Bombay, Colombo, Pulau Pinang, Singapura hinggalah Hong Kong berada di bawah kekuasaannya.

Pentadbiran India yang berpusat di Calcutta juga turut mentadbir Negeri-Negeri Selat di Pulau Pinang, Seberang Perai, Dinding, Melaka dan Singapura.

Walaupun Britain menguasai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu di Semenanjung Tanah Melayu, tetapi kedaulatan masih tetap dipegang oleh Raja-Raja Melayu.

Berdaulat


Pada kurun ke-19, negeri-negeri Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak dan Perlis masih berdaulat walaupun kekuasaan di luar daripada hal ehwal agama dan adat istiadat Melayu sudah berada di tangan Inggeris. Namun begitu, pengaruh Raja-Raja Melayu masih besar termasuk dalam soal tanah.

Maka dari satu segi, pada zaman penjajahan British, sistem beraja yang diamalkan di negeri-negeri Melayu bersifat Raja Berperlembagaan walaupun yang menguasai pemerintahan bukannya rakyat tetapi penjajah.

Perkara yang sama juga berlaku di banyak tempat di Hindia Timur Belanda yang kemudiannya menjadi Indonesia. Di Thailand pula, berlaku gerakan untuk mewujudkan Raja Berperlembagaan, tetapi ia tidak datang dari rakyat, tetapi pihak tentera.

Sementara di Jepun, maharajanya juga berdaulat tetapi kekuasaan sebenarnya terletak pada pihak yang menguasai tentera. Golongan tentera inilah kemudian merubah politik Asia termasuk Malaysia.

Dalam perang Dunia Kedua, Jepun berazam untuk menguasai keseluruhan Asia Timur melalui gagasan Kemakmuran Asia Timur Raya dengan Tokyo memerintah keseluruhan China, Asia Tenggara, India dan kepulauan Pasifik sehingga Australia.

Mereka gagal dan apabila Amerika Syarikat menakluk Jepun, mereka menimbangkan sama ada untuk menghapuskan institusi maharaja atau tidak. Akhirnya mereka membuat keputusan memperkenalkan sistem Raja Berperlembagaan dengan institusi maharaja dikekalkan.

Selepas Perang Dunia Kedua, Britain memberikan kemerdekaan kepada India dengan menggubal sebuah perlembagaan yang begitu kompleks.

Pada mulanya cadangan yang diutarakan ialah untuk menubuhkan sistem Raja Berperlembagaan di India dengan Ratu atau Raja England menjadi Maharaja India sebagai mewarisi Queen Victoria.

Sistemnya adalah seperti Australia dan Kanada di mana ketua negara dipegang oleh Raja England dengan diwakili oleh Gabenor-Jeneral. Tetapi kemudian perkara ini ditentang dan India menjadi republik dengan presiden tanpa kuasa eksekutif seperti Raja Berperlembagaan.

Di Tanah Melayu, pada mulanya dicadangkan penubuhan Malayan Union dengan menghapuskan sistem beraja. tetapi akibat bantahan orang Melayu dan ancaman komunis, Britain bersetuju menubuhkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen bagi Tanah Melayu.

Untuk menggubal perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, maka diambil perlembagaan India sebagai rujukan. Oleh kerana sudah ada sistem beraja di negara ini, maka dengan mudahnya diambil cadangan Tunku Abdul Rahman supaya sistem Raja Berperlembagaan yang unik di dunia, iaitu melalui Majlis Raja-raja.

Keindahan sistem Raja Berperlembagaan Malaysia ini diterima baik dan tidak pernah dipertikaikan, malah kedaulatannya diperluaskan kepada semua Negeri-Negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka yang sebelum itu tidak dinaungi oleh mana-mana raja.

Yang di-Pertuan Agong mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Pinang dan Melaka. Bukan itu saja, semasa penubuhan awal Malaysia, dengan mudah sistem Raja Berperlembagaan ini dapat diterima oleh semua kaum di negara ini dan kedaulatannya meliputi Singapura, Sarawak dan Sabah.

Keagungan dan kejayaan sistem ini bergantung kepada rakyat negara ini sendiri. Ia merupakan sistem yang unik, penuh warisan dan berkesan. Tetapi untuk menjayakannya, rakyat tanpa mengira kaum wajar sama-sama berusaha untuk mendokongnya supaya negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dapat berfungsi dengan lebih baik. Ingatlah bahawa kehidupan bernegara memerlukan keseimbangan.

[Utusan Online, 26/4/2009]

Saturday, April 25, 2009

Cabaran konsep Satu Malaysia (2)

Perlembagaan Persekutuan yang digubal selepas itu menetapkan empat cara untuk melayakkan seseorang itu mendapatkan kerakyatan. Cara-cara tersebut ialah melalui tempat lahir (jus soli), undang-undang keturunan darah (jus sanguinis), perkahwinan dan bermastautin.

i. Tempat lahir (jus soli)

Seseorang yang lahir antara hari merdeka dengan bulan Oktober 1962 akan terus menjadi warganegara tanpa mengambil kira kewarganegaraan ibu bapanya. Bagi mereka yang lahir selepas September 1965, dia hanya diterima menjadi warganegara jika memenuhi salah satu daripada syarat berikut: a) semasa dilahirkan, salah seorang daripada ibu bapanya adalah warganegara, b) semasa dilahirkan, salah seorang daripada ibu bapanya ialah orang yang tinggal bermastautin secara kekal di Malaysia, c) semasa dilahirkan, dia tidak mempunyai kewarganegaraan mana-mana negara. Kaum bukan Melayu telah menikmati hak kewarganegaraan yang longgar melalui prinsip ini.

ii. Undang-undang keturunan darah (jus sanguinis)

Jus sanguinis bermaksud seseorang yang berketurunan warganegara akan tetap menjadi warganegara walaupun dia dilahirkan di luar negara kerana mewarisi kewarganegaraan daripada bapanya. Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang yang dilahirkan di luar Malaysia hanya boleh menjadi warganegara jika bapanya merupakan warganegara dan dia memenuhi salah satu syarat berikut: a) bapanya sendiri dilahirkan di Malaysia, b) bapanya berkhidmat dalam perkhidmatan awam pada peringkat persekutuan atau negeri, c) kelahirannya didaftarkan di Pejabat Konsul Malaysia ataupun dengan kerajaan Malaysia dalam tempoh satu tahun selepas kelahirannya, atau dalam tempoh yang lebih panjang tertakluk kepada kebenaran daripada kerajaan.

iii. Perkahwinan

Perlembagaan Persekutuan menetapkan seseorang wanita asing yang telah menjadi isteri kepada warganegara Malaysia boleh membuat permohonan supaya didaftarkan menjadi warganegara dengan syarat suami wanita tersebut telah menjadi warganegara pada awal bulan Oktober 1962 dan perkawinan itu masih lagi kekal.

iv. Bermastautin

Kaedah memberi taraf kewarganegaraan kepada orang asing yang bermastautin di Malaysia dan berniat untuk kekal menetap di Malaysia boleh dibahagikan kepad dua iaitu melalui kaedah pendaftaran dan masukan. Setiap orang yang hendak menjadi warganegara melalui kaedah pendaftaran mesti mengangkat sumpah taat setia kepada Malaysia.

Selepas rundingan demi rundingan, bilangan penduduk Tanah Melayu semakin meningkat namun bilangan bukan Melayu masih mengatasi penduduk Melayu (Jadual 2). Keadaan ini sangat merungsingkan masyarakat Melayu lalu mereka mencari jalan penyelesaian yang kesannya dialami oleh semua warganegara Malaysia pada hari ini.


Jadual 2: Jumlah penduduk Tanah Melayu, 1941-1957

TahunJumlah Penduduk (juta)MelayuCinaIndia
19425.772,278
(44.0)
2,379
(45.4)
744
(10.6)
19576.22,783
(44.9)
2,796
(45.1)
620
(10.0)


Tiga kelompok kaum terbesar melalui UMNO, MCA dan MIC bersetuju dengan memorandum Perikatan yang merupakan tolak ansur ‘pakatan murni’ yang dihasilkan melalui perundingan. Memorandum itu lebih mencerminkan aspirasi dan keinginan masyarakat berbilang kaum di Tanah Melayu. Antara kandungan penting ialah; a) wujud sebuah kerajaan pusat dan kerajaan-kerajaan negeri, b) institusi Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk menggantikan jawatan Pesuruhjaya Tinggi, c) Majlis Raja-Raja diteruskan, d) parlimen yang mengamalkan sistem dua dewan, e) tiga badan pemerintah dan pengasingan kuasa, f) Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan g) takrif ‘Melayu’ dalam perlembagaan.

Pakatan murni atau kini dikenali sebagai kontrak sosial meliputi dua perkara penting iaitu mengekalkan empat unsur tradisi dalam perlembagaan iaitu bahasa Melayu, agama Islam, institusi beraja dan kedudukan istimewa orang Melayu serta hak untuk menjadi warganegara bagi kaum bukan Melayu berdasarkan prinsip jus soli.

Kontrak sosial yang dipersetujui telah dapat mengekalkan keamanan dan keharmonian kaum di Malaysia hinggakan pengkaji-pengkaji sosial di seluruh dunia merasa hairan bagaimana masyarakat berbilang kaum dapat hidup sebelah menyebelah di negara ini. Konsep kontrak sosial ini jika hendak dikaitkan dengan Piagam Madinah merupakan isu yang sentiasa dipertikai namun menjadi perkara penting dalam hidup bernegara. Sebaik sahaja Rasulullah SAW tiba di Madinah, baginda membuat perjanjian dan membina masjid.

Piagam yang dibuat itu adalah untuk mewujudkan satu kesepaduan kaum antara Arab, Yahudi dan lain-lainnya. Terdapat 47 fasal iaitu 23 fasal yang berkaitan hubungan sesama Islam dan 24 fasal berkaitan hubungan Islam dan bukan Islam. Kesemua fasal ini jika diterapkan dalam masyarakat, Islam memperincikan apa-apa yang terdapat pada zaman Nabi Muhammad SAW dan dijadikan rujukan kepada dunia. Penjajah Barat yang menakluk dan menguasai Tanah Melayu juga berusaha mewujudkan kontrak sosial ketika hendak melepaskan negara ini. Sebelum itu British tidak peduli pun hak orang lain dan mengambil apa sahaja yang mereka rasa wajar. Namun apabila hendak merdeka barulah dikatakan rakyat Tanah Melayu perlu ikut itu dan ini.

Yusuf Al Qardawi ketika membicarakan kontrak sosial khususnya hak orang bukan Islam dan negara Islam dan Imam Mawardi yang menyebut soal imam, pemimpin dan rakyat, menjelaskan bagaimana kontrak sosial atau Piagam Madinah yang mengandungi 47 fasal itu adalah untuk memberi, mempertahankan dan memperincikan hak keistimewaan dan kebebasan serta keadilan kepada setiap kaum yang ada di Madinah. Orang Islam dan bukan Islam mendapat hak masing-masing termasuk orang Yahudi selagi mereka mengikut perjanjian. Sesiapa yang melanggar perjanjian itu akan dikenakan hukuman yang berat.

Antara kandungan yang menarik dalam Piagam Madinah ialah memberi kebebasan beragama yang menyatakan tidak boleh merobohkan gereja untuk didirikan masjid bagi kegunaan orang Islam. Ketika zaman Amru bin As di Mesir, sebuah masjid yang dinamakan Masjid Amru hendak diperbesarkan. Namun kawasan berkenaan melibatkan sebuah rumah perempuan yang bukan Islam. Atas arahan pemimpin, rumah berkenaan dibeli dengan harga semasa (bukannya dirampas) lalu didirikan masjid. Perempuan tersebut tidak berpuas hati dan melaporkan perkara itu kepada Umar Al Khattab di Madinah.

Lalu Umar memerintahkan sebahagian masjid itu dirobohkan dan didirikan semula rumah perempuan tadi. Akhirnya Amru bin As bersetuju dan dibuat semula rumah sepertimana keadaan asalnya. Perempuan itu sungguh terkejut dengan keputusan berkenaan dan melihat pelaksanaan keadilan kontrak sosial yang dilaksanakan oleh Amru.

Para paderi dan pemuka agama di Madinah telah dilayan dengan baik dan dipertahankan hak mereka. Di Malaysia, orang bukan Islam tidak dipaksa untuk menerima Islam dan mengikut peraturan Islam kerana mereka ada hak sendiri. Ketika Khalid Al Walid melaksanakan Piagam Madinah, beliau membenarkan masyarakat kristian membunyikan loceng pada setiap kali hendak beribadat kecuali semasa orang Islam sedang sembahyang.

Kontrak sosial yang ada ketika itu sangat dihayati oleh masyarakat dan pemimpin Islam. Orang Islam apabila menghayati agamanya mereka akan pertahankan peruntukan-peruntukan yang ada dalam Islam. Semangat kontrak sosial yang dilaksanakan di Malaysia pada hari ini merupakan jalan keluar kepada kemelut perpaduan kaum dan perjuangan menuntut kemerdekaan.

Walaupun berlaku pergaduhan antara kaum pada Mei 1969, bibit-bibit pergaduhan telah bermula lebih awal apabila tidak wujud keseimbangan dalam kehidupan bermasyarakat. Laporan dari Majlis Gerakan Negara (Mageran) pada 1 November 1968 menunjukkan sektor perkhidmatan awam dipenuhi oleh ramai kakitangan dan pegawai bukan Melayu iaitu Melayu seramai 1,142 (32.26%) dan bukan Melayu adalah 2,252 (63.74%). Dalam perkhidmatan ikhtisas (profesional), Melayu adalah seramai 386 orang (19.2%) dan bukan Melayu adalah 1,613 orang (80.8%). Manakala pegawai pelajaran, jumlah pegawai Melayu cuma 61 orang (29.9%) dan bukan Melayu adalah 122 orang (70.1%).

Keadaan ini memberi gambaran bahawa orang Melayu berada di kedudukan yang jauh tertinggal dan perlukan perubahan. Oleh itu, Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan bagi menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan. Selepas 20 tahun pelaksanaan, kedudukan orang Melayu semakin baik namun perlu lebih banyak berusaha untuk mengubah keadaan sosioekonomi mereka supaya dapat bersaing. Satu-satunya pendekatan yang terbaik ialah memperkasa pendidikan dan mempastikan orang Melayu dapat meneruskan pelajaran hingga ke institusi pengajian tinggi.

Setelah 52 tahun merdeka, persaingan semakin sengit di antara Melayu dan bukan Melayu dalam keadaan jumlah penduduk Malaysia yang semakin bertambah. Dalam Carta 1, jumlah penduduk Malaysia ialah 27.73 juta orang dengan kelompok umur 15-64 tahun paling ramai (Carta1).

Carta 1: Jumlah penduduk mengikut umur



Jumlah penduduk Malaysia dijangka bertambah sehingga 43 juta orang pada tahun 2050. Bilangan ini diunjurkan sebagai persediaan kerajaan merancang dan melaksanakan dasar yang memberi faedah kepada semua kaum yang bersama-sama hidup dalam negara merdeka. Dijangkakan jumlah pekerja asing sangat tinggi ketika dan bakal mengubah sosioekonomi dan sosiobudaya masyarakat. Bilangan kaum Cina dan India akan malar pada tahun 2025 dan memberi implikasi besar kepada kuasa politik dan ekonomi golongan itu (Prof. Madya Tey Nai Peng, Universiti Malaya)

Jadual 3: Unjuran penduduk Malaysia, 2020-2050

TahunJumlahPenduduk (juta)Melayu/
Bumiputera
CinaIndia
202033.0---
203037.0--2.3
204040.4-7.0-
205043.028.0--


*Melayu/Bumiputera terus bertambah hingga 2050
*Cina dan India berhenti berkembang pada 2025
*Mac 2006: 1.85 juta pekerja asing berdaftar
*Perbandaran > 80 peratus pada 2030

Calcarea Phosphorica

Bertindak pada sistem vegetatif menyebabkan kekurangan makanan, perkembangan sel-sel tidak sempurna dan tisu-tisu terencat pertumbuhannya terutama dalam tulang dan sistem kalenjar. Dari segi klinikal, Calcarea Phosphorica adalah sama tindakannya dengan Calcarea Carbonica.

Fikiran: Kanak-kanak yang mudah meradang dan risau. Terlupa; susah tunjukkan keupayaan intelektual.

Kepala: Rasa ada sesuatu yang merayap-rayap di atas kepala; kepala panas; menyucuk-nyucuk di pangkal rambut. Tengkorak lembut dan nipis; pelajar perempuan sakit kepala beserta cirit-birit.

Mata: Silau dengan cahaya terang dari lilin atau lampu gasoline.

Telinga: Telinga berdesing. Dalam dan luar bengkak, merah, gatal, panas dan sakit. Terkeluar tahi telinga.

Hidung: Hidung berair, melarat dalam bilik sejuk; berhenti di tempat terbuka. Hidung berdarah semasa tengah hari.

Muka: Sakit pada tulang rahang atas, dari kanan ke kiri; melarat dari bahagian-bahagian lain ke muka. Bibir atas bengkak; sangat sakit, keras dan terbakar.

Mulut:
Sakit gigi. Hujung lidah luka dan rasa terbakar; sangat melecur. Rasa pahit semasa bangun pagi diiringi sakit kepala.

Kerongkong: Ulser, teruk bila menelan.

Perut: Sangat lapar pada pukul 4 petang; bayi mahu dijaga sepanjang masa; menangis setiap kali hendak makan. Simptom-simptom gastrik. Selepas sendawa rasa panas dalam epigastrium. Kanak-kanak mudah muntah. Perut kembung.

Abdomen: Rasa sakit dan gatal sekitar pusat, lega selepas kentut. Rasa terbakar dalam abdomen; seperti dipotong-potong, senak perut tajam diikuti cirit-birit.

Najis: Cirit-birit kerana minum jus buah-buahan; semasa tumbuh gigi; kerana marah; bercampur nanah; disusuli kentut yang kerap. Dubur rasa sakit; teruk di tempat terbuka dengan rasa berdenyut-denyut, terbakar dan menyucuk-nyucuk. Dubur gatal.

Kencing: Sangat sakit dalam buah pinggang semasa bernafas. Letih selepas banyak kencing.

Seks lelaki: Zakar tegang tanpa ada nafsu berahi. Buah zakar bengkak, pundi-pundi zakar luka atau busung.

Seks perempuan: Lemah rahim; teruk semasa buang air kecil atau besar. Keinginan seks yang tinggi. Datang haid terlalu awal, darah warna terang; terlalu lewat, darah warna gelap. Kanak-kanak enggan menyusu kerana susu rasa masin. Keputihan seperti putih telur; teruk semasa pagi. Buah dada sakit jika disentuh.

Pernafasan: Suara serak. Mesti berdehem untuk bersuara. Pernafasan pendek dan menyusahkan. Dada sempit dan sukar bernafas dari pagi hingga 10 malam; lega dengan berbaring, melarat apabila bangun.

Leher/Belakang: Sakit rheumatik dan menyucuk-nyucuk di bahagian leher. Kekejangan sebelah leher dan diikuti sebelah lagi.

Kakitangan: Sakit kerana terkena basah hujan. Sakit kaki dan tangan dengan rasa bimbang. Sakit rheumatik pada bahu dan lengan. Kaki lemah dan sakit berdenyut-denyut. Sakit pada bahagian atas lutut. Kejang di betis apabila berjalan.

Umum: Berdebar-debar apabila naik ke tempat tinggi; mahu duduk; benci hendak bangun. Sedikit saja sejuk sebabkannya mengalami sakit yang lebih teruk. Kanak-kanak tidak dapat berjalan. Sakit pada bekas jahitan. Kanak-kanak lemah dan kurus. Tendon sakit semasa berlunjur.

Tidur: Mulut terbuka (nganga) dan tidak dapat tahan mengantuk sepanjang hari. Sukar bangun pagi.

Demam: Perlahan-lahan menggigil. Malam berpeluh pada satu-satu bahagian.

Melarat: Pagi; petang; pergerakan; cahaya; sejuk; selepas makan; jus buah-buahan; pertukaran cuaca; basah kena hujan.

Lega: Selepas berbaring.

Konstitusi: Perempuan hampir sampai akil baligh; semasa tumbuh gigi kekal; orang tua.

Patologi: Anaemia, senak perut; kencing manis; cirit-birit; bengkak tonsil (sakit apabila mulut dibuka); keputihan; masalah haid; kurang tenaga saraf; cedera pada tulang; sakit kerongkong; katarak; sakit kepala; senggugut remaja; jerawat remaja; kalenjar pangkal rahim.

Friday, April 24, 2009

Rumahku syurgaku

Puan Maryati musykil tentang 'Rumahku Syurgaku'. Ianya sering disebut dan dicanangkan. Namun bukan sahaja belum menemui hasilnya atau hakikat rumahku syurgaku itu, ciri-ciri dan pemahamannya pun belum ditemui lagi. Puan Maryati amat risau bahawa satu aspek yang penting dalam kehidupan manusia iaitu rumahku syurgaku itu hanya tinggal menjadi slogan kosong semata-mata.

Penjelasan yang diberikan: Untuk pengetahuan Puan Maryati dan orang lain yang turut serius tentang rumah tangga syurga, bahawa dalam banyak hal manusia sanggup menggadai nyawa untuk mencapainya. Contohnya sudah ramai yang mati terjatuh ketika mendaki Gunung Everest dan gunung-gunung yang lain. Dalam waktu yang sama, masih ramai yang menunggu giliran untuk mendaki. Mereka yang sudah berjaya ke puncak Everest tidak membawa pulang apa-apa untuk dikongsi oleh orang lain.

Banyak lagi pemburuan manusia yang berakhir dengan penderitaan. Sebab itu penjara, pusat serenti dan pusat sakit jiwa sesak dengan penghuni. Cukup sekadar contoh, ertinya manusia gigih, bersungguh-sungguh, cekal dan tabah dalam memburu cita-cita yang tidak dipastikan sama ada positif atau negatif. Ertinya dalam konteks membina rumah tangga syurga perlukan kegigihan, bersungguh-sungguh, cekal dan tabah dalam mencapainya. Kalau dalam aspek lain yang tidak dipastikan hasilnya positif atau negatif, itu pun manusia sanggup sampai tergadai nyawa, maka dalam membina rumah tangga syurga perlukan komitmen sepenuhnya juga. Bukan sambil lewa atau acuh tak acuh. Segala resipi mesti diikuti sepenuhnya kerana antara satu dengan yang lain saling lengkap melengkapi. Gabungan seluruh resepi itulah akan terjamin hasil yang memuaskan.

Perlu juga difahami bahawa sesuatu yang bernilai tinggi lebih sukar diperoleh. Syurga tentulah amat bernilai biarpun sekadar syurga dalam kehidupan berumahtangga. Sudah menjadi pengalaman manusia, untuk memperolehi sesuatu yang bernilai, umpamanya gaji RM10,000 sebulan, atau untuk menjadi profesor atau doktor,memerlukan kerja keras dan berhempas pulas. Begitulah juga untuk menjadikan rumah tangga syurga.

Suasana rumah tangga syurga itu penuh dengan kebahagiaan, rasa tenang dan tenteram, aman damai dan harmoni.Penuh keceriaan dan kegembiraan. Di dalam rumah tangga syurga mestilah ada hal-hal seperti berikut:

1. Rumah tangga itu dibina atas nama Tuhan, cita-cita dan matlamat Tuhan, atas tujuan agama Islam, mengamalkan syariat Tuhan. Atau dengan lain perkataan, ada iman dan taqwa yang mana kalau susah pun mendapat keuntungan dan dalam keadaan senang pun mendapat keuntungan.

2. Subur kasih sayang iaitu lemah lembut, lunak, bertolong bantu, pemaaf, rasa bersama, bekerjasama, berkongsi susah dan senang, sepakat dan muafakat, seia sekata, berlapang dada, bertoleransi, tidak menyinggung dan tidak pula tersinggung, tidak mengguris hati dan tidak pula terguris hati.

3. Akhlak mulia sangat ketara dan menonjol di kalangan anggota keluarga.

4. Suami sentiasa tenang bersama isteri yang setia.

5. Isteri pula merasa bahagia bersama suami yang sangat bertanggungjawab.

6. Anak-anak merasa tenang dan jiwa terisi melihat ibu bapa yang bertanggungjawab dan berkasih sayang.

7. Antara sesama anggota keluarga, ketiadaan salah seorang antara mereka dirasai kehilangan dan kekosongan, rindu merindui, bertemu tidak jemu, berpisah diserang gelisah. Kehadiran bersama terasa selesai masalah.


8. Ibu ayah melihat anak-anak sejuk hati kerana berakhlak, mendengar kata dan hormat ibu bapa.

9. Dalam rumah tangga syurga tidak ada elemen negatif iaitu:
a. kata nista
b. perkataan atau perbuatan yang menyakitkan hati
c. berdebat, bertengkar, dan bertegang urat
d. sindir menyindir dan menghina
e. tuduh menuduh dan menfitnah
f. maki hamun dan adu domba
g. cerca mencerca dan menghasut
h. perkataan atau cakap kotor dan lucah
i. pukul memukul, bertumbuk, bersepak terajang, tendang menendang.

10. Anggota keluarga membesarkan Allah melalui:
a. sembahyang berjemaah
b. qiamullail
c. mengajar, belajar dan membaca al-quran
d. wirid zikir seperti takbir, tasbih, tahmid, tahlil, istighfar dan doa
e. kuliah-kuliah pengajian, motivasi dan fardhu ain
f. nasihat menasihati


Sumber: Global Ikhwan

Thursday, April 23, 2009

Cabaran konsep Satu Malaysia (1)

Satu Malaysia adalah satu konsep yang mula menjadi debat dalam kalangan intelektual, pembuat dasar dan ahli politik. Konsep ini juga menjadi wadah menarik untuk diketengahkan dalam suasana politik pasca pilihan raya 2008 yang menyaksikan sokongan pengundi kepada kerajaan Barisan Nasional mula menghakis. Fenomena ‘sokongan mengecut’ pengundi diteruskan dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Bukit Gantang di Perak dan Bukit Selambau di Kedah. Dua bukit iaitu Bukit Gantang dan Bukit Selambau adalah fenomena jelas berlaku pemecahan undi Melayu dan bukan Melayu. Rumusan mudah bagi kedua-dua pilihan raya ialah pengundi sudah mula berfikir.

Sebaik sahaja Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menjadi perdana menteri, beliau mengetengahkan idea Satu Malaysia, Rakyat didahulukan , Pencapaian diutamakan. Slogan ini mampu menyaingi ‘cemerlang, gemilang, terbilang’ yang menjadi ikon kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa era kepimpinannya. Namun, Satu Malaysia lebih cepat diperdebatkan kerana masa pengenalannya adalah tepat dan bersesuaian dengan asakan Pakatan Rakyat yang membawa konsep baru dalam suasana politik semasa negara. Potensi konsep Satu Malaysia juga amat cerah andainya idea ini dilihat dalam perspektif serantau dan persaingan antarabangsa kerana isu hubungan etnik semakin menjadi masalah banyak negara khususnya di Eropah apabila proses migrasi berlaku secara besar-besaran dan ditambah pula dengan persepsi negatif masyarakat bukan Islam ke atas agama Islam dan umat Islam di seluruh dunia.

Apabila Datuk Seri Najib mengemukakan konsep Satu Malaysia, aspirasi beliau ialah membina sebuah masyarakat Malaysia yang benar-benar merealisasikan perpaduan. Tidaklah janggal bagi seorang yang mencetuskan idea tersebut lalu membuat lawatan ke tiga kawasan etnik utama di Malaysia bagi membuktikan kesungguhannya.

Kepimpinan Tun Abdul Razak telah mempengaruhi corak dan gaya berfikir beliau. Program pembangunan masyarakat, kecemerlangan modal insan, agihan kekayaan negara dan dasar-dasar yang pragmatik sudah pasti akan menjadi tumpuan. Susunan kabinet juga menunjukkan keupayaan perdana menteri untuk meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar-dasar sedia ada dan merancang tindakan bijak bagi menghadapi kemelesetan ekonomi global. Idea beliau ketika mengumumkan pakej rangsangan ekonomi tahun lepas iaitu memberi pembiayaan kepada mereka yang melanjutkan pelajaran ke peringkat master dan doktor falsafah telah menjadi idea besar kepada kerajaan China untuk mengikut jejak langkah yang sama.

Konsep Satu Malaysia adalah pendekatan berani dan implementasi pendekatan moden untuk menyusun semula masyarakat yang berbagai-bagai latar belakang. Sejarah perkembangan etnik di Malaysia berada pada keadaan genting pada tahun 1930-an apabila bilangan bukan Melayu melebihi penduduk tempatan. Matlamat Inggeris membawa masuk pekerja dari China dan India adalah untuk memeras kerajinan mereka bekerja bagi meraih keuntungan ekonomi kepada kuasa Eropah itu. Sebahagian besar pekerja itu juga berharap dapat mengumpul kekayaan dan pulang semula negara masing-masing untuk bersara di tanah air sendiri. Tidak ada tertulis secara tersurat atau tersirat yang pendatang China itu dibawa ke Tanah Melayu untuk memberi pengorbanan bagi membangunkan Tanah Melayu. Justeru apabila bancian dilakukan, keadaan itu sangat menggusarkan British dan mereka mula memikirkan satu tindakan mesti dilakukan segera bagi melindungi orang Melayu dan masyarakat bumiputera yang lain.


Jadual 1: Penduduk dalam kiraan ribu dan peratusan-peratusan, 1911-1931


191119211931
Jumlah2,339
(100)
2,907
(100)
3,788
(100)
Melayu1,370
(58.9)
1,569
(54.0)
1,864
(49.2)
Cina693
(19.5)
856
(29.4)
1,285
(33.9)
India239
(10.2)
439
(15.1)
571
(15.1)
Lain-lain37
!9.5)
43
(1.5)
68
(1.8)

Sumber: 1957 Population Census, Report No. 14 1.3 h.3

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir pernah berkata pada suatu masa bilangan bukan Melayu mengatasi jumlah penduduk Melayu di Tanah Melayu. Dalam erti kata lain, Melayu menjadi minoriti di tanah airnya sendiri. Mahu ataupun tidak, pemimpin-pemimpin Melayu pada masa itu berusaha untuk mempertahankan hak kaum Melayu sehingga beberapa siri pertemuan dan perbincangan dengan pihak British akhirnya wujud persetujuan untuk mengurangkan bilangan bukan Melayu.

Pada tahun 1930-an, terdapat sekumpulan kecil kelompok orang Melayu yang mulai sedar betapa daif bangsanya. Dalam kalangan mereka ada ulama, wartawan, guru dan kakitangan kerajaan. Daripada merekalah kesedaran perjuangan bangsa disemai (Mingguan Malaysia, 19 April 2009).

Wednesday, April 22, 2009

Search di internet pun dapat duit

Internet adalah gerbang maklumat. Syarikat pencarian internet, Google, menjadi syarikat yang kaya-raya kerana menyediakan khidmat memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat.

Idea dari Google ini memberi idea kepada orang lain untuk berkongsi kekayaan tersebut. Lalu wujudlah macam-macam jenis enjin pencari yang menggunakan konsep ‘memberi wang apabila anda menggunakannya’.


Caranya ialah apabila pelayar internet klik affliate link untuk carian, anda akan mendapat sedikit habuan.

Cara pembayaran ialah dengan kad kredit atau paypal. Selain itu anda boleh letakkan rangkaian anda di laman web, blog, friendster, e-mail signature dan macam-macam cara lagi.

Katakan anda ada satu laman web perkahwinan. Web ini mengumpulkan produk-produk perkahwinan di Malaysia untuk diiklankan di laman web mereka. Maknanya, selain daripada menjual produk untuk perkahwinan, beliau juga mengumpulkan penjual-penjual produk perkahwinan yang lainnya iaitu pesaingnya sendiri. Beliau mengambil peluang dari pesaing-pesaingnya sendiri.

Bijak bukan? Beliau menukar persepsi pesaing sebagai satu ancaman kepada peluang.

Selain produk perkahwinan, pengendali laman web lain pun boleh mendapat faedah dari produk yang beliau hasilkan.

Saturday, April 18, 2009

Calcarea Flourica

Penawar yang membantu menguatkan kekenyalan tisu-tisu; amat berguna dalam ketumbuhan yang keras, pecah-pecah dan tegang tendon. Kekurangan penawar ini dapat dikesan apabila urat-urat menjadi kendur dan tidak ada tenaga tegang kendurnya. Calcarea Flourica amat berkesan dengan tindakannya ke atas tulang dan kalenjar terutama dalam rawatan batu karang atau batu hempedu yang mengeras. Salur darah membesar dan menyimpul. Penawar utama untuk ketumbuhan pembuluh darah dengan salur darah menjadi lebih besar dan luas. Tulang dan gigi tidak cukup keseimbangan makanan. Pengerasan akan membentuk kudis yang bernanah. Radang membran sinovial sebabkan sakit dan bengkak pada sendi lutut. Ketumbuhan pada tulang yang tidak berbahaya selepas mengalami kecederaan.

Fikiran: Sangat kecewa; takut tanpa sebab atau menghadapi masalah kewangan.

Kepala: Bunyi berkeriut/gemersik hidung di dalam kepala. Ketumbuhan berdarah pada bayi baru lahir. Kutil keras di kulit kepada.

Mata: Bersilau dan berkerdip; konjunktivitis; katarak.

Telinga: Tahi telinga pada telinga tengah; berdering dan bergema.

Hidung: Sejuk, selesema kering; hidung busuk; hijau tebal berketul, discaj kekuningan semasa hidung berhingus.

Muka: Bengkak keras atas pipi dengan sakit gigi. Rahang mulut membengkak keras.

Mulut: Bisul pada gusi. Lidah pecah dengan rasa/tanpa sakit. Lisah mengeras. Gigi longgar. Sakit jika makan.

Kerongkong: Panas terbakar, lega dengan minum air suam.

Perut: Muntahkan makanan yang tidak hadam. Tersedu. Sendawa.

Najis: Dubur merekah. Buasir berdarah. Dubur gatal kerana cacing pin. Kerap mendapat buasir buta dengan rasa sakit di belakang dan sembelit. Usus kecil banyak angin.

Seks lelaki: Bengkak air. Buah zakar mengeras.

Pernafasan: Suara serak. Batuk dan sukar bernafas. Batuk dengan kahak berketul nipis kekuningan, rasa gatal dan mahu hembus keluar. Simpulan keras dalam buah dada (perempuan).

Leher/Belakang: Lumbago (sakit otot di bahagian bawah belakang) yang kronik; melarat semasa mula hendak jalan/bergerak dan lega bila bergerak. Ketumbuhan bertulang. Bayi yang mendapat penyakit riket pada tulang paha dan semakin merebak penyakitnya. Sakit bahagian bawah belakang dengan rasa terbakar.

Kakitangan: Gout pada sendi-sendi jari. Ketumbuhan tulang pada jari-jari. Synovitis kronik pada lutut.

Kulit: Merekah dan pecah-pecah; tapak tangan atau bahagian kulit mengeras. Dubur merekah. Bernanah sekeliling kuku. Terdapat simpulan, isi, kalenjar yang mengeras dalam buah dada (perempuan). Bengkak atau menjadi keras pada sendi-sendi atau tendon.

Tidur: Mimpi sangat jelas. Dengan rasa benar-benar akan berlaku (lebih kepada unsur-unsur bahaya).

Patologi: Tulang dan tisu lambat tumbuh; sakit belakang; bengkak adenoid (pengumpulan tisu limpatik pada bahagian belakang hidung sebabkan susah bernafas); kanak-kanak lambat berjalan; buasir; cirit-birit kerana makanan tidak hadam; sakit kerongkong; katarak; psoriasis; lidah tegang; muntahkan makanan.

Friday, April 17, 2009

Kejujuran dan keihklasan membawa kejayaan

Semasa pemerintahan Sayidina Umar Al Khattab r.a., ada seorang lelaki bernama Hassan. Suatu hari dia keluar dari kampungnya dengan menunggang seekor unta untuk membuat satu perjalanan yang jauh. Setelah lama menunggang, dia keletihan lalu turun dari untanya dan bersandar di sebatang pokok lalu tertidur.

Setelah sedar dari tidurnya didapatinya untanya tidak ada. Dia terburu-buru mencari untanya itu. Dalam keadaan cemas dan bimbang itu, Hassan terjumpa untanya, tetapi telah mati. Alangkah terkejutnya Hassan.

"Pakcik yang membunuhnya," kata seorang tua yang berada di situ. "Tetapi bukan sengaja. Unta ini memakan tanaman pakcik, jadi pakcik lontar dengan batu kecil. Kena betul-betul di kepalanya. Tiba-tiba unta ini rebah lalu mati."

Hassan dalam keadaan bingung kerana terkejut dari tidur, tiba-tiba mencabut pedangnya dan dihayun ke arah orang itu dan terpenggallah leher dari badan.Hassan seakan-akan baru tersedar dari mimpi dan menyesal yang amat sangat. Lalu mencari keluarga si mati dan menceritakan segala-galanya.

Dua orang anak lelaki kepada orang tua itu terus membawa Hassan kepada Amirul Mukminin hari itu juga. Hassan pun dihadapkan ke mahkamah pengadilan. Dengan dihadiri oleh beberapa orang Sahabat, pembicaraan pun dijalankan.

Setelah mendengar pengakuan Hassan sendiri, Sayidina Umar selaku hakim telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hassan. Mendengar itu Hassan berkata:

"Demi Allah, saya lebih sanggup dibunuh di dunia daripada mendapat hukuman Neraka di Akhirat. Tapi, wahai Amirul Mukminin, saya minta ditangguhkan hukuman itu beberapa hari kerana saya hendak pulang memberitahu keluarga saya tentang perkara ini. Mereka semua belum tahu dan kerana jauhnya dari sini tentu mereka tidak akan tahu kalau saya tidak memberitahunya."

Sayidina Umar tidak dapat memperkenannya kalau tidak ada penjamin. Walaupun Hassan merayu, tetapi Sayidina Umar tetap bertegas.

Akhirnya seorang Sahabat bernama Abu Zar bangun dan berkata, "Sekalipun saya tidak kenal saudara Hassan, namun atas nama Sahabat Rasulullah, saya minta tuan hakim memperkenankan permohonan Hassan. Jika sekiranya Hassan tidak datang pada hari akan dijatuhkan hukuman, maka biarlah saya yang dihukum."

Dengan jaminan itu, maka Hassan pun dibenarkan pulang ke kampungnya. Sesampai di rumah, Hassan terus memberitahu keluarganya tentang apa yang berlaku dan berkata, "Biarlah saya jalani hukuman di dunia dari hukuman di Akhirat."

Menangislah ibu bapa dan anak isterinya. Tetapi Hassan tidak lemah semangat, terus dipacunya kuda menuju ke tempat pengadilan. Dia lebih takut kepada Allah dan cintakan Akhirat lebih daripada anak isteri.

Di pertengahan jalan, tiba-tiba tali pacu kudanya putus. Hassan cemas kalau-kalau dengan itu dia terlewat sampai. Bagaimanapun dengan susah payah, Hassan dapat membetulkan tali kekang kudanya dan akhirnya dapat meneruskan perjalanannya, tetapi sudah lewat.

Di padang tempat hukuman hendak dijatuhkan kerana kelewatan Hassan, semua yang menanti sangat cemas. Mereka cemaskan Abu Zar yang terpaksa menggantikan tempat Hassan.

Dalam suasana kecemasan yang memuncak, tiba-tiba berbalam-balam di kejauhan semua yang hadir nampak kuda pacuan berlari kencang menuju ke tempat itu. Setelah yakin Hassan yang datang mereka bertempik, "Allahu Akbar! Allahu Akbar!"

Suasana tiba-tiba bertukar menjadi sedih dan terharu. Betapa jujurnya anak muda Hassan memegang janjinya sekalipun nyawanya akan melayang.

Sebaik turun dari kudanya, Hassan mengadap tuan hakim dan berkata, "Demi Allah, saya tidak berniat untuk menempah kelewatan ini. Tali kuda saya putus di tengah padang pasir. Puas saya usahakan mencari tali untuk menyambungnya. Alhamdulillah, saya dapat dan selamat tiba ke sini, tuan hakim." Kemudian katanya lagi, "Sebelum saya dibunuh, izinkan saya bersembahyang dua rakaat."

Sayidina Umar pun membenarkan. Dalam doa akhirnya, Hassan berdoa: "Ya Allah, ampunkan keterlanjuranku di dunia dan di Akhirat."

Selesai menyapu muka, Hassan pun mengadap menyerahkan dirinya untuk menjalani hukuman bunuh. Tetapi pada saat genting itu, tiba-tiba kedua-dua beradik anak si mati mengadap tuan hakim dan berkata, "

Kami telah menyaksikan kejujuran dan keikhlasan saudara Hassan dan telah kami saksikan juga keberanian dan kasih sayang saudara Abu Zar. Juga telah kami saksikan ketegasan dan keadilan Amirul Mukminin menjalankan hukuman Tuhan. Hasilnya, kami memperolehi kekuatan untuk meredhakan kematian ayah kami dengan memaafkan saudara kami Hassan. Lepaskanlah saudara Hassan daripada hukuman, wahai Amirul Mukminin."

Mendengar itu sekali lagi padang itu bergema dengan laungan,"Allahu Akbar! Allahu Akbar!"

Mereka semua bersyukur kerana terampunnya seorang saudara mereka dari hukuman di dunia dan di Akhirat, insya-Allah.

Banyak yang dapat kita pelajari dari peristiwa bersejarah itu. Dari seorang tua yang berani mengaku salah hingga menemui kematian, kemudian Hassan yang lebih berani mengakui kesalahannya dan menyerahkan diri untuk dibunuh. Kemudian Abu Zar yang berjiwa `sahabat` dan sanggup mati kerananya. Tuan hakim yang tegas dan adil. Akhir sekali dua beradik yang berhati mulia merela dan memaafkan pembunuh ayah mereka. Dengan hati yang beriman dan berkasih sayang, manusia di zaman Sahabat telah menempa satu sejarah yang agung. Dan dengan hati-hati yang beriman, mereka telah berjaya mengangkat Islam setinggi-tingginya sesuai dengan sifatnya.

Dengan itu mereka bukan sahaja telah menguasai dunia, tetapi sedang menikmati kesenangan dan kerehatan di Alam Barzakh dan akan Allah anugerahkan Syurga. Itulah nasib orang yang bernama mukmin yang sebenar. Sekarang Allah taqdirkan giliran kita untuk menentukan nasib dan maruah diri. Semoga kita menggunakan peluang ini sebaik-baiknya menuruti jejak langkah mereka yang mulia lagi diredhai.

Sumber: Global Ikhwan