Friday, August 31, 2007

Menilai kemerdekaan

Genap 31 Ogos 2007, Malaysia menyambut hari ulang tahun kemerdekaan yang ke-50. Senario yang sama pada tahun 1957 disambut penuh kesyukuran oleh rakyat Malaya kerana setelah 446 tahun di bawah penjajahan Portugis, Belanda, Jepun dan Inggeris, kini maruah negara telah dikembalikan. Kenangan dalam menempuh liku-liku perjuangan menentang penjajah bagi membebaskan tanah air akan terus diingati. Pejuang kemerdekaan seperti Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Janggut, Rentap dan Mat Salleh akan terus disebut apabila pengkisahan kemerdekaan bangsa dan negara diadakan.

Pengorbanan, susah-payah dan ketabahan mereka untuk menentang penjajah menjadi suri teladan bagi golongan muda kembali merenungi peranan mereka bagi mengekalkan keharmonian yang sedang dinikmati sekarang. Peluang bagi mana-mana rakyat Malaysia untuk belajar, bekerja dan hidup dengan aman dan bebas hanya dapat dikecapi setelah peristiwa yang cuba menggugat perpaduan kaum, memusnahkan ekonomi negara dan meruntuhkan sistem sosial di dalam masyarakat dapat diatasi oleh pemimpin-pemimpin dan pejuang keamanan.

Malaysia telah melalui proses pilihan raya sejak tahun 1955. Proses ini telah berlaku dalam jangka masa yang panjang dan pelbagai peristiwa penting dapat dikaitkan dengannya termasuk usaha mendapatkan kemerdekaan daripada British, penubuhan Malaysia, peristiwa 13 Mei 1969, pembentukan Barisan Nasional, pengharaman UMNO, Wawasan 2020, pilihanraya 1999 dan Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Ketika Tunku Abdul Rahman merentas idea untuk memerdekakan Malaya, British ingin sekali melihat rakyat Malaya yang bersatu. Melayu, Cina dan India dapat membuktikan kepada British bahawa mereka dapat hidup dalam sebuah negara baru iaitu Malaya yang bebas, merdeka dan dapat menjaga kepentingan Inggeris. Perjalanan Tunku Abdul Rahman merancang dan merealisasikan Malaya merdeka telah dimulakan oleh pelbagai usaha dan gerakan sejak tahun 1906.

Nasionalisme Melayu yang mendominasi gerakan kesedaran Tanah Melayu pada abad ke-19 dan awal abad ke-20 dipengaruhi oleh perubahan sosial dan ekonomi kesan daripada peluasan kuasa British di Tanah Melayu. Semangat Melayu berkembang secara beransur-ansur dalam tiga tahap iaitu agama (1906-1926), sosial dan ekonomi (1926-1938) dan politik (1938). W.R. Roff (1967) melihat nasionalisme Melayu dipimpin oleh tiga kelompok iaitu:


1. Reformis Islam berpendidikan Arab
2. Intelektual berpendidikan Melayu
3. Birokrat berpendidikan Inggeris


Keadaan yang mencetuskan semangat nasionalisme Melayu ini dimulakan oleh gerakan reformis Islam di Timur Tengah khususnya Turki dan Mesir yang berlaku pada akhir abad ke-19. Nasionalis Melayu juga dipengaruhi oleh kesedaran betapa kaum Melayu ketika itu sangat mundur dalam bidang ekonomi. Keadaan orang Cina yang menguasai perniagaan di Singapura dan bandar-bandar utama di Tanah Melayu membangkitkan kesedaran untuk bersaing yang dipelopori oleh pedagang-pedagang Melayu (kebanyakannya berketurunan Arab).

Kalaupun ada di kalangan masyarakat Melayu yang bekerja, tetapi mereka hanyalah sebagai polis, pengawal bangunan, pelayan pejabat, pemandu dan orang gaji. Pendapatan yang diperolehi tidak dapat memberi kemewahan hidup sedangkan kaum pendatang menikmati kekayaan. Perniagaan di Singapura terus dipegang oleh kaum Cina dan ketidakadilan inilah yang menjadi pembakar semangat nasionalis Melayu bagi menuntut hak mereka dalam persaingan ekonomi. Kredit dalam kesedaran ekonomi ini boleh diberikan kepada pedagang-pedagang Melayu yang gigih berusaha untuk menempatkan diri mereka dalam arus perkembangan ekonomi ketika itu.

Kekuatan Melayu terserlah ketika bersama-sama menentang Malayan Union yang dicadangkan oleh British. Ianya diumumkan oleh George Hall iaitu Setiausaha Tanah Jajahan di Parlimen British pada 10 Oktober 1945. Sir Harold MacMichael telah dilantik sebagai wakil kerajaan British untuk mendapatkan tandatangan persetujuan daripada Raja-raja Melayu. Tugas beliau selesai pada 21 Disember 1945 dan tidak mendapat tentangan kecuali dari Kedah, Terengganu dan Negeri Sembilan. Seterusnya pada Januari 1946, kertas putih kerajaan yang menyiarkan Perlembagaan Malayan Union secara terperinci dikeluarkan.

Ada beberap sebab kenapa British mencadangkan Malayan Union iaitu:

1. Kecekapan pentadbiran

Pentadbiran British sebelum tahun 1941 di Tanah Melayu mengandungi tiga unit iaitu Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu. Keadaaan ini disifatkan janggal dan mahal oleh James de V. Allen, justeru penyatuan unit ini akan melicinkan pentadbiran dan membentuk keseragaman dan menjimatkan perbelanjaan. Di samping itu memudahkan pertahanan Tanah Melayu dan membantu mempercepatkan perkembangan ekonomi.

2. Pemerintahan sendiri

Malayan Union merupakan langkah pertama dalam proses menyediakan penduduk Tanah Melayu ke arah pentadbiran sendiri. Justeru itu penyatuan politik yang mantap adalah wajar bagi mewujudkan kesedaran nasional di kalangan penduduk Tanah Melayu.


3. Sentimen anti Melayu

British berasa dukacita dengan orang Melayu kerana telah bersubahat dengan pihak Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Tetapi terhutang budi dengan MPAJA dan orang awam yang kebanyakannya adalah Cina dan menentang pendudukan Jepun di Tanah Melayu. British berharap pengenalan Malayan Union dapat merealisasikan sentimen berkenaan.

Penubuhan Malayan Union menjadikan semua negeri Melayu disatukan di bawah satu pentadbiran berpusat, diperintah oleh seorang Gabenor British dengan bantuan Majlis Mesyuarat Kerja dan Majlis Perundangan. Bagaimanapun Singapura tidak dimasukkan sebaliknya diletakkan sebagai Tanah Jajahan Mahkota British dengan seorang gabenor.

Kedaulatan sultan dan raja Melayu dihapuskan dan menjadi raja kehormat sahaja. Sultan hanya mempunyai kuasa dalam soal agama Islam dan mengetuai Majlis Penasihat Melayu.

Hak kewarganegaraan sama rata kepada semua kaum tanpa mengira bangsa termasuk hak yang sama dalam perkhidmatan kerajaan. Semua orang asing dan pendatang yang lahir di Tanah Melayu atau Singapura dan berumur 18 tahun ke atas serta bermastautin selama sepuluh daripada lima belas tahun sebelum 15 Februari 1942 adalah layak menjadi warganegara.

Bagi nasionalis Melayu, penubuhan Malayan Union ditolak kerana banyak sebab. Proses penentangan ini dibahagikan kepada dua tahap iaitu tahap individu dan tahap terancang.

Tahap pertama menyaksikan penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union diserlahkan melalui akhbar-akhbar Melayu seperti Majlis dan Utusan Melayu. Tentangan diperlihatkan melalui tulisan-tulisan individu yang mempunyai tentangan yang kuat terhadap cadangan Malayan Union ini. Soal penghapusan kedaulatan dan kuasa Raja-raja Melayu dan pemberian kerakyatan kepada kaum pendatang melalui konsep jus soli.

Tahap kedua pula memperlihatkan gerakan penentangan yang lebih teratur dan bersifat kumpulan. Kumpulan Melayu yang kecil dan besar dihimpunkan sekali dan mereka mula melancarkan gerakan demonstrasi. Contohnya pada 15 Disember 1945, Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan telah menganjurkan bantahan yang disertai lebih kurang 10,000 orang ketika MacMichael tiba di Kelantan untuk mendapatkan persetujuan Sultan Kelantan. Pada Januari 1946, bantahan seramai 50,000 orang diadakan di Alor Setar, Kedah manakala pada 10 Februari 1946, seramai 15,000 orang Melayu telah mengadakan bantahan di Johor. Akhir sekali, kemuncak kepada bantahan ini ialah penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau UMNO pada 11 Mei 1946 dengan Datuk Onn Jaafar sebagai presiden.


Peristiwa yang berlaku sejak 31 Ogos 1957 sehingga 30 Ogos 2007 telah menjadi sejarah negara yang akan dikenang selamanya. Apabila fajar 31 Ogos 2007 muncul, bermula era yang baru, penuh tanggungjawab dan pelbagai cabaran yang menanti di hadapan. Baik rakyat mahupun pemimpin, kemajuan dan keamanan Malaysia bagi tempoh 50 tahun yang akan datang adalah peranan masing-masing. Ianya tidak lagi menjadi beban kepada British sebagai bekas penjajah, atau Jepun, negara yang ingin membebaskan Asia melalui slogan "Asia untuk Asia." Tanggungjawabnya adalah dipikul bersama oleh rakyat Malaysia.

Pendidikan adalah perubahan. Mendidik bererti berubah. Di negara-negara yang telah mencapai kemerdekaan, proses pendidikan sering diberi tumpuan bagi mengubah keadaan sosioekonomi, sosiopolitik dan sosiobudaya rakyat merdeka. Membebaskan minda yang telah terjajah perlukan kesungguhan dan kebijaksanaan supaya tidak mengulangi kesilapan lalu.

Malaysia juga turut membuat perubahan terhadap dinamika pendidikan ini. Perubahan yang ketara ialah peningkatan kadar celik huruf yang semakin baik dan penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang membanggakan. Menubuhkan Multimedia Super Corridor (MSC) adalah lambang kesungguhan negara untuk menguasai ICT ini di samping saingan negara-negara besar dunia.

Setelah melalui 50 tahun, sektor pendidikan telah melakukan banyak evolusi bagi melahirkan pelajar kelas dunia untuk memenuhi pembangunan negara. Bergerak dari pendidikan berorientasikan kemahiran bercucuk tanam dan mengusahakan ladang, kini pendidikan di Malaysia berasaskan kepakaran yang dieksport ke seluruh dunia. Walaupun tidak setanding Jepun dan negara-negara maju lain, Malaysia sudah menjadi pilihan pelajar dari Asia Barat dan Timur Tengah untuk melanjutkan pelajaran peringkat masters dan doktor falsafah.

Dalam pada itu, pembelajaran sepanjang hayat adalah konsep baru yang masih belum didedahkan sepenuhnya kepada masyarakat. Konsep ini memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk belajar. Kini sudah ada pelajar peringkat ijazah muda yang berusia 50 tahun belajar di institusi pengajian tinggi tempatan. Keadaan ini akan menjadi lumrah dalam jangka masa 10 hingga 20 tahun yang akan datang kerana salah satu ciri negara maju ialah kesediaan masyarakat untuk mencari ilmu dan membaiki tahap hidup sedia ada. Amerika Syarikat umpamanya, mempunyai jumlah penduduk yang mendapat pendidikan peringkat kolej atau universiti yang paling ramai di dunia iaitu 41 peratus daripada penduduknya.

Negara itu mengambil masa 150 tahun untuk mewujudkan keadaan demikian tetapi Malaysia boleh melakukannya dengan lebih pantas dalam tempoh 50 tahun yang akan datang.

Kepekaan kerajaan Malaysia mengalakkan masyarakat merebut peluang belajar lebih terserlah dengan meliberalisasikan pendidikan sedia ada. Pelajar-pelajar asing juga semakin ramai dan menjadi petanda jelas kepada cita-cita serius Malaysia untuk menjadi hab pendidikan antarabangsa serantau. Beberapa cabaran harus dikenal pasti oleh kerajaan supaya hasrat berkenaan tidak terhenti di tengah jalan. Antaranya ialah memperkukuhkan keupayaan pensyarah dalam penyelidikan dan pembangunan, kemudahan prasarana yang lengkap, utamakan keselamatan, autonomi yang luas kepada universiti dan kursus yang berdaya saing.

Universiti yang dimasukkan dalam senarai 100 terbaik juga sekejap timbul dan tenggelam kerana kurang kesungguhan untuk meletakkan kualiti pada tempat yang sewajarnya.

Dalam keadaan negara yang bersungguh-sungguh merealisasikan pendidikan tahap dunia, pelajar di kampung atau luar bandar perlu juga diajak sama untuk memahami cita-cita ini. Pada awal-awal tahun merdeka dahulu, pelajar kampung kebanyakannya tidak berkasut, menahan lapar dan kempunan untuk mendapat pendidikan terbaik, keadaan sekarang sangat berbeza.

Sekolah-sekolah telah mengalami perubahan fizikal yang pesat. Kelengkapan fizikal setanding dengan negara maju dan sudah ada pelajar yang mendapat 17A1 dalam peperiksaan utama.

Menyediakan keperluan yang cukup untuk kemudahan pembelajaran akan memberi ruang yang lebih luas kepada pelajar bagi persaingan sengit peringkat antarabangsa. Negara-negara maju sangat cemerlang dalam pendidikan bukannya disebabkan oleh keadaan cuaca yang sejuk, berkulit putih atau makan roti sepanjang hari tetapi kerana budaya dan sikap mereka terhadap ilmu. Seorang pelajar kulit sawa matang akan lebih hebat dan bijak daripada kulit putih atau hitam jika diberi ruang, tunjuk ajar dan kemahiran dalam bidang yang diminatinya. Pembinaan watak bangsa dapat mengungguli tamadun bagi seratus tahun yang akan datang perlu direncana secara terancang.

Sudah terbukti kejayaan membuat perubahan oleh Nabi Muhammad SAW dalam tempoh 23 tahun ke atas masyarakat Arab yang keras kepala, degil, kasar dan suka berbantah. Program membentuk masyarakat Malaysia bertaraf dunia juga boleh dibuat mengikut acuan yang sama asalkan dapat membina sumber manusia yang kukuh jati diri dan berani menghadapi risiko.


Negara-negara Asia dan Timur Tengah sedang melonjakkan tahap pendidikan masing-masing. Brunei, sebuah negara kecil juga mempunyai cita-cita untuk menarik pelajar asing ke Universiti Brunei Darussalam. Persaingan mencari pasaran pelajar luar sudah menjangkaui benua Afrika dan Asia Barat. Seorang pelajar Iran ditanya kenapa beliau memilih Malaysia untuk melanjutkan pelajaran peringkat doktor falsafah, kos yang murah dan penggunaan bahasa Inggeris secara meluas menarik minatnya. Pelajar dari Oman juga berpendapat yang sama.

Jika diamati, tidak ramai pelajar dari Eropah memilih Malaysia atau Asia sebagai pusat pendidikan walaupun negara-negara Eropah mempunyai jaringan mantap dalam ekonomi dan perdagangan dengan Malaysia khususnya. Jadi bagaimanakah strategi untuk menarik pelajar-pelajar Eropah untuk datang dan belajar di sini?

Apabila pelancong Eropah datang ke Malaysia, mereka tidak begitu kagum dengan bangunan tinggi sebaliknya hairan dengan kehidupan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa. Pengajian seperti inilah yang perlu dipromosi oleh universiti-universiti Malaysia di Eropah. Sehingga kini Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia telah menawarkan bidang pengajian yang ada kaitan di antara Asia dan Eropah. Kursus peringkat masters dan doktor falsafah boleh dirancang dengan teratur seperti perhubungan Asia-Eropah, perkembangan sosial masyarakat berbilang budaya dan perniagaan di Asia.

Sempena ulang tahun kemerdekaan ke-50 hari ini, analisis pencapaian Malaysia sejak 50 tahun yang lalu dapat menjadikan persaingan dengan negara-negara dunia yang lain lebih berdaya saing.

Kekuatan


1.Malaysia mempunyai kerajaan yang kukuh, bertanggungjawab, tindakan yang berterusan melalui pelbagai pembaharuan, ekonomi yang terbuka dan keupayaan untuk mengeksport teknologi yang tinggi.

2.Nisbah pekerja muda yang terlatih kepada penduduk yang lebih besar menyumbang kepada pembangunan pesat bagi memasuki era ekonomi berasaskan pengetahuan. Kesediaan ini dapat memberi peluang kepada mereka untuk menyumbang kepakaran bagi Koridor Pembangunan Wilayah Utara dan Wilayah Pembangunan Iskandar.

3.Melancarkan program celik IT hampir sedekad yang lalu untuk mempercepatkan e-ekonomi dan membina kemudahan ICT sebagai sebuah industri yang maju.

4.Di Asia Tenggara, Malaysia adalah negara terbaik sebagai sebuah masyarakat yang berjaya dalam transisi kepada ekonomi berasaskan pengetahuan (Singapura adalah isu berbeza).

5.Malaysia berada dalam kedudukan yang lebih baik dengan kerangka bagi terma institusi, perundangan dan peraturan.

6.Malaysia adalah negara dunia ketiga paling berjaya di dunia.

7.Pencapaian yang kukuh bagi pertumbuhan ekonomi, pengurangan kadar kemiskinan dan kesaksamaan agihan pendapatan.

8.Sumber-sumber semula jadi yang kaya, pelbagai kaum dan budaya serta bebas dari malapetaka alam.

Kelemahan

1.Kekurangan sumber manusia dalam ekonomi berasaskan pengetahuan berbanding sesetengah negara di rantau Asia.

2.Kadar penembusan ICT hanya separuh berbanding Australia, New Zealand dan Hong Kong walaupun lebih baik daripada negara-negara jiran yang lain.

3.Asas sains dan teknologi yang rendah, penyelidikan pembangunan yang kurang, modal asing yang rendah dan kemahiran inovatif yang lemah.

4.Agenda negara yang dirancangkan di peringkat tertinggi tidak dapat difahami sepenuhnya oleh masyarakat.

5.Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Negara tidak dapat dicapai sepenuhnya kerana lemah dalam pelaksanaan.

6.Kebanyakan polisi berhadapan dengan cabaran-cabaran baru globalisasi.

7.Kuasa politik semata-mata tidak mampu menggabungkan pembangunan sosioekonomi dan pembangunan politik.

8.Kekaburan dan kurang yakin dapat melemahkan pencapaian negara dalam Wawasan 2020.

9.Kumpulan pelampau agama dan kaum, walaupun kecil menyebabkan rasa tidak selesa.

Peluang

1.Slogan lama kepimpinan melalui teladan mesti diperbaharui untuk memberikan makna yang lebih luas.

2.Disiplin, pelaksanaan polisi yang berkesan dan penguatkuasaan yang lebih baik wajar digerakkan dengan lebih kukuh dalam seluruh sistem.

3.Meritokrasi, jika hendak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh mesti mengambil kira kesediaan etnik.

4.Rasuah mesti dikurangkan dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan.

5.Politik wang dibersihkan kerana dapat melemahkan seluruh sistem kerajaan.

6.Penanda aras mesti dipantau sepanjang masa supaya kecemerlangan dapat diukur dalam erti kata sebenar.

7.Merapatkan jurang pendapatan antara kaum supaya kestabilan, perpaduan dan kemajuan dapat diteruskan.

Ancaman

1.Melihat kembali peraturan yang menghalang kemajuan dalam pembangunan sosioekonomi dan karenah birokrasi sektor awam.

2.Undang-undang yang melambatkan keperluan sosioekonomi dan hak-hak asasi manusia perlu dilihat dan dikaji semula.

3.Dasar Ekonomi Baru diperkukuhkan bagi menghadapi cabaran globalisasi dan merealisasikan Wawasan 2020.

Setelah 50 tahun merdeka dan dapat mentadbir sendiri negara, pencapaian Malaysia boleh dilihat dalam pelbagai perspektif. Antara kejayaan tersebut ialah:

1.Malaysia ialah salah sebuah negara penting bagi pengeluaran mikrocip dunia. Negara ini juga menjadi pengeluar utama bagi pengeluaran alat penghawa dingin, sarung tangan getah dan minyak kelapa sawit.


2.Jaringan komunikasi adalah antara yang terbaik di Asia. Hubungan jalan raya, lebuh raya, kereta api, pelabuhan dan jalan udara dikoordinasi dan dihubungkan secara berkesan.

3.Program pembangunan ICT sangat dinamik merentasi semua sektor bagi menggalakkan perkembangan ekonomi berasaskan pengetahuan bagi menambah nilai ke atas sektor ekonomi.

4.Malaysia telah mengembangkan sektor kewangan dan bank dengan berkesan dan dapat memenuhi pasaran Islam yang semakin berkembang.

5.Malaysia sedang berusaha untuk menjadi pusat hab Halal di Asia Tenggara.

6.Sinergi dan kerjasama di antara sektor awam dan swasta mendorong kepada penambahbaikan yang lebih cekap.

7.Malaysia mempunyai industri perkilangan yang mantap, sektor industri kecil dan sederhana yang semakin berkembang dan sektor perkhidmatan yang signifikan dan semuanya mendorong kepada orientasi eksport. Bagaimanapun slogan cemerlang tidak disebarkan secara meluas ke seluruh negara. Justeru cabaran besar kepimpinan masa depan ialah memberi inspirasi untuk memecahkan minda yang lesu, menambahkan sumber manusia dan merencana semula pemikiran sepertimana yang dimuatkan dalam buku Revolusi Mental.

Mengingat memori lepas adalah sangat indah tetapi tidak boleh diingat selalu kerana membuai keasyikan. Apa yang harus difikirkan ialah bagaimana kita merancang membuat perubahan bagi tempoh 50 tahun yang akan datang. Penghayatan terhadap memori silam wajar dikurangkan supaya sentimen tidak mempengaruhi kejayaan pada masa depan. Banyak lagi perkara yang wajar diberi perhatian seperti pembinaan remaja dan belia berakhlak, masyarakat berbilang kaum yang bersatu dan pencapaian ekonomi yang lebih makmur.

"Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun." (Surah Saba’, Ayat 15)

Thursday, August 30, 2007

Tabiat 8 Percaya diri adalah sumber kepercayaan terbesar

Manusia ialah apa yang dipercayainya - Anton Chekhov

Kepercayaan mempunyai kuasa. Kuasa memberi kekuatan untuk bertindak. Apabila berada di puncak kuasa, tidak ada apa-apa lagi yang boleh menghalangnya.

Kepercayaan adalah apa-apa panduan pendirian, pernyataan, keyakinan atau keghairahan yang boleh memberikan makna dan arah tujuan dalam kehidupan.

Kepercayaan adalah sarapan yang terurus dan telah diaturkan terlebih dahulu tentang tanggapan kita mengenai dunia. Kesimpulannya, kepercayaan adalah seperti ketua kepada otak, yang memberi arahan untuk bertindak dengan membawa kita ke arah matlamat dan memberikan jaminan untuk mengetahui yang kita akan sampai ke sana.

Kepercayaan menolong kita melihat apa yang kita mahu dan memberikan tenaga untuk kita memilikinya. Semua halangan akan dihadapi seperti pepatah,“Hendak seribu daya, usaha seribu cara.”

Kepercayaan menolong kita mencungkil dan menggilap sumber terkaya yang letaknya di dalam diri, menghasilkan dan mengarahkan sumber ini bagi menyokong hasil yang kita inginkan.

Kepercayaan menentukan harga diri. Suatu ketika dulu, seorang petani yang kepenatan setelah bekerja seharian di ladangnya kembali ke rumah membawa sebiji buah labu yang masih kecil ke dalam balang kaca yang agak besar. Dari sehari ke sehari, beliau tidak mempedulikan buah labu ini sehinggalah dia perasan buah labu berkenaan tidak lagi mampu membesar. Saiz labu sama dengan saiz balang kaca.

Kepercayaan untuk pergi jauh tidak akan dapat melebihi sempadan yang telah dibentuk sejak kecil.

Seekor ayam telah memeram sebiji telor helang yang dijumpainya. Satu hari telor ini menetas dan keluar seekor anak helang yang cantik. Kepaknya masih kosong tetapi cepat ditumbuhi bulu. Hari ke hari, anak helang ini mengikut ibu ayam ke mana sahaja ia pergi; mencari makan, tidur, bermain dan berkokok.

Dari bawah, anak helang nampak seekor helang sedang terbang tinggi. Lalu berkata kepada ibu ayam, “Alangkah hebatnya helang itu. Kalaulah saya dapat terbang sepertinya.” Ibu ayam mendengar dan terus menyanggah, “Awak tu hanyalah seekor anak ayam. Tidak mungkin awak boleh terbang seperti helang di atas.” Akibat kepercayaan yang sangat tinggi, anak helang ini tidak pernah terbang hingga ke akhir hayatnya.

Kepercayaan memberi kuasa positif kepada pemikiran anda. Pemikiran positif ini akan mengubah masa depan anda. Ia membuka mata anda terhadap peluang yang ada di hadapan anda.

Pada tahun 1950-an dan 1960-an, Amerika Syarikat dan Soviet Union (sekarang Rusia) berlumba-lumba untuk menakluki angkasa lepas. Soviet Union melancarkan satelit pertama, Sputnik ke orbit, diikuti Sputnik II yang membawa seekor anjing bernama Laika. Pada 1959, mereka melancarkan Luna I iaitu kapal angkasa yang dapat melepasi tarikan graviti bumi dan terbang ke bulan.

Kejayaan Soviet Union menimbulkan kesungguhan kepada Presiden Amerika Syarikat, John F. Kennedy untuk menghantar manusia ke bulan. Beliau mempunyai impian dan mahu mempastikannya impiannya menjadi kenyataan.

Pada 16 Julai 1969, roket Apollo II telah berlepas dari kennedy Space Center bagi memulakan perjalanan fizikal sejauh 244,930 batu ke bulan. Empat hari kemudian, Neil Armstrong dan Buzz Aldrin Jr. Menjejakkan kaki di atas permukaan bulan yang disaksikan oleh 500 juta orang.

Neil Armstrong berkata, “Ini adalah langkah kecil untuk seorang manusia tetapi langkah gergasi untuk kemanusiaan.” Perjalanan mental yang berlegar-legar di dalam fikiran John F. Kennedy dipancarkan dengan usaha yang bersungguh-sungguh.

Wednesday, August 29, 2007

Pelan strategik pengajian tinggi negara

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melancarkan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang memperkenalkan tiga langkah khas untuk mencetuskan transformasi dan membawa pembaharuan kepada institut pengajian tinggi (IPT) negara ini.

Di bawah rancangan jangka panjang yang dinamakan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara Melangkaui Tahun 2020 itu, Perdana Menteri menetapkan matlamat untuk meningkatkan kualiti pelajar, keupayaan pensyarah, infrastruktur IPT dan membina rangkaian dengan institusi-institusi pendidikan tinggi ternama dunia.

Tiga langkah khas itu ialah: 1) Meningkatkan tadbir urus sendiri di kalangan IPT awam yang akan dilaksanakan serta-merta; 2) Melaksanakan audit prestasi akademik ke atas semua IPT awam dan swasta; dan 3) Memperkenalkan status universiti apeks (apex) di kalangan universiti tempatan.

Menurut Perdana Menteri, sebagai saluran utama penjanaan modal insan, IPT di negara ini perlu diberikan perhatian khusus kerana melaluinya akan lahir generasi muda yang berpendidikan, berkemahiran, kreatif, inovatif, bersikap progresif dan berfikiran kritis.

‘‘Saya percaya masanya telah tiba untuk kita mentransformasikan IPT negara,” kata Abdullah ketika berucap melancarkan pelan strategik itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Majlis pelancaran pelan strategik tersebut dihadiri lebih 3,000 hadirin termasuk naib-naib canselor IPT awam dan swasta, tokoh-tokoh pendidik, pensyarah universiti, pelajar dan para pemimpin korporat.

Pada majlis yang turut dihadiri oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed dan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein itu, Perdana Menteri memberitahu, bagi meningkatkan tadbir urus IPT, lembaga pengarah kolej dan universiti awam akan diberikan kuasa autonomi.

Kerajaan, kata Abdullah, berharap dengan wujudnya kuasa autonomi IPT yang dicadangkan dalam pelan strategik itu, negara berupaya bertindak lebih pantas menyahut cabaran perubahan yang berlaku dalam bidang akademik, ekonomi dan sosial.

‘‘Saya ingin melihat lembaga pengarah IPT menggunakan autonomi mereka itu untuk memperkenalkan perubahan serta pembaharuan yang akan mempertingkatkan IPTA masing-masing,” katanya.

Beliau menegaskan, aspek kritikal seperti tadbir urus, kepimpinan akademik, pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu ditangani untuk membolehkan institusi pendidikan tinggi diberikan nafas baru dan terus berkembang maju.

Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang dilancarkan petang ini menggariskan tujuh teras strategik iaitu meluaskan akses dan meningkatkan ekuiti, menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran, memperteguhkan penyelidikan dan inovasi, memperkasa IPT, mempergiat pengantarabangsaan, membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan mengukuhkan sistem penyampaian Kementerian Pengajian Tinggi.

Pelan strategik setebal 167 halaman itu disokong dengan siri pelan bertindak jangka pendek yang digariskan di bawah Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara 2007-2010 yang turut dilancarkan serentak.

Bagi memantapkan IPT, Perdana Menteri juga mengumumkan pelaksanaan audit prestasi akademik ke atas semua IPT awam dan swasta untuk memastikan kualiti pendidikan berada pada tahap yang memuaskan.

Untuk menjamin integriti dan kesahihan audit itu, katanya, sebuah jawatankuasa penilaian bebas akan diwujudkan dengan ahli-ahlinya terdiri daripada pakar dari luar Kementerian Pengajian Tinggi.

Abdullah menyarankan semua pihak menerima penilaian bebas itu sebagai satu langkah konstruktif yang akan membolehkan IPT negara ini menguruskan diri ke arah mencapai tahap kualiti bertaraf dunia.

Perdana Menteri turut mengumumkan rancangan kerajaan untuk mewujudkan universiti apeks iaitu gagasan universiti terunggul yang menjadi kemuncak aspirasi pengajian tinggi negara.

‘‘Sebuah jawatankuasa kerja akan ditubuhkan oleh kementerian untuk merangka satu kriteria dan pelan bagi membangunkan universiti apeks dengan komitmen diberikan oleh kementerian bahawa pelan tersebut akan siap dalam tempoh 12 bulan,” katanya.


Abdullah mencabar Kementerian Pengajian Tinggi supaya menubuhkan sekurang-kurangnya sebuah universiti apeks di Malaysia sebelum Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tamat pada 2011.

Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara Melangkaui Tahun 2020 dirancang oleh Kementerian Pengajian Tinggi selepas mendapat input daripada para pelajar, majikan, industri, parti-parti politik, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain laporan-laporan naib canselor serta para pegawai universiti awam dan swasta.

Ia juga mengambil kira Laporan Hala Tuju Pengajian Tinggi Tan Sri Wan Zahid Nordin 2005, Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Laporan Bank Dunia mengenai pendidikan tinggi di Malaysia serta sinergi antara Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Pelan strategik itu merupakan kesinambungan daripada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran untuk pendidikan peringkat rendah.

Sumber: Utusan Online

Tuesday, August 28, 2007

Rancangan integrasi murid untuk perpaduan

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata perpaduan perlu menjadi matlamat penting dalam sistem persekolahan supaya negara terus stabil, aman dan menikmati apa yang telah diamalkan oleh generasi terdahulu.

Perdana Menteri berkata generasi muda perlu diberi peluang awal oleh semua pihak untuk memahami erti perpaduan dengan cara dan amalan ke arah menjadi rakyat yang bersatu padu dan hidup makmur pada masa hadapan.

"Kita mahu mereka tahu apa itu perpaduan. Kita faham ada sedikit perbezaan kerana (dalam sistem pendidikan sekarang) ada sekolah Cina dan (ada) sekolah kebangsaan."

"Ada juga pelajar di sekolah kebangsaan yang ada pelajar (keturunan lain) tetapi bilangan ini amat kecil. Oleh itu, perpaduan perlu diperkasakan dengan aktiviti bermanfaat yang boleh membuatkan mereka bersama-sama menyemai bibit-bibit perpaduan," katanya ketika melancarkan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) peringkat kebangsaan di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua di Mantin dekat sini Selasa.

Abdullah berkata tumpuan usaha memupuk perpaduan ini mesti bermula dari awal kerana pada masa itulah generasi muda belum ada perasaan prejudis terhadap kawan-kawan daripada keturunan dan agama yang berbeza.

Abdullah juga menegur segelintir ibubapa yang merosakkan pemikiran anak-anak dengan menyemai perasaan dan pemikiran yang tidak elok.

"Saya tak kata semua orang tapi ada juga (yang begitu). Ini tidak baik untuk masa depan negara dan masa depan perpaduan. Ibubapa seharusnya menyokong supaya anak-anak mereka mengambil bahagian (dalam menjayakan perpaduan). Kita mesti berjaya dan suasana masa hadapan mesti lebih baik dari sekarang," katanya.

Beliau berkata generasi lama sudah melatih diri masing-masing dengan sikap toleransi dan bertimbang rasa serta tidak sangat memberikan perhatian kepada cara-cara yang boleh menimbulkan kegelisahan antara kaum.

"Inilah pendekatan yang diambil oleh kerajaan yang mengadakan pelbagai rancangan yang mempunyai matlamat perpaduan kaum," kata Perdana Menteri.

Antara usaha yang dibuat ialah menyelitkan seruan tertentu menerusi nyanyian oleh kanak-kanak, katanya.

Abdullah berharap program RIMUP itu akan meninggalkan kesan yang baik kepada negara pada masa akan datang.

Program RIMUP itu, yang dihidupkan semula setelah diperkenalkan pada 1986 ketika Abdullah menjadi Menteri Pelajaran, bertujuan memupuk semangat perpaduan kaum menerusi aktiviti sukan, ko-kurikulum dan juga gotong royong.

Empat objektif utama RIMUP ialah menggalakkan penyertaan guru dan murid dalam kegiatan bersama, mewujudkan sikap kerjasama dan tolong menolong, melahirkan persefahaman dan toleransi antara murid pelbagi kaum di sekolah selain berkongsi kemudahan, peralatan, tenaga dan kepakaran untuk kegiatan khas.

"Apa yang penting ialah program ini mestilah melibatkan semua sekolah. Kalau semua sekolah terlibat itu tandanya berjaya. Kalau ia melibatkan sebilangan kecil sekolah ia tak berjaya," katanya.

Beliau berkata pelaksanaan program RIMUP tidak akan berhenti dalam tempoh tertentu.

Sumber: Bernama (telah diedit)

Monday, August 27, 2007

Teknik dan strategi membimbing remaja menghadapi cabaran

Penulis : Robiah K. Hamzah
Tahun : 2001
Penerbit : PTS Publications & Distributors Sdn Bhd, Kuala Lumpur
Muka surat : 137

Buku ini membincangkan secara terperinci langkah-langkah untuk membimbing dan mendidik remaja ke arah cara hidup yang positif. Zaman remaja adalah zaman perantaraan di antara masa muda dan dewasa. Di dalam diri remaja, mereka sedang hebat berjuang. Tetapi persekitaran mereka belum tentu serasi, penuh dengan percanggahan dan juga tidak stabil. Bagi menghadapi tekanan ini, sebahagian remaja akan mengamali kegoncangan emosi untuk mencari identiti diri dan pegangan hidup.

Di dalam buku ini juga, penulis cuba membantu remaja dengan menyarankan beberapa strategi untuk mengurangkan keraguan dalam diri dan menambahkan keyakinan untuk menempuh cabaran menjadi remaja.

Antara panduan yang dibincangkan di dalam buku ini termasuk: mengatasi masalah malu dan kurang keyakinan diri; mengendali rasa bersalah yang boleh mengancam persahabatan dan keluarga; mengendali diri dalam situasi yang tidak selesa; menjadi remaja yang berani dan menangani ancaman takut; mengatasi tekanan dan menghadapi kekecewaan; dan membina kehidupan yang cemerlang.

Panduan dan tips yang diberikan dapat memberi kefahaman kepada pembaca untuk membantu remaja menyesuaikan diri mereka dengan persekitaran baru. Keadaan ini akan membina sifat-sifat berani dan yakin diri terhadap sebarang bentuk cabaran. Remaja yang lemah dan takut akan berhadapan dengan tekanan yang boleh jadi mengganggu kelancaran hidup seterusnya. Justeru penulis memberikan pelbagai saranan yang dapat menentukan matlamat hidup yang lebih baik kerana kecemerlangan hidup tidak akan datang dengan sendiri. Ia harus dibina, diasuh dan diusahakan hingga mencapai matlamat tersebut.

Ulasan Editor: Membimbing remaja perlukan kefahaman. Kejayaan mendidik remaja dapat melahirkan sumber manusia yang lebih hebat, dinamik dan tidak terpengaruh dengan pelbagai ancaman yang boleh menggugat masa depan mereka kelak.

Friday, August 24, 2007

Fungsi-fungsi kepimpinan

Kepimpinan adalah tanggungjawab. Menjadi pemimpin bererti memikul tanggungjawab yang memerlukan pelbagai kemahiran. Salah memimpin bermakna salah membuat keputusan, tidak menghiraukan pembangunan sumber dan meninggalkan legasi dalam keadaaan kucar-kacir.

Perbezaan peranan pemimpin boleh diperhatikan di sepanjang sejarah kehadiran manusia di dunia berbilion tahun yang lalu. Bermula dengan Nabi Adam A.S, umat manusia sentiasa hidup dengan memimpin dan dipimpin. Dalam proses kepimpinan ini, banyak perkara yang berlaku, menyentuh pelbagai watak, keputusan dan penilaian. Kehadiran pemimpin silih-berganti dalam berbagai-bagai bidang. Antaranya ialah birokratik, autokratik dan demokratik. Justeru, negara-negara yang wujud di dunia pada hari ini turut mewarisi jenis-jenis kepimpinan monarki, demokrasi berparlimen, demokrasi berpresiden, sosialis, komunis dan totalitarian.

Negara yang masih mengamalkan sistem kerajaan monarki semakin berkurangan kerana masyarakat dunia bertambah faham terhadap konsep monarki dalam kepimpinan moden. Namun begitu, institusi beraja masih kuat berpengaruh kerana kuasa utama terletak kepada raja atau sultan manakala ahli kerabat diraja biasanya memonopoli kuasa eksekutif. Ketua negara adalah warisan takhta kerajaan berdasarkan keturunan. Antara negara yang masih utuh menggunakan pemerintahan monarki ialah Arab Saudi dan Brunei.

Demokrasi berparlimen adalah sebuah kerajaan yang mengamalkan doktrin pengasingan kuasa dan menggunakan slogan "kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat." Negara yang mengamalkan sistem ini mewakili sebuah parlimen yang mana wakilnya dipilih melalui pilihan raya. Ia juga mempunyai raja sebagai ketua negara yang menjadi simbolik. Antara negara yang mengguna pakai sistem pentadbiran jenis ini ialah Britain, Malaysia, Thailand, Nepal, Jepun, Sweden dan Norway.

Berbeza dengan demokrasi berparlimen, negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi berpresiden melantik seorang rakyat biasa sebagai presiden melalui pilihan raya atau proses pemilihan tertentu. Ada negara yang memperuntukkan kuasa penuh kepada presiden seperti Filipina, Indonesia dan Amerika Syarikat, sebaliknya ada negara yang menjadikan presiden sebagai kuasa simbolik dengan kuasa sebenar berada di tangan perdana menteri seperti Singapura dan India.

Pentadbiran jenis sosialis memihak kepada golongan miskin dan rakyat kelas bawahan. Di sini, kekayaan adalah milik kerajaan dan negara, bukannya individu. Dalam sistem sosialis, ia menyekat perkembangan pasaran bebas dan tidak banyak mengiktiraf keupayaan seseorang untuk melangkah jauh dalam usahanya. Kerajaan sosialis sering dikaitkan dengan revolusi seperti yang berlaku di Myanmar, Laos, Libya dan Algeria.

Kerajaan komunis yang masih wujud ketika ini ialah Korea Utara yang melaungkan slogan "sama rata, sama rasa." Negara lain ialah Cuba yang memiliknegarakan ekonomi. Bagaimanapun Cuba lebih terbuka dalam menjalin hubungan dengan negara luar berbanding Korea Utara. Pengaruh komunis telah terbatas dan akan dikenang sebagai masa yang sukar kerana memisahkan Jerman Timur dan Barat, Vietnam Utara dan Selatan serta Korea Utara dan Selatan.

Pentadbiran totalitarian sudah tidak wujud pada hari ini dalam erti kata sebenar kerana tokoh-tokoh seperti Adolf Hitler, Mossolini dan Stalin gagal menyebarkan ideologi mereka ke seluruh dunia. Konsep pemimpin ini ialah menghalalkan kekerasan bagi mempastikan ideologi berkenaan diluaskan. Dengan erti kata lain matlamat menghalalkan cara.

Konsep kepimpinan yang dibentangkan di atas adalah sangat luas dan sukar untuk kita kaitkan dengan kepimpinan organisasi jika tidak melihat elemen asas kepada kepimpinan tersebut. Tokoh-tokoh kepimpinan mengkaji peranan dan jenis pemimpin yang berkesan merumuskan lima fungsi pemimpin iaitu:

Pengurusan kumpulan. Pemimpin bertindak dengan tanggungjawab ke atas kumpulannya bagi menggerakkan setiap perubahan. Peranan ini boleh dilaksanakan dalam keadaan formal seperti memberi arahan dan juga tidak formal seperti memberikan pendapat untuk melakukan tugas tertentu. Orientasi pemimpin seperti ini ialah sangat mesra dengan ahli kumpulan dan bijak menggunakan elemen sentuhan dan belaian bagi mempastikan ahli-ahlinya melaksanakan peranan masing-masing.

Memberi arah. Wawasan 2020 adalah contoh idea seorang pemimpin yang memberi arah kepada kumpulan. Arah tersebut adalah jelas, boleh dicapai dan memberi keinginan yang meluap-luap untuk mencapainya. Keupayaan pemimpin memberi panduan matlamat dapat menjadikan setiap usaha ahli kumpulan dapat dijayakan bagi menyempurnakan arah tersebut.

Pengurusan kerja. merancang, melaksana dan mengurus memerlukan kebijaksanaan sinergi. Tanpa keupayaan dan kematangan berfikir, sukar bagi mana-mana pemimpin untuk mengembangkan ideanya. Jika dilihat dalam organisasi, Jepun berjaya membentuk sebuah masyarakat yang mempunyai kaedah pengurusan kerjanya sendiri, walaupun politik bergolak ekonomi mereka masih lagi stabil.

Pembangunan ahli kumpulan. Dalam konteks negara, ia bererti pembangunan modal insan. Sumber manusia sangat penting dan kritikal kerana dapat menarik dan menjatuhkan kekuatan sesebuah negara. Orientasi pemimpin jenis ini ialah mengutamakan semua aspek pembangunan sumber manusia termasuk pendidikan, sosial dan kebudayaan.

Penilaian. Menilai adalah subjek yang sering diketepikan kerana sukar. Walau bagaimanapun, proses penilaian boleh difokuskan kepada beberapa aspek yang penting dan signifikan terhadap pembangunan kepimpinan pada masa depan.

Fungsi kepimpinan ini tidak semestinya seimbang pada semua pemimpin kerana ada di antaranya sangat dominan dalam diri seseorang pemimpin. Kita boleh memberi skala cemerlang, sederhana dan tidak berkesan kepada mana-mana ketua atau pemimpin bagi menilai tahap kejayaan kepimpinannya.

Thursday, August 23, 2007

Tabiat 7 Mengikuti jejak-jejak kejayaan (2-akhir)

Seorang peniaga Cina telah menjadi ahli perniagaan yang berjaya sehingga menarik perhatian usahawan-usahawan yang lain untuk melabur dengannya. Nilai keuntungan tahunan perniagaannya sangat membanggakan dan beliau bercadang untuk melaksanakan sistem francais.

Di Malaysia, beliau melihat kejayaan dalam perniagaan harus dikongsi oleh semua kaum. Bagi membantu usahawan Melayu, beliau merancang sistem francais yang unik bagi membantu usahawan Melayu untuk berkongsi kejayaan. Dia telah menyediakan pelan franscais yang unik dan diberikan secara percuma kepada usahan Melayu yang terpilih.

Dia juga membantu mereka mendapatkan dana dan mendapatkan lokasi yang strategik. Dia tidak mengharapkan rakan-rakan usahawan Melayu yang dibimbingnya akan meraih kejayaan dan menyahut cabaran kerajaan yang ingin melihat bumiputer dan bukan bumiputera bekerjasama memajukan perniagaan. Ada juga dikalangan usahawan Melayu yang terlibat dalam perniagaan francaisnya tidak dibantu malah perlu melakukannya sendiri.

Projek perniagaan francais yang bermula dengan penuh perkobaran berakhir dengan kegagalan. Rugi. Ada yang ditutup. Kelemahan ketara ialah pengalaman berniaga dan pengurusan kewangan. Usahawan Melayu yang dibantunya tidak dapat menggunakan kesempatan dan peluang yang diberi untuk memajukan diri dan perniagaan.

Bagaimanapun usahawan yang tidak dibantunya dapat terus bertahan dan menjadi francais Melayu yang terbaik. Keuntungan yang membanggakan. Usahawan ini melakukannya sendiri.

Kejayaan berniaga bukannya datang secara ajaib, dijampi atau menggunakan mentera tertentu. Ia memerlukan nilai-nilai yang khusus dan melibatkan proses berfikir, merancang dan bertindak. Tiger Woods, seorang pemain golf profesional dan terkemuka pernah ditanya apakah rahsia kejayaannya sebagai seorang pemain golf. Beliau memberitahu tidak ada apa-apa rahsia. Yang penting ialah kejayaannya adalah kerana usaha, latihan dan inisiatifnya hendak menjadi pemain golf yang paling berjaya di dunia.

Peranan guru dan sekolah dalam sistem sosial (7-akhir)

Sekolah adalah institusi sosial. Institusi yang ditubuhkan oleh masyarakat untuk mengekalkan dan meningkatkan kualiti hidup. Sekolah adalah institusi untuk mendidik golongan muda melalui proses yang kompleks, pelbagai polisi dan kurikulum untuk menyempurnakan misi negara.

Sekolah sebagai imbasan masyarakat

Sekolah merupakan cermin budaya kebangsaan dan budaya-budaya lain yang berada di sekitarnya. Sekolah swasta, sekolah agama dan persendirian adalah contoh sekolah yang dikekalkan oleh sekumpulan masyarakat bagi melangsungkan kehadiran mereka. Salah satu contoh ialah Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang masih wujud dan berorientasikan agama. Menjadikan pelajar yang inginkan ilmu agama lalu mereka dihantar ke Timur Tengah bagi mendalami bidang dan minat masing-masing.

Perbezaan di antara persekitaran yang melingkungi sekolah boleh menjadi lebih genting. Sekolah bandar yang dibina berdekatan dengan bandar-bandar besar kerapkali memberi imej masalah sosial yang berada di sekitarnya seperti penagihan dadah, jenayah dan kemiskinan. Salah satu masalah yang paling utama di Malaysia ketika ini ialah kualiti sekolah-sekolah seperti ini. Bagi keluarga yang berada, mereka mahukan anak-anak yang mendapat pendidikan lebih baik dan memilih sekolah kawasan bandar yang lebih sempurna. Justeru jurang di antara lapisan masyarakat semakin melebar.

Bagaimanapun, perbandingan kejayaan sesuatu sekolah tidak mengambil kira siapa pelajar sebaliknya kejayaan semasa peperiksaan utama yang menjadi ukuran. Jadi, apakah ukuran sekolah yang cemerlang ini?

Pertama, kita mesti memberi definisi yang tepat ke atas sekolah cemerlang. Ukuran biasa ialah berapa ramai pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan mampu untuk mendapat tempat di institusi pengajian tinggi. Lainnya pula melihat kecemerlangan ialah mencapai tahap celik huruf yang tinggi dan keupayaan untuk memahirkan diri dalam komputer. Bagi sesetengah yang lain, keupayaan menyelesaikan masalah, berfikir kreatif dan mampu belajar adalah kriteria lebih penting bagi mendefinisi kecemerlangan. Dan yang terakhirnya pula berpendapat sekolah cemerlang ialah yang sentiasa membuat perubahan dan penambahbaikan ke arah kejayaan bukan sebaliknya. Bagi mereka, penambahbaikan di sekolah adalah proses yang perlahan tetapi menuju ke arah yang betul.

Bagi mencari definisi yang tepat sekolah cemerlang, beberapa kajian telah dilakukan di Amerika Syarikat pada tahun 1980-an dan awal 1990-an yang juga menggunakan istilah sekolah berkesan. Ciri-ciri sekolah berkenaan diterangkan dalam kaedah berbeza melalui pelbagai jenis kajian. Antaranya ialah:

Kepimpinan yang utuh - Sekolah cemerlang mempunyai kepimpinan yang utuh. Individu yang menilai pendidikan melihat diri mereka adalah pemimpin, bukannya pengurus atau pentadbir. Mereka akan memantau prestasi setiao orang di sekolah termasuk guru, kakitangan, pelajar dan diri mereka sendiri. Pemimpin jenis ini mempunyai wawasan untuk menjadikan sekolah lebih menarik untuk dipelajari dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Harapan yang tinggi - Aspirasi guru yang tinggi terhadap pelajar. Mereka percaya semua pelajar boleh belajar. Justeru, komunikasi dengan pelajar adalah realistik dan penuh dengan harapan.

Menekankan kemahiran asas - Masih lagi berkisar dengan keupayaan menulis, membaca dan mengira kerana asas-asas ini menjadikan pelajar lebih cekap untuk bergerak ke peringkat yang lebih tinggi.

Persekitaran sekolah yang terkawal - Suasana yang kondusif, selamat dan selesa adalah idaman kepada pelajar dan guru. Pelajar akan dapat belajar dengan lebih baik manakala guru pula akan lebih bersungguh-sungguh dan fokus dalam pengajaran mereka.

Penilaian pelajar yang berterusan - Menilai adalah proses yang berterusan. Prestasi pelajar dipantau secara dekat dan tindakan perlu akan dilaksanakan setelah pelajar menunjukkan prestasi yang lemah atau tidak mencapai sasaran.

Prihatin dengan wawasan - Pelajar dan guru didedahkan matlamat bersama yang hendak dicapai. Mereka bergerak bersama-sama dan tidak lekang daripada sentiasa mengingatkan kejayaan adalah milik semua.

Fokus pada pembelajaran pelajar - Merancang, melaksana dan menilai adalah diberi sepenuhnya ke atas kualiti pembelajaran pelajar. Jika di sektor kerajaan diwar-warkan dengan Key Performance Index (KPI), di sekolah juga wajar dilaksanakan langkah demikian untuk pelajar bagi mencapai kecemerlangan akademik.

Penglibatan guru, ibu bapa dan agensi profesional - Persatuan yang menjaga hubungan guru dan ibu bapa kerapkali bermasalah kerana kurang mendapat sokongan padu ibu bapa. Trend sekolah pada masa depan ialah mewarnai sosial masyarakat dan menjadi pembekal kepada pembangunan modal insan. Melibatkan agensi profesional akan menggalakkan bakat-bakat muda muncul dengan lebih pantas dan memilih bidang yang mereka gemari.

Sebagai rumusan, budaya adalah sangat penting bagi menggalakkan pembentukan sekolah cemerlang kerana ia mengingatkan semua pihak iaitu guru, pelajar dan sekolah untuk bersama-sama berusaha ke arah kecemerlangan negara.

Wednesday, August 22, 2007

Antara kemerdekaan dan kebebasan

Isu sosial dalam pengisian kemerdekaan jarang sekali kita dengar apabila menanti detik ulang tahun kemerdekaan Malaysia. Masyarakat lebih menumpu kepada kemajuan teknologi, apa yang telah dicapai selama ini dan ratiban demi ratiban mengenai kemajuan ini diulang silih berganti setiap tahun.

Isu sosial kerapkali dikaitkan dengan belia bermasalah, remaja lepak, mat rempit, dadah dan pelacuran. Hampir setiap hari ia menjadi dendangan akhbar yang memuakkan. Tetapi isu sosial sebenarnya jauh lebih daripada hal-hal demikian kerana ia sangat berkait dengan falsafah kewujudan dan kemajuan bangsa. Sosial menjadi tunjang dan tulang belakang kepada pembangunan masyarakat dan kemajuan negara yang dikecapi pada hari ini. Di Lembah Bujang umpamanya, ia mengandungi asas kepada pengamalan sosial masyarakat yang belum dikaji sepenuhnya. Kita tidak boleh memarahi penekanan yang ketara terhadap sains dan teknologi kerana sebahagian besar daripada masyarakat hari ini tidak faham atau salah faham terhadap erti merdeka. Apakah benar merdeka itu memberikan kebebasan?

Wacana Kemerdekaan yang dianjurkan oleh Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia baru-baru ini menjemput Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin sebagai ucaptama majlis berkenaan telah mengupas isu Antara Kemerdekaan dan Kebebasan.

Beliau mengimbas kembali detik awal merdeka dahulu iaitu pada 31 Ogos 1957 ketika zaman darurat dan perintah berkurung masih dilaksanakan dari jam 6 pagi hingga 6 petang. Stadium Merdeka ketika itu turut tertakluk pada perintah ini dan digambarkan seolah-olah keluar sekejap dari penjara untuk meraikan kebebasan sedangkan selepas itu terpaksa berjaga-jaga kerana masih di bawah ancaman komunis. Zaman darurat, dalam sejarah Malaysia adalah dalam era Perang Dingin di antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet (1948-1989).

Darurat di Malaysia adalah dari tahun 1948 hingga 1960 yang menyaksikan konflik bersenjata dan keganasan. Ianya telah mengorbankan nyawa 2,000 orang pasukan keselamatan dan 7,000 orang pengganas komunis.

Walaupun dalam darurat, British telah bertindak menyediakan asas kepada kemerdekaan Malaya dari konsep "self-rule" ke kemerdekaan. Penubuhan Communities Liaison Committee (CLC) pada 1949 adalah bibit-bibit kemerdekaan yang dirancang. Ianya diasak lagi dengan pengaruh komunis yang semakin ketara dan mempercepatkan tindakan British untuk menemukan pemimpin-pemimpin kaum utama ketika itu. Di sinilah lahirnya idea untuk membentuk pakatan politik seperti Barisan Nasional, Barisan Alternatif dan Angkatan Perpaduan Ummah dahulu. Persediaan demi persediaan dilakukan bagi memberi pendedahan dan pengalaman kepada Malaya untuk memerintah sendiri.

Pilihanraya Perbandaran 1950 adalah asas kepada persediaan tersebut kerana British yakin, Malaya ketika itu boleh berjalan sendiri tetapi perlu dipimpin. Pilihanraya Umum 1955 adalah pengesahan kepada keupayaan Malaya untuk berdikari sendiri. Parti-parti politik yang mengambil bahagian dalam pilihanraya berkenaan didominasi oleh parti berasaskan kaum yang mengikut Prof. Dr. Shamsul Amri sebenarnya adalah pertubuhan bukan kerajaan yang menghimpunkan persatuan-persatuan kaum dan badan kebajikan (bagaimanapun idea ini kurang dipersetujui oleh sesetengah pihak kerana ada alasan yang berbeza).

Seterusnya penggubalan perlembagaan oleh Suruhanjaya Reid yang diketuai oleh Lord William Reed (pengerusi), Sir Ivor Jennings (Britain), Sir William McKell (Australia), Hakim B Malik dan Hakim Abdul Hamid (India). Suruhanjaya ini bertemu sebanyak 118 kali dan menerima 131 memorandum yang dikemukakan oleh pelbagai pihak. Perlembagaan yang diluluskan pada 15 Ogos 1957 dan berkuat kuasa pada 27 Ogos tahun yang sama diguna pakai sebagai asas perlembagaan Malaysia sehingga kini.

Wacana Kemederkaan kali ini sangat menarik kerana Prof. Dr. Shamsul Amri mengenengahkan idea perlembagaan adalah berdasarkan konsep "agree not to agree" kerana melihat semua keperluan pelbagai kaum di Malaya ketika itu. Hidup dalam realiti tiga kaum utama dan semua pihak harus menerima keadaan tersebut. Perlembagaan terbuka kepada perundingan dan contestation yang berterusan kerana beliau menyifatkan Malaysia sebagai "a state in stable tension" iaitu setiap masa kita mencari penyelesaian ke atas perkara-perkara yang tidak dipersetujui. Jika sebelum merdeka kita bertelagah dan berkonflik untuk mengekalkan sistem pendidikan dan bahasa ibunda masing-masing, isu yang sama turut didendangkan ketika ini cuma dengan wajah yang berbeza. Walau bagaimanapun, pertelagahan cara Malaysia ini tidak pun mengundang pertikaian yang membabi-buta malah itulah cara pemimpin negara menyelesaikan pertikaian. Justeru itu boleh dianggap setiap proses yang berlaku sebagai penyelesaian.

Antara implikasi rentetan masalah yang masih dipertikaian oleh Cina dan India ialah isu ekonomi dengan Dasar Ekonomi Baru menjadi puncanya. Hari ini parti MCA meminta kontrak kerajaan dibuka kepada semua dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan India menuduh kerajaan tidak banyak membuat perubahan di dalam masyarakat India Malaysia.

Isu-isu ini akan terus didendangkan dan menjadi penyebab kepada konsep "agree not to agree" tadi. Barangkali masa sudah tiba bagi masyarakat Malaysia yang matang melihat kemajuan yang dicapai kini daripada terus mengingat memori lama yang tidak akan padam. Eropah, Amerika dan dunia lain pelik melihat kemakmuran masyarakat Malaysia hidup dalam kelompok tersendiri. Teh tarik, roti canai dan nasi lemak tidak lagi asing di kalangan Melayu, Cina dan India malah ada kalanya dicari di mana-mana. Masyarakat Barat tidak hairan dengan kemajuan teknologi kita tetapi mereka pelik lagi hairan dengan ikatan sosial masyarakat Malaysia. Jerman umpamanya, masih sukar untuk meleraikan masalah mereka dengan pendatang Turki dan melihat pendekatan Malaysia sebagai pilihan. Jika bijak pandai mereka datang ke Kuala Lumpur, tidaklah menjadi kebanggaan dan sifat ingin tahu berapa tinggi Menara Kuala Lumpur tetapi bagaimana Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban boleh hidup dengan aman.

Tuesday, August 21, 2007

Tingkatkan skim bantuan orang tua

Peningkatan kos hidup kerana kenaikan harga barangan keperluan memberi impak ke atas corak hidup sebahagian besar masyarakat Malaysia. Sama ada kecil ataupun besar, kesan kenaikan harga barang menjadikan budaya hidup turut berubah. Ianya lebih ketara di bandar berbanding kampung atau kawasan luar bandar.

Kesempatan bertemu seorang wanita warga emas dan mendengar keluhan hidupnya sangat menginsafkan. Timbul belas ehsan ke atas wanita ini kerana kesempitan hidup yang dialaminya ketika usia sudah lanjut sedangkan tidak banyak simpanan untuk hari tua. Hidup di bandaraya Kuala Lumpur dengan pelbagai jenis bayaran sebaik keluar dari rumah amat menyeksakan. Tinggal di rumah pangsa dengan sewa yang tinggi, wanita ini terpaksa mengikat perut memakan roti dengan air teh. Tindakannya bagi memastikan sewa bulanan dapat dibayar dan dikongsi bersama rakan-rakan serumah yang lain. Keadaan hidup begini bukanlah pilihan bagi kebanyakan orang pada usia tua tetapi itulah hakikat hidup pada hari ini.

Bagaimanapun seperti pepatah, "di mana ada kemahuan di situ ada jalan," kehidupan mesti diteruskan. Kini beliau sedang berusaha mendapatkan bantuan sara hidup dari agensi kerajaan khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia melalui skim bantuan orang tua (BOT). Wanita ini berbangsa Cina, berumur 74 tahun dan masih belum berkahwin. Masa mudanya diperuntukkan untuk berbakti kepada badan-badan kebajikan dengan membantu golongan tidak berupaya dan daif di kuil dan kawasan tokong. Berasal dari Perak dan kini menjadikan Kuala Lumpur sebagai tempat tinggal.

"Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu." (Surah Al-Hajj, ayat 5)

Manusia melalui proses yang unik, istimewa dan kelebihan ini sewajarnya digunakan dengan baik ke arah kecemerlangan. Kesempurnaan masa hidup perlu digunakan sepenuhnya.

kehidupan pada usia tua adalah siri urutan umur yang lengkap. Menempuh usia tua seiring dengan pelbagai pengalaman dan keadaan kesihatan yang semakin merosot. Lebih banyak wang yang perlu dibelanjakan untuk mengekalkan tahap kesihatan yang bersesuaian dengan usia tersebut. Penyakit yang pelbagai mencetuskan sindrom bergantung kepada ubat untuk meneruskan kehidupan.

Perbelanjaan untuk kesihatan, sewa rumah dan keperluan harian ketika umur tua sangat berbeza dengan usia muda kerana kosnya lebih banyak. Ketika muda, apa sahaja teringin hendak dimakan tetapi apabila tua, kita perlu memilih untuk makan dan minum kerana banyak pantangnya. Jika salah makan, risiko mendapat penyakit lebih tinggi.

Di Malaysia, agensi kerajaan yang aktif dan diberi tanggungjawab memberi bantuan kewangan kepada orang tua ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia melalui bantuan di semua cawangannya. BOT sebanyak RM200 sebulan yang diberikan kepada mereka yang layak dapat membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi.

Bagaimanapun dengan peningkatan kos hidup, bantuan sebanyak itu tidak lagi relevan di bandar. Jika di luar bandar jumlah ini masih banyak kerana kos hidup tidak begitu membebankan. Namun, sedikit atau banyak ianya sangat berharga kepada warga tua. Pernah dilaporkan bantuan sebanyak RM30 sangat berharga bagi penerimanya di kampung. Dia sanggup menaiki basikal untuk ke bank dan kadangkala mengambil bas walaupun sebahagian daripada bantuan berkenaan digunakan untuk membayar tambang bas.

Warga tua adalah aset yang telah menyumbang kepada pembangunan negara. Mereka telah banyak berjasa bagi membangunkan negara pada hari ini.

Monday, August 20, 2007

Saya boleh

Penulis : Ben Sweetland
Tahun : 1998 (Karya terjemahan)
Penerbit : Thinker's Library Sdn Bhd, Kuala Lumpur
Muka surat : 257

Tahap ketinggian yang boleh kita daki dalam hidup ini bergantung sepenuhnya kepada sejauh mana kita menerima perkataan yang menjadi tajuk buku ini: Saya boleh!

Membaca buku ini sekali - dengan mendalam - akan membuka lembaran baru bagi mengecap peluang dan kebahagiaan untuk kita. Membacanya bagi kali kedua akan menambahkan lagi rangsangan kepada azam baru. Manakala pembacaan yang teliti bagi kali ketiga akan menyemarakkan cita-cita yang tidak ada batasan dan semangat yang menyala-nyala sehingga kita mendapat objektif yang hendak dicapai.

Buku ini disusun dengan dua bahagian. Bahagian pertama berkisar mengenai analisis diri seperti peranan minda dan nilai diri. Huraiannya mendalam dan penuh dengan cerita yang menjadi pengajaran untuk berubah. Bahagian kedua menyentuh mengenai aspek diri dan orang ramai yang berada di sekitar kita seperti perbualan umum, mendapat kerja yang lebih baik dan dimasukkan sedikit mengenai keluarga bahagia.

Mukaddimah buku ini membawa kisah masyarakat Amerika yang jika dialih bahasa akan berbunyi American iaitu ican. Ianya melambangkan dorongan diri yang sangat kuat kepada orang Amerika untuk berusaha.

Analisis diri yang agak berat tetapi bersahaja dapat memperteguh prinsip pembacanya supaya menghargai dirinya sendiri walau apa pun yang berlaku. Kehilangan rasa hormat mungkin menjadi sebab utama mengapa sesetengah orang tidak berjaya dalam setiap tindakan mereka. Berfikir bahawa diri mereka tidak berhak ke atas kehidupan dan kebahagiaan adalah langkah awal untuk menempuh kegagalan dalam hidup.

Sebaliknya, Ben Sweetland mencadangkan mereka untuk berhenti sebentar bagi berfikir, memilih sikap yang betul dan berorientasikan kejayaan, mereka dapat menebus kembali kegagalan dan kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini.

Ulasan Editor: Kejayaan adalah untuk orang yang berusaha dan bersusah-payah mencari jalannya.

Sunday, August 19, 2007

Menghargai hak sebagai warganegara

Hidup di sebuah negara yang merdeka menjadi idaman setiap orang. Rasa bangga dan syukur kerana dinaungi oleh negara berdaulat memudahkan urusan seharian tanpa ada sekatan. Rakyat Palestin umpamanya, terpaksa berhadapan dengan pelbagai jenis sekatan Israel. Mereka juga diancam bunuh dan disisihkan daripada menuntut ilmu, berekonomi dan berpolitik. Setiap hari bagi anak-anak Palestin adalah perit. Tidak seperti keadaan masyarakat Malaysia hari ini yang bebas ke sana-sini, bebas membuat pekerjaan yang mereka sukai dan bebas menjana pendapatan sendiri. Tidak ada sekatan yang mencegah mereka daripada hidup. Justeru, amat malang bagi mana-mana warganegara yang mencela dan mencemar nama baik negaranya sendiri.

Tindakan seorang warganegara Malaysia, Wee Meng Chee yang me'rap'kan lagu kebangsaan, Negaraku menjadi Negarakuku adalah tindakan yang mencela tanahairnya sendiri. Apatah lagi lirik lagu berkenaan menghina agama Islam, bangsa Melayu, agensi dan dasar-dasar kerajaan. Tindakan berkenaan disifatkan tidak menghargai anugerah sebagai warganegara Malaysia. Selain Negarakuku, beliau juga menghasilkan lagu Kawanku/My Friends yang terang-terangan menghina kaum Melayu.

Awal tahun ini, Thailand telah berjaya memaksa Google untuk menarik keluar video klip yang menghina Raja Bumiphol dan paksaan kerajaan Thailand tersebut diiringi dengan pengharaman terhadap pautan laman web YouTube di seluruh Thailand.

Bagaimanapun kerajaan Malaysia masih lagi menunggu untuk mengambil tindakan. Keadaan ini sangat berbeza dengan semangat patriotisme rakyat Thailand dalam hal mencemarkan lambang kedaulatan negaranya.

Banyak soalan yang berlegar-legar di fikiran masyarakat mengenai tindakan Wee Meng Chee yang mengkritik dasar kerajaan dan menghina kaum Melayu serta agama Islam. Apakah motif sebenar beliau? Barangkali inilah bentuk bantahan rasa tidak puas hati golongan muda Cina yang melihat kerajaan Malaysia berlaku tidak adil kepada bukan Melayu. Tetapi kita harus kembali melihat keadaan tersebut bersama dengan perjuangan kemerdekaan dahulu. Ia tidak harus dipisahkan dengan jarak masa kerana peristiwa yang berlaku dahulu mencorakkan apa yang berlaku pada hari ini.

Ketika British menjajah negeri-negeri Melayu, mereka membawa masuk buruh-buh asing bagi mengusahakan perlombongan bijih timah dan ladang getah. Kebanjiran pekerja asing pada awal abad ke-20 ini menyebabkan bilangan imigran dari China dan India telah melebihi jumlah penduduk Melayu sendiri. Dengan jumlah seramai 285, 202 orang, bilangan ini jauh berkurangan daripada orang Cina (299,739) dan India (58,211). Selepas Perang Dunia Pertama, jumlah orang melayu telah merosot dari 53.7 peratus pada tahun 1911 kepada hanya 41 peratus pada 1941.

Sehingga 1948, gerakan nasionalisme telah menjadi aktif dan membangkitkan kesedaran masyarakat Melayu untuk bebas dan merdeka. Perundingan di antara pemimpin kaum bagi tujuan berkenaan bermula pada 1953 yang melibatkan pemimpin UMNO dan MCA. Manakala MIC menyertai perundingan ini pada 1955. British meletakkan syarat perpaduan sebagai asas kemerdekaan kerana pergaduhan dan pertikaian akan memberi kesan terhadap proses mendapatkan kemerdekaan kelak.

Tunku Abdul Rahman meletakkan syarat dengan negeri Melayu sebagai asas perbincangan manakala Tan Cheng Lock menuntut kerakyatan dengan orang-orang bukan Melayu berdasarkan prinsip jus soli. Walau bagaimanapun kata putus mengenai perkara-perkara asas dicapai sepenuhnya menjelang pilihan raya persekutuan 1955.

Selain daripada perkara-perkara asas pemerintahan yang bersifat persekutuan dan mengguna pakai sistem demokrasi berparlimen, terdapat beberapa perkara lain yang relevan berkaitan hak dan kepentingan setiap kaum. Justeru, perkara-perkara tersebut seperti kerakyatan, hak istimewa, kedudukan Raja-raja Melayu, agama dan bahasa turut dimasukkan ke dalam perlembagaan. Persetujuan yang dicapai oleh pemimpin-pemimpin kaum dalam Perikatan yang telah memenangi pilihan raya sebelum itu dijelmakan dalam "kontrak sosial" walaupun istilah tersebut tidak disebut dalam perlembagaan.

Antara bidang kontrak sosial ialah kerakyatan, hak-hak istimewa Melayu (tanah, perkhidmatan awam, lesen, biasiswa dan dana pelajar), kedudukan Raja-raja Melayu, Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Melihat kepada elemen kontrak sosial ini, tidak ada kaum yang mendapat semua haknya dan tidak ada kaum yang rugi semuanya. Bukan Melayu mendapat taraf kerakyatan setelah dianggap sebagai pendatang. Mereka juga menerima dan terpaksa bersetuju dengan kandungan kontrak sosial. Mendapat kerakyatan adalah satu anugerah berbanding tuntutan hak orang-orang Melayu.

Tidak mudah untuk mengurus dan mentadbir sebuah negara yang berbilang kaum. Tanpa kebijaksanaan pemimpin, Malaysia akan menjadi seperti Bosnia-Herzegovina. Selepas sepuluh tahun merdeka, bibit perkauman kembali mewarnai politik melalui pertikaian hak-hak istimewa orang Melayu, mendesak kerajaan meluaskan penggunaan bahasa Cina dan memperkasa pendidikan Cina. Juara kepada desakan ini datangnya daripada PAP yang disifatkan pelampau ketika itu.

Orang Melayu juga terkesan apabila ada pihak yang mempertikai hak mereka. Ada yang mencadangkan golongan yang tidak setia kepada negara dihantar balik ke negara asal. Ketika itu orang Melayu masih lemah dalam banyak segi dan kuasa politik mereka turut semakin terhakis. Peristiwa 13 Mei 1969 adalah ledakan pertikaian yang memusnahkan perpaduan kaum dan menjadi sejarah hitam negara. Walaupun pelbagai dasar dan akta dibentangkan, perpaduan kaum sentiasa diuji. Pada 1987, Operasi Lalang dilancarkan bagi membendung konflik kaum yang bila-bila masa sahaja boleh meletus apabila ada golongan yang mengungkit status bumiputera. Tindakan melampau parti-parti politik yang berbau perkauman dikhuatiri dapat mencetuskan masalah dan mesti dikawal.

Ujian seterusnya ialah pada tahun 2000 ketika sokongan kepada Barisan Nasional merosot dan kedudukan UMNO agak lemah di parlimen. Peluang menuntut hak dan menyemarakkan isu-isu perpaduan dikemukakan oleh persatuan Cina atau Suqui. Sebanyak 17 tuntutan dikemukakan ke atas kerajaan dan sebahagian besarnya dianggap sebagai pengulangan tuntutan sebelumnya yang ditafsirkan sebagai tidak pernah reda walaupun orang-orang Cina di Malaysia telah mendapat kerakyatan.

Antara isu berkenaan ialah penghapusan diskriminasi kaum, perbezaan bumiputera dan bukan bumiputera, sistem kouta dan meritokrasi. Walaupun orang-orang Melayu tidak membantah secara meluas, isu tersebut ada yang melanggar perlembagaan negara.

Tuntutan orang Cina yang tidak pernah pudar diikuti oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Hindu Rights Action Force (HINDRAF) yang mendakwa kerajaan tidak banyak berusaha menyelesaikan masalah kaum India Malaysia sejak 50 tahun lepas. HINDRAF juga mahukan hak istimewa Melayu dihapuskan, suatu yang mustahil dapat ditunaikan. Berbeza dengan Suqui, HINDRAF menuntut 18 perkara daripada kerajaan.

Kritikan sosial oleh Wee Meng Chee melalui ubah suai lagu kebangsaan Malaysia adalah contoh rasa tidak puas hati terhadap kontrak sosial yang telah disepakati bersama. Bezanya tindakan ini dibuat secara individu dan tidak melibatkan mana-mana kumpulan tetapi ia menjejaskan dengan teruk usaha menyatupadukan rakyat Malaysia sejak merdeka.

Sepanjang 50 tahun merdeka, masih ada lagi rasa tidak puas hati kaum-kaum tertentu di Malaysia. Bilangan orang Melayu yang ramai tidak menafikan hak kaum minoriti untuk bersama-sama hidup dan menjalankan aktiviti hidup kerana kontrak sosial yang dipersetujui menjadi tulang belakang kepada pembangunan negara hari ini. Penguasaan bumiputera ke atas politik Malaysia akan lebih ketara setidak-tidaknya sehingga tahun 2050 apabila unjuran populasi oleh Profesor Madya Tey Nai Peng dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya diambil kira secara serius.

Dalam Persidangan Kependudukan Nasional 2007 yang lalu, beliau menyatakan jumlah bumiputera ialah 28 juta, berbanding Cina kurang dari 10 juta dan India di bawah 3 juta. Kaum Cina dan India akan berhenti berkembang pada tahun 2025 tetapi bumiputera akan terus berkembang sehingga tahun 2050. Jumlah populasi yang sedikit akan menggugat kuasa kaum-kaum berkenaan khususnya dalam politik, sosial dan budaya walaupun masih berpengaruh ke atas ekonomi.

Pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam tempoh 10 atau 20 tahun yang akan datang. Tidak harus ada tempoh tertentu yang mengehadkan pelaksanaan kontrak sosial kerana keadilan sosial di antara kaum hanya akan wujud setelah masing-masing berada pada landasan yang kukuh untuk bersaing. Peranan pemimpin juga penting bagi mengerakkan semangat dan daya juang masyarakat yang hidup bersama bagi tempoh masa yang panjang.

Wednesday, August 15, 2007

Wajibkan pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah

Kematian adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Mati beriman kepada Allah SWT itulah yang yang terbaik.

Keadaan kemalangan di Kilometer 229.1, Lebuh Raya Utara Selatan di Bukit Gantang, Taiping menjadi bualan ramai. Setelah 20 orang meninggal dunia serentak, barulah nampak kepincangan dalam pengurusan sistem jalan raya di Malaysia. Masing-masing menyalahkan di antara satu sama lain sedangkan kedua-duanya menyumbang kepada masalah tersebut.

Kehilangan nyawa yang banyak dalam sekelip mata di atas jalan raya agak menjadi-jadi sejak tiga tahun yang lalu di sebalik langkah-langkah penambahbaikan yang giat dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kerja Raya dan Institut Keselamatan Jalan Malaysia (MIROS). Jika dibandingkan dengan insiden jambatan runtuh di Amerika Syarikat dan China baru-baru ini, jumlah kematian bas ekspres Syarikat Kenderaan Bukit Gantang Sdn Bhd (SKBG) adalah lebih menyerlah.

Persoalan yang timbul ketika ini adalah apakah pelaksanaan penguatkuasaan, kursus dan langkah-langkah pencegahan oleh pihak berkuasa tidak memberi sebarang kesan terhadap pengguna jalan raya khususnya kenderaan besar? Kita yakin, dari segi penyeliaan kenderaan, pihak pengusaha kenderaan akan memastikan setiap bas atau lori yang digunakan berada dalam keadaan memuaskan sebelum memulakan perjalanan jauh. Tetapi agak sukar untuk memastikan sikap pemandu berada pada keadaan yang memuaskan kerana terdapat banyak faktor yang mempengaruhi seperti kekerapan mengejar trip, cuai dengan persediaan keselamatan dan tidak mengikut arahan pihak berkuasa dalam sesetengah keadaan.

Sikap pengusaha sendiri yang meremehkan latar belakang calon pemandu juga menjadi di antara penyumbang kepada kecelakaan jalan raya. Ada kes di mana bekas banduan diambil bekerja sebagai pemandu bas dan berakhir dengan jenayah rogol, liwat dan bunuh penumpang di dalam bas. Kealpaan ini mengundang rasa tidak selamat penumpang untuk mengunakan perkhidmatan bas ekspres kerana kekhuatiran mereka terhadap keselamatan dalam perjalanan.

Kemalangan jalan raya seperti ini tidak patut berulang lagi. Sudah cukup bagi masyarakat Malaysia untuk meratapi kehilangan nyawa yang ramai seperti di Bukit Gantang tersebut. Pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenangnya menyalahkan pengusaha bas sebaliknya menilai kembali setiap usaha yang telah dan sedang dilaksanakan sekarang sama ada masih relevan ataupun tidak. Jika diamati, telah banyak langkah diumumkan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya di seluruh negara tetapi jumlah kemalangan ini masih tidak banyak berubah.

Disarankan agensi kerajaan memberi perhatian yang lebih kepada program pendidikan di sekolah rendah dan menengah kerana perubahan yang diharapkan daripada sistem pendidikan akan lebih lama dan berkesan bagi sebarang perubahan.

Apabila pelajar didedahkan kepada asas keselamatan dan penggunaan jalan raya yang berhemah, suatu hari nanti tidak akan ada mat rempit yang mati sia-sia, tidak ada lagi satu keluarga enam orang mati serentak di dalam kereta ataupun tidak ada lagi penunggang motosikal yang koma di hospital kerana terjatuh akibat melanggar lubang yang ternganga di permukaan jalan.

Kebencian terhadap pelanggaran undang-undang jalan raya harus dipupuk lebih awal. Kanak-kanak yang didedahkan dengan pendidikan keselamatan jalan raya akan membesar sebagai pengguna yang sedar dan akan berhati-berhati ketika berada di jalan raya. Mereka juga tidak akan meredah lampu isyarat merah, tidak memotong barisan dan tidak akan memandu melebihi had laju tanpa sebab.

Tetapi masyarakat pengguna jalan raya gagal dididik kerana lemahnya perancangan di peringkat awal. Penunggang motosikal lebih suka mencilok dan melanggar warna merah lampu isyarat kerana tidak sabar dan tidak mementingkan keselamatan pengguna lain. Pihak berkuasa juga mengambil masa yang lama untuk membaiki kerosakan jalan atau infrastruktur lain yang mengundang padah kepada pengguna.

Kemalangan jalan raya akan terus berlaku di Malaysia khususnya pada musim perayaan. Penguatkuasaan yang berterusan adalah lebih baik dan bermanfaat bagi keselematan orang ramai. Imej yang tercalar ke atas perkhidmatan bas ekspres perlu diatasi segera supaya penumpang yang memerlukan perkhidmatan itu tidak akan membayangkan mimpi ngeri apabila berada di dalam mana-mana bas ekspres kelak.

Tuesday, August 14, 2007

Pekerja asing melebihi masyarakat India

Jumlah pekerja asing dalam pelbagai sektor di negara ini kini lebih ramai daripada masyarakat India, iaitu kaum ketiga terbesar di Malaysia.

Berdasarkan statistik sehingga 30 Jun lalu yang dikeluarkan Jabatan Imigresen dan Bahagian Perangkaan Demografi Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah pekerja asing mencecah 1.91 juta manakala masyarakat India 1.88 juta.

Jumlah itu tidak termasuk lebih 400,000 pendatang asing yang dipercayai memasuki negara ini secara haram serta hampir 10,000 tahanan di depoh imigresen.

Malah, menurut sumber Bahagian Perangkaan Demografi, pertambahan penduduk India di negara ini agak perlahan berikutan beberapa faktor termasuk pengurangan tahap kesuburan wanita dan perkahwinan dalam usia lewat.

Pertambahan pekerja asing pula dijangka meningkat secara mendadak berikutan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Statistik unjuran kadar pertambahan penduduk menunjukkan menjelang 2009 pekerja asing di negara ini akan melebihi dua juta orang, sedangkan masyarakat India ketika itu hanya seramai 1.93 juta.

Kenyataan itu disokong statistik Jabatan Imigresen yang menunjukkan pengambilan pekerja asing bertambah 7,000 orang setiap bulan dan dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa.

Unjuran itu juga menunjukkan penduduk Malaysia kini berjumlah 27.17 juta orang dengan masyarakat Melayu masih menjadi kaum majoriti, iaitu 13.77 juta, Bumiputera lain (2.9 juta), Cina (6.3 juta), India (1.88 juta), lain-lain (326,000) dan bukan warga negara atau pekerja asing (1.91 juta).

Pada 2009 pula penduduk negara ini dijangka meningkat kepada 28.306 juta orang dengan masyarakat Melayu berjumlah 14.409 juta, Bumiputera lain (3.128 juta), Cina (6.437 juta), India (1.939 juta), lain-lain (340,000) dan bukan warga negara atau pekerja asing (2.051 juta).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar, berkata pertambahan pekerja asing memang tidak dapat dielakkan, terutama dalam RMK-9 yang memerlukan lebih 1.2 juta pekerja baru bagi memastikan semua sektor dapat digerakkan dengan lancar.

Sumber: Azrul Affandi Sobry, berita harian online

Monday, August 13, 2007

Perangai bergantung kepada diri sendiri



Penulis: Pendita Za'ba
Tahun: 2005, cetakan ketiga
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Muka Surat: 103

Lemah peribadi adalah punca utama kelemahan sesuatu bangsa. Pendita Za'ba dalam buku ini melihat kemunduran orang Melayu disebabkan sebahagian besarnya tidak percaya kepada kebolehan diri sendiri, lemah cita-cita, kurang hemah dan terlalu menggantung harapan kepada orang lain. Melayu juga cenderung meminta bantuan dan mencari pertolongan orang lain.

Bab pertama buku ini dimulai dengan petikan maksud ayat 2 dari surah Al-Mulk yang bermaksud, "Tuhan yang telah menjadikan hidup dan mati kerana Dia hendak menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)." Kecenderungan Za'ba melihat perkaitan agama dan perangai dalam masyarakat Melayu mungkin kerana pengaruh reformasi Islam Mesir dan pergerakan Turki Muda ketika itu. Beliau bermula dengan menulis artikel-artikel yang pendek untuk majalah Lembaga Melayu, Pengaruh dan al- Ikhwan pada 1917.

Antara kandungan yang menarik dalam buku ini ialah pendapat beliau megenai sikap bergantung kepada diri sendiri yang menjadikan sesuatu bangsa itu maju atau mundur. Kejayaan dan kemenangan bergantung kepada diri sendiri dari segi amal usaha dan Tuhan tidak pernah menyuruh manusia untuk berharap kepada sedekah tahlil dari orang yang masih hidup apabila telah mati nanti.Za'ba menilai Melayu ketika itu masih kurang sifat kuat berusaha, bekerja dan membuat sendiri usaha sesuatu pekerjaan berdasarkan kebolehan sendiri. Mengakui kelemahan diri tetapi tidak pula berusaha untuk keluar daripada keadaan tersebut. Contohnya, jika hendak memasukkan anak ke sekolah, kerapkali hendakkan perkhidmatan yang percuma, mengaku miskin, tidak tahu berusaha dan tidak pandai berjimat-cermat mengumpulkan wang untuk menyekolahkan anak-anak. Perkataan yang amat popular ialah "Tolonglah!"

Perbandingan Melayu dan bangsa-bangsa lain amat mempengaruhi keadaan ketika itu hinggakan Za'ba menyifatkan bangsa-bangsa lain sanggup berusaha dengan bersungguh-sungguh melalui berkebun sayur, menjual kayu api, air batu, mengayuh beca, menahan lapar dan membayar pendidikan anak-anak mereka bagi setiap yang diminta.Ketika mereka ini datang sebagai 'sengkek" - tanpa ada wang dan harta, hanya tulang dan akal ikhtiar serta kebolehan diri lalu mengumpul wang, membuka kedai sehingga memenuhi pekan kecil dan besar. Semua keadaan tersebut disebabkan bangsa-bangsa ini berpegang kuat dengan kepercayaan bahawa mereka boleh melakukannya sendiri.

Ulasan Editor: Za'ba adalah salah seorang pejuang Melayu yang ingin melihat bangsanya berubah dan maju. Pengamatannya terhadap kelemahan dan tertinggal di belakang disebabkan oleh sikap dan perangai yang ada pada mereka sendiri. "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri," demikian maksud dari surah Ar-Raad ayat 11.

Profesor Diraja Ungku Aziz kerap merujuk buku ini dalam ucapan atau tulisan beliau apabila memperkatakan mengenai perubahan sikap orang Melayu. Biar apa pun yang dikatakan oleh Za'ba, perubahan sikap sangat berkait dengan pemikiran. Jika perubahan hendak dibuat, pemikiran harus menjadi fokus. Pelaksanaan perubahan yang paling berkesan ialah pendidikan. Justeru, memperkasa pendidikan adalah syarat membentuk bangsa yang berfikir.

Friday, August 10, 2007

Peranan guru dan sekolah dalam sistem sosial (6)

Pendidikan di Malaysia meletakkan pencapaian akademik sebagai matlamat yang diutamakan. Kebanyakan ibu bapa percaya pendidikan di sekolah ialah menyediakan pelajar dengan pengetahuan akademik dan kemahiran yang diperlukan. Isu-isu yang berkaitan politik, budaya dan agama kurang diberi penekanan kecuali pengajaran agama melalui kelas fardhu ain di peringkat sekolah rendah untuk pelajar.

Sekolah dan nilai-nilai prososial


Ketika isu mengenai kandungan akademik yang perlu diajar di sekolah dibincangkan, masyarakat masih percaya nilai-nilai profesional seperti jujur, adil dan bertamadun boleh diserapkan melalui pendidikan. Kesejahteraan sosial masyarakat disokong oleh nilai-nilai seperti ini yang membolehkan ahli masyarakat dari pelbagai latar belakang hidup bersama dalam keadaan aman dan damai. Rose dan Gallup (1999) menambah nilai yang boleh diajar di sekolah ialah jujur, diterima oleh orang lain yang berbeza latar belakang, pemedulian oleh rakan dan keluarga, galakan tingkah laku bermoral, demokrasi dan patriotisme.

Sistem pendidikan di Amerika Syarikat umpamanya, amat mementingkan nilai-nilai prososial dalam kurikulum sekolah seperti mempromosi demokrasi sebagai alat penyatu bagi masyarakat yang pelbagai latar belakang seperti Afrika, Hispanic dan Asia.

Sekolah dan sosialisasi golongan muda

Melalui pengalaman di sekolah, kanak-kanak dan golongan remaja diserap dalam masyarakat dengan mempelajari tanggungjawab mereka. Proses sosialisasi menyediakan mereka untuk menjadi warganegara bertanggungjawab, mahu berdikari dan produktif dalam pembangunan ekonomi. Tambahan pula, sekolah adalah refleksi atau menjadi cermin masyarakat: menjana pengetahuan, kemahiran, nilai dan sikap yang dikenal pasti sebagai satu keperluan.

Pendidikan di peringkat sekolah rendah bermakna menghasilkan warganegara yang pintar. Tanpa hala tuju tersebut, masyarakat tidak dapat bersaing di pentas antarabangsa. Keperluan mensosialisasi kanak-kanak dan remaja diiktiraf oleh Emile Durkheim (1956)yang menyatakan, "masyarakat akan terus hidup jika wujud kesamarataan di dalamnya: pendidikan yang berterusan dan menekankan kesamaan sejak kanak-kanak seperti mana yang diingini oleh masyarakat."

Tambahan pula sekolah dapat menjadikan proses asimilasi daripada pelbagai etnik, agama dan budaya. Contohnya, penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar menyatupadukan semua kaum di Malaysia khususnya minoriti. Sekolah juga menjadi tempat pelajar mengenal dan memahami hari-hari penting dalam negara seperti hari raya, ulang tahun kemerdekaan, maulidur rasul dan sebagainya.


Sekolah dan perubahan sosial

Sekolah juga menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran untuk membangun masyarakat dan kehidupan yang lebih berkualiti serta mempercepatkan perubahan sosial. Walau bagaimanapun terdapat beberapa pemikiran yang berbeza mengenai bagaimana masyarakat boleh dimajukan.

Sesetengah guru percaya bahawa tujuan utama sekolah ialah membaiki masalah sosial dalam masyarakat, menakala yang lainnya percaya pengajaran akademik harus diutamakan. Pendapat lain ialah menyediakan pelajar untuk melaksanakan usaha berkhidmat kepada orang lain melalui aktiviti kesukarelaan dan aktif dalam kehidupan berpolitik dalam masyarakat.

Barangkali dalam pendidikan di Malaysia, perkhidmatan pembelajaran boleh diperkenalkan untuk memberi ruang kepada pelajar memahami pengalaman hidup melalui pembelajaran. Perkhidmatan pembelajaran memberi peluang kepada golongan pelajar untuk berinteraksi dengan ramai orang seperti yang sakit, tua, miskin, tidak ada rumah dan mengenali jiran-jiran.

Thursday, August 09, 2007

Peranan guru dan sekolah dalam sistem sosial (5)

Guru kelas, seperti juga seorang juruterbang, mempunyai matlamat yang jelas ke arah mana detinasinya. Setiap kali menjejakkan kaki ke dalam kelas, hala tuju dan destinasi telah diberi makna yang lebih padat iaitu apa yang berlaku ke atas pelajar adalah hasil daripada pengalaman di dalam kelas.

Guru akan memikirkan mengenai apa yang patut pelajar tahu, boleh lakukan atau bagaimana mereka mengalami sesuatu kesan daripada pengalaman di dalam kelas setelah persediaan dibuat oleh guru. Setiap aktiviti dan pengalaman pembelajaran secara jelas dan nyata mendorong kepada silibus yang telah ditetapkan.

Apabila guru telah mengenal pasti, peringkat seterusnya ialah bagaimana membawa pelajar ke tahap tersebut? Tahap ini lebih kritikal. Apakah cara atau kaedah yang sepadan dengan hasil akhir tersebut? Apa yang guru mahu daripada pelajar untuk mereka mentelaah dan bagaimana guru mahu pelajar mentelaah?

Bagaimanapun, wajar disemat di fikiran bahawa tidak ada seseorang yang memiliki pengetahuan sehingga beliau dapat mempraktikkannya untuk diri sendiri, gunakan dan disebarkan kepada orang lain. Guru yang berkesan ialah yang dapat mencetuskan aktiviti yang menggalakkan pelajar mengguna pakai pengetahuan mereka dan merasai pengalaman memiliki ilmu tersebut.

Dari segi kerja rumah atau tugasan yang perlu dibawa balik ke rumah, acapkali menjadi tidak sempurna kerana ia diberi dalam keadaan tergesa-gesa dan tidak lengkap. "Untuk kelas esok, sila baca Bab 3." Kenyataan begini adalah terlalu umum dan tidak produktif bagi pembinaan ketelitian pelajar.

Memberi kerja rumah atau tugasanyang sangat penting bagi kemahiran para pelajar dalam banyak perkara. Yang penting di sini ialah bukannya semua tugasan tersebut dibuat dengan lengkap tetapi berapa banyak maklumat yang diuji dapat menjadi asas kepada kefahaman pelajar bagi kelas yang akan datang.

Justeru, guru dapat membantu pelajar untuk memahami bagaimana memilih pendekatan bagi menggunakan tugasan untuk memahami sesuatu subjek. Umpamanya jika ada bahagian-bahagian yang terperinci dan sukar difahami, guru boleh memberi penerangan yang lebih jelas seiring dengan kerja rumah berkenaan. keadaan pelajar yang berbeza-beza juga wajar diberi perhatian. Pelajar yang pintar lebih cepat memahami soalan berbanding pelajar yang lembap.

Tahap kesukaran dalam tugasan mesti dikenal pasti. Contohnya beberapa perkataan yang mempunyai makna berbeza atau tidak pernah didengar oleh pelajar boleh dijelaskan. Jika perkataan "justifikasi" atau "paradigma" ditulis pada awal ayat dan muka surat pertama, kecenderungan pelajar untuk tidak meneruskan soalan yang seterusnya mungkin lebih tinggi kerana semangat untuk menjawab dipatahkan oleh perkataan yang mereka tidak faham. Lebih baik jika guru dapat menulis nota kecil di bawah bagi menerangkan maksud perkataan tersebut.

Wednesday, August 08, 2007

Kerja "janji siap"

Pengalaman hidup mematangkan tindakan. Biar apa pun halangan dan rintangan yang menanti, jatuh dan bangun berhadapan dengan asam garam dalam hidup menjadikan hasil kerja lebih kemas, berkualiti dan diingati. Kriteria inilah yang dinamakan maruah. Justeru, kegagalan media menyediakan hasil kerja yang berkualiti, menepati kehendak dan matlamat serta meningkatkan imej adalah kesalahan yang sering dibaiki. Membuat sekali-sekala salah dan silap adalah lumrah tetapi sukar diterima jika terlalu kerap dan lebih teruk daripada sebelumnya. Gambaran "kerja siap" sebenarnya bermula dengan diri sendiri - mengurus kebersihan diri, makan-minum, berpakaian dan bertingkah laku.

Jika peringkat awal hidup, seseorang didedahkan dengan aspek kualiti diri, apabila bekerja pun dia akan menunjukkan tatahidup yang berkualiti dan bermaruah.

Iklan Petronas mengenai erti merdeka pada tahun ini mengambarkan seorang lelaki pengusaha sampan tradisional tidak bersungguh-sungguh dalam kerjanya kerana beliau mengguna pakai konsep "kerja siap." Sampan yang cantik akhirnya tenggelam kerana tidak ada kualiti.

Kualiti tidak ada kena mengena dengan bangsa, tempat atau budaya hidup sesuatu kaum. Ia sangat berkait dengan sejauh mana kesedaran pendidikan dijadikan sebagai ejen kepada perubahan. Dari segi agama, semuanya meletakkan kualiti di tempat tertinggi. Salah satunya ialah menguruskan kematian. Di dalam masyarakat Islam di Malaysia, khairat kematian adalah kumpulan yang ditubuhkan untuk menguruskan jenazah. Bermula dengan peranan penggali kubur yang akan menggali lahad apabila mendapat maklumat kematian, tukang mandi akan menyediakan peralatan untuk mandi mayat. Seterusnya mayat dikafankan dan dibawa pergi di hadapan imam yang bersedia memimpin orang kampung untuk menyembahyangkan jenazah.

Akhir sekali dibacakan talkin dan beredarlah orang ramai dari kawasan kubur selepas itu.

Sekiranya khairat mati ini mengamalkan konsep "kerja siap," barangkali jenazah tidak dapat ditalkin kerana semua proses ke arah itu perlu dibuat sekali lagi. Sehingga kini tidak pernah lagi kita mendengar jenazah dimandikan lebih daripada dua kali kerana kualiti kerja tukang mandi jenazah sangat berkualiti. Imam juga melakukan kerjanya dengan berkualiti dan pembaca talkin juga berbuat demikian.

Justeru, konsep kualiti khairat kematian di dalam masyarakat Islam ini boleh dijadikan sebagai bahan kajian dan perbincangan tentang bagaimana kualiti kerja seharusnya dilaksanakan sama ada pada individu atau organisasi.