Saturday, May 30, 2009

Magnesium Phosphorica

Penawar bagi kekejangan, konvulsi dan saraf terutama sakit menyucuk-nyucuk. Kembung perut, sangat dahaga, gastrik dan gout. Digunakan secara meluas sebagai antikejang dan mengurangkan kesakitan menyucuk-nyucuk yang amat sangat. Pada perempuan, Mag Phos berguna ketika datang haid yang memulas-mulas. Simptom-simptom berlaku di sebelah kanan. Sesuai untuk orang yang sensitif atau intelektual tetapi tidak dapat berfikir secara rasional.

Kepala: Menyucuk-nyucuk dan sakit kepala rheumatik, lega dengan panas.

Mata: Sakit sebelah; kanan; lega dengan panas. Bila sakit, banyak keluar najis atau air mata. Kelopak mata tersentak-sentak.

Telinga: Menyucuk-nyucuk; teruk di bahagian belakang telinga kanan; melarat bila cuci muka dengan air sejuk.

Mulut: Sakit gigi; lega dengan hangat dan cecair panas. Ulser gigi dengan bengkak pada kalenjar-kalenjar di muka, kerongkong, leher dan lidah.

Kerongkong: Luka dan keras terutama sebelah kanan. Kelihatan bengkak, sejuk dan sakit semua bahagian.

Abdomen: Kembung; sebabkan pesakit terpaksa membongkok, lega bila digosok, ditekan dan diurut; diikuti sendawa angin tetapi tidak lega. Kembung, rasa penuh dalam abdomen, mesti dilonggarkan pakaian, berjalan keluar dan kentut berterusan. Perut tersedu-sedu, muntah kering siang dan malam.

Seks perempuan: Haid terlalu awal, gelap dan bertali-tali. Bengkak bahagian luar. Ovari sakit menyucuk-nyucuk. Senggugut. Kejang.

Pernafasan: Asma. Kering; batuk gatal-gatal, kejang; susah hendak baring atau tidur. Batuk kokol. Jantung; angina pectoris. Berdebar-debar.

Kakitangan: Tangan terketar-ketar di luar kawalan. Cepat lumpuh. Betis kejang. Skiatika; kaki sangat lemah. Sakit dengan tiba-tiba dan bergerak cepat. Tersentak-sentak pada bahu dan pinggul.

Demam: Sejuk selepas makan malam. Sejuk seluruh belakang dengan keadaan menggigil diikuti rasa sesak nafas.

Melarat: Sebelah kanan; sejuk; penat.

Lega: Panas, bengkok (miring) dua kali; ditekan, diurut atau digosok.

Patologi: Arthritis; batu dalam ureter; buasir; cirit-birit; demam; gastrik (mencengkam; perut membesar; sensitif pada asid); gout; haid (senggugut, sakit berdenyut-denyut); influenza (kejang dan lega dengan panas); kembung perut; sakit kepala sebelah kanan; lidah kejang; tonsil (melarat sebelah kanan dan kerongkong merah); asma; batuk; angina pectoris.

Friday, May 29, 2009

Buang bayi dan keruntuhan akhlak

Semasa mencari-cari bahan untuk memahami dengan lebih mendalam isu-isu sosial di Malaysia khususnya gejala sosial, penyelidik mendapatkan kertas kerja yang dibentangkan oleh Hashim dan rakan-rakannya dari Universiti Teknologi Malaysia dalam Seminar Kaunseling Keluarga 2008. Tajuknya ialah ‘Keruntuhan akhlak dan gejala sosial di Malaysia: isu dan cabaran.’

Kandungan kertas kerja ini sangat menarik kerana menerangkan keadaan sebenar gejala sosial yang sedang berlaku dalam masyarakat. Walaupun data dan statistik lebih fokus pada Negeri Johor, keadaannya lebih kurang sama dengan negeri-negeri lain. Sebakul masalah akhlak sentiasa menjadikan golongan yang prihatin dengan remaja dan belia berada dalam keadaan resah.

Satu isu yang ditonjolkan ialah buang bayi. Ia bukan buang anak. Petikan ayat yang sangat ‘power’ ialah,

‘Gejala buang bayi adalah bukti yang paling nyata bahawa masyarakat kita sedang dilanda oleh keruntuhan moral yang serius.’

Ayat ini menggambarkan Hashim dan rakan-rakan begitu risau dengan perbuatan buang bayi. Kronologi buang bayi bermula apabila seorang perempuan bersama seorang atau lebih lelaki berzina. Tingkah laku zina bukannya perbuatan zaman moden malah telah lama berlaku. Industri pekerjaan paling lama dan masih wujud hingga ke hari ini ialah pelacuran. Ada negara yang memberi lesen pada pelacuran atas alasan mengawal tingkah laku rakyat namun negara yang mementingkan nilai-nilai agama tidak membenarkan pelacuran dan mempunyai undang-undang tegas.

Sejak tahun 2000 hingga 2006, sejumlah 580 kes pembuangan bayi dicatatkan di negara ini. Tempat-tempat awam seperti rumah ibadat, taman bunga dan kawasan rekreasi menjadi tumpuan mereka yang panik dan hilang akal untuk meninggalkan bayi. Ada sesetengah kes, beg yang mengandungi bayi ditinggalkan di pintu pagar masjid semasa waktu subuh. Bagi ibu-ibu yang baik hati, anak yang baru lahir tanpa nikah ini diberikan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau diserahkan kepada pihak polis.

Negara-negara Barat dan Jepun turut mempunyai kaedah sendiri untuk menyelamatkan bayi yang dilahirkan tanpa nikah. Kerajaan menyediakan tempat khas di balai bomba, pejabat pos dan hospital yang dibuka 24 jam supaya remaja yang terlibat dapat menyerahkan bayi kepada petugas. Walaupun pernah ada cadangan di Malaysia untuk mewujudkan pusat khusus untuk membuang bayi, idea berkenaan tenggelam begitu sahaja apabila dibantah pelbagai pihak.

Buang bayi bukan sahaja melambangkan akhlak remaja yang sudah hancur malah meletakkan masa depan generasi akan datang dalam golongan yang dimurkai Allah SWT. Di Amerika Syarikat, dianggarkan 1,714,643 bayi dilahirkan di luar perkahwinan pada tahun 2007 yang membentuk 39.7 peratus daripada keseluruhan kelahiran (usnews.com, 2009). Di Malaysia, terdapat pengusaha rumah tumpangan dan hotel bajet yang menyediakan bilik bagi pasangan bukan muhrim bangsa Melayu untuk melakukan hubungan seks dengan pakej RM30 untuk dua jam dan RM50 untuk satu malam berasmara. Akibat kehamilan luar jangkaan ini ramai remaja perempuan bertindak menggugurkan kandungan mereka yang akhirnya menimbulkan komplikasi kesihatan dan kematian.

Apakah penyelesaian kita? Apakah hendak menunggu kerajaan mengambil tindakan memperkenalkan undang-undang yang tegas tetapi pada masa yang sama membiarkan bunga-bunga zina berleluasa? Pertubuhan bukan kerajaan juga tidak mampu untuk melaksanakan program pembinaan akhlak kepada semua remaja kerana mereka juga mengalami masalah kakitangan dan peruntukan yang terhad. Jadi siapa dan bagaimana kita harus bertindak?

Islam mempunyai penyelesaian yang komprehensif. Sabda Raslullah SAW yang bermaksud, ‘Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.’ (Riwayat Malik, Ahmad, hakim, At Tabarani dan Bukhari). Contoh terbaik yang boleh diikuti ialah peribadi Rasulullah SAW dalam semua aspek kehidupan- mendidik anak-anak, keperluan fizikal, mental dan spiritual, adab dalam bergaul, memimpin dan bermasyarakat.

Inilah contoh sebaik-baik model dalam hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Jika kita ingin mengetahui lebih lanjut kenapa baginda SAW seorang manusia yang hebat, kita boleh baca buku karangan Michael Hart, ‘The most influential man in history’ yang meletakkan Nabi Muhammad SAW sebagai orang paling berpengaruh dalam sejarah manusia.

Soalannya, kenapa orang tidak bersungguh-sungguh mengikuti dan mengamalkan ajaran Islam khususnya rukun Islam yang lima? Masih ramai orang Islam yang tidak mengambil berat tentang solat, walaupun surau dan masjid hampir dengan rumah namun agak berat punggung untuk berjemaah di samping kurang melaksanakan dakwah dan amar ma’ruf nahi mungkar.

Kita tidak perlu menunggu anak-anak gadis yang hamil dengan bangga menayangkan anak luar nikah mereka kerana ia adalah lambang kepada kemurkaan Allah SWT dan kehancuran masyarakat.

Thursday, May 28, 2009

Cari jodoh

Kali pertama mendengar lagu ‘Cari Jodoh’ dari kumpulan Wali, kepala mula bergoyang, liuk lentok ke kiri kanan dan badan melenggok-lenggok. Rentak muzik yang rancak, sesuai sekali dengan cita rasa orang muda yang energetik dan dinamik. Tenaga dari muzik lagu ini menyegarkan emosi dan membangkitkan ghairah untuk mendengarnya berkali-kali.

Lagu yang memikat dan lirik yang unik adalah penarik utama. Ia begitu popular dan menjadi siulan ketika ini. Gelora orang muda yang ingin mencari kekasih hati diterjemahkan di sebalik lirik lagu ini.

Apa salahku, Apa salah ibuku- Hidupku dirundung pilu- Tak ada yang mau dan menginginkan aku- Tuk jadi pengobat pilu- Tuk jadi penawar rindu- Tuk jadi kekasih hatiku,
Timur ke Barat- Selatan ke Utara- Tak juga aku berjumpa- Dari musim duren hingga musim rambutan- Tak kunjung aku dapatkan- Tak jua aku temukan- Oh Tuhan inikah cobaan,
Ibu-ibu bapak-bapak- Siapa yang punya anak- Bilang aku- Aku yang tengah malu- Sama teman-temanku- Kerna cuma diriku yang tak laku-laku,
Pengumuman-pengumuman- Siapa yang mau bantu- Tolong aku kasiani aku- Tolong carikan diriku kekasih hatiku- Siapa yang mau.


Rangkap awal ‘Cari Jodoh’ mengisahkan nasib malang tidak mendapat teman hidup. Tidak ada siapa pun yang mahu berkenalan atau mahu bermesra. Sama ada lelaki atau perempuan, kekosongan jiwa kerana bersendirian tidak dapat disimpan begitu saja. Hidup perlu berteman, rakan dan pasangan supaya rasa sedih dan kecewa dapat diubat, rindu dendam dapat dileraikan dan menjadi tempat bermanja.

Sesetengah orang sangat runsing apabila tidak dapat bertemu dengan pasangan hidup yang sesuai. Hidup terasa sunyi walaupun kawan dan kenalan ramai. Ke sana sini, dari tahun ke tahun tapi masih belum ada yang melekat di hati.

Dari timur ke barat, utara ke selatan tidak juga bertemu. Tempat bukanlah alasan untuk berasa kecewa jika gagal mencari cinta. Jarak yang jauh tidak menjadi masalah jika ada yang berkenan. Namun, jika duit belanja sudah habis, badan semakin letih, apa guna lagi berharap untuk berkasih. Walau apa pun yang difikirkan, usaha mencari kekasih hati tidak boleh ditangguhkan begitu saja.

Inilah ujian dalam hidup. Insya Allah setiap langkah yang dijejak, setiap wang yang dibelanja, setiap peluh yang mengalir, pasti ada ganjarannya. Butir-butir cinta mula tumbuh selepas bermuhasabah diri. Mencari kesilapan dan kesalahan diri terhadap Allah SWT akan dapat membuka hijab doa.

Walaupun sifat malu menebal di dalam diri, bagi soal jodoh, ia perlu diatasi kerana jika berterusan, yang ingin berkahwin tentu tidak merasa nikmat berkahwin dan hidup berkongsi kasih dan sayang.


'Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.'
(Ar Ruum ayat 21)

Wednesday, May 27, 2009

Naik turun politik Perak

Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah melaksanakan tugas masing-masing bagi menentukan Menteri Besar (MB) Perak yang sah. Sekejap Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, sekejap Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir. Sah-mengesah ini berlaku tidak sampai sebulan.

Semasa penyelidik berjumpa seorang penganalisis politik di sebuah universiti tempatan, beliau melihat penyelesaian politik di Perak tidak akan ke mana jika menggunakan saluran perundangan kerana pilihan terbaik ketika ini ialah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN). Seorang lagi rakan penyelidik, rakyat negeri Perak, menyifatkan keadaan politik yang tidak stabil akan menghalang kemasukan pelaburan luar kerana mereka tidak pasti siapa sebenarnya yang mempunyai autoriti untuk menandatangani surat dan membuat keputusan.

Mungkin lebih ramai lagi penduduk Perak yang mempunyai pandangan sama seperti di atas. Lebih ramai bermakna masyarakat mengambil berat perkembangan politik di negeri itu dan mahu diselesaikan segera. Seorang lagi kenalan, penyokong kuat PAS berpendapat Barisan Nasional tidak akan membubarkan DUN ketika ini kerana mereka sedang menguasai kerajaan Perak.

Perjalanan politik yang diganggu bakal menyukarkan banyak perkara seperti pentadbiran kerajaan negeri. Orang ramai keliru dengan politik kuasa, politik projek dan politik rakan karib. Pegawai dan kakitangan kerajaan negeri turut mengambil sikap berhati-hati untuk melaksanakan tugas mereka. Jika tidak, nama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak, Dato' Dr Abdul Rahman bin Hashim tentulah tidak popular ketika ini. Tindakan beliau yang meminta pejabat MB Datuk Seri Nizar dikosongkan sehari selepas ‘hilang kuasa’ disiarkan ke seluruh dunia di Internet. Pelakuannya ini banyak dikritik dan mengecewakan ramai orang kerana berlaku biadap ke atas bekas MB, sesuatu yang tidak pernah dilihat berlaku di mana-mana negeri.

Sikapnya jelas iaitu tidak suka dengan MB berkenaan. Namun orang lain melihat sebaliknya kerana berpersepsi negatif sejak tindakannya mengusir MB dan wartawan yang ingin mendapat maklum balas daripada Datuk Seri Nizar. Sepatutnya Dato’ Dr Abdul Rahman menghormati bekas ketua sendiri kerana jika beliau tidak hormat kepada ketua, bagaimana pula orang bawahan akan hormat kepadanya? Sejak kejadian itu, Harakahdaily sentiasa melaporkan tindakan-tindakan tidak profesional SUK Perak khususnya sikap berat sebelah dan tidak beretika sebagai penjawat awam utama. Ada di antara artikel berkenaan yang meminta Ketua Setiausaha Negara mengambil balik SUK Perak itu. Sesuatu yang sangat menjatuhkan maruah pegawai kerajaan pusat kerana tidak tahu buat kerja.

Kemarahan membuak-buak MB Datuk Seri Nizar kepada SUK Perak ialah tindakan menggantung tugas bersama-sama Penasihat Undang-undang Negeri. Malang sungguh nasib SUK Perak. Sifat kuat kerja yang ada pada dirinya hilang sekelip mata apabila dipelingkuh dengan sepak terajang ahli-ahli politik.

Politik Perak sedang bergelut dengan perebutan kuasa. Masyarakat hanya dapat melihat dan menilai siapa yang dianggap cerdik dan siapa yang dianggap malang.

Ketika perebutan ini, dua aspek yang terjejas teruk ialah ekonomi dan sosial. Pelabur enggan datang menyebabkan ekonomi domestik kurang berkembang manakala orang luar menyangka keselamatan mereka tidak terjamin apabila datang ke Ipoh. Pelabur menjauhi Perak kerana mereka perlu jimatkan kos. Semakin lama menunggu kelulusan, kos juga akan bertambah, justeru lebih baik mengintai peluang di Pulau Pinang atau Kedah. Perkembangan sosial masyarakat juga terganggu kerana program dan aktiviti yang menjurus kepada pembangunan modal insan, dakwah dan kempen Satu Malaysia tidak dapat dijayakan dengan sempurna kerana tidak ada pihak yang berautoriti untuk merasmikan program-program tersebut. Peruntukan untuk program-program berkenaan tentu sekali tidak dapat dikeluarkan. Jadi, persatuan atau pertubuhan yang merancang program-program sosial tidak dapat melaksanakan aktiviti mereka kerana pentadbiran kerajaan negeri yang kucar-kacir.

Pilihan raya semula di Perak bukannya penamat mutlak kepada kemelut kuasa ini namun ia adalah pilihan yang boleh dipertimbangkan. Bukan setakat rakyat Perak yang muak dengan politik di negeri itu, rakyat Malaysia juga berkongsi keadaan yang sama. Walaupun undi telah berpecah pada dua iaitu sebahagian menyokong Barisan Nasional, sebahagian menyokong Pakatan Rakyat, dalam pilihan raya ia adalah adat. Pihak yang menang lebih berkuasa dan dapat melakukan apa yang mereka fikir membawa kebaikan kepada semua orang.

Gegak gempita politik Perak tidak akan menyebabkan dunia kiamat atau gempa bumi yang menenggelamkan Semenanjung Malaysia. Tidak juga menyebabkan semua rakyat Perak akan kebuluran. Krisis ini ada penyelesaian. Bola penyelesaiannya berada di pihak istana, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Pengundi tidak ada suara yang kuat untuk mendesak ketiga-tiga pihak ini membuat keputusan kerana sikap mereka adalah ‘kami taat dan kami patuh’.

Tuesday, May 26, 2009

Ciri-ciri Mat Rempit @ samseng jalanan









*Gambar hiasan

Bagaimana kita dapat mengenali Mat Rempit? Adakah dengan membawa motosikal yang laju dan berkonvoi dianggap sebagai Mat Rempit? Ciri-ciri Mat Rempit secara umum ialah seperti berikut:

1.

Dua personaliti iaitu ketika di rumah mereka menunjukkan perwatakan yang baik, sopan dan tidak menunjukkan sifat agresif yang ketara, sebaliknya di luar rumah berperangai seperti seorang raja khususnya di atas jalan raya dengan motosikal.

2.

Dikenali sebagai samseng jalan raya kerana berlumba motosikal tanpa mempedulikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

3.

Dikaitkan dengan jenayah ragut yang memberi kecederaan dan ada kala membawa kepada kematian mangsa.

4.

Tidak patriotik iaitu tahap jati diri dan bangga terhadap negara yang amat rendah.

5.

Kebanyakan dari keluarga bermasalah (90%).

6.

Tinggal di rumah yang sempit.

7.

Kerap dan suka tumpang tidur di rumah kawan.

8.

Majoriti adalah kaum Melayu diikuti India.

9.

Satu pertiga adalah anak pendatang asing ada kad pengenalan merah.

10.

Gemar motosikal jenis Yamaha RXZ (dianggap model rasmi), Modenas Kriss dan Lagenda, Honda EX5, Yamaha Nuovo dan Suzuki 100.

11.

Kategori kerja termasuk penganggur, pekerja kilang, mat despatch (penghantar surat), penjual burger jalanan, pembantu bengkel kenderaan dan pelajar (sekolah dan IPT).

12.

Identiti tersendiri seperti plat motosikal bertampal pelekat hitam, kumpulan boleh cecah 200 orang, nombor pendaftaran tidak lengkap dan nombor terbalik untuk elak ditangkap ketika operasi pencegahan, gelaran ‘sifu, abang pendek’ serta sikap setia kawan yang sangat tinggi.

13.

Berpengalaman ditangkap oleh polis sama ada sekali atau beberapa kali.

14.

Menganggotai Geng Mat Rempit seperti Apache (Kuala Lumpur), Budak Shell (Kuala Lumpur), Man Botak (Pantai Timur), Man Kerinting (Pantai Timur) dan Skuter Boys (Sungai Besi, KualaLumpur).


Monday, May 25, 2009

Politik baru: mematangkan demokrasi Malaysia

Penulis: Saifuddin Abdullah
Tahun: 2008
Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia, Kuala Lumpur.
Muka surat: 90 (Melayu), 88 (English)

Saifuddin Abdullah merupakan tokoh belia yang aktif di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Pengalamannya dalam pertubuhan belia dan politik memberi kelebihan untuk menulis isu-isu politik, kepimpinan dan hala tuju negara khususnya selepas Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu.

Buah tangan Saifuddin ini adalah penambahbaikan dua buah tulisan beliau iaitu ‘Pemuda sebagai pemangkin integriti politik negara’ dan ‘Governans baru: ke arah demokrasi lebih matang’ yang membentuk teras buku ini. Bahagian 1 dibahagikan kepada empat tajuk iaitu idealisme politik, politik ilmu, politik hikmah dan politik bakti. Bahagian 2 merangkumi lima topik yang berkait dengan idea tadbir urus yang baik.

Kematangan berpolitik membahagiakan masyarakat, tidak melaga-lagakan sesiapa. Masyarakat menikmati suasana hidup yang membantu membawa kesejahteraan kepada hidup mereka. Namun, keadaan politik di negara ini tidak selalunya begitu kerana sifat politik itu sendiri yang melibatkan perancangan, strategi dan muslihat yang licik.

Saifuddin melihat integriti politik adalah agenda penting untuk mencapai kebahagiaan. Justeru beliau mengambil saranan Pelan Integriti Negara yang menyarankan pengekalan keluhuran perlembagaan dan sistem politik negara berasaskan demokrasi yang menggabungkan insitusi raja berpelembagaan dan pemerintahan berparti, mengekalkan kedaulatan dan meningkatkan keutuhan institusi parlimen sebagai penggubal undang-undang yang luhur, mengamalkan politik yang berintegriti serta pengembangan budaya politik yang sihat, beretika, matang dan demokratik mengikut acuan sendiri, dan memantapkan prinsip ketelusan, pertanggungjawaban dan tadbir urus yang baik.

Integriti politik yang dimaksudkan oleh Saifuddin ialah politik ilmu, politik hikmah dan politik bakti. Kekuatan utama dalam politik ialah ilmu yang ada di dalam dada dan kepala wakil rakyat dan pengundi. Tanpa ilmu, politik masa depan akan dipengaruhi oleh politik ampu. Siapa yang kuat mengipas, dialah yang akan dapat.

Pemilihan pemimpin dicemari oleh prasangka dan fitnah bakal memusnahkan kredibiliti calon. Hikmah dan keinsafan untuk mencari kebenaran bertukar kepada mencari populariti dengan menelanjangkan peribadi buruk pesaing. Politik hikmah yang mementingkan persaudaraan bertukar kepada gelojoh dan serakah untuk menjadi pemimpin.

Politik bakti semakin kurang dan menipis dalam diri pemimpin kerana yang penting adalah undi. Jika dulu, ahli politik berbakti menggunakan undi namun kini mereka menggunakan undi untuk membuat bakti yang tidak seberapa. Lalu muncullah kerja segera ketika pilihan raya dan seusai pilihan raya, janji tinggal janji.

Kerangka tadbir urus yang baik, menurut Saifuddin, ia belum memadai kerana yang lebih diutamakan ialah tadbir urus yang baru. Kerangka tadbir urus jenis ini ialah pengurusan negara yang melibatkan kerajaan/politik, sektor swasta dan masyarakat awam sebagai rakan pembangunan dalam hirarki yang saksama. Dalam bahasa lebih mudah, tadbir urus baru ialah penglibatan semua pihak bermula dari peringkat asas, jika boleh, dari peringkat kampung hinggalah jemaah menteri.

Sunday, May 24, 2009

Budaya kerja cemerlang (4)

Petua-petua untuk bekerja dengan cemerlang

Berdoa sangat penting dalam hidup. Berdoa wajar diutamakan bagi menzahirkan budaya kerja cemerlang di tempat kerja. Mungkin ramai di antara kita yang kurang mengambil berat mengenai doa tetapi keberkesanan doa amat hebat. Doa yang dimakbulkan Allah SWT ialah ketika dizalimi atau dianiaya, bermusafir dan doa ibu bapa kepada anak-anak. Permintaan yang lain-lain juga Insya Allah dimakbulkan dengan beberapa syarat seperti selalu menjaga diri dalam makan dan minum.


Dalam buku ‘Sepuluh yang dijamin masuk syurga’ oleh Syed Ahmad Semait, salah seorang daripada mereka ialah Said bin Zaid. Doa beliau selalu mustajab kerana sangat teliti dalam menentukan makan minum. Dia tidak akan makan melainkan telah yakin kehalalannya dan tidak minum kecuali yang bersih lagi suci. Kehebatan Said sangat dikagumi sehingga salah seorang dari isteri-isteri Nabi Muhammad SAW pernah mewasiatkan agar beliau menunaikan solat jenazah apabila meninggal dunia kelak.

Beberapa petua mudah lain yang praktikal ialah sentiasa mencari jalan untuk memudahkan kerja. Maksudnya ialah tidak membiarkan potensi untuk berjaya dihalang oleh masalah-masalah yang memeningkan kepala. Sebaliknya cari jalan dan ikhtiar supaya matlamat tercapai. Kata orang ‘hendak seribu daya, cuba seribu cara’ memang betul dan boleh menjadi inspirasi untuk berusaha dengan gigih.

Seterusnya berkomunikasi dengan pelanggan setiap hari. Ia tidak semestinya mendengarkan suara kita kepada mereka sebaliknya boleh komunikasi melalui e-mel atau beri pesanan ringkas di telefon bimbit. Jika kita bercakap dengan mereka setiap hari, sudah pasti mereka tidak akan bercakap dengan pesaing kita atau akan terus menggunakan perkhidmatan yang kita sediakan.

Hubungan kemanusiaan sangat penting dalam semua jenis pekerjaan walaupun bekerja dengan mesin. Kita tidak dapat mengelak daripada berinteraksi dengan orang lain, justeru jangan lupa mengucapkan ‘terima kasih’ selepas bercakap, di telefon atau e-mel. Sentuhan ‘terima kasih’ yang ikhlas dapat mengetuk pintu emosi manusia dan reaksinya sangat hebat.

Seorang rakan saya, perunding motivasi sentiasa menghantar SMS yang diakhiri dengan ucapan terima kasih: tq atau tk.

Selain kita memberi perhatian kepada faktor-faktor luar yang dapat merangsang kecemerlangan kerja, kesihatan tubuh badan juga mesti diperhati dan diberi perhatian.

Hidup yang kita lalui dan rasa gembira adalah nikmat. Dapat makan, minum berjalan-jalan dan ketawa juga nikmat. Ada orang kata, ketika muda apa saja boleh makan, namun apabila semakin tua sudah tidak ada selera. Bekerja dengan badan yang sakit di sana sini amat menyeksakan.

Ada juga yang kata, ketika muda lebih baik merantau ke mana sahaja hendak pergi, namun apabila sudah tua tidak kuat lagi hendak berjalan. Pendek kata, semua nikmat yang kita dapat dalam hidup berkumpul dalam usia muda, usia yang baru hendak kenal cabaran, melihat keindahan sekitar dan usia yang bergelora dengan semangat.

Secara fizikal, muda dikatakan aktif, kuat dan bertenaga. Semangat juga berkobar-kobar dan pantang dicabar. Ketika muda inilah kita mampu bercakap tanpa henti, berceramah ke sana-sini, bermain tanpa kenal penat dan bekerja hingga lewat malam.

Rasulullah saw memberitahu kita bahawa ada empat perkara yang menyebabkan badan menjadi sakit iaitu banyak bercakap, tidur berlebihan, makan yang melampau dan kerap berjumpa dengan orang ramai.

Banyak bercakap banyak masalahnya. Tersalah cakap atau tersasul akan sebabkan orang kecil hati dan marah. Mungkin juga kebenaran bertukar menjadi palsu dan sebaliknya. Kadangkala mengelirukan. Peribahasa Melayu juga mengaitkan salah cakap dengan tabiat manusia yang tidak pandai ‘jaga mulut’ iaitu kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.

Banyak tidur. Ini penyakit orang zaman moden kerana banyak kerja yang perlu dibuat dalam sehari menyebabkan ada yang tidur tidak tentu masa. Kekerapan tidur yang tinggi dianggap satu penyakit. Tidak kira waktu- siang, malam, pagi atau petang asyik tidur sedangkan badan tidak diberi peluang untuk berpeluh. Memilih untuk ketiduran sepanjang masa adalah sangat merugikan kerana jangka hayat kita semakin berkurangan dan hilang nikmat hidup.

Makan berlebihan juga tidak baik untuk badan khususnya perut. Perut yang semakin membesar kerana makan bukannya tanda hidup yang sejahtera sebaliknya tanda-tanda awal banyak penyakit. Lebih-lebih lagi hari ini kita semakin malas hendak bersenam atau melibatkan diri dalam kegiatan yang memeluhkan badan. Budaya hidup turut mempengaruhi kegagalan kita untuk membudayakan cara hidup sihat. Akhirnya ada yang terpaksa makan ubat sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis sekali gus sepanjang hidup.

Akhir sekali, kerap berjumpa dengan orang. Ini juga kadang kala menjadi tabiat. Suka berjumpa orang tidak baik untuk badan kerana tubuh badan kita juga perlukan rehat yang berpadanan. Ada orang yang terlalu peramah sanggup tidak makan dan minum malah tidur juga tidak cukup. Ia lebih bahaya jika jumpa orang yang sebarangan kerana ada yang berpenyakit berjangkit. Virus penyakit ini disebar melalui udara atau sentuhan terbuka seperti terkena darah. Jadi, kenalah berhati-hati jika kita membuat keputusan untuk berjumpa dengan orang lain.

Saturday, May 23, 2009

Kali Phosphoricum

Bertindak ke atas sistem saraf terutama neurasthenia (kelesuan, keradangan, sakit kepala dan pening), kelemahan mental dan keletihan fizikal. Kali Phos adalah nutrien serat yang boleh digunakan untuk menghilangkan sakit seperti dicucuk, kejang, sakit perut dan sakit haid. Simptom-simptomnya ialah sangat sensitif kerana tekanan, fungsi, anggota-anggota tertentu semakin berkurangan terutama pada orang tua. Juga berguna bagi keadaan kekurangan darah seperti gangren (kemerosotan sebahagian tubuh kerana kurang bekalan darah), virus menyerang bakteria atau malaria. Tumpah darah yang dijangkiti kuman. Discaj cirit-birit dan berak berdarah yang berbau busuk.

Fikiran: Bimbang, sangat risau, letih. Takut berjumpa orang. Sangat letih dan tertekan. Mudah marah. Histeria; malam menjadi ganas. Mengigau. Hilang daya ingatan. Tugas-tugas mudah dirasakan berat dan membebankan. Sangat bimbang tentang perniagaan. Malu.

Kepala: Sakit bahagian belakang; lega selepas bangun. Pening kerana baring, duduk, bangun berdiri dan mendongak ke atas. Bahagian serebral kekurangan darah. Pelajar yang letih dan sakit kepala; berkurangan bila dapat bergerak.

Mata: Pandangan kurang jelas; kerana letih, selepas sakit tekak. Kelopak mata rasa berat.

Telinga: Bunyi berdengung dan berdesir.

Hidung: Hingus atau tahi hidung bau busuk.

Muka: Biru kelabuan dan cengkung. Sebelah kanan rasa menyucuk-nyucuk.

Mulut: Bau busuk. Lidah berselaput coklat. Terlampau kering sebelah pagi. Sakit gigi dengan gusi berdarah.

Kerongkong: Suara lumpuh. Tonsil besar dan sakit.

Abdomen: Cirit-birit; bau busuk dengan perasaan kecewa dan letih. Cirit-birit semasa makan. Berak berdarah; tahi ada darah; meracau; bengkak. Taun. Ulser perut.

Seks lelaki: Nafsu seks menurun; letih selepas bersetubuh.

Seks perempuan: Haid terlalu awal atau terlalu sedikit serta pudar; haid keluar kerana marah, sensitif dan sedih. Discaj terlalu banyak, merah gelap, cair dan tidak bergumpal-gumpal, kadangkala berbau hamis.

Pernafasan: Asma, semput kalau naik tangga. Batuk dengan kahak berwarna kuning.


Kencing: Kencing malam; tahan kencing. Air kencing sangat kuning dan berdarah.

Kakitangan: Sakit kerana sedih, kecewa atau letih.

Melarat: Bila makan; sejuk; pagi; banyak fikir dan bimbang.

Lega: Selepas makan; panas.

Patologi: Asma; demam kepialu; demam biasa; histeria; influenza (rasa lemah, pagi letih, sakit otot dan saraf); sakit kepala; meningitis, muntah mabuk laut; tonsil membesar dan sakit; anaemia; kencing manis; cirit-birit; keputihan; masalah haid; kekurangan tenaga saraf; buasir.

Friday, May 22, 2009

Budaya kerja cemerlang (3)

Bekerja adalah ibadah kerana ganjaran kerja bukan sekadar dapat wang malah pahala, rahmat dan berkat Allah SWT. Niat bekerja seharusnya adalah ke arah ‘jalan yang lurus’.

Setiap hari kita menunaikan solat dan mesti membaca surah al-fatihah. Di hunjung surah ini ada ayat yang bermaksud ‘tunjukilah kami jalan yang lurus’ iaitu doa hamba kepada Tuahnnya supaya hidup yang dilalui benar-benar berada di atas landasan yang betul. Apabila kita kita memahami bahawa hidup dan kerja adalah mencari jalan yang lurus, baharulah kita sentiasa mempastikan setiap makanan dan minuman yang masuk ke dalam perut diri sendiri, isteri dan anak-anak adalah halal, suci dan bersih.

Selain jalan yang lurus, adalah penting untuk mendapat redha Allah SWT.


Saya ingin berkongsi pengalaman seorang blogger yang baru mencuba kerja baru sebagai guru tadika. Beliau merasai betapa seronoknya bekerja apabila mendapat redha Allah SWT.

Sedar tak sedar sudah sebulan saya bekerja di sekolah tadika. Dah nak masuk bulan kedua...sungguh tak sangka,segala-galanyaberjalan dengan lancar. Segala puji dan syukur. Walaupun ada kesukarannya ...tetapi adatlah, hidup kena ada ujian...bukan hidup namanya kalau tak deujian…Alhamdulillah, begini rupanya kehidupan sebagai guru. Barulah saya faham. Sebelum ni saya tak berapa minat kerja sebagai guru.. .Ntah la kenapa, mungkin mak ayah kedua-duanya guru, jadi rasa tak mau pulak jadi guru. Tapi tulah, perancangan manusia ni biasanya bagai nak rak... Tapi keputusan Allahjua yangpaling tepat. Syukur. Sebenarnya, matlamat utama saya nak jadi guru tadika adalah sebab saya memang sukakan budak-budak...masyaallah. Merekalah insan yang paling comel, paling manja, paling banyak kerenah kat dunia ni yang Allah ciptakan…Alhamdulillah… selain nak jaga mereka, tiada apa lagi yang saya nak melainkan redha Allah. Hidup pada zaman ni, segala-galanya kena redha Allah.



Redha Allah SWT sangat penting untuk mendapat keseronokan bekerja. Walaupun kerja tidak glamer dan gaji kecil, hidup rasa indah kerana dinaungi redha Allah SWT.

Ada tiga orang tukang cat yang bekerja makan gaji. Tukang cat pertama, oleh kerana sangat tertekan dengan kerjanya, beliau sering berdengus dan merungut semasa mengecat dinding rumah. Tukang cat kedua lebih tenang dan gembira ketika mengecat kerana dia tahu akan mendapat wang apabila tiba hujung bulan. Tukang cat ketiga terlalu gembira dengan kerjanya kerana menganggap dirinya adalah sebahagian daripada kegembiraan keluarga yang akan duduk di dalam rumah yang sedang dicat itu. Dia tidak sekadar menyalut dinding-dinding rumah itu dengan cat malah disalutnya juga dengan harapan agar keluarga di rumah itu akan mengecap kebahagiaan yang berkekalan.

Jika bekerja seperti tukang cat pertama, bagaimana hendak gembira? Sambil tangannya mengecat, mulutnya tidak pernah diam dengan rungutan, keluh-kesah dan kutukan. Kerja dibuat kerana terpaksa dan tidak bersungguh-sungguh.

Kerja yang dilakukan oleh tukang cat kedua lebih baik sedikit kerana dia menikmati setiap detik kerja-kerja mengecat yang dilakukan untuk digantikan dengan ganjaran wang. Namun, pekerja seperti ini hanya fikirkan diri sendiri dan kurang bersemangat untuk menjiwai hasil kerjanya kepada orang lain.

Namun, tukang cat ketiga bekerja untuk mencari makna hidup. Bekerja sukan sekadar mendapat habuan wang ringgit malah memberi erti kepada diri sendiri dan masyarakat.

Berkhidmat untuk kesejahteraan masyarakat. Apabila dapat merasai erti hidup, dia ingin berkongsi pula dengan orang lain. Di sinilah munculnya kepuasan hidup kerana penghargaan dan hidayah yang diterima daripada Allah SWT.

‘Bahawa Allah suka apabila seseorang daripada kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkannya.’ (Al Baihaqi)

Thursday, May 21, 2009

Budaya kerja cemerlang (2)

Budaya kerja cemerlang adalah sebahagian daripada kesempurnaan kerja kerana kejayaan sering dikaitkan dengan kesempurnaan. Namun, apabila kita telah dapat capai kejayaan, tiba-tiba ada perkara lain yang lebih besar perlu dicapai.

Di rak buku rumah saya terdapat sebuah buku motivasi yang unik. Penulisnya ialah Andrew Matthews, seorang seniman dan penceramah motivasi. Kaedahnya ceramahnya sangat menarik kerana beliau memberi motivasi dengan melukis kartun. Tajuk buku ini dalam bahasa Melayu ialah ‘Ikut Hati Anda’ dan telah diulang cetak sebanyak 39 kali!

Lukisan pertama dalam buku Matthews ialah watak dua orang lelaki, seorang sedang duduk seperti bertapa, berjanggut putih dan panjang hingga ke perut. Seorang lelaki lagi sedang duduk bersila, kepala botak dan memakai cermin mata. Pertemuan kedua-dua lelaki ini seperti di dalam sebuah gua dan pada waktu malam kerana Matthews melukis bulan sabit dan empat batang lilin yang sedang menyala. Lelaki kepala botak bertanya, ‘Adakah lagi tujuan hidup selain memiliki Mercedes Sports?’

Ternyata lelaki ini ingin mengetahui apa lagi yang dia boleh capai selalin memiliki kereta idamannya itu. Barangkali dia hendak menguji kepintaran lelaki berjanggut putih itu.

‘Tentu sekali. Dapatkan Ferrari’, jawabnya.


Maksudnya ialah setelah berusaha dan berjaya, cabarannya perlu lebih besar, matlamatnya mesti lebih sukar, lebih mahal dan paling penting mesti bekerja dengan lebih kuat.

Mereka yang mengejar kereta mewah untuk menyempurnakan hidup tidak ada apa-apa lagi yang hendak difikirkan apabila kunci kereta Ferrari atau Mercedes Sports berada di dalam genggaman. Hidup telah sempurna.

Peter Drucker, pakar dalam bidang pengurusan dan sangat terkenal. Teori dan ideanya tentang pengurusan, bisnes dan kepimpinan sentiasa menjadi debat. Salah satu ideanya dalam pengurusan ialah tanggungjawab pengurusan iaitu bekerja untuk membuat keuntungan dan meningkatkan kekayaan masyarakat. Tulisan ini dikeluarkan pada tahun 1968 dan dipersetujui ramai.

Namun idea ini berubah pada tahun 1994. Pandangan berubah apabila melihat syarikat-syarikat gergasi Amerika Syarikat jatuh dan muflis satu demi satu. Para pekerja hanya mengejar keuntungan yang maksimum dan kesetiaan mereka hanyalah kepada keuntungan atau wang. Tanpa bonus dan wang sebagai ganjaran, mereka akan mencari majikan baru yang dapat menawarkan gaji yang lebih besar.

Jack Welch, bekas pengerusi dan CEO General Electric Amerika Syarikat, turut terikat dengan idea awal Peter Drucker iaitu meletakkan keuntungan sebagai tanda aras kejayaan.

Dalam bukunya, Winning, beliau meletakkan keuntungan sebagai perkara paling utama semasa membentuk misi organisasi. Jadi, sebagai bos di GE, misi syarikat itu dari tahun 1981 hingga 1995 ialah ‘syarikat paling kompetetif di dunia’ dengan berada di kedudukan Nombor 1 dan Nombor 2 dalam setiap bisnes. Tafsiran misi Welch ialah ‘ke arah mana hendak pergi’ justeru beliau percaya keuntungan adalah arah sebenar yang dituju.

Dibandingkan dengan cerita dua orang lelaki di dalam gua dan cita-cita Jack Welch tadi, kedua-duanya tidak ada beza langsung kerana sama ada Ferrari atau keuntungan, ia menjadi matlamat dalam kerja pada hari ini.

Hakikat yang kita harus terima ialah kehidupan yang kita lalui adalah satu kerja. Ramai orang yang kurang mengambil berat tentang idea ini kerana menganggap kerja ialah apabila melakukan kerja dan mendapat upah atau ganjaran. Memisahkan aktiviti hidup sehari-hari dengan bekerja dalam organisasi tidak dapat menikmati nikmat hidup yang sebenar.

Wednesday, May 20, 2009

Budaya kerja cemerlang (1)

Mempunyai kerja adalah impian setiap orang kerana bekerja akan memberikan wang, mewujudkan sokongan sosial dan membina kesejahteraan hidup. Bekerja dapat melapangkan hati dan memberi rasa gembira. Menganggur atau mencari-cari kerja membuatkan hati tidak tenteram dan resah. Dengan wang, Insya Allah cinta dan sayang akan bersatu, azam dan cita-cita menjadi padu. Namun bekerja bukan semata-mata hendak mendapatkan wang kerana kebahagiaan hidup tidak dapat dibeli dengan wang dan keuntungan.

Budaya kerja cemerlang di tempat kerja adalah impian setiap orang dari bos hinggalah kuli. Apabila anggota kerja senang hati, mereka dapat melaksanakan tugas dengan seronok, selesa dan tidak banyak konflik. Namun, apabila bekerja kerana hendakkan gaji sahaja, sikap pekerja mula menjadi buah mulut orang ramai.

Menjadi kebiasaan saya untuk membeli semua jenis surat khabar pada hari Ahad kerana banyak maklumat menarik yang boleh diperoleh, dari isu-isu semasa, komentar hinggalah kesihatan, bisnes dan sukan. Di samping itu saya juga gemar mengikuti perkembangan dan rencah hidup golongan artis. Yelah, artis-artis seringkali menjadi perhatian umum. Ada ada artis yang baru berkahwin, bercerai, masuk rumah baru dan tambah cawangan bisnes.

Artis yang buka bisnes mula menjadi perhatian ketika ini. Seronok juga apabila dapat tahu bisnes mereka semakin maju dan ramai yang berkunjung ke sana. Ternyatalah dalam kalangan artis pada hari ini ada yang berpandangan jauh kerana tidak mahu bergantung semata-mata dalam industri muzik. Salah satu bisnes yang kerap diceburi oleh golongan artis kita ialah penyediaan makanan atau lebih glamer dipanggil kopitiam.

Dalam bisnes kopitiam, pelanggan setia adalah aset. Mereka dapat beri maklum balas tentang apa saja termasuklah cita rasa makanan, susun atur, hiasan dalaman dan kesesuaian harga. Makanan yang sedap dan harga yang berpatutan biasanya menjadi perjhatian pelanggan. Namun, ada faktor lain yang menyebabkan bisnes ini kehilangan pelanggan. Cita rasa dan harga boleh dirunding tetapi etika kerja tidak ada tolak ansur langsung.

Contoh etika kerja yang merosakkan reputasi bisnes kopitiam ialah menyapu lantai berhampiran meja pelanggan ketika mereka sedang makan. Di dalam hati, pasti mereka kecewa kerana pekerja tidak ada rasa hormat kepada pelanggan. Habuk yang berterbangan pasti menjejaskan selera makan.

Ada bijak pandai berkata kita boleh melakukan segala yang salah dalam perniagaan dan masih berjaya jika kita memberi khidmat kepada pelanggan.

Sebaliknya kita boleh melakukan segala yang betul dalam perniagaan dan menemui kegagalan sekiranya kita tidak mengambil berat terhadap keperluan, kehendak, keinginan dan emosi pelanggan.

Memahami bahawa pelanggan sentiasa diutamakan sangat berkait rapat dengan jangkaan pelanggan. Manakala jangkaan pelanggan adalah hasil daripada pengalaman yang berbagai-bagai. Jika jangkaan pelanggan ke atas perkhidmatan tidak tercapai. Ini bererti pelanggan tidak berpuas hati. Biasanya pelanggan menjangkakan kualiti yang lebih baik, ciri-ciri yang berbeza daripada pesaing, faedah yang lebih baik, ada kepelbagaian, fleksibiliti dan nilai-nilai yang mementingkan kebersihan, kerjasama dan orientasi pencapaian.

Tuesday, May 19, 2009

Cari wang

Hari ini ramai orang sudah bosan dengan susah dan payah dalam hidup, lebih-lebih lagi jika tidak ada wang. Tanpa wang hidup tidak bahagia. Namun ada juga orang yang punya banyak wang masih juga tidak bahagia. Masih merungut tidak cukup itu dan ini malah terpaksa menjaga wangnya yang banyak. Ketika itu muncul pula kata-kata hikmat ‘ketika muda kita menjaga wang, ketika tua wang jaga kita’ kerana tahap kesihatan sudah mula merosot.

Jadi, bolehlah dikatakan hari ini ramai orang yang gila kerana ada duit pun gila, tidak ada duit pun gila [klik sini].

Dalam seminggu, biasanya peti surat rumah saya penuh dengan risalah dan brosur promosi, iklan perabot rumah dan tuisyen budak-budak sekolah. Sekali-sekala ada bil air dan elektrik. Sama ada kertas itu warna putih, kuning atau hijau, semuanya ada satu tujuan: cari pelanggan. Syarikat-syarikat peminjam wang atau koperasi yang menyediakan khidmat seperti itu sedar ketika ini keadaan ekonomi sangat tidak baik, jadi mereka mula membuat promosi yang agresif. Tidak cukup dengan peti surat, diletakkan risalah di cermin kereta dan kad perniagaan ditaburkan merata tempat. Bagi syarikat-syarikat ini, promosi mesti agresif. Tidak boleh duduk diam saja.

Kerja makan gaji mungkin ada sedikit kelebihan untuk meminjam kerana dapat membayar pinjaman pada hujung bulan tetapi macam mana pula mereka yang kerja sendiri dan pendapatan yag tidak tetap? Kalau macam itu, risalah seperti inilah yang banyak membantu.

Ada satu brosur warna putih yang menarik. Di atasnya tertulis ‘Wat Chang Deng’ beralamat di Kedah. Keterangannya jelas iaitu menceritakan kejayaan seorang kaki judi yang berjumpa seorang tok sami digelar ‘master’ telah mengubah nasib hidupnya. Kaki ekor ini berasa bertuah kerana telah kena nombor ekor selepas mendapat nasihat dan panduan ‘master’ itu. Beliau dapat hadiah utama dengan nombor 8262. Dimuatkan sekali resit pembelian dan keputusan nombor judi berkenaan untuk meyakinkan pembaca. Sebagai balasan, beliau menaja 5,000 keping brosur untuk diedarkan. Di atasnya disertakan dua nombor telefon bimbit untuk dihubungi.

Orang yang kesempitan wang akan memikirkan banyak cara untuk cari wang. Namun memilih membeli nombor ekor adalah cara paling keji dan bodoh. Kaya-raya adalah towkey judi dan pembeli nombor ekor hanya akan merana seumur hidup.

Satu lagi brosur yang juga menceritakan tentang hendak jadi kaya saya jumpa di depan pintu lif. Warnanya kuning dan sangat menarik. Antara tulisannya ialah,

‘Kini giliran anda pula untuk menikmati kejayaan yang sebenar!!! Bersama syarikat MLM No. 1 dunia.. abc’

Tarikan terhadap brosur ini seolah-olah membuatkan saya hendak daftarkan diri hari ini juga. Mana tidaknya. Dinyatakan ‘berpuluh-puluh ribu ahli telah meraih pendapatan 5 angka yang luar biasa.’

Inilah tarikan dunia yang benar-benar berada di hadapan kita. Ramai orang berlumba-lumba mencari RM dan Dolar. Wang adalah raja baru yang berada di mata, lidah dan bersarang di hati.

Monday, May 18, 2009

Keberanian menggapai harapan (The audacity of hope)

Penulis: Barack Obama
Tahun: 2009
Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia, Kuala Lumpur.
Muka surat: 424

Barack Obama telah menjadi presiden Amerika Syarikat yang ke-44. Laluan berliku yang dilalui sebagai anggota Senat dari Parti Demokratik telah mematangkannya sebagai seorang pemimpin politik yang bijak menyusun strategi dan meraih sokongan sebahagian besar pengundi A.S. Obama telah berjaya memecah dominasi bangsa kulit putih sebagai satu-satunya presiden negara itu selama 232 tahun. Rakyat A.S membuat perubahan yang sangat ketara dalam nilai, persepsi dan sikap mereka terhadap politik iaitu seseorang tidak boleh dinilai berdasarkan keturunan dan warna kulit sebaliknya dinilai berdasarkan kebolehan dan daya intelek yang tinggi.

Membaca buku ini dari awal hingga akhir adalah pengalaman yang mengasyikkan, penuh suspen dan dapat dibayangkan Obama memiliki set nilai yang diperlukan sebagai seorang presiden yang mewakili pelbagai bangsa yang mendiami bumi Amerika. Sembilan bab semuanya, namun empat bab yang awal menjadi teras kepada keberanian beliau untuk mendaki puncak presiden. Bab-bab ini ialah Republikan dan Demokrat, Nilai, Perlembagaan Kita dan Politik.

Dalam bab Republikan dan Demokrat, Obama menjelaskan perbezaan dasar dan strategi yang digunakan oleh kedua-dua parti ke atas nilai-nilai nasional. Republikan adalah parti yang memberi perhatian kepada golongan korporat dan elit, Demokrat pula cuba meyakinkan rakyat Amerika yang parti itu mengambil berat golongan menengah dan bawahan.

Bab kedua, Nilai, Obama menjelaskan panjang lebar nilai-nilai yang ada pada masyarakat Amerika dan cuba mengenal pasti beberapa nilai teras yang ada di hadapan mata. Dua nilai yang penting ialah moral dan mengambil berat keselamatan negara. Beliau juga menekankan betapa pentingnya memiliki rasa empati dalam kehidupan supaya kita dapat merasai kesusahan dan perasaan orang lain. Antara ungkapan yang menarik ialah ‘dengan usaha sendiri, kita boleh, dan perlu mencipta kehidupan masing-masing’ dan ‘dengan kegigihan, usaha dan kebijaksanaan, kita berupaya mengharungi cabaran dan memperbaiki kehidupan serta takdir masing-masing’.

Bab ketiga, Perlembagaan Kita, Obama menghuraikan kefahamannya terhadap pelaksanaan demokrasi di A.S sebagai pilihan terbaik dalam sebuah negara yang mempunyai masyarakat pelbagai budaya dan latar belakang. Beliau juga menyentuh kelemahan demokrasi yang hanya boleh memberi rangka kerja dan peraturan tetapi memberi kepatuhan kepada peraturan berkenaan semata-mata tidak akan menjamin sebuah masyarakat yang adil atau menjamin persetujuan berdasarkan apa yang saksama. Satu petikan yang menarik ialah ‘kerakyatan Amerika adalah satu keistimewaan dan bukannya hak’ yang menjelaskan betapa pentingnya menjadi seorang warganegara yang baik. Dalam kerakyatan terdapat kewajipan iaitu kewajipan untuk menggunakan bahasa yang sama, kesetiaan yang sama, matlamat yang sama dan menerima nasib yang sama juga.

Obama berpendapat kemenangan dalam politik sebahagian besarnya bergantung pada sama ada seseorang itu dikenali atau tidak. Justeru, dalam bab empat ini iaitu Politik, Obama sentiasa membuat tinjauan pendapat sebelum membuat pengumuman untuk bertanding kerana kaedah itu boleh menentukan sejauh mana pengaruh politiknya dapat bertahan. Dalam politik, seseorang harus memiliki kepakaran tertentu, bukan hanya bercakap atau mengira angka. Umapanya, semasa berhadapan dengan pengundi, Obama akan menggunakan tiga ayat yang penting iaitu pertama: saya adalah sahabat anda, kedua: Amerika ialah tempat kelahiran tamadun, dan ketiga: anda adalah sebahagian daripada impian rakyat Amerika. Beliau juga tidak menafikan peranan media sangat penting dalam politik.

Bab-bab seterusnya adalah pandangan Obama terhadap kaum, kehidupan berkeluarga dan kisah kehidupannya di Indonesia. Walaupun beliau lahir dengan berayahkan orang Islam dan ibunya seorang kristian, pengalamannya mengamalkan ajaran kristian di A.S menampakkan perbezaan di antara kristian kulit putih dan kulit hitam seperti gereja yang dikhaskan kepada kulit putih sahaja. Namun begitu, tahap toleransi beliau terhadap amalan beragama lebih bersifat liberal.

Liberalisasi mengajar kita menjadi lebih bertoleransi terhadap kepercayaan agama orang lain.’

Beliau yakin dengan formula paderi Jefferson dan Leland iaitu kebebasan agama wajar digalakkan supaya perbalahan antara agama dapat dielakkan dan institusi keagamaan akan terus berkembang. Bagaimanapun cara ini hanya dapat dicapai jika institusi agama ini tidak disokong oleh kerajaan sebaliknya sebagai ganjaran ke atas daya usaha sukarela agama.

Begitu juga pandangan Obama terhadap hubungan kaum. Ianya sangat menarik. Beliau amat mengambil berat keadaan masyarakat kulit hitam A.S dan mengikuti perkembangan mereka dengan rapat. Bagi beliau, semua harta di dunia tidak dapat meningkatkan pencapaian pelajar sekiranya ibu bapa mereka sendiri tidak berusaha menam semangat belajar dan sabar menanti ganjaran. Mana-mana kaum sama ada kulit putih, hitam, Asia atau Hispanic boleh berjaya jika bekerja keras seandainya diberi peluang. Katanya ‘kita hanya boleh bersaing jika kerajaan membuat pelaburan yang memberi kita peluang untuk bersaing selain jaminan bahawa keluarga kita akan dibantu sekiranya ditimpa kesusahan’. Oleh itu, bagi Obama, kerajaan wajar membantu mewujudkan asas peluang dan keyakinan terhadap tanggungjawab bersama antara satu sama lain.

Editor: Buku ‘Keberanian menggapai harapan’ wajar dibaca oleh pemimpin politik negara kita dan mereka yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia kerana idea Obama ialah melihat pencapaian dan kejayaan seseorang berdasarkan pada nilai dan daya intelek yang ada pada dirinya, bukan kerana mewarisi keturunan sesuatu kaum. Jika ditinjau dengan lebih mendalam, beliau seolah-olah menggambarkan kaum minoriti juga boleh berjaya jika mereka bekerja keras dan berusaha menjadi warganegara yang baik. Kaum-kaum minoriti yang asalnya susah dan tidak mendapat gaji yang banyak tetapi sanggup berusaha agar mendapat kehidupan yang lebih baik. Obama dapat berkata begitu kerana beliau membesar bersama-sama anak petani, orang gaji, tukang jahit dan kerani. Pernah mengejar ayam, dikejar oleh kerbau, menonton wayang kulit dan mendengar cerita hantu. Negara akan menjadi lebih baik jika dapat mengenal pasti bakat setiap individu dan menggunakannya pada tempat dan masa yang betul. Lalu Barack Obama telah membuktikan bahawa beliau adalah seorang pemimpin kulit hitam yang berbakat dan layak menjadi presiden Amerika Syarikat.

Saturday, May 16, 2009

Kali Muriaticum

Merawat radang membran mukus terutama dalam pembekuan darah, discaj yang bertali-tali, jangkitan dalam telinga dan tiub eustachia (berkaitan telinga tengah) terutamanya bendalir cecair yang menyebabkan kurang pendengaran buat sementara waktu. Ciri-ciri utama ialah terdapat lapisan putih atau kelabu pada lidah; discaj yang pekat. Simptomnya ialah melarat dalam cuaca lembap dan selapas makan makanan yang berlemak.

Kepala: Ada kelemumur.

Mata: Tahi mata berwarna putih atau kuning kehijauan. Trachoma (penyakit mata yang kronik dan berjangkit; sejenis konjunktivitis yang teruk).

Telinga: Bendalir di telinga tengah, kalenjar-kalenjar telinga bengkak.

Hidung: Berhingus; putih dan pekat. Tersumbat jika keadaan bengkak.

Muka: Pipi bengkak dan sangat sakit.

Mulut: Aphtha (ulser kecil; bintik putih atau merah). Lidah berbalut putih kelabu, kering.

Kerongkong: Tonsil; susah bernafas.

Perut: Makanan berlemak sebabkan perut memulas-mulas. Muntah putih; buih dalam mulut. Sembelit. Bulimia (lapar tetapi tidak puas bila makan); hilang dengan minum air. Kembung dan selalu kentut.

Najis: Sembelit; najis terang keputihan. Cirit-birit selepas makan makanan berlemak. Buasir; berdarah, gelap dan pekat.

Seks perempuan: Haid terlalu lewat atau terlalu awal; discaj banyak. Warna merah gelap. Keputihan; seperti susu, pekat. Bangun pagi rasa loya, pening dan muntah berkahak. Radang buah dada.

Pernafasan: Hilang suara; serak. Asma dengan gangguan gastrik. Batuk yang akut, pendek beserta kekejangan; kahak pekat putih. Bunyi detaran udara keluar yang kuat, mukus melekat dalam bronkus; susah hendak batuk keluar.

Kakitangan/Belakang: Demam rheumatik; sekeliling sendi bengkak. Sakit hanya semasa bergerak. Sakit rheumatik sebelah malam; teruk kerana panas tempat tidur, mesti beredar dari tempat tidur dan berdiri. Tangan kaku semasa menulis.

Kulit: Jerawat; ruam-ruam merah pada kulit dan kudis dengan gelembung kecil berisi air (vesicle). Kering dan mengelupas.


Patologi: Abses (bengkak tetapi tidak bernanah); arthritis (bengkak dan lidah berselaput putih); asma dan gastrik; radang buah pinggang (peringkat ke-2); campak, bengkak kerana cedera; cirit-birit berdarah; demam; discaj berair pekat; haid darah hitam dan beku; hidung berdarah semasa tengah hari; kulit melecet dan bintit-bintit merah; mata berair pekat; meningitis; muntah cecair putih dan tebal; resdung berair pekat; tonsil merah dan keradangan; buasir.

Thursday, May 14, 2009

Senario gejala sosial di Malaysia (8)

4.0 Implikasi Gejala Sosial

Seriusnya gejala sosial hari ini boleh diibaratkan seperti kayu yang nampak cantik di luar tetapi berlubang di dalam, tidak kukuh dan boleh rosak bila-bila masa. Dalam kehidupan remaja, majalah dan filem sering mengasak pemikiran mereka untuk bertindak melakukan sesuatu tindakan yang dilihat melanggar nilai dan norma masyarakat. Sogokan dengan muzik dan pesta menjadikan remaja hidup untuk berseronok tanpa memikirkan apa yang sepatutnya dibuat ketika ini. Akhirnya remaja berkembang dengan kekeliruan dan tidak tahu peranan sebenarnya.

Gejala sosial yang berlaku saban hari pasti memberi kesan besar kepada kesejahteraan hidup masyarakat. Persekitaran tempat tinggal yang tidak aman dan menakutkan lambat-laun akan menimbulkan prejudis masyarakat ke atas pasukan keselamatan dan peranan agensi penguatkuasa dalam menjalan tugas mereka. Sebuah tempat di Chicago, A.S, kehadiran polis dan penjara langsung tidak menakutkan anak-anak muda. Lebih separuh daripada remaja di situ sudah ada rekod polis. Apabila 10 orang yang melepak di satu tempat ditangkap polis, dalam masa sejam, 10 yang lain akan menggantikan mereka. Memerihalkan implikasi gejala sosial ini, kita boleh kelaskan kepada tiga komponen iaitu ke atas individu, keluarga dan masyarakat.

Individu dicerminkan oleh akhlak dan peribadi. Pancaran akhlak yang baik atau buruk ditentukan oleh didikan dalam keluarga, kepatuhan kepada amalan agama dan rakan-rakan yang menjadi jaringan sosial. Proses pembesaran individu banyak dicorakkan oleh peranan ibu bapa kerana tanggungjawab kedua-duanya untuk mendidik dan memberi pendidikan yang terbaik kepada anak-anak. Justeru ibu bapa tidak boleh sama sekali melepaskan tanggungjawab ini kepada orang lain.

'Tiap-tiap anak dilahirkan berkeadaan fitrah (suci bersih), maka kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.'
(Riwayat Bukhari)

Kepincangan dalam keluarga bermula daripada pelbagai sebab seperti keganasan rumah tangga, orang ketiga, sibuk bekerja, sumbang mahram, kejahilan, persekitaran dan pengaruh media. Sangat susah untuk menganalisis punca kepincangan keluarga pada hari ini sehingga semuanya berakhir dengan satu jalan mati iaitu penceraian. Apabila berlaku, hidup dan masa depan anak-anak tidak terjamin dan menambah lagi beban kepada masyarakat dan negara kerana tumpuan dan kos perbelanjaan akan terus meningkat. Justeru, institusi keluarga wajar menentukan sikap dan budaya mereka sendiri supaya proses mendidik dan mengasuh ahli keluarga dapat menyumbang kepada masyarakat sejahtera dan menepati tujuan dan maksud kehadiran penciptaan manusia iaitu beribadah kepada Allah SWT.

‘Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.’ (Az-Dzariat:56)

Masyarakat tidak lagi berasa aman dan bahagia untuk menjalani kehidupan kerana memikirkan kejadian-kejadian buruk di sekeliling mereka. Lama-kelamaan budaya hormat dan ‘ambil kisah’ tidak lagi menjadi keutamaan walaupun kempen demi kempen dilakukan oleh agensi kerajaan. Mereka menganggap kerajaan dan pihak berkuasa yang bertanggungjawab membateras gejala sosial yang sedang dihadapi dan peranan masyarakat ialah melihat usaha-usaha yang dilakukan mesti mengurankan dan menghapuskan gelaja-gejala sosial ini.

Mengurangkan gejala sosial yang sedang dihadapi ketika memerlukan perubahan sikap yang mesti bermula dari rumah, kawasan kejiranan dan tempat ibadat. Institusi berasaskan masyarakat seperti masjid dan surau harus membantu keluarga menghidupkan semula rasa hormat anak-anak muda terhadap pencapaian akademik, galakan budaya hidup yang lebih sihat dan mennyegarkan kembali nilai-nilai tradisi yang mengiringi rasa gembira dan tangungjawab menjadi seorang ibu atau bapa.

5.0 Rumusan

Remaja menjadi liar kerana kurang atau tidak mendapat belaian ibu bapa dan tidak mempedulikan perkembangan anak-anak remaja mereka. Ketika kanak-kanak, ibu bapa akan menemani anak-anak mereka bersukan di sekolah rendah yang menjadikan suasana padang sukan lebih meriah tetapi keadaan tersebut tidak ketara di sekolah menengah. Merempit turut dikaitkan dengan keadaan keluarga yang tidak seimbang dari segi perkembangan mental, fizikal dan spiritual. Anak-anak muda yang mendapat motosikal tidak akan merempit dan memberi kesusahan kepada masyarakat sekiranya dia sedar apa yang patut dicari ketika usia muda ini. Tetapi dari mana kesedaran ini datang? Tentunya ibu bapa yang berperanan besar.

Kitaran masalah akan membiakkan masalah yang lebih besar dan sentiasa bergelora seperti ombak yang menghempas ke pantai tanpa pernah berhenti. Pengamatan secara terperinci memperlihatkan trend penyelesaian masalah sosial di Malaysia lebih banyak digerakkan oleh kuasa politik dan ideologi. Pertembungan keduanya sentiasa menjadi perdebatan bagi menentukan hala tuju isu. Program kekeluargaan lebih kerap digerakkan oleh agensi kerajaan seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Dengan bilangan remaja yang semakin bertambah, sangat jenuh bagi menteri berkenaan untuk melihat semua wajah bahagia dan suram anak-anak remaja Malaysia. Apa yang boleh dilakukan ialah melaksanakan langkah-langkah yang mantap dan bersinergi dengan pelbagai agensi kerajaan, media, pertubuhan bukan kerajaan dan badan sahsiah.

Pendekatan untuk menerapkan nilai-nilai pengukuh jati diri di dalam program pembangunan tidak lagi boleh dibuat dalam bentuk kursus dan latihan bagi tempoh yang pendek, sebaliknya menggunakan pendekatan terapeutik iaitu ‘remaja cemerlang membiakkan remaja cemerlang’ supaya kesedaran, iltizam dan kepuasan untuk berubah benar-benar menjadi kenyataan dan bukan bersifat retorik. Konsep mendidik yang realistik ialah umur kurang dari tujuh tahun, anak-anak dimanjakan, sehingga 14 tahun dianggap kawan dan sehingga 21 tahun perlu dipandu arah tuju hidup mereka.

Pemikiran, sikap dan tingkah laku yang hendak diubah bergantung pada pendekatan dan masa yang diambil. Perubahan sikap akan terzahir setelah tiga perkara diusahakan iaitu membuatkan berfikir, merasai sendiri dan daya tindak yang mantap. Tingkah laku yang ditonjolkan dalam fikiran membentuk perlakuan tertentu yang menjurus kepada matlamat yang diingini. Perubahan sikap akan berlaku setelah cara berfikir dibetulkan menimbulkan keinginan untuk berubah.


Rujukan


[Kertas kerja lengkap akan diperoleh selepas 2 Jun 2009. Jika berminat, sila e-mel kepada editor]

Wednesday, May 13, 2009

Senario gejala sosial di Malaysia (7)

3.8 Tingkah laku devian pelajar sekolah

Kes yang melibatkan dua pelajar perempuan memukul dan menendang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis tidak lama dahulu menunjukkan persepsi pelajar terhadap guru telah berubah. Aksi dua orang pelajar sekolah berkenaan yang memukul dan menendang guru mereka telah dirakam dan disiarkan di media. Sekolah juga sedang menjadi tempat merebaknya kes-kes buli dalam kalangan pelajar sekolah sama ada di dalam ataupun luar kawasan sekolah. Tingkah laku devian berkait dengan pelbagai sebab sama ada di dalam sekolah atau di luar kawasan sekolah. Pada tahun lepas, sebanyak 2,218 kes jenayah melibatkan 3,725 pelajar dan daripada jumlah itu, sebanyak 3,629 kes adalah melibatkan pelajar yang berumur di antara 13 dan 18 tahun.

Dalam Carta 1, jenayah yang paling banyak ialah curi motor diikuti mencuri. Seramai 295 orang yang terlibat dari bulan Januari hingga Februari tahun ini berbanding 233 orang tahun lepas. Jumlah ini adalah isyarat kepada peningkatan kes-kes jenayah yang melibatkan pelajar sekolah. Pada tahun 2007, sebanyak 1,936 kes dengan 3,383 pelajar dan seramai 3,241 pelajar berumur di antara 13 dan 18 tahun. Kes-kes tangkapan ini dikaitkan dengan jenayah yang serius seperti pembunuhan, rogol dan pecah rumah.

Carta 1: Pecahan jenayah pesalah juvana (13-18 tahun), Jan-Feb 2009

Stevenson (1991) mencatatkan beberapa penemuan berkaitan tingkah laku devian pelajar. Antaranya beliau memetik Doyle (1979) sebagai berpendapat tingkah laku berkenaan khususnya pada awal sesi persekolahan sekolah adalah untuk menguji keupayaan pengurusan guru bagi mencapai agenda peribadi tertentu. Manakala dapatan oleh Doyle dan Carter (1984) menunjukkan pelajar cuba memperlahankan kehendak-kehendak dalam garis panduan kelas mereka. McDermott (1976) berpendapat pelajar hendakkan perhatian guru mereka.

Dalam artikel ‘deviant students as a collective resource in classroom control,’ Stevenson menyatakan pelajar dengan tingkah laku devian adalah sumber penting untuk membantu pengawalan kelas berbanding menganggap pelajar berkenaan sebagai masalah utama kepada guru. Baginya, pelajar demikian adalah produk pengurusan sosial di dalam kelas, bukannya produk daripada pengurusan kelas yang lemah. Pengurusan sosial di dalam kelas dan pengurusan kelas adalah dua perkara yang berbeza. Tingkah laku devian yang semakin tidak terkawal adalah jangkaan hanya di peringkat individu (Boehnke dan Winkels, 2002). Hubungan keluarga dan kehidupan bermasyarakat dapat menghalang remaja daripada terlibat dalam aktiviti membuang masa dan membina tingkah laku devian mereka.

Kedua-duanya melihat turun naik kes-kes jenayah dan tingkah laku yang menyimpang dari norma masyarakat lebih banyak disebabkan oleh perubahan yang berlaku di dalam politik dan ekonomi masyarakat. Delikuensi juvana yang sering menimbulkan konflik di antara orang dewasa dan remaja adalah merujuk kepada merokok di bawah umur, minum arak dan mamandu tanpa lesen dikatakan sering menjadi simbol kepada remaja untuk mempamerkan kedewasaan. Sebagai contoh, Eisenstadt (1956) dan Mead (1970) berkata memakai simbol Nazi di kawasan sekolah boleh ditakrif sebagai tingkah laku yang tidak dapat diterima oleh guru malah sebahagian besar masyarakat.

Rajah 1: Konsep model hubungan di antara perubahan sosial yang pesat dan tingkah laku devian di sekolah (Boehnke dan Winkels, 2002)

Dari segi ekonomi, perubahan yang yang pantas berlaku telah melahirkan keluarga yang berada di bawah bebanan kewangan, hubungan keluarga semakin longgar, perhatian ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak semakin diabaikan dan komunikasi dengan anak-anak semakin merosot hingga timbulnya tingkah laku devian di kalangan anak-anak. Pelajar tidak bertindak sendirian apabila mengambil keputusan untuk berkelakuan ganas di sekolah sebaliknya digalakkan oleh kumpulan. Menurut Hagan (1991,1994), perubahan sosial yang pesat membantu menambah kecenderungan pelajar terhadap aktiviti rakan sebaya yang menjurus pada tingkah laku devian yang muncul kerana persekitaran sub budaya sedia ada yang turut menghargai tingkah laku berkenaan.

Boehnke dan Winkels (2002) membuat model hubungan di antara perubahan sosial dengan tingkah laku devian pelajar di sekolah yang merangkumi gangguan terhadap guru, merosakkan harta benda, memukul pelajar yang lemah, menyebar gosip rakan kelas, bergaduh, mencabar pelajar lain dan mencederakan guru (Rajah 1). Kesimpulan kajian tersebut ialah keibubapaan dilihat sangat penting untuk mengawal tingkah laku devian di sekolah walaupun perubahan sosial yang pantas kerana faktor politik dan ekonomi. Ibu bapa yang mempunyai kata pemutus wajar menjadi penjaga kepada tingkah laku pelajar.

Felson (1996) menyatakan bahawa dalam kebanyakan pendapat, kanak-kanak meniru aksi ganas yang mereka lihat di televisyen. Proses meniru ini diberi penekanan dalam teori pembelajaran sosial. Walaupun pelajar-pelajar telah menjangkau umur 14 tahun tetapi pendedahan terhadap aksi di televisyen dan media elektronik yang lain bermula sejak mereka berumur 3 hingga 5 tahun. Sesetengah aksi itu telah sebati dalam jiwa mereka, jadi bergaduh dan menendang adalah sebahagian daripada cara mereka ketika membesar.

Tuesday, May 12, 2009

Senario gejala sosial di Malaysia (6)

3.7 Keganasan rumah tangga

Keganasan rumah tangga bukan satu perkara yang baru wujud di negara kita, malah telah lama. Cuma bentuknya yang berbeza dari generasi ke generasi. Ia termasuk penderaan atau penganiayaan terhadap suami, isteri atau anak-anak. Keganasan dalam rumah tangga dapat ditakrifkan sebagai perbuatan yang melibatkan serangan, sentuhan, gangguan, kekejaman mental dan fizikal, penganiayaan seksual atau apa-apa perbuatan pencerobohan atau aniaya.

Jadual 7: Mangsa kes keganasan rumah tanga mengikut negeri dan jantina, 2002-2006

Berdasarkan Jadual 7, golongan perempuan lebih kerap menjadi mangsa keganasan rumah tangga namun trend keganasan turut menunjukkan peningkatan bagi golongan lelaki. Dari hanya 9 kes pada 2002, jumlahnya meningkat menjadi 22 kes pada 2006. Pulau Pinang masih lagi mencatatkan jumlah kes yang tinggi berbanding negeri-negeri lain manakala Melaka dan Selangor menunjukkan bilangan kes yang semakin berkurangan.

Antara punca berlakunya keganasan rumah tangga ialah tekanan hidup dan kaitannya dengan kedudukan kewangan keluarga yang tidak kukuh. Ada kalanya sikap kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri yang saling tidak memahami di antara satu sama lain. Sikap isteri yang suka meminta-minta akan menyebabkan jiwa suami akan merasa tertekan. Bagi mengatasi masalah ini, suami akan menggunakan kata-kata kesat, herdikan atau pukulan untuk mengatasi tekanan.

Kesempitan wang dan tekanan hidup sedikit sebanyak akan memaksa keluarga mencari jalan singkat untuk keluar daripada masalah yang sementara tersebut. Meminjam wang daripada ceti haram atau ‘Along’ dirasakan menjadi pilihan. Akibat tidak mampu membayar balik pinjaman, suami atau isteri takut untuk pulang ke rumah kerana bimbang akan dipukul oleh samseng yang dihantar oleh Along. Bermulalah episod hitam dalam keluarga dengan suami menyalahkan isteri dan isteri menyalahkan suami. Mangsanya ialah anak-anak. Minda anak-anak yang telah dicemari dengan pertelingkahan, pergaduhan dan penderaan bapa ke atas ibu memberi mesej bahawa keganasan dalam rumah tangga adalah satu bentuk hukuman yang diiktiraf dan dibolehkan. Bagi mengatasi masalah ini, keganasan rumah tangga ini wajar dibendung dan diatasi supaya sikap kasih sayang, toleransi dan hormat menghormati akan terus kekal mekar dalam keluarga.

Keganasan rumah tangga dikhuatiri memberi kesan yang lebih besar kepada masa depan anak-anak kerana ia melibatkan penceraian dan pengabaian kasih sayang. Peningkatan kadar penceraian akan menambahkan bilangan golongan ibu tunggal yang perlu diberi perhatian. Keluarga menjadi unit asas dalam institusi sosial. Maju dan mundurnya sesebuah negara berpunca dari institusi keluarga (Mohd Taib, 2005). Institusi keluarga yang rapuh secara tidak langsung telah mengurangkan saiz isi rumah.

Monday, May 11, 2009

Senario gejala sosial di Malaysia (5)

3.4 Jenayah rogol

Rogol bukan hanya menjadi masalah kepada wanita, keluarga atau masyarakat sahaja malah menjadi masalah negara. Kajian menunjukkan majoriti mangsa keganasan seks adalah wanita dan kanak-kanak perempuan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 36 hingga 62 peratus mangsa keganasan seks ini terdiri daripada mereka yang berumur di bawah 15 tahun. Rogol berlaku di seluruh dunia tanpa mengira bangsa, etnik, status ekonomi, agama dan kebudayaan. Di Malaysia, kes rogol dan bunuh berlaku pada semua peringkat umur iaitu dari kanak-kanak hinggalah dewasa. Pada April 2009, akhbar melaporkan seorang gadis yang berusia 17 tahun dirogol bergilir-gilir oleh 15 Mat Rempit di kawasan ladang kelapa sawit Felda Chini, Pekan, Pahang. Kejadian itu berlaku selepas mangsa yang tidak bersekolah mengikut ajakan salah seorang suspek untuk bersiar-siar.

Banyak aspek yang perlu diberi perhatian bagi menyelidiki punca rogol. Dalam hal ini, profail penjenayah mesti diselidiki supaya pihak berkuasa mendapat gambaran lengkap mengenai watak dan jangkaan latar belakang perogol. Profail mangsa rogol juga boleh menjadi data untuk analisis jenis perwatakan, umur dan tingkah laku. Kajian yang dijalan di negara-negara Barat merumuskan perogol adalah orang licik macam belut. Watak mereka adalah ‘faceless’ dan ramai yang tidak menyangka orang tersebut boleh berbuat demikian. Perogol juga tidak terhad kepada kelompok kaum, umur atau pekerjaan. Daripada maklum balas orang ramai khususnya ibu bapa, terdapat ramai remaja yang berkelakuan negatif termasuk membawa kondom ke sekolah. Pelakuan ini selari dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang memandang serius pembabitan pelajar dalam aktiviti jenayah khususnya kes rogol kerana terdedah dengan video lucah. Mereka juga berani melakukan jenayah rogol selain hubungan seksual dengan rakan sebaya.

Dalam beberapa kes, penglibatan mereka dalam jenayah rogol ini bermula seawal usia enam tahun lagi akibat terdedah dengan video lucah ekoran kecuaian ibu bapa. Segelintir ibu bapa gemar menonton video lucah dan
tanpa sedar, anak mereka turut melihat aksi yang sama.

Jenayah rogol amat menakutkan. Ia menjadi musuh kepada kumpulan wanita khususnya kanak-kanak yang mudah menjadi sasaran penjenayah. Kajian-kajian juga mendapati pakaian wanita yang seksi bukan menjadi punca utama berlakunya kes-kes rogol sebaliknya lelaki yang mempunyai dorongan seks (libido) yang besar. Faktor-faktor lain ialah kedudukan ekonomi (tidak mampu berkahwin), tahap pendidikan dan kemahiran kerja yang rendah.

3.5 Pembuangan bayi

Pembuangan bayi adalah jalan keluar kepada remaja yang mengandung di luar nikah bagi menutup malu dan aib keluarga. Keadaan bayi atau janin yang ditemui berbagai-bagai jenis. Contohnya, dalam satu kes, seorang tukang sapu terkejut apabila ketulan yang disangkanya sampah merupakan janin bayi cukup sifat. Janin sebesar tapak tangan itu ditemui terapung dalam loji kumbahan najis di Seksyen 4, Bandar Rinching, Shah Alam.

Menurut Bedu dan rakan (2008), sepanjang tempoh dua tahun sehingga 2006, JKM menerima maklumat sejumlah 145 bayi luar nikah dibuang dan dijumpai di tempat awam atau diserahkan sendiri oleh ibu bermasalah kepada polis. Dari 2000 hingga 2006, sejumlah 580 pembuangan bayi telah dicatatkan dengan 48 daripadanya adalah janin. Perangkaan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman merekodkan 580 kes buang bayi dari 2000 hingga 2007 dengan Selangor dan Johor mencatat kes paling tinggi. Pada 2000, 65 kes dicatatkan di seluruh negara, 2001 (97 kes), 2002 (98 kes), 2003 (92kes), 2004 (78 kes), 2005 (67 kes) dan 2006 (83 kes). Statistik sama turut mencatatkan usia bayi yang dibuang membabitkan dua kategori, iaitu janin dan baru lahir. Bagi janin, 48 kes dilaporkan dalam tempoh 2000 hingga 2006, manakala baru lahir pula 532 kes.

Banyak negara yang sedang berhadapan dengan isu ini. Di Amerika Syarikat misalnya, lebih kurang 40 peratus daripada remajanya hamil luar nikah. Di Malaysia, terdapat pengusaha rumah tumpangan dan hotel bajet yang menyediakan bilik bagi pasangan bukan muhrim bangsa Melayu untuk melakukan hubungan seks dengan pakej RM30 untuk dua jam dan RM50 untuk satu malam berasmara. Akibat kehamilan luar jangkaan ini ramai remaja perempuan bertindak menggugurkan kandungan mereka yang akhirnya menimbulkan komplikasi kesihatan dan kematian. Statistik yang diperoleh oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati 4.4 juta remaja dunia pernah menggugurkan kandungan.

3.6 Kanak-kanak dan remaja lari dari rumah

Mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), kanak-kanak adalah seseorang yang berumur di bawah 18 tahun. Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1996 mentakrifkan seorang kanak-kanak adalah mereka yang di bawah 14 tahun. Dalam Akta Pengangkatan 1952, kanak-kanak didefinisikan mereka yang berumur 21 tahun ke bawah. Bagi remaja pula, tidak terdapat definisi khusus secara perundangan. Walaupun setiap akta ini tidak menjelaskan peringkat umur tertentu, secara umumnya dalam memperkatakan masalah kanak-kanak dan remaja, golongan yang perlu ditumpukan adalah yang berumur di bawah 21 tahun dan majoritinya masih dalam alam persekolahan. Di Malaysia, golongan remaja merangkumi hampir separuh daripada keseluruhan penduduk yang ada. Buletin Perangkaan Sosial Malaysia 2007, jumlah penduduk di bawah umur 19 tahun adalah 11.3 juta orang iaitu 41.5 peratus daripada jumlah penduduk.

Ketika proses pembangunan yang semakin pesat dan dunia yang merentasi sempadan, golongan muda pada hari ini menerima pelbagai jenis maklumat yang menerobos budaya, akal fikiran dan pembentukan fizikal mereka. Pendedahan yang berterusan ini telah mencetuskan budaya yang tidak sihat seperti pergaulan bebas, jaringan rakan yang lebih meluas, hedonisme dan hidup mewah. Pengaruh ini memberi kesan kepada pembentukan jati diri mereka dan tidak akan mampu untuk menghadapi cabaran yang sedia ada. Justeru apabila berhadapan dengan konflik diri dan keluarga, ada dalam kalangan mereka yang terlalu kecewa dan mencari penyelesaian secara tergesa-gesa dan menyusahkan diri sendiri.

Kes lari dari rumah sedang berada pada tahap yang membimbangkan kerana liputan media massa mengenai kes ini sentiasa berlegar-legar dalam masyarakat. Polis Diraja Malaysia melaporkan bahawa jumlah orang berumur di bawah 18 tahun yang hilang adalah 6,270 dari 2004 hingga Mei 2007. Mereka yang paling ramai berumur 14 hingga 17 tahun iaitu 5,251 kes. Sejumlah 322 kes bagi kategori bawah 9 tahun dan 697 kes bagi umur 10 hingga 13 tahun sepanjang tempoh berkenaan. Jumlah remaja perempuan ialah 4,620 berbanding lelaki iaitu 1,650. Keadaan ini seharusnya mendapat perhatian daripada semua pihak kerana golongan ini berisiko tinggi untuk terbabit dalam gejala sosial dan menjadi mangsa kepada keganasan dan penderaan. Daripada 3,246 kes orang hilang pada 2007, seramai 71 orang ditemui mati. Pada 2005, sejumlah 71 daripada 4,103 orang yang hilang telah ditemui mati dan lima daripadanya disahkan dibunuh.

Sunday, May 10, 2009

Senario gejala sosial di Malaysia (4)

3.3 Lumba haram dan Mat Rempit

Sejak akhir-akhir ini kegiatan pelumba haram motosikal ataupun dikenali sebagai ‘Mat Rempit’ mendapat perhatian daripada masyarakat. Malah terdapat sebuah filem yang menceritakan kisah Mat Rempit ini dan mendapat sambutan. Filem ‘Remp-It’ ini menambah lagi keprihatinan khalayak untuk mengetahui kewujudan golongan remaja dan belia yang rata-ratanya anak muda dan cukup sempurna fizikalnya.

Istilah Mat Rempit telah dipopularkan oleh media. Perkataan ‘Rem’ adalah perlakuan memulas pedal tangan pada motosikal bagi memerah minyak sebagai aksi memecut. Semakin kuat pulasan, semakin lajulah motosikal berkenaan. Si Rempit akan bersorak jika dapat memecut dan memintas rakan-rakan yang lain. Manakala ‘Pit’ adalah dari perkataan ‘pit stop’ yang ada di litar lumba. Gabungan perkataan ini membentuk ‘Rempit’ yang menggambarkan pelumba motosikal melakukan pelbagai aksi kreatif, menarik dan membahayakan. Antara aksi-aksi tersebut ialah ‘wheelie’ (menunggang laju sambil mengangkat tayar hadapan), ‘wikang’ (menunggang sambil mengangkat tayar belakang), ‘scorpion’ (menunggang motosikal sambil kaki menghala di bahagian atas), ‘superman’ (menunggang laju sambil berbaring mendepakan tangan), ‘pereng/corner’ (bahagian meletak kaki bergesel di atas jalan raya semasa membelok di selekoh). Mat merujuk kepada pelaku atau penunggang motosikal ini. Perkataan baru yang boleh dipopularkan ialah ‘merempit’ yang bermaksud melakukan aksi lumba motosikal dan boleh mendatangkan mudarat kepada penunggang dan pengguna jalan raya yang lain.

Kajian oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Malaysia mendedahkan 87 peratus Mat Rempit adalah golongan yang berusia 14 hingga 25 tahun. Bosan adalah faktor utama mereka merempit (48.1 peratus) diikuti mengisi masa lapang (38 peratus) dan pengaruh kawan (27.8 peratus).

Jumlah tangkapan pelumba haram yang dilaporkan semakin bertambah setiap tahun. Dari tahun 2001 hingga 2004, jumlah tangkapan yang dilakukan oleh PDRM adalah sebanyak 5,332 kes di seluruh Malaysia. Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 1,041 kes (Jadual 5). Dari tahun 2006 hingga Mac 2009, pihak polis telah melakukan 7,989 operasi sekatan jalan raya ke atas Mat Rempit dan menahan 2,609 penunggang motosikal dan 2,431 telah didakwa. Dalam satu operasi pencegahan yang dijalankan didapati kebanyakan yang ditahan dalam lingkungan umur 16 hingga 28 tahun.

Mat Rempit menjadi beban sosial kepada masyarakat dan negara. Beban kepada diri mereka sendiri adalah perilaku jenayah apabila dikaitkan dengan kematian dan mendatangkan kecederaan. Sehingga kini beberapa kes kematian melibatkan pelumba haram motosikal termasuk kes bergaduh dan berakhir dengan kematian Mat Rempit Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Di Pulau Pinang pula, sekumpulan Mat Rempit membaling batu ke arah Balai Polis Kubang Semang kerana tidak puas hati dengan tindakan polis menahan dua orang rakan mereka yang sedang merempit.

Jadual 5: Statistik pelumba haram yang ditangkap, 2001-2004

Mat Rempit diberikan imej negatif kerana tindakan mereka dan kegiatan jenayah yang lain seperti ragut, minum arak, berzina, tingkah laku ganas dan menghisap dadah. Awal-awal lagi kriteria Mat Rempit adalah gambaran yang negatif dan buruk. Ini memberi mesej bahawa Mat Rempit memberi dan membawa masalah. Rata-rata mereka yang merempit berumur 16 hingga 25 tahun kerana peringkat umur ini kebanyakannya masih bujang. Majoriti adalah lelaki dan pelbagai latar belakang keluarga. Kegiatan merempit akan berkurangan setelah mereka yang terlibat berkahwin dan beranak-pinak.

Kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) ke atas aktiviti lumba haram dalam kalangan 173 orang belia yang terlibat mendapati 53.7 peratus daripada mereka tinggal bersama ibu bapa sendiri, 28 peratus pula tinggal bersama rakan atau saudara mara dan 10.4 peratus tinggal bersama salah seorang ibu atau bapa mereka. Selain itu, sebanyak 6.9 peratus tinggal bersama keluarga sendiri (yang telah berkahwin) dan selebihnya 0.6 peratus tinggal bersama ibu atau bapa tiri (Jadual 6). Dapatan ini bertepatan dengan hasil penyelidikan yang dijalankan oleh Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia iaitu ‘Family Transformations in the Context of Changing Trends in Women’s Work and Lifestyle in Malaysia’ yang mendapati isu dan masalah dalam rumah tangga lebih kerap berlaku terhadap pasangan atau keluarga yang tinggal di kawasan bandar berbanding luar bandar. Antara masalah utama yang dikenal pasti ialah suami tidak memberi keperluan ekonomi, keganasan rumah tangga dan anak-anak terlibat dengan kegiatan yang tidak diingini.

Jadual 6: Tempat tinggal pelumba haram


Kehadiran Mat Rempit adalah simptom kecil daripada penyakit utama yang lebih besar. Keadaan jiwa mereka yang sentiasa bergelora dan ingin memenuhi pelbagai impian. Banyak perkara yang mahu dicapai dan dimiliki. Ketika peringkat inilah, mereka terdedah kepada bermacam-macam tarikan seperti hiburan dan fesyen serta sukan yang ada baik dan buruknya. Pendedahan dan tarikan yang kuat serta berterusan mempengaruhi hati, pemikiran dan sikap remaja terhadap hidup. Aspirasi terhadap hidup juga rendah umpamanya tidak ada perancangan masa depan, berserah kepada nasib dan kurang berusaha untuk membaiki diri.

Saturday, May 09, 2009

Ferrum Phosphoricum

Penawar ini adalah sebahagian daripada sel darah merah yang membantu mengagihkan oksigen ke seluruh tubuh. Seringkali digunakan sebagai penawar demam untuk menggantikan Aconite dan Gelsemium. Schussler mencadangkan Aconite digantikan oleh Ferrum Phos untuk semua peringkat awal keradangan sebelum keadaan menjadi lebih teruk (peringkat kedua; Kali Chloratum). Pengalaman kritikal mengesahkan kenyataan Schussler tersebut. Ferrum Phos berguna untuk merawat:

-Permulaan radang sebelum menjadi lebih teruk; dengan panas, berdenyut-denyut.
-Dahaga; peluh tetapi tidak melegakan sakit yang dialami.
-Radang mukus; discaj bercampur darah; buasir berdarah, haid gantian (hidung berdarah).
-Radang saluran pernafasan; sesak nafas, batuk berdarah, batuk dengan rasa gatal di trakea dan bronchi, sakit dalam paru-paru (batuk-batuk dan sukar bernafas). Bendalir mukus dari telinga dengan tanda keradangan.
-Kembung perut
-Taun pada bayi
-Morning sickness
-Permulaan berak berdarah dengan najis merah berdarah tanpa mengalami tenesmus (sakit semasa berak).
-Demam, berpeluh ketika dalam cuaca panas.
-Sistitis (inflasi pundi kencing) dengan demam.
-Kanak-kanak menahan kencing dan demam.
-Ovaritis (radang ovari sama ada di permukaan atau dalam organ), ovari menyucuk-nyucuk mengikut arah satu saraf.
-Faraj kering
-Senggugut dengan muka panas dan berdenyut-denyut disertai muntah dan perut memulas-mulas.

Patologi: Anaemia; abses (penawar awal); arthritis (penawar pertama dan sakit bila bergerak); batuk berkahak; keradangan pada buah pinggang; buasir; campak; cirit-birit; demam; kencing manis (sakit, panas); radang kalenjar; haid dengan cirit-birit; sakit kepala; hidung berdarah (darah merah cerah); kerongkong merah (sesak dan rasa terbakar); tonsil merah dan radang; muntah bau masam; selesema dengan demam atau hidung berdarah; rheumatik dan demam.

Senario gejala sosial di Malaysia (3)

3.2 Penagihan dadah

Penagihan dadah sering dikaitkan dengan kes jenayah sama ada kecil ataupun besar. Daripada kes mencuri kasut di masjid, lumba haram hinggalah memeras ugut dan membunuh ibu bapa sendiri. Statistik penagih dadah di Malaysia bagi tempoh 1988 hingga 2005 yang dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (ADK), jumlah penagih dadah terkumpul bertambah dari 289,763 pada tahun 2005 kepada 292,696 orang sehingga Mac 2006. Peningkatan ini adalah sebanyak 1.32 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2005. Bilangan penagih ini menyumbang 1.1 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia. Statistik ADK menyatakan secara purata 2,334 rakyat Malaysia terlibat dengan penagihan dadah setiap bulan dan bagi setiap 29 minit akan muncul seorang penagih baru. Daripada jumlah 32,808 yang menagih dadah bagi tahun 2005, sebanyak 97.97 peratus terdiri daripada lelaki berbanding perempuan iaitu 2.03 peratus (Jadual 2).

Jadual 2: Penyalahgunaan dadah di Malaysia berdasarkan jantina, 2005

Penagih dadah terdiri daripada pelbagai latar belakang. Pengaruh yang kuat ialah rakan sebaya yang dilihat menjadi faktor penarik seseorang terpengaruh dengan penagihan dadah. Berjinak-jinak dengan rokok, ingin merasai nikmat ‘stim’ dan mencari kepuasan adalah antara ruang-ruang yang menjurus kepada penagihan dadah yang juga dikira sebagai kes baru. Bagi kes berulang, tidak ada daya tahan yang kuat, menyendiri dan kerap menerima tohmahan menjadikan mereka kembali menagih.

Jadual 3: Penagih dadah baru dan berulang, 2003-2005

Dalam Jadual 3 menunjukkan secara keseluruhannya, bilangan tangkapan penagih baru telah menurun namun kes penagih berulang telah meningkat. Secara perbandingannya, tangkapan kes penagih baru berlaku penurunan dalam kalangan orang Melayu, Cina dan India. Secara relatifnya, bilangan keseluruhan kes ini masih didominasi oleh kaum Melayu dengan nisbah 2:3. Didapati penagih berulang dalam kalangan bumiputera Sabah dan Sarawak berkurangan. Daripada sejumlah 3,017 orang penagih dadah pada 2004 hanya 626 orang sahaja penagih yang berulang.

Bagi tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, bilangannya semakin meningkat dari setahun ke setahun. Dari tahun 1998 hingga 2007, jumlah tangkapan ialah 69,500 dengan tahun 2007 mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu 53,493 (Jadual 4).

Dadah merupakan musuh utama negara. Kerajaan Malaysia pernah melancarkan perang terhadap kegiatan dadah ini dan mengenakan hukuman gantung sampai mati ke atas pengedar yang didapati bersalah. Hukuman ini dianggap sebagai antara yang paling tegas di dunia tetapi pertambahan kes penagihan berulang dan baru masih menunjukkan peningkatan. Dianggarkan pada tahun 2015, jumlah penagih dijangka meningkat kepada 443,000.

Kedudukan Malaysia yang hampir dengan segitiga emas pengedaran dadah di Indochina, menjadikan usaha pembasmian dadah lebih sukar. Namun begitu, usaha kerajaan yang tidak pernah berputus asa memberi pemulihan, pencegahan dan pengawalan ke atas penagih, pengedar dan pensubahat sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada masyarakat untuk membantu kerajaan melalui pelbagai program yang dirancang.

Jadual 4: Tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, 1998-2007

Selain isu dadah dalam negara, operasi pengedaran dadah turut melibatkan sindiket antarabangsa yang menyasarkan wanita tempatan. Kementerian Luar Negeri mendedahkan jumlah tahanan rakyat Malaysia sejak tahun 2002 hingga April 2008 adalah seramai 121 orang. Daripada jumlah ini, 71 orang adalah wanita yang berusia 20 hingga 30 tahun. Pada 2002, hanya dua orang yang ditahan, kemudian meningkat enam orang pada 2004, turun sedikit kepada empat orang pada 2006 namun meningkat mendadak kepada 80 orang pada 2007.

Mereka ditahan dalam penjara di Brazil, Jepun, China, Australia, New Zealand, India, Itali, Vietnam, Kemboja, Trinidad & Tobago, Sepanyol, Peru, Argentina dan Venezeula. Kebanyakan mangsa terjebak dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa mudah tertarik dengan tawaran gaji lumayan. Modus operandi ialah membawa mangsa melawat tempat-tempat terkenal sebelum diarah membawa dadah yang diisytiharkan barang berharga. Perjalanan ke negara ketiga ini biasanya menggunakan beberapa transit. Sindiket mencari mangsa melalui pelbagai cara termasuk rakan sosial, internet dan perkenalan singkat. Golongan yang diperdaya biasanya adalah mereka yang aktif bergaul, boleh berbahasa Inggeris dan berpenampilan menarik.

Salah seorang daripada mereka ialah Umi Azlim Mohamad Lazim, 24 tahun yang sedang merengkok dalam penjara di China. Masalah ini jika tidak ditangani segera dikhuatiri akan lebih ramai wanita yang terpedaya. Kesan yang lebih besar ialah imej negara sebagai pusat rekrut pengedaran dadah antarabangsa dan menjejaskan hubungan diplomatik negara dengan negara-negara yang terlibat.