Thursday, October 31, 2013

Fatimah besarkan 16 anak






oleh Noor Fazrina Kamal


Kini segala pengorbanan Fatimah berbalas apabila kesemua 16 anaknya berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti dan menyandang jawatan penting dalam sektor swasta mahupun kerajaan.

"Ibu saya berkahwin dengan ayah, Ismail Abdullah pada Januari 1967. Ketika itu usia ibu 17 tahun manakala ayah 34 tahun.

"Mereka kemudiannya menetap di Kampung Padang Bongor, Kota Bharu, Kelantan dan ayah saya berkhidmat sebagai imam di masjid kampung tersebut ," cerita anak ke-11 Fatimah, Mohd. Yazid Ismail, 29, ditemui di Bandar Seri Putra, Selangor, baru-baru ini.

Sebelas orang anak Fatimah memasuki universiti tempatan, manakala lima lagi di universiti luar negara.


Anak sulungnya, Lokman, 45, merupakan setiausaha politik kepada seorang tokoh terkenal, manakala anak kedua, Mohd. Azmi, 44, (penceramah motivasi), Mohd. Jurik, 42, (pegawai kerajaan), Mohd. Sabri, 41, (seorang hakim), Mohd. Khairul Bahri, 39, (guru) dan Mohd. Rusli, 38, (pensyarah).

Diikuti Khairul Anuar, 35, (ejen takaful), Mohd. Juneed, 34, (guru), Mohd. Shahruddin, 32, (ahli perniagaan), Mohd. Abdul Hadi, 31, (guru), Mohd. Yazid, 29, (perunding kewangan), Siti Sarah, 28, (guru), Siti Aisah, 27, (ahli perniagaan), Siti Zakiah, 25, (menuntut di Universiti Islam Antarabangsa), Radiah, 23, (pelajar Kolej Universiti Insaniah) dan Nur Suhaila, 21, (pelajar Universiti Sains Islam Malaysia).

Daripada kesemua anak pasangan tersebut, 14 sudah berkahwin dan kini cucunya mencecah 60 orang.

Ujian yang dilalui

Menurut Mohd Yazid lagi, sekitar tahun 1990-an, kerjaya sebagai imam di Kelantan tidak bergaji sebaliknya hanya diberi elaun berjumlah kurang daripada RM300.

Bersandarkan wang elaun tersebut ayahnya menyara keluarga dalam serba kekurangan. Mereka tiada tanah untuk bercucuk tanam dan hanya mampu menyewa tanah orang kampung untuk bertani bagi menambah rezeki.

"Abang-abang saya walau masih bersekolah semua membantu ayah bertani dan hasil sayur dijual keliling kampung.

"Pada tahun 1991 ketika emak mengandung adik bongsu ayah pula diserang strok dah lumpuh. Ayah terpaksa berhenti kerja.

"Emak saya yang ketika itu sarat mengandung terpaksa mengambil alih tugas ayah menyara kami adik-beradik yang masih kecil dan pada masa sama menjaga ayah yang lumpuh.

"Tiada duit pencen yang kami terima sekadar duit ehsan daripada pihak masjid berjumlah RM150 sebulan. Pada waktu itu seorang abang sahaja yang sudah bekerja manakala yang lain masih di sekolah dan universiti.

"Cuba bayangkan macam mana emak nak sara ayah yang lumpuh dan 15 anak dengan RM150," imbas Mohd. Yazid mengimbau kisah lama.

Menurut Mohd. Yazid, ketika itu wang simpanan langsung tidak ada, jadi walaupun masih sekolah semua anak-anak terpaksa berkerja bagi mencari duit.

"Macam-macam kerja kami lakukan lepas waktu sekolah. Bertani, mengambil upah membersihkan reban ayam, kutip botol, tin serta besi buruk untuk dijual dan sebagainya.

"Kadang-kadang kami naik basikal sejauh 12 kilometer untuk balik ke kampung ibu di Bachok semata-mata untuk menangkap ikan di sawah bagi dibuat lauk.

"Tiada bantuan kewangan khusus kami terima dari mana-mana agensi, hanya sekadar bantuan persekolahan yang bersifat sekali sekala.

Nasi tanpa lauk

"Makanan kami juga kadang-kadang tidak cukup. Makan nasi tanpa lauk sudah jadi kebiasaan. Sekadar nasi campur air, garam dan sedikit gula sudah memadai. Mujur di sekolah ada rancangan makanan tambahan, dapatlah kami rasa makan yang sedap secara berterusan," cerita Mohd. Yazid lagi.

Walau keadaan hidup begitu susah, menurut Mohd. Yazid, tidak pernah sekalipun ibunya berhenti berjuang mahupun mengaku kalah dalam membesarkan anak-anaknya.

Ibunya juga jarang berkeluh-kesah di hadapan anak-anak, biarpun menurut Mohd. Yazid, beberapa kali dia melihat ibunya menangis mungkin kerana tidak tertahan menanggung keperitan hidup.

"Kami anak-anak yang masih kecil ketika itu hanya boleh menahan sedih melihat keadaan emak.

"Ketika itu memang tidak banyak yang boleh kami bantu, malah untuk angkat ayah yang lumpuh untuk dimandikan pun susah. Mujur abang-abang di sekolah menengah banyak tolong dengan penuh kesabaran tetapi apabila mereka masuk universiti, tinggal kami yang kecil-kecil sahaja di rumah," jelasnya.

Sehingga tahun 2001, ibunya masih memasak menggunakan dapur kayu api. Bukan tidak ada dapur gas tetapi mahu menjimatkan wang daripada membeli gas.

Kalau bekalan kayu api berkurang, mereka adik beradik akan masuk hutan mencari kayu api. Ketika itu tiada lagi orang kampung yang mengutip kayu api, hanya keluarganya sahaja.

"Emak pula pegang prinsip tidak akan hutang duit orang. Hidup dengan sekadar apa yang ada. Alhamdulillah, beban emak sedikit ringan apabila abang-abang di universiti mengirim duit biasiswa masing-masing untuk adik-adik di kampung.

"Pernah abang saya cerita, dia sanggup ikat perut semata-mata untuk hantar duit ke kampung," imbas Mohd. Yazid sambil memberitahu bapanya telah meninggal dunia pada tahun 2000 akibat penyakit yang dihidapi.

Solat berjemaah

Sepanjang ingatan Mohd. Yazid, semasa bapanya masih hidup dan sihat, dia tidak pernah bertanya tentang pencapaian anak-anak di sekolah kerana bapanya lebih mengutamakan solat berjemaah di masjid.

"Arwah ayah selalu pesan, 'tidak guna belajar tinggi dan pangkat tinggi tapi solat jemaah tidak dijaga. Arwah ayah memang sangat menekankan pendidikan agama dan praktikalnya.

"Justeru, walaupun kami masa masih bersekolah dan sangat sibuk dengan mencari duit tapi kami tetap ke masjid solat jemaah. Kami cuma dapat belajar ketika di sekolah sahaja kerana di rumah kami sibuk dengan kerja dan mengasuh adik-adik yang masih bayi. Namun, syukur semuanya kini cemerlang dalam pelajaran.

"Apa pun saya tidak pernah lupa pesanan emak. Katanya, bagi mendapat keluarga yang bahagia di dunia dan akhirat berilah penekanan pada pendidikan agama terutamanya solat. Anak-anak lelaki mesti dibiasakan dengan solat jemaah," katanya mengakhiri bicara.

(Utusan Malaysia, 31 Oktober 2013)


 

Monday, October 28, 2013

Sejarah awal Matri





Penulis: Ghazali Saad
Tahun: 2013
Penerbit: Sawahijao Enterprise, Arau, Perlis.
Muka Surat: 76


Sejak 1987, Ma'had AtTarbiyah Al-Islamiyah atau singkatannya, Matri, telah melalui liku-liku pengalaman dan perkembangan yang berselirat antara cabaran dan harapan. Kelompok pertama Matri lahir di kelas Marhalah Khassah ketika bangunan blok surau masih belum siap sepenuhnya dan gotong-royong pembinaannya dilakukan setiap hari Jumaat.

Pengalaman bersama pengetua dan guru-guru pada peringkat awal membantu kelompok pertama ini mendapat ilmu pengetahuan, ilmu agama, tunjuk ajar pengurusan, suasana berkebun dan membiasakan diri dengan tanggungjawab. Program usrah, ijtimak, tamrin dan rehlah menjadi tali pengikat yang kuat sesama pelajar dan tenaga pengajar untuk membina Matri.

Buku karya Cikgu Ghazali Saad menjadi rujukan penting bagi kita untuk mengenali pendidikan Islam yang menggabungkan ilmu dunia dan akhirat. Beliau menegaskan bahawa memahami sejarah dan perkembangan Matri akan dapat menjelaskan falsafah dan pelaksanaan pendidikan Matri, melihat sejauh mana pencapaiannya, melakar masa hadapan dengan mengambil iktibar daripada kejayaan dan kelemahan yang telah dilalui. Ia juga boleh menjadi panduan institusi pendidikan lain untuk menjadikan pendidikan sebagai wasilah pembangunan insan. 

Justeru, dalam buku ini Cikgu Ghazali berkongsi pengalamannya melihat pembangunan Matri dari peringkat awal sehinggalah dikenali pada hari ini. Antara pengalaman terpenting ialah faktor penubuhan Matri yang berpasikan iman dan tauhid kepada Allah swt di samping dorongan yang kuat daripada sekelompok masyarakat yang prihatin dengan tarbiyah Islamiah. Mereka inilah yang mencetuskan perubahan dalam paradigma masyarakat bahawa pelaksanaan Islam boleh dilakukan melalui tarbiyah yang diinstitusikan.

Cikgu Ghazali berusaha mendapatkan maklumat yang tepat daripada pelbagai sumber yang menambah kredibiliti dan kewajaran buku ini kerana mendapatkan maklumat daripada sumber primer amat berharga dalam proses kajian sejarah.

 

Thursday, October 24, 2013

Mati hari-hari




Kebahagiaan jadi pilihan kita untuk hidup


Belum sempat berbual panjang tentang kematian seorang remaja perempuan yang ditemui dalam beg pakaian, kematian terbaru melibatkan seorang pegawai bank yang dibunuh dalam bank tempatnya bekerja. Paling terbaru ialah amukan seorang pemuda yang membunuh dua orang. Agaknya, esok dan lusa siapa pula yang akan menjadi mangsa?

Jenayah dilaporkan setiap hari dan memberi implikasi besar ke atas kehidupan masyarakat. Penduduk seramai 28 juta orang, Malaysia sudah berhadapan dengan pelbagai jenayah yang sewajarnya tidak boleh berlaku. Jenayah kita melibatkan pembunuhan dan kematian, gengsterisme, rogol, dadah, rompak dan menipu jutaan ringgit.

Kita harus berfikir ke arah mana pemimpin-pemimpin negara hendak membawa negara ini. Jika 15 tahun lalu jarang kita dengar kejadian begini, tetapi hari ini sudah menjadi biasa. Perompak tidak takut untuk merompak di siang hari, pencuri tidak takut untuk mencuri apa sahaja di hadapan mata dan perogol tidak takut 24 sebatan yang dikenakan ke atasnya.

Kes jenayah yang melibatkan kematian berlaku setiap hari. Suasana ini sangat membimbangkan kerana masyarakat berasa tidak selamat untuk keluar dari rumah, bekerja dan mengadakan aktiviti sosial disebabkan tidak ada jaminan keselamatan diri.

Merungkai kejadian jenayah perlukan penyelesaian menyeluruh yang bermula dari punca kepada jenayah berkenaan. Melihat kepada trend kematian yang berlaku, sebab-musabab kejadian boleh dinyatakan berpunca daripada perancangan negara yang kurang berkesan dalam aspek ekonomi, pendidikan dan sosial. ketiga-tiga faktor ini menjadi asas kepada kepincangan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, jurang pendapatan dan perbezaan taraf pendidikan.

Negara-negara yang mempunyai tahap pendapatan ekonomi yang lebih tinggi kurang berhadapan dengan kejadian jenayah yang tinggi, namun pada masa yang sama, negara yang memiliki tahap pendapatan yang hampir sama dengan Malaysia juga mempamerkan kes-kes jenayah yang jauh berkurang kerana keberkesanan hukuman dan undang-undang. Arab Saudi sebagai contoh, pelaksanaan undang-undang jenayah syariah menjadikan negara itu lebih selamat dan bersedia dengan pelbagai isu jenayah.

Dari segi pendidikan, Malaysia memberi sepenuhnya galakan untuk setiap kanak-kanak belajar di peringkat awal dan peluang yang lebih luas di peringkat sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.

Justeru melihat kepada trend jenayah dan penglibatan golongan penjenayah ini, lebih banyak usaha yang diperlukan untuk memastikan masyarakat tidak berasa takut atau bimbang semasa melangkah kaki keluar dari rumah.

    

Tuesday, October 22, 2013

Pembangunan usahawan muda di Brunei





Deretan gerai jualan usahawan kecil yang berpotensi maju
di Pantai Serasa, Muara, Brunei


Komuniti usahawan kecil di Brunei semakin berkembang. Kelompok muda turut menceburkan diri dalam dunia bisnes bagi memenuhi keperluan era moden khususnya penglibatan dalam teknologi maklumat atau IT.

Namun terdapat kelompok lain yang masih mencuba untuk menjual, baru berjinak-jinak dengan bisnes dan mulai tumbuh minat untuk menyesuaikan diri dengan pemikiran usahawan. Mereka muncul ketika ada majlis dan perayaan peringkat kebangsaan atau setempat seperti menyambut hari ulang tahun keputeraan sultan ataupun bazar ramadhan.

Kemudahan membuka ruang perniagaan dalam skala kecil diberi bantuan dan kemudahan oleh kerajaan Brunei seperti jualan mingguan di laluan sebelah Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan. Sambutannya dilihat kurang menggalakkan kerana persekitarannya tidak menyokong pengguna untuk ke situ. Gerai-gerai jualan turut menjual barang yang boleh didapati di pasar raya seperti Hua Ho, Giant ataupun Supa Save.

Namun keadaanya jauh berbeza dengan suasana hari minggu di Pantai Serasa, Muara. Deretan kereta yang diletakkan di kiri dan kanan laluan menunjukkan ramai orang datang ke sini. Sepanjang jalan terdapat gerai yang menjual berbagai-bagai jenis barangan keperluan rumah, haiwan peliharaan, makanan dan minuman, pakaian dan aksesori kereta. Penjual terdiri daripada usahawan-usahawan segera yang ada minat menjual dan sekelompok usahawan muda yang kebanyakannya wanita dilihat agak malu-malu dengan sapaan pembeli.

Situasi ini sangat menarik kerana kehadiran bakat-bakat muda ini mampu mengubah paradigma mereka terhadap perniagaan. Dengan keberanian menggantungkan pakaian, kikik (layang-layang), menyediakan burger atau coconut shake, mereka belajar budaya bisnes yang sebenar.

Menarik pelanggan ke gerai juga perlukan persaingan justeru, ada usahawan muda yang sanggup menyediakan kain rentang dan pemidang yang kreatif sebagai permulaan ke arah keusahawanan mikro di Brunei.

Usahawan-usahawan muda ini tentu bergerak sendiri di samping galakan daripada keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan. Keberanian berniaga perlukan sokongan yang beterusan kerana sudah ramai yang kecundang dalam perniagaan kerana tidak sanggup menghadapi risiko.

Keadaan mereka ini jauh bezanya dengan peserta yang menyertai program LiveWIRE anjuran sebuah syarikat minyak. Peserta program ini dipilih dan diberi didikan yang lebih bersistematik dengan galakan  yang maksimum. Keadaan usahawan muda di Pantai Serasa tentu tidak sebaik ini. Mereka perlu berfikir sendiri untuk mencari dana, memilih lokasi yang sesuai dan paling penting ialah jenis perniagaan yang diceburi. Mereka juga tidak ada pelan perniagaan kerana yang ada adalah terus  saja berjual.

Justeru ada yang menjual tudung, pakaian bundle, jagung bakar, bunga dan aksesori pakaian. Melihat kepada jenis perniagaan yang dipilih, boleh diagak mereka ini memiliki modal yang sangat terhad tetapi inspirasi yang sangat hebat untuk menjadi usahawan.


Premis perniagaan yang boleh dikembangkan


Kerajaan Brunei wajar menggunakan peluang ini untuk melatih dan membimbing usahawan-usahawan muda berdikari dan memupuk perniagaan mereka supaya berkembang. Oleh kerana kadar pengangguran yang bertamba dan ruang kerja yang terhad, program pembangunan keusahawanan khusus kepada bakat-bakat muda harus diberi perhatian. Agensi seperti Brunei Industrial Development Authority (BINA) boleh meneruskan aktiviti pembangunan usahawan dalam skala kecil yang berfokus.

Kursus dan pendedahan dalam pelbagai peringkat keusahawanan boleh diperkenalkan supaya usahawan muda ini dapat memberi tumpuan memajukan bidang perniagaan mereka daripada berfikir untuk kerja makan gaji.

Begitu juga dengan kemudahan mendapat tunai daripada agensi bantuan modal termasuk bank, koperasi dan TAIB boleh menggembling sumber membentuk usahawan muda yang kental dan dapat melebarkan sayap perniagaan ke luar negara. Kita juga ingin melihat syarikat-syarikat seperti Adinin Group of Company, Mashhor Group of Company atau NBT Brunei yang telah berjaya dalam negara dapat berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka dengan usahawan muda supaya minat dan dorongan ke arah kecemerlangan bekerja sendiri dapat disuburkan.

Polisi yang mesra usahawan muda wajar menjadi pertimbangan kerajaan Brunei sebagai satu kaedah menurunkan kadar pengangguran dan galakan bekerja sendiri. Walaupun pasaran Brunei secara relatifnya kecil, pendidikan yang berkualiti boleh menjamin perubahan paradigma golongan muda untuk memajukan pelbagai jenis industri tanpa bergantung sepenuhnya kepada minyak dan gas.

 

Monday, October 21, 2013

Eat that Frog






Penulis: Brian Tracy
Tahun: 2013
Penerbit: PTS Profesional Publishing Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor, Malaysia
Muka Surat: 125
Penterjemah: Latifah Ulfa Ismail

Ulasan buku ini saya ambil daripada penterjemah yang memberi ulasan bernas.


Ketika diberi tugasan ini, saya amat tertarik dengan tajuknya yang berkaitan dengan katak. Apa perlunya makan katak kerana katak adalah seekor haiwan yang hodoh dan tidak menyelerakan. Mengapa kita perlu makan katak dan kaitannya dengannya hidup kita?

Rupa-rupanya, katak merupakan simbolik kepada tugas, tanggungjawab dan amanah yang perlu diselesaikan. Hanya kita yang mampu menyelesaikannya. Malangnya, kita selalu mengabaikannya wlaupun kita tahu ia penting kepada kerjaya kita. Pelbagai alasan untuk menangguhkan kerja. Namun alasan utama ialah kerana kita tidak tahu bagaimana mahu melakukannya.

Jelas sekali buku ini bukan berkaitan dengan makan katak tetapi menerangkan bagaimana kita dapat melakukan kerja tanpa bertangguh.

Terdapat 21 perkara yang disediakan oleh penulis sebagai menu utama buku ini. Ia bermula dengan "kemaskan meja" dan berakhir dengan "buat tugas satu per satu" yang disembahkan dalam bentuk yang ringkas tetapi mudah difahami.

Di kulit belakang buku terdapat pandangan Mark Twain yang berbunyi,
 
"Sekiranya kamu perlu makan seekor katak pada setiap pagi, kamu perlu bersyukur
kerana itulah perkara terbutuk yang mungkin berlaku pada hari itu".

Selepas itu terdapat dua peraturan bagaimana memakan katak. Peraturan pertama ialah "Sekiranya kita perlu makan dua ekor katak, makanlah yang paling hodoh dahulu". Maksudnya ialah sekiranya kita mempunyai dua tugas penting, mulakan dengan yang paling besar, paling penting dan paling susah dahulu. Disiplinkan diri kita bagi memulakan tugas itu serta-merta. Siapkan tugas itu terlebih dahulu sebelum memulakan tugas yang lain.

Peraturan kedua ialah "Sekiranya kita perlu makan seekor katak hidup-hidup, makanlah dengan segera. Tiada gunanya sekadar duduk dan merenung katak itu lama-lama". Maksudnya ialah selesaikan tugas yang paling penting pada setiap pagi. Itulah kunci kepada prestasi yang paling hebat dan produktiviti tertinggi. Jadikan "makan katak" sebagai rutin harian sebelum melakukan perkara lain. Jangan fikir panjang untuk "makan katak" dan jangan bertangguh melakukan tugas yang penting.

Mendapatkan sebuah buku yang menarik dan ringkas ini tentu dapat memberi inspirasi baru dalam tindakan kita untuk melakukan perubahan hidup. Ramai yang suka menangguhkan kerja dan buku ini, tidak syak lagi, amat bertepatan dengan mereka.

Saya syorkan buku ini menjadi bahan perbincangan untuk kakitangan organisasi bergerak lebih aktif dan dinamik.

 

Saturday, October 19, 2013

Ambuyat nyaman





Menu Ambuyat


Ambuyat merupakan makanan tradisi masyarakat Brunei. Penyediaan ambuyat tidaklah sukar. Menu utama ialah sagu, sayur, ikan atau daging. Sambalnya juga boleh dipilih. Jika tidak bersedia dengan sagu, kita boleh minta nasi sebagai pilihan.

Ambuyat dijadikan menu utama di kebanyakan restoran di Brunei khususnya Restoran Aminah Arif Kampung Serusop.

Cara makan ambuyat juga ringkas. Kita disediakan pinggan dan penyepit. Fungsi penyepit adalah mengait-ngait sagu supaya berbentuk gumpalan kecil yang boleh dicicah dengan sambal. Dalam piring tadi bolehlah dimasukkan sayur, ikan atau daging dan dimakan bersama-sama dengan sagu.

Bagi yang kali pertama mencuba ambuyat, tentulah dirasakan masakan ini agak aneh, namun belum cuba belum tentu kerana cita rasa ambuyat jauh berbeza dengan ayam penyet dan pecelele.



Ambuyat set biasa


Walaupun set hidangan ambuyat agak mahal iaitu B$16 hingga B$21 (jika ditukar ke RM) bagi dua hingga tiga orang, pengalaman merasai ambuyat bersama rakan-rakan tentu sukar dilupakan.

 

Friday, October 18, 2013

Gajet tiruan rosakkan jenama




Power bank menjadi pilihan pengguna untuk mengecaj
perlalatan elektronik


Gajet IT sangat mudah diperoleh pada masa ini khususnya di PC Fair. Harga yang ditawarkan juga amat murah seperti pendrive yang berharga RM1. Oleh kerana harga yang murah, ramai pembeli yang terdiri daripada pelajar cuba mendapatkannya.

Penganjuran PC Fair di universiti dan institusi pengajian tinggi sudah menjadi lumrah. Dalam setahun, tiga atau empat kali diadakan jualan ini lebih-lebih lagi ketika pesta konvokesyen. Selain pelajar, staf dan kakitangan universiti turut membeli gajet yang dijual.

Pihak penganjur tidak menyedari bahawa terdapat penjual gajet yang dijemput ke universiti telah menjual barang yang tidak berkualiti dan produk tiruan. Contoh yang ketara ialah "power bank" keluaran syarikat dari China yang berjenama terkenal didapati telah ditiru dan dijual kepada pelajar semasa PC Fair ini. "Power bank" ini boleh dikenal pasti yang asli atau tiruan dengan memasukkan nombor siri pada kotak luar ke laman sesawang syarikat berkenaan.

Oleh kerana produk tiruan, harganya pun lebih murah tetapi tanpa jaminan. Walaupun penjual meletakkan harganya RM139 namun harga produk ini boleh turun sehingga RM80. Selepas membeli baharulah pengguna menyesal kerana produk tersebut tidak dapat digunakan sepenuhnya, banyak masalah dan kemungkinan merosakkan gajet-gajet lain yang digunakan bersama.

Produk tulen "power bank" jenama ini berharga RM240 hingga RM280 bergantung pada keupayaan kuasanya. Dalam hal ini, penganjur tidak sensitif dengan kempen kerajaan untuk mendidik pengguna menggunakan produk tulen.

Seharusnya penganjur khususnya universiti lebih peka dan hanya memastikan peniaga yang menjual gajet jenama terkenal dan tulen sahaja yang boleh mengambil bahagian. Jika tidak, peniaga jenis ini hanya merosakkan imej PC Fair yang diadakan. 

 

Thursday, October 17, 2013

Akui kegagalan Nokia





Pelancaran buku "An Impossible Success"
(sumber Borneo Bulletin)

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Nokia, Jorma Ollila yang memandu syarikat telekomunikasi Finland itu menjadi sebuah syarikat pembuat telefon bimbit terkemuka dunia mengakui bahawa beliau melakukan beberapa kesilapan ketika menerajui Nokia termasuk gagal meramalkan perubahan keperluan pengguna dan membangunkan perisian baru.

Dalam buku memoir yang bertajuk "An Impossible Success", Ollila berkata selepas 2001, Nokia tidak berupaya lagi untuk mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju utama dalam industri tanpa wayar disebabkan persaingan sengit daripada sektor telefon pintar dan pembuat telefon bimbit murah di Asia.

Beberapa model Nokia tidak lagi mendapat sambutan dan syarikat itu gagal menjejaki trend popular telefon pintar skrin sentuh dan telefon bimbit lipatan yang disifatkannya sebagai "pemangsa".

Buku setebal 450 muka surat menyiarkan situasi Nokia yang menjadi "kesakitan yang dirasai" iaitu ketinggalan jauh berbanding syarikat perisian dari Amerika Syarikat iaitu Apple yang menyediakan ruang cabaran besar kepada Nokia.

Beliau juga menuding jari ke arah penyedia perkhidmatan Amerika Syarikat yang menyangka penguasaan 20 peratus pasaran di Amerika Utara sebagai terlau hebat.

Malahan mereka memaklumkan bahawa tidak ada keperluan untuk memperkenal telefon pintar yang berharga lebih US$300 sedangkan ketika itu Apple sedang proses melancarkan iPhone dengan harga lebih US$600.

"Walau bagaimanapun Apple berjaya menguruskan sesuatu yang semuanya serba baru, membentuk pengalaman baru kepada pengguna dan menyediakan penyelesaian yang menjadikan telefon sebagai kunci kepada ekosistem perkhidmatan dan aplikasi". Ollila menambah, "suatu ekosistem baru telah muncul tanpa Nokia berupaya melakukannya sebelum itu".

Ollila pernah bersama syarikat dalam bidang pembuatan kertas dan kabel pada tahun 1985 dan memacu pertumbuhan syarikat selama 14 tahun, menukar arah daripada menjual barangan elektrik kepada teknologi tanpa wayar. Pada 2006 semasa penguasaan global telefon bimbit berada pada 41 peratus, Ollila berasa letih dan mahu berhenti.

   

Wednesday, October 16, 2013

Ibadah korban Kota Tinggi 2013




Majlis Qurban di Surau Al-Muttaqin, Kota Tinggi

Sambutan Hari Raya Aidiladha 2013 di Kota Tinggi, Johor sangat meriah. Majlis korban dan akikah melibatkan 20 ekor lembu di Surau Al-Muttaqin, Taman Kota Jaya.

Surau ini sememangnya terkenal dengan bilangan korban yang banyak setiap tahun. Bilangan lembu yang dikorbankan bertambah sedikit demi sedikit kerana permintaan yang banyak di samping keinginan penduduk sekitar untuk melaksanakan ibadah korban.

Pengurusan korban setiap tahun dikendalikan oleh jawatankuasa surau yang kebanyakannya bekas kakitangan awam. Mereka mempunyai sebuah pasukan yang mantap dan dedikasi. Semasa majlis, semua petugas diberikan kad dan memakai uniform supaya tugas dilaksanakan dengan cekap.

Tahun ini setiap tugasan berkaitan korban diletakkan kain pemidang supaya peserta dapat melihat sendiri proses sembelihan, lapah dan agihan daging korban dilakukan.

Tiga buah lori yang membawa lembu diletakkan di kawasan lapang perkarangan surau. Seekor demi seekor lembu terpilih diturunkan dari lori dengan sebuah laluan khas. Tempat sembelihan turut diminimumkan.

Semasa sembelihan korban dilakukan, imam dan orang ramai bertakbir diikuti bacaan doa.

Proses melapah kulit dan membuang perut dilakukan secara gotong-royong mengikut korban masing-masing. Di sini orang tua yang pakar memperlihat kemahirannya sambil mengajar golongan muda. Anak-anak kecil yang baru kali pertama melihat ibadah korban ini juga teruja dengan suasana sambutan.

Lafaz dan niat korban disampaikan kepada wakil penyembelihan yang sentiasa bersedia dengan parang yang tajam.

Penyerahan kepada wakil korban


Ibadah korban di Surau Al-Muttaqin bertambah seri dengan hidangan masakan tengah hari dan penyediaan air minuman di beberapa tempat. Khemah besar juga disediakan supaya peserta dan orang ramai dapat menghayati pelaksanaan korban ini.

Kejayaan menganjurkan ibadah korban yang melibatkan puluhan ekor lembu perlukan koordinasi dan pelaksanaan tanggungjawab. Konsep bersama, memahami tugas dan melaksanakan yang terbaik menjadi ramuan penting kepada kesempurnaan pelaksanaan ibadah korban 2013 ini.


 

Monday, October 14, 2013

Mengingati Prof Radin Umar




Ayat-ayat yang menginsafkan dan memberi ingatan


Al-fatihah kepada bekas Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Datuk Prof Radin Umar Radin Sohadi, 53 tahun yang meninggal dunia di Hospital Serdang hari ini. Jasa dan bakti allahyarham kepada universiti khasnya dan negara amnya amat besar lebih-lebih lagi banyak kemajuan yang dipeloporinya dalam meningkatkan kualiti jalan raya dan pengangkutan.

Antara jasa beliau ialah mencadangkan penunggang motosikal di negara ini memasang lampu depan kerana kemalangan yang melibatkan motosikal amat tinggi. Idea ini diterima pakai sehingga kini walaupun pada peringkat awal pelaksanaannya kurang digemari.

Begitu juga dengan penubuhan Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang mana beliau menjadi ketua pengarah yang pertama. MIROS menjadi institusi yang bertambah penting kerana penambahbaikan sistem jaringan jalan raya berpusat di sini.

Saya berjumpa dengan Prof Radin Umar pada tahun 1995 bersama seorang rakan, Johari, bagi membincangkan program pelajar. Ketika itu beliau masih dengan gelaran profesor madya dan berhasrat melengkapkan pengajian peringkat doktor falsafah dalam tempoh setahun. Malangnya hasrat beliau tidak kesampaian kerana tempoh minimum adalah dua tahun.

Saya berjumpa beliau sebanyak tiga kali di pejabatnya berhampiran Fakulti Kejuruteraan, UPM iaitu di hujung fakulti berhampiran kawasan pintu pagar untuk ke Taman Seri Serdang di pintu keluar bahagian belakang. Ketika itu saya tidak pernah terfikir bahawa beliau akan menjadi naib canselor suatu hari nanti.

Selepas itu saya kurang mengikuti perkembangannya kerana berbeza bidang pengajian dan sibuk dengan bekerja.

Namanya kembali dalam ingatan saya apabila beliau dilantik mengetuai MIROS dan Jabatan Pengajian Tinggi. Saya juga pernah beberapa kali bersamanya dalam program-program anjuran universiti-universiti awam sehinggalah dilantik menjadi naib canselor.

Perkembangan kesihatan beliau mula menjadi sebutan apabila kerap mendapat rawatan di hospital. Didiagnosis dengan penyakit kanser memerlukannya memberi tumpuan untuk berubat. Keputusan meletakkan jawatan sebagai naib canselor adalah yang terbaik supaya kesihatannya dapat dipantau.

Iringan doa daripada sahabat dan anak-anak murid beliau memberi dorongan dan semangat untuknya berusaha mencari penyembuhan. Ikhtiar, kekuatan semangat dan ketabahan hati menjadikannya seorang pejuang yang gigih dan mengharap rahmat Allah swt.

Pemergian Prof Radin merupakan kehilangan besar kepada kita kerana sikap ramah, mesra dan kepintarannya sukar dicari ganti. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang soleh.




Friday, October 11, 2013

Peluang untuk usahawan muda





Impak lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke Amerika Syarikat baru-baru ini ialah pengumuman penubuhan 1MET iaitu 1Malaysia EnTrepreneur yang memberi galakan kepada pembudayaan keusahawanan peringkat nasional. Usahawan muda akan dilatih dan dibimbing melalui pelbagai kemahiran dan peluang.
 
Ahli perniagaan yang muflis turut mendapat suntikan baru apabila kerajaan mewujudkan mekanisme khusus bagi memberi peluang kedua kepada mereka untuk berjaya dalam perniagaan.
 
Hasrat ini selari dengan inisiatif kerajaan Amerika Syarikat yang akan menubuhkan jawatankuasa keusahawanan global yang membimbing kejayaan usahawan di seluruh dunia. Pusat Kegiatan Keusahawanan akan melatih 500,000 usahawan termasuk Malaysia.
 
Penubuhan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya bakal merancakkan lagi kegiatan keusahawanan di negara ini. Pusat ini berfungsi sebagai pusat sehenti kepada usahawan merangkumi segenap aspek termasuk permohonan pembiayaan kepada institusi perbankan serta penyaluran modal teroka kepada syarikat inkubator serta syarikat baharu yang berdaya maju. Selain itu, pendaftaran harta intelektual dan penyediaan kemudahan latihan, bimbingan serta pementoran akan disediakan. 
 
MaGic dilihat akan menjadi sebuah entiti yang besar dan mempunyai langsung dengan arena global apabila kerajaan turut berhasrat untuk melihat MaGIC menjalinkan kerjasama dengan Pusat Kegiatan Keusahawanan yang diilhamkan penubuhannya oleh Obama.
 
Perdana menteri turut memberi saranan yang signifikan dalam mengembangkan keusahawan di Malaysia dan peringkat global iaitu melalui menilai kembali maksud kegagalan dalam keusahawanan. Beliau menyatakan kegagalan perlu dilihat dari pendekatan berbeza agar para usahawan bersikap lebih berani untuk mencuba sesuatu yang dianggap mustahil untuk dilakukan. Pendekatan lain ialah penggubalan dasar yang menggalakkan inovasi dan penyediaan dana bagi membiayai penyelidikan. Seterusnya ialah mempermudah usaha memulakan perniagaan, meneruskan pelaburan untuk meningkatkan kualiti pendidikan di semua peringkat dan berusaha ke arah memperluaskan integrasi serantau serta antarabangsa.
 
!MET dan MaGic merupakan dua produk baru yang mampu merancakkan bidang keusahawan dalam kalangan usahawan muda khususnya yang baru menamatkan pengajian. Bimbingan pertama yang harus diberikan ialah galakan dan minat untuk menjadi usahawan, seterusnya peluang dan modal yang bersesuaian supaya mereka terus berjaya.

Wednesday, October 09, 2013

‘Azizan yang saya kenal’

 


 


Oleh Daim Zainuddin

Apabila PAS merampas Kedah dalam pilihan raya peringkat negeri, saya bercadang untuk membuat kunjungan hormat menemui Menteri Besar baru, Ustaz Azizan.

Saya tahu bahawa beliau perlu menyelesaikan banyak perkara, maka selepas beberapa bulan, saya memohon untuk membuat temujanji berjumpa dengannya.

Maklum balas yang diterima amat menggalakkan. Saya menerima jemputan makan malam di kediaman rasminya. Itulah kali pertama saya bertemu dengan (Tan Sri) Azizan Abdul Razak.

Beliau boleh digambarkan sebagai seorang yang peramah dan menghiburkan dengan jenaka sehingga menjadikan pertemuan pertama itu berlangsung dalam suasana tenang dan santai. Selepas beberapa minit, beliau mempelawa saya untuk makan malam bersamanya.

Beliau memberitahu yang beliau sudah memesan mi Abu, mi goreng, popia dan menghidangkan durian serta dadih sebagai pencuci mulut. Katanya, beliau sudah meminta setiausahanya untuk bertanya setiausaha saya apakah makanan kegemaran saya dan mendapat senarai daripada setiausaha saya. Kemudian, beliau menghidangkan air panas. Beliau sudah menyelidik mengenai diri saya.

Saya gembira pertemuan pertama dengannya. Saya dapati beliau sangat merendah diri, berpengetahuan dan mempunyai sifat jenaka.

Selepas pertemuan pertama itu, setiap kali saya berada di Kedah, saya akan bertemu dengannya untuk makan malam, yang mana saya akan dihidangkan makanan kegemaran saya – mi Abu dan popia.

Bincang masalah sebagai MB

Selepas itu, beliau akan mula membincangkan masalah yang beliau hadapi sebagai seorang MB.

Beliau sentiasa berkata dengan perkataan yang manis kepada semua orang dan tidak pernah mengeluarkan kata-kata menghina sesiapa. Katanya, tugasnya sangat mencabar untuk menguruskan negeri yang perolehannya rendah, tetapi perbelanjaan terus meningkat.

Saya berkata kepadanya, selagi negara mengharapkan Kedah menjadi negeri jelapang padi Malaysia, Kedah perlu terus meminta bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dan ia perlu berubah.

Negara kita adalah pengeluar beras yang membabitkan kos tinggi. Ketika saya di dalam kerajaan, saya pernah mencadangkan supaya kita mengimport beras dan menggunakan tanah sawah untuk kegunaan yang lebih produktif. Beliau bersetuju dengan saya tetapi mengakui ia memerlukan sokongan daripada Kerajaan Pusat untuk mengubahnya.

Kami terus bertemu secara kerap, sama ada di Alor Setar atau Kuala Lumpur. Beliau sukar untuk memenuhi permintaan yang menimbulkan konflik daripada banyak pihak. Ia benar-benar menyukarkan dirinya untuk cuba berlaku adil tetapi tegas. Beliau menjadikan dirinya tidak popular dengan orang tertentu tetapi rakyat suka dengan pendekatannya. Beliau menjadi seorang pemimpin yang dihormati masyarakat.

Walaupun beliau menerima tekanan daripada partinya sendiri, beliau bertegas dirinya adalah MB untuk seluruh rakyat Kedah. Beliau akan melayan semua. Akhirnya, sama ada secara tersembunyi atau terbuka, beliau diserang rakan parti gabungan dalam pakatan tetapi beliau tegas dengan prinsipnya, yang mana dalam politik, beliau perlu akur kehendak parti, dengan syarat ia tidak bercanggah dengan prinsip yang beliau pegang dan pada akhirnya, beliau berkata, beliau perlu bertanggungjawab kepada Allah. Ini yang membuatkan beliau tidak bersedia berkompromi.

Apabila saya mendapat berita beberapa wakil rakyat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) merancang untuk menukar kem, saya mengingatkan beliau. Saya berkata kepadanya selepas apa yang berlaku di Perak, saya tidak fikir Barisan Nasional (BN) sedia untuk mengambil bahagian dalam politik seperti ini. Rakyat akan marah dan semua pihak perlu menerima keputusan pilihan raya dan teruskan seperti biasa.

(Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) cuba dan gagal dan rakyat tidak mempercayai mana-mana kerajaan dibentuk dengan cara ini. Tetapi beliau berkata: Saya di sini buat sementara waktu saja. Biar Allah menentukan tetapi kita perlu uruskan semua masalah yang timbul terlebih dulu.

Kemudian, selepas itu ada lagi cubaan untuk menjatuhkannya. Beliau tidak cemas, malah beliau tidak terlalu yakin, namun tetap bersedia. Beliau mengharungi semua cabaran dengan caranya, di luar, beliau tetap berjenaka tetapi di dalam, bersedia dengan kemungkinan yang mungkin berlaku. Akhirnya, beliau berjaya.

Beliau meminta saya untuk mengatur pertemuan dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang saya memang lakukan. Mereka berkawan baik. Beliau juga mempunyai hubungan baik dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Azizan juga memberitahu yang beliau diheret oleh PAS dan diminta memberi penjelasan mengapa beliau rapat dengan PM, Dr Mahathir dan saya. Beliau menjelaskan kepada mereka bahawa beliau mengenali adik Najib, Johari ketika sama-sama belajar undang-undang di London. Dalam kes Dr Mahathir dan saya, beliau mahu belajar daripada pengalaman dan beliau tahu kita mengharapkan yang terbaik untuk Kedah dan perlu sokong dirinya untuk kebaikan yang lebih bagi Kedah. Mereka (PAS) menerima penjelasannya.

Idea membina untuk Kedah

Azizan mempunyai idea yang membina untuk Kedah. Beliau mahu menambak kawasan pantai Kuala Kedah dan membina sebuah bandar baru. Beliau meminta saya mencarikan pemaju untuk melaksanakannya dan sekarang, ia masih dalam peringkat kajian.

Beliau berhasrat ke Mesir untuk mempelajari bagaimana negara itu berjaya dalam pengeluaran hasil pertanian di kawasan padang pasir yang luas dan menukarnya menjadi tanah subur. Beliau mahu melakukan perkara sama di Kedah. Azizan mahu membina lebih banyak kawasan perumahan terutama rumah mampu milik di bawah RM200,000.

Beliau mengarahkan pejabatnya melakukan satu kajian terhadap masalah itu dan bagaimana golongan berpendapatan pertengahan mampu membelinya. Semua ini dalam perancangan.

Azizan turut berbincang dengan saya perlukah Akta Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) diteruskan. Saya jelaskan kepadanya sebab Dr Mahathir mahu LADA dan sejak itu, Langkawi menjadi terkenal sebagai destinasi pelancongan. Beliau berkata, beliau ditekan supaya tidak memperbaharuinya, tetapi beliau memperbaharuinya.

Azizan terpaksa membuat keputusan yang sukar tetapi dia melakukan apa yang betul untuk Kedah. Beliau memperkenalkan dasar baru yang mana konsesi balak ditender dan ia berjaya meningkatkan pulangan. Nilainya menjadi lebih tinggi, dan dia kemudian mengecilkan saiz konsesi disebabkan orang tertentu.

Beliau mahu membawa Institut Penyelidikan Getah (RRI) ke Kedah dan bersedia untuk mencari serta menyediakan tanah untuk tujuan itu.

Saya mencadangkan supaya kerajaan negeri harus menukar tanah RRI dan kerajaan Kedah membangunkan tanah RRI, dan menyimpannya sebagai satu pelaburan jangka panjang supaya kerajaan boleh mendapat pendapatan darinya.

Azizan juga mahu mempunyai depot minyak dan penapisan di Yan. Beliau menerima banyak cadangan, tetapi beliau mendapati pelabur lebih berminat untuk memiliki tanah berbanding projek asal. Beliau juga mahu perkhidmatan kereta api dan lebuh raya diteruskan sehingga Yan untuk membawa kemajuan di kawasan bandar berhampiran pantai.

Tolak rasuah

Dalam isu rasuah, beliau amat kecewa dengan ahli perniagaan yang cuba menyogok beliau. Beliau kerap mengarahkan setiausahanya supaya memulangkan wang yang ditawarkan kepadanya. Apabila gagal menyogok di pejabat, mereka menghantar wang itu ke rumahnya.

Beliau bertanya dengan saya apa yang harus dilakukan terhadap orang yang bermuka tebal seperti ini. Nasihat saya kepadanya ialah serahkan wang itu kepada anak yatim dan mendapatkan resit daripada setiap derma yang diberikan. Beliau berterima kasih atas nasihat saya.

Azizan juga bercerita dengan saya bagaimana dia memujuk anaknya untuk berkahwin. Beliau dimasukkan ke hospital dan dilayan seorang jururawat yang difikirkannya sesuai untuk menjadi calon isteri kepada anaknya.

Sudah tentu, anaknya tidak bersetuju selepas Azizan meminta isterinya memberitahu anak lelakinya, jika dia tidak mahu berkahwin dengan jururawat itu, beliau akan berkahwin dengan jururawat itu yang boleh menjaganya jika beliau jatuh sakit.

Tiba-tiba, selepas pilihan raya, Azizan dimasukkan ke hospital. Saya melawat beliau banyak kali tetapi beliau sering berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada Kedah. Ahli politik seperti beliau jarang ada. Beliau adalah seorang pemimpin rakyat yang berintegriti tinggi dan benar-benar jujur. Malaysia memerlukan ahli politik seperti beliau.

(Berita Harian, 8 Oktober 2013)

 

Tuesday, October 08, 2013

Jadikan Malaysia hab kereta hibrid






Apakah harga kereta hibrid akan meningkat? Pengeluar kereta jenis ini seperti Honda, Toyota dan Nissan sudah tentu mempunyai mekanisme khusus untuk menghadapi kenaikan harga ini supaya permintaan untuk kereta-kereta hibrid tidak merosot.

Pelepasan cukai bagi kereta hibrid memasuki tahun kedua namun galakan untuk kereta jenis ini dilihat agak kurang. Biarpun Honda Malaysia mengeluarkan empat model kereta enjin hibrid, langkah ini tidak diikuti dengan meluas oleh syarikat-syarikat pengeluar kereta lain.

Pengenalan kereta hibrid merupakan pengalaman baru kepada pengguna kenderaan di Malaysia. Di Amerika Syarikat dan Jepun, kenderaan ini digunakan secara meluas kerana pelbagai faktor seperti kenaikan harga minyak, mengurangkan pencemaran dan kesesuaian memandu di kawasan bandar. 

Pemandu di Malaysia masih belum terdedah kepada kebaikan enjin hibrid kerana kurangnya promosi berbentuk pendidikan kesedaran. Kebanyakan pembeli pula berfikir dengan memiliki sebuah kenderaan hibrid mereka dapat mengurangkan kos membeli petrol.

Oleh kerana menjimatkan kos minyak menjadi keutamaan, kebaikan-kebaikan lain tidak banyak ditonjolkan. Penjimatan petrol tidak sahaja bergantung kepada jenama kereta malah mengambil kira keadaan enjin, tayar dan corak pemanduan. Kekerapan senggaraan enjin boleh membantu "menyihatkan" kereta walaupun perjalanan perbatuan bertambah.

Jika keputusan kerajaan untuk menarik balik pelepasan cukai ke atas kereta hibrid, ia dilihat tidak memberi faedah besar kepada penggunaan kereta mesra alam kerana pemandu di Malaysia wajar diberi lebih masa untuk merasai kebaikan dan kelebihan enjin hibrid supaya kebergantungan ke atas minyak sebagai bahan api utama dapat dikurangkan.

Memanjangkan pelepasan cukai juga dapat mengurangkan tekanan kerana kenaikan harga minyak secara langsung menaikkan semua harga barang dan perkhidmatan. Jika harga minyak turun, harga barang tidak akan turun dengan mudah.

Dalam Bajet 2014 yang akan dibentangkan, kerajaan perlu tegas dengan misi membina kesedaran masyarakat untuk memilih kenderaan mesra alam supaya pengguna mendapat pelbagai pilihan kenderaan. Justeru, tempoh pelepasan cukai ini wajar dipanjangkan sehingga tiga atau lima tahun akan datang. Pada masa yang sama, menjadikan Malaysia sebagai hab kenderaan mesra alam akan menjadi kenyataan.

    

Monday, October 07, 2013

Peribadi muslim cemerlang





Penulis: Tn Hj Dahlan B. Mohd Zain
Tahun: 2013
Penerbit: Akademi Tarbawi, Kajang, Selangor, Malaysia
Muka Surat: 43


Buku kecil ini merupakan hasil penulisan atau catatan yang dihasilkan oleh penulis untuk dikongsi bersama oleh umat Islam sebagai panduan menegakkan deenul Allah swt. Buku ini juga merupakan kenang-kenangan terhadap jasa dan ingatan penulis serta kasih sayang sebagai seorang pendidik kepada ribuan anak-anak didik beliau.

Terdapat empat tajuk besar dalam bingkisan ini iaitu membangunkan iman, menguatkan ukhuwah dan menyemarakkan jihad, orang mukmin yag bersungguh-sungguh dan kental dalam jihad, niat dan ciri-ciri pendakwah serta proses pembentukan dan pembangunan ummah.

Dalam bahagian pertama iaitu membangunkan iman, menguatkan ukhuwah dan menyemarakkan jihad, penulis menyentuh tentang matlamat dalam dakwah, menghuraikan faktor kejayaan dan kegagalan umat Islam dan juga memberi saranan menegakkan Islam dalam era masa kini. Antaranya ialah membangunkan dan menguatkan iman serta mengasaskan kembali akidah sahihah sehingga lahir rijal akidah dalam erti kata sebenar. Selain itu menguatkan ikatan kasih sayang dan ukhuwah Islamiah sesama umat Islam kerana "Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara" (Al Hujurat:10).

Selain itu, kita juga harus berusaha menghindari anasir dan sebab yang boleh membawa perpecahan dan persengketaan sesama ummah. Persengketaan ini boleh sahaja berlaku kerana " Syaitan itu masuk ke dalam anak Adam melalui saluran darah" (maksud hadis).

Terakhirnya ialah menyemarakkan kembali roh jihad dengan mengadakan persiapan yang diperlukan untuk memperkuat pertahanan dan melancarkan kerja Islam terus-menerus. Persiapan yang diperlukan ini ialah kekuatan akidah, kekuatan wehdah atau kesatuan dan kekuatan fizikal.

Dalam bab kedua iaitu orang mukmin yang bersungguh-sungguh dan kental dalam jihad, penulis mengambil petikan surah Ali Imran ayat 200 yang bermaksud "Wahai orang-orang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia dan bertakwalah kepada Allah supayakamu beruntung". 
 
Ada 13 subtopik yang menghuraikan secara terperinci bab ini seperti orang mukmin lebih mampu, berjihad di mana-mana sahaja, jihad yang berterusan, sistem Islam menguasai keseluruhannya, kebatilan sentiasa memerangi dan telah berlalu masa tidur. Dalam subtopik tidak dirasai perlunya takwa melainkan orang yang berjihad, ia menyentuh mengenai hajat kepada takwa hanya dirasai oleh mereka yang bersedia dengan jihad iaitu menderita menegakkan Islam dan kalimah Allah swt. 

Dihuraikan lapan ciri pendakwah dalam bab tiga iaitu menentukan niat dakwah hanya kerana Allah semata-mata, memiliki sifat dan budi pekerti mulia, menghormati mereka ayng terlebih dahulu berada dalam jalan dakwah, memahami bahawa Allah swt adalah matlamat, memastikan wasilah tidak bertukar menjadi matlamat, matlamat dakwah tidak berubah, mengurangkan perselisihan sesama sendiri dan tidak memperkecil nasihat dan perkataan yang baik. Antara sifat pendakwah ialah penyayang, sabar, manis muka, wara', elak ketawa besar sewaktu berdakwah, jauh diri daripada hasad dengki, elak daripada riya', ujub dan tidak memandang rendah kepada orang lain.

Bab terakhir berkaitan dengan proses pembentukan dan pembangunan ummah iaitu saranan melihat kembali matlamat asal dakwah iaitu ubudiyyah atau memperhamba diri kepada Allah swt. Larangan kepada orang mukmin untuk tunduk mengabdikan diri selain Allah swt dinyatakan dalam surah An Nisa' ayat 4 iaitu "Barangsiapa mentaati Rasul itu, sesungguhnya dia telah mentaati Allah, dan barangsiapa yang berpaling (dari ketaatan itu), maka kami tidak mengutusmu untuk menjadi pemelihara bagi mereka".

Revolusi besar manusia telah berlaku dengan kedatangan Rasulullah saw kerana ummah yang dibina atas dasar perkauman dan kesukuan telah ranap sama sekali. Islam terus berkembang dengan ukhuwah yang diperoleh melalui hidayah Allah swt dan asobiyah menjadi lebur kerana "Orang yang beriman itu sesungguhnya bersaudara, sebab itu damaikanlah (perbaiki hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah supaya kamu mendapat rahmat" (Al Hujurat:10).

Dalama rnagka menubuhkan ummah Islamiah, kita perlu dapat membezakan yang mana Islam dan yang mana jahiliah.
 

Kemalangan ngeri di Lebuhraya PLUS




Asap tebal sebaik sahaja lori terbabas

Pengguna lebuh raya yang melepasi tol Kajang arah ke Seremban berhadapan dengan detik cemas pagi ini apabila sebuah lori terlibat dalam kemalangan. Lori yang membawa minuman sejuk kesihatan didapati remuk sama sekali selepas terbabas dan menghentam seorang penunggang motosikal yang kebetulan berada di laluan berkenaan.

Waktu kejadian adalah di antara 8.30 hingga 8.45 pagi. Nasib pemandu lori tidak diketahui. Bagaimanapun, berdasarkan kepada keadaan fizikal lori, dia dijangka mengalami kecederaan yang serius.

Dari jauh asap putih yang tebal keluar dari lori berkenaan dan menutupi sebahagian besar laluan lebuh raya. Kepulan asap mengambil masa hampir lima minit untuk hilang.


Kenderaan sesak sejurus asap mulai hilang

Sebaik terbabas, pengguna lebuh raya terutama penunggang motosikal berhenti untuk membantu mengeluarkan pemandu lori. Pada masa yang sama, penunggang motosikal yang cedera diletakkan jauh dari tempat kejadian sementara menunggu petugas hospital datang.

Kemalangan ini menyebabkan kesesakan di kedua-dua arah jalan.

 

Friday, October 04, 2013

Perkasakan kualiti bumiputera






Bumiputera tanpa kualiti?

Perbincangan hangat isu ini dikaitkan dengan kurangnya penglibatan bumiputera dalam sektor swasta khususnya pengurusan kanan syarikat. Dua faktor yang menjadi fokus perbincangan ialah kekurangan bumiputera di sektor swasta disebabkan tidak diberi peluang dan rendah kualiti diri.

Perangkaan baru menunjukkan sebilangan besar penjawat awam yang berjumlah 1.42 juta orang terdiri daripada bumiputera. Bilangan ini amat besar dan memberi impak kepada kitaran permintaan dan penawaran dalam ekonomi Malaysia.

Penjawat awam yang kerja makan gaji membelanjakan jutaan ringgit setiap bulan melalui pembelian barangan keperluan harian, makanan, minuman dan rekreasi yang mana wang tersebut akhirnya sampai juga ke tangan peniaga Cina. Tanpa penyertaan aktif bumiputera, tangan-tangan yang menanti tadi tidak akan dapat merasa apa-apa jika dikatakan bumiputera tidak ada kualiti diri.

Kembali kepada kenyataan pihak yang menyifatkan kualiti bumiputera sebagai faktor utama, antara hujah mereka ialah, “Contohnya dalam perkhidmatan awam yang hampir majoritinya bumiputera, di manakah hasilnya”. Kenyataan ini disokong oleh beberapa pemerhati yang memberi pandangan seperti berikut.

Penjawat awam di Putrajaya: Pergi kursus, hadiri program, pergi pasar Presint 2, urus majlis persaraan, majlis akhir tahun, sertai pertandingan pejabat tercantik, jadi urus setia Hari Belia, Hari Malaysia, Hari Merdeka, jadi bila masanya mereka bekerja?

Dari sisi lain, kelompok ini memerhati budaya kerja penjawat awam khususnya berkaitan penggunaan laman media sosial semasa bekerja.

Penjawat awam: first thing in the morning buka facebook, every half an hour layari facebook sampai balik. Facebook 6 hours, kerja 2 hours. It’s a reality.

Ada juga yang melihat kualiti dari aspek perubahan polisi yang kerap dan kurang teliti.

Lihat sahaja polisi kerajaan yang sentiasa berubah-ubah. Contohnya Jabatan Pendidikan. Mulanya gunakan perkataan pendidikan lepas itu pelajaran lepas itu guna pendidikan balik.

Selain itu aspek memanjakan penjawat awam dengan kenaikan gaji yang kerap, bonus tahunan dan pelepasan cukai menjadikan mereka selesa.

Penjawat awam yang kerja sambil bersembang cukup bulan dapat gaji, setiap tahun dapat bonus dan banyak pelepasan. Kerajaan manjakan penjawat awam, macam mana mereka hendak berkualiti?

Kualiti yang dimaksudkan di sini berkaitan dengan sikap dan produktiviti sehingga timbul kenyataan, “Kamu boleh lihat sendiri bagaimana mereka bekerja, adakah ia berkualiti?”

Kualiti bumiputera juga diukur melalui kadar pengangguran yang tinggi.

Saya lihat mereka yang banyak menganggur ini, salah satu sebabnya ialah mereka tidak boleh dan tidak mempunyai kualiti.

Perbahasan ini sebenarnya lebih kepada menyalahkan dasar-dasar awam kerajaan Malaysia yang memisahkan sektor awam dan swasta kepada kelompok bumiputera dan bukan bumiputera.

Namun begitu, bagi generasi hari ini yang mereka fikirkan adalah apa yang ada di hadapan mata, tidak melihat bagaimana masyarakat Malaysia berkembang dari segi sosial dan peranan politik perkauman sejak 50 tahun lalu.

Selepas merdeka, hampir 20 tahun kerajaan bersikap lunak terhadap keadaan sosial masyarakat sehingga mencetuskan rusuhan kaum. Kematian dan kemusnahan menyedarkan kerajaan bahawa polisi awam perlu diubah dengan memberikan keutamaan kepada pembasmian kemiskinan kerana yang ramai miskin ketika itu adalah bumiputera. Peringkat awal sektor awam dimonopoli oleh bukan bumiputera ditukar sedikit demi sedikit sehinggalah bumiputera menguasai Putrajaya. Dasar ini dijangka terus berkekalan kerana bilangan bumiputera akan terus bertambah dan bilangan bukan bumiputera berterusan merosot dalam tempoh seratus akan datang.

Kualiti bekerja tidak seharusnya berdasarkan kaum atau agama sebaliknya harus dilihat dari perspektif pelaksanaan sistem kerja dan budaya. Kita boleh ambil perkembangan ekonomi di Eropah hari ini yang menyaksikan negara-negara kaya suatu masa dulu kini terpaksa bergelut dengan pengangguran dan kelembapan ekonomi.

Sepanyol, Perancis dan Portugal berhadapan dengan masyarakat yang berang dengan keadaan ekonomi negara sendiri. Apakah masyarakat Sepanyol berkualiti? Jika berkualiti tinggi, masakan mereka juga meminta-minta daripada negara kaya untuk terus memberi wang kepada rakyat sendiri? Begitu juga dengan Greece yang hampir muflis kerana rakyat tidak mahu mengubah sikap dan budaya hidup mereka.

Di Malaysia, walaupun belum maju, penjawat awam telah melalui pelbagai proses transformasi fikiran, fizikal dan spiritual yang berterusan. Contohnya pusat pentadbiran yang bersepadu melambangkan keutuhan dalam tindakan, mengurangkan kos dan menggalakkan produktiviti. Kerajaan juga perkenalkan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) sebagai platform menyalurkan idea yang boleh menghasilkan perkhidmatan yang lebih baik melalui pengubahsuaian atau penambahbaikan.

Kaedah pengurusan Strategi Lautan Biru Kebangsaan diperkenal supaya dasar kerajaan dilaksanakan dengan cepat pada kos yang rendah tetapi memberi impak tinggi kepada masyarakat.

Kerajaan juga tidak pilih kaum atau bangsa untuk didakwa di mahkamah jika terlibat dengan jenayah atau rasuah. Tanpa mengira kaum, pesalah tetap ke lokap dan dipenjarakan. Cuma pemberi rasuah ini berbagai-bagai jenis latar belakang jika dianalisis kes-kes yang dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan. Perasuah ini ada Cina, bumiputera dan India.

Rumusan daripada perbincangan ini sangat mudah iaitu tidak meletakkan kualiti hanya bersandarkan kepada kaum. Oleh kerana seseorang itu bumiputera, lalu dianggap tidak berkualiti. Persepsi seperti ini sangat tidak tepat kerana dalam sektor swasta, berapa ramai yang dikenakan dakwaan kerana pecah amanah?

Ia berlaku kerana moral mereka telah korup sepenuhnya.


Thursday, October 03, 2013

PPPM: Ciri murid yang diperlukan





oleh Sidek Baba


Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan baru-baru ini memberikan penekanan tentang pentingnya setiap kanak-kanak menguasai literasi (celik ilmu) dan numerasi (celik angka).

Kemahiran asas ini adalah sangat penting bagi membolehkan disiplin ilmu yang pelbagai dikuasai secara menyeluruh dan tumpuan memperkasa kemahiran Sains dan Matematik dijadikan fokus.

Penyuburan dan pengukuhan ilmu pengetahuan dan kemahiran adalah penting bagi menyediakan murid dan pelajar yang mampu respons kepada tuntutan zaman yang pantas berubah, terutama faktor globalisasi yang sifatnya dinamik.

Dalam apa sistem pendidikan, faktor ilmu pengetahuan menjadi sesuatu yang amat utama. Kurikulum yang terbina harus sifatnya menyeluruh kerana proses pembentukan watak murid tidak saja sifatnya kognitif atau menyuburkan faktor akliah dan membolehkan murid berfikir dan menyerap ilmu dengan baik, tetapi dalam masa yang sama faktor afektif atau dalaman diri murid harus dibina sama.

Pendidikan bukan sekadar suatu proses pemindahan maklumat dan kemahiran daripada guru kepada murid, tetapi suatu proses transformasi terhadap sikap, pekerti dan watak. Ilmu yang benar dan bermanfaat membentuk akal dan hati supaya pendidikan menjadikan mereka beradab.

PPPM yang dilatari oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan ingin menjadikan murid memiliki peribadi seimbang dan harmonis. Justeru, terbinanya asas literasi dan numerasi yang baik di kalangan murid membolehkan persiapan yang baik terjadi bagi menghadapi cabaran alaf 21.

Cabaran alaf 21 memperlihatkan sifat ilmu pengetahuan yang berkembang dan cabaran membangun watak yang seimbang terjadi. Amat perlu pengajaran literasi mengenai bahasa, sejarah, geografi diberikan asas etika supaya integrasi nilai berlaku. Sifat ilmu yang sepadu tautannya ialah kepada nilai (value-laden). Nilai adalah ukur tara yang memandu murid tentang baik-buruk akan sesuatu. Tanpa nilai pengajaran dan pembelajaran menjadi mekanistik.

Hatta pengajaran numerasi juga terkait dengan etika. Konsep hasaba, hisab dan muhasabah dalam tradisi Islam umpamanya memberikan asas ketepatan, keseimbangan dan akauntabiliti.

Asas ini boleh menjadi pedoman kepada murid supaya penguasaan kemahiran numerasi terbina atas asas nilai. Hal yang sama terjadi kepada pengajaran sains dan teknologi.

Ia tidak saja ilmu yang mengkaji fenomena secara empiris dan uji kaji, tetapi terdapat hikmah di sebalik kajian yang dilakukan supaya sains terhubung dengan Penciptaan.

Teknologi selamanya alat bukannya matlamat. Sangat penting nilai guna dalam teknologi diajar supaya salah guna teknologi tidak berlaku. Di samping mempelajari teknologi tinggi (high-tech) akhirnya, para murid dan pelajar harus diberi kemahiran sentuhan keinsanan (high-touch) supaya teknologi itu disantuni secara manusiawi.

Proses transformasi ilmu pengetahuan harus seiring dengan asas-asas fundamental dalam pendidikan. Membangun potensi insani yang memberikan fokus kepada kekuatan akliah (kognitif), rohaniah (afektif) dan jasmaniah (psikomotor) menuntut keseimbangan terjadi.

Jika ini berlaku asas ketamadunan atau peradaban akan terjadi.

Ilmu pengetahuan yang benar dan bermanfaat memberi suluh kepada kehidupan murid. Harus ada tautan fikir dan hati supaya faktor amal menjadi lebih terarah.

Ilmu pengetahuan yang berorientasikan tamadun harus dijadikan fokus utama kerana maksud transformasi (tajdid) itu sendiri menuntut perubahan yang menyeluruh berlaku. Oleh itu pengetahuan yang diajar harus memberi kekuatan kepada murid atau pelajar untuk menghadapi cabaran terkini dan masa depan.

Dalam tradisi Islam umpamanya membangun ilmu mengurus diri yang berkaitan dengan etika dan akhlak adalah penting.

Dalam masa yang sama membangun ilmu mengurus sistem (Matematik dan Sains) adalah penting juga.

Kelemahan umat Islam kini ialah kerana produktiviti rohaniahnya relatif tinggi tetapi produktiviti amaliahnya relatif rendah. Ia menyebabkan umat Islam menjadi pengguna kepada kekuatan orang lain dan tidak menjadi penyumbang kepada kekuatan umat manusia.

Oleh itu fokus kepada literasi dan numerasi harus mampu mendidik murid memiliki kekuatan ilmu pengetahuan dan pendidikan yang seimbang supaya jenis manusia yang dilahirkan mampu tidak saja menghadapi perkembangan pemikiran tetapi juga mampu menghadapi cabaran etika dan nilai yang lebih kompleks.

(Sinar Harian, 3 Oktober 2013)

Wednesday, October 02, 2013

Guru berkualiti, ibu bapa senang hati





Kerajaan melaksanakan pelbagai langkah untuk meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia. Langkah terbaru yang sedang dilakukan ialah menawarkan jawatan guru kepada graduan terbaik sahaja sama ada dari institut pendidikan guru atau institusi pengajian tinggi awam. Tindakan ini dapat memperkasa bidang keguruan seiring dengan kemajuan Negara.

Masa untuk semua graduan yang memilih bidang pendidikan ini semakin suntuk kerana proses kemasukan ke sekolah semakin sukar. Mereka perlu mengemukakan permohonan jawatan pegawai pendidikan kepada Suruhanjaya Perkidmatan Pendidikan untuk ditemuduga. Dalam erti kata lain, proses menjadi guru semakin sukar dan kompetitif.

Jika dulu jawatan guru menjadi pilihan terakhir pencari kerja apabila mereka kecewa dalam usaha mendapatkan pekerjaan yang setanding dengan kelayakan akademik. Justeru ada guru yang hanya menjiwai proses pengajaran tanpa ada keinginan mendidik. Cukup bulan mereka menerima gaji dan ia kembai seperti biasa selepas itu. Ada yang terus jatuh cinta dengan profesion perguruan dan berusaha melanjutkan pengajian tetapi ada juga yang berhenti dan melakukan kerja sendiri kerana mendidik ini tidak dapa disesuaikan dengan jiwanya.

Pelbagai insentif seperti kenaikan pangkat, kebajikan yang menyeluruh dan perhatian yang kerap kepada guru merupakan antara langkah kerajaan untuk meningkatkan imej dan status guru di Malaysia. Langkah ini sama seperti Finland yang cukup menjaga keperluan dan keadaan guru di sana kerana jawatan guru merupakan pekerjaan yang dipandang tinggi. Seorang guru di Finland memiliki sarjana dan hanya mengajar bilangan pelajar yang kecil dalam satu kelas. Guru-guru ini dibantu oleh pembantu guru supaya proses pengajaran berjalan lancar dan guru dapat memberikan perhatian kepada pengajaran dan pembelajaran dengan mudah.

Guru di Jepun dan negara-negara maju sering mendapat tempat dalam masyarakat kerana jasa mereka sangat besar kepada perkembangan mental kanak-kanak. Bagi ibu bapa yang risau tentang keadaan belajar anak-anak, meletakkan graduan yang berkualiti dapat membantu ibu bapa membina laluan masa depan anak-anak.

Ibu bapa tidak lagi perlu risau memikirkan latar belakang guru yang mengajar anak mereka kerana jaminan bahawa hanya guru terbaik di sekolah sudah cukup meyakinkan ibu bapa. Kita yakin pemerkasaan guru ini dapat meletakkan sekolah kebangsaan sebagai pilihan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka.

Walaupun kerajaan telah menggunakan pendekatan ini, sokongan ibu bapa supaya komuniti mengambil berat tingkah laku anak-anak juga lebih penting kerana separuh daripada masa anak-anak ini berada di rumah. Ibu bapa juga perlu berfikir tentang memastikan anak-anak terus digilap potensi dan bajar sedia ada.