Saturday, January 30, 2010

Sulphur

Raja segala penawar (antipsorik).

Fikiran: Dukacita, sedih dan kerap menangis. Mudah naik darah, marah, risau. Sakit bila berjalan, bercakap, bergembira atau bergerak. Rasa bimbang dan cemas pada sebelah petang. Ingatan lemah.

Kepala: Sangat keliru dan pening; sakit jika diikat ketat-ketat di dahi. Pening bila berjalan di tempat terbuka, tunduk, lihat ke bawah, bangun dari duduk dengan hidung berdarah. Rasa berat, sesak dan tekanan dalam dahi. Berdenyut-denyut di dalam kepala dan di luar mata.

Mata: Radang mata; bengkak, merah, gatal, terbakar dan pedih. Kering di dalam bilik, berair di luar bilik. Sangat sensitif pada cahaya matahari.

Telinga: Tekanan dalam telinga semasa menelan dan bersin. Telinga kiri menyucuk-nyucuk. Gatal. Bernanah di dalam telinga (sangat teruk di telinga kiri). Kanak-kanak; telinga sangat merah.

Hidung: Bengkak, merah dan panas. Hidung berdarah. Kerap berair dan bersin di sebelah pagi dan petang. Hingus ada darah. Hidung kering. Hujung hidung merah dan berkilat-kilat.

Muka: Pucat; tanda terlalu menderita sakit. Mata cengkung dan ada lingkaran biru. Muka panas terbakar, merah gelap dan dagu kemerah-merahan. Jerawat hitam timbul di atas muka terutama di dahi, hidung, bibir atas dan dagu.

Mulut: Berdenyut-denyut. Gusi bengkak dan berdarah. Rasa pahit. Lidah panas terbakar. Mulut dan lidah sangat kering dan haus. Mulut bau busuk selepas makan.

Kerongkong: Rasa kesat dan kering. Sakit bermula dari kanan ke kiri, tonsil merah. Sakit bila menelan makanan.

Perut: Lapar, mesti selalu makan, jika tidak makan akan rasa sakit kepala dan badan serta fikiran menjadi letih. Hilang selera makan. Rasa kenyang bila hendak makan. Muntahkan makanan selepas makan.

Najis: Rasa panas terbakar dan tekanan semasa berak. Dubur merah, panas, bengkak. Cirit-birit selepas tengah malam. Tahi berair, hijau, kecil dan panjang, berdarah. Sembelit.

Kencing: Tahan kencing. Kerap dan tiba-tiba mahu kencing terutama sebelah malam. Kencing malam. Salur kencing rasa terbakar. Air kencing keruh kemerah-merahan.

Organ Seks Lelaki: Keluar air mani tanpa sedar. Zakar sejuk (lemah tenaga batin). Bahagian kulup panas, bengkak dan merah. Batang zakar rasa menyucuk-nyucuk.


Organ Seks Perempuan: Haid terlalu awal, banyak tetapi singkat sahaja; haid lewat diiringi sakit kepala dan hidung berdarah. Faraj rasa terbakar dan gatal.

Kulit: Gatal; rasa terbakar dan hendak garu. Bernanah. Gatal bertambah dengan panas tempat tidur. Luka/Sakit pada lipatan-lipatan kulit. Kulit mudah berdarah, bengkak dan ada jerawat bernanah.

Demam: Sejuk setiap petang diikuti rasa panas dan berpeluh di sebelah pagi. Tidak haus. Muka merah panas, kadangkala pitam. Malam berpeluh banyak.

Umum: Kurus dan lemah. Menggeletar. Sensitif dengan tempat terbuka. Tidak selesa berdiri. Mendapat sawan dan tubuh badan kelihatan kaku.

Melarat: Petang; selepas tengah malam; panas tempat tidur; semasa rehat; bila berdiri; disentuh; mencuci atau membasuh; tempat terbuka; mandi.

Lega: Bergerak, berjalan.

Patologi: Penyakit saraf; histeria, sawan, chorea, lumpuh bahagian bawah badan, sakit urat; marasmus; tuberculosis; botak; radang mata; radang kelopak mata; katarak; radang telinga luar dan tengah; jerawat; tonsil; kembung perut dan gastrik; cirit-birit; morning sickness; lemah tenaga batin; kemaluan gatal-gatal; amenorrhoea; senggugut; menorrhagia; rheumatik kronik; gout; lumbago; kulit gatal dan terbakar. Penawar utama bagi gatal, jerawat, ulser, melecur dan bernanah.

Simptom Utama: Kulit tidak sihat; rasa panas terbakar; tidak selesa berdiri; banyak fikir; badan panas; takut air; lega dalam cuaca panas kering; discaj tubuh berbau; masalah pernafasan semasa tidur.

Wednesday, January 27, 2010

MI2010 anjakan inovasi tempatan

Oleh Laupa Junus
pengarang@utusan.com.my

Siapakah Mark Zuckerberg? Berapa ramai yang mengenalinya?

Beliau merupakan seorang pelajar universiti telah mencipta satu laman sosial aitu Facebookyang seterusnya kini menjadi satu fenomena di seluruh dunia.

Hasil dari penciptaan laman web berkenaan, Mark Zukerberg merupakan salah seorang bilionair muda hasil penemuan yang inovatif.

Mengapa manusia perlu kepada inovasi? Inovasi merupakan cara atau pendekatan baru dalam melakukan sesuatu.

Perkataan inovasi sering dikaitkan dengan proses dan tidak semestinya bergantung kepada ciptaan baru dan ia juga yang merevolusikan tamadun manusia.

Demikian pentingnya inovasi dan pengaruhnya dalam kehidupan manusia dan atas sebab itu jugalah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah diberi tanggungjawab untuk menerajui usaha transformasi, berpaksikan ekonomi dipacu oleh inovasi dengan matlamat meningkatkan daya saing, kemajuan dan pertumbuhan ekonomi lestari dalam era globalisasi pada tahun ini.

Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjelaskan betapa pentingnya inovasi dalam Bajet 2010 lalu, beliau telah mengisytiharkan pada tahun ini sebagai Tahun Inovasi dan Kreativiti atau dikenali sebagai Malaysia Inovatif 2010 (MI2010).

Penganjuran MI2010 adalah seiring dengan hasrat Perdana Menteri untuk melakukan perubahan melalui inovasi secara menyeluruh untuk membawa negara ke tahap ekonomi yang lebih maju; 'Innovative Leadership for 1United, Innovative Malaysia'.

Tujuan MI2010 diadakan adalah bagi meningkatkan kesedaran dan memupuk budaya inovasi di kalangan rakyat Malaysia ke arah penghasilan kekayaan, penjanaan ilmu dan kesejahteraan rakyat.

MOSTI sebagai penyelaras utama dengan penyertaan kementerian-kementerian dan Rakan Inovasi dalam menjayakan MI2010.

Rasanya masih belum terlambat bagi Malaysia memanfaatkan bidang tersebut sebagai pendekatan mencapai model ekonomi baru yang berpaksikan inovasi, kreativiti dan nilai tinggi.

Meskipun wujud beberapa kekangan ke arah itu yang boleh membantutkan iltizam kerajaan, antaranya peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara relatifnya kecil iaitu hanya 0.64 peratus berbanding tiga atau empat peratus di negara maju.


Selain itu, jumlah penyelidik sehingga 11 Januari lalu menunjukkan bahawa nisbah saintis, penyelidik dan jurutera (RSE) bagi 10,000 tenaga kerja adalah 18.2 adalah rendah, masih belum terlambat bagi MOSTI untuk berusaha ke arah itu.

Pada masa sama, inovasi tempatan berhadapan dengan stigma masyarakat bahawa produk import lebih baik dan jauh lebih berkualiti.

Bagaimanapun iltizam itu kementerian dinyatakan oleh menterinya, Datuk Seri Dr. Maximus J. Ongkili yang menyasarkan akan meningkatkan bajet R&D kepada melebihi satu peratus dan lebih menarik mahu meningkatkan jumlah inovasi yang dikomersialkan.

''MOSTI meletakkan sasaran peningkatan sebanyak 10 peratus produk yang dipatenkan tahun ini daripada 160 produk yang dipatenkan (sebelum ini)," katanya.

Ketika ini pula kadar pengkomersialan ialah 3.4 peratus.

MOSTI akan terus mempergiatkan aktiviti R&D dengan berorientasikan keperluan pasaran bagi menghasilkan produk yang mempunyai nilai komersial

Bagi mencapai matlamat tersebut, MOSTI telah mengenal pasti bidang-bidang keutamaan dan bidang pertumbuhan baru seperti tenaga diperbaharui, nanoteknologi, perubahan iklim dan bioinformatik.

Selain usaha pengkomersialan, yang lebih penting daripada itu ialah bagaimana memupuk kreativiti kerana inovasi dan bidang tersebut amat berkait rapat.

Ongkili berkata, usaha akan terus diperhebat bagi memupuk daya kreativiti khususnya di peringkat muda.

Kata beliau, anak tempatan tidak kurang hebatnya dalam pelbagai bidang sehingga mencapai tahap antarabangsa. Mereka sepatutnya menjadi role model kejayaan kepada golongan muda.

Beberapa nama boleh dijadikan contoh tetapi yang lebih penting lebih ramai yang mengikuti jejak langkah mereka yang telah berjaya dan kerajaan memainkan peranan mengembangkan bakat-bakat ini.


Anugerah Inovasi Negara (AIN) yang diadakan sejak beberapa tahun kebelakangan mungkin boleh dijadikan kayu ukur pemupukan daya kreativiti dan penjanaan inovasi tetapi yang lebih signifikan ialah meningkatkan persekitaran kondusif untuk bakat tempatan terus berkarya.

Ramai daripada kita menganggap inovasi ialah produk semata-mata sebaliknya, faktor yang lebih mustahak ialah supaya keupayaan sistem pendidikan dan latihan diberi perhatian bagi memastikan modal insan yang dijana mempunyai pengetahuan, kemahiran dan menepati keperluan pasaran.

''Mungkin sudah sampai masanya pengenalan mata pelajaran mengenai kreativiti, inovasi dan berfikir kreatif ditekankan sebagaimana yang telah dilaksanakan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, Korea Selatan dan Singapura yang memandang berat mata pelajaran tersebut dalam sistem pendidikannya," kata Ongkili.

Beliau menegaskan, inovasi memerlukan empat bahagian iaitu pendidikan, penyelidikan dan pembangunan serta insentif dan pemasaran sebelum faktor luaran lain seperti keadaan ekonomi sekarang ini yang boleh memberikan kesan terhadap industri.

Beliau juga berpendapat, inovasi seharusnya dimasyarakatkan demi memastikan ia dekat di hati rakyat dan mudah diterima oleh semua lapisan masyarakat.

Memasyarkatkannya terlebih dahulu adalah penting sebelum membudayakannya dalam kehidupan harian.

Justeru, portal MyIdeas (www.myideas.com.my) telah dilancarkan oleh Perdana Menteri bagi 'mengutip' idea dari seluruh pelosok negara, ditapis dan diambil idea-idea yang mempunyai nilai komersial.

Ia merupakan salah satu usaha radikal kerajaan dalam mendekati rakyat bagi memastikan kreativiti dan idea mereka diiktiraf.

Sejajar dengan itu, MOSTI telah mendekatkan inovasi yang dihasilkan kepada pengguna di peringkat akar umbi dan kini terdapat 13 projek komuniti berasaskan inovasi telah dilaksanakan untuk membantu penduduk kawasan luar bandar untuk meningkat pendapatan.

Antara projek yang sedang dilaksanakan di beberapa kawasan Parlimen dan mendapat hasil yang lumayan ialah projek minyak kelapa dara (VCO), baja organik, makanan ternakan haiwan dan projek penternakan ikan kelah.

Pada tahun ini, MOSTI turut merancang untuk memperluaskan program seperti ini di enam puluh kawasan Parlimen yang akan dikenal pasti kelak.

Pendek kata, inovasi tidak seharusnya dilihat kepada aktiviti yang menjurus kepada sains dan teknologi semata-mata.

Inovasi meliputi definisi yang lebih luas di mana ia juga amat penting di dalam bidang pendidikan, kesihatan, perbankan dan sebagainya. Inovasi juga boleh dijadikan sebagai gaya hidup di kalangan rakyat.

Tema bagi MI2010 ialah "Meraikan Kreativiti."

Program dan aktiviti MI2010 melibatkan 14 kementerian utama meliputi Kementerian Pelajaran; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Pengajian Tinggi; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta dan Kementerian Belia dan Sukan.

Kementerian lain termasuk Kementerian Pelancongan; Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Pertahanan; Kementerian Kesihatan; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Tuesday, January 26, 2010

Fikirkan keputusan keselamatan

Perlembagaan Persekutuan dianggap sebagai 'kitab' bagi sesebuah negara berdaulat. Ia menitikberatkan keselamatan insan atau khususnya keselamatan rakyat dan juga keselamatan negara. Konsep dan prinsip keselamatan rakyat dan keselamatan negara ini pula berasaskan sejarah serta jati diri atau identiti golongan rakyat yang terbesar sekali jumlahnya. Dan di Malaysia, bangsa Melayu yang beragama Islam dan Bumiputera adalah majoriti.

Di dalam sesebuah negara, politik dan keselamatan tidak dapat dipisahkan. Tumpuan kepada politik tanpa menghiraukan sudut keselamatan boleh mengucar-kacirkan negara. Terlalu berpolitik tanpa menghiraukan keselamatan dan strategi pertahanan/keamanan dalam negara pasti akan menimbulkan kekeliruan dan menggugat kestabilan pemerintahan.

Malaysia telah mengamalkan dasar berkecuali sejak ia tertubuh dan justeru tidak memberi penekanan kepada pertahanan. Walaupun belanjawan ketenteraan diperuntukan setiap tahun tetapi ia hanya merupakan belanjawan penyelenggaraan dan logistik tanpa menghiraukan pembinaan military arsenal.

Jelas Malaysia bukanlah negara membina ketenteraan. Namun suasana berubah bukan disebabkan oleh ancaman luar tetapi dalaman. Ancaman dalaman menjadi begitu ketara apabila Anwar Ibrahim dipecat lantas menubuhkan angkatan reformasi yang memburukkan lagi keadaan.

Ruang dan kesempatan ini disambut baik oleh kumpulan anti-establishment dan anasir-anasir yang masih lagi menyokong perjuangan dan membawa ideologi komunis.

Keadaan negara sekarang telah membawa kita kepada suasana perang dingin. Perang dingin selalunya berlaku antara satu kuasa dengan kuasa yang lain tetapi di Malaysia, perang dingin terjadi antara kaum yang menjadi rakyat. Kalau di Rusia dan Amerika Syarikat perang dingin adalah di antara pemerintahan Khuruschev dan John F. Kennedy di mana negara masing-masing berjauhan jaraknya, di Malaysia ia adalah antara Melayu dan Cina yang hidup bersama.

Rakyat Melayu sudah mula marah apabila kaum Cina mempertikaikan hak Melayu - dengan cara sengaja dan berpura-pura tidak faham undang-undang dan Perlembagaan. Sudah menjadi menteri sejak sekian lama masih lagi buat tak faham, sengaja melukakan hati orang Melayu. Contohnya Tan Sri Lim Keng Yaik yang mengatakan Ketuanan Melayu sudah tidak ada tempat lagi dalam negara ini. (Rujuk "Tiada Ruang Untuk Ketuanan Melayu"- Malaysia Kini, 9 Disember 2009)

Dalam menangani fahaman dan pengaruh komunis, Malaysia tidak memerlukan satu arsenal atau armada yang besar. Kekuatan yang ada sudah memadai. Yang penting adalah pendekatan pemimpin negara untuk mengatasi perang dingin ini. Setiap keputusan daripada pemimpin akan memberi implikasi yang positif atau sebaliknya dalam mempengaruhi hala tuju negara.
Dan ketika ini, kita berada persimpangan, salah pilih simpang segala usaha yang kita bina selama ini akan hancur.


Meminda ISA merupakan satu keputusan politik yang tidak bijak tanpa mengambil kira keselamatan negara. Kumpulan-kumpulan pelampau malahan orang Melayu sendiri tidak berterima kasih atas keselesaan yang diperolehi hasil wujudnya Akta Keselamatan Dalam Negeri.

ISA adalah senjata utama dan pemusnah kepada rangkaian komunis dan pendokong yang membawa ideologi ini. Apabila kerajaan tunduk kepada desakan meminda atau memansuhkan ISA, puak pelampau akan beranggapan mereka sudah berjaya dan kuat menganggap kerajaan sudah lemah.

Dalam keadaan sekarang, keputusan keselamatan mesti dibuat segera. Contohnya Amerika telah memperkukuhkan kubunya di Alaska. Memperkemaskan pertahanan dan persediaan serangan jarak jauh di Israel. Mempertingkatkan kelengkapan armada ke-7 tentera lautnya di Atlantik. Memperkuatkan pertahanan tentera di Jepun, Korea Selatan dan Filipina. Ini adalah keputusan keselamatan (security decisions) bukan political decisions.

Lee Kuan Yew telah membuat satu keputusan keselamatan yang bijak apabila mengharamkan buku-buku Mandarin dan menutup sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina di Singapura dan memperkenalkan sekolah satu aliran iaitu Inggeris.

Dipandang dari sudut politik, tindakan Kuan Yew janggal, zalim dan anti nasionalisme tetapi beliau telah mengutamakan keselamatan negara - "security of the country is a paramount important" yang mengatasi kepentingan orang lain.

Pada 8 Mei 1969, satu keputusan politik yang amat 'buruk' dalam sejarah negara telah dibuat oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Keputusan yang menyemarakkan api perkauman antara Melayu dan Cina yang telah mempercepatkan peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969.

Keputusan itu juga menjadi faktor penyudah atau conclusive factor kepada DAP dan komunis yang telah meletak pemimpin besar kita di bawah telunjuk mereka, malah nasihat Ketua Polis Negara yang pakar dalam keselamatan tidak dihiraukan.

Pada 9 Mei 1969 negara telah melihat satu perarakan raksasa dianjur oleh Parti Buruh, DAP, Gerakan dan anasir bawah tanah PKM. Lebih 10,000 orang Cina terlibat membawa sepanduk "Darah Bayar Darah" dicat dengan warna merah. Polis telah tidak dibenarkan masuk campur kononnya takut berlaku huru-hara.

Satu keputusan yang langsung tidak menghiraukan hari mengundi/pilihan raya umum pada esoknya iaitu 10 Mei 1969. Inilah akibat kepentingan politik didahulukan apabila negara sedang dalam krisis. Keputusan tersebut bukan sekadar mengecewakan orang Melayu bahkan orang Cina sendiri yang mengamalkan kedamaian.

Pemimpin kita tidak boleh salahkan orang luar jika sesuatu yang buruk berlaku. Sejarah telah membuktikan keruntuhan sesebuah negara adalah kelemahan dalaman. Ketika ini, keputusan keselamatan sangat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat agar keamanan negara terus terjamin.

Fenomena sekarang menyaksikan rakyat keliru. Malah ada juga pemimpin-pemimpin negara yang keliru. Jika sesuatu ketegasan tidak dibuat, kestabilan keselamatan mungkin tidak terjamin dan sudah tentu politik tidak berfungsi lagi sebagaimana yang diharapkan. Jika ini berlaku, konsep 1Malaysia tidak dapat direalisasikan.


Persoalan politik dan pembangunan negara patut diketepikan buat sementara. Keutamaan harus diberi kepada keselamatan, apa guna ada mahligai tinggi jika negara hancur lebur.

Oleh sebab itulah Perlembagaan Persekutuan memaktubkan bahawa agama rasmi kita adalah agama Islam, bahasa rasmi kita adalah bahasa Melayu, ketua negara kita adalah Yang di-Pertuan Agong dan pribumi iaitu orang Melayu dan Bumiputera mempunyai hak dan keistimewaan di negara ini.

Seluruh peruntukan Perlembagaan ini tidak boleh dipinda melainkan dengan perkenan Majlis Raja-Raja Melayu. Maksudnya jika peruntukkan-peruntukkan ini cuba diganggu-gugat atau cuba diperkecil-kecilkan oleh mana-mana pihak, maka Raja-Raja Melayu berhak untuk mempertahankannya.

Hakikatnya begitu kerana jika soal-soal membabitkan Islam, Melayu dan Bumiputera dipersoalkan oleh rakyat Malaysia yang berlainan keturunan, maka soal-soal ini boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan dan juga keselamatan negara. Oleh sebab itu, seluruh rakyat Malaysia wajib memahami prinsip dan konsep kenegaraan dan juga prinsip dan konsep keselamatan negara di Malaysia.

Dalam konteks kontroversi mengenai penggunaan kalimah Allah di dalam Bible contohnya, pihak-pihak yang memperjuangkan isu ini jangan lupa akan implikasinya kepada Perlembagaan Persekutuan, kepada keselamatan masyarakat dan kepada keselamatan negara. Memang yang diperjuangkan adalah isu agama. Apa yang dibangkang oleh umat Islam juga adalah isu agama tetapi jika isu ini menerima sokongan sesetengah pihak, tentu sekali isu ini membakar kemarahan umat Islam dan boleh mengancam keselamatan negara.

Itulah hakikatnya kerana jati diri Melayu dan Islam yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan, bila mula diperkotak-katikkan oleh rakyat minoriti bukan Islam - akan bermakna pihak minoriti ini mempermain-mainkan Perlembagaan negara, mempersendakan jati diri Melayu dan memperlekehkan kemuliaan Islam. Jika dibiarkan berlarutan, keselamatan rakyat pelbagai agama akan tergugat dan keselamatan negara akan terancam.

Dengan itu, saya harap semua pihak yang sedang memperjuangkan isu kalimah Allah dalam Bible memberhentikan tindakan mereka supaya jati diri Melayu dan Islam yang dilindungi Perlembagaan tidak dipersendakan, supaya Perlembagaan negara tidak diperlekehkan, supaya keharmonian rakyat berbilang kaum tidak tergugat dan keselamatan negara tidak terancam. Kepada pihak ini "Tiada maaf bagimu!"

Begitu juga dengan isu-isu yang mempersoalkan kuota pemilikan Bumiputera sebanyak 30 peratus, soal keunggulan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara, status sekolah-sekolah kebangsaan, soal pemberian biasiswa kepada pelajar-pelajar Bumiputera dan lain-lainnya.

Seluruh perkara ini adalah membabitkan jati diri Melayu dan Bumiputera yang menjadi majoriti di Malaysia, yang sejarah silam mereka dijadikan asas-asas penting dalam konsep prinsip kenegaraan dan keselamatan negara.

Oleh itu, jangan ada pihak yang cuba-cuba mengukuhkan jati diri etnik mereka dengan menceroboh jati diri Melayu, Islam dan Bumiputera yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Pihak-pihak bukan Melayu, bukan Islam dan bukan Bumiputera mesti insaf. Jika kami orang Melayu, orang Islam dan orang Bumiputera menentang pengukuhan jati diri etnik minoriti di Malaysia, kita bukannya perkauman, bukan racist dan bukannya religious-fanatic.

Kita menentang apa jua usaha meroboh dan mencerobohi jati diri Melayu, Islam, Bumiputera yang dilindungi Perlembagaan kerana jika status-quo jati diri ini berubah atau dicerobohi, keselamatan masyarakat akan tergugat dan keselamatan negara akan terancam.

Dalam kontroversi penggunaan kalimah Allah, ada pihak mempersoal mengapa di Indonesia boleh kalimah ini digunakan di gereja-gereja, tetapi Malaysia pula cuba melarangnya. Kepada pihak yang membawa hujah ini saya tegaskan, konsep dan prinsip jati diri dan keselamatan negara di sesebuah negara asing jangan dijadikan asas kepada konsep dan prinsip jati diri dan keselamatan di Malaysia.

Konsep serta prinsip jati diri dan keselamatan negara di Malaysia ikut ukuran Malaysia, ikut sensitiviti Malaysia, ikut Perlembagaan Malaysia. Di mana bumi kita pijak, di situ langit kita junjung! Indonesia ikut cita rasa Indonesia! Malaysia ikut sensitiviti Malaysia. Jati diri dan keselamatan negara Malaysia adalah hak umat majoriti Malaysia yang jadi asas dan tunggaknya!

Oleh itu, saya harap seluruh rakyat Malaysia perlu sentiasa menginsafi implikasi kenyataan, desakan, tuntutan dan tindakan mereka terhadap jati diri umat majoriti di Malaysia dan juga terhadap keselamatan negara. Negara ini masih muda. Struktur kenegaraan kita masih rapuh.

Dalam keadaan seperti ini, jangan sekali-kali ada kelompok minoriti cuba-cuba melukakan hati kelompok majoriti. Dalam keadaan seperti ini jangan sekali-kali ada pihak cuba menceroboh identiti pihak majoriti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dengan itu juga, pihak-pihak dalam kerajaan juga perlu tidak bertolak ansur dengan mana-mana usaha yang mencerobohi identiti kaum majoriti Malaysia. Setiap keputusan yang diambil, baik daripada segi apa sekalipun, perlu diputuskan berasaskan keselamatan negara serta keseluruhan Perlembagaan Persekutuan. Perkiraan mengenai kesaksamaan dan hak asasi juga perlu dipertimbangkan dari sudut keselamatan negara yang asasnya adalah keunggulan identiti masyarakat majoriti di Malaysia.

Akhir sekali, kerajaan mesti bertegas, soal identiti kaum majoriti Malaysia perlu terus dipelihara dan dipertahankan. Soal identiti kaum majoriti Malaysia perlu dijadikan satu daripada core values atau nilai masyarakat yang dilindungi keselamatannya. Mana-mana pihak yang mempersenda, memperlekeh atau mempersoalnya perlu diletak di bawah pemantauan keselamatan atau disifatkan sebagai perang keselamatan insan dan keselamatan negara pada setiap masa.

(Utusan Online, 25/1/2010)

Monday, January 25, 2010

Sunnah Nabi saw 24 jam

Penulis: Khalid al-Husainani
Tahun: 2009
Penerbit: Mirqat Pustaka, Jakarta Timur, Indonesia.
Muka Surat: 156

Buku kecil ini dibuat secara kompak dengan hiasan kulit tebal yang menarik, menunjukkan kreativiti penerbit untuk mencuri perhatian bakal pembeli. Bagi meningkatkan nilai tambah, penerbit membungkusnya dengan plastik sebagai helah yang buku ini mempunyai kandungan yang luar biasa.

Sebaik sahaja pembaca membuka buku dan meneliti isi kandungan, ternyata ia tidak lebih daripada buku-buku biasa yang ditulis mengenai adab-adab, solat sunat, amalan zikir dan doa harian yang menjadi amalan Nabi Muhammad saw. Namun, yang membezakannya daripada buku-buku lain ialah hadis-hadis yang mengiyakan adab-adab berkaitan doa ketika masuk dan keluar tandas, doa selepas wudhuk dan keperluan bersiwak.

Ringkasan-ringkasan adab yang dimuatkan dapat membantu pembaca mengamalkan beberapa adab dan doa yang mudah. Bagi yang kreatif, ia boleh dicetak dan ditampal di tempat-tempat tumpuan di dalam rumah seperti di cermin, pintu bilik air atau dapur.

Mengamalkan sunnah Nabi Muhammad saw memberi peluang kehidupan yang penuh berkat kerana semua yang dilakukan oleh baginda memang mempunyai hikmah tertentu. Seterusnya memiliki sebuah buku ini dapat mengukuhkan diri bagi melaksanakan adab dan akhlak sebagai seorang muslim.

Sunday, January 24, 2010

Sarjana tidak laku

Seorang pencari kerja hanya membuang masa hampir enam bulan apabila menerima mesej ‘minimum 3.0. Mungkin tak di short list’ setelah permohonannya sebagai pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi ditolak. Barulah beliau sedar yang namanya tidak pernah dimasukkan ke dalam senarai untuk dipanggil temuduga walaupun memilki ijazah sarjana. Sebaliknya keputusan akademik di peringkat sarjana muda lebih diutamakan, justeru kelayakan sarjana atau doktor falsafah diketepikan.

Kesedaran rakyat Malaysia untuk kembali ke universiti setelah bertahun-tahun bekerja menunjukkan peningkatan yang semakin menggalakkan. Keinginan mereka untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana dan doktor falsafah adalah tuntutan semula jadi manusia yang mahu berubah. Perkara ini disedari oleh kerajaan lalu empat buah universiti dilonjakkan sebagai universiti penyelidikan dengan menawarkan peluang dan tempat belajar di peringkat sarjana dan PhD. Kempen yang agresif dilakukan oleh keempat-empat universiti berkenaan untuk menarik seberapa ramai pelajar dari dalam dan luar negera datang belajar di tempat mereka.

Kepelbagaian kursus, kualiti pensyarah dan kemudahan pembelajaran ditingkatkan sebagai sebahagian daripada penjenamaan semula institusi pendidikan tinggi bertaraf global.

Di samping itu pelbagai inisiatif oleh pihak kerajaan seperti peruntukan kewangan kepada pelajar yang mendapat tawaran belajar dimasukkan dalam Bajet 2009 lalu. Ia diuruskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Inisiatif ini dilihat mampu melonjakkan minat mereka yang bekerja untuk kembali belajar dan menambah ilmu pengetahuan. Secara tidak langsung dapat menambah kualiti modal insan dalam semua bidang di negara ini.

Kini terdapat 20 buah universiti awam dan berpuluh-puluh universiti dan institusi swasta yang sedang menawarkan pelbagai kursus. Keadaan seperti ini tidak pernah difikirkan apabila negara mengecap kemerdekaan dahulu. Dalam tempoh 50 tahun kita memiliki banyak insistitusi pengajian tinggi. Dengan bertambahnya bilangan pusat pendidikan tinggi, rakyat Malaysia mulai berlumba-lumba melengkapkan diri masing-masing dengan tahap pendidikan yang lebih baik kerana pelbagai sebab. Antaranya ialah bagi mendapatkan merit kenaikan pangkat, kenaikan gaji atau membina status sosial dalam kelompok perniagaan.

Dalam proses belajar, ada dalam kalangan pelajar sarjana dan doktor falsafah ini yang mula berminat dalam bidang akademik. Mungkin semasa di peringkat ijazah sarjana muda dahulu mereka tidak berfikir untuk menjadi tenaga akademik menyebabkan keputusan peperiksaan tidak begitu baik. Tumpuan pada hanya untuk mendapat kerja menjadikan CGPA mereka di bawah 3.0. Namun proses yang dilalui ketika bekerja telah memberi kesedaran kepada mereka untuk meningkatkan tahap ilmu dan kepakaran. Tempoh masa dua hingga empat tahun yang dilalui bagi mendapat sarjana dan PhD cukup untuk memberi pengalaman baru kepada mereka.

Tahap kematangan seseorang semakin bertambah, seiring dengan peningkatan umur dan tahap pendidikan serta proses yang dilalui ketika bekerja. Kadangkala tahap profesionalisme dan budaya kerja semakin baik apabila seseorang didedahkan kepada pengalaman-pengalaman hidup yang mencabar kerana dia kenal susah payah kehidupan. Di samping itu, kemahiran sosial dan komunikasi membantu kecemerlangan seseorang dalam bidang yang mereka ceburi.

Jika pihak universiti hanya mengambil keputusan peperiksaan sebagai syarat yang utama dan pertama sebagai kelayakan asas bagi jawatan pensyarah, ia merupakan nasib malang bagi pemohon yang tidak memiliki syarat tersebut. Apabila pengalaman dan buku-buku penerbitan tidak diambil kira, kelompok ini akan mula beralih ke sektor lain.

Gaji bulanan seorang pensyarah dengan gred 45 atau 51 tidaklah sebanyak mana jika dibandingkan dengan penjual laksa di siar kaki simpang masuk ke Masjid Sri Petaling yang berpendapatan RM10 ribu sebulan. Namun bagi mereka yang baru mendapat ijazah, memiliki pekerjaan yang baik adalah umpama lesen yang menjamin hidup dan masa depan.

Dalam hal ini, kadangkala pihak universiti perlu juga melihat pengalaman kerja, keupayaan menulis dan menerbit artikel dalam jurnal serta profesionalisme kerja sebagai kelayakan yang wajar diberi pertimbangan, bukan hanya bergantung pada ‘you dapat CGPA berapa?’

Saturday, January 23, 2010

Ipecacuanha

Bertindak pada saraf perut dan paru-paru yang menghasilkan radang di dada dan perut. Simptom utama ialah berterusan rasa loya dan muntah. Berlaku selepas makan makanan tidak hadam, raisin, kek dan sebagainya. Keadaan kerap berlaku kepada kanak-kanak dan orang dewasa yang gemuk, mudah mendapat demam dan selesema, rasa panas, cuaca lembap. Kesannya sekali-sekala. Tumpah darah merah muda dan melimpah-limpah.

Fikiran: Mudah naik darah; cepat meradang; tidak sabar; kerap menangis. Muram, perasaan benci. Banyak keinginan tetapi tidak tahu apa yang dimahukan. Merengek, mesti menangis. Enggan semua barang.

Kepala: Sakit kepala dengan loya; tulang tengkorak rasa hendak pecah. Dahi berdenyut-denyut. Sakit di dalam mata.

Mata: Bengkak merah. Sakit biji mata. Keluar air mata. Kornea kabur. Mata letih bila lihat terlalu dekat. Pandangan sentiasa berubah-ubah. Loya bila lihat pergerakan objek. Anak mata jadi besar. Tahi mata di sudut hujung mata.

Telinga: Tidak tahan dengan bunyi. Telinga sejuk semasa demam panas.

Hidung: Hidung berair dan tersumbat serta loya. Hidung berdarah. Hilang daya bau. Bersin dengan sedikit hingus. Batuk dengan kahak atau darah.

Muka: Pucat; sebu; biru kelabu; kuning; pucat lesi; mata cengkung. Rasa urat menyucuk-nyucuk dengan mata berair dan kelopak mata pedih.

Mulut: Kanak-kanak memasukkan tangan dengan kasar ke dalam mulut; lidah; kering; putih atau kuning; nampak pucat; air liur banyak keluar. Sentiasa telan air liur.

Kerongkong: Kering, sakit, kasar dan menyengat. Susah menelan. Tekanan dalam kerongkong dan rasa sakit di bahagian diafragma.

Perut: Sendawa kosong; banyak air liur. Batuk dengan loya. Loya dan muntah kerana merokok dan kesan tembakau. Muntah; makanan yang telah dimakan, mukus berjeli, hempedu, darah, cecair masam; diiringi rasa masam. Muntah semakin teruk dengan membongkok. Muntah dengan rasa haus, peluh, pernafasan teruk; cirit-birit, sakit perut, kembung perut; cepat muntah dan hendak tidur. Kerap kentut, najis berlendir. Mencengkam; susah bergerak, lega selepas duduk. Cirit-birit diiringi rasa sakit dan mengeluh. Rasa dipotong-potong dari kiri ke kanan.

Najis: Masam; loya dan sakit perut.

Kencing: Sedikit (merah gelap); kencing berdarah.


Organ Seks: Haid terlalu awal dan banyak. Sakit dari lubang pusat ke rahim. Muntah semasa hamil. Tumpah darah dari rahim; darah merah terang, banyak, beku; loya; bernafas dengan rasa tertekan, sakit menyucuk dari pusat ke rahim.

Pernafasan: Suara perlahan. Tekak berdecip-decip. Hidung berbunyi kerana ada hingus. Sesak nafas dan ada bunyi siulan, rasa berat dan risau; batuk bergegaran. Bersin berterusan; hidung berair; batuk berbunyi. Batuk tanpa henti, tidak boleh bernafas. Dada rasa penuh dengan kahak tetapi tetap juga batuk. Batuk hingga sesak nafas, kanak-kanak menjadi kaku dan muka kebiruan. Batuk kokol; hidung berdarah. Darah keluar dari paru-paru dengan rasa loya dan semput. Air liur berdarah. Suara serak terutama di akhir demam selesema. Radang peti suara.

Jantung: Berdegup kuat dan perlahan silih berganti; laju tetapi lemah.

Kakitangan/Belakang: Sebelah tangan sejuk dan sebelah lagi panas. Sakit jika dipukul pada tulang-tulang. Sakit sendi jika kaki dan tangan menjadi kebas. Badan keras semasa mengeliat diikuti keadaan tersentak-sentak pada lengan.

Kulit: Pucat, sekeliling mata menjadi biru. Sakit menyucuk-nyucuk kerana ruam. Kulit gatal; garu kulit hingga muntah.

Tidur: Semasa hendak tidur, kaki dan tangan menjadi tegagng. Tidur dengan separuh mata terbuka, menguap dan mengerang. Tidak dapat tidur. Kurang tidur sebabkan timbul rasa loya dan letih.

Demam: Sakit belakang, sedikit menggigil, demam panjang; panas dengan rasa haus; kepala amat sakit, loya dan batuk, akhirnya berpeluh. Sejuk di luar badan, panas di dalam; diikuti peluh. Menggigil pada pukul 4 petang, kemudian rasa sangat sejuk tetapi tidak haus. Demam sekejap-sekejap dengan simptom gastrik.

Konstitusi: Kanak-kanak dan orang dewasa yang gemuk; mudah mendapat selesema; mudah marah.

Sebab-Musabab: Marah; tidak puas hati; cedera; halang tompok-tompok kecil pada kulit daripada keluar; makanan tidak hadam; menggunakan dadah untuk tahan sakit.

Melarat: Ikut masa; dari muntah, batuk, halang tompok-tompok kecil pada kulit daripada keluar; makan daging anak lembu (veal); sukar fikir kerana sakit perut, cahaya lilin, mengupas limau, raisin, salad, lemak dan membongkok.

Patologi: Loya berterusan; tumpah darah; radang perut dan usus; morning sickness; sukar bernafas; hidung berdarah; kanak-kanak cirit-birit,
bronchitis.

Simptom Utama: Loya; muntah; bernafas seperti bersiul.

Friday, January 22, 2010

Kadar kelahiran negara kekal sihat, meningkat

Malaysia menyambut kedatangan 516,645 bayi tahun lepas, meningkat 3.9 peratus atau 20,231 berbanding tahun 2008.

Selangor kekal dengan kadar kelahiran paling tinggi iaitu 80,110 diikuti dengan Sabah (60,190) dan Johor (58,597), menurut statistik yang diperolehi daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pada 2008, Selangor mendahului dengan 76,932, Johor (58,517) dan Sabah (51,773).
Jumlah kematian tahun lepas ialah 129,922 berbanding 123,335 pada tahun 2008, peningkatan 5.1 peratus atau 6,587.


Selangor juga negeri yang mencatat kadar kematian yang paling tinggi iaitu 16,494 diikuti Johor (15,749) dan Perak (15,467).

Menurut laman web Jabatan Perangkaan Negara, jumlah penduduk Malaysia pada 2007 mencapai 27.17 juta dan meningkat kepada 27.73 juta pada 2008 dan dianggarkan bertambah kepada 28.31 juta bagi 2009.

Sejak beberapa tahun lepas, penduduk dalam lingkungan umur 15 hingga 64 tahun merupakan 63 peratus daripada jumlah penduduk negara, 32 peratus berumur bawah 15 tahun, manakala selebihnya berumur 65 tahun ke atas.

(Bernama, 21/1/2010)

Thursday, January 21, 2010

Bahana 'kemaruk' laman sosial

Oleh Mohammad Ismail

Laman web rangkaian sosial telah menjadi satu trend dalam kehidupan masyarakat masa kini. Semua lapisan masyarakat baik golongan pemimpin, golongan profesional sehinggalah peringkat kanak-kanak boleh dikatakan majoriti mempunyai laman web rangkaian sosial sendiri. Antara yang paling popular adalah laman sosial Facebook dengan catatan kira-kira 6.2 juta pengunjung.

Manakala laman Friendster mencatatkan pengguna seramai 4.2 juta orang, diikuti oleh laman Myspace 2.1 juta orang dan laman Twitter seramai kira-kira 750,000 pengunjung.

Statistik ini menunjukkan 'kegilaan' terhadap aktiviti melayari laman web sosial semakin diminati dan menjadi satu 'rutin' dalam kehidupan 'pencinta' laman web rangkaian sosial ini. Ia seolah-olah menjadi satu 'ketagihan' bagi pengikut fanatik laman web sosial ini sehingga ada yang sanggup berjaga sampai larut malam bersengkang mata demi untuk berkomunikasi secara maya.

Lebih mengasyikkan apabila laman web sosial ini menyediakan 'permainan' interaktif seperti Farmville. Ia cukup untuk membuat pengikutnya terus 'melekat'. Pantang ada masa terluang, pasti mereka akan memanfaatkan laman kegemaran mereka. Terdapat juga segelintir yang memastikan anak-anak dan si suami atau isteri tidur terlebih dahulu sebelum melayari laman web sosial itu.

Tidak hairanlah seramai 350 juta pengguna telah mendaftar laman web sosial Facebook di peringkat global dan seramai 6.2 juta pengunjung telah mengunjungi laman ini di Malaysia.

Fenomena 'kegilaan' terhadap aktiviti ini memberi kesan yang mendalam dalam kehidupan masyarakat sehingga ada yang menjadikan membuka laman web sosial ini sebagai 'sarapan pagi' sebelum melakukan aktiviti harian yang lain. Tidak cukup dengan akses melalui Internet, kini 'pencinta' laman web sosial boleh mengakses, mengemas kini informasi dan memuat turun gambar melalui aplikasi telefon bimbit.

Kecanggihan teknologi dan perkhidmatan yang disediakan menambahkan lagi 'keghairahan' pengikut setia laman web sosial ini untuk terus berhubung. Tidak dinafikan kewujudan laman web sosial seperti Friendster, Myspace, Facebook, Twitter, ekawan dan sebagainya dapat mengeratkan tali silaturahim sesama kita, mempertemukan sahabat yang telah lama terpisah, mengikuti perkembangan aktiviti pemimpin, bertanya khabar dengan cara yang paling menjimatkan, berbincang, nasihat menasihati, berkongsi pengalaman dan petua serta banyak lagi kebaikan yang mampu dimanfaatkan oleh pengguna laman web rangkaian sosial ini.

Di sebalik kebaikan yang dinikmati, terselit kesan buruk laman web rangkaian sosial ini.

Terdapat segelintir mereka yang tidak bertanggungjawab menggunakan laman ini untuk memerangkap gadis-gadis yang mudah dipujuk rayu.

Bermula dengan sembang secara maya, lama kelamaan kemesraan yang terjalin membangkitkan 'keinginan' untuk bersua muka bagi mengeratkan lagi hubungan. Natijahnya, ibarat habis madu sepah dibuang, lelaki yang tidak bertanggungjawab meninggalkan gadis yang terpaksa mengandung anak hasil daripada keterlanjuran.

Dengan angka pengguna Internet di Malaysia menjangkau 16 juta orang dan angka tersebut dijangka terus meningkat, pastinya tindakan sewajarnya perlu dilakukan sebelum lebih ramai lagi wanita-wanita Malaysia akan menjadi 'korban'.

Kita juga khuatir jika 'kegilaan' laman web sosial ini membantu meningkatkan kes perceraian. Apa yang lebih membimbangkan jika anak-anak yang masih di bangku sekolah turut terpalit hasil kecanggihan teknologi maklumat ini.

Fenomena ini perlu dikawal agar tidak ada lagi gadis Malaysia yang terperangkap dengan jerat 'cinta ekspres' maya.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan, UiTM Perlis.

(Utusan Online, 20/1/2010)

Wednesday, January 20, 2010

"Backpacker" di tepi pantai

Mengembara adalah aktiviti yang sangat seronok dan memberi kepuasan. Budaya mengembara dan menjadi backpacker banyak kedapatan di kalangan masyarakat Barat. Kalau kita bersiar-siar di pantai peranginan di Terengganu seperti Pulau Perhentian, kita akan lihat beberapa orang lelaki dan wanita berkulit putih yang mengambil pesan minuman kita.

Ada di antara mereka ini yang sedang mengisi masa lapang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Kesempatan ini digunakan untuk menjelajah ke seluruh dunia.

Pelancongan tidak pernah surut daripada orang ramai khususnya di kawasan pulau lebih-lebih lagi jika ada pantai yang cantik. Pasir Panjang atau lebih dikenali sebagai Long Beach menjadikan backpacker sebagai identiti mereka. Kehadiran mereka menjadi pintu rezeki kepada penduduk di sini.

Contohnya, jika kita mahu menyewa payung untuk berjemur di kawasan pantai, kita dikenakan caj RM2 sehari. Backpacker ini juga rajin membaca, jadi disediakan sebuah kedai yang khusus menjual dan menyewa novel yang terletak di celah-celah restoran dan kafe. Cara inilah penduduk tempatan dapat menjana pendapatan sendiri.

Jika anda tinggal di kawasan Port Dickson, bisnes backpacker juga boleh anda lakukan. Contohnya seperti menyediakan khidmat jet ski, pelampung untuk mandi, kanoe atau perahu kecil untuk bersiar-siar. Kalau anda kreatif, bolehlah dijual secara kecil-kecilan barang kraftangan dan cenderamata.

Jika kawasan peranginan agak luas dan pantainya memanjang, anda boleh tawarkan bisnes snorkling dan membawa pelancong meninjau persekitaran dengan teksi air atu bot.

Ketika berkursus di Labuan tidak lama dulu, saya terlihat sebuah tempat penginapan yang tertera "Backpacker Hotel" yang diusahakan oleh orang tempatan. Ia bukannya hotel tetapi rumah kedai dua tingkat yang diubah suai menjadi tepat tinggal.

Ramai juga pelancong asing yang menginap di sini. Harganya tidak mahal, sekitar RM15 hingga RM30 sehari. Lagipun backpacker tidak mahu berbelanja besar kerana hendak menjimatkan kos.

Labuan yang kerap dibanjiri pelancong asing terus menjadi lubuk kepada mereka yang ingin mencari wang dengan menjadikan backpacker sebagai penjana pendapatan utama.

Tuesday, January 19, 2010

Cabaran yang dihadapi kanak-kanak dan remaja

Walaupun terdapat kemajuan yang pesat dan laba ekonomi, beberapa cabaran masih wujud bagi kanak-kanak dan golongan muda. Tunjangnya ialah isu ketaksamaan, baik sosial mahupun ekonomi, kerana hal ini akan mengakibatkan peminggiran sesetengah golongan masyarakat.

“…Setiap anak yang lahir seharusnya dibesarkan dalam persekitaran yang sihat, dibekalkan dengan segala perlindungan yang perlu daripada penyakit, menerima asuhan, penjagaan dan kasih sayang yang sewajarnya, menerima pendidikan am dan pendidikan tinggi setakat yang boleh, menerima kemahiran yang sesuai dalam bidang yang perlu, disemai dengan budaya dan nilai kemanusiaan”.

Wawasan 2020 Malaysia

Pertumbuhan penduduk yang pesat bersama-sama kadar pembangunan dan pengindustrian yang hebat telah meningkatkan kadar pembandaran. Bilangan penduduk bandar telah melambung daripada 37% pada tahun 1981 kepada 57% pada tahun 2000 dan kepada 63% pada tahun 2005. Walaupun pembandaran biasanya menghasilkan lebih banyak peluang pendidikan, penambahbaikan dalam status wanita dan kanak-kanak, jangka hayat yang meningkat dan mengurangkan kadar kematian bayi, ia juga boleh membawa pelbagai risiko, ancaman dan tekanan.

Cabaran yang berkaitan dengan pembandaran di Malaysia termasuklah bertambahnya jurang dalam hubungan keluarga dan pengasingan serta masalah sosial dan alam sekitar seperti penyalahgunaan dadah, jenayah, penempatan setinggan dan kesesakan lalu lintas. Malangnya, kanak-kanak dan golongan muda adalah di kalangan yang paling mudah terpengaruh dan terdedah kepada ancaman ini. Isu-isu berikut dan kesannya terhadap kanak-kanak dan golongan muda menjadi kebimbangan utama kepada Kerajaan dan UNICEF pada waktu ini:

-Bertambahnya kelaziman HIV/AIDS dengan penggandaan setiap tiga tahun bagi kes HIV yang dilaporkan.
-Bertambahnya laporan kekejaman terhadap kanak-kanak dan golongan muda termasuk penderaan seks.
-Bertambahnya kesalahan juvenil.
-Bertambahnya penyalahgunaan dadah.
-Kekurangan masa ibu bapa untuk pemeliharaan kanak-kanak dan penjagaan golongan muda dan kekurangan perkhidmatan yang berkualiti bagi penjagaan dan pembangunan zaman awal kanak-kanak.
-Kemalangan dan kecederaan menjadi sebab utama kecacatan dan kematian kanak-kanak.
-Jurang yang semakin ketara antara terkaya 20% dengan termiskin 20% dan implikasinya yang mungkin terhadap kemandirian, perlindungan, pembangunan dan penyertaan kanak-kanak.
-Pergerakan penghijrahan penduduk mengakibatkan sejumlah besar kanak-kanak yang tidak berdaftar, dan kadangkala tidak kelihatan

Sumber: Unicef Malaysia

Monday, January 18, 2010

Rahasia kesuksesan halaqah (usroh)

Penulis: Setia Hadi Lubis
Tahun: 2006
Penerbit: FBA Press, Tangerang, Indonesia.
Muka Surat: 153

Halaqah atau usrah semakin mendapat tempat dalam kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi dan aktivis yang memperjuangkan cara hidup Islam. Kelompok ini menjadikan halaqah sebagai program wajib setiap minggu. Ada kalanya halaqah mendapat sambutan luar biasa kerana ahli-ahlinya begitu teruja hendak mengetahui pelaksanaan halaqah. Ada kalanya juga ia berjalan dengan hambar ibarat ‘hidup segan mati tak mahu.’

Justeru kehadiran buku kecil ini sedikit sebanyak dapat memberi panduan dan galakan kepada gerakan aktiviti dakwah dan tarbiyah di samping meningkatkan keberkesanan pelaksanaan halaqah yang diadakan. Kandungannya membahaskan kaedah mewujudkan halaqah yang berjaya dan bagaimana halaqah dapat berjalan dengan lancar dan dinamik dan progresif.

Seringkali terdapat kelompok halaqah yang kurang menarik dan membosankan. Perjalanan halaqah yang kurang stabil kerana tidak cukup korum, ahli yang sering datang lewat atau kurang berdisiplin dalam pengurusan diri. Keadaan ini mengundang rasa jemu yang berpanjangan secara tidak langsung menjadikan keseluruhan proses tarbiyah menjadi lesu dan kaku.

Bagi menjadikan halaqah sebagai instrumen tarbiyah yang berkesan, ahli-ahli halaqah wajar mempastikan halaqah mereka berjalan dengan cemerlang (muntijah). Tanpa keinginan berkenaan, ia tidak memberi sebarang makna kepada jemaah dan organisasi. Hanya halaqah yang memiliki orientasi cemerlang yang berperanan secara signifikan untuk membina umat.

Buku istimewa ini sangat baik untuk dimiliki oleh ahli-ahli halaqah supaya mendapat gambaran yang jelas tentang halaqah yang muntijah. Ia merangkumi ahli dan pimpinan halaqah kerana kedua-duanya berperanan menggerakkan kejayaan berhalaqah.

Sunday, January 17, 2010

Penggunaan nama Allah oleh non muslim di Indonesia

Just nak kongsi pengalaman sepanjang lebih 5 tahun tinggal dan belajar di Indonesia. Saya tidak berniat memburukkan Indonesia.. They have my respect, dan saya tahu orang2 Indonesia tidak seburuk yang disangkakan di sini... (orang Indonesia baik dan ramah, pintar dan rajin.. that's a fact!)

Pengalaman ini saya kongsi supaya orang ramai boleh tahu dan membayangkan implikasinya jika penggunaan nama Allah oleh non-muslim dibiarkan. Di satu sisi memang agak lucu, tapi di sisi lain terdapat keseriusan di dalamnya.

Aku ingat satu hari aku bukak TV perdana dia pastu tengok satu program..Aku ingat ceramah agama lah.. dia punya penceramah punya semangat berkobar2.. "Kita semua sudah berdosa! Allah Maha Kuasa! Allah Maha Penyayang! Kembalilah kita semua ke jalan Allah! (aku dalam hati, Alhamdulillah. . bagus!) pastu tak pasal2 dia sambung "Kembalilah ke Yesus Kristus dan Bunda Maryam!" aku langsung tergolek...astaghfirullah! ceramah Kristian rupanya.

Satu lagi kenangan aku kat Indonesia, kalo baca surat khabar sana nanti ada slot obituaries: "Telah Kembali ke Rahmat Allah, Sdr. XXX pada XXX Semoga ruh beliau dicucuri rahmat Allah" Bila tengok balik nama yang mati Eduardus, Kristus, Paulus, etc. (nama org Kristian) pastu ada salib diikuti tulisan kecik "ash to ash, dust to dust, fade to
black"... tergolek lagi aku.. wakakaka...

Satu lagi cerita aku kat Indonesia, satu hari aku 'bermusafir' lah ke daerah Jawa Barat naik motor, pastu nak berhentilah solat.. aku toleh ke kiri kanan jalan cari masjid.. Pastu aku nampak ada signboard kalimah Allah (dlm arab!) pastu ada banner "Ayuh kerjakan kewajipan kita kepada Allah dan agamanya!" aku pun pergilah dekat.. tup2 aik, awat lain macam tempat ni, siap ada patung jesus kena salib??!! Tergolek lagi aku… lah.. gereja Kristian rupenye..

Satu lagi kat sana nak beli buku-buku agama kena hati-hati.. Aku dulu pernah 'usha' buku kat kedai buku.. Ada satu buku aku tak ingat persis tapi tajuk buku dia lebih kurang camni: "Memantapkan Iman Anda Kepada Allah" bila bukak2 browsing per helai aku start confuse, amacam lain macam aje ayat2 dan hadis dia.. Aku tengok balik lah.. ayat2 kutipan dari Bible.. tergolek aku lagi... lah, buku dakwah Kristian rupanya..

Risau gak klu jadi camni kat mesia.

Sumber: hidayahnet@yahoogroups.com

Saturday, January 16, 2010

Sepia

Penawar untuk perempuan. Bertindak di bahagian portal, hati dan sistem pembiakan perempuan. Tindakannya lambat dan simptomnya sukar dikenal pasti. Umumnya ialah lembam dan kecewa kerana tekanan. Fungsi hati tidak diganggu tetapi perembesannya bertukar ganti atau berubah menjadi masam dan kotor. Kesan utama Sepia ialah tindakan setempat ke atas organ-organ seks perempuan menjadikannya lemah dan meradang serta bertindak ke atas kulit yang menghasilkan kelepuhan.

Fikiran: Sangat risau, sensitif dengan bunyi-bunyian. Sangat sedih dan murung, menangis; waktu senja dan berjalan-jalan di tempat terbuka. Bimbang dengan muka yang kemerah-merahan. Sangat marah, risau dan mudah tersingung. Perasaan malas dan tidak aktif.

Kepala: Keliru dan sakit terutama di bahagian dahi. Pening bila berjalan di tempat terbuka; loya. Teruk jika tunduk, batuk atau menggoyangkan kepala. Sakit kepala dengan sedikit tekanan bila bangun pagi. Berat, rasa dicucuk dari mata kiri ke tepi mengarah ke belakang.

Mata: Radang mata; bengkak, merah, panas terbakar dan pedih. Mata berair di sebelah pagi dan petang. Mata rasa berat. Mata putih menjadi kuning; jaundis. Mata mudah letih kerana membaca dan menulis terutama kalau cahaya tidak terang. Penglihatan hilang tiba-tiba semasa haid; lega bila baring. Sensitif dengan cahaya yang terang.

Muka: Pucat (kuning); merah, tompok-tompok merah dan bengkak. Mulut kekuningan. Kulit dan bibir mengelupas. Muncul jerawat pada kulit.

Mulut: Sakit gigi, menyucuk-nyucuk yang melarat hingga ke telinga terutama selepas makan, minum atau mengambil sesuatu yang panas/sejuk. Sakit gigi semasa datang haid. Gusi sakit; bengkak merah gelap, luka dan mudah berdarah. Lidah berbalut putih. Mulut bau busuk. Bibir, lidah dan mulut kering; rasa pahit dan masam.

Perut: Berselera tapi tidak puas atau langsung tidak ada selera. Tidak mahu daging tapi mahu cuka. Kerap sendawa masam dan pahit (seperti telur busuk) terutama selepas makan dan minum. Pagi rasa loya selepas makan. Muntah semasa hamil. Rasa sakit semasa perut kosong; menyucuk-nyucuk.

Najis: Rasa terbakar dan gatal-gatal dalam dubur. Rahim jatuh. Sakit semasa buasir, berak dan bila berjalan.

Kencing: Kerap kencing (terutama malam). Rasa panas di saluran kencing semasa buang air kecil, pedih dan menyucuk-nyucuk. Air kencing keruh dan bercampur darah.

Organ Seks Perempuan: Sakit pada rahim. Sakit dalam ovari sebelah kiri. Faraj sangat kering selepas haid; sakit bila disentuh. Haid terlalu awal, melekat-lekat; sebelah pagi sahaja. Haid terlalu lewat dan melekat-lekat; sebelum haid mengalami sakit pudenda (bahagian depan faraj). Keguguran selepas bulan kelima.

Umum: Kerap menggigil seluruh badan. Selalu meniarap, letih dan pitam di sebelah pagi semasa datang haid. Tidak aktif selepas makan. Letih walaupun membuat latihan fizikal yang ringkas. Sensitif dengan udara sejuk atau dingin.

Konstitusi: Rambut hitam (perempuan); perempuan garang; semasa hamil; menyusu anak.

Melarat: Pagi dan petang dari pukul 12 tengah hari hingga 1 petang; 4 petang hingga 6 petang; selepas makan; semasa duduk; selepas bersetubuh.

Lega: Tempat terbuka; semasa latihan yang berat.

Patologi: Rahim turun ke bawah (prolapsus); sakit puan; tidak datang haid (amenorrhoea); senggugut (dysmenorrhoea); pendarahan antara haid (metorrhagia); faraj kering dan sakit semasa bersetubuh; haid sikit; morning sickness; keguguran; bengkak puting buah dada; senak; hidung berdarah semasa haid; gangguan kulit (herpes, psoriasis, kudis); rambut gugur; buasir.

Simptom Utama: Kurus dan letih; melarat sebelum ribut; melarat bila membuat kerja-kerja ringan dalam tempoh yang lama seperti membasuh pakaian.

Friday, January 15, 2010

Kekalkan kestabilan dan keharmonian negara

Selepas tujuh buah gereja disimbah api petrol dan demonstrasi di beberapa tempat kerana tindak balas ke atas kebenaran menggunakan kalimah Allah kepada The Herald Chatolic Weekly, apa yang kita fikirkan? Adakah kita memfokuskan kepada keputusan mahkamah, atau keberanian pihak gereja membawa isu ini ke mahkamah, ataupun keharmonian masyarakat?

Hakim Lau Bee Lan membuat keputusan berdasarkan kefahaman beliau. Sudah tentu beliau membuat kajian dan tafsiran ke atas perlembagaan negara sebelum membuat keputusan. Namun implikasi keputusan berkenaan tidak sahaja memberi kesan kepada kedua-dua pihak iaitu Kementerian Dalam Negeri dan gereja khatolik malah kesan besar ke atas persepsi dan prasangka antara kaum dan agama.

Agak lama masyarakat Melayu tidak diuji dengan isu-isu sensitif berkaitan agama selepas peristiwa Natrah di Singapura. Walaupun Natrah sudah meninggal dunia tetapi latar peristiwa itu sentiasa menjadi rujukan masyarakat apabila dikaitkan dengan agama. Walaupun terdapat beberapa isu yang dikatakan menjadi panas namun sehingga kini pihak berkuasa masih dapat mengawal keadaan. Antaranya, apabila pergaduhan di antara Melayu dan India di Kampung Medan dan Kampung Rawa, media mengawal keadaan dengan tidak membangkitkannya sebagai pergaduhan agama Islam dan Hindu, sebaliknya maklumat berkenaan dikawal.

Dalam kes penggunaan kalimah Allah ini, maklumat berkenaan tidak dapat dikawal sepenuhnya oleh kerajaan kerana perkembangan maklumat berlaku dengan pantas. Tindakan yang boleh dibuat ialah kerajaan memberi amaran dan pada masa yang sama menggunakan saluran media untuk memberi maklumat. Golongan yang tidak biasa dengan internet akan mudah menerima penerangan tetapi golongan muda dan laparkan maklumat, mereka akan berada berjam-jam di hadapan komputer untuk mencari maklumat. Semua saluran media sama ada pro pembangkang atau pro kerajaan, ia dilayari dengan penuh minat.

Sejak isu kalimah Allah, wujud tiga kelompok masyarakat yang jelas kecenderungan mereka. Pertama, kelompok yang membantah keputusan mahkamah. Tindakan kelompok ini ialah mengadakan demonstrasi dan menghantar memorandum kepada pihak yang difikirkan dapat menyelesaikan isu ini. Contohnya, demonstrasi di Masjid Negara dan serahan memorandum kepada Yang DiPertua negeri.

Kelompok kedua, golongan yang bersetuju dengan keputusan mahkamah. Mereka termasuk parti Pas dan pertubuhan bukan kerajaan. Dalam Pas, ada ahlinya yang seratus peratus bersetuju kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam.

Kelompok ketiga sangat istimewa. Mereka ini tidak peduli apa yang berlaku kerana yang penting ialah dapat cari makan dan ‘tok sah gaduh-gaduh.’ Kelompok ini wujud dalam semua bangsa dan agama.

Masyarakat Barat sentiasa cemburu dengan keharmonian rakyat Malaysia yang pelbagai kaum. Mereka kagum kerana kerajaan dapat menguruskan hubungan etnik dengan baik dan berkesan. Konsep pelbagai etnik ini tidak terdapat di Barat suatu masa dulu namun proses migrasi dan keperluan terhadap kebajikan sosial telah mengubah pola masyarakat di sana. Corrado Letta dalam buku ‘Malaysia-Europe: Strategic Partnership for the Pacific Century’ melihat hubungan etnik di Sabah dan Sarawak lebih baik berbanding Semenanjung Malaysia. Semua kaum di kedua-dua negeri itu dapat hidup dengan toleransi. Adalah biasa dalam sebuah keluarga ada adik-beradik yang beragama Islam dan kristian. Keadaan ini amat jarang di Semenanjung.

Bagi orang Islam, mereka faham kenapa kristian benar-benar ingin menggunakan kalimah Allah. Ianya adalah satu gerakan untuk mengelirukan masyarakat, sama ada Islam atau kristian, kerana amat mudah memasukkan elemen-elemen propaganda ketika keadaan mengelirukan. Sama ada lebih ramai orang mengenali Islam atau kristian, ia bergantung pada sejauh mana propaganda itu disebarkan.

Keadaan bertambah rumit apabila pihak kerajaan terpaksa memberi penerangan khusus kepada duta-duta asing perkembangan senario terkini apabila gereja diancam. Pihak polis pula terpaksa membuat tugasan khas dengan menempatkan anggota polis di rumah-rumah ibadat kristian dan Islam.

Sekiranya pergaduhan kaum meletus semula di Malaysia, siapa yang harus dipertanggungjawabkan? Adakah pelampau-pelampau agama yang bertegas hendak menggunakan kalimah Allah atau mereka yang membuat demonstrasi atau penulis-penulis blog yang sentiasa cuba melariskan blog masing-masing dengan isu-isu sensasi?


Memetik sebahagian daripada buku Strategi dan Kiat Dakwah Fardiyah, Syatibi Center, Indonesia dalam muka surat 33 yang berbunyi, 'Sama halnya dengan orang-orang Nasrani yang ingin menyembah Allah tetapi tidak memiliki ilmu, sehingga mereka menjadi tersesat dan divonis Allah sebagai orang-orang yang sesat (akhir surah Al-Fatihah).'

Thursday, January 14, 2010

Mengurus kemarahan (2)

Kaedah Memohon Maaf

Cara atau bentuk yang dipilih semasa meminta maaf adalah refleksi daripada peri pentingnya meminta maaf. Sebagai contoh, sesetengah orang lebih selesa meminta maaf secara berhadapan atau bersemuka dan sesetengahnya pula secara bertulis. Bagaimanapun terdapat lima cara bagi kita untuk meminta maaf :

1. Bersemuka

Cara bersemuka adalah kaedah yang terbaik kerana ia memberi peluang kepada orang yang bersalah untuk bertemu secara langsung dengan saingnya dan juga memperlihatkan keikhlasan untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Kaedah ini sangat berkesan jika kedua-dua pihak dapat berfikir rasional dan memahami keperluan pertemuan berkenaan dan ia tidak lagi berkesan jika pihak mangsa mempunyai keinginan untuk membalas dendam dan mencetuskan konflik yang lebih kompleks dan berpanjangan.

2. Bertulis

Cara ini sangat sesuai jika orang yang hendak dimaafkan itu berada jauh. Meminta maaf secara bertulis amat baik jika maaf itu berpunca daripada suara hati kerana ada di kalangan kita tidak mampu meminta maaf dengan kata-kata tetapi mampu berbuat demikian dengan lebih berkesan dan selesa dengan menulis. Tambahan pula menulis maaf dapat mengurangkan tekanan
dan memberi ruang kepada orang yang hendak memberi maaf memikirkan secara mendalam apakah tindakan seterusnya.

3. E-Mel

Kaedah ini adalah pilihan bagi memohon maaf secara bertulis. Berbanding surat, maaf secara e-mel dapat menjimatkan masa dan memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar-tukar e-mel.

4. Rakaman

Bagi mereka yang tinggal berjauhan dan susah untuk melahirkan kemaafan, merakam maaf adalah satu langkah alternatif yang bijak. Cara ini memberi ruang untuk rakaman tersebut diedit sehinggalah puas. Nada dan intonasi suara juga boleh mempengaruhi pihak yang satu lagi untuk menilai keikhlasan peminta maaf.

5. Telefon

Memohon maaf secara telefon ini sangat kurang keberkesanannya. Pemberi maaf sukar hendak membuat keputusan kerana tidak bersedia untuk memberi maaf dalam masa yang singkat. Dia juga tidak diberi peluang untuk membuat keputusan secara jujur dan tujuan memohon maaf melalui telefon tidak akan mencapai objektifnya.

Kenapa Susah Untuk Memberi Maaf?

Terdapat halangan-halangan besar yang membantutkan proses memberi maaf : marah, takut, bangga diri, buruk sangka, keras hati dan salah tafsir.

1. Marah

Rasa marah adalah satu manifestasi yang sangat kuat pengaruhnya dan boleh digunakan dalam pelbagai cara – merangsang perubahan, menguatkan keazaman dan melindungi diri daripada dan kekalahan dan kesakitan.

Kemarahan sinonim dengan ungkapan “tiada maaf bagimu” yang sedikit sebanyak berpunca daripada sukarnya memberi maaf. Kadangkala api kemarahan sentiasa dibayangi dengan fikiran hendak membalas dendam.

2. Takut

Sesetengah orang enggan berfikir tentang sesuatu kejadian kerana akan menyebabkan mereka sedih dan kecewa hingga menyukarkan tumpuan kepada memberi maaf. Ketakutan itu menyebabkan mereka fikir ia akan membuka kembali luka lama dan kesedihan yang dialami akan berpanjangan.

Takut juga menghalang seseorang daripada memberi maaf kerana jika mereka percaya bahawa maaf dapat menghilangkan duka lama, mereka mungkin akan dikecewakan sekali lagi. Kebanyakan daripada mereka yang sukar memberi maaf ini terdiri daripada kurangnya kepercayaan bahawa kemaafan akan memberi manfaat dalam hidup mereka.

3. Bangga Diri

Sama seperti bangga diri dapat melahirkan simpati dan memberi maaf secara ikhlas, bangga diri juga boleh menjadi halangan untuk memberi maaf. Bangga diri bagi sesetengah orang dapat mengelakkan gambaran sebenar kelemahan dan kesalahan diri. Bangga kerana telah dapat mengecewakan orang lain dan gembira dengan keadaan tersebut mungkin menjadikan sesuatu perhubungan akan lebih sukar dan menyukarkan.

4. Keras Hati

Bagi mereka yang keras hati, sekali salah akan salah selamanya dan tidak ada lagi kepercayaan. Jadi, biar apa pun cara yang dilakukan untuk memohon maaf, pesalah berkenaan tidak perlu dilayan dan tidak perlu dimaafkan. Pada mereka, sama ada baik atau buruk, tidak ada kawasan kelabu, samara-samar ataupun peluang kedua.

5. Salah Tafsir

Barangkali salah tafsir adalah halangan yang paling besar untuk memberi maaf. Membuat keputusan dengan tergesa-gesa dan terdesak bukan hanya membuat keputusan yang tidak tepat tetapi menunjukkan kurangnya kematangan dalam berfikir dan bertindak. Apa pun yang terjadi, hakikatnya tidak ada orang yang sempurna kerana ada-ada saja kesilapan yang akan dilakukan sehinggalah nyawa terpisah daripada jasad.

Erti Kehidupan

Persoalan tentang erti kehidupan ada nilai dan kepentingannya hanya jika kita meninjau kembali perkaitan di antara sistem kejadian manusia dan sunnatullah. Apabila kita mengambil pendekatan ini, amatlah mudah untuk kita melihat perkaitannya. Sunnatullah adalah asas kepada setiap kehidupan kerana setiap kehidupan akan cuba memenuhi segala keperluannya.

Untuk hidup bermakna kita perlu membangun dan berkembang ke arah kesempurnaan dan keunggulan. Firman Allah swt dalam Surah Az-Zariat ayat 56 yang bermaksud, “Dan Aku (Allah) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu, Aku tidak sekali-kali menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan, sesungguhnya Allah, Dialah yang maha pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh”.

Kesimpulan

Memberi maaf, meminta maaf dan mengharapkan kemaafan dapat memberi kesan yang sangat hebat kepada seseorang. Jika orang yang kita maafkan tersebut tersentuh hatinya dengan maaf kita, ia akan membuatkan orang berkenaan memikirkan berkali-kali tentang kehebatan maaf. Ia juga akan membuatkannya berfikir tentang siapa lagi yang perlu baginya untuk meminta maaf dan memaafkan. Seterusnya merangsang dirinya untuk berubah menjadi seorang yang mudah memberi dan menerima maaf biar apapun yang berlaku ke atasnya kerana keredhaan Tuhan adalah lebih utama.

Wednesday, January 13, 2010

Broker bergerak menjual rumah

Menjadi broker bergerak menjual rumah tidak memerlukan lesen di kebanyakan negara. Ini berita baik bagi anda untuk memulakan bisnes dengan modal minimum tetapi dapat menjana wang yang maksimum. Pendapatannya sangat lumayan.

Bisnes ini boleh bermula di rumah anda sendiri dan dibuat secara separuh masa. Alat paling penting ialah telefon bimbit. Kalau anda dapat mengadakan hubungan yang baik dengan syarikat hartanah, tentulah idea ini menjadi lebih sempurna kerana ada tempat untuk berbincang dan memberi penerangan.

Anda boleh sebarkan maklumat tentang bisnes anda melalui risalah yang diletakkan di kawasan meletak kenderaan, papan notis dan juga dihantar kepada rakan-rakan melalui e-mail. Lebih menarik jika anda mempunyai laman web sendiri kerana bakal pelanggan dapat melihat dengan jelas rumah yang mereka inginkan.

Anda juga boleh menyertai e-groups yang mempunyai ramai ahli dan membuat iklan anda di situ. Maklumatnya boleh disusun dengan pelbagai cara. Salah satunya seperti berikut:

Studio unit (serviced apartment) untuk dijual, Bukit Merah Lake Town Resort hendak dijual pada harga RM140,000.00 (boleh dirunding). Berminat hubungi: En. XXX (012-3456789)

Caj yang dikenakan adalah dari lima hingga enam peratus apabila dapat membuat jualan.


Seorang rakan saya melibatkan diri dalam bisnes ini dan pernah mendapat komisyen RM20,000 dengan sekali jualan di Kuala Lumpur. Beliau telah tiga tahun bersara dari sektor kerajaan dan menjalankan bisnes ini sekadar suka-suka saja.


Cara pemasarannya juga mudah. Cara orang tua-tua. Rakan saya ini akan membawa kain rentang yang tercatat "House for sale. Please contact ..." di dalam keretanya. Kalau ada rumah kosong yang beliau berkenan, kain rentang tadi akan dipasang bagi tempoh tertentu. Oleh kerana dia ada hubungan yang baik dengan sebuah syarikat hartanah, segala urusan penerangan dan perbincangan dilakukan di syarikat berkenaan.

Menjadi seorang broker seperti ini tidak memerlukan banyak peralatan kerana kelayakan utama kepada kejayaan bisnes broker bergerak menjual rumah ialah kemahiran pemasaran.

Tuesday, January 12, 2010

Mengurus kemarahan (1)

Perubahan taraf hidup dan keinginan mencapai kualiti hidup yang lebih baik adalah idaman setiap orang biarpun di mana saja mereka tinggal. Orang kampung ingin memperbaiki taraf hidup mereka dengan memiliki pelbagai peralatan moden seperti yang dimiliki oleh penduduk di bandar. Manakala orang di bandar ingin pula merasai kedamaian dan kedinginan suasana kampung biarpun mereka telah memiliki segala keperluan sebagai penduduk bandar.

Bagi tempoh masa yang panjang, persoalan terhadap kehidupan dikumpulkan kepada tiga masalah major iaitu communal of life, kerja dan kasih sayang. Apa sahaja jawapan yang kita berikan terhadap ketiga-tiga persoalan di atas akan memancarkan cara gaya hidup yang dapat diperlihatkan di dalam seluruh kehidupan kita. Budaya, sikap, seni ataupun kepercayaan agama sangat jelas boleh dikongsi bersama di dalam ketiga-tiga persoalan ini.

Persediaan hidup dalam sepanjang kitaran hidup kita sama ada ianya betul atau salah, bermula dari hari pertama kita bersama ibu dan bapa. Mereka kedualah yang akan menentukan hala tuju dan masa depan anak- kecil mereka. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud, “Anak-anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Nasrani ataupun Majusi” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah). Secara semula jadipun, ibu bapa adalah rakan kongsi terbaik untuk memberikan pengalaman terbaru kepada anak-anak mereka.

Dalam proses pembesaran dan pembangunan yang dilalui, dengan perubahan demi perubahan menjadikan kita terdedah kepada pelbagai cabaran dan halangan. Perubahan ini boleh menyebabkan seseorang itu menuju ke arah kejayaan dalam hidup dan juga boleh membawa kekecewaan dan kehancuran hidupnya. Mahu ataupun tidak, perubahan ini menggambarkan sikap dan corak pemikiran kita terhadap kehidupan, gembira, sedih, kecewa, bimbang dan sunyi khususnya kepada mereka yang rasa tertekan kerana sesuatu sebab. Dengan keadaan inilah, berlakunya pelbagai rasa tidak puas hati dan sanggup bertindak di luar batas kebiasaan. Mengambil jalan singkat untuk menyelesaikan masalah tanpa dibimbing fikiran yang rasional akan menyebabkan penyesalan yang tiada kesudahan.

Apakah yang menjadi punca kepada hilangnya sifat pemaaf dan kasih sayang dalam diri seseorang sehingga sanggup mengambil jalan mudah melepaskan api kemarahan dengan mendatangkan mudarat kepada orang lain? Ke mana hilangnya nilai kasih sayang dan kesediaan berbincang untuk menyelesaikan masalah? Individu yang tidak dapat mengawal emosi kadangkala mampu bertindak di luar jangkauan pemikiran biasa.

Berita mengenai kes-kes kematian sepertimana yang dilaporkan oleh media massa kadangkala menyentak sedikit perhatian kita terhadap perkembangan yang berlaku di dalam masyarakat pada hari ini. Kejadian-kejadian ini sedikit sebanyak menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat dan tertanya-tanya apakah yang sedang berlaku. Apakah dengan pesatnya perkembangan pembangunan negara kita dan masyarakat harus menerima berita-berita sedih seperti ini setiap hari?

Hilang Pertimbangan

Sewaktu kita kanak-kanak, amatlah mudah bagi kita untuk menyatakan perasaan dan keperluan kita kepada orang lain khususnya ibu bapa. Keadaan ini akan berubah apabila kita bercampur dan bergaul dengan pelbagai jenis orang dan belajar daripada persekitaran. Kadangkala kita terkeliru dan sukar untuk membezakan di antara perasaan dan apa yang kita fikirkan kerana kerapkali fikiran dan perasaan bercampur baur. Kita lebih kerap mendengar apa yang dinyatakan oleh fikiran dan tidak pada apa yang dinyatakan oleh hati dan jiwa ataupun suara hati.

Jika ingin membersihkan sisa-sisa emosi yang negatif ini, kita wajar melepaskan emosi tersebut kerana ia lebih baik daripada menafikan perasaan sebenar kita. Jika kita menafikan perasaan ini, kita akan mudah tergugah. Tenaga-tenaga positif akan terhalang dan keadaan seperti serba tidak kena. Orang yang cerdik tidak akan membiarkan perasaannya berlalu begitu sahaja tanpa mengetahui apa yang dirasainya. Dia mengetahui dan menghargai perasaannya sebelum melepaskannya keluar. Ketika inilah ‘celik emosi” wajar menjadi panduan bagi mengatasi rasa marah, panas baran dan memberontak yang melulu.

Mereka yang mudah marah patut belajar mendengar kata hati yang bersandarkan pada akal yang waras, bukannya mengambil jalan mudah sehingga menyusahkan diri di kemudian hari.

Kita tidak perlu marah biarpun perkara tersebut remeh kerana sedikit sahaja rasa marah yang ditunjukkan seperti meninggikan suara dan wajah yang garang, ia sudah cukup menyakitkan hati orang lain. Bukan sekadar hilang kawalan diri, malah hilang kedamaian dan keharmonian hidup. Jika seorang bapa menujukkan kemarahannya di hadapan anak-anaknya, kelak bapa ini akan melihat anak-anaknya membesar sebagai seorang yang pemarah, sama seperti bapanya.

Menjadi marah adalah sifat orang yang tidak matang. Kanak-kanak umumnya cepat hilang marahnya dan kita wajar belajar mengawal perasaan marah bila umur semakin meningkat. Kerapkali juga saya bertanya kepada rakan-rakan apakah yang mereka fikir dan rasa tentang marah. Ada yang memberi pendapat dengan menyatakan bahawa sangat perlu khususnya ketika mempertahankan hak dan maruah diri, mendapatkan peluang-peluang dan mempertahankan kebenaran. Bagi yang berpendapat tidak perlu untuk marah, mereka berfikir lebih baik menggunakan pendekatan tunggu dan lihat untuk mempastikan objektif yang dikehendaki akan tercapai.

Bagaimanapun, umumnya setiap kali kita menafikan rasa marah, keadaan ini meningkatkan rasa tertekan. Bila kita mampu untuk melepaskan rasa marah, kita mula menerima diri yang sebenarnya. Setelah kita mula menerima keadaan marah, amatlah mudah untuk menyalurkan perasaan marah itu pada tempatnya. Keadaan ini penting kerana bermakna kita tidak lagi menyimpan perasaan dendam. Peristiwa guru bertumbuk di hadapan pelajar juga tidak akan berulang jika betul dan tepat marah itu disalurkan. Membiarkan emosi marah berlalu dengan beredarnya masa adalah sesuatu yang sukar tetapi ia tidak menyakitkan kerana timbulnya sakit ini hanya apabila berterusan menafikan emosi sebenar marah kita.

Kunci kepada transformasi dari marah ke redha ialah kesediaan menerima keadaan diri sendiri. Belajar untuk bertanya pada diri sendiri apa yang kita mahukan dan bertindak berdasarkan kemahuan itu tanpa menyusahkan orang lain. Apabila redha dan sabar membunga di dalam diri, marah dan dendam tidak akan bersarang lagi di dalam jiwa manusia yang merdeka.

Maaf

Maaf mempunyai daya tarikan untuk meleraikan dua orang yang bersengketa. Ia menyuburkan perhubungan dan menyegarkan kembali emosi yang sedikit kecewa. Apabila kita bertindak memaafkan seseorang yang telah dikecewakan, kita memberi mereka suatu hadiah yang sangat indah, hebat dan bermakna.

Memaafkan bukan sekadar amalan tradisi sosial semata-mata, malah ia bertindak sebagai suatu tanda hormat dan empati kepada individu yang telah melakukan kesilapan dan kesalahan. Ia juga mempunyai keupayaan meruntai rasa marah, melerai salah faham dan membina kembali jambatan kemesraan.

Bagi dua orang yang saling menyimpan perasaan dendam akibat persaingan, cemburu, salah faham dan kecewa, saling bermaaf-maafan dapat membentuk dan mengekalkan gaya hidup yang sihat. Setiap hubungan yang dinikmati akan membina kemesraan seterusnya menanam kepercayaan dan keyakinan. Bertindak memaafkan kesilapan dan kesalahan orang lain adalah tindakan paling bijak yang boleh kita lakukan untuk diri sendiri, rakan-rakan dan juga perhubungan itu sendiri.

Kepentingan Memberi Maaf

Setiap masa tanpa kita sedar, kita sering melakukan kesilapan dan mengharapkan agar kesilapan itu diperbetulkan. Sebahagian daripada kita mempunyai kecenderungan merasa bersalah atau malu apabila melakukan kesilapan atau kesalahan biar sekecil mana sekalipun. Apabila meminta maaf, kita akan merasa lebih selesa dan tidak lagi berada dalam keadaan tertekan. Jika maaf kita diterima, seolah-olah kita kembali menghargai setiap detik kehidupan dan masuk kembali ke alam kehidupan yang lebih ceria.

Terdapat lima alasan peri pentingnya memberi maaf :

1. Memaafkan orang lain menunjukkan tanda hormat.
2. Memaafkan menunjukkan keupayaan mengambil tanggungjawab di atas setiap tindakan.
3. Memaafkan menunjukkan yang kita mengambil berat perasaan orang lain.
4. Memaafkan menunjukkan sifat timbang rasa yang tidak berbelah bahagi.
5. Memaafkan kesalahan orang lain mengelakkan kita daripada menjadi ancaman kepadanya dan menghilangkan rasa marah serta dendam yang berpanjangan.

Cuba kita fikirkan betapa hebatnya perasaan kita selepas memaafkan kesilapan orang lain. Mungkin kita akan lebih mesra dengannya dan mencetuskan perhubungan yang baru dan berkekalan.

Kepentingan Menerima Maaf

Perlu juga difikirkan juga bahawa keupayaan menerima maaf juga sangat penting. Apabila kia menerima maaf daripada seseorang, kita juga menyatakan :

1. Penghargaan terhadap individu tersebut mengenai kekesalannya di atas apa yang telah berlaku.
2. Kepercayaan kita terhadap kemaafan yang sesungguhnya dan mengharapkan agar kesilapan tersebut tidak diulangi.
3. Keupayaan untuk memahami dan melimpahkan rasa kasihan.
4. Melahirkan hasrat untuk individu berkenaan bertaubat dan berubah sikap.
5. Kesungguhan kita untuk memberi maaf.

Semua kepentingan di atas adalah suatu yang sangat hebat untuk dilaksanakan. Mereka yang menerima maaf akan merasai suatu keyakinan yang kuat dan dapat membina budaya pemaaf dengan harapan orang yang melakukan kesilapan itu akan belajar daripada kesilapannya dan berubah menjadi individu yang lebih baik. Melalui cara inilah nilai diri dan maruah seseorang itu dapat dibentuk dengan lebih cepat dan berkesan.

Monday, January 11, 2010

Amalan hati: menjernihkan jiwa menyegarkan amal

Penulis: Ibnu Taimiyah
Tahun: 2008
Penerbit: Pena Pundi Aksara, Jakarta, Indonesia.
Muka Surat: 214

Judul asal buku ini ialah ‘A’mal al qulub au al-maqamat wa al-ahwal’ yang diterbitkan di Kaherah, Mesir. Kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Misbahul Khair bagi edisi bahasa Indonesia.

Penulis buku, Ibnu Taimiyah adalah nama gelaran bagi Ahmad bin Abdul Halim bin Abdul Salam bin Abdullah bin Taimiyah. Sepanjang hidupnya, beliau telah menulis lebih daripada 500 judul buku.

Buku ini sangat bernilai, tulisan seorang alim yang memiliki ketinggian ilmu. Ia mencakup beberapa amalan hati seperti cinta kepada Allah dan rasul-Nya, tawakkal, ikhlas, syukur, sabar menerima hukuman-Nya, takut dan menaruh harapan kepada Allah, kebenaran dalam lisan dan amal serta amal-amal lainnya yang berhubungan dengan hati seseorang.

Buku ini juga mengupas kedudukan dan sikap seseorang di atas amal perbuatannya. Kandungannya merupakan sinar cahaya yang tersembunyi lalu terpancar melalui tulisannya, sekali gus merupakan petunjuk yang terbaik.

Terdapat 24 bab yang disusun dan dijelaskan secara ringkas tetapi padat. Pembaca dapat membaca dengan santai setiap bab dan boleh memahaminya dengan mudah. Ada beberapa bab yang perlukan pembacaan tambahan supaya pembaca dapat memahami dengan lebih jelas maksud sebenar Ibnu Taimiyah.

Adalah lebih baik jika kita dapat membincangkan buku ini bersama tulisan-tulisan lain oleh Ibnu Taimiyah supaya kupasan setiap topik akan lebih sempurna dan difahami dengan jelas.

Di kulit belakang buku ini dimuatkan komentar seorang ulama mengenai Ibnu Taimiyah.

‘Kalau berbicara tentang tafsir, maka dia tiada tandingannya. Bila berfatwa tentang fiqih, dialah yang sangat memahami tujuannya. Bila berbicara tentang hadis, dia menguasai ilmu dan perawinya. Bila berbicara tentang perbandingan agama dan mazhab, tidak akan ada siapa pun yang sebanding dengannya.’

Sunday, January 10, 2010

Tidak ada daulat

Menyambut tahun 2010 dalam minggu ini terasa seperti berada dalam persekitaran yang penuh perlakuan jenayah. Dua kejadian pembunuhan yang melibatkan hubungan kekeluargaan menggemparkan seluruh negara.

Kes pertama berlaku di Taman Pinggiran Ukay, Ampang di mana seorang eksekutif wanita, Fazlina Ahmad, 39 tahun dibunuh dan mayatnya disimpan dalam almari rumah. Ketika ditemui, mulut dan hidung mangsa ditampal dengan pita pelekat. Laporan bedah siasat mengesahkan mangsa mati kerana lemas. Orang yang tersangka dalam kes ini ialah suaminya sendiri iaitu Mohafri Mohamed, 37 tahun.

Kes kedua melibatkan empat nyawa yang dibunuh dengan kejam. Media melaporkan ada di antara mayat berkenaan yang putus kepala dan pisau tercacak di dada. Pembunuhan ini berlaku di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan. Mangsa-mangsa berkenaan ialah Atan Daud, ditemui dengan tangan kiri yang sudah putus, Sufiah Katas, putus tangan kanan, Siti Khadijah Ismail, pisau tercacak di dada dan Ismail Awang, tanpa kepala. Polis telah berjaya menahan individu yang disyaki dan dikatakan ada perkaitan saudara dengan keempat-empat mangsa berkenaan.

Kita tidak tahu berapa ramai lagi yang menjadi mangsa pembunuhan kejam saudara sendiri. Barangkali esok atau lusa kita akan terdengar jiran-jiran rumah ada yang mengalami nasib yang sama seperti kedua-dua kes tersebut.

Kenapa masyarakat kita mesti dipaksa menerima berita-berita dan tragedi yang menyayat hati ini? Apakah kita tidak mampu untuk membentuk sebuah masyarakat yang bebas daripada jenayah dan pembunuhan seterusnya menjalani hidup dengan amai dan damai?

Saya mengajukan persoalan ini kepada seorang pensyarah ketika kami makan tengah hari bersama.

‘Tidak ada daulat,’ katanya.

‘’Maksud Dr,’ tanya saya untuk mendapat kepastian.

‘Ye lah, kurang daulat. Kalau ada daulat tentu tak jadi macam-macam,’ balasnya.

Barangkali beliau bersetuju dengan pandangan Ibnu Khaldun yang menyatakan kedaulatan menyebabkan rakyat sesebuah negara berusaha untuk hidup aman damai, tenang dan santai.

Saya fikir pendapatnya logik tetapi kurang bersetuju.

Bagi mengulas berbagai-bagai kejadian dalam masyarakat hari ini, saya lebih cenderung melihat dari perspektif manusia sebagai individu dan unit terkecil dalam masyarakat. Individu adalah punca kepada semua perkara yang baru.

Ibnu Taimiyah menerangkan perkara ini dengan panjang lebar dalam buku ‘Amalan hati: menjernihkan jiwa menyegarkan amal’ iaitu di dalam diri manusia terkumpul amal kebaikan yang mengandungi pahala dan amal kejelekan yang mengadungi dosa. Maksud Ibnu Taimiyah sangat mudah iaitu kebaikan-kebaikan amalan seseorang pasti meruntunnya ke arah kejayaan hidup dan mendapat redha Allah swt. Orang yang mengakui kebaikan dan kebajikan tentu sekali tidak akan menzalimi diri sendiri. Dia tidak sekali-kali mencela, mencedera atau membunuh orang lain.

Ibnu Khaldun dalam buku Mukadimah menyatakan dengan panjang lebar bagaimana masyarakat kota dan bertamadun dipenuhi dengan orang-orang yang berakhlak rendah. ‘Orang yang sudah menikmati kemajuan tidak berupaya secara bersendiriannya mengurusi keperluan hidupnya.’

Maksud Ibnu Khaldun ialah kesentosaan hidup yang dinikmati menyebabkannya terlalu lemah. Kemewahan dan kesenangan hidup menjurus penduduk kota ke dalam kebinasaan. Barangkali peningkatan kes jenayah, dadah, bunuh dan rogol adalah disebabkan kerana masyarakat kini dipenuhi oleh orang-orang yang berakhlak rendah.

Saturday, January 09, 2010

Calcarea Carbonica

Penawar tisu untuk merawat masalah kekurangan pemakanan terutamanya kalenjar limpatik, tuberkulosis dan rachitic. Kanak-kanak yang terencat pertumbuhan mental dan fizikal seperti perut buncit, kepala besar, lambat tumbuh gigi, lambat berjalan dan lambat bercakap. Radang sendi yang kronik, bengkak dan melarat dengan perubahan cuaca terutama yang lembap. Beguk. Kanak-kanak ada kudis di kepala. Rheumatik kronik, baik selepas Rhus Tox gagal. Chorea (penyakit saraf di muka), insomnia, kecewa. Baik untuk perut dan sakit usus terutama kanak-kanak yang baru tumbuh gigi. Muntah masam, berak masam, kembung perut, makan dengan lahap ketika lapar, haid tidak tentu (perempuan obes). Keputihan seperti susu. Lelaki lemah tenaga batin; bernafsu tetapi zakar tidak tegang; tidak puas bersetubuh. Letih selepas bersetubuh.

Fikiran: Sangat bimbang dan jantung berdebar-debar. Sedih dan kecewa.

Kepala: Pening bila berjalan di tempat terbuka terutama sambil memusing atau menggoyangkan kepala secara tiba-tiba; naik ke tempat tinggi. Muka merah dan bengkak. Sentiasa rasa kepala sesak. Rasa berat di dahi; teruk bila tulis atau baca; melarat ke hidung.

Mata: Rasa sakit jika benda asing masuk ke dalam mata; seperti ada pasir. Berair, anak mata besar terbeliak. Bengkak dan merah di kelopak mata dan sebelah malamnya melekat-lekat. Rasa gatal dalam ruang antara kelopak mata.

Telinga: Bahagian hadapan telinga kiri bengkak; sakit bila disentuh. Bunyi berkeriut dalam telinga ketika mengunyah makanan. Panas dan menyucuk-nyucuk. Mudah berdarah.

Hidung: Sekejap-sekejap bersin. Tersumbat bila bangun pagi. Hidung berair dengan rasa sakit kepala. Bau busuk seperti telur busuk. Keluar darah sebelah pagi.

Muka: Pucat cengkung atau sebu dengan mata masuk ke dalam, di kelilingi lingkaran biru. Lembap, gatal, letusan kulit kering yang mengelupas di atas muka dan bengkak bibir atas.

Mulut: Sakit gigi kerana angin sejuk atau minum air ais. Cenderung mengetip gigi (seperti menahan sejuk). Sakit gigi selepas datang haid. Gusi berdarah; bengkak. Lidah berselaput putih. Mulut rasa masam.

Kerongkong: Sakit hingga ke telinga; menyucuk-nyucuk dalam kerongkong ketika menelan.

Perut: Sangat lapar pada sebelah pagi. Sangat dahaga. Kerap sendawa dengan rasa makanan. Pagi rasa loya dan menggigil; kerana minum susu; bau masam.

Abdomen: Pakaian ketat membuatkannya sesak. Tekanan di kawasan hati dengan setiap pergerakan. Rasa menyucuk-nyucuk selepas membongkokkan badan. Abdomen keras dan menggelembung.


Najis: Buasir bengkak dan sakit semasa berak. Darah keluar dari saluran dubur. Panas dalam dubur. Kerap berak; mula-mula keras diikuti lenyai dan seterusnya cair. Najis; masam dan berketul-ketul seperti kapur. Sembelit.

Organ Seks Lelaki: Keluar air mani terlalu cepat ketika bersetubuh. Nafsu seks kuat tetapi pancutan air mani terhalang. Letih selepas bersetubuh.

Organ Seks Perempuan: Haid terlalu awal, banyak dan lambat berhenti. Keputihan seperti susu dengan rasa terbakar dan gatal-gatal. Faraj membengkak dan mendapat keradangan.

Pernafasan: Bernafas dengan bunyi seperti wisel. Kerap menarik nafas dalam-dalam. Tercungap-cungap semasa naik tempat tinggi. Batuk sebelah malam; kering dengan kahak berwarna kuning. Dada rasa menyucuk-nyucuk bila bernafas; dada sangat sakit bila disentuh; ketat.

Kakitangan: Lemah dan penat. Lengan rasa sakit seperti lebam bila digerakkan; kejang. Lengan kiri lumpuh; rasa seperti tergeliat. Tangan terketar-ketar. Tapak tangan berpeluh. Sakit pada paha dan kaki selepas berjalan jauh. Kaki menggeletar selepas bersetubuh. Lutut bengkak, sakit menyucuk-nyucuk dan seperti disiat-siat. Kejang sebelah malam; betis, lutut, tapak kaki dan ibu jari kaki. Kaki berpeluh.

Kulit: Tulang kering gatal dan rasa panas bila digaru. Ketuat di sana sini. Tompok-tompok merah seperti terkena miang yang hilang bila angin sejuk atau lembap. Gatal di banyak tempat, ada kuping di bibir bawah.

Tidur: Badan sejuk dan panas silih berganti. Muka merah kerana panas terutama sebelah malam. Lidah kering. Peluh waktu pagi.

Umum: Otot tersentak-sentak. Tubuh badan menggigil. Sangat penat dan letih, tidak mampu berjalan; mudah kejang. Lemah dan sakit selama beberapa hari selepas bersetubuh. Sangat letih di sebelah pagi. Serangan sawan. Kanak-kanak lambat berjalan.

Konstitusi: Kulit cerah; kanak-kanak tembam, perempuan gemuk.

Melarat: Pagi, petang atau selepas tengah malam; angin sejuk; mendaki; semasa dan selepas bersetubuh; selepas makan; selepas aktiviti ringan; berjalan; semasa bulan mengambang.

Patologi: Haid (lambat atau lewat tetapi banyak); selesema; darah tinggi; angin pasang (hernia), pemalas; perjalanan darah kurang baik; lambat tumbuh gigi; penyakit otak; masalah perut dan usus; sakit kalenjar pangkal paha; polip; batu karang dan batu hempedu.

Simptom Utama: Discaj masam; berpeluh malam; muka pucat; suka benda-benda tidak hadam.

Friday, January 08, 2010

Kongkongan keterlaluan punca minda remaja dipengaruhi budaya negatif

Di sebalik pelbagai reaksi yang diterima terhadapnya, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), terbukti berjaya membuahkan hasil seperti dihasratkan. PKLN yang kini memasuki Kumpulan 1 Siri 7/2010 nyata berkesan menanamkan nilai murni dan budaya positif di kalangan lepasan sekolah menengah di negara ini. Memang ada kelemahan dalam pelaksanaannya, terutama pada peringkat awal tetapi selepas beberapa tahun, ia semakin kemas dan diterima baik masyarakat yang mahu melihatkan secara objektif. Bukti yang jelas ialah pelatih menjalani program itu dilihat mempunyai semangat patriotik, kerjasama dan jati diri yang ampuh. Berbeza dengan pendapat segelintir ibu bapa yang sangsi dengan keberkesanan PLKN, rata-rata pelatih memperakui bahawa menjalani program itu ialah antara pengalaman paling bermakna sepanjang hidup mereka. Menyedari kelebihan itu, kita berharap semua pihak selepas ini lebih 'berlapang dada' dengan pelbagai isu membabitkan PLKN. Ia penting kerana selepas enam tahun dilaksanakan, sudah tiba masanya penambahbaikan dibuat kepada kurikulum program itu untuk memastikan ia mampu memberi manfaat maksimum. Modul latihannya juga harus diselaraskan dengan tuntutan persekitaran yang semakin berubah, manakala penerapan elemen baru harus disambut dengan positif.

Paling penting, hita harap selepas ini isu PLKN tidak lagi dipolitikkan dengan pelbagai polemik fahaman sempit berorientasikan perkauman atau keagamaan. Selama hari ini pun, ia tidak pernah menjadi isu di kalangan pelatih yang berbeza latar belakang, sebaliknya hanya dijadikan modal segelintir kelompok tertentu untuk menjayakan agenda peribadi mereka. Itulah sebabnya, ketika isu seperti modul latihan penggunaan senjata api mahu diperkenalkan dalam PLKN, ada pihak yang melenting sedangkan rata-rata pelatih amat teruja mengikutinya. Demikian juga halnya kali ini apabila kerajaan berhasrat memperkenalkan modul pendidikan seks kepada pelatih, pelbagai suara sumbang mula kedengaran. Ia memaksa cadangan dibuat untuk menukar namanya kepada pendidikan gender. Memang isu pendidikan seks di kalangan remaja perlu ditangani dengan berhati-hati tetapi pada masa yang sama, ia harus dilihat secara objektif. Kerajaan tentunya sedar dan mengambil kira pelbagai aspek dalam menyediakan kurikulum itu dan bantahan membuta-tuli terhadapnya tidak akan membawa manfaat. Memang kita harus bersikap terbuka terhadap pandangan umum tetapi apalah maknanya jika hanya berdebat pada nama yang digunakan. Kita tidak boleh terlalu kolot atau takut dengan bayang-bayang sendiri kerana realitinya, remaja hari ini sudah jauh lebih terbuka mindanya. Sama ada kita sanggup atau enggan mengakuinya, ia tidak mengubah hakikat dan kongkongan keterlaluan akan hanya menyebabkan mereka terus terdedah kepada budaya negatif tanpa sebarang bimbingan.

(Berita Harian Online, 5/1/2010)

Thursday, January 07, 2010

Belang sebenar Chin Peng

Oleh Mohd Azis Ngah dan Safuri Kamarudin
bminggu@bharian.com.my

Seminggu lalu, genap 54 tahun peristiwa bersejarah Rundingan Baling 1955 yang diadakan selama dua hari pada 28 dan 29 Disember 1955 bertempat di Baling English School atau nama barunya, Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Putra (SRKTP).

Rundingan khas atau 'Baling Talk 55' antara Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng itu antara usaha menuntut keamanan, menghentikan pertumpahan darah, kekejaman dan kezaliman ke atas rakyat.

Proses rundingan di daerah pedalaman Kedah itu juga boleh dianggap antara usaha terakhir kerajaan meyakinkan British bahawa anak tempatan layak memerintah negara sendiri dan bersedia menuntut kemerdekaan.

Buktinya, beberapa hari hari selepas pertemuan bersejarah itu berlangsung, Tunku terus berangkat ke London meneruskan pula rundingan kemerdekaan dengan British.

Namun, Rundingan Baling dikatakan gagal - puncanya cukup mudah, iaitu kerana sikap ego, degil serta keengganan Chin Peng menerima keamanan, tidak sanggup menyerah diri dan memilih pertumpahan darah sebagai saluran perjuangannya.

Sepanjang rundingan, Chin Peng sudah memperlihatkan sikap tidak percayakan sesiapa, sedangkan kerajaan bersusah payah menjayakan proses itu serta gencatan senjata bagi memastikan pertemuan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Sedikit suntingan catatan Setiausaha Peribadi Tunku, Tan Sri Shafie Abdullah yang menyertai rundingan itu dan catatan wartawan, Harry Miller, memperlihatkan belang sebenar Chin Peng, tetapi maklumat berkenaan sebenarnya jarang dihebahkan.

Catatan berbunyi: "Pada petang 28 Disember 1955, masuklah Tunku bersama Encik David Marshall (Ketua Menteri Singapura), Encik Hamid Jumat, Datuk (Sir) Tan Cheng Lock, Encik Yaacob Latiff, Encik Too Joon Hing, Encik TH Tan dan Tuan Syed Jaafar Albar ke bilik rundingan.

Chin Peng, Chen Tien dan Rashid Maidin dibawa masuk ke bilik rundingan melalui jalan belakang, iaitu dari rumah penginapan mereka oleh Encik John LH Davis (Pegawai Daerah Butterworth). Chin Peng duduk bertentangan dengan Tunku dan diapit Rashid dan Chin Tien.

Sebaik saja duduk, Chin Peng terus memperlihatkan sikap curiga, memerhati keadaan sekeliling seolah-olah tidak percaya jaminan keselamatan yang dijanjikan kerajaan. Chin Peng curiga melihat sesuatu yang dilekatkan pada siling bilik rundingan.

Tunku menjelaskan, ia sebenarnya perakam suara untuk merekodkan butiran perbincangan dan meminta Chin Peng supaya yakin, bahkan membenarkan beliau sendiri memeriksa alat itu jika tidak berpuas hati.

Chin Peng bangun, diikuti Chen Tien lalu memeriksa bilik sebelah dan sekeliling tempat rundingan. Selepas berpuas hati, barulah mereka kembali semula ke kerusi rundingan."

Sikap tidak percaya dan curiga itu berterusan hinggalah tamat rundingan hari pertama. Chin Peng dan rakannya disediakan sebuah bilik tidur di bangunan bersebelahan tempat rundingan. Asal bangunan itu adalah rumah guru dan kini dijadikan galeri pameran.

Individu yang bertanggungjawab menyediakan kemudahan buat pemimpin PKM itu ialah Jaafar Ismail, 83, tukang kebun sekolah yang bertanggungjawab menyiapkan keperluan rundingan, termasuk makanan dan minuman Chin Peng. Membahasakan dirinya sebagai Pak Lang, Jaafar berkata, Chin Peng turut curiga dengan kemudahan yang disediakan di tempat penginapan dan langsung 'tidak menikmati' apa yang diterimanya.

"Saya diarahkan British supaya menyediakan bilik tidur, menyiapkan makanan dan minuman mereka. Sebuah bilik kecil mempunyai dua katil, siap dengan meja kecil untuk meletak makanan.

"Tetapi, sepanjang dua hari (rundingan), mereka langsung tak sentuh makanan. Langsung tak terusik, bila saya masuk selepas rundingan, keadaannya sama seperti asal. Ada yang kata, mereka takut makanan itu diracun," katanya.

Ketika diberi amanat penting itu, Pak Lang yang berasal dari Kampung Seberang Pekan, Baling, menyediakan roti, susu dan minuman yang semuanya diletakkan dalam bekas tin bertutup.

Anak jati Baling ini juga hairan bagaimana pemimpin PKM itu boleh bertahan dua hari tanpa makan dan minum. Terdetik dalam hatinya, jika beginilah keadaannya, rundingan pasti gagal kerana Chin Peng langsung tidak percayakan sesiapa.

Memang benar telahan itu kerana ketika rundingan tiba di penghujungnya pada hari kedua, Chin Peng sekali lagi memperlihatkan keangkuhannya untuk meneruskan ideologi komunis tetapi mahu memastikan kerajaan Tanah Melayu dan Singapura berkuasa penuh mengawal urusan pertahanan negara.

Chin Peng berjanji akan menghentikan peperangan serta merta jika syarat itu dipenuhi, lalu Tunku menjelaskan satu daripada sebab beliau ke England ialah untuk mendapatkan kuasa mengawal sendiri keselamatan dalam negeri.

Namun, Chin Peng menegaskan, meletak senjata bukan maksudnya menyerah senjata kepada kerajaan, keputusan yang kononnya hanya akan diambil mereka sekiranya PKM diakui dan kebebasan mereka tidak lagi disekat.

Sikap angkuh itu ditamatkan dengan kata-kata Chin Peng: "Berdamai ertinya menyerah diri. Menyerah diri ertinya satu penghinaan. Kami tidak akan menyerah diri tetapi akan berjuang sampai ke titisan darah terakhir".

Dengan tegas, Tunku membalas: "Kalau saudara tidak mahu menyerah kalah, kami juga tidak sanggup menerima saudara sekalian menjadi rakyat negeri ini. Kalau keamanan hendak dicapai dalam negeri ini, salah satu pihak daripada kita mesti menyerah.

"Saya tidak sanggup membiarkan Malaya menjadi seperti Korea atau Vietnam. Saya sendiri tidak akan menyerah, sebab itu saudaralah yang mesti menyerah diri," katanya.

Rundingan berakhir begitu saja disebabkan sikap Chin Peng yang angkuh, sedangkan pada pandangan Tunku, tempoh sehari sudah memadai untuk menyelesaikan rundingan.

Namun, Bapa Kemerdekaan ini sanggup memberi ruang dan peluang mendengar penjelasan Chin Peng hingga ke hari kedua, tetapi proses itu tetap juga menemui jalan buntu.

Info: Rundingan Baling

-September 1955: Tawaran pengampunan beramai-ramai kepada komunis dan 40 juta risalah 'Tawaran Menyerah Diri' serta 12,000 pas pengampunan digugurkan di hutan belantara dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil.

-Kandungannya 'kalau kamu menyerah diri, keluar dari hutan, kamu tidak akan dihukum kerana kesalahan yang kamu lakukan berhubung darurat'.

-Akhir September 1955, Chin Peng memberi jawapan bertulis menyatakan perjuangan komunis berakhir dan meminta gencatan senjata serta rundingan menamatkan perang.

-Surat itu dihantar dari Kampung Kelian Intan, Keroh, Perak kepada Tunku Abdul Rahman; Ketua Menteri Singapura, David Marshall; Sir Tan Cheng Lock dan pemimpin Parti Perikatan lain.

-Pertemuan awal: kerajaan diwakili Timbalan Menteri Pelajaran, Too Joon Hing dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Tanah Melayu, Ian C Wylie, manakala PKM oleh Chen Tien.

-Tiga rundingan awal berlangsung di Kampung Kelian Intan (sehingga November).

-Wylie yang juga bekas Pegawai Pasukan 136 ketika Perang Dunia Kedua cukup kenal Chin Peng dan Chen Tien kerana berkhidmat dalam pasukan sama.

-Tiga hari selepas Tunku pulang dari Indonesia, Chin Tien membawa surat Chin Peng mengandungi cadangan rundingan.

-Tempoh 10 hari terakhir Disember, pasukan keselamatan diarah melaksanakan gencatan senjata mengejut meliputi kawasan 400 batu persegi termasuk Baling, Kroh (Pengkalan Hulu), Kelian Intan dan sempadan Thailand.

-Tiada kata sepakat dicapai selepas PKM enggan menerima pelan damai kerajaan dan meneruskan gerakan bersenjata.

(Berita Harian Online, 3/1/2010)