Monday, February 13, 2012

Nik Abduh nasihat Karpal hormati agama lain

oleh Sapinah Ab Ghani

Dewan Pemuda Pas menasihatkan Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh supaya belajar untuk menghormati agama lain dan tidak memaksa masyarakat untuk menerima pandangan peribadinya.

Timbalan Ketua Pemudanya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dalam nada sinis berkata, pemimpin tertinggi DAP itu sepatutnya lebih menghormati agama lain dan tidak menyamakan ia dengan mahkamah.

“Walaupun sudah berusia, Karpal Singh sepatutnya belajar untuk menghormati setiap agama yang ada negara ini, dan bukan hanya memaksa pandangan sendiri ke atas orang lain, politik bukan mahkamah,” katanya di sini, hari ini.

Nik Abduh berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Karpal yang tidak bersetuju dengan pendirian Pas menentang sambutan Hari Kekasih.

Pada 7 Februari lalu, Nik Abduh dilaporkan berkata, kerajaan perlu menyiarkan iklan antisambutan Hari Kekasih untuk mencegah umat Islam dari menyambutnya.

Nik Abduh yang juga anak kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ketika Pas rancak mempromosikan hak-hak bukan Islam supaya ia lebih adil, Karpal pula seolah-olah mengambil kesempatan menyekat hak asasi umat Islam yang sepatutnya dihormati oleh semua pihak.

Menurutnya, keputusan menentang Hari Kekasih bukan hanya pendirian Pas semata-mata, sebaliknya ia juga dimahukan oleh semua umat Islam.

Katanya, semua pihak perlu terlibat dalam mendidik dan menyeru umat Islam ke arah kebaikan beragama, dan mencegah kemungkaran adalah kebaikan yang dipromosikan Islam secara unggul.

“Dalam diri umat Islam ada agama, yang merupakan hak tertinggi, jadi mendidik mereka agar menghormati ajarannya adalah hak-hak asasi yang perlu ditegakkan,” katanya.

Akhabar Sinar Harian ini melaporkan kenyataan Karpal yang tidak bersetuju pendirian Pas menentang sambutan Hari Kekasih pada Selasa ini.

Menurutnya, pendirian Pas tidak boleh dipertahankan kerana sambutan Hari Kekasih diterima umum, dan disambut hampir di semua negara.

“DAP berpendapat pendirian Pas menentang sambutan Hari Kekasih, bukan satu langkah yang baik.

“Tindakan Pas adalah sangat bertentangan dengan hak asasi manusia dan prinsip kebebasan," katanya.

(Sinar Harian, 13 Februari 2012)



Saturday, February 11, 2012

Kekang rasuah bola sepak

Rasuah dalam bola sepak negara masih ada. Tindakan tegas FAM mengenakan hukuman kepada pemain yang terlibat dalam insiden ini sangat disokong. Kita tidak mahu peminat sukan bola sepak ditipu bulat-bulat oleh pemain yang berpura-pura menang dan kalah tidak pada tempatnya. 

Sejarah rasuah bola sepak Malaysia yang paling dahsyat ialah yang berlaku di sekitar awal hingga pertengahan tahun 1990-an lalu. Nama-nama pemain tersohor seperti Karim Pin, Azizul Abu Hanifah dan Che Hasrizal telah hilang dari ingatan dalam sekelip mata akibat rasuah bola sepak. Generasi muda hari ini tidak lagi kenal pemain-pemain ini. Katanya semua yang telah dikenakan hukuman tidak dapat bermain untuk tempoh beberapa tahun. Inilah bahana menyusun atur perlawanan kerana inginkan habuan yang tidak seberapa akhirnya badan merana. 

Kita jarang bertanya kenapa rasuah juga boleh berlaku dalam bola sepak. Pemain bola sepak tidak ada yang menjadi jutawan jika bermain dalam negara. Rakan-rakan mereka dalam kelab-kelab tersohor dunia mendapat gaji mingguan bernilai ribuan ringgit tetapi pemain bola sepak profesional Malaysia ada yang terpaksa menunggu dua hingga tiga bulan untuk mendapat gaji. Kesusahan mendapat wang untuk sara hidup mungkin menjadi faktor kepada mudahnya pemain diperangkap dengan rasuah.

Rata-ratanya perlawanan bola sepak di rantau Asia dan Asia Tenggara tidak dapat menarik jumlah penonton yang ramai ke stadium. Justeru pendapatan persatuan bola sepak negeri atau kelab menghadapi masalah kewangan, mereka tidak dapat melunaskan hutang tunggakan gaji. Kadang-kadang tiket juga mahal menyebabkab penonton dan penyokong tidak berminat untuk datang ke stadium.



Thursday, February 09, 2012

Paranormal boleh cakap bahasa asing

Oleh Mohammad Ishak dan Satiman Jamin

Doktor Pakar Saraf, Jabatan Neurosains Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, Dr Muzaimi Mustapha, berkata keupayaan individu seperti dialami Noraini Ismail, 17, untuk bercakap bahasa asing selepas trauma kepada otak, memang wujud dalam bidang perubatan tetapi tidak dapat dijelaskan mengenainya kerana ia hampir dengan kegiatan paranormal.

Beliau berkata, keadaan itu dikenali sebagai ‘xenoglossy’, iaitu sebahagian daripada gejala perubahan personaliti yang biasa dilihat kepada individu yang mengalami trauma otak.


Katanya, keadaan itu biasanya terjadi selepas personaliti kedua seseorang tercetus apabila berada bawah sedar atau hipnosis.

“Dalam kes Noraini, trauma otak dialami selepas nahas jalan raya mungkin menjadi pencetus dan menerbitkan personaliti kedua yang membolehkannya bercakap bahasa asing.

“Selain itu, personaliti keduanya mungkin juga dipengaruhi drama dalam bahasa asing yang sering ditontonnya di televisyen. Ketika tidur, dia mungkin bermimpi dan fikiran bawah sedarnya menerbitkan personaliti kedua dan mengambil alih dirinya yang biasa.

“Ini mungkin menjelaskan bagaimana gadis itu boleh berbahasa asing selepas bangun tidur,” katanya di sini, semalam.

Noraini dari Kampung Seri Medang, Kampung Raja di sini, dikatakan tiba-tiba boleh berbahasa Cina dialek Hokkien, Korea, Jepun dan Indonesia sejak sebulan lalu, selepas terbabit kemalangan jalan raya.


Ditanya berapa lama keadaan itu, beliau berkata, Noraini perlu menjalani imbasan otak untuk menilai keadaannya.

Selain itu, katanya, masih terlalu awal untuk dikatakan sama ada kebolehan Noraini bercakap bahasa asing adalah kelebihan atau kekurangan dalam pelajarannya.

“Imbasan otak boleh menunjukkan sama ada berlaku penyusutan kepada struktur otak yang membawa kepada keadaannya sekarang, malah dia juga wajar dinilai pakar psikologi kanak-kanak,” katanya.

Mengenai hasrat Noraini masuk ke sekolah Cina selepas kebolehannya berbahasa itu, Dr Muzaini berkata, keputusan itu seharusnya dibuat selepas penilaian menyeluruh keadaannya dibuat.

Sementara itu, ibu Noraini, Mansena Daud, 48, berkata keluarganya sedia menghantar pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah di sini, melanjutkan pengajian ke sekolah Cina pilihannya, selepas melihat kesungguhan dan keupayaan anaknya itu.

“Selepas keluar wad HUSM, Noraini terus bertutur bahasa asing menyebabkan kami tidak faham dan kebingungan. Dia mula bercakap bahasa asing tertentu selepas solat Subuh dan berterusan hingga jam 6 petang.

“Saya risau kerana tidak faham bahasa itu, sebaliknya terpaksa menggunakan isyarat dan tulisan dalam bahasa Melayu ketika berinteraksi dengannya setiap pagi,” katanya.


(Berita Harian, 9 Februari 2012)

Wednesday, February 08, 2012

Persediaan hadapi masyarakat tua

Oleh Liow Tiong Lai

Hari ini jangka hayat seseorang lelaki Malaysia ialah 72 tahun atau mungkin lebih, manakala wanita pula lebih kurang 77 tahun atau lebih. Ini adalah satu pencapaian membanggakan berbanding 55 tahun lalu ketika zaman kemerdekaan yang mana purata jangka hayat lelaki hanya lebih kurang 56 tahun dan wanita 58 tahun.

Purata jangka hayat yang lebih panjang adalah antara petanda kemajuan negara, hasil daripada rawatan penjagaan kesihatan dan amalan pemakanan lebih baik serta taraf hidup lebih tinggi. Di negara membangun seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, lebih ramai penduduk mencapai usia lanjut sedangkan bilangan bayi dilahirkan semakin berkurangan. Akibatnya, ada lebih ramai golongan tua dalam kalangan masyarakat atau apa yang dikenali sebagai masyarakat tua.

Fenomena masyarakat tua juga berlaku di negara sedang membangun seperti China, India dan Indonesia yang diramalkan akan memiliki jumlah penduduk tua terbesar di dunia. Laporan Banci Malaysia 2010 meramalkan bahawa kita mungkin menjadi masyarakat tua pada 2024, jika trend populasi semasa ini berterusan.

Sambil kita menikmati hasil kejayaan, iaitu mampu terus hidup sehingga mencapai usia emas, kita tidak boleh mengabaikan kesan-kesan di sebaliknya. Usia lanjut biasanya sinonim dengan keuzuran seperti penyakit dan kurang upaya. Kebanyakan penyakit kronik dan keadaan degeneratif seperti penyakit kardiovaskular, serebrovaskular dan kanser mencapai tahap kemuncak dalam kalangan orang tua, terutama jika risikonya tidak dicegah pada usia muda.

Kebanyakan daripada kita boleh berharap menikmati kehidupan pasca persaraan bagi tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun. Namun pada kebiasaannya ini adalah tempoh pergolakan apabila kita cuba sesuaikan diri dengan hakikat kehilangan kedudukan atau peranan disandang sepanjang sebahagian besar zaman dewasa dulu.

Sebahagian besarnya zaman tua adalah tempoh ketidaktentuan yang dipenuhi pelbagai cabaran. Bagaimanapun, di sebalik cabaran itu, timbul beberapa peluang yang boleh dimanifestasikan pada fasa usia ini – ia adalah lembaran baru apabila kerjaya baru boleh diceburi, minat baru diterokai dan peluang yang tercicir sebelum ini boleh direbut semula.

Pun begitu, semua ini hanya boleh dicapai sekiranya masyarakat kita mempunyai ‘jangka kesihatan’ yang lebih baik, di samping panjang umur. Kita tidak mahukan masyarakat tua dihimpit pelbagai masalah penyakit dan kurang upaya, sebaliknya kita mahukan sebuah masyarakat sihat, produktif dan aktif. Malah ini antara daya usaha utama Kementerian Kesihatan, iaitu ‘Kesihatan Sepanjang Hayat’.

Dr Philip Poi, seorang pakar geriatrik dari Pusat Perubatan Universiti Malaya mengkategorikan masyarakat tua dalam dua kumpulan, iaitu tua yang muda dan tua yang tua. Generasi tua yang muda adalah mereka yang terus aktif dalam kalangan masyarakat dan di rumah. Generasi tua yang tua adalah mereka yang tidak dapat memberikan sumbangan lagi kepada masyarakat kerana keadaan yang semakin uzur atau keadaan mental yang merosot.

Jika sebahagian besar penduduk negara terdiri daripada tua yang tua, mereka bergantung kuat kepada tenaga kerja yang muda untuk sokongan dengan itu meningkatkan lagi beban terhadap sumber tenaga pekerja yang sememangnya terbatas sekarang.

Saya bimbang sistem rawatan penjagaan kesihatan kita mungkin tidak dapat menangani beban yang kian meningkat. Walaupun matlamat kita adalah untuk menyediakan perkhidmatan perubatan yang mampu ditanggung setiap warga negara, impak peningkatan bilangan pesara dalam kalangan penduduk negara yang bergantung pada sistem ini amat besar.

Keperluan rawatan kesihatan mereka lebih bertambah pada peringkat usia ini, kemungkinannya mereka mengalami pelbagai penyakit kronik dan degeneratif seperti yang disebutkan. Mereka perlukan ubat-ubatan, rawatan terapi dan sokongan untuk jangka masa panjang bagi kebanyakan penyakit ini.

Bagaimanapun, usia tua bukanlah malap semata-mata. Gambarannya mungkin jauh berbeza jika penduduk tua ini termasuk dalam kategori tua yang muda; minda dan tubuh badan seperti generasi muda – mereka mengamalkan gaya hidup sihat, amalan pemakanan yang baik dan menjaga kesihatan fizikal dan sentiasa mengekalkan kecerdasan mental.

Keadaan ini membolehkan mereka kekal aktif dan terus menyumbang kepada tenaga kerja serta masyarakat. Pengalaman mereka yang luas dan kebijaksanaan mereka boleh dikongsi bersama dengan generasi muda, menjadikan mereka aset berharga kepada masyarakat secara amnya.

Jelas sekali kunci utama memupuk populasi semakin tua yang sentiasa gembira, produktif dan seimbang adalah dengan menjaga kesihatan fizikal dan mental.

Kesihatan yang baik bermula pada peringkat awal kehidupan seseorang supaya dia dapat mencegah timbulnya masalah obes, penyakit diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung, atau mengurangkan risiko komplikasi termasuk kematian.

Tanggungjawab ini bukan semata-mata terletak pada sistem rawatan penjagaan kesihatan, malah tugas setiap individu. Mulakannya sejak awal usia 20-an, supaya anda boleh menikmati kehidupan sepenuhnya apabila menjangkau usia persaraan.

Sektor pekerjaan juga boleh memainkan peranan penting sebagai persiapan kepada tenaga kerja untuk menghadapi kehidupan pasca-persaraan mereka dengan menawarkan jawatan secara separuh masa atau sukarela dan menyediakan program latihan untuk membekalkan kemahiran baru.

Dalam tempoh 12 tahun lagi kita akan memasuki 2024. Dengan perancangan yang baik dan teliti, kita boleh bersedia menghadapi peningkatan masyarakat semakin tua yang sihat, produktif, dihargai dan dihormati.

(Berita Harian, 8 Februari 2012)



Friday, February 03, 2012

Rakyat lebih percaya NGO berbanding kerajaan

Rakyat Malaysia menaruh kepercayaan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan perniagaan sebanyak 58 peratus, berbanding kerajaan berdasarkan barometer kepercayaan Edelman 2012.

Menurut kajian di kala­ngan orang awam, lima sektor industri yang paling dipercayai terdiri daripada teknologi (85 peratus), telekomunikasi (81 peratus), perbankan (78 peratus), perkhidmatan kewangan (77peratus), automotif dan makanan dan minuman (masing-masing 75 peratus).

Sektor perbankan dan perkhidmatan kewangan me­nurun dari segi tahap kepercayaan di peringkat global dan menjadi dua sektor yang paling kurang menerima kepercayaan di Perancis, Sepanyol, Brazil, Jepun, dan Korea Selatan berikutan masalah kewangan yang dihadapi di Zon Eropah.

Bagaimanapun, Sektor teknologi kekal sebagai sektor yang paling dipercayai di seluruh dunia.

Berdasarkan kajian, walau­pun kepercayaan terhadap perniagaan tinggi, namun 54 peratus orang awam percaya bahawa kerajaan perlu memainkan peranan yang lebih untuk mengawal selia perniagaan, berbanding jumlah 49 peratus di peringkat global.

“Ini termasuk melindungi orang awam daripada amalan perniagaan tidak bertanggungjawab dan memastikan perilaku korporat yang bertanggungjawab.

“Manakala, sejumlah 84 peratus daripada orang awam percaya bahawa perniagaan perlu terlibat dalam menyelesaikan masalah sosial dan alam sekitar dan 84 peratus percaya bahawa penting untuk perniagaan menangani keperluan masyarakat tanpa mengorbankan pulangan kewangan pemegang saham,” katanya.


(Sinar Harian, 2 Februari 2012)



Thursday, February 02, 2012

Gaji hanya RM510 sebulan?

Hampir 50 pemandu bas henti-henti mogok tidak mahu memandu bas, semalam, kerana tidak berpuas hati dengan gaji ditawarkan PM Cultural & Tourism (PMCT) Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Kerajaan Negeri yang mengambil alih operasi bas di negeri ini bermula, semalam.

Tinjauan Sinar Harian di Terminal Melaka Sentral di sini, seawal jam 6.30 pagi semalam mendapati, kebanyakan mereka hanya duduk beramai-ramai dan tidak mahu memandu bas.

Hanya dilihat beberapa bas membawa penumpang ke terminal, selain membawa pelajar, hasil ihsan pemandu bas selepas ramai ibu bapa merayu meminta tolong menghantar anak mereka ke sekolah.

Rata-rata mereka berkata, selagi tawaran gaji pokok sebanyak RM510 sebulan tidak diteliti semula, mereka berkemungkinan akan meneruskan mogok atau berhenti kerja.

Mereka mendakwa, pendapatan baru itu jauh lebih rendah daripada sebelum ini iaitu sekitar RM2,000 sebulan.


Kaji semula gaji pokok

Pemandu bas, M Selvam, 48, berkata, gaji yang ditawarkan hasil pengambilalihan operasi itu sangat murah dan tidak memadai.

“Kita mahu makan apa dengan wang RM510 sebulan? Sudahlah terpaksa bangun jam 5 pagi dan kerja sampai ke malam, bawa nyawa orang lagi. Ini memang tidak patut.

“Pagi ini (semalam), saya bawa bas pun kerana tidak sampai hati apabila ibu bapa merayu minta tolong bawa anak-anak mereka ke sekolah,” katanya.

Seorang lagi pemandu, Abdul Karim Said, 53, berharap. pihak PMCT akan segera mengkaji semula gaji yang ditawarkan untuk mereka.

“Kena ada keputusan muktamad. Kami diberitahu boleh dapat gaji sehingga RM1,500 selepas campur pelbagai elaun. Tolong kaji semula gaji pokok ini,” katanya.

Pemandu bas, Sabri Mohamad, 40, pula berkata, dia yang sudah hampir 15 tahun memandu bas berasa amat terkilan dengan bayaran gaji baru itu.

“Kita mahu kerja tetapi kaji semula gaji yang diberikan. Dahulu sekitar RM2,000 kami boleh dapat tetapi kali ini memang susah sebab kos hidup terlalu tinggi,” katanya.


Mahu bayaran elaun

Semalam adalah hari pertama operasi bas henti-henti di bawah PMCT selepas Kerajaan Negeri mengambil alih 10 syarikat bas henti-henti yang sebelum ini mengumumkan akan menamatkan perkhidmatan akibat tidak mampu menanggung kos operasi dan penyelenggaraan yang tinggi.

Dalam pada itu, pemandu bas turut mengharapkan bayaran komisen dimansuhkan dan digantikan dengan bayaran elaun berikutan pendapatan antara bas adalah berbeza.

Terdahulu malam kelmarin, perkhidmatan bas turut tidak beroperasi berikutan penyerahan kunci pihak pengusaha kepada PMCT, jam 6 petang menyebabkan pemandu bas tidak bertugas.

Akibatnya, pengguna terpaksa menggunakan alternatif lain, termasuk menaiki teksi untuk ke destinasi ditujui.


(Sinar Harian, 2 Februari 2012)



Tuesday, January 31, 2012

Penginapan di hotel murah ikut jam galak pelacuran

Wujudnya banyak hotel murah menawarkan pakej penginapan pada kadar rendah ikut jam dipercayai menggalakkan kegiatan pelacuran, kata polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata hotel kadar murah ataupun motel dijadikan tempat pelacur menjalankan kegiatan mereka.

"Kita tidak menolak kemungkinan motel yang menawarkan pakej penginapan murah ini mendorong dan menjadi penggalak kepada aktiviti maksiat golongan yang masih belum berkahwin," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, ada juga restoran yang menawarkan kegiatan pelacuran sebagai 'penarik' melipatgandakan keuntungan.

Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah), Jeevan S.Ramamurthy, tidak menolak kemungkinan pengusaha motel murahan ini meraih keuntungan daripada gejala pelacuran. 

(BERNAMA, 31 Januari 2012) 



Monday, January 30, 2012

Menipu untuk publisiti

Awal tahun 2012 ini kita diberitakan dengan penipu-penipu yang dihadapkan ke mahkamah kerana pelbagai kesalahan. Ada yang menipu wang syarikat, menipu keputusan mesyuarat dan menipu dokumen untuk naik pangkat. Latar belakang penipu ini macam-macam. 

Penipu yang sedang menghadapi perbicaraan di Mahkamah Khas Rasuah Negeri Sembilan ialah penjawat awam yang pernah memegang pangkat besar dalam jabatan. Seorang daripada mereka datang dengan menutup muka menggunakan surat khabar, seorang lagi malu-malu kucing menutup sebahagian muka dengan jaket. Kedua-duanya disabitkan dengan kesalahan berkaitan salah guna kedudukan untuk dapatkan wang. 

Kisah terbaru ialah seorang lelaki yang dilahirkan di Tanjung Malim dan telah menjadi warganegara Belanda.  Dia mendakwa seorang jutawan ‘tirilionaire’ dan berketurunan raja. Ubun-ubun kepalanya panas kerana banyak berfikir. Wangnya disimpan di dalam sebuah gua yang susah hendak didaki, bersama berbongkah-bongkah emas. 

Membaca kisah ‘jutawan’ ini sangat menarik kerana ia kisah inspirasi. Angan-angannya sangat tinggi dan memberi inspirasi kepada orang lain- sama ada yang sudah kaya atau masih miskin untuk kuat bekerja mencari wang dan harta.


Saturday, January 28, 2012

Model ikutan

Siapakah yang menjadi model ikutan kita sama ada dalam organisasi, masyarakat atau kalangan rakan-rakan? Apakah yang menjadikan seseorang itu berbeza daripada orang lain? Apakah pula ciri-ciri yang diperlukan jika kita ingin mencontohi model-model ini? 

Andainya kita bertanya kepada 100 orang yang berbeza dengan soalan yang sama, kemungkinan besar kita mendapat 100 jawapan yang berbeza. Namun peluang untuk setiap orang menjawab satu soalan yang sama mungkin ada iaitu pemikiran positif. 

Kajian-kajian menunjukkan mental yang positif  sangat penting dalam mencapai kejayaan dan kesejahteraan hidup. Biar pun belum dapat menjanjikan kekayaan dan kesihatan yang hebat serta-merta, sekurang-kurangnya dapat menjadikan hidup lebih ceria dan bahagia.

Friday, January 27, 2012

Ombak cemerlang Ikhwanul Muslimin di Mesir

Kemenangan parti yang mewakili pertubuhan Ikhwanul Muslimin dalam pilihan raya di Mesir menjadi motivasi kepada kebangkitan Islam di rantau Arab dan Afrika malah Asia. Penguasaan Ikhwanul Muslimin dalam masyarakat Islam Mesir sangat kuat sehingga dipilih menjadi sebahagian daripada pencorak masa depan negara itu. 

Perjuangan Ikhwanul Muslimin telah lama. Sejak kejatuhan pemerintahan khalifah Othmaniyah di Turki, perjuangan mengembalikan maruah Islam terus dilakukan oleh Imam Hassan Al Banna bersama pemuda-pemuda Islam yang menyedari bahawa dengan dakwah dan tarbiyah, masyarakat dapat dibebaskan daripada belenggu penjajahan pemikiran dan jiwa mereka. Pemuda-pemuda pembawa risalah dakwah itu terus menyusun langkah dan memadu tenaga membebaskan Palestin dan negara-negara Islam yang dijajah.

Perjuangan pemuda-pemuda yang kental itu tidak pudar walaupun Hassan Al Banna dibunuh. Musuh-musuh beranggapan dengan memusnahkan ketua, pertubuhan Ikhwanul Muslimin yang bergerak atas dasar iman dan taqwa akan hancur, namun telahan itu buka sahaja salah malah Ikhwanul Muslimin semakin mendapat sambutan di seluruh dunia. Inspirasi dan model gerakan Islam yang mencakupi dunia, akhirat, kekuatan ilmu dan minda semuanya digabungkan dalam jemaah yang digelar Ikhwanul Muslimin. 

Jatuh bangun perjuangan Ikhwanul Muslimin tidak dipatahkan oleh sikap anggota yang menikam dari belakang, tidak juga dapat diserak-beraikan oleh janji mulus pemerintah untuk memberi kuasa, sebaliknya kekuatan terus dijana dengan susunan tanzim yang kemas, melatih kader-kader baru yang berhajat kepada dakwah dan tarbiyah, mencari mad’u yang beriltizam dengan cara hidup Islam, menyeru kepada pengamalan cara hidup Islam kepada seluruh masyarakat dan menentang kezaliman dan penindasan tanpa jemu. 

Kemenangan Ikhwanul Muslimin seterusnya membentuk kerajaan yang kuat sudah diberi oleh Allah kepada hamba-hambaNya yang dikasihi di Mesir. Perubahan politik yang bermula ini akan menjadi perhatian kerana terdapat kemungkinan mengalami impak ke atas negara-negara yang telah lama dicengkam kezaliman dan penindasan.