Friday, February 26, 2016

Pendorong perubahan








Kemahuan dan keinginan melakukan sesuatu muncul dengan sebab-sebab tertentu. Sebab-sebab ini boleh jadi sebab luaran atau sebab dalaman. 

Kedua-dua sebab ini boleh menjadi pendorong kepada kemahuan. Kita lebih mudah terpengaruh dengan apa yang kita lihat, sebab itulah dalam pendidikan, persaingan akademik sangat sengit. 

Ibu bapa tidak mahu ketinggalan menghantar anak-anak ke kelas tuisyen kerana percaya kelas tambahan mampu menjadikan anak-anak lebih bijak. Ia berlaku kerana melihat anak-anak rakan, jiran dan juga persepsi bahawa yang mendapat keputusan cemerlang biasanya pelajar yang pernah masuk kelas tuisyen. 

Pada saya, sebab-sebab yang mendorong perubahan ini bergantung kepada individu tetapi asas paling penting ialah keazaman mahu berubah ke arah yang lebih baik.


Thursday, February 25, 2016

Coconut shake Batu Berendam







1.0       Pengenalan

Golongan peniaga iaitu golongan pengusaha ataupun usahawan sering kali dikaitkan dengan keupayaan mereka untuk bersifat inovatif dan kreatif bagi meningkatkan daya saing dan sekali gus menyediakan lebih banyak pilihan kepada pengguna. Dengan wujudnya usahawan-usahawan yang rancak membuka perniagaan baru, hasilnya ialah ianya akan menjana penciptaan baru, pelaburan baru, pasaran baru, peluang-peluang perniagaan baru dan penjanaan peluang pekerjaan baru yang hangan diperkatakan amat mempengaruhi pembangunan dan pertumbuhan sesebuah negara secara positif.

Perniagaan coconut shake semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat Melaka. Perniagaan ini tumbuh di merata tempat sama ada dalam saiz yang kecil ataupun besar. Justeru, kajian ini ingin mendapatkan maklumat mengenai latar belakang perniagaan coconut shake di Batu Berendam dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh mereka.

1.1  Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah mengenal pasti latar belakang perniagaan coconut shake, mengetahui cabaran yang dihadapi dan mengetahui kaedah terbaik untuk mengatasi masalah semasa berniaga coconut shake ini.

1.2       Limitasi Kajian

Kajian ini dijalankan terhadap syarikat Coconut Shake Batu Berendam, Melaka sahaja. Kajian ini meliputi maklumat-maklumat penting dan padat untuk mencapai objektif kajian. Kajian hanya dijalankan melalui kaedah temubual.


2.0       Sorotan Literatur

Sorotan leterasi yang diperolehi dalam penyelidikan mengenai perniagaa coconut shake Encik Khairi ini terdiri daripada beberapa perkara utama. Antara perkara-perkara utama yang ingin di ketengahkan dalam adalah:

Nama: Khairi
Asal: Durian Tunggal, Melaka
Syarikat: Khairi Enterprise

Encik Khairi sememangnya mempunyai sejarah peniagaan yang kuat. Ini dapat dibuktikan kerana ibu bapa beliau berasal daripada keluarga berniaga. Baik keluarga sebelah bapanya mahupun keluarga di sebelah ibu beliau. Perniagaan merupakan pendapatan rasmi keluarga Encik Khairi. Kerana darah yang mengalir adalah darah perniagaan, jadi, di usia muda lagi Encik Khairi telah menceburkan diri beliau dalam bidang perniagaan ini. Ini dapat dilihat apabila beliau mula mendekati perniagaan dengan menolong arwah datuknya menjalankan perniagaan meniaga sayur. Sayur tersebut ditanam sendiri. Sayur-sayur tersebut akan diasingkan menjadi ikatan-ikatan kecil yang berharga RM1 seikat, dijual di pasar sekitar Alor Gajah dan Batu Berendam. Setelah datuk beliau meninggal dunia, pada usia 13 tahun beliau menolong ibubapanya menjual makanan di pasar malam. Makanan yang dijual seperti ayam goreng dan yong tau fu. Encik Khairi menolong ibu bapa beliau sehingga berumur 14 tahun.

Perniagaan pertama yang dibuat adalah dengan menjual buah-buhan tempatan. Buah-buahan ini diperolehi dengan memajak tanah yang dipenuhi dengan buah. Namun, perniagaan buah-buahan ini bermusim, jadi pendapatan yang diperolehi tidak tetap dan tidak boleh terus menampung perbelanjaan beliau pada ketika itu untuk membayar gaji pekerja dan lori yang dibeli.

Perlahan-lahan beliau memulakan perniagaan baru dengan menjual air kelapa. Buah kelapa diperolehi dari tanah yang telah dipajak. Dalam tempoh perniagaan air kelapa ini, beliau pernah jatuh dan bangun semula sebanyak lima kali. Bilangan ini merupakan jumlah yang tinggi untuk seorang perniaga mengharungi cabaran itu secara bersendirian tetapi Encik Khairi mampu mengatasi halangan tersebut dengan menganggap itu adalah adat dalam pernigaan.

Pada peringkat ketiga dalam perniagaan beliau yang mempunyai kemahiran tinggi dalam pembuatan air, ramai pelanggan memberi cadangan untuk membuka sebuah gerai jualan coconut shake. Ini kerana coconut shake memang popular di Melaka iaitu coconut shake Klebang. Inspirasi dari gerai itu yang sentiasa mendapat sambutan hangat daripada pelanggan tetapi lokasinya yang jauh menyebabkan beliau membuka gerainya di Batu Berendam, Melaka.

Selain daripada itu, beliau juga mendapat sokongan daripada pelanggan yang selalu bertandang ke gerainya untuk membeli air kelapa. Untuk mendapatkan rasa yang enak seperti yang diperolehi sekarang, beliau memerlukan masa selama tiga bulan dan dua minggu untuk menaik taraf rasa coconut shake beliau. Dalam tempoh itu, pendapat daripada kawan-kawan dan pelanggan digunakan untuk menambah baik rasa coconut shake tersebut.

Di awal perniagaan, beliau mempuyai dua orang pekerja tetap. Perniagaan ini bermodalkan pernigaan beliau yang terdahulu. Pada usia 17 tahun, beliau memperolehi RM1000 sebulan gaji bersih setelah ditolak bayaran gaji pekerja serta lori dengan hasil titik peluh sendiri.


3.0       Metodologi Kajian

Kaedah pemerhatian merupakan satu kaedah yang sangat umum dan biasa digunakan dalam melakukan suatu penyelidikan. Kaedah ini bertujuan untuk mengukur tahap kualiti suatu penyelikan. Kaedah ini sangat sesuai digunakan untuk melihat, menimbang dan memerhati perkembangan tingkah laku satu revolusi perniagaan yang bermula dari bawah sehingga mencapai tahap kedudukan pada hari ini. Pemerhatian dijalankan meliputi kawasan di mana perniagaan ini dijalankan iaitu Batu Berendam, Melaka. Tempat perniagaan yang dipilih sangat strategik kerana menjadi tempat lalu-lalang orang ramai. Dengan menggunakan kaedah ini revolusi sesebuah syarikat dapat dilihat aliran pernigaannya.

Kaedah temubual adalah kaedah yang dijalankan menggunakan lisan dalam proses memperolehi maklumat mengenai suatu isu yang dikaji. Dalam proses menemubual individu, langkah-langkah yang perlu dipenuhi adalah persediaan responden serta penemubual, kemahiran bertutur dalam menemubual dan pendokumentasian hasil temubual tersebut. Temubual terbahagi kepada dua jenis iaitu temubual tidak formal dan temubual formal. Dalam hal ini, temubual dijalan secara formal bersama Encik Khairi iaitu pengasas kepada syarikat yang menjalankan perniagaan coconut shake yang bertempat di Batu Berendam, Melaka. Fokus temubual ini menjurus kepada aliran pernigaan yang dijalankan oleh Encik Khairi sebelum menjadi usahawan sehingga menjadi seorang yang berjaya pada hari ini. 


4.0       Hasil Kajian

Sesi temubual telah diadakan bersama dengan pemilik kedai tersebut iaitu Encik Khairi di Batu Berendam, Melaka. Beliau memiliki syarikat Khairi Enterprise. Berikut adalah hasil daripada temubual bersama Encik Khairi.

4.1 Latar Belakang Perniagaan Coconut Shake

Sejarah memulakan perniagaan sebenarnya Encik Khairi berasal daripada keturunan berniaga. Keluarganya ibubapanya juga berasal daripada keturunan yang membuat perniagaan sebagai pekerjaan untuk menyara kehidupan seharian. Seawal usia tujuh tahun, Encik Khairi telah berniaga sayur yang dibekalkan oleh arwah datuknya. Sayur tersebut adalah sayur yang ditanam dalam tangki. Sayur itu akan diikat dan akan dijual dengan nilai RM 1. Sayur-sayur tersebut akan dijual di pasar sekita Alor Gajah. Di samping itu juga, beliau bekerja dengan ibu dan bapanya. Pada waktu itu, kedua ibubapanya berniaga di Pasar Malam. Beliau berkerja dengan kedua ibu bapa beliau sehingga umur beliau mencecah 14 tahun.

Pada usia Encik Khairi 14 tahun, ibunya telah memberinya sebuah lori dah modal berjumlah RM2000. Perniagaan sendiri yang pertama yang beliau jalankan ialah berniaga buah-buahan tempatan. Bekalan buah-buahan yang untuk dijual telah dipajak di dusun berdekatan dengan rumah beliau. Namun begitu pada waktu itu, buah-buahan tempatan hanya berbuah mengikut musim. Oleh itu, jalan penyelesaian yang diambil supaya pendapatan beliau stabil ialah dengan berniaga air kelapa. Hal ini kerana buah kelapa berbuah tidak mengikut musim jadi pendapatannya akan stabil sepanjang tahun.

Hasil daripada maklum balas dan permintaan pelanggan, Encik Khairi telah berjinak-jinak memulakan perniagaan coconut shake. Pada permulaannya Encik Khari mempunyai dua orang rakan untuk menolong melaksanakan perniagaannya secara kecil-kecilan. Modal yang digunakan untuk membuka perniagaan coconut shake tersebut bernilai RM3000. Modal tersebut diperolehi daripada perniagaan yang sebelum ini yang telah dijalankan oleh beliau. Beliau telah menyewa tapak di Batu Berendam. Sewa tapak pula bernilai RM300 sebulan.

Setelah tiga tahun perniagaan coconut shake itu dijalankan, Encik Khairi juga turut menjual kuih-muih, air mata kucing dan nasi lemak. Nasi lemak dan kuih-muih adalah bekalan daripada ibu saudara beliau sendiri dan mendapat sambutan daripada para pelanggan. Sehingga kini, Encik Khairi telah mempunyai 17 orang pekerja. Beliau mempunyai trademark tersendiri, iaitu kelapa yang menggunung di kedainya tidak pernah turun. Hal ini kerana itu adalah juga salah satu taktik untuk menarik minat pelanggan.

4.2       Operasi Coconut Shake

Gaji pekerja diberi pada setiap minggu. Purata gaji seorang pekerja ialah RM100 sehari. Pekerja akan mula masuk kerja pada pukul 7.30 pagi dan pulang pada pukul 7.30 petang. Jika mereka hendak bekerja lebih waktu, mereka boleh bekerja sehingga 11 malam. Hal ini kerana kedai tersebut beroperasi bemula pada pukul 10 pagi sehingga 10 malam. Kedai akan dibuka setiap hari termasuk pada hari Ahad. Bonus akan diberikan kepada pekerja pada setiap Hari Raya Aidilfitri dan juga pada Hari Raya Aidiladha.

Encik Khairi juga mengambil katering coconut shake untuk majlis-majlis perkahwinan, majlis-majlis hari keluarga dan juga majlis-majlis lain di seluruh negara. Tambahan lagi selain coconut shake, Encik Khairi juga akan membuat katering cendol terutamanya pada waktu hujung minggu.

Pada umur beliau 23 tahun, beliau sudah berfikiran jauh kehadapan iatu berfikir lima tahun akan datang. Beliau telah mengumpul aset untuk hari tua dan untuk membina keluarga pada suatu hari nanti. Tambahan lagi perniagaan coconut shake semakin ligat apabila pihak media sendiri sudah mengiklankan perniagaannya. Hasilnya, ramai pelanggan yang datang dari seluruh negara hanya ingin menikmati coconut shake yang dijual oleh Encik Khairi.

4.3       Cara Buat Coconut Shake

Sebuah mesin pengisar bernilai RM900. Beliau mempunyai 180 buah mesin pengisar yang diimport daripada Itali. Pada setiap hari pada pukul 3 petang, mesin akan ditukar. Sesebuah mesin tidak akan dibiarkan untuk beroperasi terus 12 jam. Hal ini kerana dikhuatiri mesin akan rosak kerana kos pembaikian mesin adalah sama dengan pembelian mesin yang baru.

Mula-mula masukkan satu skop ais krim ke dalam mesin pengisar. Kemudian, masukkan tiga keping isi kelapa. Seterusnya, masukkan dua cangkir air gula. Selepas itu, masukkan setengah cawan ais. Langkah terakhir ialah mengisar semua bahan hingga hancur.

4.4       Perancangan Masa Hadapan

Pertamanya beliau merancang untuk membuka francais ke seluruh negara. Tambahan lagi, beliau berhasrat untuk mengkomersial penjualan coconut shake dan menjadikannya produk untuk dieksort ke negara-negara yang berdekatan seperti Singapura, Brunei dan Indonesia.

Tambahan lagi, dalam perniagaan coconut shake ini, cuaca amat memain peranan yang tinggi. Hal ini kerana, pada musim hujan yang berterusan bilangan pelanggan akan berkurangan secara mendadak dan secara tidak langsung membawa kerugian kepada perniagaan beliau. Pada musim hujan, perniagaan akan berlangsung seperti biasa. Beliau masih membuka kedai kerana ianya tidak adil kepada para pekerja kerana pendapatan mereka bergantung kepada setiap jam yang mereka kerja. Jadi untuk bersikap adil, walaupun hujan kedai akan sentiasa dibuka. Di samping itu, beliau berniat untuk menjaga hati pelanggan kerana karenah pelanggan yang kadang-kala tidak kira masa jika mereka inginkan membeli coconut shake tersebut.


5.0       Kesimpulan

Berdasarkan hasil temuramah bersama pemilik dan pengasas coconut shake Batu Berendam iaitu Encik Khairi bin Atan, kita dapat merumuskan bahawa usaha berterusan tanpa putus asa walau pelbagai rintangan dan risiko yang perlu dihadapi bukan menjadi halangan untuk seseorang menjadi usahawan yang berjaya. Berfikiran terbuka dalam menerima teguran daripada pelbagai pihak juga menjadi faktor kepada kepada kejayaan yang telah dicapai oleh En. Khairi. Rezeki yang diperolehi digunakan untuk membuka perniagaan adik-adik beliau juga menjadai kunci kepada rezeki yang tidak putus-putus seperti pepatah “semakin banyak menghulur semakin banyak rezeki yang masuk”. Selain daripada itu juga, beliau mengambil pendekatan dengan tidak mengawal pekerjanya dengan keras tetapi tegas. Ketegasan itu adalah untuk mengelakkan daripada mereka memijak kepala tetapi tidak dinafikan beliau merupakan majikan yang mesra terhadap pekerja. Bilangan pengunjung semakin hari semakin bertambah membuktikan bahawa perniagaan coconut shake En.Khairi ini semakin mendapat tempat malah pernah disiarkan di dalam akhbar Berita Harian beberapa tahun lalu. 

Perniagaan coconut shake Encik Khairi ini hanya terdapat di Batu Berendam, Melaka. Setelah melihat kejayaan yang telah diperolehi, Encik Khairi harus meluaskan perniagaan beliau ke serata tempat dalam Melaka ini dengan mengekalkan rasanya yang enak. Hal ini kerana Melaka sangat popular dengan coconut shake tetapi bilangan warung, gerai atau kedai yang menghasilkan coconut shake sangat terhad di tempat tertentu sahaja. Selain daripada itu, Encik Khairi perlu memikirkan keselamatan para pelanggan beliau. Seperti yang diketahui, gerainya berada berhampiran dengan jalan utama. Jadi, beliau boleh mencari tempat di dalam kedai supaya perkara yang tidak diingini dapat dielakkan.


MZ Zainudin, Muhammad Nor Asyraf Nor Azmi, Siti Zunairah Sidek, Mashitah Farith, Fatin Nurfarhana Abdul Rashid



Wednesday, February 24, 2016

Kemahuan yang kuat








Apabila kita memiliki kemahuan yang kuat untuk membuat perubahan dalam hidup, kita akan mencari jalan untuk merealisasikan perubahan tadi. 

Kemahuan boleh disifatkan sebagai punca semua kejayaan dan lahir dari kesedaran minda. Memilih untuk mengubah hidup ada kaitan dengan hasil yang bakal dialami. 

Dalam kajian saya terhadap kehidupan masyarakat miskin di bandar dan luar bandar, ada dalam kalangan orang miskin ini yang mahu berubah dan ada yang agak pesimis untuk berubah. 

Yang mahu berubah ini kebanyakannya dapat merasai yang hidup mereka akan lebih senang dan mereka nampak bagaimana perubahan hidup boleh berlaku. 

Harapan, impian dan gambaran ini menjadikan kemahiran mereka lebih tinggi.


Tuesday, February 23, 2016

Perbezaan baju kurung dan baju kebaya







1.0       Pengenalan
           
Sebelum kedatangan Islam, pengaruh Hindu-Buddha masih kuat ke atas masyarakat Melayu. Masyarakat tempatan hanya memakai pakaian yang amat ringkas dan menutup di bahagian tertentu di tubuh. Kaum lelaki menggunakan tiga helai kain iaitu di kepala dan kain sarung yang dijadikan cawat. Manakala kaum wanita pula hanya menggunakan tiga helai kain iaitu kain sarung, kain kemban dan kain selendang.

Selepas kedatangan Islam, pengaruh Islam memberi kesan kepada masyarakat tempatan. Masyarakat mula dipengaruhi dengan cara berpakaian orang Arab seperti jubah. Tun Hassan adalah Sultan Mahmud Shah iaitu orang yang pertama yang mengubah bentuk baju Melayu asal kepada bentuk baju Melayu yang dipakai sekarang. Tun Hassan telah melabuhkan baju Melayu serta membesarkan dan memanjangkan pangkal tangan baju Melayu. Baju itu dinamakan baju kurung.

Pakaian tradisional Melayu begitu penting sehinggakan sebarang perubahan, penyesuaian dan gubahan yang dilakukan terhadap pakaian tradisional tidak boleh lari dari asalnya. Buktinya, baju Melayu tetap memantulkan keperibadian Melayu dan terus dipakai hingga kini. Pakaian kaum lelaki yang masih popular hingga kini ialah Baju Melayu manakala pakaian wanita yang masih popular termasuk Baju Kurung, Baju Kebaya Panjang, Baju Kebaya Pendek, Baju Kurung Kedah dan Baju Pahang. Pakaian tradisional banyak digayakan wanita. Pakaian ini daripada kain kasa yang dipadankan dengan kain sarung, batik atau songket dengan motifkan warna-warni.

1.1       Objektif Kajian

Objektif kajian ini ialah mengenal pasti pakaian dan kita dapat mengetahui identiti sesuatu kaum yang terakam kemas pada kesenian pakaian tersebut, mengenal pasti identiti bangsa lain supaya kita dapat mengekalkannya untuk manfaat generasi yang akan datang dan menjelaskan tentang pakaian tadisional iaitu baju kurung dan baju kebaya dalam Malaysia.


2.0       Metodologi Kajian

Bagi mendapatkan maklumat-maklumat yang lebih lanjutkajian ini telah menggunakan beberapa kaedah iaitu kaedah pemerhatian, kaedah temubual dan kaedah rujukan.

Kaedah yang pertama ialah kaedah pemerhatian dengan melihat cara-cara kebaya nyonya dan baju kurung dijahit di sebuah kedai yang bernama Ce’ Rose yang terletak di Bangunan Merah, Banda Hilir, Melaka.

Kaedah yang kedua pula ialah kaedah temubual. Kajian telah menemubual dua orang responden di kedai Ce’ Rose tentang bagaimana baju nyonya dijahit, jenis-jenis biku, corak-corak terdahulu sehinggalah yang telah dimodenkan, kain yang dipakai daripada kain batik dan kain yang dimodenkan bernama pario, anggaran harga-harga di pasaran dan beberapa buah negara di serata dunia yang telah membeli baju nyonya di kedai  tersebut.


3.0       Hasil Kajian

Daripada kajian yang telah dilakukan perbezaan baju kurung dan baju kebaya adalah berbeza dari pelbagai aspek. Terutamanya, kajian ini meliputi pelbagai jenis pakaian Melayu iaitu ciri-ciri yang ada pada pakaian tersebut dan proses untuk menghasilkannya.

Kebudayaan dan adat resam bangsa Melayu lebih meluas jika dikaji mengikut sejarahnya yang berabad lama. Sejarah pakaian tradisi Melayu ini telah tersimpan dalam lipatan memori setiap individu di Malaysia. Ini kerana pemakaian pakaian tradisi ini tidak terhenti pada sesuatu abad atau tahun sahaja.

Ianya kekal sehingga kini dengan pelbagai jenis corak akan tetapi banyak perubahan sudah diubah dalam pakaian baju kurung dan baju kebaya. Namun yang pasti, pemakaian pakaian tradisi merupakan satu elemen yang wajib khususnya bagi kaum Melayu dalam pelbagai acara formal dan tidak formal.

3.1       Latar Belakang Baju Kebaya

Perkataan kebaya berasal daripada perkataan Arab 'habaya' yang bermaksud pakaian labuh yang berbelah di hadapan. Antara baju kebaya yang telah dihasilkan ialah Baju Belah Kebaya Panjang, Kebaya Kota Bharu, Kebaya Riau-Pahang, Kebaya Chitty, Kebaya Nyonya, Kebaya Saloma. Baju kebaya mempunyai belahan yang asalnya labuh kini mulai berubah dengan bentuk yang lebih kemas. Potongan baju dijadikan ramping di pinggang serta baju disingkatkan. Terdapat beberapa teori tentang asal usul baju kebaya iaitu:


3.1.1    Baju Belah Kebaya Panjang
           
Baju belah kebaya panjang terkenal dengan wanita di Johor walaupun mereka memakai baju kurung dalam acara majlis akan tetapi mereka juga memakai dengan baju kebaya sebagai warisan daripada Kerajaan Johor-Riau. Pola baju belah panjang ini masih bersifat 'mengurungkan' anggota badan. Secara tradisi potongannya labuh sehingga buku lali. Bezanya ialah berbelah dan berpesak di hadapan baju biasanya dipakai sebagai pakaian di luar rumah atau upacara rasmi.
           
Baju belah panjang ini juga agak terkenal di Melaka, Perak, Selangor dan Kedah-Perlis. Baju kebaya belah ini dikenali sebagai 'baju panjang' dan 'kebaya panjang'. Tradisi ini berkembang menjadi kebaya dan berlenggan panjang berpesak lurus di hadapan, berkekek dan berbelah dada yang ditutup dengan kancing atau kerongsang tiga. Baju kebaya panjang ini dikecilkan sedikit untuk mengikut bentuk badan pemakai. Kain sarung diikat secara ikatan kuncup iaitu kepala kainnya dilipat ke bahagian hadapan.

3.1.2    Baju Kebaya Nyonya

Pakaian ini dibawa oleh Portugis ke Melaka. Hal ini jelas dilihat pakaian baju kebaya ini telah lama dipakai di Melaka bukan sahaja oleh orang wanita Melayu tetapi juga oleh wanita Cina Peranakan (Baba dan Nyonya) hanya sedikit perbezaan dalam potongan dan gaya pemakaiannya.
Kebaya Nyonya mempunyai fabrik yang biasa digunakan untuk membuat kebaya Nyonya dinamakan kasa rubia. Kain tenunan kosong ini jarang, ringan dan diperbuat daripada benang pintal yang halus. Benang yang digunakan untuk menjahit fabrik biasanya benang sulaman mesin daripada kapas, sutera atau polister. Pada zaman dahulu, fabrik dan benang yang digunakan untuk membuat kebaya Nyonya adalah daripada jenis yang bermutu paling tinggi dan diimport dari Eropah dan sesuai dengan status Nyonya.

3.1.3    Baju Kebaya Saloma
           
Baju kebaya saloma diperkenalkan oleh biduanita Puan Sri Saloma. Beliau boleh dianggap sebagai pencipta atau pencetus fesyen dan gaya berpakaian wanita Melayu. Saloma dilihat berani mencuba dan memperkenalkan sesuatu yang baru dalam cara berpakaian. Pada zaman 1950-an, orang Melayu kuat dicengkam adat dan berpegang teguh dengan pengaruh Timur, Saloma muncul dengan gaya berpakaian 'asing' bagi masyarakat Melayu ketika itu. Saloma mempopularkan fesyen pakaian ketat, menampakkan bentuk badan, potongan melepasi bahu dan menampakkan dada.

Saloma turut memperagakan pelbagai jenis kebaya yang menjadi menjadi ikutan wanita Melayu pada zamannya. Fesyen pakaian dengan potongan kain kipas dan kembang, tangan melepas menjadi kesukaan wanita dan artis wanita pada waktu itu. Oleh itu, baju kebaya Saloma ini kekal sehingga kini sehingga menjadi tradisi setiap wanita untuk memperagakannya.

3.1.4    Baju Kebaya Riau-Pahang

Di Pahang, baju kebaya dikenali sebagai baju Riau-Pahang atau kebaya Turki. Perbezaannya ialah rekaan leher berkolar dan berkancing seperti baju kurung cekak musang. Namun, bahagian depannya berbelah seperti baju kebaya yang lain dan turut dipakai bersama kerongsang di bawah kancingnya yang berbutang.

3.1.5    Baju Kebaya Selangor
           
Di Selangor juga mempunyai kebaya tersendiri salah satunya ialah tidak mempunyai kolar. Terdapat pelbagai gaya kebaya antaranya di Selangor, kebaya tidak berkolar. Selangor mempunyai Kebaya tersendiri, identiti kebaya Selangor ialah tidak mempunyai kolar, kebaya jenis ini pernah diperagakan oleh Datuk Michelle Yeoh pada tahun 2001.

3.1.6    Kebaya Chitty

Kebaya Chitty ini daripada wanita Selat atau Nyonya Cina, Kaum India Chitty juga mempunyai kebaya tersendiri. Terdapat beberapa perbezaan di antara kebaya yang dipakai oleh Peranakan India dan Cina. Kebaya Chitty agak konservatif amnya memihak kepada bahan legap untuk kebaya mereka berbanding kebaya Nyonya yang lebih suka kain separa telus. Kebaya Chitty juga cenderung untuk tiada corak, dengan sulaman halus atau tiada langsung. Tidak seperti Nyonya kebaya yang sering dihiasi dengan jahitan yang agak teliti dan halus. Malah terdapat juga perbezaan iaitu wanita Chitty juga memakai kebaya labuh (kebaya panjang) serta kebaya pendek (kebaya hip-panjang digemari oleh Nyonya).

3.2       Latar Belakang Mengenai Baju Kurung

Sebelum kurun ke-20, wanita Melayu hanya memakai kain kemban sahaja. Setelah kedatangan Islam, mereka mula memakai baju kurung yang sopan. Baju kurung lazimnya diketahui sebagai jenis baju longgar yang labuh, kadangkala hingga ke lutut dan dipadankan dengan kain panjang yang berlipat tepi. Baju kurung boleh dipadankan dengan kain tradisional seperti songket atau batik. Baju kurung sesuai dipakai dalam majlis-majlis formal atau urusan seharian.
           
Baju tradisional Melayu merjuk kepada baju tradisional orang Melayu terutamanya baju Melayu dan baju kurung. Pakaian orang Melayu kini lahir daripada pertumbuhan dan perkembangan pakaian orang dahulukala melalui proses ubah ansur. Proses ini bukan sahaja berlaku akibat peradaban awal masyarakat ditempat itu sendiri, malahan ianya akibat daripada pengaruh daripada pedagang India, Cina, Arab dan Eropah. Unsur-unsur tamadun dari Timur dan Barat ini diolah dan digabungkan menjadi satu budaya yang pelbagai serta indah dan unik.

Baju kurung dahulu mempunyai satu kocek. Tujuannya untuk memudahkan mereka meletak duit tanpa membawa beg. Pengertian kurung ialah 'mengurung atau menutup' anggota tubuh. Cara ini menepati konsep pakaian cara Melayu setelah kedatangan Islam sehinggalah istilah 'kurung' diertikan sebagai baju yang selesa dan longgar, labuh atau panjang.
           
Baju kurung amat sesuai dipakai oleh semua golongan masyarakat dan boleh digunakan untuk menghadiri majlis perkahwinan, majlis agama, dan majlis rasmi. Di Malaysia, secara amnya baju kurung adalah pakaian tradisi termasuklah pakaian rasmi pelajar sekolah rendah dan menengah.

3.2.1    Baju Kurung Riau

Baju kurung Riau disebut 'Engku Puteri atau Raja Hamidah' puteri pada Raja Haji iaitu Yang Dipetuan Muda Riau yang kelima daripada keturunan Bugis. Baju Kurung biasa tanpa mempunyai pesak yang terbahagi kepada dua bahagian atau lebih dikenali sabagai pesak gantung dan mempunyai bentuk di bahagian pinggang. Pesak untuk baju kurung Riau adalah kembang di bahagian bawah iaitu di bahagian pinggang. Baju kurung ini sesuai untuk yang bertubuh kurus mahupun gempal. Di samping itu, membentukkan sedikit potongan badan, ia dapat menyembungikan bahagian punggung.

3.2.2    Baju Kurung Pahang

Baju Kurung Pahang atau dikenali sabagai Baju Kurung Riau Pahang pula menyingkap pertalian sejarah antara kedua negeri Riau dan Pahang. Walaupun Riau dan Pahang adalah dua buah negeri yang berjauhan akan tetapi perhubungan politik dan sosial budaya yang terjalin sewaktu zaman kerajaan Melayu Melaka. Baju Belah atau Baju Kebaya Turki berbeza dengan pesak baju kurung kedua-dua bahagian tepi Baju Kurung Riau Pahang berpesak kembang yang disambungkan kekek gantung. Hanya mempunyai satu pesak dari bawah ketiak terus ke bawah.

3.2.3    Baju Kurung Kedah
           
Baju Kurung Kedah berasal daripada Selatan Thai kerana baju tersebut menyerupai blaus pendek dibuat singkat sampai ke punggung. Baju Kurung Kedah terdiri daripada baju yang longgar dan diperbuat daripada kain kapas yang berbunga kecil ataupun kain kapas tebal atau nipis yang jarang serta potongan leher. Baju Kurung Kedah dipakai bersama kain sarung. Kain sarung diikat mengalur dan di masuk sebelah kiri atau kanan. Baju Kurung Kedah boleh disifatkan sebagai pakaian seharian atau pakaian formal.


4.0       Kesimpulan

Pada zaman dahulu, penduduk peribumi memakai pakaian yang diperbuat daripada kulit kayu dan hiasan manik sahaja. Dengan ketibaan tamadun lama, kain tenunan dan batik Melayu dipakai oleh orang kenamaan dan kerabat diraja. Pengekalan pakaian tradisional adalah langkah yang efektif bagi memupuk masyarakat pada zaman moden ini serta lebih menghargai budaya masing-masing.

Selain itu juga, generasi muda yang mengekalkan pemakaian tradisional ini telah menunjukkan rasa hormat kepada generasi tua yang mana asalnya yang mengolah pakaian-pakaian tradisional ini. Dari aspek adab pula, adab berpakaian yang kita sering diamalkan ini adalah bertujuan untuk mengekalkan budaya masyarakat yang berbilang bangsa. Tidak kiralah bangsa Melayu, Cina, mahupun India. Pakaian tradisional boleh dipakai oleh pelbagai kaum di Malaysia kerana tidak mempunyai sebarang syarat ataupun undang-undang. Akan tetapi, mengikut hukum hakam setiap bangsa. Adab berpakaian yang kita amalkan ini bertujuan untuk mengekalkan budaya masyarakat yang berbilang bangsa.

Kesimpulannya, perpaduan amat penting dalam sesebuah negara untuk menjamin kedamaian di kalangan rakyat dan negara. Jelaslah bahawa pakaian tradisional dapat memainkan peranan penting untuk membentuk Malaysia supaya bersatu. Bak pepatah “bersatu teguh, bercerai roboh”.


Rujukan

http://pkpgbk6.weebly.com/kaum-melayu.html
https://ms.wikipedia.org/wiki/Baju_kurung - BAJU KURUNG
http://atehlin.blogspot.my/2012/11/pakaian-orang-melayu-kini-lahir.html
https://ms.wikipedia.org/wiki/Baju_kebaya - BAJU KEBAYA
https://ms.wikipedia.org/wiki/Jenis-jenis_Kebaya_di_Malaysia



MZ Zainudin, Nur Hazirah Zaidul Bakri, Nur Hanis Fatini Rosli, Nur Izzatul Iffah Abu Basrah, Nur Ainn Saini

Monday, February 22, 2016

A crash course in sales and marketing






Penulis: Scott L. Girard, Jr. et al.
Tahun: 2012
Penerbit: Nova Vista Publishing, USA.
Muka Surat: 153

Jadi anda memiliki idea dan sebuku cita-cita. Mungkin anda sudah pun memulakan sebuah perniagaan. 

Apakah yang terjadi jika anda tidak mempunyai seorang pembimbing dalam jualan dan pemasaran?

Belajar bagaimana jualan dan pemasaran bekerja bersama-sama, ditambah tentang bagaimana menulis sebuah pelan pemasaran, memberikan harga kepada barangan jualan, membina kolateral dalam semua media, dapatkan pelanggan melalui jaringan media sosial dan internet, melatih dan menyelaras kumpulan jualan dan pemasaran, membina dan menggunakan jenama anda atau logo serta mengelakkan perangkap jualan melampau.

Siri keusahawanan ini menunjukkan kecemerlangan dalam 17 syarikat termasuk kewangan, penyumberan antarabangsa, produk perubatan, inovatif dot.com serta syarikat bata dan plaster. 

Sama ada kita mengimpikan perniagaan pelihara haiwan atau penciptaan teknologi tinggi, perkakasan rumah atau laman sesawang, buku ini memberikan petunjuk dalam jualan dan pemasaran dalam syarikat kita.

Saturday, February 20, 2016

Motivasi positif








Tidak semestinya kita memotivasikan diri ataupun orang lain semata-mata mencapai sesuatu kejayaan sebaliknya boleh dibuat untuk banyak perkara seperti membentuk personaliti, sikap, tindakan dan membaiki bentuk komunikasi lisan. 

Semua ciri ini boleh ditambah baik kerana proses pembinaan peribadi yang positif lebih banyak menjadi tanggungjawab sendiri. Kita boleh meminta bantuan orang lain tetapi untuk mengharapkan mereka betul-betul membina personaliti yang hebat, kita perlukan lebih banyak kos. 

Motivasi yang sentiasa dalam keadaan tinggi, positif dan dinamik mampu menghasilkan kualiti peribadi yang menyerlah dalam bidang tumpuan kita. 

Katakan ahli sukan, dia boleh mencapai kejayaan peringkat dunia kerana ada dorongan dalam diri untuk menggerakkan potensi sebenar.