Tuesday, October 06, 2020

COVID-19: Angka semakin naik





Selepas Pilihan Raya Negeri Sabah 2020, mangsa COVID-19 terus meningkat. Bilangan mangsa yang disahkan positif bukan sahaja melibatkan orang awam malah ahli politik dan pegawai kerajaan. 

Sebilangan kecil orang politik yang turun berkempen bagi memenangi hati pengundi bergerak ke seluruh kawasan membawa sekali virus ke mana sahaja mereka pergi.

Penyokong-penyokong parti politik dari Semenanjung membantu kempen calon masing-masing yang telah kembali ke tempat masing-masing dengan rasa was-was dan berdebar-debar kerana perlu menjalani ujian pengesanan virus COVID-19.

Mereka yang gagal dalam ujian ini akan dimasukkan ke pusat kuarantin manakala mereka yang dikesan negatif akan pulang ke tempat masing-masing.Kebimbangan terhadap pertambahan bilangan kes positif COVID-19 ini turut menarik perhatian pihak berkuasa. Terdapat gesaan untuk kembali kepada PKP asal yang meminta rakyat berada di rumah masing-masing.

Keputusan mengadakan PRN Sabah ketika pandemik COVID-19 bukannya satu keputusan yang bijak. Kesannya dapat dilihat apabila terdapat peningkatan kes hampir di semua negeri. 

Antara penyumbang utama pertambahan kes ini adalah melanggar SOP ketika kempen dan berasa selesa dengan keadaan semasa. Pelanggaran SOP akan mengundang petaka kepada mereka yang terlibat kerana perlu melalui fasa pemulihan yang panjang.

Mangsa akan diberi rawatan berkala, kawalan komunikasi dan pemantauan ketat di pusat kuarantin. Jika terdapat gejala pada bahagian saluran pernafasan, ia boleh merebak ke bahagian lain jika mangsa tidak memiliki daya tahan badan yang kuat. Seterusnya gejala mula muncul pada bahagian lain anggota badan.

Jika mangsa memiliki sistem pertahanan badan yang kuat, mereka mungkin pulih lebih cepat, jika tidak, mangsa boleh mendapat penyakit yang lebih serius.

Ketika ini, wajar bagi setiap orang di Malaysia mengelakkan diri daripada bertemu dengan mereka yang baru pulang dari Sabah kerana kemungkinan dijangkiti adalah tinggi seperti yang ditunjukkan dengan pertambahan kes sejak akhir-akhir ini yang melewati tiga angka.