Sunday, August 28, 2016

Dasar Mahathir pro pembangunan dan perubahan







Kata-kata yang menyifatkan semua masalah di Malaysia hari ini berpunca daripada tindakan Tun Dr Mahathir adalah ungkapan yang menidakkan sumbangan beliau dalam pembangunan negara selama 22 tahun. Tidak kira sama ada yang membuat kenyataan itu merupakan orang besar atau berkuasa, realiti menunjukkan sebaliknya.

Berikut adalah petikan daripada seorang pelajar Haqib Shaker, yang juga merupakan seorang penulis yang kini sedang belajar di sebuah universiti di Turki menceritakan kisahnya bersama rakan-rakan yang berasal dari pelbagai pelosok dunia. Beliau telah memuat naik sebuah artikel yang ditulisnya di laman Facebook menceritakan tentang pengalamannya di dalam kelas yang mana mereka berdebat mengenai negara Islam dan pandangan rakan-rakannya mengenai Malaysia.

“Warga asing khususnya dari kalangan negara-negara Islam sering melihat Malaysia sebagai contoh negara Islam yang paling maju, moden dan membangun. Rakyat Malaysia dilihat sebagai bangsa yang pintar, kreatif juga berdaya saing bahkan ditambah dengan keberadaan Pemerintah negara yang sangat berkualiti (khususnya era Mahathir) menjadikan Malaysia pada satu tahap berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain”.

Dalam perenggan yang lain, beliau menulis,

“Bagi rakan-rakan Eropah pula, mereka melihat Malaysia sangat membangun. Kerajaan Malaysia (era Mahathir khususnya) sangat bijak dalam mengambil peluang membangunkan negara dengan mengambil contoh negara maju yang lain dan berani bersuara (mengkritik barat dan amerika) sekiranya pada pandangan mereka tidak benar. Sikap Malaysia dalam berdiplomasi perlu dijadikan contoh dan sikap disiplin rakyat Malaysia perlu diterapkan untuk umat Islam yang lain khususnya ketika melancong ke negara Eropah”.

Tulisan beliau seterusnya boleh diikuti di sini.

Tun Dr Mahathir telah menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa perancangan dan tindakan yang berani dapat memajukan negara, jauh lebih baik daripada negara-negara di di Asia Tenggara malah dalam kalangan negara-negara Islam. Banyak bidang pembangunan yang beliau telah tunjukkan khususnya dalam pembangunan sosial masyarakat pelbagai kaum.

Kita ambil contoh kadar kemiskinan di Malaysia sejak tahun 1990. Ketika itu kadar kemiskinan adalah 17 peratus, lima tahun selepas itu menurun kepada 8.9 peratus. Pada tahun 1997, kadar kemiskinan menurun lagi kepada 6.8 peratus. Kemiskinan semakin berkurangan kepada 5.1 peratus pada tahun 2002 seterusnya pada tahun 2015, dianggarkan kadar kemiskinan di Malaysia ialah pada 0.6 peratus.

Impak yang ketara ialah kelompok miskin orang Melayu semakin berkurangan kerana dasar-dasar pembangunan yang diasaskan oleh Tun Dr Mahathir yang pro kemiskinan dan menjadikan pendidikan sebagai instrument utama pembasmian kemiskinan. Malahan beliau merupakan perdana menteri yang paling banyak memperkenalkan dasar dalam pelbagai segmen pembangunan negara seperti Buy British Lasts dan Dasar Pandang ke Timur.

Beliau juga mahukan rakyat Malaysia menguasai teknologi permotoran sehingga muncul Proton Saga, Formula 1 di Sepang dan pesawat terbang Eagles X-TS serta merealisasikan impian rakyat Malaysia menjejakkan kaki ke angkasa lepas. 

Era pentadbiran Tun Dr Mahathir selama 22 tahun telah membawa banyak perubahan dan transformasi kepada ekonomi, politik, sosial dan budaya rakyat Malaysia keseluruhannya. Pembangunan infrastruktur merentas utara, selatan, timur dan barat menjadikan semua kawasan bandar utama di negara ini dapat dihubungkan.

Beliau juga bukan sekadar berupaya dapat mengisi erti kemerdekaan bagi rakyat Malaysia malah berusaha membantu negara-negara merdeka yang masih mundur walaupun telah lama merdeka.

Jika pembangunan dan perubahan yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir pada masa lalu menyebabkan kita boleh hidup senang, apakah kesenangan ini dikatakan sebagai masalah?




Thursday, August 25, 2016

Cabaran menutup aurat di Barat







Kerajaan Perancis membuat keputusan untuk menghalang pemakaian pakaian renang muslimah yang menutup aurat atau lebih dikenali sebagai burkini. Kes terbaru melibatkan seorang wanita yang dipaksa menanggalkan burkini di kawasan pantai Nice. Selepas itu wanita ini dikenakan saman.

Di Perancis, terdapat undang-undang yang melarang pemakaian menutup aurat bagi wanita dengan alasan tidak selaras dengan ideal hubungan sosial dalam masyarakat.

Secara prinsip, setiap orang berhak ke pantai dengan pakaian yang mereka gemar dan selesa bagi menggambarkan pernyataan mereka termasuk yang berburkini yang menyatakan keinginan untuk mengikuti suruhan agama Islam.

Di negara-negara Islam, pemakaian pakaian renang di kawasan kolam umum atau pantai tidak menjadi masalah kerana majoriti masyarakat cenderung kepada keinginan untuk melaksanakan amalan agama. 

Dalam pemikiran masyarakat Barat, kebebasan agama berakhir apabila ia melangkaui sempadan hak orang lain. Inilah yang menjadi topik hangat perdebatan apabila turut dikaitkan dengan simbol pemakaian yang menutup aurat seperti burqa, niqab dan hijab. Mereka beranggapan begitu kerana berfikir menutup aurat adalah tindakan yang tidak masuk akal, ketinggalan zaman dan patut ditolak secara terang-terangan.

Pada mereka, penganut agama patut menyesuaikan diri dengan budaya sedia ada.

Dua buah negara yang mengharamkan pemakaian burqa adalah Perancis dan Belgium.

Aheda Zanetti, pereka burkini berkata pakaian jenis itu semakin popular selepas Perancis mengharamkan pakaian renang menutup aurat itu.



Tuesday, August 23, 2016

Sukan Antara Fakulti pupuk perpaduan etnik di UTeM







1.0 Pengenalan

Sukan adalah salah satu aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan. Sukan juga dilakukan bagi tujuan pertandingan, keseronokan, mengisi masa lapang, pembangunan, kemahiran dan sebagainya. Sukan juga ditakrifkan sebagai aktiviti yang mengandungi latihan kemahiran berguna secara rekreasi serta mengandungi peraturan-peraturan tertentu dalam mengejar kecemerlangan.

Perpaduan pula bermaksud satu proses yang menyatupadukan anggota masyarakat dan negara seluruhnya melalui ideologi negara supaya tiap-tiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan bersama di kalangan mereka. 

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah mengkaji persepsi pelajar UTeM tentang Sukan Antara Fakulti (SAF), mengkaji sejauh mana Sukan Antara Fakulti dapat mengekalkan perpaduan dalam kalangan pelajar UTeM dan mengkaji kerjasama antara etnik dalam menjayakan Sukan Antara Fakulti dalam kalangan pelajar UTeM.


2.0 Sorotan Literatur

Mohd Saleh Aman (2004) menjelaskan tentang isu berkaitan perpaduan antara kaum di dalam bukunya yang bertajuk Sukan Dalam Masyarakat Malaysia terbitan Universiti Malaya, beliau menekankan terhadap isu sukan berdasarkan “Dasar Sukan Negara dan peranan institusi pendidikan di dalam pembangunan sukan di Malaysia dan membincangkan manfaat sukan di peringkat individu dan masyarakat”.

Adam Kadir (2008) menjelaskan tentang isu berkaitan perpaduan melalui sukan menegaskan bahawa “Apa yang ingin dikemukakan di sini ialah bagaimana sukan boleh membawa kebanggaan dan perpaduan rakyat dan negara.

Utusan Online (2009) turut menjelaskan tentang isu berkaitan sukan dan perpaduan yang bertajuk Merialisasikan Gagasan 1 Malaysia melalui sukan menegaskan, “Pelajar perlu dididik agar memupuk semangat kesukanan serta menghargai sukan sebagai alat untuk berinteraksi, menjalinkan perpaduan dan memperluaskan pergaulan antara kaum”.


3.0 Hasil Kajian

3.1 Mengkaji persepsi pelajar UTeM tentang Sukan Antara Fakulti.

1. Pernahkah anda didedahkan dengan SAF?
Berdasarkan hasil kajian, sebanyak 95.8% responden menyatakan mereka pernah didedahkan dengan SAF, manakala responden yang menjawab “tidak” dan “tidak pasti” masing-masing sebanyak 2.1%.

2. Adakah anda pernah terlibat dalam menjayakan SAF?
Berdasarkan hasil kajian, sebanyak 80%  responden yang menjawab borang soal selidik pernah terlibat dalam menjayakan sukan antara fakulti manakala 14% responden yang menjawab “tidak pernah” dan enam peratus “tidak pasti” dengan penglibatan mereka dalam menjayakan SAF.

3. Adakah perlu SAF diteruskan?
Berdasarkan carta pai diatas sebanyak 90% daripada responden yang menjawab SAF perlu diteruskan manakala 8% menjawab “tidak pasti” dan dua peratus “tidak bersetuju untuk meneruskan SAF.

3.2 Mengkaji sejauh mana SAF dapat mengekalkan perpaduan antara kaum dalam kalangan pelajar UTeM.

1. Benarkah terdapat pelbagai jenis etnik yang menyertai SAF ini?
Berdasarkan hasil kajian, sebanyak 90%  responden menyatakan bahawa terdapat pelbagai kelompok etnik yang menyertai SAF, manakala sebanyak sepuluh peratus menyatakan “tidak pasti” dan tiada seorang responden pun yang menyatakan “tidak”.

2. Pada pandangan anda, adakah SAF ini mampu mengekalkan perpaduan antara etnik di kalangan pelajar UTeM.
Berdasarkan hasil kajian, sebanyak 90% daripada responden menyatakan bahawa SAF ini mampu mengekalkan perpaduan antara etnik dalam kalangan pelajar UTeM, manakala sebanyak dua peratus responden menyatakan” tidak” dan lapan peratus “tidak pasti”.

3. Adakah terdapat isu-isu berbaur perkauman di dalam SAF?
Berdasarkan hasil kajian, majoriti iaitu sebanyak 66% responden menyatakan bahawa tidak ada sebarang isu-isu yang berbaur perkauman di dalam SAF ini manakala sebanyak 32% “tidak pasti” bahawa adanya isu-isu perkauman dan dua peratus iaitu minoriti menyatakan bahawa ada sedikit isu perkauman.

3.3 Mengkaji kerjasama etnik dalam menjayakan SAF.

1. Adakah semua etnik berganding bahu dalam melancarkan perjalanan SAF?
Berdasarkan hasil kajian, seramai 88% mengatakan semua etnik berganding bahu bagi melancarkan perjalanan SAF, 12% lagi mengatakan “tidak” kerana mungkin mereka tidak melibatkan diri dengan SAF atau acara yang mereka sertai hanya melibatkan satu kaum sahaja.

2. Sejauh manakah penglibatan etnik lain dalam SAF?
Berdasarkan hasil kajian, 78% responden menunjukkan penglibatan etnik lain dalam SAF, 22% pula mengatakan “tidak pasti”.

3. Bagaimanakah interaksi antara kaum semasa menjayakan SAF?
Berdasarkan hasil kajian, 80% responden bersetuju bahawa interaksi antara etnik adalah baik semasa SAF berlangsung. Hanya sepuluh peratus mengatakan “kurang baik” dan  “tidak pasti”.


4.0 Rumusan dan Cadangan

Sukan Antara Fakulti merupakan salah satu medium yang mana perpaduan di antara etnik dapat dipupuk. Hal ini kerana melalui hasil kajian yang telah dilaksanakan, majoriti daripada responden menyatakan sukan ini dapat mengekalkan perpaduan antara etnik selain itu kerjasama antara etnik juga wujud di antara pelajar UTeM.

Melihat kepada aktiviti sukan yang berlangsung di UTeM, sukan dan permainan yang telah diadakan sama ada sukan fakulti ataupun sukan antara universiti telah disertai oleh pelajar-pelajar yang terdiri daripada kaum India, Cina, Melayu dan lain-lain. Hal ini menunjukkan kebersamaan kaum dalam aktiviti-aktiviti tersebut boleh dikatakan pemangkin perpaduan etnik. Kajian ini membuktikan bahawa sukan adalah pemangkin perpaduan di kalangan pelajar berbilang kaum di Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

Aktiviti sukan sangat berharga kerana menjadi medan untuk memupuk disiplin, semangat bekerjasama dalam satu pasukan selain mampu mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dalam kalangan peserta. Peserta sukan juga yang terdiri daripada pelbagai etnik dalam beberapa aktiviti sukan seperti bola sepak, pertandingan sukan yang pelbagai di sekolah serta perlawanan besar antara negara-negara dapat mengeratkan lagi persahabatan. Lantas, menjadi pemangkin perpaduan etnik di UTeM.


Rujukan

Mohd Saleh Aman.  (2004). Sukan Dalam Masyarakat Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Adam Kadir. (2008). Isu ekonomi, politik, sosial, budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Utusan Online, 27 September 20093. Merealisasikan Gagasan 1 Malaysia melalui Sukan.



Zainudin MZ, Mohd Fikri Amsyar Ahmad, Muhammad Zackriell Zahari, Muhammad Fidzilah Mohd Aseri, Muhammad Shamil Alif Marzuki, Muhammad Asyraf Noor Zelan

Wednesday, August 17, 2016

Personaliti menjulang: Kerani pos ke Profesor








Tidak ada yang mustahil dalam hidup kita. Apabila masanya tiba, doa dan hajat yang telah dipohon bertahun-tahun, akhirnya menjadi kenyataan. Profesor Dr Izaidin Abdul Majid, asalnya bekerja sebagai seorang kerani pos selama sebelas tahun, hari ini beliau melangkah masuk ke auditorium sebagai seorang profesor.

Pakar motivasi, Datuk Mohd Fadzillah Kamsah sering berkata, Allah swt bertindak seiring dengan apa yang difikirkan oleh hambaNya. Kata-kata ini tepat sebagaimana yang diperolehi oleh Izaidin kerana beliau sentiasa mengharapkan Allah swt memudahkan hajatnya untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

Izaidin bukanlah pelajar pintar atau memiliki otak geliga. Dalam peperiksaan MCE pada 1977 beliau hanya mendapat gred tiga aliran sains. Berbekalkan keputusan ini, beliau memberanikan diri memohon pekerjaan sebagai kerani pos. Tempat kerja pertama beliau adalah di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.

Bekerja sebagai kerani pos bukannya duduk seharian di bilik berhawa dingin, sebaliknya beliau perlu melakukan banyak pergerakan fizikal seperti memasukkan surat ke dalam bungkusan, menolak dan menarik bungkusan surat serta bergelumang dengan pelbagai jenis bungkusan kecil atau besar. Keadaan kerja sebegini memerlukannya memakai baju-t berbanding kemeja. Keadaan tempat kerja juga agak panas.

Semangat untuk berubah juga sangat menebal dalam diri Izaidin. Siang beliau bekerja, malamnya belajar di Yayasan Anda selama dua tahun.

Penat lelah bekerja dan belajar akhirnya berbalas apabila Izaidin mendapat empat prinsipal dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Selepas itu beliau memohon Universiti Malaya pada tahun 1983. Bagi melengkapkan keiginannya dalam pencarian ilmu, beliau memohon cuti tanpa gaji selama tiga tahun semata-mata hendak memberi fokus kepada pelajarannya.

Pada tahun 1986, beliau kembali ke pejabat pos selepas menamatkan pangajian di Universiti Malaya. Antara pejabat pos yang pernah mendapat khidmatnya adalah Brickfields, Taman Bilion Cheras dan Lapangan Terbang Subang. Tempat kerja terakhir beliau ialah di Kompleks Daya Bumi, Kuala Lumpur.

Fikiran Izaidin sentiasa ligat memikirkan bagaimana menjadikan hidup lebih baik. Beliau merasakan peluang untuk mendaki tahap yang lebih tinggi di pejabat pos agak sukar lalu beliau memberanikan diri mendaftarkan diri di universiti. Kegigihannya belajar disambung lagi dengan mengambil Diploma Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kerana beliau begitu teringin hendak belajar di universiti tersebut.

Mearasakan pendidikan boleh memberi peluang yang lebih cerah, Izaidin mengambil keputusan berhenti kerja sebagai kerani pos dan menjadikan bidang pendidikan sebagai laluan baru kerjayanya.

Tempat pertama beliau mengajar ialah di Sekolah Menengah Selandar, Melaka. Seterusnya ke Sekolah Tinggi Perempuan Melaka selama dua tahun. Di sekolah ini beliau perlu menjadi “gentleman” kerana guru lelaki tidak ramai.

Sementara mengajar, Izaidin mengintai-ngintai peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana. Kebetulannya ketika itu terdapat program berkembar antara Kementerian Pendidikan Malaysia dan universiti awam, beliau membuat keputusan mengambil jurusan Sarjana Pengurusan Pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Ini merupakan kali kedua Izaidin ke universiti itu.

Selepas menamatkan pengajian peringkat sarjana, Izaidin kembali ke sekolah lamanya tetapi tempatnya dulu sudah diisi oleh guru lain. Justeru, beliau ditempatkan di Sekolah Menengah Yok Bin, Melaka. Di sini beliau mengajar Bahasa Melayu, Sejarah dan Sastera Melayu.

Izaidin sangat gembira di sekolah ini kerana dapat belajar nilai-nilai yang ada pada pelajar Cina khususnya dari segi kesungguhan, ketabahan dan sanggup mengharungi kesusahan. Beliau menegeaskan bahawa menjadi guru penuh dengan cabaran tetapi “enjoy”, mungkin jiwa pendidik begitu menebal dalam dirinya.

Perjalanan hidup Izaidin dalam dunia akademik di universiti bermula sebagai pensyarah DS45 di Kolej Universiti Teknikal Malaysia Melaka (KUTKM) ketika berusia 41 tahun. KUTKM merupakan institusi pengajian tinggi awam yang baru beroperasi dan perlukan ramai tenaga pengajar. Di universiti, tanpa ijazah kedoktoran, sukar untuk pergi lebih jauh dalam tempoh yang singkat. Di KUTKM, Izaidin melihat sendiri bagaimana rakan-rakannya yang memiliki kedoktoran ini bergerak pantas dalam penyelidikan dan penerbitan seterusnya mendapat gelar profesor madya.

Izaidin beriltizam suatu hari nanti beliau juga akan mendapat ijazah kedoktoran dan bergerak seiring dengan rakan-rakan yang telah berjaya itu. Akhirnya pada tahun 2002, beliau berangkat ke United Kingdom bagi melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah dalam bidang keusahawanan. Bidang ini masih baru ketika itu dan masih ramai yang belum memahami bidang ini.

Izaidin juga berusaha keras meyakinkan profesor di universiti beliau supaya bersetuju dengan pilihannya sebagai pelajar kedoktoran dalam bidang keusahawanan.

Izaidin tidak ada pengalaman bisnes tetapi penyelianya sentiasa memberi sokongan dan galakan untuknya memahami subjek pengajian beliau supaya dapat mempelajari bidang keusahawanan dengan cepat. Semasa melanjutkan pelajaran ini beliau juga mengambil Post Graduate Diploma in Research Methodology selama sembilan bulan.

Kesungguhan, ketabahan dan fokus menjadi azimat penting Izaidin untuk melengkapkan pengajian beliau dalam tempoh tiga tahun tujuh bulan. Beliau cukup yakin bahawa perkara yang susah boleh diselesaikan dan bersyukur kerana telah diberi peluang untuk belajar dan akhirnya berjaya.

Selepas kembali ke Malaysia pada tahun 2006, Izaidin dilantik memegang jawatan timbalan dekan kepada beberapa buah pusat pengajaran dan fakulti seperti Pusat Pembangunan Akademik dan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan. Rezeki untuk beliau berjaya dalam akademik sentiasa ada. Pada tahun 2010, beliau mendapat profesor madya.

Kepakaran Izaidin sangat dihargai oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia apabila menjadi pakar rujuk dalam bidang keusahawanan di peringkat pengajian tinggi. Justeru, beliau berulang-alik selama dua tahun antara Melaka dan Putrajaya bagi memberi panduan, bimbingan dan perundingan untuk memajukan keusahawanan dalam kalangan pelajar di seluruh negara.

Kemajuan Izaidin dalam kepimpinan diiktiraf lagi apabila beliau dilantik menjadi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM pada tahun 2013 hingga kini. Beliau tidak pernah tidak ada jawatan selama berada di UTeM justeru sikapnya yang mudah didekati dan bersedia berkongsi pengalaman.

Dalam menjejak kecemerlangan, Izaidin dilihat memiliki selonggok karektor yang melayakkannya untuk cekal dalam perjuangannya untuk mengubah hidup. Beliau juga merupakan orang yang memiliki sifat bersedia mencuba banyak kali dan bersedia juga untuk menerima kegagalan atau penolakan.

Dalam proses mendaki tangga-tangga kejayaan dalam dunia akademik, Izaidin pernah membuat permohonan sebanyak tiga kali untuk jawatan profesor namun hanya berjaya pada tahun 2015 selepas memenuhi semua syarat dan kelayakan yang dikehendaki.

Pada Izaidin, mendapat gelar profesor bukan satu-satunya disandarkan pada usaha sahaja malah doa yang berterusan di samping taufik dan rahmat Allah swt.

Keupayaan Izaidin mengubah haluan hidup daripada seorang kerani pos kepada profesor sangat mengagumkan. Beliau percaya bahawa tekanan yang dihadapi dari semasa ke semasa meningkatkan semangatnya untuk melangkah lebih jauh dalam mencari kejayaan.

Selain daripada tekanan, Izaidin juga fokus dalam tindakan. Hal ini kerana beliau tidak mempunyai bakat-bakat lain yang boleh disandarkan, justeru beliau memberi tumpuan kepada perjalanan akademik sehingga ke tahap sekarang. Pada beliau, kuat bekerja boleh mengatasi bakat manakala kecekalan hati dapat mengubah impian kepada realiti.

Wahai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu: “Berlapang-lapanglah dalam majlis”, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu, maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan (Al Mujadalah ayat 11).



Tuesday, August 09, 2016

Perubahan sosioekonomi pelbagai etnik di Malaysia: kajian kes di Ayer Keroh








1.0 Pengenalan

Ekonomi merupakan satu cabang sains sosial yang mengkaji pembahagian sumber yang terhad untuk memenuhi kehendak manusia. Ini termasuklah kajian tentang pengeluaran dan penggunaan melalui pembolehubah yang dapat diukur, meliputi analisis pengeluaran, pengedaran dan penggunaan barang dan perkhidmatan. Ekonomi disebut sebagai positif jika ilmu ini berusaha untuk menjejaskan akibat dari berbagai-bagai pilihan yang ada untuk sekumpulan tangapan-tangapan tertentu dan disebut sebagai normatif jika ia mensyaratkan tindakan yang harus diambil.

Pembangunan sosioekonomi ialah proses pembangunan sosial dan ekonomi sesebuah masyarakat. Ia diukur menerusi penunjuk seperti keluaran Negara kasar (KNK), jangka hayat, kenal huruf dan tahap pengajian. Perubahan faktor-faktor yang kurang ketara seperti maruah peribadi, kebebasan berpersatuan, keselamatan peribadi dan kebebasan daripada ketakutan kecederaan, serta takat penyertaan dalam masyarakat awam juga diambil kira. Punca kesan sosioekonomi termasuk teknologi baharu, perubahan undang-undang, serta perubahan persekitaran fizikal dan ekologi.

Sosioekonomi adalah kajian hubungan antara aktiviti ekonomi dan kehidupan sosial. Jurusan ini sering dianggap pelbagai disiplin, menggunakan teori dan kaedah ekonomi, sejarah, psikologi dan banyak yang lain. Ia telah muncul sebagai suatu bidang kajian berasingan pada lewat kurun kedua puluh. Dalam banyak perkara, bagaimanapun pakar sosioekonomi berfokus pada kesan sosial sesetengah jenis perubahan ekonomi. Perubatan tersebut boleh termasuk menutup kilang, manipulasi pasaran, menandatangani perjanjian perdagangan antarabangsa, kawalan gas asli baru dan sebagainya. Kesan-kesan sosial seperti itu dapat menjadi berlingkungan luas dalam saiz, daripada kesan tempatan pada suatu masyarakat kecil ke perubahan pada keseluruhan masyarakat.

Contoh-contoh kesan sosioekonomi termasuk teknologi baru seperti kereta atau telefon bimbit, perubahan pada undang-undang, perubahan pada alam fizikal (seperti bertambah kesesakan dalam bandar) dan perubahan ekologi (seperti kemarau memanjang atau kemerosokan stok). Keadaan ini boleh mempengaruhi corak penggunaan, pembahagiaan pendapatan dan kekayaan, cara di mana orang berkelakuan (kedua-dua dari segi keputusan pembelian dan cara bagaimana mereka memilih menggunakan waktu mereka) dan kualiti hidup yang keseluruhannya.

1.1 Objektif Kajian

Kajian ini mempunyai tiga objektif iaitu mengetahui status sosioekonomi masyarakat pelbagai kaum di Ayer Keroh, Melaka; mengetahui isu dan cabaran yang dihadapi dari segi ekonomi dan  mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan sosioekonomi setempat.


2.0 Kajian Literatur

2.1 Sebelum kemerdekaan

Sosioekonomi adalah kajian hubungan antara aktiviti ekonomi dan kehidupan sosial. Jurusan ini sering dianggap pelbagai disiplin, menggunakan teori dan kaedah dari sosiologi, ekonomi, sejarah, psikologi dan banyak yang lain. Jurusan ini telah muncul sebagai suatu bidang kajjian berasingan pada lewat kurun ke-20. Dalam banyak perkara, bagaimanapun, pakar sosioekonomi berfokus pada kesan sosial sesetengah jenis perubahan ekonomi.

Dalam membahaskan kesan kolonialisme terhadap struktur sosioekonomi masyarakat tradisional tempatan, penakrifan tentang kolonialisme harus dirungkaikan. Menurut Nadel dan Curtis, kolonialisme bermaksud imperialisme seperti dilihat daripada kaca mata penting penjajahan dan semua kolonialisme dimengertikan sebagai perkembangan imperialism, tetapi bukan semua perkembangan imperialisme bererti kolonialisme. Secara amnya, kolonialisme bermaksud penindasan, penghinaan atau eksploitasi orang-orang peribumi. Oleh yang demikian, kolonolisme ialah bentuk penjajahan politik satu kuasa ke atas kuasa yang lainnya. Masyarakat tradisional tempatan merupakan penduduk awal yang mendiami Tanah Melayu  iaitu orang Melayu dan mengamalkan ekonomi sara diri. Masyarakat tradisional tempatan mempunyai kehidupan sosioekonomi yang tersendiri sebelum kedatangan kolonalisme British. Justeru, perbahasan ini akan membincangkan kedatangan kolonialisme British telah memberi kesan kepada struktur sosioekonomi masyarakat tradisional tempatan. Kesan kolonialisme sebenarnya telah mengubah politik, ekonomi dan sosial masyarakat tradisional tempatan iaitu penguasaan oleh pihak British.

Sebelum tahun 1800, penduduk di negara kita hanya terdiri daripada penduduk tempatan. Walau bagaimanapun, pada akhir abad ke-19 berlaku kemasukan orang Cina dan India secara beramai-ramai ke negara ini. Kemasukan orang Cina dan India disebabkan oleh banyak peluang ekonomi yang terdapat di Tanah Melayu. British telah membawa masuk orang Cina dan India ke Tanah Melayu sebagai tenaga kerja di sektor perlombongan dan perladangan. Situasi ini memberikan kesan terhadap kehidupan sosioekonomi di Tanah Melayu. Kesan sosial kemasukan orang Cina dan orang India pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 ialah pertambahan bilangan penduduk Tanah Melayu yang begitu pesat.

Pada tahun 1870, bilangan penduduk Tanah Melayu kira-kira 500,000 orang. Setelah kedatangan orang Cina dan orang India ke Tanah Melayu, jumlah penduduk bertambah menjadi 3,300,000 orang pada tahun 1921. Pada tahun 1931, jumlah penduduk bukan Melayu lebih ramai berbanding dengan masyarakat tempatan di Tanah Melayu. Situasi tersebut telah melahirkan situasi masyarakat majmuk di negara kita. Kehidupan mereka bercorak asing dan mengamalkan kebudayaan masing-masing. Orang Cina yang datang ke Tanah Melayu terdiri daripada pelbagai kelompok. Mereka berbeza dari segi dialek, adat dan pengkhususan ekonomi. Malahan terdapat permusuhan antara mereka. Orang India pula tinggal di kawasan kampung luar bandar dan pesisir pantai.

Sememangnya kesan kolonialisme British telah memberi perubahan ke atas struktur sosioekonomi masyarakat tradisional tempatan. Kedatangan British secara langsung atau tidak langsung telah melemahkan kekuasaan sultan dan pembesar. Dasar-dasar yang diperkenalkan oleh British seperti sistem residen dan undang-undang tanah memperlihatkan kerakusan British dalam mengeksploitasi ekonomi dan menguasai politik memberi kesan ke atas struktur masyarakat feudal. Di samping itu, perkembangan infrastruktur seperti kemudahan komunikasi dan perhubungan megubah landskap penduduk tradisional tempatan. Selain itu, kesan kolonialisme ialah pembentukan masyarakat majmuk akibat kegiatan perlombongan dan perladangan yang menghasilkan masyarakat berbilang kaum kerana wujud golongan imigran.

2.2 Selepas Kemerdekaan

Selepas merdeka, kerajaan menekankan pembangunan negara d kawasan luar bandar. Kerajaan mengambil langkah dengan mempelbagai asas ekonomi seperti kelapa sawit, koko, lada hitam dan kayu balak. Kerajaan juga memberi tumpuan kepada eskport barang pembuatan, tekstil, makanan yang diproses dan keluaran hasil getah. Pada peringkat awal, pembangunan ekonomi ditumpukan kepada peningkatan infrastruktur ekonomi, pembangunan, pertanian dan industri gantian-import. Pada akhir tahun 1960an, pembangunan ekonomi diasaskan kepada pembangunan teknologi dan peralihan dari industri gantian import kepada industri berorientasikan eksport. Perubahan yang dilakukan selepas tahun 1970-an bertujuan mengubah struktur sosioekonomi dengan melaksanakan dasar-dasar dan langkah-langkah yang lebih bersifat radikal untuk mencapai perpaduan kaum demi mewujudkan sebuah masyarakat yang bersatu padu di Malaysia. Secara keseluruhan, pembangunan ekonomi di Malaysia telah mencapai kejayaan yang dapat diukur dengan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDKK) yang baik iaitu sekitar 8 - 9 peratus terutama pada tahun 1980-an dan 1990-an. Integrasi ekonomi amat penting dan dilaksanakan melalui dasar-dasar pembangunan seperti Rancangan Pembangunan Lima Tahun, Dasar Ekonomi Baru dan lain-lain.

-Rancangan Malaysia Pertama (1966 – 1970)
-Rancangan Malaysia Kedua (1971 – 1975)
-Rancangan Malaysia Ketiga (1976 – 1980)
-Rancangan Malaysia Keempat (1981 – 1985)
-Rancangan Malaysia Kelima (1986 – 1990)
-Dasar Ekonomi Baru (DEB)

Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan satu program sosioekonomi di Malaysia yang diperkenalkan pada tahun 1971 oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak Dato’ Hussein. Matlamat tersurat DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dan ia telah digubal dalam konteks strategi serampang dua mata unntuk mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Ia juga dpat mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia untuk memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi.

Dasar Ekonomi Baru merupakan satu bentuk perancangan yang dilancarkan oleh kerajaan melalui Rancangan Malaysia Kedua. Menyedari hakikat bahawa pengagihan ekonomi yang seimbang penting demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu, serta mengambil kira kemiskinan  serta ketidakupayaan sesetengah kaum untuk bersaing dengan kaum lain maka DEB telah dirancang untuk mmperbaiki keadaan ini. Ketegangan antara golongan yang berharta dan yang tidak berharta adalah berpunca daripada isu kemiskinan. Didapati bahawa orang Melayu lebih banyak menghadapi kemiskinan dan masih jauh ketinggalan dan kurang mampu bersaing dengan kaum-kaum lain walaupun Malaysia mengalami pertumbuhan ekonomi yang baik.

DEB dirancang sabagai satu program jangka panjang yang akan berjalan selama 20 tahun bermula dari tahun 1970 hingga tahun 1990. Bagi memastikan matlamat untuk menghapuskan kemiskinan tercapai, strategi ditumpukan untuk menghapuskan kemiskinan di kawasan luar bandar dan kawasan bandar. Berdasarkan banci penduduk 1970, didapati bahawa kira-kira 49.3 peratus daripada semua keluarga yang miskin di Malaysia berpendapatan di bawah garis kemiskinan (pendapatan garis kemiskinan tahun 1970 ialah RM200) dan kira-kira, 86 peratus daripada jumlah itu berada di kawasan luar bandar. Bagi mencapai matlamat, kerajaan telah melaksanakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan awam melalui kemudahan pendidikan, kesihatan, bekalan air dan elektrik.

Di samping itu, keutamaan juga diberikan kepada golongan miskin untuk mendapatkan bantuan seperti program bantuan subsidi baja, biasiswa pelajaran dan buku teks, makanan tambahan kepada kanak-kanak serta program rumah murah. Secara keseluruhan, pembangunan ekonomi yang dirancang dan dijalankan oleh kerajaan sejak merdeka telah membawa hasil yang sangat positif. Pihak kerajaan berusaha menangani permasalahan ekonomi yang tidak seimbang kesan daripada dasar ekonomi penjajah. Ekonomi yang dahulunya semata-mata berasaskan pertanian telah berubah kepada ekonomi yang beroreintasikan industri, eksport, teknologi maklumat dan k-ekonomi. Kadar pertumbuhan ekonomi dan kualiti hidup rakyat mencatatkan peningkatan positif adalah bukti kejayaan  pembangunan ekonomi Malaysia.


3.0 Hasil Kajian

Tumpuan kajian ialah latar belakang responden, pendapatan, tanggungan, pandangan mereka terhadap perubahan sosioekonomi di Malaysia. Kajian ini adalah untuk mengetahui dengan lebih jelas ekonomi masyarakat di Ayer Keroh. Melalui data kajian yang telah dijalankn dapat dibuktikan bahawa masyarakat di Ayer Keroh terdiri daripada bidang pekerjaan yang berbeza dan pendapatan yang berbeza.

3.1 Bahagian Pertama

3.1.1 Latar Belakang responden

Latar  belakang  demografi  dilakukan  adalah  bagi  mengumpulkan  maklumat  responden iaitu  berkaitan  dengan  umur,  jantina,  status  perkahwinan, pekerjaan, tanggungan dan pendapatan. Responden  yang  terlibat  adalah  terdiri  daripada  penduduk  di sekitar Ayer Keroh.  Faktor latar belakang pekerjaan dan berpendapatan digunakan sebagai pembolehubah dalam kajian ini kerana faktor tersebut adalah berkaitan dengan pandangan mereka tentang perubahan taraf hidup dahulu dan sekarang. Selain itu, status perkahwinan juga dijadikan sebagai pemboleh ubah dalam kajian ini. Hal ini kerana melalui status perkahwinan terdapat tanggungan yang membezakan taraf hidup seseorang itu.


Umur & Jantina
Bangsa
Status Perkahwinan
Pekerjaan
Tanggungan
Pendapatan
Responden 1
55 tahun (L)

Melayu
Berkahwin
Peniaga
3 orang
RM500 sehari
Responden 2
40 tahun (L)


India
Berkahwin
Polis Bantuan
2 orang
RM3161 sebulan
Responden 3
22 tahun (L)

Melayu
Bujang
Pembantu Kedai
Tiada
RM2000 sebulan
                                        Jadual 1: Latar Belakang responden

Jadual 1 menunjukkan temu bual yang dilakukan terdiri daripada lingkungan umur yang berbeza. Selain itu, pendapatan responden juga berbeza berikutan pekerjaan mereka yang berbeza.

3.2 Bahagian Kedua

Berikut merupakan soalan yang diajukan kepada salah satu daripada responden.

Soalan 1: Perbezaan taraf hidup dahulu dan sekarang
Jawapan: Kenaikan barang yang melampau, harga barang yang tidak tetap disebabkan kurangnya pemantauan dilakukan dan menyebabkan peniaga menaikkan harga barang mereka sesuka hati dan kos sara hidup yang tinggi.

Soalan 2: Adakah pendapatan yang diperolehi cukup atau tidak?
Jawapan: Pendapatan yang diperolehi cukup sekiranya seseorang itu tidak mempunyai hutang yang perlu dilangsaikan.

Soalan 3: Pandangan dan nasihat kepada generasi akan datang demi memantapkan sosioekonomi mereka.
Jawapan: Pemimpin negara perlulah terdiri daripada mereka yang jujur, ikhlas dan boleh dipercayai untuk menjadikan negara lebih maju, tiada rasuah dalam isu politik dan generasi akan datang perlu mempunyai inisiatif untuk belajar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan pekerjaan yang baik dan memantapkan ekonomi mereka untuk masa akan datang.


4.0 Rumusan dan Cadangan

Sebagai  kesimpulannya, sejak  dari  pemerintahan kesultanan  Melaka  hingga ke hari ini, Malaysia terutamanya Semenanjung Tanah Melayu telah melalui banyak perubahan dari  segi  pembangunan  ekonomi  dan  telah  memberikan pengaruh  kepada  hubungan  etnik  serta  kualiti  kesamarataan  dan  keadilan pengagihan kekayaan negara kita. Agak berlainan dengan keadaan di Sabah dan Sarawak, pembangunan ekonomi tidak menimbulkan  krisis  hubungan etnik  yang  serius.  Kaum-kaum di kedua-dua negeri ini masing-masing memainkan peranan dalam menentukan pola  perusahaan.  Disebabkan pola ini, maka telah berlaku sejak abad ke-18 yang mana sistem pertukaran barang (Sistem Butter) di antara “orang-orang darat” yang mengusahakan  sektor pertanian dan “orang-orang laut” yang mengusahakan perikanan. 

Pembangunan ekonomi dan kesannya terhadap hubungan etnik di Malaysia banyak dipengaruhi oleh faktor pemerintahan dan dasar yang dibuat sejak Kesultanan Melaka, dasar Portugis,  Belanda, British dan pihak kerajaan selepas Malaysia mencapai  kemerdekaan. Akibatnya, hubungan etnik di Malaysia menjadi sangat kompleks. Adakalanya membawa kepada tragedi yang tidak diingini. Kini, apa yang penting ialah kita sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab hendaklah memainkan peranan masing-masing ke arah  meningkatkan lagi kemajuan diri dan  ekonomi  negara  serta  sedia bersaing  dengan  bangsa-bangsa  lain  di  dunia ini  dengan  cara  yang  sihat  di samping  memelihara  hubungan  etnik  di  Malaysia  agar kemakmuran dan keamanan negara dapat dikecapi dan terus terpelihara.


Rujukan

Nazri Muslim dan Nasruddin Yunos. (2006). Hubungan Etnik. Bangi: Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Rahimah Abdul Aziz & Mohamad Yusoff Ismail. (2002). Masyarakat, Bahasa dan Perubahan.

http://amirgassi.blogspot.my/2010/10/sejarah-perkembangan-dan-perubahan.html

https://ms.wikipedia.org/wiki/Ekonomi_Malaysia

Tuesday, August 02, 2016

Impak Facebook terhadap masa hadapan Gen-Y di Malaysia







1.0       Pengenalan

Kamus Dewan edisi keempat mentakrifkan impak sebagai kesan yang ketara. Hubungan etnik bermaksud perkaitan atau pertalian antara etnik atau kaum. Facebook membawa maksud sebuah tapak atau laman sesawang media sosial yang dimiliki sepenuhnya oleh Facebook Inc. Melalui Facebook sebagai perantaraan, pengguna boleh menambah rakan dan saling menghantar mesej, Facebook juga boleh mempengaruhi penggunanya secara baik mahupun buruk.

Skop kajian adalah sekitar UTeM yang terdiri daripada mahasiswa/mahasiswi Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer. Jumlah responden adalah seramai 30 orang yang terdiri daripada 25 orang pelajar UTeM dan lima orang staf UTeM.

Terdapat tiga objektif dalam kajian ini iaitu mengetahui sejarah perkembangan  media sosial, menentukan impak positif dan negatif Facebook terhadap hubungan Gen-Y di Malaysia dan mengetahui kaedah dan strategi penggunaan Facebook dalam kehidupan Gen-Y di Malaysia.


2.0 Sorotan Kajian

Terdapat lima sumber yang telah diperolehi dan dikaji dalam sorotan literatur ini. Sumber yang pertama adalah artikel yang bertajuk ‘Media Sosial dan Remaja’ yang ditulis oleh Zatunnur (9 Mac 2015) yang membincangkan tentang media sosial serta kesannya terhadap remaja. Beliau menjelaskan remaja adalah golongan yang berpotensi dalam penggunaan laman sosial. Media sosial menjadi alat interaksi utama yang berguna dan membantu dalam pelbagai aspek jika ianya digunakan dengan cara yang betul. Golongan remaja harus di beri ‘guideline’ serta perhatian dan dorongan daripada ibu bapa untuk menggunakan media sosial ini secara betul untuk mengelakkan masalah sosial kelak.

Di samping itu, artikel yang dikaji iaitu ‘Kebergantungan Internet dan Aktiviti Online Remaja di Lembah Kelang’ oleh Normah, Waan Amizah, Fauziah, Maizatul & Mohd. Helmi (2013), menyatakan bahawa tahap kebergantungan remaja terhadap internet adalah tinggi iaitu melebihi enam jam sehari. Remaja menggunakan internet untuk tujuan berinteraksi berbanding fizikal. Remaja menghabiskan masa selama satu hingga dua jam untuk memahami persekitaran sosial mereka, tiga hingga empat jam dan ke atas untuk interaksi dan memenuhi keperluan kendiri.

Seterusnya, buku yang bertajuk ‘Social Computing and Social Media’ yang ditulis oleh Gabriele Meiselwitz (2015) menyatakan bahawa sosial media mampu menjadi penawar rohani dan spiritual kerana ia dapat membantu mengekspresikan diri. Tiga cara utama untuk ekspresikan diri iaitu menulis, berkongsi video dan merakam suara. Kebanyakan ahli psikologi menasihati pesakit-pesakit mereka untuk menulis diari untuk meluahkan perasaan diri sesuai dengan remaja sekarang yang menggunakan media sosial sebagai salah satu cara mereka mengekspresikan diri.

Menurut akhbar Berita Harian, ‘Media Sosial Punca Runtuh Akhlak Masa Kini’ yang dikarang oleh Athirah Hasli (3 Januari 2016), menyatakan bahawa media sosial membawa keburukan kepada penggunanya. Media sosial merupakan platform yang membuka ruang kepada remaja untuk mengenal dunia luar tanpa had. Maklumat positif yang diperolehi dapat membantu dalam pembelajaran dan lain-lain namun maklumat yang negatif akan mempengaruhi minda dan menjadi ikutan remaja tersebut.

Akhir sekali, keratan akhbar yang bertajuk ‘Berdakwah di Alam Maya’ yang ditulis oleh Mohd Shahrizal Nasir (16 Februari 2013) menekankan tentang peranan media sosial terutama sekali Facebook serta kesannya terhadap golongan muda malahan yang tua. Media sosial dapat merapatkan ukhuwah dan menjalin hubungan persahabatan yang baru tanpa sempadan serta menjadi tempat menyebarkan dakwah. Penggunaan Facebook boleh dilakukan dalam dua cara iaitu secara positif atau negatif bergantung kepada penggunanya.


3.0 Metodologi Kajian

Kaedah kajian yang digunakan terbahagi kepada dua iaitu sumber primer dan sekunder. Kajian ini telah menggunakan kaedah soal selidik secara dalam talian bagi mendapatkan maklumat dan maklum balas daripada responden bagi melengkapkan kajian ini. Sumber primer ialah bahan yang belum diolah atau dicetak. Terdapat 30 soalan kaji selidik mengenai impak Facebook terhadap generasi Gen-Y di Malaysia yang mengandungi sepuluh soalan.

Sumber sekunder pula terdiri daripada bahan atau dokumen yang dikaji melalui pembacaan bahan bertulis. Sumber kedua yang digunakan didalam kajian ini ialah buku, keratan akhbar, jurnal dan artikel daripada internet.


4.0 Hasil Kajian

Terdapat tiga penemuan dan perbincangan utama yang ditemui dalam perbincangan ini iaitu hasil kajian objektif 1; bagi mengetahui sejarah perkembangan media sosial yang telah diperolehi melalui sumber rujukan literatur yang dibentangkan dalam kertas kerja ini. Masyarakat kini sudah dapat mengetahui hal di dalam dan luar negara dengan pantas melalui media sosial lebih-lebih lagi melalui Facebook. Pada tahun 1995 terbentuknya laman sosial GeoCities yang menjadi tunggak awal laman sesawang lain terbina. Tahun 1997 Sixdegree.com dan Classmates.com telah diperkenalkan, pada tahun 1999 munculnya blog peribadi yang membolehkan setiap blogger membuat laman sesawang mereka sendiri dan berkongsi dengan pembaca-pembaca blog mereka. Pada masa kini, blog merupakan laman sosial yang sering menjadi tunggak berkembangnya media sosial.

Seterusnya pada tahun 2002, Friendster telah diperkenalkan dan telah menjadi sesuatu fenomena yang baru kerana pertama kalinya diperkenalkan untuk medan sosial. Friendster berfungsi untuk para penguna dapat berkenalan dan mencari rakan baru dari setiap pelosok dunia serta dapat mengenali pelbagai kaum dan bangsa. Pada tahun 2003 terbinanya laman sosial Linkedln untuk bersosial malah dapat mencari pekerjaan melaluinya. Selain itu, Myspace turut diperkenalkan untuk menawarkan kemudahan mengunakannya sehingga dikenali sebagai laman pengguna mesra kawan. Facebook juga telah dibina pada tarikh 28 Oktober 2003. pada Seterusnya pada tahun 2004, lahirnya Facebook yang menjadi sebuah laman sosial yang terkenal sehingga sekarang dan merupakan laman yang paling banyak penggunanya. Tahun 2006 terbinanya Twittter yang mempunyai perbezaan dengan laman sosial yang lain kerana setiap pengemaskinian status atau lebih dikenali sebagai tweet hendaklah tidak melebihi 140 patah perkataan berbanding Facebook yang tidak mempunyai had patah perkataan untuk pengemaskinian status pengguna.

Tahun 2007 lahirnya Wiser iaitu satu jaringan sosial pertama yang dibina untuk peringatan Hari Bumi (22 April 2007) yang diharapkan menjadi sebuah organisasi dalam talian seluruh dunia termasuk pergerakan golongan baik yang dilakukan oleh individu mahupun berkumpulan. Terbaru munculnya Google pusat mencari pelbagai maklumat secara meluas. Sejarah Google bermula pada tahun 1990-an, namun ia berkembang pantas pada tahun 2000-an. Dengan pengunaan Google, pengguna dapat mencari maklumat di hujung jari mereka sahaja. Pada awal kemunculannya, Google hanya dapat digunakan terhadap pengguna yang dijemput oleh Google sahaja, dan kini Google dapat dilancarkan dan digunakan secara umum.

Di samping itu, objektif kajian kedua adalah menentukan impak positif dan negatif Facebook terhadap hubungan Gen-Y di Malaysia. Melalui soal selidik, terdapat sepuluh penyataan yang dikemukakan kepada responden bagi mengkaji objektif kajian ini iaitu lima penyataan soal selidik dikemukakan untuk mengetahui impak positif manakala lima penyataan selebihnya bagi menentukan impak negatif Facebook terhadap hubungan Gen-Y di Malaysia.

Secara keseluruhan, analisis hasil kajian objektif kedua ini hanya merangkumi maklum balas purata bilangan responden yang menyatakan persetujuan mereka terhadap penyataan yang dilontarkan dalam soal selidik. Berdasarkan dapatan kajian, secara purata, terdapat 72. peratus responden menyatakan persetujuan mereka bahawa Facebook membawa impak positif terhadap hubungan Gen-Y di Malaysia. Kenyataan yang diajukan kepada responden dalam soal selidik termasuklah; dapat berkenalan dengan etnik lain, merapatkan komunikasi dengan etnik lain, menyetujui sesuatu perkara yang dimuatkan dalam Facebook, berkongsi maklumat dalam memperkenalkan adat dan budaya masing-masing, dan pertukaran ilmu dan idea dengan etnik lain. Di samping itu, 68 peratus responden bersetuju bahawa Facebook membawa impak negatif terhadap hubungan Gen-Y di Malaysia. Kenyataan mengenai impak negatif yang telah diajukan kepada responden ialah dapat mengakibatkan konflik dalam hubungan etnik, boleh mencetuskan isu sensitif agama, berupaya mengaibkan maruah individu, penggunaan bahasa slanga yang berleluasa dan berlaku penipuan melalui perniagaan dalam talian tanpa mengira etnik. Perbezaan peratusan purata responden bersetuju yang tidak begitu ketara iaitu 4.6 peratus menggambarkan bahawa Facebook membawa kedua-dua impak positif dan negatif terhadap hubungan Gen-Y di Malaysia. Hal ini kerana responden menganggap bahawa penilaian ini bergantung kepada pengguna masing-masing untuk pandai memilih dan menyerap impak Facebook agar sentiasa buang yang keruh, ambil yang jernih.

Hasil kajian objektif ketiga membincangkan kaedah dan strategi penggunaan Facebook dalam kehidupan Gen-Y di Malaysia. Soalan pertama adalah mempunyai kenalan berbeza etnik dan kajian menunjukkan hasil respon daripada responden terhadap kaedah penggunaan Facebook dengan mempunyai kenalan etnik yang berbeza. Kebanyakkan responden bersetuju bahawa mereka perlu mempunyai kenalan berbeza etnik di Facebook bagi mewujudkan perpaduan dalam golongan Gen-Y. Seramai 19 responden bersetuju dengan kenyataan tersebut. Seterusnya sebanyak sepuluh responden tidak pasti bahawa mereka perlu mempunyai kenalan berbeza etnik di Facebook manakala hanya seorang sahaja yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini. Hasil yang didapati melalui kajian ini menunjukkan sebahagian besar bersetuju bahawa seseorang itu perlu mempunyai kenalan yang berbeza etnik.

Hasil kajian berkaitan reaksi responden terhadap kenyataan bahawa seseorang perlu memuat naik kenyataan yang benar dan tidak mencetuskan fitnah apabila menggunakan laman Facebook. Sebanyak 13 responden (43.3 peratus) bersetuju dan merasakan bahawa mereka seharusnya hanya memuat naik kenyataan yang benar dan tidak mencetuskan fitnah semasa menggunakan Facebook supaya tidak mencetuskan sebarang salah faham dan kesan buruk lainnya. Terdapat 11 responden (36.7 peratus) yang tidak pasti dan diikuti oleh enam responden (20 peratus) yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa majoriti berpendapat agar tidak memuat naik kenyataan yang boleh memecahbelahkan kaum atau masyarakat Malaysia.

Hasil kajian berkaitan kesedaran menghormati adat dan agama etnik lain menunjukkan sebanyak 20 responden (66.7 peratus) bersetuju dengan kenyataan bahawa seseorang perlu mempunyai kesedaran untuk menghormati adat dan agama etnik lain. Hal ini penting agar tidak mencetuskan pergaduhan atau salah faham antara etnik-etnik yang berbeza di Malaysia. Terdapat lapan responden (26.7 peratus) responden yang tidak pasti dengan kenyataan tersebut dan terdapat dua responden (6.7 peratus) yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini dan merasakan tidak penting adanya kesedaran untuk meghormati etnik lain dalam penggunaan Facebook.

Hasil kajian berkaitan penggunaan bahasa dan perkataan yang mudah difahami oleh semua etnik menyatakan menggunakan bahasa dan perkataan yang mudah difahami oleh semua etnik adalah penting bagi mengelakkan berlakunnya salah paham dalam komunikasi antara etnik yang boleh mengancam kesejateraan kaum. Majoriti responden iaitu seramai 21 responden (7 peratus) bersetuju dengan kenyataan tersebut. Terdapat juga responden yang tidak pasti terdiri daripada enam responden (20 peratus) dan yang tidak setuju dengan kenyataan tersebut dan merasakan penggunaan bahasa tidak ada kaitan dalam menjaga keharmonian antara etnik adalah seramai tiga responden (10 peratus). Kajian ini menunjukkan masih ramai yang mempunyai kesedaran menjaga sentiviti etnik lain dalam mengekalkan hubungan yang baik sesama masyarakat.

Hasil kajian berkaitan kepentingan pengamalan etika penulisan yang baik semasa menggunakan Facebook menunjukkan seramai 22 responden yang bersetuju dengan kenyataan tersebut. Mereka merasakan etika penulisan yang baik adalah sangat penting supaya tidak menimbulkan sebarang masalah dan salah faham antara kaum dan masyarakat. Terdapat tujuh responden yang tidak pasti mengenai kenyataan tersebut dan diikuti dengan satu responden yang tidak setuju sama sekali dengan kenyataan ini. Majoriti responden menunjukkan bahawa pengamalan etika penulisan yang baik dan sopan adalah sangat penting bagi menjaga hati pembaca dan pengguna Facebook dan seterusnya melestarikan kesejahteraan kaum dan masyarakat Malaysia.


5.0 Kesimpulan

Dalam kajian ini, ketiga-tiga objektif telah berjaya dicapai melalui perbincangan hasil penyelidikan daripada soal selidik dalam talian terhadap 30 responden. Objektif pertama iaitu mengetahui sejarah perkembangan media sosial, hasil kajian mendapati bahawa penemuan media sosial telah dimulakan sejak zaman 70-an oleh Ward Christensen dan Randy Suess. Bagi media sosial Facebook yang menjadi fokus kajian ini pula diasaskan oleh Mark Zuckerberg pada 23 Oktober 2003 yang diguna pakai di Universiti Harvard. Seterusnya, data yang dianalisis bagi objektif kedua iaitu menentukan impak positif dan negatif Facebook terhadap hubungan Gen-Y di Malaysia menunjukkan responden bersetuju penggunaan Facebook meninggalkan kesan positif terhadap hubungan Gen-Y di Malaysia. Bagi impak negatif penggunaan Facebook terhadap hubungan Gen-Y di Malaysia, dua pertiga responden menyatakan persetujuan mereka. Di samping itu, bagi objektif ketiga iaitu untuk mengetahui kaedah dan strategi penggunaan Facebook dalam kehidupan Gen-Y di Malaysia, majoriti responden bersepakat bahawa penggunaan Facebook perlu disertai dengan nilai-nilai murni dan etika yang tinggi dalam diri pengguna.

Bahagian cadangan menyatakan bagi memastikan Gen-Y di Malaysia mempunyai masa hadapan yang baik, terdapat beberapa cadangan dikemukakan untuk memastikan bahawa penggunaan Facebook yang menjadi kegilaan masa kini menuju ke arah positif. Penggunaan Facebook seharusnya diiringi dengan kesedaran yang ada pada individu itu sendiri. Pengguna Facebook terutamanya dalam kalangan Gen-Y seharusnya mengamalkan etika yang baik tidak kira dari segi penulisan status yang dimuat naik mahupun sikap ketika mengulas status pengguna yang lain. Etika yang dijaga ini seterusnya dapat mengelakkan berlakunya fitnah dan pergaduhan sesama sendiri.

Seterusnya, golongan Gen-Y yang menjadi pewaris masa hadapan hendaklah menjadikan Facebook sebagai medium bagi masyarakat untuk membantu golongan yang memerlukan. Di samping itu, semangat patriotisme dalam kalangan Gen-Y boleh dipupuk apabila menggunakan Facebook dengan sebaik-baiknya. Terdapat beberapa situasi kritikal yang memerlukan golongan Gen-Y untuk mempertahankan nama negara daripada dicemari. Apabila munculnya pengguna-pengguna Facebook daripada negara lain menghamburkan kata-kata yang buruk mengenai Malaysia, rakyat seharusnya dengan berganding bahu membersihkan nama negara daripada terus-menerus menjadi bahan ejekan di media sosial. Dalam masa yang sama, etika yang tinggi mestilah sentiasa diaplikasikan dengan menegur mereka secara baik.


MZ Zainudin, Nurul Qamariyah Misbahul Munir, Irne Zainuddin, Nurul Fatehah Abdullah, Nur’ain Syamimi Karami, Mohamed Asraf Alam Obaidur Rahman