Konsep Penyakit Daripada Perspektif Homeopati
Penyakit tidak akan terjadi begitu sahaja dan sudah tentulah ada sebab tertentu yang menjadi penggalaknya.
1. Kejadian yang telah lama berlaku seperti terperanjat kerana kematian atau kemalangan yang menyebabkan trauma menjadikan pesakit sentiasa sedih dan kecewa yang berlarutan, menjadikan kuasa hayatnya lemah dan mudah jatuh sakit.
2. Pesakit yang berketurunan mempunyai penyakit tertentu mudah mendapat sakit yang sama jika terdapat kesilapan dalam aturan makan atau kesihatan kerana asas penyakit itu telah sedia ada di dalam dirinya.
3. Penjagaan makanan yang tidak betul dan mengambil ubatan yang berbahaya seperti ubat tidur. Benda-benda racun yang terkumpul di dalam badan menjadikan organ-organ penting tidak dapat berjalan dengan betul dan terbitlah apa yang dikatakan penyakit.
4. Perbuatan melampau pesakit itu kerana tabiat buruknya seperti makan berlebihan, gelojoh, tidak mengikut waktu dan sebagainya.
5. Makanan yang dimakan kekurangan zat keperluan tubuh. Kuasa penghalang (antibody) yang lemah dan akan memudahkan timbulnya penyakit.
6. Bekerja terlalu berat, fizikal tidak mampu untuk menahan beban yang dipikul dan menjadikannya lemah dan merasai sakit.
7. Terlampau banyak berfikir, menjadikan fikiran rungsing, tidur yang tidak cukup menyebabkan keadaan kesihatan merosot dan akhirnya jatuh sakit.
Asal penyakit boleh dibahagikan kepada dua kelompok iaitu penyakit keturunan atau hidapan (inherited) dan penyakit yang mendatang (acquired causes).
1. Penyakit keturunan atau hidapan (inherited)
Penyakit keturunan berasal daripada penyakit miasmatik yang bercorak hidapan. Penyakit ini tidak dapat dihapuskan oleh sebarang kekuatan dari tubuh. Sakitnya bertambah melarat dari setahun ke setahun sehingga akhir hayat pesakit, jika tidak mendapat rawatan yang sempurna.
2. Penyakit yang mendatang (acquired causes)
Hahnemann percaya bahawa penyakit hidapan berada dalam keadaan terpendam di dalam tubuh. Dari satu masa ke satu masa ia akan timbul dalam bentuk mendadak (acute) tidak akan disembuhkan melainkan dengan menggunakan satu penawar yang menyembuhkan penyakit mendadak, kemudian dituruti dengan penawar yang meliputi keseluruhan simptom gejala penyakit yang asal.
Terdapat tiga punca utama gangguan penyakit yang dinamakan ibu atau punca penyakit iaitu psora, sycosis dan syphilis.
i. Psora
Penyakit ini berasal daripada jangkitan atau keturunan yang berpenyakit psora. Gejala khas penyakit ini berupa bintit-bintit yang sangat gatal. Antara lain penyakit psora ialah kudis, cacar, ketumbuhan penyakit darah, jantung serta jenis kejang-kejang.
Miasma bercorak psora ini terdiri daripada penyakit kulit. Sekiranya penyakit ini belum terganggu dengan penyakit yang lain, ia akan menimbulkan gejala gatal-gatal diikuti dengan bintit-bintit yang halus. Penyakit dari miasma ini paling buruk serta kronik yang berakhir dengan kecacatan dan kesengsaraan.
Tujuh per lapan daripada semua jenis penyakit kronik yang telah dinyatakan oleh Hahnemann berasal daripada miasma ini. Psora adalah penyakit yang mendalam dan bintit-bintit yang keluar itu menunjukkan adanya miasma yang tersembunyi.
Ramai pesakit yang mengidap penyakit kulit ini setelah diselidiki dengan teliti, didapati mereka pernah mengidap penyakit ini sebelumnya.
Cara untuk menghapuskan miasma ini ialah membiarkannya keluar dengan bebas tanpa diganggu. Kiranya ia ditekan atau dihapuskan dengan ubat-ubat sapu (cream), akan menimbulkan gangguan kepada fungsi tubuh dengan mengubah keadaan bahan kimia di dalam tubuh (metabolism) yang menampakkan penyakit itu berupa kelemahan seperti orang yang kekurangan zat makanan.
Antara tanda pesakit yang mempunyai miasma psora ialah:
-Perangai yang asyik hendak makan walaupun baru selesai makan. Perangai seumpama ini tentunya tidak baik kerana akan berlaku ketegangan di alat penghadaman dan organ-organ itu tidak ada waktu untuk berehat.
-Pesakit malas, suka berehat dan berkeinginan untuk sentiasa berbaring.
-Kerap menggunakan proses penekanan seperti ubat sapu apabila keadaan menjadi lebih teruk.
Penyakit psora dapat disaksikan kerana ia menampakkan dirinya dengan cara bentuk tubuh pesakit itu sendiri, proses pendidikan, perangai, jenis kerja dan gangguan ke atas diri. Kulit mereka selalunya kotor, pakaian dan rambut tidak terurus, fikirannya selalu rungsing dan takutkan sesuatu. Orangnya cepat dan cergas tetapi mudah mengalah kerana fikirannya lemah. Gangguan perasaannya menjadikan diri pesakit tidak tenteram dan mudahlah orang-orang bermiasma psora ini terkena penyakit.
Hahnemann berpendapat bahawa penyakit jenis ini bukan penyakit biasa tetapi adalah menunjukkan gangguan di dalam tubuh akibat daripada kurangnya penjagaan kesihatan.
Secara umumnya jenis-jenis penyakit kulit berasal daripada miasma psora dan rawatan homeopati terhadapnya adalah dengan menggunakan ubat makan yang menolong kuasa hayat tubuh memperbetulkan sistem-sistem organ di dalam badan. Penyakit-penyakit kulit ini dengan sendirinya akan hilang tanpa menggunakan ubat-ubat dari luar.
Melawan penyakit miasma psora ini dinamakan anti psoric. Aksi yang baik setelah memakan penawar ini ditunjukkan apabila keluaran bintit-bintit serta kekotoran yang berupa lendir nanah ataupun jenis-jenis kulit yang lain. Kadangkala terdapat juga sakit kepala, tegang leher, cirit-birit dan sebagainya yang merupakan kemelaratan-kemelaratan sebelum membawa ke arah penyembuhan.
Semasa mengambil penawar penentang penyakit psora yang mengikut kaedah serasi, apabila terjadi keadaan kemelaratan yang seumpama ini, pesakit tidak perlu bimbang dan mengubah haluan dengan mengambil penawar yang lain. Biarkan sahaja penawar berkenaan menyelongkar seluruh tubuh tanpa diganggu selagi ia masih membawa penyembuhan atau masih melanjutkan masa kelegaan.
Kes 1
Berumur 30 tahun dan telah lama mengidap penyakit gatal-gatal dan merawatnya dengan menggunakan ubat sapu. Sejak penyakit gatal berkenaan hilang, dmengidap penyakit lelah yang semakin melarat. Dia diarahkan untuk mengambil ubat tetapi kerana berlebihan pengambilannya, dia hampir menemui maut kerana kesan kemelaratan yang hebat. Pesakit kerap loya dan muntah kemudian bintit-bintit gatal mulai tumbuh di bahagian tangan, kaki dan seterusnya keseluruhan tubuh. Melalui keadaan ini, penyakit lelahnya terus hilang.
Kes 2
Seorang siswa telah terkena penyakit gatal-gatal dan menggunakan ubat sapu untuk menghilangkannya. Setelah itu keluar kudis di bahagian tangan dan kaki diikuti dengan pembengkakan kalenjar di bawah ketiaknya. Apabila penyakitnya hilang, timbul pula penyakit susah bernafas dan bengkak-bengkak yang berakhir dengan kematian.
ii. Sycosis
Miasma ini berasal daripada jangkitan atau keturunan yang berpenyakit gonorrhoea. Penyakit jenis ini mempunyai persamaan dengan syphilis yang mana boleh menimbulkan penyakit-penyakit yang berselang ganti dan dapat merosakkan bentuk tubuh. Penyakit ini biasanya terdapat di kalangan kaum wanita.
Penyakit sycosis ini bermula hasil daripada racun yang terdapat akibat penyakit kelamin gonorrhoea. Bila miasma ini dirawat dan disembuhkan dengan sempurna, penyakit ini jarang sekali merebak. Sebaliknya apabila ianya ditekan ke dalam, racunnya akan masuk ke dalam dan merosakkan sistem tubuh.
Gejala pertama, apabila penyakit ini tertekan ke dalam aksinya menyerang sistem darah yang menimbulkan penyakit kurang darah (anemia) dan keadaan bengkak-bengkak di bahagian tubuh. Ini akhirnya akan menimbulkan penyakit seperti orang kekurangan zat makanan, muka menjadi pucat atau berkelabu, hidung kerap merah kerana urat-urat halusnya timbul. Pada kanak-kanak biasanya terdapat gejala hidung tersumbat dan tidak boleh bernafas kerana banyaknya lendir terkumpul. Biasanya lendir ini berwarna hijau kekuningan.
Gejala kedua, tularan berupa ketumbuhan dalam selaput tipis atau selaput tisu yang menyebabkan timbul ketumbuhan berakar (fibroid), bisul berakar (tumour), kutil (warts) atau ketumbuhan yang berbiji ini mendap di dalam sendi dan tisu yang membawa kepada sakit encuk (rheumatism), sakit urat saraf yang bersifat tersiat-siat di sendi. Kuku menggerutu serta menebal, terdapat gangguan di alat-alat tulang punggung dan juga di alat kelamin yang menjadikan perjalanan haid tidak betul, terdapat ketumbuhan di dalam rahim, penyakit keputihan atau gangguan untuk mendapatkan anak. Racun penyakit sycosis ini boleh berjangkit tetapi bukan dalam bentuk asal (fir wart). Ia berjangkit melalui keturunan. Contoh rawatan bagi pesakit adalah seperti di bawah.
Seorang pesakit datang untuk mendapatkan rawatan sengal-sengal tulang. Penyakitnya melarat apabila dia memakan daging yang menjadikan ibu jari kaki kirinya menjadi bengkak dan terlampau sakit, tetapi penyakitnya akan hilang dalam masa dua atau tiga hari jika berhenti daripada memakan daging.
Berdasarkan gejala keseluruhan penawar yang serasi adalah Urtica Urens. Setelah diberikan penawar ini dalam dos tertentu, keadaannya bertambah baik tetapi masih belum sembuh. Apabila diteliti, disedari bahawa penyakit sengal adalah berasal dari gejala penyakit sycosis. Keadaan ini diperkuatkan dengan keterangan pesakit bahawa beliau pernah mengalami penyakit keluar lendir (catarrh) semasa kanak-kanak dan mengidap penyakit kutil di pipinya. Satu dos penawar Medorrhinum berpotensi 200 boleh diberikan.
Seminggu kemudian, gejala penyakitnya masih memerlukan penawar Urtica Urens. Oleh itu, diberikan sekali lagi penawar itu dalam potensi 200. Melalui rawatan ini, apabila pesakit itu memakan daging seperti biasa ia tidak lagi mendapat penyakit sengal-sengal.
iii. Syphilis
Syphilis adalah sejenis penyakit yang terjadi apabila berlakunya persetubuhan atau jimak secara tidak halal. Sewaktu menerangkan misma ini, Hahnemann menyatakan bahawa jangkitan penyakit syphilis bermula di saat pergeseran atau sentuhan di antara satu sama lain. Apabila jangkitan penyakit telah berlaku, seluruh tubuh menjadi lemah dan dengan cepat sahaja dihinggapi penyakit kelamin.
Kanak-kanak yang mengidap penyakit ini boleh terjadi daripada jangkitan atau keturunan ibu bapa yang berpenyakit syphilis. Bahagian yang kena jangkitan itu biasanya kelihatan melepur, kemudian pecah menjadi kudis yang sangat pedih. Kesan penyakit ini sangat bahaya dan ketara sekali. Kehidupan pesakit akan terganggu terutama bahagian-bahagian tubuh yang penting. Racun daripada penyakit ini bersifat membunuh apabila ditekan ke dalam kerana ia akan merosakkan susunan alat-alat sendi yang mengikat tulang dan memusnahkan keseluruhan sistem tubuh.
Mereka yang mendapat penyakit ini mempunyai perangai jenis perungut, degil, lambat faham atau bodoh, muram, mudah meradang, cemburu, mudah putus asa serta suka menyembunyikan penderitaannya. Apa sahaja jenis penyakit yang dihidapi, bertambah melarat apabila kedatangan malam atau ribut.
Penawar untuk menghilangkan gejala penyakit idapan syphilis ini dinamakan anti syphilis. Sudah tentu ia mempunyai aksi yang kuat serta penyembuhan dari arah yang bertentangan iaitu dapat bertindak daripada dalam dan menolak keluar segala gejala penyakit.
Penawar ini juga mempunyai sifat-sifat yang kuat tindakannya kerana kesan racun penyakit ini sangat mendalamdan menjalar keseluruh tubuh sama ada dari segi perubahan metabolik atau fisiologik. Hahnemann berpendapat penawar Mercury adalah penawar yang paling mujarab untuk menyembuhkan syphilis yang belum ada kerumitan. Walau bagaimanapun terdapat lain-lain penawar yang boleh digunakan pemilihannya dan bergantung kepada kaedah serasi.
seronok dan perasaan ingin tahu tentang gejala serta kaedah rawatan dari artikel yang disiarkan.
ReplyDeletesimptom atau gejala yang berkait dengan sengal-sengal sendi, seperti sakit pinggang, sakit belakang, sakit urat belikat,lenguh-lenguh tangan atau kaki dana sebagainya. adakah termasuk dengan gejala seperti yang dinyatakan?
sekadar iging tahu sebagai pengatahuan untuk diri dan umum.
sekian teriama kasih