Friday, November 07, 2008

Kenapa tidak dapat apa yang diidam-idamkan?

“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Al-Baqarah:216)

Hidup yang kita lalui pada hari ini ada mula dan akhir. Mulanya dengan kelahiran yang disambut gembira, berakhir dengan kematian yang mendukacitakan. Silih berganti gembira dan duka adalah lumrah kejadian insan.

Sepanjang usia 50 hingga 70 tahun, kita melalui berbagai-bagai keadaan- susah, senang, bahagia atau derita. Sebuah keluarga yang besar pasti akan menghadapi kesusahan namun apabila anak-anak bertambah besar dan berjaya, masa-masa sukar dahulu kini bertukar kepada masa senang dan bahagia. Perubahan itu hanya 10 atau 15 tahun.

Apabila kita terdedah kepada pekerjaan, macam-macam kemahuan mula hinggap di fikiran kita. Lihat orang lain ada kereta mewah, kita juga ingin memiliki kereta tersebut. Lihat orang ada rumah besar, setiap bulan pergi melancong dan hidup dengan gembira, kita juga ingin menjadi seperti mereka.

Apakah begitu mudah Allah swt akan memberi apa yang kita mahukan?

Hidup ini ada tujuannya. Kita tidak dapat hidup dengan senang-lenang seperti orang lain kerana ada sebabnya. Kadangkala kita berdoa setiap kali selepas solat bagi memohon sesuatu hajat yang ingin dicapai. Ingin dapat kerja yang bagus, ingin masuk universiti, ingin dapat kontrak juta-juta, ingin jadi ahli politik terkenal dan macam-macam. Namun semuanya tidak dicapai.

Yang tinggal hanya rasa hampa dan bosan dengan janji-janji Allah swt. Mohon kerja yang baik masih belum nampak hasilnya. Akhirnya kita duduk termenung memikirkan untung nasib badan.

Allah swt masih membiarkan kita gelisah dengan kehidupan dunia.

Apabila sifat sabar dan redha ketentuan Allah swt semakin pudar, mulalah kita mempersoalkan kenapa nasib hidup sangat teruk. Minta itu dan ini tidak dapat. Akhirnya menyalahkan Allah swt di atas semua nasib malang yang kita lalui.

Sifat menyalahkan orang lain jika ditimpa bahaya dan memuji diri jika berjaya ialah sifat hodoh. Sifat ini tidak membantu membina hati yang bersih kerana bersikap buruk sangka terhadap Allah swt. Seperti ayat di atas, barangkali kita sangat benci kepada seseorang tetapi hakikatnya ia sangat baik untuk masa depan.

Begitu juga, ada masanya kita sangat sayang kepada seseorang sedangkan dia membawa mudarat dan kehancuran hidup. Masa bersama kita rasa bahagia sedangkan rasa bahagia itu akan memusnahkan kehidupan sepanjang hayat.

Justeru hidup mesti ada sandaran. Tidak perlu terlalu risau dengan kesusahan dan terlalu bangga dengan kemahsyuran kerana setiap satunya ada hikmah. Redha dengan apa yang kita dapat dan menerimanya dengan senang hati adalah penyelesaian kepada masalah hidup.

Jangan bersedih jika tiada wang kerana orang lain bertimbun-timbun dengan hutang, jangan bersedih jika berbuat salah sebaliknya betulkan kesilapan dan bertaubatlah kerana sedih dan risau tidak akan mengubah hidup.

No comments:

Post a Comment