Thursday, November 06, 2008

Membaca bersama kanak-kanak

Minat membaca bermula dengan tabiat membaca di dalam rumah. Jika setiap hari kanak-kanak melihat ibu bapa mereka membaca buku, majalah atau surat khabar, minat membaca akan mula tertanam di dalam diri mereka tanpa dipaksa-paksa.

Sebagai ibu bapa atau penjaga, kita boleh mengajar kanak-kanak membaca surat khabar setiap hari. Caranya ialah kita meletakkan buku atau sebarang bahan bacaan yang mudah di dalam kereta, bilik air, ruang tamu atau dapur. Kebiasaan melihat bahan bacaan akan membuatkan hati mereka mudah dan tertarik kepada buku apabila meniti usia. Bacakan mereka cerita-cerita yang menarik ketika hendak tidur, di atas sofa, ketika menunggu di pusat membeli-belah atau menunggu LRT.

Galakan membaca juga boleh dikembangkan dengan menghadiahkan mereka buku yang dibalut dengan cantik dan kemas ketika sambutan hari jadi mereka. Melalui cara ini, kanak-kanak belajar menghargai hari-hari istimewa dengan menghadiahkan buku, sifat yang boleh dikembangkan kepada rakan-rakannya yang lain.

Bagi menimbulkan suasana seronok membaca, hadkan masa menonton televisyen atau bermain permainan video supaya masa untuk membaca digandakan. Apabila kita merasakan minat membaca semakin menipis, elak dari menjadikan masa membaca sebagai hukuman kerana langkah tersebut akan memudarkan minat semula jadi membaca.

Kadangkala kita agak sukar untuk membiasakan diri dengan keseronokan membaca, tetapi nikmat membaca boleh dilatih bersama kanak-kanak. Berikut adalah perkara yang boleh dilakukan sebelum, semasa dan selepas membaca supaya budaya membaca dapat dibina sejak awal usia lagi.

Sebelum membaca

-Bacakan tajuk hadapan supaya kanak-kanak mendapat idea berkenaan isi kandungan buku.
-Tanyakan kanak-kanak apa yang mereka fikirkan tentang buku berkenaan, ia boleh jadi tentang gambar, warna atau tekstur kulit buku.
-Cuba uji ingatan kanak-kanak sama ada mereka pernah membaca buku yang hampir sama sebelum ini.
-Buka helaian demi helaian kandungan buku dan fokuskan pada gambar, berbual-bual tentang gambar yang ada dan selami perasaan mereka terhadap gambar yang dipaparkan.
-Lihat isi kandungan satu per satu dan tanyakan bab yang mana satu kanak-kanak suka.

Melatih kanak-kanak melihat buku dengan betul perlukan siri amalan yang berterusan. Berbual-bual sambil membelek halaman buku dapat menjana minat yang mendalam terhadap budaya membaca di hati kanak-kanak di samping mereka belajar untuk tertib dengan buku.

Semasa membaca

-Tanyakan soalan yang mudah, ringkas dan dapat dijawab. Soalan yang mudah akan merangsang minat untuk meneroka. Antara soalan yang boleh ditanya ialah ‘Apakah yang kamu fikirkan akan berlaku selepas ini?’ atau ‘Apakah maksud perkataan ini?’
-Kita juga wajar mengambil bahagian untuk membina dan mengekalkan keseronokan membaca dengan memberi ulasan yang membangkitkan keghairahan minat kanak-kanak seperti ‘Wow! Hebatnya budak lelaki ini?’ atau ‘Mama suka warna terang ini.’
-Mimik muka dan emosi juga berperanan menggalakkan kanak-kanak melekat pada buku. Antaranya ialah ketawa yang bersungguh-sungguh jika ceritanya kelakar ataupun menangis jika latar ceritanya sedih. Emosi ini boleh dikongsi bersama dan ditunjukkan dengan suara kita.
-Ajak kanak-kanak menyentuh buku, tanyakan soalan, mengalihkan muka surat atau memberi ulasan mereka.

Selepas membaca

-Nyatakan perasaan kita terhadap isi cerita seperti ‘Buku ini kelakarlah’ atau ‘Mama suka buku ini.’
-Di samping itu, kita boleh timbulkan soalan-soalan yang tertutup untuk melihat sejauh mana kefahaman mereka terhadap buku berkenaan. Antara soalan berkenaan ialah ‘Adakah kamu suka cerita dalam buku ini,’ ‘Mana satu gambar yang kamu suka,’ ‘Nak baca buku yang ditulis oleh penulis ini,’ ataupun ‘Ada tak buku yang serupa dengan buku ini?’
-Selami minat kanak-kanak dengan membiarkan mereka menyatakan perasaan sendiri.
-Program pengukuhan terhadap cerita-cerita yang dibaca boleh dilakukan secara berterusan ketika hendak tidur, menceritakan kembali ketika menunggu sesuatu majlis bermula dan ketika bersama rakan-rakannya.

Apabila ibu bapa membantu kanak-kanak membaca, mereka telah membuka pintu kepada dunia yang sangat luas. Ia membina rantaian yang tidak akan putus: membaca kepada mereka, bercerita, mengajak membaca, praktis membaca dan akhirnya kanak-kanak akan berusaha sendiri untuk mendapatkan maklumat. Sebaik sahaja kanak-kanak menjadi pembaca, dunia mereka bertambah luas dan besar.

No comments:

Post a Comment