Yim Pek Ha, 40 ,dikenakan hukuman penjara selepas didapati bersalah menyebabkan kecederaan parah ke atas pembantu rumahnya, Nirmala Bonat empat tahun lalu. Hukuman yang sepatutnya adalah 54 tahun namun selepas hukuman penjara bagi tiga kesalahan berjalan serentak, Pek Ha hanya perlu melaluinya selama 18 tahun.
Kecederaan yang dialami Nirmala memang menggerunkan kerana hampir keseluruhan badannya mengalami kecederaan parah khususnya di belakang badan dan muka.
Kejayaan pembantu rumah dari Indonesia itu membawa kes ke mahkamah seterusnya majikannya pula menerima hukuman telah memberi inspirasi kepada mangsa-mangsa penderaan dan penyeludupan manusia di seluruh dunia bagi mendapatkan hak. Beliau telah dipilih sebagai salah seorang mangsa untuk menerima pengiktirafan “Hero yang Menamatkan Perhambaan Zaman Moden” seperti yang diterbitkan oleh Laporan Penyeludupan Manusia 2008 pada Jun lepas.
Sebaik sahaja penderaannya disiarkan oleh media, Nirmala hanya menjadikan Kedutaan Indonesia sebagai tempat perlindungan bagi memudahkannya mengikuti perbicaraan di mahkamah dan enggan pulang ke kampung halaman.
Pemenjaraan Pek Ha menjadi pengajaran kepada semua majikan yang menjadikan pembantu rumah mereka sebagai hamba suruhan tanpa menghormati hak-hak sebagai pekerja. Hakikatnya ialah majikan tidak ada hak untuk memperlakukan pembantu rumah seperti hamba kerana kedatangan mereka ini semata-mata untuk mencari pekerjaan.
Hakim Akhtar Tahir menyifatkan Pek Ha seorang yang tidak pernah menyesal di atas tindakannya dan perbuatan berkali-kali mencederakan Nirmala disifatkan sebagai perlakuan yang penuh dengan kekejaman.
No comments:
Post a Comment