Penulis: Warren Bennis
Tahun: 1989
Penerbit: Jossey-Bass Publishers, San Francisco, USA
Muka surat: 169
Warren Bennis, penulis yang menjadi perunding kepada beberapa buah syarikat korporat terkenal seperti Rockwell International, Southern California Gas Company dan Chase Manhattan Bank telah menulis lebih daripada 15 buah buku dan 500 artikel berkaitan kepimpinan, pengurusan dan organisasi.
Beliau dianggap antara polopor dalam bidang organisasi dinamik yang memberi perhatian kepada keberkesanan kepimpinan dan kecemerlangan organisasi.
‘Why leaders can’t lead’ adalah analisis masalah-masalah yang dihadapi oleh sesiapa sahaja yang cuba mengelapai sesebuah pertubuhan atau syarikat korporat dan tindak balasnya terhadap perubahan. Buku ini menawarkan pengalaman seharian seorang pemimpin dan penyelesaian strategik, bukan sekadar bagaimana berhadapan dengan kegawatan ekonomi dan ancaman yang menggugat perancangan terbaik, tetapi juga bagaimana mempastikan rutin sedia ada dapat menyerap masa dan tenaga untuk merealisasikan impian.
Buku ini tidaklah terlalu optimis tetapi persediaan untuk menghadapi perubahan mesti dilakukan kerana setiap perubahan bermula dengan perkara yang mudah, kecil dan dianggap remeh.
Bennis merancang buku ini untuk setiap orang yang berada pada kedudukan sebagai pemimpin atau sedang bercita-cita ke arah itu. Ia amat berguna untuk ketua jabatan, profesor dalam bidang pengajian bisnes, sains politik dan pentadbiran awam, dekan, pentadbir dan naib canselor.
Idea dan huraian dapat membantu pembaca untuk memahami masalah-masalah utama kepimpinan dalam dunia yang semakin kompleks. Pada masa yang sama memberikan penyelesaian praktikal bagaimana berurusan dengan isu-isu yang sukar dan mencabar.
Sebagai contoh, kisah Charles Johnson dalam bab pertama masih lagi relevan dalam situasi di mana persaingan mengurus institusi pengajian tinggi menjadi satu tekanan dan bebanan yang melampau.
Bahagian kedua dan ketiga adalah penulisan semula Bennis tentang kepimpinan. Bahagian keempat adalah kombinasi pemikiran lama dan baru sebagai analisis penyelesaian masalah.
Buku ini menghuraikan konsep kepimpinan dalam bentuk yang berbeza iaitu tidak dalam bentuk terlalu akademik tetapi lebih kepada bacaan popular. Ia boleh menjadi panduan kepada sesiapa sahaja yang bercita-cita menjadi pemimpin.
No comments:
Post a Comment