Thursday, November 20, 2008

Cerai lebih baik jika tak bahagia

Enam puluh enam peratus golongan isteri di Britain lebih rela bercerai daripada meneruskan perkahwinan yang tidak bahagia, manakala tiga daripada setiap lima wanita berpendapat bapa perlu lebih bertanggungjawab terhadap anak.

Satu kajian yang disiarkan akhbar The Telegraph menyatakan, wanita di Britain melihat keupayaan mengimbangi kerjaya dan rumah tangga sebagai cabaran terbesar dalam hidup mereka.

Kajian majalah Stella mendedahkan, hampir dua daripada lima wanita menganggap diri mereka sebagai pejuang hak ‘kaum hawa’.

Empat puluh enam peratus wanita berpendapat pasangan perlu tinggal bersama sebelum berkahwin. Perangkaan ini meningkat kepada 77 peratus dikalangan wanita berusia 18 hingga 24 tahun, tetapi merosot dengan nisbah satu dengan empat atau 27 peratus dikalangan wanita berusia 55 tahun atau lebih.

Agensi penyelidikan YouGov terbabit menjalankan kajian dengan menemuramah lebih 1,000 wanita pelbagai latar belakang dan bertanyakan semua perkara daripada nilai keluarga , amalan pemakanan, pandangan mengenai pembedahan plastik, seks dan tabiat berbelanja.

Kajian mendapati kesihatan dan berat badan adalah isu utama wanita moden.

[Berita Harian Online, 18/11/2008]

No comments:

Post a Comment