Friday, November 28, 2008

Kenapa ujian seberat ini?

‘Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.’ (Al-Baqarah:286)

Amran gelisah tak tentu arah. Sekejap duduk, sekejap diri. Ruang tidur biliknya dirasakan semakin sempit.

Hampir semalaman Amran tidak lelap kerana memikirkan dompetnya yang tinggal beberapa helai wang warna biru dan hijau sahaja. Kad kredit yang terselit di celahan kecil dompet ditarik dan dibeleknya beberapa ketika.

‘Ah, hutang pun masih banyak,’ dengus hati kecil Amran.

Sesekali matanya merenung ke luar tingkap, melihat kerdipan lampu neon di jalan raya yang dihiasi pemandangan indah waktu malam. Sebiji dua kereta bergerak perlahan menyusur jalan raya.

Kad ATM juga mencuri tumpuannya. Baru petang tadi dia ke mesin ATM di Banga, kot-kot bayaran untuk kursus yang diberi awal bulan lalu sudah masuk. Tapi hampeh, tak ada langsung. Baki kad cuma dua puluh enam ringgit setengah, kad yang satu lagi hanya sepuluh ringgit. Mana boleh keluar duit dengan jumlah ciput ni.

Kini dia benar-benar buntu memikirkan di mana hendak cari wang untuk isi minyak kereta, bayar tol dan isi perut. Penanda aras minyak keretanya sangat hampir dengan ‘E’, mana nak cari duit isi minyak ni!

Sebaik sahaja azan subuh dilaung, Amran bergegas mandi dan menunaikan solat subuh kerana dia perlu segera ke Hotel Vikko untuk menjalankan tugas sebagai urus setia konferens di situ. Dicapai beg baju yang telah disiapkan dan dimasukkan ke dalam kereta Kancil EZ850.

Nasib baik jalan raya kurang sibuk. Masih ada duit untuk bayar tol RM1.60 di plaza Sungai Besar. Susut lagi wang dalam dompetnya, hanya cukup untuk bayar tol bila balik nanti.

Sampai di hotel, Amran mendaftarkan diri untuk masuk ke bilik yang telah disediakan untuknya.

‘Encik, saya nak daftar bilik untuk 3 hari saja,’ kata Amran.

Petugas kaunter, seorang lelaki yang kelihatan segak terus menekan butang-butang di papan kekunci komputer di hadapannya.

‘Boleh saya dapatkan kad pengenalan encik?’ katanya ramah sambil tersenyum.

Amran menghulurkan kad pengenalan dan diberi bilik 722. Tingkat tujuh.

Selama tiga hari Amran makan dan minum tanpa perlu fikir di mana akan makan. Allah Maha Besar, ketika itulah dia kehabisan wang tetapi Amran sangat yakin rezekinya tetap ada.

Buat seketika Amran merasa gembira, tidurnya lena benar dan dapat memberikan tumpuan pada tugasan.

Namun, fikirannya berlegar-legar bagaimana hendak bayar tiket untuk parking kereta di hotel berkenaan. Dia bukannya cukup duit. Tetapi di hotel, jika hendak dapat tiket percuma, kenalah dapatkan pengesahan di kaunter, barulah dapat. Ya, jangkaannya tepat.

Amran keluar ke Kampung Padang untuk mengambil wang RM100 yang dihutangnya dengan Nizam. Selesai sekejap masalah tak ada duit.

Nilai seratus ringgit bukannya besar. Selepas bayar hutang kad kredit, beli top up telefon bimbit dan isi minyak kereta, bakinya hanya RM25.

‘Tak mengapalah, jimat sikit dan tawakkal sajalah,’ kata Amran menenangkan hati. Namun Amran yakin Allah akan membantunya menyelesaikan masalah ini. Dia yakin benar, insya Allah.

Amran bukannya seorang yang lagha dengan resah gelisah ini. Tempat mengadu hanya kepada Allah yang Esa. Lebih-lebih lagi setiap minggu dia menghadirkan diri ke program usrah. Jiwanya semakin kental dan tabah setelah beberapa tahun menghadiri usrah ini.

Hari Rabu, seharian Amran tidak makan. Hanya minum air kosong untuk alas perut. Minyak kereta makin habis, hampir ke ‘E’ dan duit hanya tinggal seringgit. Apa nak buat? Rakannya, Tin, ajak makan tengah hari di luar tetapi ditolak dengan baik. Nak beli apa dengan satu ringgit?

Amran benar-benar yakin dengan ayat Allah, ‘Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk,’ (Al-Baqarah:45)

Dalam keadaan buntu dan rasa lemah, Amran menuju ke surau dan menunaikan solat dhuha dua rakaat. Cukup dua rakaat sahaja. Pada sujud terakhir, dia memanjangkan sedikit sujudnya, didoakan dengan penuh harap agar Allah menyelesaikan masalah kritikal yang dihadapinya ketika ini. Dia benar-benar yakin Allah mendengar doanya kerana ‘Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya’ seperti dalam surah Al-Qaf ayat 16 itu.

Doanya bersungguh-sungguh, dengan harapan dan belas ihsan. Dia yakin dengan ayat Allah bahawa penyelesaian akan tiba dengan syarat- sabar dan solat yang khusyuk.

Dadanya berdebar-debar kerana sehingga jam 6.45 petang, masih belum ada tanda-tanda bantuan dari Allah. Hatinya resah, gelisah. Masakan Allah mungkir janji ke atas hambanya ini. Perutnya mula kuat berbunyi, sekali-sekala ditepuknya dan bunyinya seperti tong kosong.

‘Ah, Allah baru hendak uji kesabaranku kali ini,’ Amran mula rasa lemah semangat.

Lima minit selepas itu, terdetik hatinya untuk melayari status bayaran kursus di laman web e-maklum. Mana tahu kot-kot dah masuk.

Ditaipnya e-maklum, keluar kotak pertanyaan status bayaran, lalu diisinya nombor kad pengenalan. Jari-jarinya menekan butang nombor dengan berhati-hati.

Setelah diisi tarikh kursus, lalu diklik ‘Papar Hasil Carian’ tiba-tiba matanya terpaku kepada tarikh bayaran. Lantas Amran mengucapkan ‘Alhamdulillah, syukur’ kerana di dalam kad ATM sudah ada RM640.

Selapas mengeluarkan wang, dia bergegas menunaikan solat maghrib disusuli dengan solat syukur kerana pertolongan Allah itu. Benarlah ayat-ayat Alah iaitu sabar dan solat sebagai syarat mendapat bantuan Allah. Menitis juga air mata Amran apabila memikirkan ujian yang diterima itu.

Kunci kepada penyelesaian masalah hidup ialah sabar dan solat yang khusyuk di samping solat dhuha dan solat hajat. Insya Allah, pengalaman Amran sangat baik untuk diteladani ketika kita tidak ada wang untuk membeli miyak petrol, beli susu anak-anak atau membayar tol.


Sesekali dalam hidup kita, ujian yang diberi oleh Allah adalah untuk kita kembali berdoa dan merayu kepada-Nya kerana rintihan, rayuan dan doa kita itulah yang ingin didengar oleh Allah, rabb yang maha berkuasa. Allah yang memiliki kehidupan kita dan kepada-Nya kita berharap.

No comments:

Post a Comment