Tahun 2006
Penerbit: International House of Japan, Tokyo, Jepun.
Muka surat: 201
Penduduk Jepun yang tua semakin meningkat jumlahnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Keadaannya semakin runcing kerana berlaku pengecutan dalam bilangan populasi Jepun. Pembuat dasar dan perancang korporat mulai merasai bahana perkembangan ini.
Tenaga kerja yang kecil dan tua bermakna mengurangkan potensi produktiviti. Bilangan pengguna yang kurang turut mengurangkan permintaan keseluruhan di samping perubahan yang semakin ketara ke atas cara gaya pembelian.
Hasil cukai yang meleset akan meresahkan pihak berkuasa tempatan. Industri dan kawasan yang terlibat akan terus bergantung kepada perbelanjaan awam tetapi hilang pasaran tradisi. Program persaraan dan insurans kesihatan menjadi tidak berdaya maju.
Biarpun demografi menjadi kejayaan kepada Jepun selama beberapa dekad, negara itu masih tidak sedar perubahan-perubahan yang akan berlaku. Mereka benar-benar tidak bersedia untuk menghadapi peningkatan ketara kadar penuaan dan pengecutan jumlah penduduk. Kerajaan, sektor swasta, ahli akademik dan media mula terkejar-kejar untuk memberi reaksi terhadap realiti baru ini.
Kegopohan mereka adalah jelas iaitu keriuhan ketika mencadangkan isu-isu berkaitan pospek ekonomi dan sosial negara. Nada perbincangan adalah jelas menunjukkan suasana muram.
Matsutani Akihiko telah memberi idea segar dan luas terhadap implikasi ekonomi dan sosial jika berlakunya perubahan demografi. Dalam buku ini beliau mengulas secara meyakinkan tentang aliran demografi yang menyebabkan perubahan sosioekonomi lebih teruk daripada yang dijangkakan oleh para pakar.
Matsutani juga membincangkan tentang tindakan sia-sia untuk mengawal pengecutan penduduk dan daya saing ekonomi seperti galakan keluarga besar dan membawa masuk pekerja asing.
Beliau mendesak Jepun untuk belajar hidup dengan jumlah penduduk yang kecil dan lanjut umur. Baginya, bilangan rakyat yang sedikit adalah tragedi besar untuk negara kerana membantutkan perkembangan ekonomi serta gagal menambah baik kualiti hidup rakyat keseluruhannya.
No comments:
Post a Comment