Saturday, November 29, 2008

Perubatan homeopati sebagai pilihan untuk rawatan keluarga (6)

Jenis Penyakit

Pengkelasan penyakit Hahnemann berbeza daripada sistem perubatan yang lain. Beliau membahagikan penyakit ini kepada dua kategori yang bergantung kepada sifat klinikal iaitu akut dan kronik.

Penyakit akut dicirikan oleh kejadian mendadak, berkembang pesat dan cepat menurun sama ada sembuh terus sepenuhnya atau berakhir dengan kematian penderita. Jenis berlainan penyakit akut ialah:

1. Penyakit individu
2. Penyakit epidemik (merebak luas di kalangan orang ramai di tempat yang sama pada waktu tertentu)
3. Penyakit endemik (biasa terdapat di sesuatu kawasan, negeri atau di kalangan kumpulan orang tertentu)
4. Penyakit sporadik (jarang-jarang ditemui)
5. Penyakit pandemik (berlaku ke seluruh negara atau dunia)

Penyakit kronik dicirikan oleh satu permulaan yang perlahan dan beransur-ansur dan lambat berakhir. Penyakit jenis ini juga akan menyebabkan kematian jika rawatan yang berkesan dan betul tidak diberi. Penyakit jenis ini dibahagikan kepada; i) berkembang sepenuhnya, dan ii) penyakit yang berkembang sebahagian. Bagaimanapun pembahagian ini bergantung kepada manifestasi simptom-simptom.

Bagi penyakit kronik berkembang sebahagian, dapat dikelaskan kepada dua jenis iaitu penyakit setempat dan penyakit sebelah.

Penyakit setempat ialah jenis penyakit yang mempersembahkan manifestasinya menerusi beberapa bahagian tempatan. Mereka terbahagi kepada jenis boleh dibedah (surgical) dan tidak boleh dibedah (non surgical). Penyakit sebelah mempersembahkan simptom-simptom di paras mental atau fizikal. Maka mereka dikelaskan kepada penyakit yang mengembangkan simptom mental dan fizikal.

Penyakit kronik terbahagi kepada penyakit bermiasma atau bukan bermiasma. Penyakit bukan bermiasma terdiri daripada dua jenis iaitu penyakit yang tidak sepatutnya digelar penyakit kronik atau pseudokronik dan penyakit paling dibenci atau penyakit sukar disembuhkan atau penyakit dadah.

Pseudokronik adalah penyakit yang disebabkan ketagihan benda-benda berbahaya, kelakuan atau tabiat buruk, gaya hidup yang pengotor, kekurangan keperluan utama asas hidup, kurang senaman, aktiviti-aktiviti lampau dan sebagainya. Penyakit dadah disebabkan salah guna sejumlah besar dadah mentah.

Peranan Kuasa Hayat Dalam Proses Penyembuhan

Penyakit adalah disebabkan gangguan pada kuasa hayat. Penawar homeopati juga sangat dinamik dari segi ciri-cirinya. Penawar yang paling tepat dipilih dalah apabila diberikan kepada pesakit, ianya boleh menghasilkan keadaan penyakit tiruan yang serupa dengan individu berkenaan. Ini adalah sebab tindakan utama penawar ke atas kuasa hayat. Keamatan penyakit tiruan boleh dikawal dengan mengawal potensi ubat.

Hukum semula jadi kesembuhan ialah pengaruh dinamik lemah dipadamkan oleh satu kesan dinamik tiruan serupa. Homeopati mematuhi hukum ini. Di sini pengaruh dinamik semula jadi ialah kuasa hayat dan penyakit tiruan dihasilkan oleh similimum dinamik. Kekuatan diubah suai dengan pemilihan potensi ubat yang betul.


Penyakit penawar tiruan mengambil alih penyakit semula jadi di paras kuasa hayat. Oleh kerana kuasa penyakit, kuasa hayat dan kuasa penawar berciri dinamik, saling tindakan mereka amat mudah. Kekuatan tindak balas penyakit tiruan teraruh lebih kuat, ia mengambil alih penyakit semula jadi buat seketika.

Disebabkan dua kuasa atau daya tidak mampu wujud pada satu masa, kuasa penyakit yang lebih lemah dihapuskan dan terbuang daripada tubuh. Tidak ada lagi penyakit tiruan seterusnya dihasilkan apabila dos ditambah. Selepas jangka masa tertentu, penyakit penawar akan lenyap dengan sendiri dan kesembuhan dikekalkan.

Rawatan Secara Homeopati

Homeopati sebagai satu sistem perubatan yang berasaskan "similia similibus curentur" bukanlah satu sistem perubatan yang statik (Mohamed Hatta, 1999). Sejak diperkenalkan kira-kira 200 tahun yang lalu, kaedah rawatan ini telah menjangkau ke seluruh dunia termasuk Eropah, Amerika Syarikat, Asia dan Amerika Selatan. Perkembangan rawatan ini memberikan cabaran terhadap keupayaan perubatan moden pada masa kini.

Di India umpamanya, dilaporkan 100,000 pengamal homeopati dan 120 institusi yang menawarkan sistem perubatan ini selama empat tahun sebagai asas menjadi pengamal homeopati profesional. Menurut Allied Health Professional Council of South Africa (AHPCSA), terdapat 631 pengamal berdaftar di Afrika Selatan yang mana 130 orang daripadanya adalah doktor perubatan.

Tujuan rawatan homeopati ialah merawat dan menyembuhkan pesakit dengan cara holistik dan mengambil kira keadaan keseluruhan pesakit khususnya keadaan minda dan kesejahteraan psikologikalnya.

Pengamal homeopati mengambil maklum latar belakang pesakit melalui simptom yang kadangkala dianggap tidak relevan dan remeh pada anggapan pesakit. Hakikat di sebalik ketelitian pengamal perubatan ini ialah penyakit disebabkan terdapatnya gangguan terhadap keseimbangan tenaga di dalam tubuh pesakit (Geddes dan Grosset, 2003).

Oleh yang demikian, masa yang agak panjang diperlukan bagi seseorang pengamal untuk mendapatkan gambaran keseluruhan bahagian yang mengganggu ketidakseimbangan tadi supaya penawar yang serasi dapat diberi. Sesuatu penawar yang diberi mesti menepati kedua-duanya sekali iaitu simptom dan ciri-ciri yang diperlihatkan oleh pesakit. Justeru, walaupun dua orang pesakit yang mendapat penyakit yang sama, kedua-duanya akan diberi penawar yang berbeza berdasarkan simptom-simptom individu yang diperlihatkan.

Perbezaan Rawatan Homeopati dan Alopati

Homeopati adalah satu seni penyembuhan yang saintifik dan adalah satu seni penyembuhan. Beberapa perbezaan di antara perubatan homeopati dan alopati boleh dikenal pasti berdasarkan corak sistem perubatan yang ketara bezanya.

Rawatan secara holistik dan pengamal menilai serta merawat pesakit secara peribadi. Gejala lengkap yang diperlihatkan oleh pesakit adalah petunjuk penting bagi penyediaan penawar yang serasi. Manakala alopati memeriksa pesakit secara fizikal semata-mata untuk menentukan nama penyakit yang dihidapi dan memadankan pemberian ubat berdasarkan penyakit yang sudah tentu tidak mengambil kira keadaan konstitusi pesakit dari segi perasaan, bentuk tubuh dan keperluan-keperluan yang lain (Michael T. Murray, 1994).

Pemberian penawar homeopati adalah paling minimum dan potensi yang sesuai supaya serasi dengan keadaan pesakit tanpa mengira nama penyakitnya. Kaedah ini dapat melegakan sakit secepat mungkin dan mengelakkan penyakitnya itu menjadi bentan atau meninggalkan kesan buruk kepada pesakit. Dos ubat diberikan kepada pesakit yang mendapat rawatan alopati bergantung kepada sejauh mana kesakitan yang dialami. Biasanya mereka akan memilih dos yang paling kuat untuk mendapatkan kelegaan segera. Kaedah ini akan menekan penyakit dalam sementara waktu dan tidak memberi kesembuhan yang hakiki.

Perubatan alopati tidak membuat perbezaan di antara sakit mendadak (acute) dan penyakit kronik dari segi pengubatan. Jadi ia tidak mempunyai penawar pencegah dan rawatan konstitusi untuk pesakit kecuali penanaman cacar suntikan serum dan BCG, sewaktu berlaku wabak sebagai pencegah. Keadaan ini berbeza dengan rawatan homeopati di mana penawarnya dapat menyembuhkan dan menjadi penawar pencegah. Kes demam misalnya, tanpa mengira jenis selesema, malaria atau kepialu, pemilihan penawar akan bergantung kepada apa yang sedang berlaku.

Dari segi kos, homeopati memberi pilihan rawatan yang murah dan tidak membebankan kerana tidak memerlukan pengambilan ubat yang banyak dan tidak ada kesan sampingan. Berbeza dengan rawatan alopati, terdapat banyak amaran supaya sesuatu dos diambil dalam kuantiti yang telah ditetapkan bagi mengelakkannya memberi kesan sampingan kepada pesakit. Contohnya Aspirin yang memberi kesan terhadap penyakit kerongkong, kurang darah, sakit ulu hati dan penyakit menentang darah daripada beku.

Akhir sekali, teras kepada rawatan homeopati yang jelas berbeza dangan alopati ialah keyakinan terhadap kuasa hayat sebagai elemen penyembuhan. Homeopati percaya bahawa kuasa hayat dapat mencetuskan simptom-simptom tertentu sebagai indikator kekuatan dan kelemahannya. Alopati bergantung sepenuhnya kepada kemahiran perawat berbanding keupayaan diri pesakit.

Terdapat perubahan yang semakin jelas mengenai keinginan masyarakat pada hari ini untuk mencari sistem perubatan yang dapat memberi kesembuhan secara hakiki kepada diri dan keluarga mereka (Richard Gerber, 1996). Bagi perubatan homeopati, kesedaran dan minat masyarakat dunia amnya dan Malaysia khasnya dapat diperhatikan melalui peningkatan jumlah pengamal perubatan homeopati di seluruh negara. Antara faktor yang menyumbang kepada trend ini ialah:

-Kesedaran orang ramai terhadap keupayaan ubat alopati dan kesan sampingannya.

-Kemunculan penyakit baru yang telah menambahkan jumlah penyakit yang sukar dicari ubatnya.

-Kos ubat moden yang semakin meningkat dan membebankan.

-Keprihatian masyarakat terhadap kepentingan menjaga kesihatan diri melalui latihan dan amalan pemakanan.

-Penentangan terhadap penggunaan binatang sebagai bahan eksperimen.

Keinginan ahli masyarakat untuk mendapat rawatan secara holistik khususnya apabila berhadapan dengan pelbagai tekanan yang memerlukan rawatan berbentuk individualistik dan sepadu.

Perkembangan-perkembangan ini akan terus memperlihatkan pilihan orang ramai terhadap perubatan homeopati dan tepatlah apa yang dikatakan oleh Hahnemann tentang tugas seorang perawat iaitu;

“Setinggi-tinggi dan satu-satunya tugas seorang doktor itu ialah mengembalikan orang yang sakit kepada sihat.”



Rujukan

Ahmad Sofian. 1971. Ilmu Penyakit untuk Perawat. Jakarta: Bahagian Penerbitan dan Perpustakaan. Biro Departmen Kesihatan R.I. edisi 6.

Aubrey T. Westlake. 1985. The Pattern of Health. A search for a greater understanding of the life force in health and disease. United Kingdom: Element Books Limited.

Baharudin Haji Omar. 2006.
Siri Kuliah Homeopati: Kesihatan Masyarakat.

Baker, W. F. 1999. A Syllabus of Diagnosis. New Delhi, India: B.Jain Publishers (P) Ltd., reprint edition.

Boericke William. 1987. Materia Medica With Repertory and 50 Homeopathic Indian Drugs. New Delhi, India: B.Jain Publishers (P) Ltd., reprint edition.

David J. Phillipson. 1993. Global Trend and Market Size of Herbal Medicine in Primary Health Care. Proceedings of the International Conference on the Use of Traditional Medicine & Other Natural Products in Health Care, 8th – 11th June 1993, Penang, Malaysia. The School of Pharmaceutical Science, University of Science Malaysia.

Ewart, D. C. 1989. Homeopathy, Everybody’s Self-Healer. New Delhi, India: B.Jain Publishers (P) Ltd., reprint edition.

Fisher, C. E. 1999. Diseases of Children. New Delhi, India: B.Jain Publishers (P) Ltd.,reprint edition.

Geddes dan Grosset. 2003. Family Medical Companion. Scotland: Geddes & Grosset, revised edition.

Hassan Syamsuri Baasya. 2002. Rahsia Perubatan Habbatus Sauda’. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers.

James H. Stephenson. 1980. A Doctor’s Guide to Helping Yourself with Homeopathic Remedies. Northamptonshine: Thorsons Publishers Limited, 3rd edition.

Kent, J. T. 2004. Repertory of The Homeopathic Materia Medica and A Word Index. New Delhi, India: B.Jain Publishers (P) Ltd., reprint edition.

Michael T. Murray. 1994. Natural Alternatives to Over-the –Counter and Prescription. New York: William Morrow and Company, Inc.

Mohamed Hatta Abu Bakar. 1999. Homeopati: Perubatan Alaf Baru. Banting, Selangor: HBI Health & Homeopathy Centre.

Narimah Awin. 2003. Dasar Kebangsaan Perubatan Tradisional dan Komplimentari. Jurnal PPHM (Persatuan Perubatan Homeopati Malaysia) hlm. 92-96.

Norhayati Jasman. 1999. Penyakit Kaum Wanita dan Rawatan Homeopati. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers.

Richard Gerber. 1996. Vibrational Medicine: New Choices for Healing Ourselves. Santa Fe, New Mexico, USA: Bear and Company Publishing.

Zukifli Abdul Ghani. 2002. Siri Kuliah Homeopat: Modul Kajian Kes.

Pelbagai Siri Berita Homeopathy, Persatuan Perubatan Homeopathy Malaysia, Kuala Lumpur.

http://www.oakham.rutland.sch.uk/Akademic/Curriculum

No comments:

Post a Comment