Saturday, November 15, 2008

Perubatan homeopati sebagai pilihan untuk rawatan keluarga (4)

Penyakit Mengikut Homeopati

Istilah penyakit menurut Hahnemann dan Clarke adalah adanya gangguan di dalam diri seseorang. Penyakit dalam erti kata sebenar tidak dikenali dan yang diketahui hanya perubahan fungsi tubuh atau terdapat perubahan-perubahan fizikal di tubuh kasar yang disebut sebagai simptom atau gejala penyakit.

Dari sudut sejarah, homeopati berada di kalangan fahaman perubatan yang dikenali sebagai “vitalisme”. Secara mudah, ini bermakna pengamal homeopati tidak akan membahagikan organisma (tubuh) kepada satu jasad fizikal yang terdiri daripada bahan kimia atau tindak balas fizikal mekanikal.


Sebaliknya pengamal homeopati melihat organisma sebagai satu bentuk hidup dan bernyawa. Pengamal perubatan homeopati akan meneliti kuasa hayat atau prinsip hayat dan memahami bagaimana organisma insan berfungsi secara keseluruhan dan tindak balasnya kepada persekitaran atau penyakit dan gangguan kesihatan.

Dalam perenggan 9 dan 10 Organon, Hahnemann memperkatakan suatu tenaga (dinamik) yang memberikan tubuh hayat, menguasai semua fungsi tubuh tanpa apa-apa pengecualian dan membentuk satu lembaga yang harmoni. Organisma berupaya berada dalam keadaan sihat. Organisma boleh membetulkan imbangan homeostatik dan membaiki tisu-tisu atau mengarahkan tenaga di mana diperlukan. Organisma juga boleh menyembuhkan dirinya sendiri, jika tidak, sudah pasti ada sesuatu yang tidak betul dengan proses koordinasi.

Oleh yang demikian, rumusannya ialah terdapat hanya satu penyakit munasabah iaitu gangguan kuasa hayat.

Kuasa Hayat

Dalam sistem perubatan homeopati, tumpuan diberi kepada pengembalian keseimbangan vital force dan mengembalikannya kepada kekuatan yang optimum. Berlainan daripada rawatan konvensional yang hanya mengambil kira alam material organisma, homeopati menjangkau jauh sehingga kepada alam rohaniah organisma di dalam rawatan sebarang keadaan sakit atau penyakit. Kuasa hayat ialah intipati kepada organisma hidup. Ia menggerakkan bahan dan hukum tubuh serta mengekalkan kesemua bahagian organisma dalam keadaan penting secara harmoni dari aspek sensasi (rasa) dan fungsi.

Ia adalah sejenis tenaga dan dengan melaluinya hayat dikekalkan. Tenaga ini wujud dalam setiap dan seluruh sel. Ia merupakan faktor asas yang bertanggungjawab kepada keadaan tubuh agar sentiasa berfungsi semasa sihat dan sakit.

Kehadiran tenaga ini boleh dilihat dengan mengkaji jasad yang hidup dan mati. Jika kajian dilakukan sebaik sahaja kematian berlaku, tidak terdapat perbezaan yang nyata dari segi struktur sel tetapi fungsi sel tidak ada sama sekali. Sel tidak mempunyai rasa, haba, pernafasan, denyutan jantung dan gerakan. Jika ditunggu lagi, perubahan biomolekul sel akan berlaku.


Tetapi apakah yang berlaku kepada tubuh ini yang sentiasa berada dalam keadaan harmoni dari segi rasa dan fungsi ketika hidup? Tidak terdapat kehilangan berat tubuh, walaupun satu mikrogram akibat kematian. Tetapi faktor apakah yang bertanggungjawab mempastikan hayat? Tidak ada pilihan yang lain kecuali satu daya yang kehadirannya dirasai tetapi tidak dapat dilihat oleh mata kasar.

Peranan Kuasa Hayat Dalam Kesihatan

Perenggan 9 Organon menyatakan bahawa dalam keadaan sihat, kuasa hayat menghidupkan tubuh dengan pergerakan tanpa batasan dan mengekalkan kesemua bahagian organisma secara harmoni khususnya dari segi rasa dan fungsi. Seseorang yang sihat ingin bekerja secara normal dan apa juga yang munasabah.

Peranan kuasa hayat ialah mempastikan setiap sistem, organ, tisu, sel-sel dan sebagainya berada dalam keadaan paling unggul. Kuasa hayat mempastikan jasad dan minda sentiasa berada dalam keadaan koordinasi yang sempurna dan lengkap melengkapi. Pada masa itu juga, semua sistem berada di tahap kecekapan paras optimum. Tiada pengaruh jahat dari luar dapat menembusi atau mempengaruhinya. Keadaan ini dipanggil sihat. Oleh itu, semasa sihat kuasa hayat melindungi organisma dari pelbagai pengaruh inimikal terdedah kepada tubuh.

Peranan Kuasa Hayat Dalam Penyakit

Dalam penyakit, kuasa hayat terganggu dari paras optimum kecekapan tindakan di dalam organisma. Apabila daya inimikal atau stimulus (rangsangan) jahat mempengaruhinya, kuasa hayat mula menunjukkan ketidakselesaan menerusi tanda-tanda dan simptom yang menjadi petanda bagi mendapatkan perhatian daripada penderita.

Persoalan sebenar ialah mengapakah simptom-simptom mempunyai corak-corak demikian? Ini adalah kerana setiap individu adalah unik, ada kekuatan dan kelemahan dan berbeza tindak balas terhadap tekanan. Gangguan akan bermanifestasi mengikut garis-garis kelemahan di dalam organisma berkenaan dan semua kumpulan simptom akan berkait rapat.

Apa Yang Berlaku Kepada Kuasa Hayat?

Senarai nama penyakit tidak begitu bermakna kepada pengamal homeopati. Apa yang perlu diketahui ialah apakah yang telah berlaku kepada kuasa hayat pesakitnya. Faktor-faktor yang mempengaruhi gangguan terhadap kuasa hayat akan diperiksa secara teliti melalui simptom-simptom yang diperlihatkan.


Oleh kerana sesuatu penawar akan memberi kesan kepada kesihatan seorang pembukti (prover) dengan membentuk gelombang-gelombang gangguan– simptom, maka dengan mengaplikasikan Hukum Persamaan, pengamal homeopati hanya perlu memadankan penawar dengan simptom yang dihasilkan kuasa hayat terganggu untuk menyerlahkan kesembuhan.

Simptom-Simptom Menandakan Kesembuhan

Simptom merupakan petunjuk keadaan kuasa hayat yang amat bernilai kepada homeopath. Kuasa hayat menghasilkan simptom untuk menyembuhkannya. Sebab itulah diagnosis homeopath tidak tertumpu kepada penyakit sebaliknya kepada pesakit. Oleh yang demikian, rekod yang lengkap dan tepat adalah diperlukan untuk mengetahui tanda dan simptom yang diadukan oleh pesakit. Keseluruhan simptom sama ada bersifat objektif atau subjektif adalah kunci kepada perawat.

2 comments:

  1. Anonymous7:20 AM

    Tahniah. Anda sudah bina blog sendiri. Harap tuan sudah mencapai apa yang diimpikan menerusi tauliah persatuan homeopati.

    ReplyDelete