Saturday, November 01, 2008

Perubatan homeopati sebagai pilihan untuk rawatan keluarga (2)

Kajian-kajian mengenai perubatan alternatif dan komplimentari di Malaysia tidak banyak dilakukan walaupun telah lama bertapak di negara ini. Perubatan homeopati khususnya telah mula dipraktikkan lebih 70 tahun yang lalu di Malaysia adalah salah satu daripada sistem perubatan yang berpengaruh di dalam masyarakat. Sambutan sebahagian masyarakat terhadap perubatan homeopati ini sangat menggalakkan ketika ini dan banyak pusat rawatan yang memberi perkhidmatan perubatan telah didaftarkan di seluruh negara.

Perubatan alternatif dan komplimentari yang lain seperti akupuntur, acupressure, The Alexander Technique, aromaterapi, kiropraktik, perubatan herba, refleksiologi, terapi getaran warna dan urutan terapeutik tidak banyak dibuat khususnya di Malaysia menyebabkan kesukaran untuk membuat rujukan. Pelbagai faktor yang dikenal pasti kenapa perkara ini terjadi seperti persatuan perubatan yang tidak ada program tersusun, tenaga pengajar yang kurang berkelayakan dan masalah pengiktirafan daripada pihak kerajaan.

Di samping itu, munculnya perubatan alternatif dan komplimentari yang baru bercampur aduk di antara sains dan pseudosains. Antaranya ialah astrologi, Segitiga Bermuda, hantu, aura, tilik, ajaran sesat (contohnya Ayah Pin) dan kepercayaan terhadap nenek moyang. Amalan-amalan ini telah memberi kesan negatif terhadap pola pemikiran masyarakat yang tidak ada pendedahan saintifik terhadap sesuatu kejadian menyebabkan berlakunya penganiayaan ke atas pesakit seperti kejadian cabul, rogol dan penipuan wang tinggit (Baharuddin Omar, 2006).

Akibat salah faham ini, sistem perubatan yang telah lama dikenali seperti akupuntur, homeopati dan refleksiologi turut mendapat gambaran yang salah dan imej yang negatif di kalangan masyarakat umum.

Namun begitu, beberapa perkembangan terbaru sejak akhir-akhir ini telah membantu memberi gambaran jelas terhadap perubatan alternatif dan komplimentari. Langkah Kementerian Kesihatan Malaysia hendak memperkenalkan perubatan alternatif dan komplimentari di hospital kerajaan telah disambut baik oleh pelbagai pihak.

Walaupun perubatan ini telah menapak satu langkah ke hadapan, kajian-kajian bagi meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (research and development) masih lagi ketinggalan. Oleh kerana permintaan terhadap rawatan perubatan alternatif dan komplimentari ini semakin meningkat, bantuan dari segi geran, biasiswa, kemudahan dan galakan psikologi wajar disegerakan supaya gambaran negatif mengenai taraf perubatan ini dapat dihapuskan.

Ia adalah satu paradoks yang mengatakan bahawa masyarakat umum di sesetengah negara sedang beralih kepada perubatan alternatif atau komplimentari ketika perubatan moden atau alopati telah berjaya membawa dimensi baru dalam kaedah perubatan. Kajian Eisenberg, D.M. et. al (1993) (dalam David J. Phillipson, 1993) menunjukkan perubatan alternatif dan komplimentari telah mendapat sambutan di Amerika Syarikat. Laporan kajian beliau berkenaan perubatan herba ini telah menemubual 1539 responden yang dikaji pada tahun 1990, 34 peratus menyatakan mereka pernah mendapatkan perkhidmatan perubatan alternatif dan komplimentari. Jika dikira keseluruhan populasi Amerika Syarikat, dianggarkan sebanyak 61 juta rakyat Amerika Syarikat telah mendapatkan perkhidmatan berkenaan sepanjang tahun 1990.

Kebanyakan pesakit telah mengunjungi pengamal kiropraktik (70 peratus), homeopati (32 peratus) dan herba (10 peratus). Sebahagian besar responden yang dikaji menyatakan bahawa mereka telah menderita penyakit-penyakit kronik seperti barah, arthritis, sakit belakang, AIDS, gangguan penghadaman, risau, tekanan dan obesiti.

Hasil kajian yang serupa turut diterbitkan di United Kingdom. Daripada 508 responden yang dikaji, 1 daripada 5 orang menyatakan mereka pernah mendapatkan rawatan alternatif dan 66 peratus membuat kenyataan bahawa mereka telah mendapat faedah yang sangat memuaskan daripada rawatan yang diterima. Majoriti (91 peratus) berpendapat pihak berkuasa wajar mengkaji dengan terperinci kelebihan perubatan alternatif dan komplimentari serta membuat kajian mengenai perkara ini. Tujuh daripada sepuluh responden menyokong agar perubatan berkenaan dijadikan sebagai salah satu daripada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan United Kingdom (UK National Health Service).

Keperluan terhadap rawatan alternatif ini sangat tinggi sehingga menarik perhatian dan minat pasaran antarabangsa khususnya di Eropah. Hasil jualan produk herba di Jerman pada tahun 1990 dianggarkan berjumlah £1,140 juta iaitu jumlah terbanyak di kalangan negara-negara Eropah. Permintaan yang tinggi ini disebabkan beberapa faktor yang berpengaruh seperti kesan sampingan penggunaan ubat-ubatan alopati, kesedaran pengguna terhadap bahan-bahan sumber semula jadi, produk yang berkualiti dan selamat, kesedaran terhadap kemujaraban ubat dan kesedaran orang ramai terhadap penganiayaan binatang.

Sesetengah negara di Barat menggalakkan orang ramai lebih bertanggungjawab ke atas kesihatan diri masing-masing melalui kempen dan penerangan yang diberikan. Secara tidak langsung, orang ramai telah mula sedar mengenai kepentingan kesihatan dan cara ini telah meningkatkan permintaan ke atas ubat-ubatan daripada herba. Produk herba yang dahulunya dijual di kedai-kedai kesihatan kini diambil alih oleh farmasi yang menyaksikan peningkatan mendadak ke atas jualan iaitu daripada £430 juta pada tahun 1987 ke £608 juta pada tahun 1992.

Aliran di seluruh dunia menunjukkan minat terhadap penggunaan tumbuhan sebagai salah satu sumber perubatan dalam perkhidmatan kesihatan masyarakat. Dalam masa 10 hingga 20 tahun yang lepas, permintaan terhadap produk herba di kalangan negara-negara membangun meningkat setiap tahun. Dengan harga yang murah dan kurang kesan sampingan, penggunaaan produk herba sangat digalakkan oleh kerajaan sesetengah negara seperti Perancis bagi menjimatkan peruntukan kewangan kesihatan masyarakat.
Post a Comment