Saturday, November 08, 2008

Perubatan homeopati sebagai pilihan untuk rawatan keluarga (3)

Sejarah dan Falsafah Homeopati

Konsep dan undang-undang fundamental homeopati telah bermula sejak zaman Hippocrates iaitu pakar perubatan Greek yang hidup pada kurun kelima Sebelum Masihi. Beliau pernah menulis,

“By similar things a disease is produced and through the application of the like, it is cured.”

[Menerusi benda yang serupa sesuatu penyakit itu terjadi dan menerusi aplikasi yang serupa ianya disembuhkan]

Dalam bahasa Inggeris disebut “likes cure by likes” dan bahasa Latin ialah “similia similibus curentur”. Orang yang pertama mengasaskan konsep ini secara saintifik menjadi satu sistem perubatan ialah Dr. Samuel Hahnemann dan menamakannya sebagai “Homeopati”.

Homeopati atau dalam bahasa Inggerisnya “Homeopathy” berasal daripada dua perkataan iaitu Homoios yang bererti Serupa (Similar) dan Pathos yang bererti Penderitaan (Suffering).

Dalam hal ini, “yang serupa” merujuk kepada simptom. Maksud simptom ini ialah sekiranya seseorang itu mengalami simptom penyakit tertentu, maka dia patut dirawat berdasarkan simptom yang ditunjukkan.

Dr. Samuel Hahnemann memulakan kariernya sebagai pengamal perubatan dan telah menguasai dan mahir berbahasa Greek, Hebrew, Arab, Latin, Italy, Perancis, Syrani, Sepanyol, Jerman dan Inggeris. Hasil daripada ketekunannya bekerja, mengkaji dengan kemahiran yang ada, beliau bukan sahaja menjadi pengamal perubatan yang disegani malah seorang tokoh bahasa dan ahli kimia.

Bagaimanapun Dr. Samuel Hahnemann sering kecewa dengan tugasnya kerana banyak kelemahan pada sistem perubatan yang diamalkan ketika itu. Ubat-ubatan yang digunakan untuk menyembuhkan penyakit sering gagal dan mengecewakan serta tidak memuaskan hati malah menimbulkan keraguan di dalam dirinya. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk berhenti dari bekerja sebagai seorang doktor dan memilih jawatan sebagai penterjemah buku-buku sains ke dalam bahasa Jerman.

Semasa dalam proses penterjemahan sebuah buku iaitu Materia Medica Cullen yang bertajuk “A Treaties on Materia Medica” pada tahun 1790, beliau telah menjumpai satu kaedah “serupa dengan serupa menyembuhkan.” Dr. Samuel Hahnemann telah berdepan dengan sejenis ramuaniaitu Cinchona (Peruvian Bark). Cinchona tersebut pernah digunakan untuk merawat malaria di Amerika Selatan dan Eropah.

Didorong oleh perasaan ingin tahu yang amat sangat, Dr. Samuel Hahnemann telah mencuba beberapa dos Cinchona dengan tujuan hendak menguji kesan dan implikasinya. Setelah dicuba, beberapa simptom utama malaria menjelma seperti kaki dan hujung jari menjadi sejuk, rasa mengantuk tiba-tiba, nadi dan denyutan jantung menjadi cepat dan tubuh mula menggeletar. Kejadian ini berulang setiap kali dos Cinchona diambil. Ubat itu jugalah yang digunakan untuk menyembuhkan penyakit malaria pada dirinya.

Takjub dengan penemuan ini, akhirnya beliau mengasaskan “Undang-undang Serasi” yang menggariskan bahawa suatu ramuan ubat itu boleh menyembuhkan orang sakit disebabkan ia boleh menghasilkan simptom-simptom yang serupa apabila ia diberikan kepada orang yang sihat. Berdasarkan kejayaan ini, beliau telah menyelidiki beberapa penawar lain yang dicuba pada dirinya sendiri.

Prinsip Asas Homeopati

Homeopati adalah sains penyembuhan tulen kerana berdasarkan prinsip-prinsip hukum tetap. Terdapat lima hukum yang menjadi asas kepada perubatan homeopati ini iaitu:

1. Hukum Persamaan
2. Hukum Pembuktian
3. Hukum Penawar Tunggal
4. Hukum Dos Minimum
5. Hukum Arahan Sembuhan

1. Hukum Persamaan

Dikenali sebagai “similia similibus curentur” yang bermaksud sama atau serupa. Didefinisikan sebagai cara homeopati merawat dengan menggunakan bahan-bahan yang mampu melahirkan simptom yang serupa (hampir sama) apabila diberikan kepada seseorang yang sihat dengan simptom yang dipamerkan dalam diri pesakit.

Contohnya ialah penawar Ipecacuanha iaitu penawar yang mampu melahirkan simptom loya dan muntah apabila diberikan dalam dos tertentu kepada orang yang sihat. Berdasarkan uji bukti sebelum ini, adalah wajar dan rasional Ipecacuanha diberi bagi merawat kes-kes penyakit yang mengalami masalah loya dan muntah. Selepas begitu yakin tentang kebenaran Hukum Penyembuhan ini, melalui ujian yang begitu banyak ke atas individu sihat, barulah Hahnemann mengumumkan cogan “serupa dengan serupa menyembuhkan.”

2. Hukum Pembuktian

Setelah begitu yakin dengan sesuatu dadah yang boleh menyembuhkan simptom-simptom penyakit yang dihasilkannya apabila diberi kepada individu yang sihat, Hahnemann terfikir bahawa simptom-simptom yang boleh dihasilkan oleh berbagai-bagai dadah perlu diketahui simptom-simptom yang boleh mereka sembuhkan. Lalu beliau mengorak langkah untuk mengumpul dan mengatur simptom-simptom yang dihasilkan apabila diberikan kepada orang yang sihat.


Simptom-simptom itu direkod dalam perkataan biasa tanpa sebarang tekaan atau tanggapan. Butir-butir disusun dalam bentuk skema mengikut tajuk: Minda, Sensorium, Vertigo, Kepala, Mata, Telinga, Hidung, Muka, Mulut, Kerongkong, Gaster, Abdomen, Tinja, Rektum, Urin, Genitalia, Pernafasan, Dada, Jantung, Belakang, Anggota Hujung, Tidur, Kulit dan Demam. Semua panduan ini dimasukkan ke dalam buku panduan rawatan homeopati yang dikenali sebagai Materia Medica.

3. Hukum Penawar Tunggal

Hahnemann berpendapat bahawa penyembuhan bukan bergantung kepada banyaknya penawar yang diberikan tetapi adalah bergantung kepada ketepatan penawar itu sendiri dan mutunya yang tinggi. Oleh itu, penawar yang mempunyai persamaan yang paling hampir dengan simptom yang dimanifestasi oleh pesakit patut diberikan. Penawar yang lain daripada yang tersebut tidak akan dapat memberikan kesembuhan yang sebenar justeru ia tidak mempunyai unsur-unsur keserupaan dengan simptom dan tindak balas individu.

Dengan pemberian satu penawar, kita dengan mudah mengenal dan menilai tindakan penawar tersebut. Untuk memilih satu penawar yang benar-benar serasi bagi seseorang pesakit yang dirawat memerlukan penelitian dan pengkajian yang mendalam tentang latar belakang dan simptom pesakit di samping pengetahuan yang luas tentang Materia Medica.


4. Hukum Dos Minimum

Prinsip homeopati ketiga ialah dos minimum. Tujuan penggunaan dos minimum ini telah dijelaskan oleh Hahnemann dalam Organon 2 iaitu:

“Setinggi-tinggi hemah doktor itu ialah mengembalikan kesihatan … dengan cara yang paling tidak memudaratkan.”

Dalam kajiannya, Hahnemann mendapati apabila pesakit diberikan penawar yang tepat pada sukatan yang telah ditentukan, keadaan pesakit berkenaan didapati melarat. Oleh yang demikian beliau membuat kesimpulan bahawa penawar yang diberikan itu berlebihan. Untuk mengatasi kemelaratan dan pada masa yang sama pesakit dapat disembuhkan, beliau telah memperhaluskan (potentise) penawar itu atas dasar tertentu dengan tujuan mengurangkan sukatannya.

Tindakan dos minimum ini bersesuaian dengan “The Arndt-Schultz Law” yang menyebutkan bahawa dos kecil merangsang, dos sederhana melumpuhkan dan dos besar membunuh. Kerana itu, penggunaan dos minimum atau penawar yang telah dipotentaiskan pada satu tahap yang tertentu adalah selamat dan berkesan.

Bila saja satu dos minimum telah diberikan dan bertindak ke atas pesakit, ia memperkuatkan mekanisme pertahanan dan memperbaiki ketidakseimbangan vital force di dalam organisma sehingga menjurus ke arah kesembuhan. Kadangkala dalam pemberian penawar mungkin berlaku apa yang disebut sebagai kemelaratan (aggravation) iaitu keadaan simptom idapan yang melarat atau rasa bertambah sakit selepas diberikan penawar yang tepat dan serasi. Lantas,

“Sekiranya semasa rawatan, terutama berkenaan penyakit kronik, dos pertama menghasilkan kemelaratan … maka adalah tanda yang jelas bahawa dosnya terlalu besar.” (Organon: 282)

Apabila keadaan ini berlaku, dos yang lebih kecil hendaklah digunakan sebagai ganti. Lagi kecil atau sedikit dos yang digunakan, lagi baik kerana singkat masa kemelaratannya.

5. Hukum Arahan Sembuhan

Dalam rawatan homeopati, terdapat aturan tertentu ke arah kesembuhan yang berkait rapat dengan keadaan sihat. Undang-undang Arah Penyembuhan ini diketengahkan oleh Dr. Constantine Hering atau lebih dikenali sebagai Undang-undang Hering. Isi kandungannya menyatakan tingkat demi tingkat proses penyembuhan yang akan memberikan gambaran jelas kepada para perawat setakat mana kemelaratan atau proses perjalanan penawar yang telah diberikan.

i. Dari dalam ke luar

Iaitu ketika proses kesembuhan berlaku secara semula jadi, ia bermula daripada bahagian paling dalam organisma iaitu peringkat mental dan emosi serta organ penting kepada bahagian luaran seperti kulit dan sebagainya. Apabila simptom psikologi individu berkurang dan simptom fizikal bertambah, kita katakan proses kesembuhan sedang berlaku. Evolusi ke arah bertambah sihat yang sedemikian harus dibiarkan berlalu dengan sendiri dan tidak wajar ditekan melalui rawatan-rawatan lain seperti penggunaan ubat sapu.

ii. Dari atas ke bawah

Iaitu sakitnya akan menurun dari kepala ke bahu, dari lengan ke hujung-hujung jari atau bahagian-bahagian anggota bawah dan kemudian berakhir dengan kesembuhan.

iii. Dari penting kepada kurang penting

Undang-undang tabii cuba menghilangkan penyakit yang menyerang dengan menolak benda-benda kotor itu keluar dari organ penting seperti jantung atau buah pinggang kepada pundi-pundi kencing atau kulit, dari paru-paru ke saluran tenggorok atau dari hati ke perut.

iv. Dari arah penyakit datang

Kadangkala berlaku kesembuhan dalam proses rawatan di mana simptom muncul dan tenggelam mengikut arah yang berlawanan daripada arah mula timbulnya. Hal ini boleh terjadi sekiranya simptom lama tersebut pernah ditekan atau disembuhkan dengan tidak sempurna. Lantas arah kesembuhan akan mengikut proses semula jadinya di mana ia balik kepada asalnya (dari arah mana ia datang).

Sebagai contoh, penyakit campak bermula dengan batuk dan keluar bintit-bintit di kulit pesakit, proses kesembuhannya terbalik atau undur iaitu bintit-bintit di badan akan hilang dahulu kemudiannya akan disusuli dengan batuknya pula.
Post a Comment