Oleh Mohd. Khuzairi Ismail
Sentimen Islamophobia yang melebar luas terutamanya di Barat ketika ini hakikatnya dicetuskan sendiri oleh masyarakatnya yang melihat Islam itu dari sudut yang tidak tepat.
Keadaan itu diburukkan lagi dengan dasar-dasar luar di kalangan negara Barat yang secara terang-terangan melabelkan kumpulan Islam sebagai pengganas seperti serangan AS ke atas Afghanistan dan Iraq.
Hakikatnya, Islam itu tidak dimiliki oleh sesebuah budaya semata-mata dan tidak juga dimanifestasikan oleh sesebuah negara, rantau mahupun benua.
Sebaliknya, sifat universal Islam itu harus diterima dari sudut kepelbagaian masyarakat dan amalannya bagi menampakkan lagi keindahan Islam sebagai sebuah agama dengan kekayaan budaya, kekuatan ekonomi serta keteguhan politik masyarakat Islam itu sendiri.
Berpegang pada matlamat untuk memperjelaskan hakiki agama Islam itu, Institut Asia Eropah, Universiti Malaya (UM) pada 22 hingga 24 November ini akan menganjurkan sebuah persidangan yang membincangkan mengenai Islam dan masyarakat Islam dalam konteks dunia amnya serta Malaysia khususnya. Bertemakan Horizon Baru Dalam Pengajian Kawasan Islam: Keilmuan Islam Merentasi Budaya Dan Benua, persidangan itu dianjurkan secara kerjasama dengan Konsortium Universiti Dan Pusat Penyelidikan Utama Jepun (NIHU) yang mewakili institusi pengajian tinggi di negara berkenaan.
Sesuatu yang menarik mengenai persidangan itu, ia merupakan penganjuran pertama seumpamanya membabitkan kerjasama NIHU dengan pihak luar dalam membincangkan mengenai Islam di luar Jepun. Konsortium Pengajian Islam Jepun misalnya, menghantar 120 pembentang kertas kerja dan peserta sekali gus membayangkan betapa pentingnya persidangan seumpamanya terhadap perkembangan pengajian Islam di kalangan masyarakat Jepun ketika ini.
Lebih daripada itu, persidangan tersebut juga menjadi wadah kepada perbincangan bagi cendekiawan Islam dan bukan Islam dari 20 buah negara yang mewakili setiap benua. Pemilihan Institut Asia Eropah, UM itu secara tidak langsung merupakan satu pengiktirafan kepada ketinggian bidang keilmuan mengenai Islam dan masyarakat Islam di negara ini. Ia juga merupakan manifestasi bahawa dialog dan percambahan idea merupakan medan terbaik dalam memberikan gambaran yang sebenarnya mengenai agama Islam dan bukannya menerusi peperangan atau keganasan.
Kepelbagaian tema yang akan disentuh sepanjang persidangan ini bakal mendedahkan kepada ruang-ruang dalam Islam dan masyarakat Islam yang masih memerlukan kajian yang lebih luas dan mendalam. Justeru, persidangan ini diharapkan dapat menjadi medan mengumpulkan pandangan masyarakat Islam di serata dunia dalam melahirkan kefahaman yang lebih tinggi mengenai Islam untuk difahami oleh seluruh umat manusia.
Selain pertukaran pemikiran dan pandangan yang mencerminkan keindahan Islam, persidangan ini juga akan membincang dan menyarankan bagaimana Islam dan masyarakat Islam harus berdepan dengan realiti semasa.Persidangan ini juga memberi peluang kepada orang ramai untuk menghayati keindahan seni kaligrafi oleh Yayasan Restu yang juga merupakan rakan persidangan.
[Utusan Online, 21/11/2008]
No comments:
Post a Comment