Sunday, November 09, 2008

Obama, presiden untuk perubahan dan keamanan

Biarpun masa berkempen hampir tamat, Obama sangat yakin bahawa rakyat Amerika Syarikat telah bersedia untuk merentas garisan warna kulit.

Pada Selasa, 4 November lalu, mereka melepasinya.

Berjuta-juta pengundi berkulit hitam dan putih, Hispanic dan Asian telah meletakkan keyakinan dan masa depan negara di tangan lelaki berumur 47 tahun, Barack Obama.

Di sebuah negara yang mempunyai sejarah perkauman yang panjang, Obama muncul dengan latar belakang yang pelbagai: campuran dua bangsa, lepasan universiti ternama, minat bola keranjang, kerap memetik ungkapan Reinhold Niebuhr, seorang ahli politik yang menari liuk-lentok rentak Jay-Z dan gemar lirik Yo Yo Ma.

Obama juga menawarkan peribadi yang unik: presiden African-Amerika yang tidak ada agenda perkauman. Mesejnya adalah penyatuan dan menjanjikan cara baru berfikir. Penampilannya membuatkan pengundi kulit putih mempunyai pilihan terhadap John McCain walaupun sebahagiannya berasa pahit untuk menerima pilihan berkenaan. Dalam fikiran kelompok ini, mereka tidak kisah apa warna kulit tetapi jika keadaan semakin baik, calon itu akan dipilih.

Kemenangan Obama dalam pilihan raya November 2008 disifatkan kejayaan bersejarah. Kemenangan ini juga melenyapkan mitos kepimpinan Amerika hanya untuk bangsa kulit putih.

Obama bermula dengan percaya kepada dirinya sendiri. Yakin terhadap keupayaan dan kecenderungan rakyat Amerika terhadap politik rentas kaum, Obama meletakkan dirinya untuk bersedia menghadapi peralihan paradigma dan sikap baru pengundi. Beliau melihat pengenalan kaum dilenyapkan hari demi hari, tahun demi tahun, seperti rancangan Oprah Winfrey yang menghimpunkan penonton kulit putih dan hitam manakala di Wall Street, eksekutif kulit hitam menjadi pilihan. Watak hero kulit hitam filem Hollywood juga mula menjadi intaian pengarah.

Walaupun sejarah telah terpahat dalam pemilihan presiden Amerika Syarikat, calon presiden kulit putih, McCain tewas kepada Obama merupakan satu kejutan bagi pemikir, ahli politik dan pejuang hak asasi manusia. Mereka masih tergamam dengan perubahan ini kerana rekod lampau menunjukkan bangsa kulit hitam sentiasa dianiaya: perhambaan selama 400 tahun sehinggalah pembunuhan seorang lelaki kulit hitam pada 1981. Ia meneruskan detik bersejarah yang dimulai oleh Abraham Lincoln yang menyempurnakan perisytiharan kemerdekaan pada 1862 dan pidato ‘I Have a Dream’ oleh Marthin Luther King Jr.

Perjuangan bangsa kulit hitam untuk mendapat tempat dalam politik yang didominasi kulit putih adalah sangat panjang.

Selepas mendapat hak untuk mengundi pada 1870, 23 orang wakil kulit hitam dipilih ke Kongres selama tiga dekad. Namun, selepas 1901, bangsa kulit putih mula menunjukkan taring kuasa mereka.

Kini, Amerika yang bersifat terbuka mulai berani membuat perubahan.

Sebaik sahaja Obama mengumumkan hasrat untuk menduduki Rumah Putih, pengundi kulit putih telah membantu pemilihan ahli Kongres, perwakilan, datuk bandar dan gabenor yang berkulit hitam. Kajian yang dilakukan oleh New York Times/CBS News menunjukkan 70 peratus responden kulit putih bersedia menerima presiden kulit hitam.

Walau bagaimanapun sebahagian ahli politik yang pesimis berpendapat Obama langsung tidak ada peluang untuk menang. Calon-calon presiden seperti Obama sebelum ini tidak pernah mendapat pencalonan yang cukup daripada kulit putih. Obama, ayahnya dari Kenya, ibunya dari Kansas, membesar di Hawaii dan Indonesia, secara relatifnya adalah calon paling sesuai sebagai presiden.

Mesej Obama adalah perubahan, dan bukannya watak lelaki kulit hitam. Mesejnya sangat jelas kerana ucapannya tidak banyak menyentuh soal kaum tetapi lebih kepada peperangan di Iraq, penjagaan kesihatan dan ekonomi.

Kemenangannya adalah mutlak dan muktamad kerana beliau dapat melihat apa yang salah tentang negaranya. Beliau menawarkan sebuah kerajaan yang akan melindungi warganegara Amerika, menyelesaikan masalah ekonomi, mempastikan udara yang disedut setiap hari adalah bersih, akses kepada penjagaan kesihatan dan mendidik kanak-kanak untuk bersaing di peringkat global.

Obama menunjukkan bahawa polisi ekonomi Republikan yang lemah, berjanji mengakhiri peperangan tanpa arah di Iraq dan berikrar mengekalkan kebebasan hak setiap rakyat serta mengembalikan imej Amerika Syarikat di peringkat global.

Dengan mesej yang memberi harapan, Obama menarik simpati jutaan pengundi untuk memilihnya sebagai presiden Amerika Syarikat ke-44.

Cabaran sedang menanti presiden baru ini kerana dia mewarisi pentadbiran yang bermasalah- dasar luar yang tidak mesra, ekonomi meleset dan kebajikan kesihatan untuk rakyat. Peperangan di Iraq menjadikan tugas pasukan Obama sangat sukar kerana mereka perlu mengelakkan konflik baru bagi membolehkan Pentagon memfokuskan punca sebenar peperangan terhadap keganasan.

Sambutan 240,000 orang ke atas ucapan kemenangannya di Grant Park, Chicago pada 5 November 2008 adalah pernyataan ke arah perubahan. Ucapan itu menenggelamkan sama sekali ego bangsa kulit putih yang masih was-was dengan keupayaan dan kebolehan seorang lelaki kulit hitam yang hebat.

Untuk menjadi ‘Mr Presiden’ di sebuah negara terunggul di dunia, Obama menggunakan sepenuhnya jaringan Internet. Laman web my.barackobama.com mencatat jumlah pengunjung yang tinggi. Pasukannya menggunakan apa sahaja jaringan sosial yang sedia ada dan dikunjungi golongan muda: Facebook, MySpace, YouTube, Flickr, Digg, Twitter, MiGente, MyBatanga, AsianAve dan DNC Partybuilder.

Kini, Barack Obama bersedia membawa perubahan kepada rakyat Amerika dan dunia hendak melihat bagaimana seorang lelaki kulit hitam yang penuh karisma mentadbir dan mengurus sebuah negara.

No comments:

Post a Comment