Tuesday, November 04, 2008

Ajar mereka membaca, menulis dan ubah kehidupan mereka

UNICEF Malaysia menandakan Hari Literasi Antarabangsa pada tahun ini dengan bertemakan ‘Literasi merupakan penyelesaian terbaik’ dengan fokus diberikan untuk memperbaiki pendidikan dari segi akses, kesaksamaan dan kualiti terutama sekali di kalangan kanak-kanak yang lemah dan terdedah di Malaysia.

“Seorang kanak-kanak yang boleh membaca dan menulis adalah seorang yang boleh diajar. Kanak-kanak yang boleh diajar boleh diperkasa untuk menuntut hak mereka, mengubah hidup, memperbaiki masyarakat dan mempengaruhi takdir kehidupan mereka,” kata Wakil UNICEF di Malaysia, En Youssouf Oomar.

En Youssouf juga memberi penekanan bahawa pendidikan bukanlah suatu keistimewaan tetapi merupakan hak bagi semua kanak-kanak di Malaysia seperti yang telah termaktub di dalam Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC) dan komitmen pihak kerajaan di dalam mencapai Matlamat Pembangunan Milenium (MDG), begitu juga dengan matlamat-matlamat dari Rangka Kerja Dakar untuk Tindakan.

“Memenuhi hak kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan membawa kepada realisasi terhadap lain-lain hak untuk mereka – iaitu hak untuk menjadi sihat dan bebas dari jangkitan HIV, hak untuk dilindungi dari dadah dan keganasan dan hak untuk mendapatkan yang terbaik untuk diri mereka,” tambah beliau.


Sekiranya kanak-kanak generasi masa hadapan berpendidikan dan mempunyai tahap literasi yang tinggi, ini membantu memperluaskan asas ekonomi sesebuah masyarakat tersebut di mana ianya juga akan mengukuhkan keupayaan ekonomi Malaysia.

Isu pendidikan di Malaysia

Jauh di bahagian pedalaman Sarawak, seorang kanak-kanak telah bangun dari tidur pada jam 5 pagi dan mula berjalan kaki melalui perkampungannya sebelum menyeberangi sebuah jambatan yang kelihatan agak lusuh dan kemudian menaiki sebuah bot yang akan membawanya ke sekolah. Manakala di sebuah bandar yang terletak beberapa ratus kilometer jauhnya, seorang lagi kanak-kanak sedang dalam perjalanan ke sekolah yang mengambil masa 10 minit dengan menaiki kereta, memegang erat beg sekolahnya yang dipenuhi dengan buku-buku teks, alat-alat tulis dan bekal makanan.

Walaupun terdapat perbezaan yang ketara, kedua-dua orang kanak-kanak ini menetap di dalam negara yang sama dan mempunyai hak yang sama untuk memeperolehi pendidikan yang berkualiti yang mengajar mereka untuk membaca, menulis, mengira dan kemahiran hidup.

Sekurang-kurangnya sembilan daripada 10 orang dewasa di Malaysia pada hari ini boleh membaca dan menulis – iaitu bilangan yang telah meningkat sebanyak 33% dalam masa 30 tahun yang lepas, disebabkan oleh polisi-polisi pendidikan yang memastikan pendidikan sekolah rendah yang wajib dan peningkatan pendaftaran di peringkat sekolah menengah.

Perangkaan pada tahun 2005 juga menunjukkan bahawa lebih dari 96% kanak-kanak di Malaysia telah berdaftar di sekolah rendah dengan hampir 98% daripada mereka yang berdaftar pada tahun 2000 telah berjaya menamatkan pelajaran di Darjah Enam.

Namun begitu pihak kerajaan juga mengenal pasti jurang-jurang yang terdapat dari segi akses, kesaksamaan dan kualiti pendidikan, terutama sekali di kalangan kumpulan kanak-kanak yang lemah dan terdedah termasuklah kanak-kanak yang menetap di kawasan luar bandar dan pedalaman dan anak-anak Orang Asli.

Apa yang perlu diberi perhatian adalah kadar pendaftaran kanak-kanak di sekolah rendah dan pencapaian dari segi akademik adalah rendah di kawasan-kawasan pedalaman termasuklah di negeri Sabah dan Sarawak. Untuk memperbaiki penulisan, pembacaan dan pengiraan (3R) di kalangan pelajar masih terdapat lain-lain cabaran yang wujud begitu juga untuk menggalakkan pendekatan secara holistik terhadap pendidikan yang memberi penekanan terhadap kemahiran-kemahiran hidup.

“UNICEF Malaysia amat berkomited dalam menyokong dan mempertingkatkan polisi kebangsaan untuk memastikan bahawa negara ini meraih tahap piawai yang telah ditetapkan di dalam pelan kebangsaan untuk Visi 2020,” En Youssouf mengesahkan.

Tindakan UNICEF berdasarkan program

Program-program UNICEF Malaysia adalah selari dengan rangka kerja dan strategi di dalam Rancangan Malaysia ke Sembilan, begitu juga dengan tanggungjawab Malaysia terhadap masyarakat antarabangsa, seperti yang tertakluk di dalam CRC dan MDG.

“Untuk memastikan bahawa setiap kanak-kanak mempunyai hak terhadap pendidikan, kami berusaha untuk mengurangkan ketidaksamaan dan mengurangkan jurang perbezaan di antara kumpulan kanak-kanak yang menetap di luar bandar/pedalaman,” kata En Youssouf.

UNICEF Malaysia telah melaksanakan program pendidikan pemulihan perintis dengan Kementerian Pendidikan untuk menggabungkan kisah-kisah lagenda dan cerita rakyat masyarakat Orang Asli di dalam alat-alat bantuan mengajar untuk memperbaiki pembacaan dan penulisan di kalangan anak-anak Orang Asli. Sebagai tambahan, UNICEF juga memberikan sokongan teknikal dan kewangan kepada Kementerian Pendidikan untuk menilai impak dan keberkesanan Program Pembacaan Tambahan iaitu program di lapangan yang telah dimulakan pada tahun 2006 untuk memberikan bahan-bahan pendidikan tambahan kepada para pelajar di sekolah-sekolah pedalaman di Sabah dan Sarawak.

UNICEF Malaysia juga bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kesihatan untuk meningkatkan program Pendidikan Berdasarkan Kemahiran Hidup (LSBE) di mana ianya memberikan para guru keupayaan untuk mengajar kanak-kanak dan golongan muda tentang pencegahan HIV dan ianya mensasarkan 100 buah sekolah di seluruh kawasan Semenanjung Malaysia dan Sabah dan Sarawak.

“Kita melihat pendidikan berdasarkan kemahiran hidup sebagai satu pendekatan yang penting untuk memperolehi nilai-nilai positif dan menggalakkan perubahan kelakuan di kalangan golongan muda terutama sekali di dalam konteks pencegahan HIV,” kata En Youssouf.

Akhir sekali, UNICEF juga memberi sokongan kepada Kementerian Kesihatan dan MERCY Malaysia untuk meningkatkan lagi program-program persediaan kecemasan yang mensasarkan kanak-kanak dan para guru di kawasan yang terdedah kepada bencana alam. Antara strateginya termasuklah menerbitkan buku-buku panduan persediaan bencana alam, buku manual para guru dan melatih kaunselor-kaunselor sekolah di dalam pengurusan bantuan bencana alam.

“Menjadikan program persediaan kecemasan dan bencana alam sebagai sebuah institusi di dalam sistem pendidikan boleh memastikan bahawa kanak-kanak dan para guru mengetahui bagaimana untuk bertindakbalas apabila berlaku bencana alam dan membolehkan mereka untuk menyambung pembelajaran mereka walaupun ketika melalui peringkat pemulihan dan bantuan,” terang En Youssouf.

Bagi UNICEF, pendidikan untuk semua membawa maksud yang lebih daripada membina sekolah dan menghantar kanak-kanak ke sana.

“Kita juga perlu memastikan bahawa setiap kanak-kanak dapat menghadiri sekolah yang mesra kanak-kanak di mana mereka boleh membaca dan menulis dengan betul, mendapat inspirasi untuk belajar dan menghargai pendapat dan pandangan mereka agar mereka dapat membina asas rohani, emosi dan fizikal yang kuat dalam kehidupan,” kata beliau.

[UNICEF Malaysia]
Post a Comment