Tuesday, November 11, 2008

'Wira' kerana larikan anak orang?

Kisah cinta gadis Bagan Serai, Perak dengan pemuda Lombok, Indonesia menarik perhatian masyarakat kita. Noor Fadilah Ahmad, 18 tahun lari bersama lelaki Indoneisa, Nasrudin Dahrom, 24 tahun dan sanggup meninggalkan keluarga semata-mata hendak berkahwin dengan lelaki berkenaan.

Banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh Noor Fadilah dan Nasrudin untuk mengesahkan hubungan cinta mereka berdua dan antara kenyataan yang menarik ialah- ‘Saya cintakan Nasrudin dan tetap akan berkahwin dengannya walaupun mama dan abah tidak setuju,’ ‘Kedatangan saya ke Lombok adalah atas kerelaan saya dan bukan dilarikan oleh Nasrudin yang bakal menjadi suami saya,’ dan ‘Saya yakin Nasrudin adalah lelaki pilihan saya yang paling tepat dan yakin dia lelaki yang baik dan boleh menjaga saya kelak.’

Semua kenyataan ini dipetik dari media yang prihatin dengan keadaan Noor Fadilah di Lombok yang tinggal bersama keluarga Nasrudin. Kemesraan keluarga Nasrudin juga bakal menjadikan impian Noor Fadilah suatu kenyataan.

Namun, kejayaan membawa pulang Noor Fadilah ke Malaysia oleh ibu bapanya mengundang kenyataan yang berbeza. Antara kenyataan tersebut ialah ‘Saya bukan isteri Nasrudin dan kami memang tidak pernah menikah.’ Malah beliau mendakwa semua ceirta itu hanya rekaan dan tiada hitam putih bagi membuktikan mereka telah berkahwin.

Persoalan yang menarik ialah ialah kenapa berlakunya perubahan sikap pada Noor Fadilah selepas beberapa hari pulang ke kampung dan bagaimana ia boleh berlaku.

Sebelum ini terdapat tiga kes yang melibatkan lelaki Indonesia membawa lari anak gadis rakyat Malaysia.

Kes pertama, Rinnie Anak Aseng, 18 tahun dari Bintulu, Sarawak. Dia melarikan diri bersama Basri, 19 tahun ke Lombok pada Disember lalu. Setelah hampir sebulan di sana, Rinnie pulang ke rumah.

Kes kedua, Maslina Siadin, 13 tahun dari Balik Pulau, Pulau pinang. Dia melarikan diri lebih sebulan kerana mengikut La Ila, 17 tahun ke Lamaraya, Sulawesi.

Kes ketiga, Nor Azreen Che ishak, 12 tahun. Dia dilarikan Tony Wijaya, 27 tahun juga ke Lombok. Azreen berada di sana selama empat bulan. Kini dia kembali ke Ladang Ulu Sawah, Rantau, Negeri Sembilan.

Keempat-empat kes ini melibatkan anak gadis yang masih muda dan sanggup mengikut lelaki Indonesia meredah lautan dan bersusah-payah menemui keluarga teman lelaki masing-masing. Lelaki Indonesia ini khususnya dari Lombok begitu tergedik-gedik hendak berkahwin tanpa berasa bersalah melarikan anak orang.


Perbuatan melarikan anak orang boleh dianggap sebagai menculik dan patut dikenakan hukuman berat. Walaupun adat orang Sasak yang 80 peratus mendiami Lombok dianggap ‘wira’ oleh mereka, namun bagi orang lain perbuatan tersebut dianggap jenayah dan tidak ada penghormatan. Ia bukannya wira sebaliknya pengecut.

Perbuatan kahwin lari juga mengundang banyak masalah apabila berlaku penceraian. Kedudukan anak-anak dan masa depan mereka tentu tidak terjamin dan wanita yang terlibat terpaksa menanggung sendiri akibat daripada tindakannya.

Walaupun orang Sasak beragama Islam, masyarakat ini masih jauh daripada menerima pendidikan dan pendedahan kepada dunia luar kerana kemiskinan. Masyarakat ini juga masih mengekalkan kehidupan konservatif, kadar buta huruf dan kadar kematian bayi yang tinggi di samping menjana pendapatan melalui kegiatan pertanian dan perladangan.

Dalam media disiarkan Noor Fadilah suka dengan kehidupan miskin di Lombok, namun kehidupan di Bagan Serai dirasakan lebih baik. Selain ibu bapa yang mengambil berat, orang ramai juga berharap agar beliau dapat meneruskan pelajaran dan mengubah nasib masa depannya.

Bagi Nasrudin, emosi saja tidak akan membawa kejayaan kerana kehidupan sekarang perlukan persaingan. Berharap untuk berkahwin dengan anak dara yang dilarikan bukannya pilihan terbaik kerana pendidikan, latar belakang diri dan kedudukan ekonomi tentu menjadi perhatian bakal keluarga mentua.

Keadaan akan menjadi sebaliknya jika Nasrudin seorang yang berpelajaran dan berjawatan kerana semua ibu bapa mahukan anak gadis mereka terbela dan dijaga.

Kisah orang hilang yang dilaporkan kepada pihak polis menunjukkan sebanyak 681 wanita telah hilang (Januari – April 2007). Daripada jumlah ini, 302 telah ditemui semula dan 379 masih hilang.

Berkahwin dan cerai adalah perihal peribadi dan keluarga. Meninggalkan keluarga semata-mata mengikut kehendak hati boleh mendatangkan beban ketika dizalimi.

No comments:

Post a Comment