Oleh Mohd. Arif Atan
Hasil siasatan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2007 menunjukkan 61 peratus daripada 495,500 isi rumah yang berpendapatan di bawah RM1,000 sebulan adalah masyarakat Melayu.
Walaupun statistik yang sama menunjukkan majoriti isi rumah bagi kaum Melayu iaitu 976,500 memperoleh pendapatan dalam kumpulan RM1,001 - RM2,000 diikuti 614,700 isi rumah (RM2001 - RM3,000) dan 419,200 isi rumah (RM5,001 - RM10,000) tetapi jumlah 301,000 isi rumah Melayu yang berpendapatan kurang RM1,000 tidak harus diabaikan.
Mereka inilah yang sebahagian besarnya tergolong dalam kumpulan miskin dan miskin tegar di negara ini.
Jika isi rumah yang dikatakan miskin memperoleh pendapatan bulanan kurang daripada pendapatan garis kemiskinan (PGK) berbeza pula kategori miskin tegar yang bukan sahaja pendapatannya tidak melepasi PGK malah tidak mampu memenuhi keperluan asas dari segi makanan dan bukan makanan.
Sama ada di kawasan luar bandar mahupun bandar, masyarakat Melayu yang dikelaskan miskin dan miskin tegar ini terdapat di mana-mana.
Jika miskin di luar bandar sudah derita apatah lagi miskin di bandar juga tidak kurang sengsaranya akibat daripada peningkatan kos sara hidup yang tinggi hari ini.
Ketua isi rumah yang bertindak sebagai ketua keluarga lazimnya bekerja memerah keringat dan membanting tulang menyara keperluan ahli-ahli isi rumah.
Dalam membebaskan keluarga daripada lingkaran ganas kemiskinan, Ketua Isi Rumah mungkin ada yang melakukan dua jenis pekerjaan manakala ahli isi rumah pula mahu tidak mahu terpaksa juga bekerja termasuklah yang mungkin sepatutnya berada di bangku sekolah.
Situasi terpaksa inilah yang merupakan salah satu punca keciciran pendidikan kalangan sesetengah pelajar di kawasan luar bandar.
Lebih malang apabila ketua isi rumah sebagai dahan tempat bergantung meninggal dunia atau sudah tidak punya kudrat untuk terus bekerja.
Akhirnya, ahli isi rumah terpaksa mencari ikhtiar menjadi pengganti ketua isi rumah bagi mencari sesuap nasi untuk keluarga.
Adalah tidak adil untuk menganggap mereka malas walaupun tidak dinafikan ada yang 'selesa' dengan keadaan mereka kerana kemiskinan adalah sesuatu yang subjektif bergantung kepada persepsi masing-masing.
Ada yang berpendapatan lebih RM3,000 pun masih berasa miskin lantaran wang yang ada tidak pernah cukup bak kata pepatah besar nasi besarlah keraknya.
Oleh itu, hentikanlah sebarang tohmahan yang mengaitkan sikap dengan kedudukan ekonomi mereka. Paling mengecewakan apabila ada yang merendah-rendahkan orang Melayu seolah-olah orang Melayu sahaja yang malas dan tidak mahu berusaha untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.
Mereka umumnya bukannya malas cuma mungkin belum menemui titik mula dan peluang untuk memperbaiki taraf hidup tambahan pula dalam keadaan sistem monopoli ekonomi di negara ini.
Sebaliknya, sokongan dan penyelarasan bantuan di semua peringkat berupa "pancing" bukannya "ikan" perlu dilakukan segera. Program yang direncanakan untuk mereka juga perlu dipantau agar berjalan lancar dan mencapai matlamat selari dengan hasrat kerajaan menghapuskan kemiskinan tegar menjelang 2010.
Isu rumah Melayu paling ramai berpendapatan kurang RM1,000 adalah isu nasional dan tidak harus dieksploitasi demi kepentingan politik.
Apa pun, hakikatnya miskin harta tidak menjadi masalah tetapi keadaan akan menjadi parah sekiranya miskin jiwa.
[Utusan Online, 14/11/2008]
No comments:
Post a Comment