Thursday, November 27, 2008

Menilai kanak-kanak prasekolah yang lembap







Dalam tempoh 25 tahun yang lalu, taraf kesihatan dan pemakanan kanak-kanak di negara ini telah meningkat. Ini menjadi faktor utama menurunnya kadar kematian bayi dan kanak-kanak berbanding masa lalu. Bilangan anak dalam sesebuah keluarga pula semakin berkekurangan. Justeru ibu bapa menumpukan perhatian yang lebih kepada perkembangan intelek anak-anak. Mereka sangat khuatir jika anak-anak yang berada dalam lingkungan usia tiga hingga lima tahun atau di peringkat prasekolah didapati lembap.

Kecacatan-kecacatan yang serius biasanya mudah dikenal pasti oleh ibu bapa sebelum anak menjangkau usia tiga tahun. Ini termasuklah cacat penglihatan, rencat akal yang teruk serta cacat fizikal yang mengakibatkan ketidakupayaan untuk mengerakkan tangan dan kaki seperti lazimnya. Namun, ada sesetengah ibu bapa yang merasakan anak mereka terlalu lembap dibandingkan dengan kanak-kanak yang sebaya walaupun pada zahirnya kelihatan normal. Ibu bapa yang bersikap demikian sebenarnya membuat kesimpulan daripada pemerhatian mereka terhadap pencapaian kefahaman bahasa atau keupayaan pertuturan anak mereka yang dirasakan lebih lambat berbanding dengan kanak-kanak yang sebaya.

Ibu bapa sering membandingkan kebolehan anak mereka dengan adik-beradik yang lain atau dengan anak jiran tetangga. Namun, pada hakikatnya kanak-kanak berbeza antara satu sama lain dari segi pencapaian sesuatu ciri perkembangan. Ibu bapa mungkin menganggap anak mereka lembap jika si anak lebih lambat memperoleh kemahiran bertutur, membaca, bergaul dan berdikari berbanding dengan adik-beradik yang lain. Ada juga ibu bapa yang ditemui tidak langsung berasa bimbang tentang prestasi intelek anak mereka walaupun si anak memang lembap jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang sebaya. Oleh itu, persepsi ibu bapa terhadap anak akan mempengaruhi mereka dalam membuat penilaian tentang prestasi intelek anak.

Kadangkala, persekitaran dan cara gaya keibubapaan yang tidak menggalakkan perkembangan anak boleh menjadi punca sesetengah kanak-kanak prasekolah lembap dari segi pencapaian bahasa, kemahiran sosial dan kebolehannya melakukan aktiviti-aktiviti tanpa bantuan orang lain seperti makan, minum, menukar pakaian dan sebagainya.

Tidaklah menghairankan mengapa kanak-kanak di pusat-pusat jagaan yang tidak mendapat cukup perhatian didapati lembap dalam banyak aspek. Ini dibuktikan melalui satu projek penyelidikan yang pernah dijalankan di pusat jagaan kanak-kanak tempatan oleh Jabatan Pediatrik, UKM dalam tahun 1983.

Kanak-kanak tersebut telah dibahagikan kepada dua kumpulan dan diuji daya intelek mereka. Satu kumpulan telah diberikan program pengayaan (enhancement programme) yang memerlukan juga penglibatan sekumpulan wanita secara sukarela yang telah dilatih tentang cara-cara merangsang bayi dan kanak-kanak. Mereka telah meluangkan banyak masa untuk berinteraksi, bercakap, bercerita, bermain, membelai, mengasuh serta melayan kanak-kanak ini makan, minum, pakai baju dan buka seluar sendiri.

Selepas dua bulan, setiap kanak-kanak dalam kedua-dua kumpulan telah diuji inteleknya. Didapati bahawa kanak-kanak dalam kumpulan yang telah mendapat rangsangan lebih cepat mencapai kemahiran bertutur, berdikari, bersosial dan sebagainya. Ini menunjukan betapa kuatnya faktor stimulasi dalam proses meningkatkan prestasi intelek seseorang kanak-kanak itu.

Pakar kanak-kanak menyarankan agar kanak-kanak yang mengalami masalah perkembangan dikenal pasti dari awal-awal lagi supaya rancangan pemulihan atau pengayaan dapat diatur untuknya. Faktor-faktor negatif yang mempengaruhi perkembangannya perlu dikenal pasti untuk membolehkan pakar-pakar merancang program pemulihan dari peringkat awal lagi. Banyak kajian telah menunjukkan bahawa intervensi awal lebih membawa manfaat daripada intervensi yang dijalankan apabila si anak sudah dewasa.

Punca seseorang anak itu lembap prestasi inteleknya boleh dikaitkan dengan faktor biologi (baka) dan faktor budaya atau kekeluargaan. Faktor baka banyak mempengaruhi prestasi intelek seseorang kanak-kanak tetapi tanpa persekitaran yang optimum, kanak-kanak itu tidak dapat mencapai potensi yang optimum. Jika penilaian terhadap kanak-kanak prasekolah yang lembap dilakukan dari awal-awal lagi, dapatlah program pembelajaran masa depannya diaturkan. Ibu bapa perlu mengetahui kekutan-kekuatan dan kelemahan-kelemahan anak mereka. Mereka perlu dibimbing oleh para profesional tentang cara gaya keibubapaan dan strategi-strategi pembelajaran yang betul supaya intervensi awal dapat di jalankan di rumah.

Kanak-kanak prasekolah yang bagaimanakah yang perlu dinilai?

Pengetahuan tentang perkembangan kanak-kanak telah berkembang dengan pesatnya melalui sumbangan-sumbagan pakar kanak-kanar, pakar psikologi, pakar pendidikan dan pakar patologi pertuturan (speech pathologist). Memandangkan perkembangan yang pesat dalam bidang ini, pendekatan yang bercorak multidisiplinari telah digunakan di negara-negara maju. Walau bagaimanapun, pendekatan ini amat sukar dilaksanakan di negara-negara membangun seperti Malaysia yang masih kekurangan pakar dalam bidang-bidang berkenaan. Bagi menilai seseorang kanak-kanak prasekolah yang lembap, pengetahuan dalam bidang perubatan pediatrik (paediatrics medicine), sains urat saraf dan psikologi (nuerilogical and psychological sciences), embriologi, patologi pertuturan, pendidikan, perubatan sosial jurulatih cara kerja dan jurupulih cara anggota diperlukan.

Doktor dan pakar kanak-kanak merupakan golongan profesional yang mula-mula berhadapan dengan kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan atau perkembangan. Merekalah yang perlu memastikan sama ada kanak-kanak tersebut menghidap sebarang penyakit lain yang memerlukan rawatan atau tidak. Mereka juga perlu memastilkan sama ada tumbesaran yang dihadapi oleh kanak-kanak itu disebabkan oleh penyakit, kurang zat pemakanan atau lain-lain. Masalah pendengaran atau penglihatan perlu dikenal pasti. Pakar tersebut juga akan menentukan sama ada masalah perkembangan yang dialami oleh seseorang kanak-kanak adalah disebabkan oleh faktor baka, kurang zat pemakanan atau kurang rangsangan. Merekalah yang bertanggungjawab mengatur penilaian lanjut oleh pakar-pakar psikologi dan para profesional dalam bidang yang berkaitan, jika perlu.

Para profesional dalam bidang perkembangan kanak-kanak mempunyai teknik mereka sendiri untuk menilai kanak-kanak yang bermasalah. Apa yang agak merumitkan ialah keadaan di mana seseorang kanak-kanak itu mengalami masalah rencat akal akibat sesuatu penyakit atau lain-lain keadaan yang memerlukan rawatan. Contohnya ialah seorang kanak-kanak yang berusia tiga tahun yang dikatakan lembap. Dia mula pandai berjalan hanya pada usia dua tahun serta masih belum pandai bertutur, sukar memahami sesuatu arahan yang diberi, kurang aktif dan bantut. Kebetulan, dia mengalami keadaan yang dinamakan congenital hypothyroidism dan memerlukan penilaian doktor untuk memastikan keadaan ini. Dianggarkan satu daripada seribu orang kanak-kanak yang mengalami congenital hypothyroidism. Kanak-kanak yang mengalami perkembangan perlu dipasti sama ada menghidap keadaan di atas atau tidak.

Keadaan ini boleh dirawat dengan menggunakan hormon tiroksina. Pakar psikologi atau pakar pendidikan perlulah benar-benar pasti bahawa kanak-kanak yang lembap mengalami masalah perubatan dan merujukkan kes-kes berkenaan kepada pakar kanak-kanak atau doktor untuk pemeriksaan selanjutnya.

Jika si anak dinilai oleh seorang pakar psikologi atau pakar pendidikan, pendiagnosan penyakit tidak akan dibuat kecuali pakar tersebut berhubung rapat dengan doktor atau pakar kanak-kanak.

Penyakit sawan yang terbiar tanpa rawatan boleh menjejaskan prestasi intelek kanak-kanak yang menghidapinya. Ahli profesional yang tidak mempunyai latar belakang perubatan mungkin tidak akan terfikir untuk menimbangkan kemungkinan ini. Oleh itu, penyakit sawan kanak-kanak itu kemungkinan lambat atau tidak akan dirawat langsung. Saya pernah bertemu seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang telah menghidap penyakit sawan selama tiga tahun. Daripada sejarah latar belakang, sungguh ketara sekali yang dia menghidap penyakit tersebut. Pemeriksaan electroen-cephalogram (EEG ) menyokong diagnosis ini dan telah dirawat dengan ubat tahan sawan .

Sawan ada berbagai-bagai jenis. Sejenis sawan yang dinamakan petit mal epilepsy yang sering menyerang kanak-kanak akan mengakibatakan si mangsa secara tiba-tiba termenung beberapa ketika walaupun sejurus sebelum itu dia bercakap atau sedang menjalankan sesuatu aktiviti. Peristiwa ini mungkin berlaku 10 hingga 20 kali dan perlu dirawat dengan ubat. Tanpa rawatan, dia tidak akan dapat menumpukan perhatian kepada pelajarannya di dalam bilik darjah.

Kanak-kanak yang bagaimana yang memerlukan penilaian?


Dari pengalaman saya, kebanyakan ibu bapa yang mempunyai anak yang bermasalah dapat mengesan jika ada sesuatu yang tidak kena pada anak mereka itu. Namun, sama ada mereka akan mengambil perhatian berat dan mendapatkan nasihat para profesional dengan segera tidaklah dapat dipastikan.

Pada pandangan saya, bilangan kanak-kanak prasekolah yang dikenal pasti lembap dan diberi intervensi awal oleh para profesional adalah terlalu kecil. Golongan yang mempunyai taraf sosioekonomi rendah biasanya mempunyai ratusan kanak-kanak prasekolah lembap yang lebih tinggi dibandingkan dengan golongan yang mempunyai tahap sosioekonomi dan taraf pendidikan yang tinggi.

Kanak-kanak yang termasuklah dalam golongan di bawah mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami masalah pembelajaran. Penilaian para profesional yang arif tentang masalah ini perlu di peroleh.

Mereka yang dilahirkan ringan timbangan beratnya (kurang daripada 2.5kg) terutamanya jika mereka pernah menerima rawatan intensif selepas dilahirkan akibat kelemasan (perinatal aspyxia) atau penyakit kuning yang serius (septicaemia).

1. Mereka yang mempamerkan ciri-ciri perkembangan yang lambat.
2. Mereka yang sering berpenyakit.
3. Mereka yang menunjukan prakelakuan seperti kurang tumpuan perhatian (attenspan deficit disorder), masalah pergaulan dan masalah komunikasi.
4. Mereka yang tinggal dalam suasana rumah tangga dan keluarga yang kucar-kacir sehingga mereka berasa kurang tenteram.

Bagaimana menilai kanak-kanak prasekolah yang lembap?

Sejarah hidup kanak-kanak yang terperinci perlu dicatatkan. Maklumat-maklumat yang diperoleh dapat membantu doktor menentukan sama ada kanak-kanak itu benar-benar mempunyai masalah pembelajaran dan sebab-sebab timbulnya masalah tersebut.

Contohnya kanak-kanak berusia 3 1/2 tahun yang hanya boleh menuturkan beberapa patah perkataan sahaja tetapi boleh menuturkan beberapa patah perkataan sahaja tetapi boleh memahami dan mengikut arahan-arahan yang diberikan walaupun kepintarannya dianggarkan hanya setaraf dengan kanak-kanak yang berusia dua tahun.

Keupayaan dari segi pelaksanaan aktiviti-aktiviti harian seperti makan minum, tukar pakaian, berjalan dan sebagainya adalah memuaskan. Dia dilahirkan prematur (32 minggu sahaja) dan telah disahkan menghidap sawan pada hari pertama kelahirannya. Ini disebabkan oleh kekurangan bahan glukosa dalam darahnya pada masa itu.

Maklumat ini penting untuk memahami punca asa kelembapan pemikiran si anak ini. Pakar kanak-kanak sudah lama mengetahui bahawa sawan di peringkat pranatal yang disebabkan oleh kekurangan bahan kimia glukosa boleh mengakibatkan seseorang anak itu lembap pemikirannya apabila dia meningkat dewasa. Itulah sebabnya setiap bayi yang dilahirkan prematur diawasi supaya tahap glukosa dalam darahnya sentiasa berada pada paras normal.

Satu lagi kes melibatkan seorang kanak-kanak lelaki yang berusia tiga tahun yang telah dibawa berjumpa doktor kerana didapati tahap pemikirannya lembap. Apabila dikaji sejarah hidupnya secara terperinci, didapati bahawa dia pernah mendapat penyakit meningitis atau lembam otak pada usia tiga tahun. Penyakit meningitis boleh mengakibatkan rencat otak, pekak atau sawan.

Kedua-dua kes ini menunjukkan betapa pentingnya kajian yang terperinci ke atas sejarah hidup seseorang kanak-kanak itu untuk mengetahui punca-punca atau sebab-sebab pemikirannya lembap.

Kajian terhadap perkembangan bahasa seseorang kanak-kanak juga amatlah penting kerana kanak-kanak yang lembap mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami masalah pembelajaran apabila meningkat dewasa .

Lazimnya, pada usia tiga tahun seorang kanak-kanak yang normal sudah boleh bercakap menggunakan ayat yang penuh, umpamanya, “Mak, adik haus, nak minum air oren.” Kanak-kanak berusia tiga tahun yang rencat akal mungkin hanya boleh bertutur satu atau dua patah perkataan sahaja.

Ada berbagai-bagai punca yang menyebabkan seseorang kanak-kanak lambat bercakap. Antaranya ialah kurang daya pendengaran, kurang peluang bergaul dan berinteraksi dengan orang di sekelilingnya, rencat akal dan mungkin juga kerosakan di bahagian otak yang menguasai fungsi pertuturan. Saya pernah bertemu kanak-kanak yang lambat bercakap walaupun dia boleh memahami dan mengikuti arahan-arahan yang diberikan. Kanak-kanak yang sebegini seolah-olah kurang mempunyai motivasi untuk bercakap.

Pemeriksaan fizikal tidak menunjukan apa-apa masalah seperti kurang pendengaran, kerosakan pada alat pertuturan dan sebagainya. Perkembangan dari segi yang lain juga memuaskan. Apabila dikaji latar belakang keluarganya, didapati ayahnya juga lambat bercakap sewaktu kecilnya dahulu. Oleh itu, masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak itu kelihatannya ada kaitan dengan baka dan tidak perlu bimbangkan kerana dia bercakap dengan normal apabila dewasa. Memang tepat seperti yang diduga, kemahiran pertuturannya meningkat dalam tempoh masa beberapa bulan kemudian.

Pemeriksaan perkembangan kanak-kanak prasekolah yang lembap perlu dijalankan untuk menentukan tahap perkembangannya dalam aspek seperti pergerakan motor halus, kemahiran kendiri dan juga kemahiran sosialnya. Jika dia mempamerkan tingkah laku yang abnormal seperti kurang tumpuan perhatian, terlalu aktif, tidak mahu bergaul dengan orang lain atau asyik bersendirian, perhatian yang sewajarnya perlu diberikan kerana ini boleh menjejaskan perkembangan bahasanya. Jika perkembangan pertuturannya berlainan daripada kanak-kanak lain, perhatian juga perlu diberikan.

Kebolehan melukis, meniru gambar lukisan atau membuat sesuatu bentuk dengan kiub boleh memberi maklumat tentang prestasi inteleknya. Umpamanya, kanak-kanak yang berusia tiga tahun lazimnya sudah boleh meniru bentuk bulatan dengan pensil jika disuruh dan boleh mengecam serta menunjukan gambar-gambar binatang dengan tepat seperti yang di arahkan oleh si penguji.

Dalam menilai prestasi intelek seseorang kanak-kanak, penguji perlulah meninjau kebolehannya dari berbagai-bagai segi termasuklah kemahiran pertuturan, keupayaan memahami bahasa yang digunakan oleh orang lain, kebolehan menggunakan tangannya untuk melukis, mereka bentuk model, meniru susunan kiub dan memasukkan sesuatu bentuk geometrik ke dalam acuannya.


Dari bahasa dan percakapan kanak-kanak, dapatlah seseorang penguji itu menganggarkan tahap pemikirannya. Namun, jika seseorang kanak-kanak itu pekak atau tidak berupaya bersuara seperti kanak-kanak biasa, ujian-ujian ini akan diubahsuaikan. Umpamanya kecerdasan pemikiran seorang kanak-kanak yang pekak dan tidak boleh bercakap seperti kanak-kanak biasa boleh diukur berdasarkan keupayaannya mematuhi arahan-arahan si penguji.

Satu kaedah ujian yang digunakan bagi kanak-kanak pekak yang berusia dua tahun ialah dengan menyuruh dia menunjukkan mulut, rambut, mata, hidung dan telinganya. Satu cara lagi ialah dengan menyuruh dia menunjuk ke arah gambar kucing, kereta, botol susu dan sebagainya. Gambar-gambar yang dipilih mestilah sesuai dengan tahap intelek kanak-kanak itu.

Pakar kanak-kanak dan pakar psikologi perkembangan kanak-kanak yang mahir boleh menilai tahap perkembangan seseorang kanak-kanak dari pelbagai segi hanya dengan memerhatikan kanak-kanak itu menjalani ujian-ujian yang diaturkan, meneliti tingkah lakunya. Pergaulan dan cara berinteraksi dengan orang lain juag boleh memberi maksud tertentu. Pakar tersebut juga boleh memerhatikan tingkah laku kanak-kanak tersebut tatkala dia bermain-main seorang diri atau bersama-sama kanak-kanak lain dan juga dengan mendengar pertuturannya yang secara tidak langsung dapat memberikan gambaran tentang apa yang terkandung dalam pemikirannya (thought content).

Satu kaedah yang saya gunakan untuk kanak-kanak yang berusia dua hingga tiga tahun ialah dengan menunjukkan gambar-gambar serta menyuruh dia bercerita tentang setiap gambar itu. Gambar-gambar yang biasa saya gunakan ialah gambar pemandangan di tepi laut, lapangan terbang, suasana di pasar, pemandangan di tengah-tengah kota raya dan sebagainya. Kanak-kanak yang bijak akan menunjukkan kebolehannya bercerita dengan baik tentang setiap gambar itu.

Kebanyakan pakar kanak-kanak tidak mempunyai masa yang cukup untuk meneliti perkembangan kanak-kanak prasekolah yang lembap. Mereka hanya sekadar dapat membuat pendiagnosan masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak itu mungkin terpaksa merujuk pada ahli psikologi untuk mendapat keputusan ujian intelek yang lebih terperinci.


Dalam menjalankan pemeriksaan, pakar kanak-kanak akan meninjau prestasi tumbesaran kanak-kanak itu dengan menggunakan carta tumbesaran (growth chart). Dia akan memastikan yang kanak-kanak itu tidak mengalami masalah pendengaran dan penglihatan. Kanak-kanak yang bermasalah akan dirujukkan kapada pihak-pihak yang berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Pakar-pakar yang menjalankan pemeriksaan perkembangan urat saraf (neurodevelopmental examinition) akan memastikan sama ada si anak itu boleh menggerakkan kaki dan tangannya tanpa rasa kekok atau mempamerkan sebarang ciri-ciri kelemahan dan gerakan yang tidak normal. Dia juga perlu meninjau sama ada tumpuan perhatian kanak-kanak itu singkat atau tidak dan sama ada kemahiran pengamatan (perceptual skills), daya ingatan (memory), cara memproses sesuatu maklumat atau stimulasi yang diberikan serta tingkah laku kanak-kanak itu memuaskan atau tidak.

Kadangkala, pemeriksaan terhadap kanak-kanak yang lembap mungkin mendedahkan kelainan-kelainan tertentu seperti rabit lelangit (cleft palate), buah zakar tidak turun (undescended testis), masalah jantung dan katarak mata. Penyakit-penyakit seperti lelah, resdung, sawan tidak membesar (failure to thrive), pucat dan sebagainya perlu dirawat terlebih dahulu sebelum penilaian intelek kanak-kanak prasekolah yang lembap ini boleh dilakukan dengan memuaskan. Kanak-kanak yang pucat (anaemic) mungkin mengalami masalah kecacingan. Dia juga sering mengantuk, tidak bermaya dan tidak menunjukan minat untuk belajar.
Intervensi awal
Penilaian ke atas kanak-kanak dari peringkat prasekolah awal adalah penting supaya program-program intervensi awal dapat diaturkan. Program-program intervensi juga perlu disesuaikan untuk setiap kanak-kanak menurut diagnosis, kekuatan dan kelemahan kanak-kanak itu sendiri.

Sesuatu program yang diatur itu mempunyai objektif tersendiri yang perlu difahami oleh ibu bapa. Umpamanya, jika seseorang kanak-kanak itu tidak mempunyai motivasi untuk bercakap, usaha-usaha untuk merangsang minatnya, membina keyakinan diri dan memberi dia peluang berinteraksi serta bergaul dengan dengan rakan-rakan sebaya boleh dijalankan.

Kanak-kanak yang berusia tiga hingga empat tahun yang masih tidak mempamerkan kemahiran pengamatan (perceptual skills) boleh diberikan pendidikan khas. Jika penguasaan bahasanya lemah, dia haruslah digalakkan supaya lebih banyak berbual serta mengikuti sesi-sesi bimbingan khas untuk mempertingkatkan kefahaman bahasanya.

Sebagaimana yang telah diterangkan, kemahiran bahasa mempunyai kaitan yang rapat dengan pencapaian akademik. Oleh itu , perhatian yang sewajarnya haruslah diberikan terhadap perkembangan bahasa seseorang kanak-kanak.


Intervensi mungkin memerlukan rawatan ubat. Contohnya, kanak-kanak yang sering mendapat sawan perlu diberikan ubat cegah sawan. Kanak-kanak yang mengalami kekurangan hormon tirod (hypothyroidism) akan dibekalkan dengan hormon tersebut seumur hidup.

Bagi kanak-kank yang hiperaktif, intervensi awal yang merangkumi program pengubahsuaian tingkah laku bagi membantunya mengawal diri (self-control) perlu diaturkan. Ubat-ubat tertentu boleh digunakan untuk mengurangkan keresahan anak itu sewaktu menjalani program pemgubahsuaian tingkah laku. Bagi kanak-kanak yang menghadapi masalah pengamatan dan tidak boleh mengenal abjad, berbagai-bagai kaedah pembelajaran boleh digunakan untuk mempertingkatkan prestasi inteleknya.
Kesimpulan
Kanak-kanak prasekolah yang lembap perlu menjalani penilaian yang terperinci supaya pendiagnosan dapat dibuat dan ciri-ciri kekuatan serta kelemahan anak itu dapat dikenal pasti. Ini amatlah penting agar program pemulihan beserta objektif-objektif yang telah disesuaikan bagi seseorang kanak-kanak itu dapat diatur. Biasanya, seseorang kanak-kanak yang lembap akan mempamerkan ciri-ciri perkembangan bahasa yang lembap. Setiap kanak-kanak yang didapati lambat bercakap perlulah mendapatkan penilaian lanjut. Perlu ditegaskan lagi bahawa pencapaian bahasa amatlah penting kerana ini adalah asas bagi menguasai kebolehan membaca dan menulis.

Penilaian awal ke atas kanak-kanak prasekolah yang dikhuatiri lembap akan membantu para profesional, ibu bapa dan Jabatan Pendidikan menentukan sama ada dia boleh ditempatkan di sekolah biasa, sekolah yang menawarkan pendidikan khas ataupun di pusat-pusat pengajian yang mempunyai program-program pendidikan di luar sistem persekolahan yang formal.

[Sumber:
Sabahdaily.com. Artikel ini telah diedit]

No comments:

Post a Comment