Ketika berjalan-jalan di sekitar pasar Chow Kit untuk membeli barang dapur, saya lalu di hadapan bangunan bomba. Di kiri dan kanan jalan ini ada banyak gerai yang menjual alat-alat mainan, tudung, aksesori dan makanan.
Salah satu tempat, betul-betul di sebelah balai bomba, ada seorang peniaga separuh abad sedang melayan pelanggan memilih beberapa jenis barang antik yang terdiri daripada jam, duit syiling lama, cincin, pemetik api, keris kontot, jam, lampu aladdin dan wang kertas lama.
Mungkin bisnesnya laku pada hari itu.
Apa saja barang lama adalah antik termasuk perabot, alat mainan, pakaian dan peti besi. Menjual barang antik mengikut kaedah tradisional tidak memberi banyak keuntungan kerana nilai harga tawaran yang rendah di samping tidak ada nilai tambah.
Contohnya, jika penjual barang antik di tepi jalan mengambil inisiatif meletakkan duit syiling lama ke dalam bekas yang nampak eksklusif, harganya boleh naik secara mendadak.
Penjual barang antik yang celik IT akan menggunakan sepenuhnya teknologi Internet untuk memasarkan barang antik mereka yang ada dalam simpanan. Contohnya barang antik yang ada nilainya ialah kacip pinang. Katakan kacip ini telah lama dalam simpanan keluarga anda dan tidak ada siapa lagi yang hendak menggunakannya.
Cara hendak mendapatkan wang daripada kacip pinang ini ialah anda bersihkan, kilatkan dan ambil gambarnya. Masukkan ke dalam laman web atau blog anda dan mula menjual.
Ada sebuah blog yang hanya menjual barang antik. Memilih nama ‘Warung Barang Antik,’ ia dapat menjual koleksi anak patung yang terdapat dalam pelbagai jenis. Buatannya dari kayu, kertas dan buluh yang tahan dengan perubahan suhu dan cuaca. Dia tidak buat sendiri sebaliknya mendapatkannya daripada pengusaha di Jawa Barat, Jawa Tengah dan Jogjakarta.
Satu lagi contoh barang antik memberi wang ialah gambar-gambar lama yang menarik seperti sekumpulan petani sedang menumbuk padi dengan alu. Gambar seperti ini boleh diletakkan bidai supaya kelihatan lebih cantik dan menarik bakal pembeli.
Harganya boleh dinyatakan di laman web anda. Daripada beratus-ratus pelayar Internet, satu atau dua orang mungkin sangat berminat untuk mendapatkan hasil tangan anda itu.
No comments:
Post a Comment