“Golongan miskin biasanya diabaikan. Saya fikir mereka akan lebih terabai pada masa kini,” kata seorang pakar ekonomi Amerika, Jeffrey Sachs yang juga pakar pembangunan Negara Dunia Ketiga dan penasihat Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon.
Kemiskinan adalah fenomena sejagat kerana setiap bangsa dan negara tidak dapat lari daripadanya, cuma ia berbeza dari segi kadar dan bilangan golongan terbabit berdasarkan penanda aras yang digunakan.
Hampir setengah daripada penduduk dunia iaitu lebih tiga juta penduduk hidup dalam kemiskinan. Malah di sesetengah negara, seperti di India, dua pertiga daripada satu bilion penduduknya adalah miskin.
Dalam kamus Islam, kemiskinan ada diceritakan dan kerana itu digalakkan bantu-membantu sesama manusia, bersedekah dan berzakat supaya yang susah mendapat perhatian dan pembelaan.
Imam Syafie rahimahullah menyebutkan: 'Orang fakir ialah orang yang tidak berharta dan tidak ada mata pencarian (sumber rezeki), manakala orang miskin pula ialah orang yang ada harta (ala kadarnya) atau ada mata pencarian tetapi tidak mencukupi sara hidupnya.'
Ketika dunia dilanda kemelesetan ekonomi, apabila kos sara hidup semakin meningkat disebabkan harga barang dan makanan melambung tinggi, kemiskinan semakin melebar ada kebarangkalian walaupun dari satu sudut statistiknya sudah tercatat.
Pengangguran, kemelaratan dan kebuluran selalu dikaitkan dengan kemiskinan. Belum lagi mengambil kira perkara lain seperti kegagalan untuk mendapatkan pendidikan dan kesihatan yang berkualiti.
Kepelbagaian itu menunjukkan kemiskinan adalah masalah multi dimensi yang memerlukan pasukan berbakat untuk mengatasinya.
Sebenarnya, masih ramai yang hidup dalam serba kekurangan, malah rezeki diperoleh kadangkala tidak cukup menampung keperluan keluarga, dengan hidup umpama 'kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.'
Kaedah paling dominan dalam menyelesaikan kemiskinan selalunya ialah dari sudut ekonomi, iaitu wang ringgit, tetapi bergantung kepada satu punca saja, iaitu bantuan pihak lain, tanpa usaha daripada diri sendiri tidak akan ke mana.
Menurut Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Patmawati Ibrahim, seseorang itu perlu berusaha mengubah nasib kehidupan, iaitu mengeluarkan diri daripada kepompong kemiskinan.
Ini kerana katanya, Allah s.w.t menegaskan seperti yang terkandung pada ayat-11 surah ar-Ra'd, antara lain bermaksud “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
Beliau berkata, walaupun di dalam Islam ada zakat yang membolehkan orang miskin menerimanya, tetapi saluran itu bukan satu-satunya kaedah berkesan untuk mengurangkan kemiskinan.
“Zakat boleh menjadi satu cara untuk mengurangkan kemiskinan, tetapi tidak boleh 100 peratus untuk itu,” katanya, ketika bercakap mengenai topik kemiskinan dan pembangunan dari perspektif Islam, cabaran dalam era globalisasi, pada Seminar “Managing Sustainable Development and Poverty Alleviation in The Islamic World” di kampus induk universiti itu, baru-baru ini.
Ini disebabkan pembayar zakat juga rendah, malah di negara ini katanya, kira-kira 40 peratus dan ramai yang tidak membayar, dengan kutipan agak rendah, misalnya pada 2007 hanya kira-kira RM600 juta.
Beliau juga berpendapat, dalam usaha mengurangkan kemiskinan, golongan terbabit tidak sepatutnya dibantu secara berterusan, sebaliknya diberikan bantuan di peringkat permulaan supaya berusaha membaiki taraf kehidupan dengan sendiri.
Menurutnya, jika diberikan bantuan berterusan, golongan miskin terbabit tidak akan cuba berdikari.
“Kita tidak boleh memberikan ikan kepada mereka, tapi kita memberikan joran, mungkin dalam masa enam bulan mereka tidak perlu lagi bantuan,” katanya.
sesetengah negara seperti negara maju konsep kebajikan diamalkan sepenuhnya seperti penganggur diberi elaun, tetapi di kebanyakan negara tidak sedemikian, malah hanya satu peratus kebajikan disebabkan kewangan tidak mencukupi.
Menurutnya, jika diberikan bantuan berterusan, golongan miskin terbabit tidak akan cuba berdikari.
“Kita tidak boleh memberikan ikan kepada mereka, tapi kita memberikan joran, mungkin dalam masa enam bulan mereka tidak perlu lagi bantuan,” katanya.
Di sesetengah negara seperti negara maju konsep kebajikan diamalkan sepenuhnya seperti penganggur diberi elaun, tetapi di kebanyakan negara tidak sedemikian, malah hanya satu peratus kebajikan disebabkan kewangan tidak mencukupi.
[Harian Metro Online, dilayari pada 31/10/2008]
No comments:
Post a Comment