Monday, December 01, 2008

South Korea-Japan relations

Penulis: Corrado G. M. Letta
Tahun: 2007
Penerbit: Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Muka surat: 300

Tujuan buku ini diterbitkan adalah untuk mengukuhkan hubungan dua hala Korea Selatan dan Jepun pada masa depan. Analisis SWOT menjadi teras kepada hubungan berkenaan bagi meninjau kedudukan masa lepas dan masa kini serta mengkaji kerangka komunikasi rentas budaya kedua-dua negara.

Korea Selatan dan Jepun memiliki kesamaan, minat yang serupa dan berkongsi nilai yang membuka ruang lebih luas kepada hubungan dua hala yang lebih baik. Jurang di antara kemungkinan realiti sebenar hanya wujud dalam bentuk persepsi dan kurangnya keprihatinan terhadap persamaan yang sedia ada.

Kandungan buku yang hebat ini mengandungi dua tujuan. Pertama, memberi gambaran tentang kerangka komunikasi rentas budaya dalam konteks hubungan yang semakin berkembang. Kedua, menerangkan bagaimana kewujudan persamaan (sosiobudaya dan sosiopolitik) beroperasi, menarik kedua-dua negara ke arah bekerjasama dalam pelbagai bidang.

Seterusnya, mengenal pasti halangan-halangan dalam hubungan dua hala berkenaan untuk dianalisis satu demi satu. Sebaik sahaja selesai dicerakinkan, persamaan, minat yang sama dan perkongsian nilai akan dapat dilihat. Ia menjadi lebih berkesan apabila kedua-dua negara maju kehadapan untuk membincangkan masa depan mereka ke era baru Komuniti Asia Timur.

Seiringan dengan persamaan dan perbezaan yang ada, ia membina kesedaran bahawa dalam konteks masyarakat antarabangsa, mereka patut saling mempelajari di antara satu sama lain demi masa depan.

Pendekatan ini perlukan pensintesisan daripada perspektif pelbagai dimensi supaya dapat menjana kefahaman yang lebih mendalam terhadap hubungan dua hala Korea Selatan-Jepun. Hakikatnya hubungan ini bukan sekadar bisnes import-eksport.

Isu-isu yang dibincangkan dalam buku ini dipecahkan kepada empat bahagian dengan tujuh bab.

Bahagian 1 ditumpukan kepada analisis kekuatan dua hala Korea Selatan dan Jepun. Biarpun masing-masing tahu kekuatan sedia ada, ianya kekal terselindung daripada pengetahuan umum kerana gangguan laporan media yang emosional apabila melibatkan hubungan dua negara. Kekuatan adalah persamaan manakala perbezaan dianggap sebagai cabaran yang mesti diatasi.

Bahagian 2 memberi tumpuan kepada analisis kelemahan yang sering menjadi perhatian media. Dalam bahagian ini, halangan ditafsirkan sebagai sesuatu yang dinamik demi hubungan masa depan.

Bahagian 3 mengenal pasti peluang dan ancaman yang wujud di tengah-tengah hubungan berkenaan. Oleh kerana peluang ini ada risikonya sendiri, setiap inisiatif akan diberi perhatian mengikut keutamaan. Risiko yang hadir akan diubah kepada peluang-peluang yang mampu mengukuhkan hubungan.

Bahagian 4 adalah harapan kepada hala tuju hubungan kedua-dua negara pada masa depan.

Persepsi langsung terhadap hubungan Korea Selatan-Jepun ialah tindakan saling menyakiti. Keadaan ini disumbangkan oleh pendekatan provokasi pihak media yang cuba untuk melariskan jualan produk mereka. Bagaimanapun keadaan dilihat berbelah-bahagi. Soalan utama yang wajar dikaji ialah: apakah perasaan rakyat Jepun terhadap Korea Selatan dan sebaliknya? Adakah positif atau negatif? Adakah Jepun lebih penting daripada Korea Selatan berbanding Korea Selatan kepada Jepun?

Jawapan kepada persoalan begini boleh dianalisis dengan lebih lanjut dengan mengambil kira hubungan kritikal kedua-dua buah negara dari tahun 1945-1965 (hubungan diplomatik yang belum wujud), 1969-1979 (gerakan anti Jepun dikawal sepenuhnya) dan 1982 ke atas di mana hubungan dua hala dibincangkan bersama sehingga ke peringkat global.

Banyak kajian, konferens dan simposium yang membincangkan hubungan Korea Selatan-Jepun, banyak juga buku yang berkaitan kedua-dua negara diterbitkan. Justeru, membaca buku dari pemikiran pakar hubungan Asia-Eropah, Prof. Letta menggunakan bahasa Inggeris yang mudah supaya mesej utama iaitu pembaca yang rentas budaya dapat memahami Korea Selatan dan Jepun dengan lebih baik.

No comments:

Post a Comment