Setiap muslim perlu memahami benar-benar bahawa ad-din al-islami adalah terdiri daripada iman, Islam dan ihsan. Ketiga-tiga bahagian ini perlu ada pada diri seseorang Islam. Tidak lengkap Islamnya tanpa ketiga-tiga unsur ini. Lantaran itu setiap muslim wajib mempelajari ilmu tauhid, feqah dan tasauf/akhlak serta menghayatinya.
Ilmu tasauf/akhlak adalah ilmu yang membicarakan sifat-sifat dan perangai hati yang menghuraikan bahagian ‘ihsan.’
Manusia atau insan itu terdiri daripada jasmani dan ruhani. Dikatakan hati itu ialah ruh dan ia perlu diberi didikan secukupnya sebagaimana jasmani perlu dijaga dan didik; kerana hati inilah yang akan mempengaruhi hidup seseorang sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud: Bahawa di dalam jasad itu ada suatu ‘mudghah’ bila ia baik maka baiklah seluruh jasadnya dan bila ia rosak maka rosaklah seluruh jasadnya. ‘Mudghah’ itu ialah hati.
Seorang manusia tidak akan baik perangai atau akhlaknya selagi hatinya tidak berkeadaan baik. Oleh yang demikian maka sangatlah mustahak diberi perhatian kepada usaha memperbaiki hati.
Tazkirah tentang hati ini akan menghuraikan tentang sifat-sifat hati yang terpuji dan yang dikeji. Masyarakat hari ini yang lebih banyak mengalami masalah jiwa dipercayai mempunyai masalah masalah hati yang sangat parah kerana tidak ada kesedaran untuk mendidik hati atau qalbu yang menjadikan mereka berperangai baik atau buruk.
No comments:
Post a Comment