Tuesday, April 08, 2008

Ladang babi RM100 juta: hadiah DAP untuk rakyat Selangor?

Teresa Kok begitu bangga dan senang hati untuk berkongsi berita baik dengan rakyat Malaysia mengenai kelulusan mesyuarat exco kerajaan negeri Selangor bagi membina ladang babi yang menelan belanja RM100 juta di Sepang. Beliau menyifatkan kelulusan berkenaan akan menjadikan urusan pengendalian babi di Selangor lebih terurus dan bakal menjadi contoh kepada penternak babi di negeri-negeri lain di Malaysia.

Babi dan Cina sukar untuk dipisahkan kerana daging babi adalah salah satu pilihan dan mereka berhak menikmatinya. Manakala orang Melayu diajar untuk merasa jijik dan geli dengan babi. Babi digelar haiwan yang kotor dalam al-quran
dan haram dimakan oleh umat Islam.

Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah. Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Al-An'am ayat 145)


Selain agama Islam, babi juga diharamkan oleh agama Yahudi manakala penganut Kristian Seventh Day Adventists turut mengelakkan babi. Larangan ini terdapat dalam Book of Leviticus, Chapter 11, Verse 7 dan 8:

"Jangan makan babi. Binatang itu haram, kerana walaupun kukunya terbelah, ia tidak memamah biak. Dagingnya tak boleh dimakan, bangkainya tak boleh disentuh."

Larangan juga terdapat dalam Book of Deuteronomy, Chapter 14, Verses 7 dan 8, Book of Isaiah, Chapter 65, Verses 2 to 4 dan Book of Isaiah, Chapter 66, Verse 17.

Selain orang Cina, orang Jerman juga amat menggemari masakan daging babi.

Khabar baik daripada Teresa Kok adalah khabar buruk kepada masyarakat Sepang tanpa mengira kaum lebih-lebih lagi masyarakat Islam. Tidak pernah kita mendengar sebegitu berani seorang pemimpin Cina ini yang menyentuh sensitiviti masyarakat Islam selain daripada wanita ini setelah mendapat kuasa. Barangkali beliau begitu teruja untuk berkongsi berita baik ini dengan pengundi-pengundi yang memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu.

Beginilah sikap pemimpin yang tidak matang ketika mengambil keputusan untuk melaksanakan projek yang sangat sensitif kepada masyarakat. Beliau tidak mengambil kira pandangan dan sosiobudaya serta kesan besar ke atas alam sekitar khususnya pencemaran sungai kerana kebanyakan penduduk Sepang masih terlibat dengan industri pertanian.

Sepanjang jalan dari Sungai Pelek ke Tanjung Rhu terdapat pengusaha ladang buah naga, kelapa sawit dan ubi kayu yang amat bergantung kepada air. Kaum yang terlibat bukan sahaja orang Cina malah Melayu dan India yang bersama-sama bekerja mencari rezeki. Masyarakat India di samping mengusahakan ladang kepala sawit, mereka juga menternak lembu. Masyarakat Melayu yang juga bekerja di ladang-ladang kelapa sawit mereka juga mengusahakan bisnes pelancongan homestay yang terkenal di Selangor.

Ternakan babi di Paya Mengkuang, Melaka selama 50 tahun telah menimbulkan banyak masalah kepada kampung-kampung sekitar. Bau hapak, pencemaran air sungai, gangguan ekosistem dan mengganggu kesihatan sudah sebati dengan penduduk di sana lebih-lebih lagi ketika hari hujan.

Ada penternak yang menjadikan halaman rumah mereka sebagai kandang babi dan tidak berasa risau diserang virus Nipah sepertimana yang berlaku di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan beberapa tahun yang lalu.

Jumlah RM100 juta yang diluluskan untuk projek ladang babi di Sepang adalah satu jumlah yang besar. Kita dapat bayangkan dengan jumlah itu kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat akan menjadikan negeri itu sebagai pengeksport babi terbaik di Malaysia, suatu yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini oleh rakyat Selangor. Hasil daripada bisnes babi ini akan menjadi salah satu daripada pendapatan kerajaan negeri.

Isu babi adalah isu yang sensitif kepada masyarakat Islam. Walaupun tidak ada halangan kepada orang Cina untuk makan babi sebanyak-banyaknya, tetapi dengan mengambil kira jumlah peruntukan dan keluasan ladang babi yang diluluskan, ia telah menimbulkan kemarahan masyarakat Islam.

Dalam hal ini Teresa Kok telah mula membuat kacau kepada masyarakat Islam dalam masa tidak sampai 100 hari mendapat kuasa. Dijangkakan beberapa kejutan akan muncul tidak lama lagi sebagai "hadiah" kepada pengundi yang memilih Pakatan Rakyat. Masyarakat Islam di negeri lain hanya menggeleng kepala dan terpulanglah kepada rakyat Selangor sendiri untuk berfikir dan membuat tindakan. Bagi penyelidik, kerajaan negeri Selangor dan Teresa Kok adalah telah membuat keputusan yang kurang bijak dan tidak matang.

No comments:

Post a Comment