Wednesday, April 16, 2008

Kepentingan blog dalam strategi dakwah pasca pilihan raya

Pilihan raya umum yang lalu memberi dimensi pemikiran baru kepada masyarakat. Ia berubah sama sekali dengan corak pemikiran konvensional yang takut kepada perubahan pada masa depan. Kedua-dua pihak, kerajaan dan pembangkang mengakui peranan laman web dan blog yang menyumbang 70 peratus maklumat yang boleh diakses oleh para pengundi. Sebahagian besar daripada maklumat ini telah menjadi alternatif kepada media arus perdana. Dalam erti kata lain, pengaruh Internet khususnya blog semakin kuat dan berkembang.

Dalam satu laporan di akhbar baru-baru ini, Malaysia diletakkan sebagai masyarakat yang celik blog dengan kira-kira 500,000 blog diwujudkan termasuk pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan, kedudukan ketiga di belakang Kesatuan Eropah dan Indonesia. Dari segi kandungan bahasa perantaraan, bahasa Jepun mendominasi laman web iaitu 37 peratus diikuti bahasa Inggeris sebanyak 33 peratus. Bahasa Malaysia masih jauh ketinggalan. Jumlah blog yang banyak itu besar kemungkinan diwujudkan dalam bahasa Inggeris atau bahasa Cina.

Kadar penembusan Internet di Malaysia hanya 54 peratus tetapi pengguna sangat tinggi pengetahuan teknologi Internet.

Kajian oleh Omnicom Media Group juga mendedahkan lebih 80 peratus pengguna Internet Malaysia sering bersembang secara online, menikmati hiburan (mendengar muzik, radio) dan membaca blog. Manakala 64 peratus menonton video secara online dan mengemas kini laman web jaringan sosial mereka.

Kajian yang diadakan bagi lima negara Asia Pasifik ini melibatkan Malaysia, India, Korea, China dan Australia. Kajian ini juga menyatakan 78 peratus daripada pengguna Internet di Malaysia memuat turun muzik, filem atau rancangan televisyen, 86 peratus cenderung kepada permainan komputer dan 91 peratus terlibat dalam pertukaran mesej.

Daripada sepuluh sumber maklumat yang mereka percaya untuk membantu membuat keputusan, enam daripadanya ialah maklumat berkaitan kepenggunaan, seterusnya mulut ke mulut, laman web teknologi, blog dan artikel yang boleh dicetak.

Pengaruh blog tidak boleh dinafikan lagi sebagai satu elemen penting untuk proses membuat keputusan kepada masyarakat hari ini. Sebahagian besar khususnya golongan muda yang celik komputer akan menerima maklumat yang dipaparkan dan berusaha untuk mengesahkan maklumat berkenaan. Bagi sesebuah blog yang terkenal dan mencecah sejuta kunjungan sehari, ianya mengambil masa hampir sepuluh tahun untuk menjadi terkenal.

Bagi kategori SMS, secara purata rakyat Malaysia bertukar-tukar mesej adalah 22 kali sehari berbanding Australia iaitu 12 SMS. Bagaimanapun maklumat yang mesti kita lebih sensitif ialah lebih 70 peratus pengguna Internet sentiasa mendapatkan berita dan perkembangan semasa. Mereka tidak bergantung kepada TV atau surat khabar semata-mata bagi mendapatkan maklumat sahih dan tepat.

Teknologi komunikasi berkembang daripada satelit, parabola kepada Internet yang membentuk superhighway information yang menjadikan dunia sebagai sebuah masyarakat yang sensitif dengan isu-isu sosial, memahami nilai-nilai dan mendekatkan hubungan dua hala. Dalam hal ini, Peter Drucker berkata, "Kampus-kampus besar di universiti akan menjadi bahan usang... lebih banyak kuliah dan syarahan boleh disalurkan melalui satelit atau komunikasi dua hala menggunakan teknologi multimedia di luar kampus. Apa yang pasti ialah kaedah pendidikan akan lupus dan status-quo tidak akan berpanjangan."

Pendakwah tidak boleh meninggalkan blog sebagai satu instrumen penting dalam kerja-kerja mereka. Penggunaan blog sebagai mekanisme komunikasi interaktif yang mudah, murah dan berkesan mesti dimanfaatkan. Agensi yang terlibat dengan kegiatan dakwah baik kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan wajar melatih anggota mereka untuk lebih mahir mengendalikan blog masing-masing, mendedahkan mereka dengan kemahiran menulis, mencari maklumat, membuat penyelidikan seterusnya berfikiran kritikal semasa menganalisis isu.

Dengan pendedahan seperti ini, barulah jurudakwah kita tidak kekok apabila berhadapan dengan kumpulan sasar yang celik komputer dan sudah tahu apa yang boleh dilakukan dengan Internet. Sekiranya pendakwah masih lagi takut untuk memegang "mouse," bagaimana anak-anak muda akan tertarik dengan bahan-bahan dakwah? Sebaliknya mereka akan bercempera melarikan diri apabila melihat pendakwah datang.

No comments:

Post a Comment