Berita pembuangan bayi yang dipercayai baru dilahirkan ditemui di depan tempat tumpuan awam bukanlah isu baru. Isu ini kembali mendapat tempat di beberapa media massa setelah lama tidak kedengaran kes-kes sedemikian rupa.
Apa yang membimbangkan ialah bilangan kes pembuangan bayi di kalangan wanita remaja semakin meningkat, malah ia sangat meruncing sejak akhir-akhir ini.
Perbuatan membuang bayi yang baru lahir dalam apa keadaan sekalipun dan ia mengakibatkan kematian bayi tersebut sebenarnya adalah pembunuhan.
Sesiapa sahaja yang membuang bayi itu atau terlibat dengan perbuatan tersebut adalah melakukan pembunuhan dan salah dari segi agama dan tindakan undang-undang akan diambil.
Kejadian yang semakin bercelaru dan menjajah pemikiran golongan generasi muda ini dibimbangi akan terbawa-bawa kepada peningkatan jenayah di peringkat yang lebih serius seiring dengan usia mereka.
Mengikut undang-undang, Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati ke atas pesalah jika disabitkan kesalahan membunuh. Selain itu, pasangan lelaki juga harus disabitkan kesalahan.
Dengan dunia serba moden, kemungkinan untuk mengenal pasti lelaki yang berzina dengan seorang wanita sehingga hamil kini boleh ditentukan melalui ujian DNA.
Ujian DNA adalah satu kaedah menentukan siapakah bapa biologi seseorang bayi melalui kajian terhadap contoh tisu dan darah individu yang terbabit.
Melihat kepada senario pada hari ini, jenayah yang merupakan implikasi dari keruntuhan jiwa dan akhlak akan menyebabkan terlahirnya masyarakat yang melanggar norma-norma agama dan masyarakat itu sendiri. Masalah jenayah pembuangan bayi harus ditangani segera sebelum ia merebak menjadi masalah sosial dalam masyarakat.
Menurut Hall (1904), remaja adalah masa yang penuh dengan kekeliruan, kesedihan dan konflik. Oleh itu, adalah penting bagi orang dewasa khususnya ibu bapa, pendidik dan ahli masyarakat untuk mengikuti perkembangan remaja.
Mereka wajar membantu remaja agar mengelakkan diri daripada terjebak dengan kegiatan yang negatif.
Masyarakat harus sedar bahawa masalah sosial adalah masalah kita bersama dan memerlukan penyelesaian yang bersepadu dan terancang. Ia memerlukan strategi menanganinya melalui pelbagai pendekatan secara proaktif termasuk pendekatan keagamaan yang merupakan tunjang kerohanian bagi setiap individu
Apa yang pasti, pentingnya pegangan agama dan nilai kerohanian dalam kehidupan manusia tidak dapat disangkal lagi. Agama memainkan peranan penting untuk memandu ahli masyarakat agar bertingkah laku sesuai dengan nilai, norma dan pertimbangan rasional kebanyakan ahli masyarakat.
Menurut Prof. Dr. Sidek Baba, pendidikan iman dan akhlak pada prinsipnya berasaskan kepada dua faktor yang saling berhubung iaitu faktor qudwah atau teladan dan pengaruh persekitaran. Ini kerana antara naluri dan kecenderungan utama anak dalam proses pembelajaran ialah keinginan untuk meniru, mencontohi dan meneladani.
Inilah sebabnya maka setiap anak memerlukan contoh teladan, 'role-model', 'mentor' dan qudwah supaya kebaikan dan kehebatan contoh berkaitan dapat diikuti dan dihayati dalam kehidupannya pula.
Dan ibu bapa adalah model awal dan utama dalam pembentukan iman dan akhlak anak. Bagi membolehkan ibu bapa mendidik dengan sempurna, mereka perlu berupaya serta menjadi qudwah yang terbaik.
Selain itu, ibu bapa harus bijak menimbulkan persekitaran kekeluargaan dan teknik keibubapaan yang sihat dan cemerlang dan mempraktikkan nilai nilai keagamaan dalam kehidupan seharian dalam membentuk keluarga harmoni.
Sekiranya mengabaikan dan tidak peduli pada perilaku dan akhlak remaja, maka dengan sendirinya akan lahirlah remaja bermasalah.
Sebagai contoh, Rasulullah SAW telah menunjukkan bahawa golongan yang menjadi fokus dan sasaran utama sejarah pembinaan akhlak dan budi pekerti adalah golongan remaja atau muda-mudi.
Kita harus sedar dan yakin bahawa cara tindakan menyelesaikan masalah mengikut pendekatan agama lebih berkesan dan berterusan memberikan ketenangan kepada golongan remaja berbanding dengan cara tindakan umum atau tidak menggunakan pendekatan agama. Pada masa yang sama, pendekatan kaunseling dan nasihat perlu juga bergerak seiring supaya nilai-nilai keagamaan sentiasa subur di sanubari anak-anak remaja.
Hakikatnya, segenap lapisan masyarakat harus bersatu padu dan mengaplikasikan pelbagai pendekatan dalam menyelesai masalah gejala sosial ini. Setiap individu termasuk ibu bapa perlu peka dan memainkan peranan khususnya dalam memastikan anak-anak tidak terjebak dengan gejala sosial yang merosakkan masa depan mereka.
Cabaran menangani gejala sosial terutama yang melibatkan pembuangan bayi semestinya diberi perhatian yang lebih besar dan memandang serius masalah ini. Justeru, sesuatu perlu dilakukan sebelum ia menjadi penyakit sosial yang sukar diubati.
[Utusan Online, 30/04/2008]
No comments:
Post a Comment