Thursday, April 24, 2008

Sifat hati (2)

Wajib atas setiap orang yang berakal dan sampai umur menyuci dan membersihkan hatinya daripada sifat-sifat yang tercela dan merosakkan hati dan menghiasinya dengan sifat-sifat yang terpuji bagi menyelamatkan dirinya di dunia dan akhirat. Firman Allah swt:

Sesungguhnya berjayalah orang-orang mensucikan hatinya dankecewalah orang-orang yang mengotorkannya. (As-Syams: 9-10)

Ingatlah hari yang tidak berguna di sana harta benda dan anak pinak kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan (membawa) hati yang selamat sejahtera (dari dosa dan sifat-sifat tercela).

Sabda Rasulullah saw:

Bahawa Allah swt tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu, tetapi Dia hanya memandang kepada hati dan amal usaha kamu.

Berikut diteangkan seupuluh sifat hati yang terkeji – untuk dijauhi dan sepuluh sifat hati yang terpuji untuk dihiasi hati dengannya semoga kita beroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Takbur

Sabda Rasulullah saw dalam satu hadis qudsi yang bermaksud:

Kebesaran, ketingian itu selendangku, keagungan itu kain pakaiku, maka sesiapa yang cuba merebut (bersift dengan) salah satu dari keduanya, aku akan campakkan dia ke dalam api neraka jahannam, Aku tidak peduli. (Diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Hadis ini menerangkan ketinggian dan keagunga hakiki itu dua sifat yang hanya kepunyaan Allah swt tidak ada yang layak bagi selainNya. Orang yang membesarkan dirinya seolah-olah dia merebut sifat Allah swt, orang yang demikian sifatnya memang dilemparkan ke dalam api neraka.

Sabda Nabi Muhammad saw lagi:

Tidak masuk syurga orang yang ada di dalam hatinya seberat timbangan biji sawi, sifat takbur (membesar diri). (Riwayat Muslim)

Bagi menghilangkan diri dari sifat takbur, hendaklah:

1. Mengingatkan bahawa segala kelebihan dan nikmat yang dimilikinya seperti harta, pangkat, ilmu dan sebagainya, semua ini adalah dari kurnia Allah swt dan nikmatnya yang wajib disyukuri bukan untuk dimegahi.

2. Jangan menolak kebenaran kerana sesuatu yang benar itu dari Allah swt.

3. Jangan melekeh/merendah-rendahkan orang lain kerana suatu kekurangan yang ada padanya kerana yang sebenar-benar mulia ialah yang paling bertakwa.

Oleh kerana takbur itu sifat hati yang tercela, maka lawannya iaitu sifat tawaddhuk (tunduk hati/merendah diri terhadap kebesaran Allah) adalah sifat hati yang terpuji. Nabi Muhammad saw bersabda:

Tidak ada seseorang itu bersifat tawaddhuk kerana kebesaran Allah melainkan Allah akan meninggikan (martabatnya). (Riwayat Muslim)

Bagi menghilangkan sifat takbur yang bersarang dihati, kita bunuh kalajengking takbur itu yang sedang bersemayam di hati dengan pisau kesabaran, kelembutan dan kemurahan hati. Menyembelih serigala nafsu yang selalu mengajak kepada kejahatan dengan pedang keimanan. Membersihkan halaman roh daripada sampah-sampah fikiran yang jahat dan hina. Di dalam diri juga kita harus menanam pokok-pokok hikmah, bunga-bunga pengetahuan dan mawar-mawar ilmu yang berkembang mekar menghiasai seluruh hati kita.

Saya sangat hairan dengan orang-orang yang sangat cinakan dan hauskan harta dunia serta ingin dekat dengan orang yang berharta walaupun si kaya tidak akan memberi mereka sebahagian kecil daripada harta yang dimilikinya. Mereka sangat memuliakan dan mengagungkan orang kaya, selesa dengan ucapan orang kaya dan sangat hormat kepada si kaya. Tarikan utama kenapa mereka bertindak demikian ialah kerana inginkan kekayaan dan harta yang sedang bersarang di hati mereka.

Cinta kepada harta benda menjadikan sifat benci dan menjauhi kawan sendiri, malah orang yang sering memberi nasihat tentang zuhud tiba-tiba bertukar menjadi orang lain apabila bersama dengan orang berharta kerana dia mengharapkan pemberian harta berkenaan daripada si kaya.

Sesetengah orang ada yang meninggalkan berbagai-bagai amalan sunat demi mengejar harta, meninggalkan sikap warak hanya untuk mengejar kekayaan. Ada yang tertipu kerana puji-pujian yang diberikan semata-mata untuk memiliki harta kekayaan.


Hasad dengki

Iaitu bercita-cita atau mahu supaya hilang nikmat dari orang lain. Nabi Muhammad saw ada bersabda:

Jangan dengki setengah kamu akan setengah dan jangan memutuskan hubungan dan jangan marah memarahi sesama kamu (benci-membenci) dan jangan membelakangkan setengah kamu akan setengah pada ketika berjumpa, bahkan hendaklah kamu bersaudara wahai hamba-hamba Allah. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sifat dengki yang bersarang di dalam hati boleh timbul disebabkan pelbagai perkara. Jika ada jiran sebelah rumah memiliki kereta baru, timbul juga perasaan ingin memiliki kereta yang lebih baik, jika ada jiran yang mendapat beberapa kebaikan, timbul juga keinginan hati untuk menghilangkan kebaikan tersebut. Keadaan ini memang menjadi lumrah kepada manusia yang tidak ingin melihat orang lain bergembira. Ada sahaja yang berdetik di hati sebagai tanda tidak suka dengan nikmat yang diperoleh oleh orang lain.

Kesan hasad dengki kepada kebajikan yang kita laksanakan amat dahsyat kerana ia memusnahkan amal yang kita lakukan dengan sangat pantas.

Dan sabda baginda saw lagi:

Hasad dengki itu memakan kebajikan sebagaimana api memakan/membinasakan kayu api. (Riwayat Abu Daud)

Abu Hassan al-Tuhaimi berkata:

Orang yang hasad dengki kepadaki tidak mengumpat diriku, kecuali hal tersebut bererti memuliakan diriku, orang yang hasad kepadaku tidak lain sebenarnya merupakan orang yang memberi kebaikan dalam wujud orang yang yang membenci.

Mudah-mudahan Allah swt menjaga orang-orang yang hasad kepadaku kerana kebaikan-kebaikan mereka berpindah kepadaku walaupun hal ini terjadi tanpa mereka sedari.

Mereka telah menyebarkan keutamaanku dan jika catatan kebaikan mereka dan keluhuranku ditulis, maka aku akan menjadikan mereka sebagai judul.

Hasad dengki orang kepada diri kita adalah satu bukti akan keluhuran dan ketinggian darjat diri. Tidak perlu bersedih hati kerana orang yang berhasad dengki tidak lain cuba mempromosikan keutamaan diri kita secara percuma. Pada masa yang sama si dengki telah memberikan kebaikan-kebaikan yang ada kepada diri mereka kepada diri kita kerana mereka ingin sekali mengambil beban kesalahan-kesalahan diri kita secara sukarela.

No comments:

Post a Comment