Saturday, April 26, 2008

Majlis Anugerah Pelajar KTD 2008

Kolej Teknologi Darulnaim meneruskan tradisi tahunan dengan mengadakan Majlis Anugerah Pelajar semester 1 2007/2008 pada 24 April 2008 lalu. Tetamu kehormat, Tuan Haji Mohd Yunus bin Razali, Pengarah MARA Negeri Kelantan telah menyampaikan sijil dan anugerah pelajar terbaik keseluruhan.

Dalam ucapan alu-aluan, ketua eksekutif kolej Dr. Abdullah Sudin menyifatkan pencapaian pelajar-pelajar KTD semakin baik dan membanggakan. Pada tahun 2004, kadar kegagalan ialah 20.89 peratus tetapi ia menurun secara mendadak kepada 1.85 peratus pada tahun 2007. Kini KTD berada dalam kelompok lima IPTS terbaik yang mengadakan kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia.

Keputusan peperiksaan semester lepas mencatatkan empat orang pelajar mendapat 4.00 dan kepujian dekan seramai 43 orang daripada kursus-kursus yang ditawarkan setakat ini. Seramai 29 peratus daripada 446 pelajar mendapat keputusan 3.00 ke atas dan ia merupakan satu keputusan yang sangat membanggakan. Kursus berkenaan ialah Diploma Sains Komputer (Teknologi Maklumat), Diploma Sains Komputer (Multimedia), Diploma Pengurusan Teknologi (Perakaunan), Diploma Pengurusan Teknologi dan Diploma Kejuteraan Elektronik.

Selain itu terdapat dua lagi kursus yang dijalankan oleh KTD sendiri iaitu Diploma Pengurusan Perniagaan dan Diploma Multimedia.

KTD sedang memasuki fasa pengembangan dengan mengadakan kerjasama akademik bersama Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Pada semester akan datang KTD akan menawarkan Diploma Pengajian Islam (Syariah), Diploma Pengajian Islam (Al-Quran dan As-Sunnah) Diploma Perbankan Islam dan Diploma E-Dagang untuk memenuhi permintaan pelajar yang semakin bertambah dalam aliran pengajian Islam. Sehingga kini hampir 100 orang pelajar telah menunjukkan minat untuk mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan ini.

Menurut Dr. Abdullah Sudin, program peringkat ijazah pertama bersama Universiti Kebangsaan Malaysia akan bermula pada September 2008 sebagai penerusan daripada kursus-kursus diploma. Seterusnya bagi para pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat masters, KTD sedang dalam proses menjalin kerjasama dengan empat buah universiti di Ireland bagi menganjurkan program 3+0 supaya pelajar-pelajar KTD dapat menyiapkan pengajian di Malaysia dan dianugerahkan sijil oleh universiti berkenaan.

KTD juga sedang merancang kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara bagi menawarkan kursus perbankan, bisnes, komunikasi massa dan pengurusan pejabat.

Kemunculan KTD sebagai sebuah institusi pendidikan semakin dikenali dan mula menjadi sebutan di kalangan pelajar dan ibu bapa ketika ini. Kolej ini pernah suatu ketika hampir ditutup kerana kekurangan pelajar dan kos operasi yang tinggi. Kini KTD mula mengorak langkah dengan menawarkan pelbagai program yang relevan dengan pasaran kerja dan keperluan negara.

Aspek yang membezakan KTD dengan institusi pengajian tinggi swasta yang lain ialah Program Pembangunan Sahsiah Terpuji (Pesat) yang merupakan program pendidikan (tarbiyah) bersepadu yang dirangka khusus bagi melahirkan pelajar profesional, berketerampilan dan beretika. Antara komponen utama Pesat ialah pembangunan rohani dan jasmani, pembangunan minda dan nilai, perancangan dan pengurusan serta kemahiran keinsanan.

Selain itu kemahiran keinsanan (softskills) meliputi pengucapan awam, membuat keputusan, penyelesaian masalah, kepimpinan, pengurusan masa, mengurus tekanan, kemahiran belajar, komunikasi berkesan, keusahawanan, konsep kendiri positif dan pengurusan organisasi.

Pengerusi MARA Negeri Kelantan dalam ucapan perasmian menyatakan beliau sentiasa mengikuti perkembangan KTD sejak 2005 dan menyifatkan kolej itu ketika ini sedang mengalami fasa perkembangan yang pesat. Beliau juga memuji semangat dan kesungguhan pensyarah dan kakitangan kolej yang sentiasa berusaha meningkatkan kecemerlangan dengan menggelarnya "kesungguhan yang menggila" iaitu usaha yang bersungguh-sungguh untuk berjaya.

Di samping itu beliau turut mengingatkan pelajar untuk terus merebut peluang bagi mencari kekayaan-kekayaan baru berasaskan pengetahuan kerana era ekonomi berasaskan pengeluaran sudah berlalu dan digantikan dengan teknologi maklumat. Melalui penguasaan maklumat ini, sudah ramai usahawan Melayu yang mampu menjana pendapatan besar sama ada di dalam ataupun di luar negara.

Di akhir ucapan, beliau berpesan agar pelajar-pelajar KTD sentiasa memperbaharui impian untuk berjaya dengan cemerlang, membuat latihan yang mencukupi, meningkatkan minat terhadap subjek dan sentiasa mengulangi apa sahaja yang dapat membantu kecemerlangan pelajaran mereka.


Pada tahun ini pelajar terbaik keseluruhan ialah Syarifah Nabihah binti Syed Mohd Khair dari program Diploma Sains Komputer (Multimedia). Motivasi beliau ialah yakin kepada Allah swt dan diri sendiri adalah pendorong utama untuk melakar cita-cita dan kejayaan.

No comments:

Post a Comment