Kehidupan bermula sebaik bersara. Kenyataan itu mungkin ada benarnya kerana tempoh persaraan dianggap sebagai masa untuk berehat dan bersantai.
Ada juga yang berpendapat inilah masanya untuk mengecapi keghairahan hidup. Sebab itu ada kalangan mereka yang hampir mencapai umur persaraan menyediakan perancangan yang indah-indah seperti melancong dan ‘berbulan madu’.
Ada juga yang ingin memenuhkan masa bersara untuk menyudahkan hobi yang terbantut seperti berkebun dan bertukang gara-gara sebelum ini kesuntukan masa akibat memenuhi tuntutan kerja yang tiada kesudahannya.
Namun tidak kurang juga yang bimbang menghadapi hari-hari persaraan kerana tiada persediaan untuk menempuh tempoh tersebut.
Tiada wang simpanan, anak-anak yang masih bersekolah dan beban hutang mendorong rasa bimbang di kalangan bakal pesara lantas menjadikan keindahan selepas bersara satu lagi angan-angan yang tidak kesampaian.
Berminat dengan tatalaku pekerja selepas bersara, AXA AFFIN Life Insurance Berhad (AXA AFFIN) baru-baru ini menjalankan satu kaji selidik yang dikenali sebagai Skop Persaraan AXA AFFIN 2008.
Pelbagai dapatan menarik diperoleh hasil kaji selidik global yang dijalankan di 26 negara di seluruh dunia dan disertai oleh 18,000 responden itu.
Mereka mewakili dua kumpulan iaitu golongan yang bekerja dan berusia 25 tahun ke atas; golongan pesara yang berusia 75 tahun dan ke bawah.
Menariknya tentang kaji selidik skop persaraan ini ialah objektifnya yang bertujuan meneroka dan memahami sikap serta kelakuan terkini golongan pekerja dan pesara terhadap persaraan.
Ia berbeza dengan kaji selidik persaraan yang dijalankan oleh agensi-agensi lain iaitu memberi penekanan kepada keperluan perancangan kewangan semata-mata.
Tinjauan AXA AFFIN mengambil kira keperluan peribadi dan harapan kumpulan tersebut selain membuat perbandingan dan analisis tanggapan serta pandangan golongan pekerja dan pesara di 26 buah negara.
Seperkara yang menarik mengenai kaji selidik ini ialah pendapat umum bahawa lelaki lebih bersedia dari segi fizikal untuk menghadapi persaraan.
Namun lelaki yang aktif dan suka bergaul berkemungkinan besar akan mengalami tahap kebosanan yang tinggi serta masalah kesihatan menjelang hari persaraan.
Bagi wanita pula, mereka lebih bebas dari sudut kewangan dan dilihat lebih bersedia dari perspektif psikologi untuk menyesuaikan diri dengan persaraan.
Bagaimanapun masih ada kebimbangan di kalangan wanita yang bersara iaitu gerbang perkahwinan dan perhubungan serta dorongan-dorongan yang boleh membawa kepada kesepian.
Seperkara yang menarik tentang kaji selidik itu ialah golongan pekerja peringkat sederhana di Malaysia menyatakan bahawa mereka mahu bersara pada usia 54 tahun tetapi menjangkakan persaraan dua tahun selepas itu.
Maklum balas yang sama diperoleh daripada responden di negara jiran seperti Indonesia dan Singapura. Bagaimanapun, responden dari Jepun mengatakan bahawa usia bersara yang dikehendaki dan diharapkan ialah 61 tahun.
Dapatan seumpama itu memberi gambaran keseluruhan tentang tahap ‘kecintaan’ dan keperluan pekerjaan di kalangan penduduk di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Jepun sehingga mereka memilih masa yang lebih pendek atau sebaliknya.
Mengenai perancangan ‘untuk menikmati hari yang damai sambil menyaksikan pohon menghijau’ selepas bersara, 23 peratus responden Malaysia yang masih bekerja memilih untuk menikmati keindahan alam sebaik sahaja tiba masanya.
Kegiatan
Bagi responden yang telah bersara pula, hanya 13 peratus bersetuju untuk melancong dengan alasan mereka lebih senang melakukan kegiatan yang lebih menenangkan seperti berkebun, projek bertukang sendiri di rumah dan menguruskan keluarga.
Peratusan itu berbeza di peringkat antarabangsa di mana melancong selepas bersara adalah idea yang lebih popular di negara Barat seperti Perancis (73 peratus), Australia (58 peratus) dan Amerika Syarikat (55 peratus).
Idea sebegitu kurang popular di kalangan responden dari negara-negara Timur seperti Indonesia, Thailand, Malaysia dan India iaitu masing-masing mencatatkan peratusan kurang 40 peratus.
Ditanya mengenai perasaan tentang persaraan secara umum, hampir dua pertiga (64 peratus) daripada responden di Malaysia yang masih bekerja mempunyai pandangan positif. Kaji selidik itu menunjukkan sebanyak 18 peratus daripada mereka yang memberi jawapan positif mengaitkan persaraan sebagai tempoh untuk berehat atau tidak melakukan apa-apa.
Ini berlainan dengan 15 peratus golongan bekerja dan 11 peratus pesara yang tidak mempunyai harapan tinggi tentang persaraan mahupun apa yang mungkin akan berlaku akibat daripadanya.
Jika ingin dikaitkan dengan kenyataan bahawa tempoh persaraan adalah untuk bersantai, ia mungkin tidak kepada banyak pesara yang ada di negara ini.
Kira-kira satu pertiga daripada golongan pesara ketika ini memiliki pekerjaan yang mendatangkan hasil dan lebih separuh daripada responden yang masih bekerja menyatakan mereka ingin terus menjana pendapatan selepas bersara.
Ini bermakna masih ramai kalangan pekerja di negara ini ingin terus aktif dalam sektor pekerjaan serta mempunyai pendapatan tetap mungkin didorong oleh kos hidup yang semakin meningkat.
Oleh itu istilah bersantai mungkin tidak akan ada dalam diari hidup golongan pesara yang memilih untuk terus bekerja.
Ia juga mungkin disebabkan oleh usia persaraan sah yang lebih muda di Malaysia serta jumlah persaraan awam yang tinggi menyebabkan ramai pesara masih mampu untuk bekerja.
Perkembangan menarik tentang persediaan menghadapi hari persaraan ialah para pekerja kini mula membuat persediaan pada purata usia 41 tahun dan membuat simpanan awal terutama di kalangan mereka yang berpendapatan tinggi.
Bagaimanapun berbeza dengan United Kingdom, pekerja di negara itu mula membuat persiapan persaraan seawal usia 28 tahun.
Dua faktor utama yang membawa kepada kesedaran untuk bertindak sedemikian iaitu tanggungan anak-anak dan umur persaraan yang semakin menghampiri.
Adakah rakyat Malaysia bersedia untuk bersara dan seterusnya menjalani kehidupan yang dipenuhi ketenangan? Tepuk dada tanya selera.
[Utusan Online, 9/3/08]
No comments:
Post a Comment