Wednesday, April 09, 2008

Karpal Singh dan undang-undang hudud

Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak meminta Karpal Singh berhenti daripada bercakap tentang undang-undang hudud jika beliau tidak memahaminya. Kenyataan ini adalah susulan daripada bantahan Karpal Singh yang tidak mahu PAS melaksanakan usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam atau memperkenalkan undang-undang hudud.

Undang-undang hudud hanya untuk orang Islam dan kebimbangan Karpal Singh tentang hal ini sangat aneh kerana beliau menentang pelaksanaannya sedangkan pengerusi DAP itu sendiri bukannya Islam. Sudah tentu beliau tidak akan diapa-apakan. Tetapi kenapakah dia begitu bersemangat menentang pelaksanaan undang-undang hudud untuk orang Islam?

Kesedaran umat Islam terhadap undang-undang jenayah semakin meluas khususnya bagi menghadapi segala macam masalah sosial, penyalahgunaan kuasa, penzinaan, minum arak dan murtad. Mereka perlukan satu kaedah penyelesaian yang bersifat kekal kerana tidak mahu melihat masyarakat Islam terus bergelumang dengan maksiat, dosa dan berakhlak rendah.

Peranan undang-undang Islam ialah memartabatkan keadilan sosial di mana hudud itu sendiri merupakan sebahagian daripada bentuk hukuman yang boleh dijatuhkan terhadap pesalah jenayah. Manakala bentuk hukuman pula terdapat empat jenis iaitu qisas, diat, hudud dan takzir.

Sebagai umat Islam, pelaksanaan undang-undang hudud membawa kebaikan kepada mereka kerana hukum berkenaan ditetapkan oleh Allah swt yang Maha Bijaksana untuk menjaga kebajikan manusia jua.

Hudud berasal dari kata dasar “had” yang bererti sekatan atau sempadan yang sepatutnya diambil perhatian oleh umat Islam. Melebihi sekatan berkenaan dikira berdosa dan boleh dijatuhkan hukuman.

Dalam konteks kesalahan jenayah, hudud merujuk kepada kadar hukuman yang ditentukan Allah swt dan kadar ini tidak boleh dipinda.

Qisas pula berbeza. Walaupun peruntukan bunuh balas tetapi pihak wali mempunyai kuasa untuk memaafkannya dan kadar ganti rugi boleh dirunding.

Pelaksanaan hukum hudud dan qisas pernah dijalankan pada masa Rasulullah saw tetapi tidak ramai yang dihadapkan ke mahkamah kerana orang yang bersalah tidak ramai. Kini ada tiga buah negara yang melaksanakan hukuman hudud dan qisas iaitu Arab Saudi, Pakistan dan Sudan.

Undang-undang adalah mekanisme untuk menjadikan masyarakat hidup dalam suasana aman dan sejahtera lebih-lebih lagi dapat beribadah dengan tenang dan rasa selamat tanpa ada gangguan. Dalam keadaan sekarang, untuk menunaikan solat di masjid pun rasa tidak selamat kerana bimbang kasut atau beg yang ditinggalkan menjadi sasaran pencuri.

Kenapa mencuri? Apakah tindakan untuk mengekang orang ramai daripada mencuri?

Undang-undang hudud adalah satu penyelesaian. Bukannya kita mesti berbangga dengan ramainya yang dipotong tangan sebaliknya berbangga dengan berkurangnya kes jenayah yang merisaukan masyarakat.

Kerapkali berlaku penolakan apabila sahaja ada perkataan Islam atau berkaitan Islam. Sebagai contoh, perbankan Islam pernah dipandang serong semasa mula diperkenalkan dahulu kerana dianggap cuba menarik golongan bukan Islam kepada Islam. Tetapi fobia kepada perbankan Islam mula luntur setelah sistem ini menyediakan alternatif kepada perbankan konvensional dan menjadi pilihan kepada ramai orang. Seorang rakan saya yang berketurunan India turut membuka akaun al-wadiah kerana keyakinan beliau terhadap perbankan Islam walaupun dia boleh memilih perbankan konvensional.

Balik kepada Karpal Singh, seorang yang dikenali dan berpengaruh dalam masyarakat, tindakan beliau menentang pelaksanaan hukum hudud tentunya mempunyai sebab-musabab yang boleh dikenal pasti. Antaranya ialah kepentingan ekonomi.

Beliau telah lama menjadi peguam dan mempunyai ramai pelanggan. Banyak kes besar yang dimenanginya dengan jumlah pendapatan yang lumayan. Jika undang-undang hudud dilaksanakan, tidak ada lagilah peluang baginya untuk meraih wang yang banyak.

Kedua, beliau adalah orang kuat DAP. Jika dia tidak menghalang undang-undang hudud bermakna tidak ada lagi penghormatan untuknya. Sifirnya mudah. Manusia suka dipuj- dan dipuja. Menjadi ketua adalah tempat paling kerap dipuja. Jika Karpal Singh bersetuju, maka tidak adalah lagi anggota parti yang akan menyokongnya. Dengan erti kata lain, beliau mahu mengekalkan kuasa dengan menentang pelaksanaan hudud ini.

Barangkali yang ketiga, beliau dengki dengan kebaikan hudud dan faedahnya kepada umat Islam di Malaysia. Dia sedar, jika perbankan Islam menjadi pilihan, tidak mustahil hukum hudud, qisas dan takzir turut menjadi pilihan. Dalam jangka masa panjang orang bukan Islam akan melihat keindahan Islam.

Falsafah hukum Islam bukannya menjatuhkan hukuman kepada pesalah tetapi mencegah daripada berlakunya kesalahan itu kerana sabda Rasulullah saw “seseorang mukmin itu ketika dia berzina, dia tidak beriman kepada Allah.” Justeru sebarang ruang ke arah berlakunya jenayah perlu dihalang.

Rumusannya, Menteri Besar Kedah wajar memberi kefahaman kepada Karpal Singh supaya beliau dapat melihat Islam juga memberi
keadilan kepada masyarakat untuk hidup dalam keadaan sejahtera dan sifar jenayah.

No comments:

Post a Comment