Sunday, April 27, 2008

Presiden UMNO: desakan berundur berterusan

Surat khabar arus perdana hari ini memberi fokus kepada gesaan supaya presiden UMNO dan perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyusun rancangan bagi menyerahkan kuasa kepada timbalannya. The Star Online menyiarkan empat tajuk berkaitan iaitu ancaman UMNO berpecah jika presiden tidak berundur sebelum Disember ini, UMNO bahagian Batu Pahat mahukan proses peralihan dipercepatkan dan 13 bahagian UMNO di Kelantan dan Wanita UMNO mahukan peralihan kuasa yang lancar dalam pergerakan itu.

Manakala nst online menyiarkan pengakuan Tengku Razaleigh Hamzah yang meletakkan dirinya sebagai salah satu sebab kekalahan UMNO dan Barisan Nasional di Kelantan. Kenyataan beliau adalah susulan daripada ucapan perdana menteri pada 6 April lalu yang menyebut Tengku Razaleigh adalah punca Kelantan jatuh ke tangan PAS dan Barisan Nasional Kelantan tidak dapat menawan kembali negeri itu.

Turut disiarkan ialah ugutan presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu yang mahu mendapatkan sokongan negara asing jika kerajaan terus meminggirkan masyarakat India. Dalam politik MCA, naib presiden Datuk Ong Tee Keat mengesahkan terdapat pemimpin akar umbi parti itu yang bertindak keluar parti kerana kecewa dengan prestasi buruk MCA dalam pilihan raya umum lepas.

Utusan Online menyiarkan tajuk "Hentikan polemik ketuanan Melayu" yang menyentuh mengenai kepentingan konsep ini terus dimomokkan di dalam masyarakat berbilang etnik ketika ini.

Dua kenyataan oleh timbalan presiden Umno dan ketua Wanita Umno tentang usaha-usaha kerajaan baru pada 16 September ini menunjukkan kegelisahan barisan kepimpinan kerajaan sedia ada. Rafidah Aziz menyifatkan Anwar Ibrahim sedang menggunakan perang psikologi untuk melemahkan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional. Datuk Sri Najib pula berkata perkara tersebut tidak boleh dipandang ringan.

Presiden UMNO sedang dihimpit dengan desakan untuk berundur setiap masa. Ketua pendesak ini tidak lain adalah bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir yang masih lagi menunjukkan minat ke atas politik Malaysia. Beliau menggunakan proksi Datuk Mukhriz Mahathir, anaknya untuk menggerakkan usaha berkenaan. Tun Dr. Mahathir melantik Abdullah sebagai perdana menteri dan sekarang beliau pula berusaha untuk menjatuhkannya.

Kenapa berlaku demikian?

Faktor utama ialah kuasa. Apabila Selangor jatuh ke tangan parti pembangkang, bekas menteri besar dan exco negeri hilang keistimewaan, kedudukan dan kemewahan sebagai orang berkuasa. Ada bekas pemimpin Gerakan yang bertindak keluar parti apabila kalah dalam pilihan raya kerana ditawarkan pekerjaan yang lebih baik oleh DAP. Tentunya gajinya juga banyak. Pemimpin ini hanya pentingkan perut sendiri daripada kesetiaan kepada perjuangan partinya.


Politik yang berkonsepkan "apa-apa saja boleh berlaku dalam politik" adalah politik yang jauh daripada kejayaan. Melompat parti atau diistilahkan "tikam dari belakang" seperti yang dilakukan oleh Datuk Josep Pairin Kitingan pada 1990 adalah contoh klasik politik murahan. Apakah Sabah akan memilih untuk bersama Pakatan Rakyat pada 2008 ini seterusnya diberi peluang yang lebih luas dalam pembentukan kerajaan baru nanti?

Peluang terbaik Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan ialah sekarang kerana "mood" dan kecenderungan rakyat yang menolak Barisan Nasional. Parti Keadilan Rakyat yang memenangi 31 kerusi, DAP 28 kerusi dan PAS 23 kerusi, Pakatan Rakyat hanya perlukan 30 kerusi untuk mendapat majoriti mudah seterusnya membentuk kerajaan. Keghairahan Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri dikencangkan lagi dengan laporan The Jerusalem Post yang bertajuk "Anwar Ibrahim: Malaysia's future prime minister."

Harakahdaily turut menyiarkan artikel "Abdullah akan jadi ketua pembangkang bila-bila masa dari sekarang-Anwar" pada 24 April 2008 yang lalu menghangatkan lagi isu politik negara.

Keazaman dan kesungguhan Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri sangat membara. Beliau merancang dan bekerja siang dan malam bagi mendapatkan kuasa sama ada dengan cara logik atau tidak. Apa sahaja cara yang sesuai akan difikirkan. Tetapi hakikatnya beliau mesti mendapatkan 30 kerusi parlimen untuk membentuk kerajaan, suatu jumlah yang sangat besar.

Bola sedang berada di kakinya. Penentang Abdullah adalah rakan-rakanya dan Anwar mesti menggunakan kesempatan ini untuk mendapat sokongan. Ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana peluang kedua belum tentu akan tiba.

Desakan ahl-ahli parti melemaskan Abdullah yang melihat faktor kepimpinan sebagai punca utama kekalahan besar Barisan Nasional di lima negeri. Ada pemimpin peringkat bahagian yang mendesak pengunduran segera kerana bimbangkan pangkat dan projek yang bakal hilang. Walau bagaimanapun mereka hanya boleh mendesak kerana keputusan di tangan Abdullah sendiri. Keghairahan mendesak ini akan menjadi "boomerang" kepada kepimpinan UMNO kerana rakyat melihat perdana menteri mereka sangat lemah.

Ketika era reformasi, Anwar Ibrahim menggesa Tun Dr. Mahathir berundur. Dari koridor Masjid Negara, Anwar melaungkan "undur Mahathir undur" tetapi keadaan itu kembali bergema pada zaman Abdullah dengan laungan senyap "undur Lah undur" setiap masa.

Begitu juga desakan dari MIC. Agaknya presiden MIC juga sedang bimbang kerana sokongan masyarakat India tidak lagi kepada mereka. Undi kaum India beralih ke Pakatan Rakyat dengan harapan pembangkang dapat mengubah keadaan masyarakat India. Tetapi beberapa persoalan boleh kita fikirkan seperti apakah Pakatan Rakyat dapat meningkatkan taraf hidup mereka, apakah perancangan Pakatan Rakyat untuk mengekalkan undi kaum India dan sejauhmana toleransi beragama akan dijayakan di lima negeri berkenaan?

Sokongan undi kaum India semata-mata tidak akan menjadikan Anwar Ibrahim seorang perdana menteri. Sebaliknya dalam masyarakat berbilang kaum, Anwar perlukan sokongan semua pihak. Jika tidak beliau hanya membina istana khayalan.

Abdullah dan Najib tidak akan mengizinkan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan dengan mudah. Mereka juga akan menggunakan semua strategi dengan segala kemungkinan. Namun, kegusaran mereka semakin bertambah-tambah jika lebih kerap pemimpin kerajaan melawat Sabah dan Sarawak dalam beberapa bulan ini. Jika keadaan ini berlaku, bersediakah kita untuk berkhidmat dengan kerajaan Malaysia yang baru?


No comments:

Post a Comment